ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

KARYA-KARYA SHEIKH AHMAD AL-FATHANI (Tashih & Tahqiq)



KARYA-KARYA SHEIKH AHMAD AL-FATHANI

PENGENALAN
Mengenai karya-karya Sheikh Ahmad al-Fathani telah dibicarakan secara umum sebelum ini. Maka penulisan mengenai beliau ini masih diteruskan lagi kerana masih banyak yang perlu dibicarakan dalam pelbagai perkara.
Adapun setelah selesai mengenai karya-karya beliau, dilanjutkan pula perkara yang berkaitan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai ilmu. Mengenai demikian, ia dibahagikan kepada tiga bahagian. Pada setiap bahagian pula mempunyai subjudul yang tersendiri.

Pada bahagian pertama ini, dimulakan perbicaraan mengenai beliau sebagai Pentashhih dan Filolog Melayu. Seterusnya akan dilanjutkan mengenai penglibatan beliau dalam media cetak dan pemikiran dalam politik. Tidak ketinggalan juga mengenai pemikirannya tentang Sains dan Teknologi, falsafah, ilmu Hisab atau Falakiyah, ilmu perubatan, dan sejarah.

Pada bahagian kedua pula, ia dilanjutkan mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dan ilmu-ilmu al-Quran. Dalam hal ini, di bawahnya dibicarakan beberapa subjudul, antaranya Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab al-Mawahib al-Makkiyah dan Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan. Kedua-dua kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu tajwid.
Dilanjutkan pula dengan subjudul lain, iaitu Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab Mujarrabat al-Fawaid. Kitab ini membicarakan ilmu hikmah dan fadilat-fadilat ayat-ayat atau pun surah-surah dalam al-Quran.
Bahagian kedua tersebut berakhir dengan Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Mengenai Khatam al-Quran.

Pengakhiran bahagian iaitu bahagian ketiga ialah mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dan ilmu-ilmu hadis. Di dalamnya dibicarakan puisi-puisi beliau dalam beberapa kitab, antaranya kitab Kasyful Ghummah, kitab al-Jauhar al-Mauhub dan kitab al-Kaukab ad-Durriy.

Sheikh Ahmad al-Fathani
Sebagai Pentashhih dan Filolog Melayu

Pengumpulan manuskrip daripada berbagai-bagai karya yang dilakukan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sangat erat hubungannya dengan kerja-kerja pentashhihan yang melibatkan ilmu filologi. Dalam pengertiannya yang sederhana, Siti Hawa Haji Salleh dalam Hikayat Patani (1992) di halaman 1, mengatakan bahawa, “filologi ialah kajian tentang naskhah [lama] untuk menetapkan keaslian, bentuknya semula, serta makna isinya”.
Oleh itu tidak keterlaluan apabila kita meletakkan Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai tokoh yang awal di dunia Melayu yang memperkatakan filologi Melayu.
Sebelum menerbitkan sesuatu naskhah, Sheikh Ahmad al-Fathani terlebih dulu mengumpulkan berbagai-bagai versi naskhah sesuatu judul. Jika belum ditemui naskhah yang asli, maka beliau terpaksa mengumpulkan naskhah salinan yang lebih banyak lagi. Selain menggunakan naskhah asli atau naskhah salinan, Sheikh Ahmad al-Fathani merujuk kepada naskhah yang pernah diterbitkan dalam bentuk litografi (huruf batu) jika ada.
Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, huruf litografi telah dilakukan di Sungai Pura. Sungai Pura yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu belum begitu jelas, berkemungkinan adalah Singapura, tetapi Singapura beliau tulis dengan nama Singapura juga. Oleh itu berkemungkinan ada tempat lain yang bernama demikian.
Jika sesuatu karya Melayu itu merupakan karya terjemahan dari bahasa Arab ataupun dari bahasa Parsi, maka Sheikh Ahmad al-Fathani membanding naskhah terjemahan itu dengan kitab asli pengarangnya sendiri. Jika ditemui sesuatu naskhah yang tidak terdapat nama pengarangnya, maka beliau menggunakan ilmu linguistik untuk menentukan gaya bahasa naskhah yang digunakan oleh seseorang pengarang atau gaya bahasa yang digunakan di sesuatu daerah.
Hal yang tersebut pernah berlaku pada kitab Syarah Hikam Melayu, yang mana pada salah satu terbitan kitab ini beliau tulis catatan, “Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustatab, iaitu syarah Hikam Ibnu ‘Athaullah, dengan bahasa Melayu. Dan ditashhihkan dan muqabalahkan daripada mulzamah yang keempat hingga kepada ke 17 dengan naskhah yang dibaiki oleh Sheikh Abdul Muthallib ibnu al-Faqih al-Kalantani...Dan adalah selesai mencapkan dia pada pertengahan bulan Syawal 1309 daripada hijrah Nabi kita...”
Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani senantiasa menggunakan naskhah yang banyak untuk mengkaji sesuatu judul, maka hendaklah dirujuk tulisan beliau pada cetakan ad-Durr an-Nafis karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, “Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini, bahawasanya segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya. Dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih sesuai dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripadanya salah satu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat...” (Syeikh Muhammad Nafis, 1884 M/1302 H).
Berdasarkan huraian di atas, selain menggunakan manuskrip, Sheikh Ahmad al-Fathani kadang-kadang menggunakan juga teks yang dicetak lebih awal, seperti yang beliau nyatakan pada beberapa buah kitab yang beliau tashhih dan terbitkan.
Dalam kitab Furu’ al-Masail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani beliau berkata, “Ketahui olehmu, bahawasanya khutbah kitab ini bersalah-salahan nusukh (jamak perkataan naskhah) padanya, dan berfaraq-faraq sebagai faraq yang jauh antara segala naskhah khat dengan naskhah cap yang dicapkan pada Sungai Pura. Maka yang diitsbatkan dengan naskhah thaba’ ini seperti khutbah cap Sungai Pura kerana ia terlebih manis kalamnya dan terlebih betul kaedah nahunya ...” Kesimpulannya didapati bahawa mukadimah naskhah (manuskrip) kitab Furu’ al-Masail yang ada pada Sheikh Ahmad al-Fathani adalah berbeza dengan mukadimah Furu’ al-Masail pada cetakan Sungai Pura. Tetapi Sheikh Ahmad al-Fathani menurut pilihannya berdasarkan nahu, linguistik, gaya bahasa dan lain-lain, beliau menggunakan cetakan litografi Sungai Pura bukan naskhah tulisan tangan (manuskrip).

Jika konteks karya terjemahan, Sheikh Ahmad al-Fathani membandingkannya dengan karya bahasa asal, selain naskhah (manuskrip) terjemahannya. Sebagai contoh beliau nyatakan dalam kitab Kasyf al-Ghummah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, “Dan adalah hamba muqabalahkan pada tashhihnya dengan Mukhtasar al-Sya’rani bagi asal yang Arabi, iaitu At-Tazkirah al-Qurthubiyah. Dan hamba tashlih (perbaiki) setengah daripadanya yang tahrif. Maka terjadilah ia bersih ...”
Ini bererti, Sheikh Ahmad al-Fathani selain merujuk kitab asli dalam bahasa Arab, beliau juga membetulkan kekeliruan, kesalahan dan lain-lain yang terdapat pada naskhah (manuskrip) terjemahan.
Tindakan Sheikh Ahmad al-Fathani memansukhkan penelitian awal apabila ada penemuan baru dinyatakan dalam kitab Syarah Hikam Melayu. Dalam kitab Syarah Hikam Melayu yang dicetak dalam tahun 1302 H/1884 M oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Sheikh Ahmad al-Fathani mengatakan, “... Dan adalah tharah kitab ini, dahulu hamba sebutkan hal keadaan nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ‘ulama’ Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya. Al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani. Dan selesai mengecapkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita Alaihis Shalatu was Salam ...”
Berdasarkan keterangan di atas kita dapati bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani telah membanding gaya bahasa yang digunakan oleh orang Terengganu dengan orang Aceh, untuk menentukan keaslian kitab Syarah Hikam Melayu.

Sehubungan dengan cetakan beberapa buah kitab, telah berlaku pemalsuan nama Sheikh Ahmad al-Fathani sebagaimana beliau nyatakan pada cetakan Hidayah as-Salikin yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1303 H/1885 M.
Katanya, “Ketahui olehmu, telah dithaba’ dahulu daripada ini beberapa kali akan kitab ini (maksudnya: Hidayah as-Salikin) dan kitab Sabil al-Muhtadin thaba’ yang kedua, dan kitab Hikam thaba’ yang kedua juga dengan ketiadaan tashhih. Dan hasil pada sekalian kitab itu salah dan tahrif yang amat banyak. Dan dibangsakan tashhihnya itu kepada hamba yang faqir. Maka hendaklah jangan diperpegangkan dan dipercayakan dengan demikian itu kerana bahawasanya semata-mata dusta dan buat-buat jua ...”
Pada peristiwa lain, Sheikh Ahmad al-Fathani membantah sebuah karya yang dikatakan karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau menulis, “Dan ketahui olehmu, bahawasanya permulaan barang yang hamba ketahui disebutkan ‘harus yang empat itu’ di dalam satu risalah dengan bahasa Melayu yang tiada disebutkan nama muallifnya. Maka mengambil oleh seorang Hindi (India) yang menjual beberapa kitab pada Babussalam, namanya Abdullah Mujallid. Maka ia thaba’kan dia pada negeri Hindi dan dibawa jual ke Mekah. Maka bersangatan lakunya, dibeli bawa pulang kepada segala negeri Melayu. Kerana pada masa itu belum ada dithaba’kan kitab-kitab Melayu. Dan tiap-tiap ditanyakan Abdullah Mujallid itu, daripada siapa-siapa muallif risalah itu, berkata ia, “Ini risalah karangan Sheikh Daud”, dengan semata-mata bohongnya, supaya banyak gemar orang pada membelinya, kerana banyak karangan Sheikh Daud dan masyhurnya.
Maka tatkala mengulang ia akan cap risalah itu, ia taruhkan pada tepi risalah itu, pada awalnya, bahawasanya ia karangan Sheikh Daud. Padahal risalah itu bukannya daripada karangan Sheikh Daud; seperti barang yang diketahui daripada memperiksakan segala ibaratnya dan loghatnya ...” (Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar, cetakan 1331 H, hlm. 28-29).

Dengan kenyataan itu, jelas bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan seorang ulama yang rajin membuat penyelidikan terhadap sesuatu karya sehingga dapat mengenal pasti bahawa gaya bahasa yang digunakan dalam risalah kecil yang membicarakan sifat 20 bukanlah milik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Kita perhatikan pada kitab Syarah Hikam Melayu, beliau dapat mengenal karya tersebut berasal dari daerah mana. Kepakaran Sheikh Ahmad al-Fathani pada konteks ini bukan hanya mengenali gaya bahasa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani saja, tetapi semua gaya bahasa ulama yang kitabnya pernah ditashhihkannya. Ini termasuklah ulama-ulama yang mengarang kitab dalam bahasa Arab, baik ulama yang berasal dari alam Melayu mahupun bukan.

Adalah suatu penyelidikan yang keliru oleh beberapa penulis yang mengatakan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggalkan karya lebih kurang 16 buah saja. Menurut kajian penulis sendiri, barangkali boleh ditambah ‘0’ di belakangnya, bererti menjadi 160. Bahkan lebih banyak daripada yang tersebut itu.
Karya Sheikh Ahmad al-Fathani terbahagi kepada tiga bentuk iaitu:
A. Tulisan dalam bahasa Arab
B. Tulisan dalam bahasa Melayu
C. Kitab-kitab yang ditashhihnya termasuk beberapa bahasa daerah disesuaikannya dengan bahasa Melayu yang berlaku menurut zamannya. Kitab-kitab yang ditashhihnya terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.
Jumlah karya Syeikh Ahmad al-Fathani sebenarnya tidak diketahui kerana sebahagian besar koleksi manuskrip karya beliau atau orang lain yang dipindahkan dari Mekah ke Jambu, Patani oleh anaknya Kadi Haji Wan Ismail Al-Fathani telah musnah dalam Sungai Jambu dalam tahun 1970.

Beberapa naskhah pula diambil oleh beberapa orang yang tinggal di rumah beliau di Mekah yang kemudiannya membawa pulang ke tempat asal mereka. Manuskrip yang dapat diselamatkan hanyalah sebahagian kecil. Itu pun yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Mahmud dari rumah Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah ke Gajah Mati, Pendang, Kedah. Ada juga yang dibawa ke Kepulauan Riau oleh anak beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab.
Seluruh karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang telah diperolehi ataupun maklumat tentangnya yang telah diketahui akan dibicarakan dalam artikel ini. Karya yang ditulisnya dalam bahasa Arab diusahakannya sejak umurnya masih muda belia, ketika ia masih belajar di Baitulmaqdis dan Mesir.
Selanjutnya setelah pulang ke Mekah baru beliau menulis dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun karyanya yang pertama yang ditulis ketika berusia 15 tahun ditulis dalam bahasa Melayu.
 
Karya
Berikut adalah sebahagian senarai karya-karyanya yang diketahui ditulis dalam bahasa Arab:

lJumanatut Tauhid, tahun 1293 H/1876 M di Mesir. Disalin semula pada malam Ahad, pukul 8.12, pada 27 Ramadan 1312 H/24 Mac 1895 M. Ditemui hanya dua salinan selain yang disebut itu, sebuah salinan milik anak beliau Kadi Wan Ismail al-Fathani dan sebuah lagi milik anak saudara sepupu pengarang, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Qadir Senawi al-Fathani.
Jumanat al-Tauhid ditulis dalam bentuk puisi terdiri daripada 184 bait. Pada halaman muka Sheikh Ahmad al-Fathani menegaskan bahawa beliau bermazhab Syafie dalam fiqh, Ahli Sunnah wal Jamaah (Al-Asy’ariyah dan al-Maturidiyah) dalam akiidah, dan bertarekat dengan Tarekat Syathariyah dalam tasauf.

lMunjiatul ‘Awam li Manhajil Huda minazh Zhalam, diselesaikan penulisannya pada malam Jumaat, selepas sembahyang Isyak, 12 Rabiulawal 1293 H/7 April 1876 M di Mesir. Hanya dijumpai sebuah manuskrip salinan Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani, Gajah Mati, Kedah.
Risalah ini juga dalam bentuk puisi Arab, yang terdiri dari 102 bait, dua rangkap-dua rangkap. Kandungannya juga mengenai akidah tetapi beberapa perbicaraannya adalah berbeza dengan Jumanat al-Tauhid.

lAts-Tsimarusy Syahiyah fi ma la Yastaghnal Mubtadi-una ‘anhu min Masa-ilin Nahwiyah, diselesaikan di Mesir. Tanpa dinyatakan tarikh pada manuskrip, tetapi pada manuskrip milik Abdul Lathif bin Zainal Abidin al-Fathani. Tarikh pada halaman muka dinyatakan 1294 H/1877 M.
Risalah ini yang berupa cetakan pernah dikembarkan dengan cetakan Abniyatul Asma’ wal Af’al dan Ar-Risalatul Fathaniyah. Semua cetakan dilakukan di Patani dan di Kelantan tetapi Abniyatul Asma’ wal Af’al dan Ar-Risalatul Fathaniyah dicetak di Timur Tengah dan risalah ini tidak tercantum. Risalah nahwu tersebut ditulis dalam bentuk puisi terdiri dari 99 bait.

lSyarhuts Tsimarusy Syahiyah, tidak sempat diselesaikan. Dijumpai hanya satu manuskrip asli pada 26 Jamadilawal 1425 H/14 Julai 2004 M di rumah sepupu beliau, Sheikh Wan Ibrahim bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani.

lManzhumatul ‘Awamil, selesai ditulis pada Jumaat, 19 Syaaban 1296 H/8 Ogos 1879 M. Hanya diperolehi sebuah manuskrip asli saja. Kitab ini mengenai ilmu nahu yang terdiri dari 69 bait. Risalah ini adalah usaha Sheikh Ahmad al-Fathani merubah karya Sheikh Abdul Qahir al-Jurjani (wafat 471 H) daripada bentuk prosa kepada bentuk puisi.

l‘Unqudul La-ali, selesai ditulis pada Selasa, 23 Syaaban 1296 H/12 Ogos 1879 M. Hanya diperolehi satu manuskrip asli saja. Juga mengenai ilmu nahu digubah dalam bentuk puisi yang terdiri daripada 98 bait.
lTas-hilu Nailil Amani, tahun 1300 H/1882 M di Mekah. Tashilu Nailil Amani atau dengan judul lain Tasrihul Ghawanil fi Syarhil ‘Awamil, selesai ditulis bertepatan dengan azan zuhur, 12 Rabiulawal 1300 H/21 Januari 1883 M. Cetakan pertama diusahakan oleh Mathba’ah al-Bahiyah, Mesir, 1301 H/1883 M manakala cetakan ketiga pula oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 H/1899 M.
Termasuk juga cetakan mutawal oleh Dar al-Kutub al-‘Arabiyah al-Kubra, Mesir, 1325 H/1907 M. Ada lagi cetakan pertama untuk Mathba’ah al-Khairiyah, Mesir pada 1331 H/1912 M. Sejak cetakan pertamanya pada tahun 1301 H/1883 M sehingga kini, kitab tersebut masih dicetak terus oleh pelbagai percetakan termasuk beberapa percetakan di Surabaya, Bandung, Singapura, Pulau Pinang, Patani, Bangkok, dan lain-lain.
Kitab nahwu karya Sheikh Ahmad al-Fathani ini masih dijadikan bahan mengajar di beberapa tempat di dunia Islam.

lSyarh Matnis Sakhawi, diselesaikan penulisannya dalam tahun 1304 H/1886 M. Hanya diperolehi sebuah naskhah asli. Kitab ini membicarakan ilmu matematik.
lSyarh Wasilatith Thullab li Ma’rifati A’malil Laili wan Nahar, diselesaikan penulisannya dalam tahun 1305 H/1887 M. Hanya diperolehi sebuah manuskrip yang membicarakan ilmu falak.

lSabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam, diselesaikan penulisannya pada Jumaat, 9 Jamadilawal 1306 H/12 Januari 1889 M di Mekah. Ditemui tiga manuskrip, sebuah yang asli, bertulis tangan, sebuah salinan Tuan Guru Haji Abdul Qadir Senawi tetapi salinan ini telah hilang di Kota Bharu, Kelantan dalam tahun 1391 H/1971 M. Terdapat sebuah lagi salinan Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani, tetapi tidak sempat diselesaikan penyalinannya.
Diriwayatkan bahawa kitab ini pernah dicetak di Mekah dan diajar oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Masjidil Haram. Kitab syarah mengenai tauhid itu adalah syarah karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sheikh Ahmad al-Fathani mensyarahkannya atas perintah gurunya itu.
lAl-Ibrizush Shirfi fi Fannish Sharfi, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 4 Jamadilawal 1308 H/16 Disember 1890 M. Manuskrip asli bertulis tangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ditemui dua buah dan yang sebuah lagi disalin dalam tahun 1310 H/1892 M. Terdapat pula sebuah salinan yang diusahakan oleh Abdul Hamid Tungkal dan kerja-kerja penyalinan dilakukan di Gajah Mati, Pendang, Kedah.
Kitab ini hanya sekali dicetak yang dilakukan oleh The United Press, Pulau Pinang atau usaha saudara sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu Sheikh Ibrahim/Pak Cu Him Kedah. Kitab yang membicarakan ilmu sharaf ini mempunyai catatan yang panjang, sehingga catatannya lebih panjang daripada kandungannya sendiri.

lGhayatul Idrak fil ‘Amal bi Kuratil Aflak, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 7 Rejab 1313 H/24 Disember 1895 M. Terdapat dua manuskrip asli tulisan tangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

l‘Ilmush Sharf, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 21 Syaaban 1317 H/25 Disember 1899 M. Hanya ditemui salinan yang dibuat oleh anak beliau, iaitu Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani, yang diselesaikan penulisannya pada Jamadilawal /Jamadil Akhir 1318 H/September/Oktober 1900 M.
Pada mulanya manuskrip ini dibuang ke Sungai Jambu tetapi dapat diselamatkan oleh ahli waris Sheikh Ahmad al-Fathani. Kejadian tersebut terjadi dalam tahun 1970. Kitab mengenai sharaf ini ditulis dalam bahasa Arab dan disertakan maksudnya dalam bahasa Melayu.
lAbniyatul Asma’ wal Af’al. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli. Beberapa percetakan di Patani, Kelantan dan Bangkok sentiasa menggabungkan karya beliau itu dengan Ar-Risalatul Fathaniyah. Semua cetakan tersebut terdapat taqrirat, saudara sepupu beliau, iaitu Sheikh Ismail/Pak De El bin Sheikh Abdul Qadir al-Fathani, sedangkan pada manuskrip tidak ada.
lMatnu Dhammin wa Madkhal, ditemui sebuah manuskrip yang asli dan jauh lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Manuskrip tersebut tidak menyertakan ertinya dalam bahasa Melayu sedang yang pernah diterbitkan setiap perkataan Arab disusuli ertinya dalam bahasa Melayu.
Selain itu ditemui sebuah ‘contoh’ naskhah untuk cetakan pertama yang merupakan pembacaan pruf yang disemak oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri yang dipenuhi dengan catatan-catatan pembetulan. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Al-Ahmadiah Press, Singapura dengan meletakkan nama Muhammad Shiddiq, Sapat, Inderagiri sebagai pengarangnya dan ini menimbulkan suatu kekeliruan.
Edisi cetakan kitab ini sangat banyak, sama ada cetakan di Timur Tengah maupun di Asia Tenggara tetapi semuanya tidak mencantumkan nama Sheikh Ahmad al-Fathani selaku pengarangnya.
lAr-Risalatul Fathaniyah. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli. Cetakan-cetakannya sama seperti keterangan di atas. Kedua-dua risalah yang berbentuk matan itu masih diajarkan di beberapa buah pondok di Kelantan, Kedah, Patani, Bangkok dan Burma.
Terdapat dua syarah kitab ini, sebuah syarah oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri, tidak sempat diselesaikan. Sebuah lagi berjudul Ibanatul I’rabiyah fi Syarh Ar-Risalatul Fathaniyah oleh Haji Abdul Qadir Senawi.

lSyarh Matnir Risalatil Fathaniyah, tidak sempat diselesaikan. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli pada 26 Jamadilawal 1425 H/14 Julai 2004 M di rumah sepupu beliau, Sheikh Wan Ibrahim bin Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani. Manuskrip itu dalam keadaan rosak.
lTadrijush Shibyan, tanpa catatan tahun. Dijumpai hanya sebuah manuskrip asli. Kandungannya membicarakan ilmu balaghah. Risalah ini dulunya pernah dicetak di Makkah dan Mesir.

lIlmu Isti’arah, dinamakan juga Matnul Bayan, tanpa catatan tarikh. Dijumpai tiga buah manuskrip asli. Dua buah dilengkapi dengan catatan yang panjang dan sebuah tanpa catatan. Selain itu dijumpai lagi tiga naskhah salinan, yang dilakukan oleh anak beliau Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani, Haji Abdul Qadir Senawi al-Fathani dan naskhah salinan Haji Mahmud bin Yusuf Juani. Cetakan risalah ini yang dijumpai adalah cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, dalam tahun 1325 H/1907 M yang digabungkan dengan Janiyatuts Tsmarat karya Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.
Judul yang diberikan pada cetakan ini ialah Risalah Tata’allaqu bi ‘Ilmil Isti’arat. Dicetak pula di bahagian tepi kitab Syarhu Tadrijis Shibyan ila Tasywiqil Bayan karya Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.
Dicetak oleh Mathba’ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah, dalam tahun 1332 H/1913 M, judul yang diberikan pada cetakan ini ialah Matnul Bayan. Dicetak pula oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.
Disebut pada kulit muka, “Cetakan kali yang pertama ini dengan belanja Haji Wan Ismail anak mualif….” Dinyatakan bahawa naskhah tersebut ditashhih-kan oleh murid beliau, ialah Al-Fadhil Al-Haji Awang (Yusuf) Kenali atau maksudnya adalah Tok Kenali. Di halaman belakang naskhah tersebut dinyatakan selesai dicetak pada 19 Jamadilawal 1349 H/11 Oktober 1930 M. Pada cetakan ini digunakan judul Ar-Risalatu Tata’allaqu biha ‘Ilmul Isti’arah.

lJadwal Mawaqi, tanpa tahun. Hanya ditemui sebuah manuskrip asli.

lFaidah Buruj Itsna ‘Asyara, tanpa catatan tahun. Hanya ditemui sebuah manuskrip asli.

lMishbahul Ghulam, belum diketemui.

lKhawashu Asmail Husna, tanpa ada catatan tarikh. Hanya ditemui sebuah manuskrip asli.

lManzhumatut Tauhid wal Fiqh wat Tashawul. Hanya ditemui sebuah manuskrip tetapi tidak lengkap. Ditulis dalam bentuk puisi.

lIlmu Fiqh Islami, tanpa catatan tahun.
lIlmu Tasauf, tanpa catatan tahun.

lSyarah Syarwani, tanpa catatan tahun. Belum pernah penulis lihat, tetapi diketahui berdasarkan cerita Ustaz Haji Abdur Rahman bin Abdul Qadir al-Fathani (di Mekah 1979). Kitab tersebut adalah antara kitab bekas koleksi Sheikh Ahmad al-Fathani yang dibuang ke Sungai Jambu dalam tahun 1970. Ustaz Haji Abdur Rahman al-Fathani yang kebetulan berdiri di tepi sungai tersebut dapat menyelamatkan kitab Syarah Syarwani daripada musnah dan kini ada dalam simpanan beliau.

lAl-Fatawal Fathaniyah, tanpa ada catatan tarikh. Hanya ditemui sebuah manuskrip tetapi tidak lengkap. Al-Fatawal Fathaniyah boleh ditemui dalam dua bahasa, iaitu bahasa Arab dan bahasa Melayu. Karya yang ditulis dalam bahasa Arab adalah kumpulan pertanyaan dan jawapan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu pertanyaan yang datang dari seluruh dunia Islam sedang pertanyaan yang dalam bahasa Melayu datang dari dunia Melayu saja.

lAs-Siyasatu wat Tadbir, ditemui manuskrip yang tidak lengkap. Kitab ini penting kerana membicarakan perkara-perkara politik dan pentadbiran zaman pemerintahan Melayu dan Islam.
lAl-Lam’atun Nuraniyah wan Nafahatul Miskiyah, hanya ditemui halaman pertama saja, di Menara, Patani, pada Oktober 1992. Kandungan kitab ini ialah mengenai sejarah Nabi Muhammad SAW.
 
SUMBER:

Karya bahasa Melayu Sheikh Ahmad al-Fathani

Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah
PENULIS masih lagi membicarakan mengenai karya-karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Sebelumnya penulis menyebut bahawa karya-karya beliau dibahagikan kepada tiga.

Bentuk pertama iaitu tulisan-tulisan beliau dalam bahasa Arab telah dibicarakan. Maka dilanjutkan pula tentang bentuk-bentuk lainnya, iaitu:

1.
Tulisan dalam bahasa Melayu

2. Kitab-kitab yang ditashhihnya, terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.


Tulisan dalam Bahasa Melayu

1.
Nazham Nuril Anam, diselesaikan penulisannya pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 November 1870 M. Hanya terdapat sebuah salinan yang lengkap, disimpan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (MS 764). Salinan yang lain, iaitu hanya petikan beberapa bait akhirnya, diusahakan oleh Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani (Tok Kelaba). Salinan Tok Kelaba ada dalam simpanan penulis. Puisi yang terdiri daripada lebih 500 bait beliau selesaikan penulisannya dalam usia lebih kurang 15 tahun.

2.
Puisi Pada Kitab Hidayatus Salikin, ditulis dalam tahun 1298 H/1880 M. Terdapat pada semua edisi cetakan Hidayatus Salikin (edisi Timur Tengah), tetapi tidak terdapat pada edisi Bombay. Puisi ini terdiri daripada 21 bait, terletak di halaman akhir kitab itu. Pada halaman muka terdapat lagi tujuh bait, juga dalam bahasa Melayu.

3.
Puisi Pada Kitab Furu’ ul Masail, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M, terdiri daripada 13 bait. Terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab tersebut.

4.
Puisi Pada Kitab Syarah Hikam Melayu, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M. Terdapat pada semua cetakan kitab tersebut, tetapi yang menjelaskan bahawa puisi tersebut dicipta oleh Sheikh Ahmad al-Fathani hanya terdapat pada cetakan kedua oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, dalam tahun 1330 H/1912 M. Puisi tersebut terdiri daripada lapan bait.

5.
Puisi Pada Kitab Kasyful Litsam, terdapat hanya sebuah manuskrip dan dicetak di kitab tersebut. Tetapi pada cetakan yang ada tidak menyebut nama penggubah puisinya. Malah ada yang keliru kerana ditulis nama Sheikh Muhammad Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al- Fathani pada kitab tersebut. Puisi tersebut terdiri daripada 19 bait. Puisi digubah tahun 1301 H/1884 di Mekah.

6.
Luqthah al-‘Ajlan mimma Tamassa ilaihi Hajatul Insan, diselesaikan penulisannya pada waktu Zuhur, hari Selasa, 22 Ramadan 1301 H/16 Julai1884 M di Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab ini diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, hanya ditemui beberapa lembar sahaja. Cetakan ketiga diusahakan oleh percetakan yang sama, dalam tahun 1330 H/1911 M. Selain itu terdapat edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang dan edisi-edisi cetakan di Patani.

7.
Puisi Pada Kitab Bidayatul Hidayah. Puisi yang terdiri dari 9 bait ketika beliau mentashhih karya ulama Aceh itu hanya terdapat pada cetakan-cetakan mutawal saja. Seiringan dengan puisi pada bahagian tepi kitab tersebut terdapat taqrir Sheikh Ahmad al-Fathani yang boleh dianggap sebagai suatu karya dan pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani juga, tahun 1303 H/1886 M di Mekah.

8.
Tarikh Turki ‘Utsmani, diselesaikan penulisannya pada hari Isnin,18 Syawal 1303 H/20 Julai 1886 M di Mekah.

9.
Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, diselesaikan penulisannya pada malam Ahad, 14 Rabiulakhir 1304 H/10 Januari 1887 M. Hanya ditemui cetakan The United Press,

10.
‘Idul Juman fi ‘qaidil Iman, diselesaikan penulisannya pada 6 Muharam 1306 H/13 September 1888 M. Cetakan pertama kitab tersebut diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 H/1899 M dan terdapat beberapa edisi lainnya. Pada masa sekarang kitab ini tidak beredar lagi.

11.
Sa’adatul Mutanabbih fil Maut wa ma Yata’allaqubih, diselesaikan penulisannya, pada 29 Rejab 1306 H/1 April 1889 M di Mekah. Ditemui sebuah manuskrip asli tetapi tidak berjudul. Judul ini diberikan oleh Haji Wan Ismail bin Hawan (menantu cucu kepada Sheikh Ahmad al-Fathani) sewaktu kitab tersebut akan dicetak.

Cetakan pertama kitab tersebut atas usaha Haji Wan Ismail di Muslim Press, Patani, tanpa catatan tarikh cetakan. Pada cetakan tersebut terdapat kata pengantar daripada Haji Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili al-Indunisiyi, guru yang mengajar di Masjidil Haram Mekah.

12.
Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 19 Rabiulakhir 1307 H/13 Disember 1889 M. Cetakan mutawal yang telah ditemui oleh Math-ba’ah al-Miriyah, Mekah, dalam tahun 1309 H/ 1891 M.

Selain itu terdapat lagi kitab yang edisi cetakan Saudara Press, Patani, dalam tahun 1377 H/1957 M atas usaha anak beliau Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani.

13.
Hadiqatul Azhar war Rayahin, diselesaikan penulisannya pada hari Sabtu, 15 Syaaban 1307 H/6 April 1890 M. Cetakan pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, tahun 1307 H/1890 M dan 1321 H/1903 M. Cetakan keempat diusahakan oleh Persama Press, Pulau Pinang, tahun 1377 H/1958 M, dan terdapat beberapa edisi cetakan lainnya termasuk cetakan di Istanbul.

14.
Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin, diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 13 Rabiulakhir 1310 H/4 November 1892 M, di Mekah. Cetakan pertama dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1310 H/1892 M.

Cetakan ketujuh kitab tersebut dilakukan oleh Patani Press dalam tahun 1385 H. Kitab ini masih digunakan sebagai bahan mengajar.

15.
Tuhfatul Ummah ‘ala Nabiyiha Nabiyur ar-Rahmah, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 5 Syawal 1310 H/22 April 1893 M.

16. Kumpulan Doa, tahun 1311 H/1894 M.

17. T
haiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 3 Zulhijjah 1312 H/28 Mei 1895 M di Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, dalam tahun 1313 H/1895 M dan 1332 H/1913 M. Selain itu terdapat lagi edisi yang dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang.

18.
Faridatul Faraid fi ‘Ilmil Aqaid, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 12 Rabiulawal 1313 H/2 September 1895 M di Mekah. Cetakan pertama diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1313 H/1895 M dan cetakan ketiga tahun 1317 H/1899 M.

Pada Rabiulawal 1325 H/April/Mei 1907 M percetakan yang sama mencetaknya lagi tetapi tidak menyebut cetakan yang keberapa. Semua cetakan itu dilakukan ketika pengarangnya Sheikh Ahmad al- Fathani masih hidup.

19.
‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanul Falah, sesudah Asar, hari Jumaat, 7 Syawal 1319 H/16 Januari 1902 M di Mekah.

20.
‘Aqidatu Ushuliddin, tahun 1321 H/1904 M di Mekah.

21.
Mir-atul A’ajib fi Jawabi Sualil Majazib, tahun 1324 H/ 1906 M di Mekah.

22.
Puisi Shufi, diselesaikan penulisannya sesudah kitab nombor 21 di atas, iaitu dalam tahun 1324 H/1906 M. Puisi tersebut terdiri daripada 28 bait.

23.
An-Nurul Mubin

24.
Sejarah Lampung Pecah.

25.
Al-Fatawal Fathaniyah, tanpa catatan tarikh. Hendaklah diperhatikan bahawa Al-Fatawal Fathaniyah ini berbeza dengan Al-Fatawal Fathaniyah yang beliau tulis dalam bahasa Arab.

Cetakan pertama kitab ini dilakukan oleh Printing Company pada tahun 1331 H/1913 M dan tidak berapa lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Cetakan pertama yang lebih lengkap yang diusahakan oleh anak pengarangnya, Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani dicetak oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, pada tahun 1354 H/1935 M. Cetakan yang ketiga oleh Patani Press dalam tahun 1377 H/1957 M tersebut adalah yang paling lengkap.

Berdasarkan ‘Pendahuluan’ Kadi Haji Ismail al-Fathani pada cetakan kedua oleh Patani Press, menyebut bahawa cetakan di Kota Bharu, Kelantan juga dari cetakan yang pertama hingga ketiga, hanya memuat separuh ‘jawapan’ Sheikh Ahmad al-Fathani sahaja.

Sebenarnya cetakan terakhir kitab tersebut oleh Patani Press, juga belum lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani yang saya temui setelah Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani meninggal dunia (1958) masih banyak dan belum dimuat dalam kitab itu.

26.
Fatwa Puasa Dengan Hisab Taqwim Dan Ru’yah, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

27.
Sejarah Patani Melawan Siam atau dengan judul yang lain Fadhilah Ahmad Fathani, belum ditemui sehingga sekarang. Judul ini diketahui hanya berdasarkan cerita yang mutawatir.

28.
Puisi Pada Kitab Ad-Durrits Tsamin. Puisi pada kitab tersebut terdiri daripada 10 bait, terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab itu.

29. Puisi Pada Kitab Zahrah al-Murid, terdiri daripada 13 bait.

30.
Puisi Pada Kitab Sabil al-Muhtadin, iaitu selain puisi berbahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri dari 28 bait.
31. Puisi Pada Kitab Al-Jauharil Mauhub,
selain puisi dalam bahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri daripada 14 bait.

32.
Puisi Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan, selain puisi dalam bahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri daripada 10 bait.

33.
Nazham Fikir Pelita Hati, ditemui manuskrip salinan Tok Kelaba. Cetakannya ditemui dalam dua karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, iaitu Nurul Abshar dan sebuah lagi karya tashihan, iaitu Miftahul Murid, cetakan pertama Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1330 H. Puisi tersebut terdiri daripada sembilan bait.

34. D
aftar Cakap Melayu, iaitu daftar perkataan-perkataan Melayu yang dimulai dari huruf Alif hingga huruf Ya. Hanya ditemui sebuah salinan Tok Kelaba, tetapi tidak lengkap. Tok Kelaba al-Fathani selesai menyalinnya pada tahun 1354 H/1935 M.

35. Dan lain-lain.
Kitab-kitab yang ditashhih

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah orang pertama menjadi pentashhih sama ada kitab berbahasa Arab, mahupun kitab berbahasa Melayu.
Istilah tashhih untuk pemeriksaan kitab diperkenalkan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam tahun 1288 H/1871 M. Hingga ke hari ini istilah itu masih dipakai di seluruh dunia. Ini bererti kata tashhih adalah ciptaan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani berasal dari kata Arab.

Di bawah ini penulis senaraikan kitab-kitab yang ditashhih Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu beliau baca kitab tersebut secara keseluruhan dari halaman awal hingga akhir, sama ada yang bahasa Arab mahupun yang bahasa Melayu.
Kitab-kitab yang terdapat kesilapan atau kurang tepat menurut jalan bahasa, maka beliau tambah, menghilangkan kalimat yang kurang sempurna mahupun mengubah dan memberi komentar.

Bagi yang berbahasa Melayu, apabila terdapat kata-kata yang tidak popular pada zaman itu, maka kata-kata tersebut beliau hilangkan.

Seumpama karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang mencantumkan bahasa Patani, karangan ulama Banjar yang mencantumkan bahasa Banjar dan lain-lain daerah, maka beliau ganti dengan bahasa Melayu yang berlaku di tanah Jawi/Asia Tenggara pada zaman itu.

Menurut istilah Sheikh Ahmad al-Fathani ialah
‘Bahasa Tengah’. Pekerjaan tashhih juga dikerjakan dalam dua perkara iaitu;

A. Kitab-Kitab bahasa Arab, dan

B. Kitab-Kitab bahasa Melayu. 
Pendahuluan
Perbicaraan kali ini masih berkisar kepada penulisan manuskrip ulama Asia Tenggara yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Perbicaraan mengenainya juga secara tidak langsung merupakan kesimpulan daripada ulama-ulama yang telah diperkenalkan dalam ruangan ini sejak tahun 2005.
Adapun peringkat-peringkat penulisan tersebut penulis membahagikannya kepada 10 peringkat. Sebelumnya telah dibicarakan peringkat pertama hingga keenam, maka diteruskan pula dalam ruangan ini peringkat selanjutnya hingga peringkat yang terakhir.

Peringkat ketujuh
Peringkat Ketujuh ini dimulai dengan kemunculan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, yang sebenarnya penulisan beliau dimulai dalam lingkungan Peringkat Keenam lagi. Kemunculan beliau mendahului beberapa orang gurunya kerana beliau mula menulis sejak berusia 15 tahun.
Karyanya yang pertama dapat dimasukkan dalam kategori peringkat keenam, ditulis dalam bentuk nazam berjudul Nazam Nur al-Anam, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Manuskrip nazam tersebut hanya ada sebuah yang lengkap, yang dimiliki oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) nombor kelas MS 764. Manuskrip yang tidak lengkap adalah salinan Tok Kelaba yang ada dalam simpanan penulis.
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menulis bukan dalam bahasa Melayu sahaja, tetapi juga dalam bahasa Arab. Jumlah semua karya beliau ialah 183 judul.
Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau juga menghasilkan beberapa karya di antaranya ialah Mawahib al-Makkiyah, diselesaikan tahun 1296 H/1879 M.
Dua manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia (MIPIM) dan dua buah manuskrip pula tersimpan di PMMPNM. Dua edisi cetakan judul ini telah ditemui, sebuah edisi cetakan Mekah dan sebuah cetakan Bombay, kedua-dua edisi itu ditashih oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Karya beliau yang membicarakan tentang batu permata diberi judul Raudh al-Zawahir, hanya sebuah manuskrip saja judul ini yang telah dijumpai, iaitu tersimpan di MIPIM.
Mengenai perbicaraan nasab Nabi Muhammad SAW beliau susun kitab berjudul Ad-Durr al-Munazhzham, diselesaikan tahun 1312 H/1894 M. Judul ini pernah diterbitkan. Beberapa karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dianggap nadir yang ada dalam simpanan penulis ialah Fatwa Jawab Soal Zakat, Fatwa Zikir Roh dan lain-lain.
Keseluruhan karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dalam senarai penulis adalah 12 judul.
Saudara sepupu Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, seorang ulama yang sangat terkenal ialah Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, juga menghasilkan beberapa karya.
Ulama besar yang berasal dari Patani pada peringkat ini pula ialah Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, digelar dengan Tuan Minal.
Semua yang tersebut pernah diterbitkan berupa cetakan dan masih beredar di pasaran kitab. Adapun yang berupa manuskrip ialah Risalat Sembahyang Jum’at, nombor kelas MS 111 dan Tahqiq al-Kalam, nombor kelas MS 167, kedua-duanya adalah koleksi PMMPNM. Keseluruhan karya Tuan Minal yang ada dalam senarai penulis adalah lapan judul.
Peringkat murid ulama-ulama Patani tersebut yang banyak menghasilkan karangan di antaranya ialah Tok Kelaba. Mengenai karyanya dapat dirujuk kepada Jurnal Filologi Melayu jilid 2, 1993, hlm. 47-54.
Sahabat Tok Kelaba al-Fathani yang juga menghasilkan beberapa judul karya, yang telah dijumpai ada lima judul, di antaranya: Minhaj al-Qawim Pada Menyatakan Hisab dan Taqwim, diselesaikan tahun 1310 H/1892 M. Karya terakhir yang telah dijumpai ialah Al-Futuhat al-Ilahiyah, diselesaikan tahun 1317 H/1899 M.
Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang pernah menjadi Sheikh al-Islam Selangor termasuk ulama Patani yang banyak menghasilkan karya, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu.
Keseluruhan karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang ada dalam senarai penulis adalah 10 judul.
Ulama yang berasal dari Kelantan yang mewakili peringkat ketujuh ini ialah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Beliau adalah saudara ipar kepada Tuan Tabal, juga guru dan ayah saudara kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Sheikh Wan Ali Kutan menghasilkan beberapa buah karya, yang terawal ialah Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, yang merupakan syarah Matn Lubab al-Hadits karya Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi yang terkenal, diselesaikan tahun 1306 H/1888 M, dan karya yang terakhir ialah Majma’ al-Qashaid wa al-‘Awaid, diselesaikan tahun 1320 H/1902 M. Keseluruhan karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani yang ada dalam senarai penulis adalah tujuh judul.
Ulama yang berasal dari Aceh dalam peringkat ketujuh ialah Sheikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi.
Keseluruhan karya beliau yang ada dalam senarai penulis adalah empat judul.
Ulama yang berasal dari Palembang pula ialah Sheikh Fakhruddin. Karya beliau ialah Syarh Fath ar-Rahman diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H. Salah sebuah manuskrip judul ini ditemui di Pontianak, Kalimantan Barat, penulis telah serahkan kepada PMMPNM, dengan nombor kelas MS 1731.
Ulama Palembang yang lain ialah Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani. Di antara karya yang dihasilkan ialah ‘Aqaid al-Iman, diselesaikan tahun 1309 H/1891 H. Sebenarnya ada sebuah karya beliau yang tahunnya jauh lebih awal iaitu ‘Athiyat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M.
Namun, oleh sebab tahun 1259 H/1843 M yang dinyatakan dalam cetakan itu sangat jauh jaraknya dengan karya-karyanya yang lain, maka sangat diragui tentang kesahihannya.
Karya Sheikh Muhammad Azhari Palembang yang terakhir ialah Bidayat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1324 H/ 1906 M.
Ulama yang berasal dari Minangkabau ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi. Beliau menghasilkan karya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.
Ulama yang berasal dari Riau-Lingga ialah Sheikh Muhammad bin Muhammad Yunus Lingga, digelar dengan Qus bahasa Melayu pada zamannya. Karya yang pernah dihasilkan adalah empat judul. Dua judul di antaranya yang terawal ialah Daqaiq al-Akhbar, diselesaikan pada 20 Muharam 1312 H/1893 M, Nashihat Ahl al-Wafa, diselesaikan pada 11 Syawal 1312 H/1894 M, dan yang terakhir ialah Hadiqat ar-Raihan, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M.
Ulama yang berasal dari Pontianak ialah Sheikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani. Karya terawal ialah Taj al-‘Arus, diselesaikan tahun 1304 H/1886 M. Karya terakhir tiga judul yang diselesaikan dalam tahun 1324 H/1906 M ialah: Irsyad al-‘Ibad, Nur al-Anwar, dan Fath al-Mutafakkirin.
Keseluruhan karya beliau lagi ialah Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, yang menghasilkan tiga karya, iaitu: Bab al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1316 H/1898 M, Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1319 H/1901 M, dan Nuz-hat ath Tharaf, diselesaikan tahun 1321 H/1903 M.
Peringkat kelapan
Peringkat Kelapan dimulai dengan keterlibatan ulama-ulama serta tokoh-tokoh dunia Melayu menyalurkan pemikirannya dalam penulisan majalah-majalah yang mereka asaskan. Mengenai ini bermula dengan majalah Al-Imam di Singapura mulai terbit 1 Jamadilakhir 1324 H/Julai 1906 M. Mudir yang pertama ialah Sheikh Muhammad al-Kalali.
Pada keluaran berikutnya Rejab 1324 H/Ogos 1906 M, dinyatakan nama pengarangnya Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Diikuti majalah Al-Munir oleh ulama-ulama Minangkabau. Terbitan pertama majalah Al-Munir di Padang pada 11 April 1911 M. Majalah yang paling lama dapat bertahan ialah majalah Pengasuh, diterbitkan oleh Majlis Ugama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, bermula bulan 11 Julai 1918 M hingga sekarang.
Ketua pengarang majalah Pengasuh yang pertama ialah Tok Kenali. Beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang Pengasuh mulai keluaran pertama hingga bilangan 32, tahun kedua 9 Oktober 1919 M. Selain menulis dalam majalah, ulama-ulama pada peringkat kelapan ini juga menulis risalah-risalah agama Islam.

Peringkat kesembilan
Penulisan abad ke 20-21 M, pada abad ini tradisi penulisan mengalami perubahan besar disebabkan berbagai-bagai masalah. Terutamanya menggunakan tulisan Melayu/Jawi, digunakan juga tulisan Rumi/Latin.
Peringkat kelapan bolehlah kita anggap dimulakan menjelang Indonesia merdeka (1945), iaitu sesudah perang dunia yang kedua, hingga sekarang ini. Tokoh ulama yang muncul sebagai penulis pada peringkat kesembilan ini sangat ramai dan karya yang dihasilkan sangat banyak dalam berbagai-bagai disiplin keilmuan.
Di antara mereka seumpama Prof. Dr. Hamka, Prof. Dr. M. Hasbi Ash-Shidqi, Haji Abu Bakar Aceh, dan ramai lagi.
Mengenai mereka dan karya-karya yang demikian banyak belum dibicarakan dalam artikel yang ringkas ini.

Peringkat kesepuluh
Peringkat Kesepuluh ini adalah melibatkan kerja-kerja penulis yang berusaha mengumpul dan mendokumentasikan seluruh aktiviti ulama-ulama dunia Melayu dari Peringkat pertama hingga ke peringkat kesembilan.
Hasil kajian tersebut bertujuan disebarkan kepada masyarakat dalam berbagai-bagai bentuk dan coraknya, mulai dengan keklasikkan keasliannya hingga dalam bentuk perkembangan moden sekarang ini.
Penulisan pertama penulis bermula tahun 1390an Hijrah/1970-an Masihi, lebih kurang 100 tahun setelah kebangkitan perjuangan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (Peringkat Ketujuh).
Semua program mengenai ini sudah disusun sejak lama, tetapi pada awal perjuangan pelaksanaan tersekat-sekat kerana belum mendapat tajaan yang padu dan mantap yang saling mengerti ke arah yang dicita-citakan.
Sangat banyak rintangan yang ditempuh, kesabaran dan tawakal dijadikan modal yang paling utama untuk hasil yang dimaksudkan. Walau bagaimana pun mulai tahun 1990, sekelian rintangan nampaknya telah sirna. Hingga kini (2006 M) semua usaha berjalan lancar, telah banyak buku mengenai penyelidikan dapat diperkenalkan.
Penulis menghasilkan ratusan judul karya dalam pelbagai koleksi, antaranya adalah koleksi Transliterasi Kitab, koleksi kertas kerja ulama, koleksi Pengenalan Bersiri, koleksi Biografi Ulama Asia Tenggara, koleksi Kitab Arab dan Melayu/Jawi, koleksi Kitab Wakaf, koleksi surat dan pelbagai dokumen, koleksi Artifak Warqah, maklumat berupa manuskrip, gambar dan lain-lain.
Koleksi karya ilmiah adalah artikel dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Dian, Dewan Budaya, Dakwah, Al-Islam, dan Kiblat. Namun, untuk judul-judul penuhnya tidak dapat disebutkan selengkapnya dalam ruangan yang terbatas ini.