ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948



Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948
    
Malayan Union yang dibentuk secara rasminya pada 1 April 1946  merupakan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat yang tidak termasuk Singapura, menjadikan 11 negeri semuanya, di bawah satu kerajaan pusat Ianya mengubah status semua negeri-negeri Melayu dari taraf pernaungan/perlindungan British kepada tanah jajahannya. Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan akan diketuai oleh Gabenor British.

     Dalam urusan pentadbiran negeri, seorang Residen British akan mengetuai Majlis Negeri. Raja-raja Melayu pula dihadkan kekuasaan masing-masing hanya kepada aspek keagamaan dan adat-istiadat orang-orang Melayu sahaja.

     Buat pertama kalinya undang-undang baru telah diperkenalkan yang memberikan status kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, disebut sebagai JUS SOLI, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Selain itu syarat kewarganegara Malayan Union adalah memperakui kesetiaan kepada Malayan Union dan tidak lagi kepada Raja-raja Melayu sebagaimana adat Melayu tradisional.

     Bagaimanapun umur Malayan Union tidaklah panjang, sesingkat masa yang diambil untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu secara tergopoh-gapah dan paksaan. Sejurus kertas putih Malayan Union diluluskan oleh House of Lords, Westminster dan disiarkan dalam akhbar Utusan Melayu pada tanggal 24 Januari 1946, ianya terus disambut dengan protes-protes lantang dari segenap lapisan masyarakat Melayu.

     Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu yang lazimnya merupakan kaum yang bertoleransi tinggi, mudah bertolak ansur dan amat bertimbang rasa, apabila dihadapkan dengan rancangan pembentukan kesatuan bangsa Malayan bersatu dalam gagasan Malayan Union, tiba-tiba menjadi seperti singa lapar yang dikejutkan dari lena tidurnya.

        Buat pertama kalinya semenjak sekian lama, orang-orang Melayu, para pentadbir, golongan bangsawan, alim-ulama, malahan Raja-raja Melayu telah bersatu hati menentang Malayan Union. Malahan suara-suara protes juga kedengaran dari beberapa orang bekas pegawai  tadbir British seperti Frank Union, George Maxwell, R.O Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard yang membidas tindak-tanduk Harold MacMichael kerana menggunakan ugutan untuk memperolehi tandatangan Raja-raja Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak melobi Tanah Melayu di Parlimen serta menulis surat-surat kepada akhbar nasional menuntut Perdana Menteri Britain menghentikan inisiatif menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan.

     Bekas pegawai British yang bernama Cecil Clementi membidas bahawa kehadiran Gabenor Malayan kelak adalah sebagai suatu penaklukan dan melanggar perjanjian dengan Raja-raja Melayu. Clementi juga membantah usul bahawa Gabenor British yang akan mempengerusikan mesyuarat mengenai Agama Islam yang sudah tentu akan mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Beliau juga  menegaskan bahawa pelaksanaan kewarganegaraan Malayan Union akan mencetuskan konflik perkauman sepertimana hal yang terjadi di Palestin. Seorang lagi bekas pentadbir British iaitu Haynes pula membantah bahawa gagasan Malayan Union telah tidak dirujuk kepada penduduk pribumi Tanah Melayu dan keinginan mereka tidak pernah diambil kira.

     Bagaimanapun kerajaan British tetap berdegil dengan pendiriannya dan apa jua bantahan yang diterima daripada bekas pegawai-pegawai pentadbir Tanah Melayu yang dianggap sebagai memegang prinsip pro-Melayu telah tidak diendahkannya.

     Pada 28 Februari 1946 Arthur Creech Jones, pegawai pentadbir di pejabat Tanah Jajahan British telah membuat laporan kepada kabinet tentang kewujudan penentangan orang-orang Melayu terhadap gagasan Malayan Union, lalu mengemukakan dua alternatif. Pertama, bahawa keseluruhan dasar bangsa Malayan bersatu diteruskan tanpa sebarang pindaan, iaitu tidak mempedulikan bantahan-bantahan masyarakat Melayu. Alternatif kedua, bahawa cadangan kerakyatan patut ditangguhkan sehingga rundingan dibuat dengan masyarakat Melayu. Bagaimanapun Kabinet British tetap berdegil dengan pendirian mereka dan memilih pilihan pertama iaitu meneruskan rancangan pembentukan Malayan Union walaupun telah mula mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu.

     Bantahan-bantahan orang-orang Melayu terhadap pembentukan Malayan Union semakin menjadi-jadi apabila British tetap menunjukkan sikap keras kepalanya. Selepas pendudukan Jepun yang berjaya menewaskan kekuatan British di Singapura dalam masa yang singkat sahaja, orang-orang Melayu mulai sedar bahawa kuasa  tersebut tidaklah sekuat mana yang disangkakan, tambahan pula waktu itu mereka mendapat inspirasi  daripada semangat kemerdekaan yang sedang bertiup kencang dari Indonesia.

     Di atas kesedaran inilah segenap lapisan Melayu telah  bangun bersama-sama menentang penjajahan British, iaitu senario yang tidak pernah dilihat semenjak sekian lama dalam sejarah Tanah Melayu, Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama dan bergabung menentang Malayan Union.

       Pada 1-4 March 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan SulaimanKuala Lumpur bagi menghadiri Kongres Melayu seTanah Melayu pertama yang diadakan bersempena agenda penentangan Malayan Union kerana mengancam kedudukan raja-raja dan orang-orang Melayu. Kongres tersebut telah membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.

     Bagi maksud tersebut, sebuah jawatankuasa khas telah dilantik untuk menderaf perlembagaan bagi penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.Susulan daripadanya, pada 11 Mei 1946,  Kongres Melayu ketiga telah diadakan di Johor Bharu dan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau UMNO diisytiharkan  dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor waktu itu yang merupakan seorang anggota nasionalisme Melayu yang aktif dan berkarismatik telah dilantik sebagai presidennya yang pertama. Kongres tersebut juga telah mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

     Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh tanah air untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Pemimpin UMNO Berjaya menasihatkan Raja-raja Melayu kesemuanya untuk memboikot majlis perlantikan Gabenor Malayan Union yang pertama, iaitu Sir Edward Gent. Kesatuan, perpaduan dan semangat jitu yang ditunjukkan oleh orang-orang Melayu secara keseluruhannya dalam menentang Malayan Union telah membuka mata Raja-raja Melayu pada kesetiaan rakyat terhadap Institusi Raja-raja Melayu sehingga baginda sekelian turut bangkit bersama-sama membuat bantahan demi bantahan terhadap kaedah ugutan yang digunakan oleh Harold MacMichael demi memperoleh tandatangan mereka.

     Kerajaan British menjadi kaget dengan perubahan sikap masyarakat Melayu yang selama ini dianggap lemah dan mudah ‘dimakan’. Tekanan demi tekanan, penentangan demi penentangan, malahan laporan Gabenor Malayan Union yang pertama, iaitu Edward Gent dan Gabenor Jeneral Malaya Malcolm MacDonald tentang kemarahan orang-orang Melayu yang membuak-buak telah  menyebabkan pihak British bertindak  menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D. Grammant dan D.R. William bagi meninjau reaksi masyarakat Melayu yang sebenar terhadap pembentukan Malayan Union. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi yang amat kuat dari orang-orang Melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja mereka pergi pasti disambut oleh gegak gempita ribuan umat Melayu dengan slogan-slogan anti Malayan Union.

    Tentangan-tentangan hebat daripada orang-orang Melayu terhadap Malayan Union yang diperakukan bukan sahaja oleh dua orang pentadbir tertinggi British di Tanah Melayu, malahan disokong pula oleh anggota delegasi ahli Parlimen British, kuasa tersebut akhirnya terpaksa bersetuju membubarkan Malayan Union dan mencari pentadbiran alternatif.

     Untuk tujuan ini, kerajaan British telah menubuhkan dua jawatankuasa bagi mendapatkan pandangan-pandangan semua pihak yang berkepentingan, iaitu Jawatankuasa Kerja  yang mengambil input daripada perwakilan Melayu dan Jawatankuasa Cheeseman yang mendapatkan pandangan-pandangan daripada semua pihak-pihak lain.

     Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan pada 25 Julai 1946 dan terbahagi kepada tiga perwakilan, iaitu perwakilan kerajaan British seramai 5 orang anggotanya, 4 anggota perwakilan Raja-raja Melayu yang dinasihati oleh seorang pegawai British dan 3 anggota perwakilan UMNO untuk merangka satu deraf perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu, khususnya yang dapat diterima oleh orang Melayu dan British.

SENARAI  ANGGOTA JAWATANKUASA KERJA 

 Perwakilan Kerajaan British :

A.T Newboult (Ketua Setiausaha Malayan Union)

K.K. O’ Connors (Peguam Malayan Union)

W.D God sall (Setiausaha Kewangan)

Dr W.Linehan (Perkhidmatan Awam Tanah Melayu)

A.William (Perkhidmatan Awam Tanah Melayu)

 Perwakilan Raja Melayu :

Raja Kamarulzaman

Dato’ Hamzah

Haji Mohamad Sheriff

Dato’ Setia

Sir Thedore Adam (Penasihat Raja Melayu dalamJawatan Kuasa)

 Perwakilan UMNO :

          Dato’ Onn Jaafar

          Dato’ Abdul Rahman

          Encik Megat Yunus

          Ronald Bradell (Penasihat undang-undang kepada UMNO)

 Tiada wakil dari kaum bukan Melayu 

    Dalam membincangkan faktor-faktor yang akan diambil kira bagi tujuan pengubahsuaian dasar British terhadap gagasan Malayan Union, kuasa Britih dari awal-awal lagi telah memberikan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh Jawatankuasa Kerja seperti berikut, iaitu:

1.   Keperluan untuk mewujudkan kerajaan pusat yang kuat bagi memastikan pentadbiran yang ekonomikal dan berkesan untuk negara ini.

2.   Keperluan untuk mewujudkan kerakyatan umum bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal yang sebenar dan sebagai objek kesetiaan mereka.

3.   Keperluan untuk mengekalkan keindividualan setiap negeri Melayu dan negeri Selat.

4.   Keperluan untuk menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu.

5.   Keperluan untuk menjaga kestabilan kewangan negara ini[1]

    Daripada lima garis panduan yang diberikan kepada Jawatankuasa Kerja untuk dipatuhi, panduan no 2, iaitu ‘keperluan untuk mewujudkan kerakyatan umum bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal yang sebenar dan sebagai objek kesetiaan mereka’, adalah sebenarnya antara perkara yang amat ditentang oleh masyarakat Melayu sebagai satu teras Malayan Union, kerana amat bertentangan dengan kehendak mereka supaya Tanah Melayu tetap menjadi milik tunggal orang-orang Melayu sepertimana halnya selama ini.

        Bagi kuasa British, walaupun gagasan Malayan Union boleh dipertimbangkan untuk penamatan, namun ia tetap bertegas untuk mewujudkan sebuah bangsa Malayan bersatu, iaitu hak kerakyatan umum harus dimiliki oleh semua kaum dan bukan hanya eksklusif untuk orang-orang Melayu sahaja.

         Ini ditegaskan sepertimana berikut: ‘ tujuan utama kerajaan British memperkenalkan dasar bangsa Malayan bersatu adalah untuk memastikan hak politik di Tanah Melayu dipanjangkan kepada semuayang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal mereka yang sebenarnya. Implikasinya adalah bahawa kini hak politik tidak lagi menjadi milik orang Melayu sahaja tetapi juga milik orang Cina dan India yang mempunyai semangat ‘Malaya’  (CO 537/1549)

           Walaupun pada asalnya konsep bangsa Malayan bersatu dan kerakyatan umum adalah isu-isu yang amat mencabar dan membakar sensiiviti orang-orang Melayu serta menerima tentangan hebat dari mereka, namun dalam proses perbincangan diantara perwakilan-perwakilan Jawatankuasa Kerja, perkara ini telah diberi konsensi oleh perwakilan Melayu dengan syarat kaum imigran ini diberikan dahulu taraf  sebagai ’orang-orang yang diberikan perlindungan British’.

      Bagi perwakilan Melayu, apa yang terlebih penting adalah pembatalan perjanjian MacMicheal yang dibuat diantara kerajaan British dengan Raja-raja Melayu secara terburu-terburu sehingga menimbulkan protes besar-besaran daripada segenap lapisan masyarakat Melayu. Anggota perwakilan Melayu juga tidak setuju pada konsep kesatuan negeri-negeri Melayu tetapi lebih cenderung  kepada  bentuk persekutuan diantara negeri-negeri Melayu ini dan kuasa setiap Raja-raja Melayu dikembalikan. Sebagai cermin tuntutan tersebut, mereka menuntut dihapuskan nama ‘Union’ sebagai nama baru bagi Tanah Melayu dan digantikan dengan  nama Persekutuan Negeri Melayu.

     Sebagai kuasa yang berpengalaman luas dalam dunia politik antarabangsa, hasrat yang tersirat pada kerajaan British bertujuan supaya monopoli dan kuasa tunggal politik Tanah Melayu oleh orang-orang Melayu dipecahkan, tidak kiralah apa alat yang harus digunakan bagi mencapai maksud tersebut, samada Malayan Union ataupun Persekutuan Tanah Melayu.

           Hasrat ini tercermin dalam tiga perihal berikut;

 Pertama :  

        Kerajaan British tidak bersetuju memenuhi tuntutan perwakilan  Raja-raja Melayu supaya nama ‘Union’ ditukar dengan  nama Persekutuan Negeri Melayu.

 Kedua :

        Kerajaan British juga tidak bersetuju memenuhi tuntutan perwakilan  Melayu agar kerajaan negeri di bawah pemerintahan Raja-raja Melayu diberikan senarai kuasa yang meluas. British lebih cenderung kepada penubuhan kerajaan pusat yang kuat dan mempunyai kawalan keatas isu-isu penting seperti kebajikan dan perkembangan Tanah Melayu secara keseluruhan, isu kerakyatan umum dan penguasaan perundangan. 

 Ketiga :

        Pembatalan perjanjian MacMichael akan hanya dipertimbangkan apabila perwakilan Melayu bersetuju memberi jaminan akan menerima prinsip kewujudan kerajaan pusat yang kuat dari segi perundangan.

         Ringkasnya, kerajaan British sentiasa memastikan bahawa hasrat sebenarnya yang tersirat, iaitu memecahkan dominasi tunggal orang-orang Melayu ke atas Tanah Melayu dapat dilaksanakan melalui pembentukan kerajaan pusat yang kuat dari segi senarai kuasa dan perundangan, yang mana isu kerakyatan umum adalah antara yang akan menjadi pegangan, kuatkuasa dan kawalannya.

       Sementara itu kerajaan British juga telah menubuhkan satu lagi jawatankuasa, kali ini untuk mendengar pandangan-pandangan daripada masyarakat bukan Melayu tentang pengubahsuaian konsep-konsep di sebalik gagasan Malayan Union yang berlatarbelakangkan protes orang-orang Melayu secara besar-besaran. Jawatankuasa Perunding Cheeseman telah dibentuk pada bulan Disember 1946 dengan tujuan meneliti cadangan perlembagaan untuk Persekutuan Tanah Melayu dari perspektif bukan Melayu.

           SENARAI JAWATANKUASA  CHEESEMAN       

                 H. R Cheeseman (Pengerusi)

                  S.B Palmer

                            M.C.R Doraisamy Aiyer

                            C.F Gomes

                            A. Artbutnott

                            C.P.R Menon

                            Leong Yew Koh

                           J.S Goonting

          Jawatankuasa Cheeseman telah mengadakan beberapa sesi umum selain mengadakan rundingan dengan ahli-ahlinya. Daripada input-input yang diterima[2], secara umumnya kaum bukan Melayu telah menyokong dasar pembentukan bangsa Malayan bersatu. Apa juga isu yang dianggap memberi kelebihan kepada orang-orang Melayu menjadi topik-topik panas, tercetus perdebatan, konflik dan percanggahan pendapat tentang takrifan hak persamaan kaum, syarat kerakyatan, isu bahasa, pemisahan Singapura daripada negara persekutuan, komposisi Majlis Perundangan Persekutuan, dasar imigresen dan kuasa Raja-raja Melayu.


PKMM dan AMCJA

         Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 Masihi di Ipoh, Perak, merupakan parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Matlamat utama penubuhan PKMM ialah untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris selain berusaha mengatasi masalah masyarakat dari aspek pelajaran, sosial dan ekonomi serta kebebasan mencetak dan bersuara.

    Pada bulan November, PKMM telah menubuhkan cawangan-cawangannya di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Melaka dan Singapura selain menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.

     PKMM mempunyai dua cawangan pemuda dan pemudi iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. Pada awal pembentukannya, apabila Moktaruddin Lasso menjadi presidennya yang pertama,  beliau berkecenderungan membawa PKMM ke arah prinsip-prinsip komunisme. Ini dapat dilihat daripada lapan resolusi yang dikeluarkan oleh PKMM pada 30 November 1945 yang dianggap oleh pihak kerajaan Malayan Union sebagai diinspirasikan oleh rancangan 'Sembilan Perkara' Parti Komunis Malaya.

     Bagaimanapun Ahmad Boestamam telah dapat merenggangkan API dari PKMM di bawah Mokhtaruddin Lasso dan pengaruh komunisme serta mengeluarkan manifesto yang berasingan dari PKMM. Apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM)[3] bergabung dengan PKMM, Dr Burhanuddin Helmi telah mengambil alih pucuk pimpinan sebagai presidennya yang kedua. Dalam bulan Disember 1947, PKMM bertukar lagi pucuk pimpinan dan kali ini disandang oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) sebagai presidennya yang ketiga. Dengan pertukaran pucuk-pucuk pimpinan itu PKMM tidak lagi condong kepada komunisme sebaliknya bersifat nasionalisme.

    Berbeza dengan kepimpinan Mokhtaruddin Lasso yang cenderung pada konsep komunisme, perjuangan PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin dan Ishak Haji Muhammad berwawasan mendapatkan kemerdekaan penuh dari Britain serta memperjuangkan gagasan Melayu Raya[4]di bawah Kesatuan Malaya-Indonesia-Brunei.

         PKMM juga telah menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) iaitu gabungan parti-parti politik radikal Melayu di seluruh Malaya iaitu :


1.       API (Angkatan Pemuda Insaf

2.       AWAS (Angkata Wanita Sedar).

3.       BTM -Barisan Tani Malaya (BATAS).

4.       JKM- Jabatan Kerja Melayu

5.       Hizbul Muslimin.

6.       GERAM -Gerakan Angkatan Muda.

7.       Kesatuan Buruh Melayu SeMalaya.

8.       Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU).

9.       Kesatuan Opera Melayu.

10.     Persatuan Pemandu Teksi.

10.     PETA -Pembela Tanah Air.

11.     MATA- Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA).

          Pada 16 Mac 1947, PUTERA  telah bergabung pula dengan All-Malaya Council of Joint Action(AMCJA)[5] yang bertujuan menguatkan penentangan terhadap deraf perlembagaan Jawatankuasa Kerja. Mereka telah mengemukakan ‘Perlembagaan Rakyat’ yang merupakan gabungan cadangan PUTERA dan AMCJA untuk dilaksanakan dalam perlembagaan baru Tanah Melayu.

       Berdasarkan berbagai-bagai reaksi yang timbul daripada berbagai pihak, maka Pejabat Tanah Jajahan di London memutuskan untuk mengadakan perbincangan semula dengan perwakilan Melayu melalui Jawatankuasa Kerja pada 17 April 1947 Masihi dan beberapa pindaan telah dibuat.

     Bagaimanapun pindaan-pindaan tersebut masih belum memenuhi sepenuhnya tuntutan PUTERA-AMCJA, lalu mereka bertindak melaksanakan demonstrasi-demonstrasi  di seluruh Tanah Melayu pada bulan September dan Oktober 1947 untuk menunjukkan bantahan terhadap pindaan deraf perlembagaan Jawatankuasa Kerja serta menunjukkan kekuatan mereka.

         Bagaimanapun demonstrasi-demonstrasi tersebut tidak mendapat layanan British[6]. Pada 24 November Malcolm MacDonald telah membuat keputusan tentang dua prinsip yang menjadi panduan kepada kerajaannya, iaitu ;

1.   Persoalan perlembagaan Tanah Melayu dianggap telah diselesaikan dan akan beroperasi secepat mungkin.

2.   Kerajaan British tidak akan mengambil sebarang risiko untuk merosakkan keyakinan masyarakat Melayu yang telah kembali pulih terhadap kerajaan itu (berikutan persetujuan British untuk membatalkan perjanjian MacMichael) ( CO 537/2141)

         British akhirnya menerima pindaan deraf perlembagaan Jawatankuasa Kerja yang dijadikan asas perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 21 Januari 1948, Raja-raja Melayu dan wakil Kerajaan British menandatangani persetujuan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah persekutuan untuk pertama kalinya. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan walaupun bukan dalam bentuknya yang asal.

         Penubuhan Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Cheeseman serta pindaan-pindaan deraf perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mengambil kira tuntutan-tuntutan berbagai kaum adalah sebenarnya strategi British untuk menonjolkan imej kepekaan kepada pandangan-pandangan semua pihak dalam pelaksanaan  dasar-dasarnya berhubung dengan masa hadapan semua kaum di Tanah Melayu selepas kegagalan Malayan Union.

        Dari satu aspek, pemulihan keyakinan orang-orang Melayu terhadap kuasa British selepas kesilapan membentuk Malayan Union dan wujudnya sikap tolak-ansur mereka, telah menyebabkan British tidak mahu lagi mengambil risiko membuka ruang kepada tuntutan-tuntutan melampau dari kaum imigran sehingga boleh menghakis kembali keyakinan tersebut.

        Namun kerajaan British juga sama sekali tidak akan berkompromi dalam hal mengembalikan dasar pro-Melayu, iaitu Tanah Melayu untuk orang-orang Melayu sebagaimanya dasarnya sebelum Perang Dunia Kedua dahulu. Apapun kuasa British sedar bahawa walaupun Malayan Union telah terkubur dalam sejarah politik orang-orang Melayu, namun gagasan bangsa Malayan bersatu yang menjadi teras induk kepada Malayan Union telah dapat diberi nafas baru dalam bentuk penganugerahan kerakyatan kepada kaum imigran dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dan British tidak perlu menumpahkan darah sesiapapun demi mencapai cita-cita tersebut.

        Realitinya  Tanah Melayu kini tidak lagi menjadi milik tunggal orang-orang Melayu dan ini adalah kemenangan kuasa British yang muktamad.


[1]_________, Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu, hlm110
[2]Keseluruhannya Jawatankuasa Cheeseman menerima 80 pucuk surat, memorandum dan penyampaian secra lisan, 30 daripadanya adalah daripada individu dan 45 daripada persatuan.
[3]Ditubuhkan pada Mei 1937 di Kampung Bahru Kuala Lumpur. Ditubuhkan atas asas ideologi demokratik-sosialisme. Berjuang melawan penjajah, dan antifeudal dan antielit birokrat Malaya (bangsawan Melayu orde baru) yang berorientasi Barat. Semasa ,pendudukan Jepun di Malaya pada Disember 1941KMM membuat  hubungan yang akrab dengan Jepun. Bagaimanapun pada tahun 1942 KMM diharamkan oleh Jepun kerana menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.. Perjuangan KMM dihidupkan kembali dengan kemasukan semula kuasa British di Tanah Melayu selepas kekalahan Jepun dalam tahun  1945.
[4]Gagasan ini juga dikenali dengan namaIndonesia Raya dan didokong oleh pelajar dan lepasan guru dari Maktab Perguruan Sultan Idris  mulai akhir tahun 1920an, dan individu dari  Sumatera dan Kepulauan Jawa termasuk Sukarno.
[5] Dalam usaha untuk menentang deraf perlembagaan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja, suatu pertubuhan yang dikenali sebagai All Malayan Council of Joint Action (AMCJA)  telah dibentuk pada 22 Disember 1946. AMCJA dipimpin oleh Dato’ Tan Cheng Lock sebagai Presiden dan John Eber sebagai Setiausaha. Antara pertubuhan yang menyertai AMCJA ialah Malayan Democratic Union, Malayan Indian Congress, Pan-Malayan Federation of Trade Union, Malayan People Anti-Japanese Ex-Services Comrades Association dan Parti Komunis Malaya. AMCJA telah mendesak supaya British membatalkan semua persetujuan yang telah dicapai antara British dengan Raja-raja Melayu dan UMNO. Mereka juga mahu AMCJA diterima sebagai wakil bukan Melayu.
[6] Perjuangan PKMM kemudiannya telah dianggap oleh pihak British sebagai 'berbau' komunis dan dengan itu beberapa orang pemimpinnya telah ditangkap serta dipenjarakan. Akhirnya pada 18 Jun 1948, PKMM (dan beberapa parti lain) telah diharamkan apabila darurat diisytiharkan oleh pihak berkuasa British dengan persetujuan Yang Dipertua UMNO, Dato' Onn Jaafar.


Sumber : Petikan Buku 'Menjawab Tiga Persoalan Institusi Raja-Raja Melayu:
 Tonggak Sebenar Melayu Dahulu, Kini dan Selamanya'