ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

ILMU MALAYONESIA


ILMU MALAYONESIA*

Shaharir b.M.Z.
Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya
riramzain@yahoo.com

0. Kewajaran istilah Ilmu X

Pertama-tamanya perlu rasanya dijelaskan kewajarannya ungkapan  Ilmu X, dengan X mengambil kata sifat daripada nama sesebuah tamadun atau peradaban yang biasa juga atas nama negara-bangsa seperti X= Yunani, Hindia, Tiongkok/Shinny/China, Islam, Roma/Romawi/Rum/Rumi,  Eropah,… , Malayonesia. Apakah Malayonesia akan dibicara kemudian. Terlebih dahulu dibicarakan perkara umum yang diangap akrab dengan ilmu, iaitu yang menjawab soalan “Apakah yang menentukan sesebuah tamadun?”

Mungkin sekali ramai yang mahu mengatakan penentu tamadun ialah bangsa. Namun jika dipersoal/direnung lagi terhadap perkara ini maka amatlah sukar untuk mentakrifkan bangsa  walaupun biasanya bangsa dicirikan dengan kebudayaan kerana kebudayaan itu lagi sukar mentakrifkannya seperti yang dibicarakan oleh Shaharir (2011a). Bahkan ditambah dengan kemasyhuran projek genom manusia yang dimulai di AS pada tahun 1990 (hasil mercu tandanya terbit dalam majalah/jurnal Naturedan Science 2001 dan 2003) dan  pengelasan bangsa menerusi DNA oleh Stephen Oppenheimer (1998, 2004), maka memang semakin hilanglah peranan kebudayaan dalam penentuan bangsa. Tidak hairanlah, lebih awal daripada projek  Oppenheimer itu, Huntington (1993) dalam makalahnya yang masyhur, the clash of civilization, yang kemudian dikembangkannya menjadi sebuah buku laris jualan dengan judul yang hampir sama (Huntington 1996),  mentakrifkan tamadun sebagai rupa sekelompok manusia yang beragama yang sama (tetapi “agama” pada Huntington tidak termasuk x–isme).  Jelas takrif ini merentas bangsa, kecuali Yahudi.  Namun sebagaimana yang dihuraikan di dalam Shaharir (2011a), tamadun lebih tepat lagi dicirikan oleh agama (cirian Huntington diperluas kepada x–isme juga) dan dua lagi anasirnya, iaitu bahasa dan  ilmu. Akan tetapi jika dihalusi lagi terutamanya berasaskan ajaran Islam, ilmu itu sendiri sukar dipisahkan dengan agama, kerana adanya sebuahHadith terkenal (??), “Sesiapa yang mahu dunia mestilah dengan ilmu, sesiapa yang mahu akhirat mestilah dengan ilmu dan sesiapa yang mahu kedua-duanya mestilah dengan ilmu”; dan tesis Rosenthal (1970/1992) yang membuktikan kesetaraan ilmu dengan iman (Islam). Tegasnya ilmu penuh nilai, iaitu dipengaruhi nilai dan memberi nilai. Sarjana Islam mutakhir yang mengartikulasikan sarat nilainya Ilmu, dan cukup brpengaruh, ialah Nasr (1964/1992) dengan contoh konkritnya bahawa ilmu sains zaman Tamadun Islam dahulu adalah berlandaskan pada doktrin kosmologi Islam, al-Attas (1978/1981) dengan pandangannya bahawa ilmu kontemporer adalah sarat sekularisme, al-Faruqi (1982/1984) dengan tatacara pengIslaman/Islamisasi ilmu yang diandainya bahawa ilmu kontemporer ini  besar kemungkinannya berasal daripada ilmu zaman Tamadun Islam tetapi sudah dikembangkan dalam bentuk kini berasaskan pada nilai Barat yang bercanggah dengan Islam.
Ahli dalam falsafah sains moden/Barat pun bepandangan sarat nilainya ilmu mereka sesuai dengan falsafah sains mereka yang berpengaruh nukilan Popper (1934/1958/2005), Kuhn (1962/1997), Feyerabend (1975/2010), dan Lakatos (1978/2003). Popper melihat kesemakinan  ahli sains Barat menyisihkan agama dan metafizik dari sains lalu memperkukuhkan positifisme mantik tajaan Kalangan Vienna tahun 1930-an (yang menegakkan agama bukan sains) menerusi falsafahnya yang dinamainya pemalsuanisme (sesuatu yang tidak terkoroborasikan secara ujikaji atau cerapan perlu ditolak sebagai unsur sains). Kuhn  memaparkan adanya kesepakatan jenis persoalan, kaedah dan sistem kepercayaan di kalangan ahli sains sesuatu masa dalam pengembangan ilmunya sehingga sudah berlakunya beberapa revolusi ilmu akibat perubahan ciri-ciri anasir kesepakatan itu yang mengubah gelanggang pemikirannya atau tempurung akal budinya yang dinamainya paradigma; Feyerabend (1975/2010) tidak mengiktiraf adanya kaedah khusus dalam sains yang dikenali sebagai “kaedah sains” untuk pengembangan ilmu tetapi sebaliknya ahli sains menggunakan kaedah apa sahaja yang berasaskan pragmatisme. Lakatos  mengkritik semua falsafah sebelumnya dan menggantikan dengan cerapannya terhadap kelakuan ahli sains yang sentiasa  mempertahankan sesebuah hipotesis atau aksiom am ilmu yang diasaskan pada sistem kepercayaan komuniti ahli sains berkenaan, yang dinamainya teras liat, dalam sesebuah kegiatan/projek penyelidikannya yang beliau nama atur cara penyelidikan sains.

Kesimpulan daripada perbincangan di atas ialah bahawasanya ilmu layak amat dicirikan berdasarkan tamadun yang tentunya membawa sistem nilai tersendiri, iaitu falsafah, sistem kepercayaan atau agama (termasuk x–isme). Bahkan makna tamadun yang selalu dipetik oleh penulis (terutamanya di Asia Tenggara ini) ialah nukilan al-Attas (1972) yang dicirikannya sebagai “kehalusan tatasusila” dan “kebudayaan yang luhur” yang kedua-duanya dikaitkan dengan Islam. Situasi “kemajuan masyarakat” yang tidak dikaitkan dengan Islam tidak dianggap membentuk sebuah tamadun atau bukan tamadun Islam. Sebenarnya istilah tamadun itu sendiri agak baru (dikatakan diperkenalkan oleh penulis Labnon Kristian bernama Jurjy Zydan (meninggal 1914; transliterasi lainnya ialah Jurji Zidan, Jorge Zaydan dan Gergia Zeidan) menerusi 5 jilid bukunya yang terkenal kontroversinya, “Tarikh al-Tamaddun al-Islami” yang terbit dalam tahun 1901-1906. Sebelum ini ada tiga buah istilah berkenaan dengan perkara ini, iaitu madaniyyah (ciptaan al-Farabi yang dikaitkan dengan agama dan perbandaran), umran (ciptaan Ibn Khaldun yang mencirikannya dalam sebutan agama dan ilmu), dan hadharah(ciptaan Malik ben Nabi yang dikaitkan dengan perindustrian dan perniagaan). Bahkan segi etimologi perkataan tamadun itu, dikatakan oleh ramai pihak (contohnya, Chandra Muzaffar drk. 2001: 3) daripada mudun, maddana yan bermakna kota atau bandar sahaja. Namun  kini ramailah juga sarjana yang mengaitkan perkataan tamadun itu dengan madinah danmadani  dalam konsep madaniyah al-Farabi itu sehingga dikaitkan pula dengan bandar Islam pertama, Madinaht Munawwarah,  dan seterusnya al-Dynn bererti agama Islam. Perbahasan pandangan ini berlaku pada masa perbincangan konsep masyarakat madani lawan masyarakat sivil di Malaysia dalam tahun 1990-an  dahulu yang kemudiannya hilang lesap bersekali dengan penajanya akibat gelora politik Malaysia 1998 itu. Namun pada hemat penulis ini, penurunan perkataan tamadun kepada dynn (agama termasuklah  pelbagai x-isme) sahaja lebih sesuai memandangkan Beg (1980) sudah pun mahu adanya dua tamadun besar sahaja: tamadun Islam dan tamadun Barat (berbagai-bagai tamadun yang tidak serasi dengan Islam); dan Nasr (1968) nampaknya demikian juga. Sekaligus memang sesuailah istilah tamadun itu setara dengan civilisation, iaitu semestinya berakarkan pada agama (termasuk x-isme). Jika tidak terpaksalah pula kita mengambil istilah sivilisasi untuk “tamadun” yang tidak berasaskan pada kata dasar al-Dyyn (Islam) seperti “Tamadun Yunani”, “Tamadun Eropah” atau “tamadun Barat” kini, dan banyak lagi. Istilah peradaban ialah terjemahan-tafsiran Malayonesia moden  kepada tamaddun atau civilization yang agak popular juga kerana takrif tamadun memang akan membabitkan adab dan kata dasar perkataan ini memanglah dynn (agama termasuk x-isme).

Namun pencirian tamadun hanya berasaskan kepada agama sahaja (termasuk x-isme sekalipun) amat tidak mencukupi kerana  bahasa amat sarat nilai dan manusia memang berkata-kata! Bahkan sarat nilainya sesuatu bahasa sudah banyak dibicarakan oleh ahli falsafah bahasa dan ahli sosiologi ilmu sejak abad ke-18 M yang  dimulai oleh Humboldt. Humboldt, pada akhir abad ke-18, sudah menyatakan bahasa berperanan dalam swa-kesedaran dan dalam masa berfikir (Mueller-Vollmer 2011). Namun tiadalah sarjana yang mengukuhkan pandangannya itu berasaskan barang penemuan atau ciptaan sains (dan matematik). Selepas sarjana ini, selain daripada pandangan klasik Sapir & Whorf tahun 1930-an, yang ingin disebut di sini ialah  ahli falsafah besar dan polimates abad ke-20, Heidegger. Heidegger berpandangan “bahasa ialah rumah Makhluk” (Makhluk=Beingterjemahan istilah asalnya Sein dalam bahasa Jerman dalam falsafahnya yang terkenal “Sein und Zeit” 1927 atau terjemahan Inggerisnya Being and Time). “Rumah makhluk” di sini boleh ditafsirkan bukan hanya sekadar penaung sahaja tetapi sebagai jiwa manusia (Guerrero 2011), sehingga pandangan Heidegger ini bertepatanlah juga dengan cogan terkenal “bahasa jiwa bangsa” yang bahkan mungkin sahaja berupa padanan Melayu daripada falsafah bahasa Heidegger ini. Namun, lagi sekali pernyataan itu boleh dikatakan tinggal dalam keadaan kata-kata hikmat itu sahaja. Seorang sarjana besar bahasa dan linguistik abad ke-20 dan kini, Chomsky juga menyatakan di dalam  Rieber (1983) bahawa bahasa ialah satu daripada sistem kognitif dan menegaskan bahasa bukan medium kognitif; dan baginya kognitif ialah sebarang aspek daripada kepercayaan, ilmu dan pengetahuan, atau kefahaman seseorang. Karya terbaru yang menegakkan teori bahasa sebagai cermin ilmu ialah oleh Deutscher (2010) yang dianggap oleh beberapa buah institusi yang masyhur (The Economist, The Financial Times dan The Library Journal) sebagai buku terbaik dalam tahun 2010. Yang kurang diberi contoh konkritnya ialah peranan bahasa dalam penemuan sesuatu ilmu sehingga ilmu itu sarat nilai kerana nilai yang dibawa bahasa yang menjadi rumah, pengkognisi, cermin, pencetus dan wahana ilmu itu. Dalam bidang sains matematik, ini sudah pun mula diisi oleh pengarang ini sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi bahan sebuah buku Shaharir (2012a) yang bakal diterbitkan oleh Pusat Dialog peradaban, UM dalam tahun 2012 ini. Sebahagian daripada bahan itulah juga yang dipaparkan di sini, walaupun yang lebih banyaknya lagi ialah bicara aspek agama dalam ilmu, bukannya aspek bahasa.

Dengan perbincangan setakat ini, maka bolehlah disimpulkan yang tamadun ialah ilmu yang mendukungi sesebuah agama (termasuk x-isme) dan bahasa iaitu yang merentasi bangsa, walaupun seringlah tamadun diberi kata sifatnya Tamadun X atas nama negara atau bangsa, atau janapada atau nasion. Oleh itu ilmu juga dengan sendirinya wajar diberi kata sifatnya atas nama tamadun yang menaungi penerbitan ilmu itu kerana agama atau bahasanya. Oleh itu Ilmu Yunani ialah ilmu yang dijanakan oleh manusia pelbagai bangsa tetapi menghayati suatu cara hidup, pandangan hidup, pandangan alam atau kepercayaan yang serupa dan mengungkapkan pemikirannya dalam bahasa yang serupa yang dinamai bahasa Yunani itu. Ilmu Hindia ialah ilmu yang diterbitkan oleh pelbagai kumpulan etnik (bangsa) yang menghayati suatu agama yang sama yang dinamai agama Hindu atau Hinduisme dan mengungkapkan ilmu itu dalam bahasa utama agama ini, iaitu Sanskrit. Ilmu Islam dengan maksud ilmu dalam Tamadun Islam dahulu ialah ilmu yang terbit daripada pelbagai bangsa yang menghayati doktrin pemikiran agama Islam dan secara dominannya dalam bahasa Arab kerana pusat pemerintahannya negara berbangsa Arab, kemudian beralih kepada bahasa-bahasa lain yang menghayati agama Islam seperti Parsi, Turki, Urdu/Hindi, dan Malayu/Melayu (sejak abad ke-13 M).  Khususnya, Ilmu Inggeris ialah ilmu yang ditulis dalam bahasa Inggeris dengan menghayati sesuatu nilai yang dominannya daripada agama Kristian atau falsafah moden seperti sekularisme, ateisme, deisisme, tabiisme,  pragmatisme, ….apedulisme (apa sahaja agama atau x–isme). Itulah sebabnya, karya Newton (yang ber-DNAInggeris) dalam bahasa Latin tetap diterjemah beberapa kali kepada bahasa Inggeris, antara lainnya, supaya menjadi khazanah ilmu Inggeris; karya matematik Hamilton, seorang yang DNA-nya bangsa Ireland dan agak fasih berbahasa Melayu (selain natifnya, bahasa Ireland atau Seltik) tetapitulisannya tentang matematik semuanya di dalam bahasa Inggeris, dianggap matematik Inggeris.  Naipul ber-DNA Hindia, terkenal dengan karyanya berkenaan dengan Muslim Indonesia dan Malaysia dan menang Hadiah Nobel Persuratan 2001 menerusi  Among the Bilevers 1981 dan Beyond Belief1998 tidak pernah dianggap karya Hindia atau Malaysia-Indonesia kerana penghayatan bahasanya.  Wallace yang terkenal dengan ratusan ribu pungutan spesies fauna dan flora di Malaysia dan Indonesia pada tahun 1860-an dahulu (dengan bantuan seorang pembantu penyelidiknya bernama Ahmad) dan menghipotesiskan Teori Evolusi yang dikatakan diciplak oleh Darwin (tuan kesarjanaannya) tidak pernah disuarakan oleh sesiapapun sebagai ahli sains negara-bangsa di Asia Tenggara ini, walau pun besar kemungkinannya beliau juga tahu berbahasa Melayu Indonesia. Sebabnya ialah karyanya semuanya dalam bahasa Inggeris. Begitu juga sarjana sensasi baru abad ini Stephen Oppenheimer yang menghipotesiskan tamadun manusia terawalnya ialah di Pelantar Sunda besar kemungkinannya agak fasih berbahasa Melayu kerana belasan tahun di Malaysia dan Indonesia tetapi berkarya dsalam bahasa Inggeris tentunya bukan penyumbang sains Melayu, dan memang tiada siapapun mahu berbuat demikian. Namun, Nur al-Dyn al-Ranyry ber-DNA Hindia dianggap sarjana besar Melayu/Indonesia semata-mata kerana karyanya dalam bahasa Melayu. ‘Aqa’id al-Nasafi yang terkenal itu dianggap ilmu Melayu, walaupun terjemahan. Persoalan “ilmu milik siapa?” ini dibicarakan dengan lebih perincinya di dalam Shaharir (2008/2010) yang di dalamnya menimbulkan persoalan seperti “Bagaimana dengan ilmu daripada para ahli sains Malaysia abad ke-20 dan kini? Milik siapakah ilmu mereka itu? ”. Diharap, sebagai sampingan, perbincangan selanjutnya dimdalam makalah ini juga semakin tegas menjawab soalan ini!


1. Apakah Malayonesia dan Konsep Ilmu Malayonesia?

Di peta dunia, kawasan  yang kini dikenali sebagai Asia Tenggara pernah diberi nama yang pelbagai oleh penulis Yunani,  Hindia, Tiongkok dan Arab sebelum abad ke-10 M, dan lebih banyak lagi namanya oleh penulis atau sarjana Eropah mulai abad ke-16 M. Kebanyakan maklumat yang dipaparkan di sini ada di dalam Shaharir (2008/2010) kecuali yang dinyatakan sebaliknya.

Yunani menamai kawasan ini sebagai Kolandia dengan bahasanya Kolandalam buku Yunani abad pertama Masehi karya yang diterjemah ke bahasa Inggeris dalam tahun 1912 dan diulang cetak pada 1989 dengan kata pengantarnya oleh Casson (1989). Mengikut kata pengantar buku ini nama ini sempena nama perahu biasa bangsa ini, kolek. Dalam buku Yunani Abad ke-2 M oleh Staraboi & Plinus (“Periplous Tes Erythras”) dan Batlamiyus (“Geograophike Hypegesis”), Asia Tenggara ini Labadiou namanya.

Dalam sebuah kitab agama Hindu, Jataka. Asia Tenggara ini dirujuk sebagaiSwarnabhumi/Svarnabhumi  (Bumi Keemasan) dan dalam kitab Ramayanapula, selain daripada nama ini, Swarnadhipa/Svarnadhipa, ada pula disebutYavadhipa/Javadhipa, sempena ramainya orang Jawa di Asia Tenggara ini agaknya.

Orang Arab (sehingga kini pun) menamakan orang dan bahasa di Asia Tenggara ini sebagai Jawi (Contoh tertuanya ialah dalam istilah laban jawiyang merujuk kepada sejenis wangian drp kulit kayu yang terdapat di Asia Tenggara ini, terutamanya di Sumatera, yang dibawa oleh pedagang Arab sejak sebelum masehi lagi, dan istilah ini bertukar kepada bahasa Eropah menerusi Italia yang akhirnya mernjadi istilah benzoin itu). Perkataan Jawimewakili Asia Tenggara ini dirakamkan di dalam buku sejarah Arab yang agung “al-Kamil fi al-Tarikh” oleh Ali bin al-Athir  dalam abad ke-13 M. Huruf bahasa Melayu klasik (abad ke-13 hingga 1945 di Indonesia dan 1957 Malaya, 1963 Malaysia) yang diubahsuai daripada huruf Arab itu dan dinamai huruf Jawi adalah manifestasi bahasa Arab yang merujuk kepada Asia Tenggara ini.

Tiongkok dalam abad ke-5 M mulai menamakan bahasa orang di Tenggara Asia  (lebih tepat lagi bahasa Funan, Campa dan Sri Wijaya) sebagai Kunlun(ada keseirasan bunyinya dengan Kolan itu). Kerajaan Sri Wijaya itu sendiri dirujuk oleh Tiongkok sebagai Shelifosye atau Sanfotsi. Penulis lain dari Tiongkok dalam abad ke-2 M juga ada menyebut Ye Diao (semacam dari sebutan perkataan Jawa juga) yang merujuk kepada Asia Tenggara ini.

Sarjana Inggeris abad ke-19 M, Earl (1845/1855) menamakan Asia Tenggara ini Malay Archipelego (Gugusan Pepulau/Kepulauan Melayu)sebagai “termasuk Malaya, sehingga jauh sampai Tenasserim dan Kepulauan Nikobar di barat, Filipina di utara, dan Kepulauan Solomon, melampaui New Guinea di Timur”. Namun 5 tahun kemudiannya, Earl (1850) mengesyorkan wajarnya nama itu ditukar kepada  Indunesia  atau Malayunesia sambil menyatakan beliau lebih gemar kepada Malayunesia. Ahli etnografi Inggeris lain, Logan (1850), yang lama menetap di Pulau Pinang (oleh itu besar kemungkinan agak fasih berbahasa Melayu) menyokong nama Indunesia itu tetapi diubah ejaannya kepada Indonesia atas alasan lebih baik lagi perlafazannya. Nama “Indonesia” menjadi popular di kalangan sarjana di Eropah selepas terbitnya lima jilid buku oleh ahli etnologi Jerman, Bastion (1884) yang mendukung nama Indonesia itu, walaupun beliau juga menggunakan istilah Gugusan Pepulau Melayu dalam bahasa Jerman,Malayischen Archipel.  Namun dalam penulisan berbahasa Inggeris Malay Archipelego tetap menjadi popular terutamanya setelah nama ini berjaya dipopularkan oleh pemungut spesies flora dan fauna di Asia Tenggara yang juga menjadi pembantu penyelidik Charles Darwin yang bernama Wallace (1863) menerusi buku laris jualannya itu (Wallace 1869) hingga masih diulang cetak di abad ini. Di dalam buku itu Wallace mentakrifkan Malay Archipelego yang lebih luas lagi semata-mata berdasarkan kebitaraan flora dan fauna rantau berkenaan, iaitu “rantau antara Asia Tenggara dengan Australia, dan memisahkan lautan Hindia dengan lautan Pasifik” (masih tidak jelas termasuknya Madagaskar/Malagasi dan Taiwan). Di dalam Earl (1845/1855) dan Wallace (1863) juga ada menyatakan nama-nama lain yang dipakai oleh sarjana Eropah abad ke-16 M hingga ke zamannya, pertengahan abad ke-19 M, iaitu Indian ArchipelegoAsiatic Archipelego,Eastern Archipelego dan East Indies yang tidak digemari oleh Earl (dan Wallace) itu. Wallace (1863) ada mengatakan nama Indo-Australian Archipelego lebih baik daripada nama-nama yang lain-lain itu tetapi beliau sendiri mempopularkan nama Malay Archipelego oleh Earl itu.

Namun nama Malay Archipelego tidak dipakai oleh Belanda dan Inggeris semasa menjajah Asia Tenggara ini. Sebaliknya mereka mengekalkan namaEast Indies atau nama Belandanya Nederlands-Indie dan terjemahan Melayunya pada masa itu Hindia Timoer/Timor/Timur hinggalah muncul istilah Hindia Timur Belanda (bagi kawasan yang sekarang dikenali Indonesia mulai 1945) dan Hindia Timur Inggeris (bagi kawasan yang dijajah Inggeris di Asia Tenggara ini). Nama ini sebenarnya kependekan kepada nama penuhnya dalam bahasa Belanda Vereenigde Oost-Indische Compagnie(VOC), yang selalu disebut dalam novel-novel Melayu Indonesia pra-1960-an, sebuah Syarikat perniagaan Belanda yang ditubuhkan mulai 1602 dan muflis pada 1796 lalu kerajaan Belanda mengambil alihnya dan bermulalah penjajahan Belanda dengan rasminya di rantau yang kini bernama Indonesia.

Nama Indonesia menggantikan Hindia Timoer pertama kali dilakukan oleh Muhammad Hatta pada 1922 bagi menggantikan nama Perhimpunan Mahasiswa Hindia Timoer di Belanda yang dipimpinnya dan sekaligus nama majalah Himpunan ini, Hindia Poetra, ditukar kepada Indonesia Merdekasesuai dengan perjuangan persatuan mahasiswa itu untuk menjadi jurucakap umatnya bagi memerdekkan Hindia Timoer daripada penjajah Belanda. Nama ini diperkukuhkan oleh para pejuang kemerdekaan Hindia Timoer Belanda dalam Soempah Pemoeda 1928 yang terkenal itu. Makna Indonesia asal pun berubah menjadi wilayah yang lebih sempit, iaitu tidak termasuk wilayah Asia Tenggara di bawah penjajah Inggeris lagi. Dalam usaha meluaskan Indonesia baru itu kepada Indonesia asal, maka dalam tahun 1940-an, istilah Indonesia Raya (yang sudah pun menjadi nama lagu nasional Indonesia ciptaan Wage Rudolf Supratman pada tahun 1928) pernah disuarakan oleh Soekarno menjadi negara-bangsa Asia Tenggara, dan diubah oleh para pejuang kemerdekaan awal wilayah Asia Tenggara Inggeris terutamanya Malaya (Tanah Melayu) sebagai Melayu Raya, malah ada pulaPetani Raya (oleh pejuang kemerdekaan Petani dari Thailand) sebagai sebuah negara-bangsa impian yang ternyata tidak termakbul apabila Soekarno mengisytiharkan kemerdekaan Hindia Timur Belanda sahaja pada tahun 1945 menjadi Republik Indonesia.

Sementara itu, awal abad ke-19 M lagi Perancis (bermula dengan d’Urville, seorang pelayar Perancis ke Oseana/Oceania, rantau yang berpusatkan pulau-pulau di Lautan Pasifik tropika) merujuk rantau Asia Tenggara ini sebagai Oceania et Malasia dan Archipel Malais, malah istilah Malaysiadipakai sehingga 1945 (sebelum munculnya Indonesia) untuk maksud the Malay Archipelego itu, walaupun pada 1888 dan 1932 lagi parlimen Inggeris disyorkan supaya Malaysia yang lebih sempit, iaitu khusus untuk penyatuan tanah jajahannya di Tenggara Asia ini tetapi tidak diluluskan dan  terbengkalai hinggalah 1963 (itu pun tidak termasuk Brunei), dan sekaligus matilah makna Malaysia yang lebih luas itu, senasib dewngan Indonesia.

Sarjana atau Orang Kuat tempatan juga ada menamakan Asia Tenggara ini dengan beberapa namanya yang tersendiri. Yang tertuanya atas nama sesebuah kerajaan besar Asia Tenggara ini, iaitu Sri Wijaya yang pada kemuncaknya, abad ke-9 M hingga ke-10 M memang merangkumi hampir seluruh Asia Tenggara (lihat Nehru 1963), diikuti oleh Majapahit dan Melaka yang pada kemuncaknya juga, masing-masingnya pada pertengahan kedua abad ke-13 M dan pertengahan kedua abad ke-15 M hampir menyamai wilayah Sri Wijaya itu. Nama-nama ini lenyap dengan lenyapnya kerajaan-kerajaan ini. Yang menariknya lagi ialah nama Nusantara yang masih hidup sampai hari ini tetapi tidak pernah dapat dirasmikan menjadi nama rasmi wilayah atau bahasa yang menyatukan wilayah dan bahasa negara-negara ber-lingua franca bahasa Melayu di Asia Tenggara ini. Nusantara adalah istilah ciptaan kerajaan Majapahit yang tidak termasuk Jawa dan itulah sebabnya Indonesia enggan menerima istilah ini sebagai nama penyatu Indonesia, Malaysia dan lain-lain negara Asia Tenggara ini. Malah mengikut buku sejarah tertua di Asia Tenggara ini, Nagara Krtagama, karya Prapanca 1365 (sarjana agung zaman Majapahit) yang versi bahasa Bali (terjemahan daripada bahasa Jawa Kuna/Kuno) baru ditransliterasi dan diterjemah ke bahasa Melayu Indonesia oleh Ketut Riana (2009), wilayah Majapahit pada kemuncaknya terdiri daripada Jawa dan Madura, Negeri Melayu (Ri Malayu, Bhumi Malayu), dan Negeri Asing (Desantara). Jawa dan Madura dianggap satu negeri kerana katanya sebelum 124 S (=202 M) Madura tidak terpisah daripada Jawa. Negeri Melayu, pada Majapahit, ialah hanya seluruh Sumatera sekarang. Negeri Asing bermaksud wilayah yang lain daripada itu yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia sekarang, Singapura (Tumasik), Indochina, dan kepulauan Indonesia sekarang hingga ke Papua sekarang (namanyaWiwanin). Nama negeri/wilayah di Indochina yang disebut ialah Siya Ayudya Pura (Siam atau Thailand sekarang), Campa, Kemboja, Darmanagari (utara Patani sekarang), Lengkasuka (Langkasuka atau Pattani sekarang),  dan beberapa nama yang belum dapat dikenali, iaitu Marutma, Rajapuraterutamanya Singha Nagari, dan Yawana.  Nama-nama tempat di Semenanjung Malaysia yang disebut ialah Pahang, Ujung Medini (Johor dan Pahang Selatan), Muwar (Muar sekarang), Kalanten (Kelantan, sebahagian Perak dan Terengganu sekarang), Tringgano (Bandar Terengganu sekarang),Paka, Dhungun (Dungun sekarang), Kelang, Sang hyang Hujung (Sungai Ujung,  Seremban sekarang; tafsiran penulis ini), Keda (Kedah sekarang),Jerai, dan tiga tempat yang belum dikenali: SaimwangKanjapiniran, danNasor (pterj. buku ini memadankan dengan Johor yang sukar diterima).Nusantara (diistilahkan juga Dwipantara  dan Dipantara) disebut dalamNagara Krtagama  (versi Bali) merujuk kepada negeri/wilayah yang bukan Jawa dan Madura itu yang membayar ufti kepada raja Majapahit (yang nampaknya tidak termasuk Indochina). Apa pun Filipina tidak termasuk dalam Nusantara Majapahit. Oleh itu segi sejarahnya, nama Nusantaramemanglah tidak tepat untuk dijadikan nama Asia Tenggara ini, walaupun nama ini sering dipakai untuk tujuan nama keseluruh  Asia Tenggara ini terutamanya di kalangan budayawan dan seniman setelah disyorkan oleh seorang pejuang kemerdekaan  Hindia Timur bernama Earne Dekker (campuran Belanda-Jawa, dengan gelaran Setia Budi) pada tahun 1928 dan diwar-warkan semula oleh para budayawan Indonesia tahun 1950-an.

Para sarjana Petani sekurang-kurangnya sejak abad ke-19 M (lihat Ahmad al-Fatdany 1307 H/1898)  menggunakan istilah Malayuwiyyah bagi rantau Asia Tenggara ini yang bermakna sama dengan Malayunesia itu. Nama ini nampaknya popular di kalangan mereka yang berpendidikan Islam, bahkan sebuah persatuan bernama al-Jami‘yyah al-Qahirah al-Malayuwiyyahditubuhkan di Mesir oleh pelajar Malayonesia di sana pada tahun 1930 (Nik Rosdi 2011), dan sultan Terengganu, Zainal ‘Abidin III, mengisytiharkan negerinya sebagai al-Malayuwiyyah yang merdeka pada 1909 apabila baginda enggan mematuhi perjanjian Inggeris-Siam 1904 (http://www.niknasri.com/?p=9653). Menarik juga mendapati ‘Umar Kelantani, dalam  manuskrip terjemahannya 1904,  al-Durar al-Bahayaht, membahagikan bumi Asia Tenggara ini kepada tiga, satu daripadanya bernama Malasia, dengan katanya, “ ada tiga bahagian, iaitu Malasia, Australia dan Blysya.” (dicondong oleh penulis)

Bahasa-bahasa natif bagi Asia Tenggara adalah serumpun dengan bahasalingua franca  di daerah ini, iaitu bahasa Melayu, lalu terbitlah istilah Rumpun Melayu, Dunia Melayu dan Alam Melayu. Namun sejak 1970-an muncul istilah Indonesia dan Melayu, Indonesia-Melayu atau Melayu-Indonesia sebagai nama bahasa atau nama rantau Asia Tenggara ini seperti adanya jurnal bertaraf ISI dengan judul “Journal of Indonesian and Malay World” terbitan UK. Malah, seringlah diungkapkan nama “Gugusan Kepulauan Indonesia” bagi menggantikan “Gugusan Kepualauan Melayu”. Walaupun ahli linguistik menamakan rumpun bahasa dan rantau ini sebagai Austronesia,sempena nama sarjana dari Austria yang memang jelas tidak sesuai dipopularkan bagi menamakan seluruh rantau Asia Tenggara ini bagi tujuan politik penyatuan.

Kegagalan menggunakan Nusantara untuk nama penyatuan bagi Asia Tenggara menyebabkan tercipta beberapa nama baru seperti, Maphilindo(ringkasan Malaysia, Philippines, dan Indonesia) dan Malindo (ringkasan Malaysia dan Indonesia) dalam tahun 1961-63 dalam usaha menyatukan negara-negara serumpun ini yang semuanya gagal, ekoran bantahan Filipina dan Indonesia terhadap penubuhan Malaysia. Kemudian muncul pulaBumantara (akronim bumi antara) oleh Sutan Takdir Alisjahbana dalam tahun 1960-an, dan penulis ini sendiri mengesyorkan Malindopura (akronim Malaysia, Indonesia, Philippines/Filipina, Singpura, dan Petani/Pattani; tetapi tiada Brunei, Campa, Malagasi/Madagaskar, dan Cina Taiwan) pada 1987 dalam pendahuluan bukunya, Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains, dan dan dalam tahun 1998 mengesyorkan pula Pascabima (akronim daripada semua negara-bangsa rumpun Austronesia atau Asia Tenggara dahulu dan kini: Petani/Pattani, Philippines, Singapura, Campa, Brunei, Indonesia, dan Malaysia bahkan bolehlah ditambah Cina Taipei/Taiwan dan Madagaskar/Malagasi; tetapi tertinggal lagi Timur Leste). Ternyata semua nama ini tak laku! Oleh itu sejak 2006, penulis ini terlintaslah pula mahu menghidupkan nama tajaan George Earl 1845 itu, Malayunesia, dengan mengubah kepada Malayonesia sama dengan Indunesia kepada Indonesia itu bagi tujuan menamakan rumpun bangsa berbahasa Austronesia atau Asia Tenggara ini yang berbahasa lingua franca-nya bahasa Melayu. Maka sebuah tamadun dalam rumpun bahasa Austronesia ini layaklah juga dinamai tamadun Malayonesia dengan ilmu yang menghayati agama dan bahasa utama tamadun ini (Melayu Kuno atau Kunlun, Melayu Klasik dan Melayu moden) layaklah dinamai ilmu Malayonesia. Penyumbang Ilmu Malayonesia jelas merentasi bangsa sehingga, umpamanya, seperti yang disebut dalam seksyen terawal makalah ini, al-Ranyry berbangsa Hindia diterima sebagai sarjana ilmu Malayonesia kerana hampir semua karyanya di dalam bahasa Melayu klasik, tetapi Hamilton, Oppenheimer, ….dan lain-lain lagi yang hanya fasih berbahasa Melayu tetapi tidak berkarya dalam bahasa Melayu tidaklah dianggap penyumbang ilmu Melayonesia.  Berikut ialah ilmu Malayonesia abad ke-6 M hingga abad ke-19 M yang kami ekskavasi setakat ini dan beberapa contoh ilmu Malayonesia kontemporer sumbangan penulis ini sendiri. Ilmu Malayonesia kontemporer tentunya ada dalam ribuan tesis Sarjana dan D. Fal di Malaysia dan di Indonesia dan buku atau makalah dalam jurnal ilmiah dalam bahasa Melayu Malaysia dan Melayu Indonesia berjumlah ribuan itu. Kebanyakannya mungkin sekali bertaraf separuh ilmu Malayonesia kerana memenuhi kriterium bahasanya sahaja, sedangkan kensep-konsepnya hanya terjemahan daripada bahasa Inggeris sahaja. Ini memerlukan satu kajian yang berasingan lagi, dan amat perlu dilakukan.



2. Pengelasan Ilmu Malayonesia

Tamadun Malayonesia boleh dibahagi kepada tiga fasa, tamadun Malayonesia Purba atau Malayonesia Kuna/Kuno  atau tamadun Malayonesia Hindu-Buddha dengan bahasa ilmunya  yang dominan (di samping Sanskrit, Pali, Jawa Kuno dan Bali) ialah bahasa Kunlun/Kolan atau bahasa Melayu Kuna/Kuno (mulai 1 Saka=78 M hingga abad ke-13 M), tamadun Malayonesia Klasik atau Malayonesia Islam dengan bahasa ilmunya dan lingua franca-nya dominan Melayu klasik (abad ke-13 hingga ke-19 M), di samping bahasa Arab, dan tamadun Malayonesia moden dengan bahasa lingua franca-nya, bahasa Melayu moden (mulai awal abad ke-20 M) tetapi semakin didominasi oleh bahasa rasmi negara-bangsa daerah masing-masing (dan bahasa Inggeris semakin mengambil tempat di dalam negara-bangsa itu,walaupun bahasa itu bukan bahasa rasmi sekalipun).  Tamadun Malayonesia Kuno terdiri daripada kerajaan Funan-Chenla abad ke-2 M hingga ke-9 M,  Campa, abad ke-2 M hingga ke-15 M, Sriwijaya abad ke-6 hingga ke-13 M dan Majapahit abad ke-12 M hingga ke-15 M.

Tamadun-tamadun ini agak banyak ilmunya sehingga memerlukan pengurusannya lalu wujudlah perpustakaan dan ketua pustakawan negara sekali pun (nama jawatan ini boleh dikenali daripada nama asalnyapustakarakshasha pada zaman kerajaan Funan yang wujud mulai abad ke-2 M dengan ratu pertamanya bergelar Puteri Mayang Mengurai itu) dan pengelasan bidang ilmu dilakukan seperti yang dihuraikan oleh Alinor  (2004, 2005, 2006) yang diringkaskan di bawah ini.

Dalam pengelasan ilmu Funan, bidang sains dan teknologi masuk di dalam kelas yang diistilahkannya sebagai  prakuih (termasuk astrologi-astronomi, dan teknologi khusus, iaitu pertukangan, perikanan dan menjinakkan gajah),slapat (termasuk agama dan sains), dan gran (perubatan). Istilah-istilah bidang ini ialah dalam bahasa natif di Kemboja bernama Mon, sebuah bahasa yang dianggap oleh ahli bahasa terkeluar daripada rumpun Austronesia. Akan tetapi   kami dapati, berasaskan sebuah kamus bahasa Mon-Inggeris,  Shorto H.L. 1971. A Dictionary of the Mon Inscriptionns from the Sixth to the Sixteenth Centuries. London: OUP, sekitar 19% perkataan Mon adalah juga perkataan Melayu, sehingga bolehlah diandaikan wujudnya pengelsan ilmu Funan yang sepadan dengan bahasa Mon ini kerana kerajaan Funan memang berpusat di Kemboja hingga ke abad ke-9 M, mengenangkan kerajaan Cenla adalah warisan  kerajaan Funan yang memeberontak dan mengKembojakan atau mengKhmerkan Funan muali abad ke-6 M sehingga terjadinya kerajaan Khmer bernama Kambujadesa mulai abad ke-9 M. Orang dan bahasa Mon hanyalah berpindah naungannya dari Funan ke Cenla dan seterusnya ke Kambujadesa.

Sains dan teknologi dalam pengelasan ilmu Campa pula ialah dalam kelas yang diistilahkannya sebagai horasastera (astrologi, astronomi, kosmologi dan kosmogoni/kosmogenesis), falsafah dalam “Enam Sistem Falsafah” (Samkhya, Yoga, Mimamsa, Vedanta, Nyaya dan Vaisesika)dan ontologi dalam “Ilmu Enam Puluh Empat Kala”(sidah catusastikalavidya), sains kepemimpinan dan kepengurusan (Dharmasastra, terutamanyaManavadharmasastra, juga disebut sebagai Bharggavija Dharmasastra, danManu Smrti atau Narada Smrti), ekonomi dan lain-lain (ada dalam artha-puranasastera). Anehnya tiada bidang teknologi muncul dalam pengelasan ilmu Campa, sedangkan kerajaan Campa terkenal dengan senibina candi-candi yang yang mengagumkan, teknologi senjata dan perkapalan yang  hebat.
Pengelasan ilmu Sri Wijaya dan Sailendra yang diketahui setakat ini ialah dalam Sanskrit sahaja tetapi oleh kerana karya dalam bahasa Kunlun (Melayu Kuno) dalam tamadun ini digambarkan oleh sarjana Tiongkok dan Hindia memang agak banyak juga, maka bolehlah dianggap itulah bidang ilmu Malayonesia zaman kerajaan Sriwijaya dan Sailendra. Bidang sains dan teknologinya ialah ilmu kekelakan (Aparante Ajnanam), sains kepemimpinan dan kepengurusan (seperti atmabhedadandandavapradani = perundingan, perbalahan, usaha dan hadiah; karmmavipake ajnanam = pengetahuan tentang mematangkan tindakan; parasparajiyamsah = kejayaan menakluk ), epistemologi (tentang pengetahuan/ajnanam: sumbernya, alat penerimanya, jenis/tahapnya/kandhah), psikologi (perasaan/vidana, keseronokan/kama, ayatanapratilabhah/menguasai asas tanggapan), embriologi (sepertiabhinirvrttih =tumbesaran,  jivitendriyapradurbhavah = munculnya pancaindera), sains kesihatan (seperti Kayasamskarah = daya badan, makna tua, makna mati), kosmologi (benua/dhipah, langit/sorga dan naraka), fizik (unsur asas kejadian, mahabhutani), botani (seperti tahap-tahap tumbesar pokok dari biji menjadi tunas/ vijad ankuram hingga bunga menjadi buah/puspat palam), dan ontologi (bhavah). Lagi sekali anehnya tiada teknologi dalam pengelasan ilmu ini sedangkan kerajaan  ini terkenal dengan bangunan ajaib di dunia, candi Borobodor, dan pembuat kapal yang besar-besar yang terpapar lukisannya di dinding candi Borobodor itu.

Jawa Kuno menerbit pengelasan ilmunya yang tersendiri yang sains dan teknologi terdiri daripada Perubatan (Usada), Astrologi-Astronomi-Kosmologi dan Almanak (Wariga, Wawatekan), Falsafah dan Kosmologi (ada dalamPurana), Angkologi atau Bidalan Berangka (dalam Pasasangkalan), Kepemimpinan dan Kepengurusan (ada dalam Dharmacasana dan Rajacasana).

Pengelasan Ilmu Malayonesia Islam tidaklah dijumpai wujudnya hingga kini kecuali atas nama 17 bidang kuliah atau fakulti (nama asalnya darseperti dar al-siyasah, iaitu fakulti politik) di Jami‘ah Masjid Bayt al-Rahmandi Aceh pada abad ke-17 M. Bidang-bidang selengkapnya (mengikut Muslim 2011, Koharruddin t.t) ialah (1) filsafat (dar al-filasfaht), (2) hukum/undang-undang (dar al-ahkam), (3)  kalam (dar al-kalam), (4) tafsir dan hadith (dar al-tafsir wa al-hadith), (5) perbandingan agama (dar al-mazahib), (6) tatabahasa (dar al-nahwu) (7) sejarah (dar al-tarikh), (8) siasah/politik (dar al-siyasaht) (9) pemerintahan (dar al-wizarah), (10) perbendaharaan/kewangan (dar al-khazanaht bayt al-mal), (11) pertambangan/ perlombongan (dar al-ardhy), (12) kimia (dar al-kimiya), (13) matematik (dar al-hisab), (14) peperangan (dar al-har), (15) pertanian (dar al-zira‘ah), (16) tib / perubatan (dar al-tib), dan (17) ilmu aqal/kecendekiawanan (dar al-aqli). Shaharir (2003) menerbitkan pengelasan ilmu sains dan teknologi Malayonesia Islam (berasaskan katalog manuskrip Melayu-Jawi yang ada di PNM pada masa itu) kepada 11 bidang yang berikut: (1) Asal kejadian alam, manusia dan makhluk lain, (2) Astronomi-astrologi (ilmu bintang, ilmu falak, kosmologi dan kosmogoni/kosmogenesis),  (3) Fara‘id dan hukum waris,  (4) Ilmu hisab, ilmu hitung (selain fara‘id dan astronomi), (5) Perubatan (tib, mujarabat/mujarrobat), (6) Ramalan dan taabir (astrologi, azimat, firasat, hikmat, hikam, akal, nujum, ketika/kuteka, petua, primbon, raksi/rasi, rejang, tilik, ta’bir, dll), (7) Sains hayat (pertanian, hakikat roh, asal-usul manusia, tumbuhan dan haiwan), (8) Sains fizis (batu permata, umur dunia, air gerhana, gunung berapi, dll), (9) Tasawwuf (falsafah, mantik dan epistemologi), (10) Teknologi/Kejuruteraan (pelayaran, pertanian, perkapalan, persenjataan dan pertukangan), dan (11) Perniagaan. Jika diambil kira  maklumat yang terdapat di dalam Hikayat Raja Pasai tentang hebatnya pembuat racun yang distilahkan sebagai “orang seri”, maka bolehlah dimasukkan bidang ilmu Malayonesia Islam yang ke-12,  kimia,  walaupun segi manuskrip bidang ini mungkin ada di dalam manuskrip tibdan mujarrobbat (perubatan) itu. Tidak hairan kimia memang ada dalam pengelasan ilmu Aceh. Ketiadaan fizik dalam pengelasan ilmu Aceh sesuai dengan status ilmu itu pada abad ke-17 M itu di Eropah pun, iaitu berada dalam matematik dan falsafah.

Pengelasan Ilmu Malayonesia Moden tidak pernah dilakukan kerana ilmuwan dan pustakawan universitinya hanya berpuas hati mengambil pengelasan Dewey dari AS itu sahaja. Pengelasan itu memanglah menyeluruh dan banyak sekali. Namun demikian pun bagi setiap bidang seperti sains asas (Biologi, Fizik, Kimia, Matematik) umpamanya ada pula perincian pengelasannya yang dibuat oleh komuniti masing-masing pula seperti Sains  Matematik dibuat oleh AMS (American Mathematical Society setiap sepuluh tahun). Dalam tahun 2003, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia membuat pengelasan bidang sains dan teknologi Malaysia tersendiri dengan mengupah perunding dari Australia melakukannya untuk pusingan pertamanya dan kemudian dibentangkan kepada ahli sains dan teknologi Malaysia sendiri untuk mengecop mohornya atau mengubahsuaikannya dahulu sebelum berbuat demikian. Hanya bidang sains matematik sahaja (diketuai oleh penulis makalah ini)  melakukan pengubahsuaian yang agak besar hingga menakutkan pihak kementerian berkenaan itu dan meminta kumpulan ini menipiskan atau mencairkan perubahannya itu sehingga menjadi dalam bentuk yang ada sekarang (disiarkan di dalam Warkah Berita PERSAMA di setiap pengeluarannya bersekali dengan pengelasan sains matematik PERSAMA (Persatuan Sains MatematikMalaysia) sendiri yang juga diprakarsai oleh penulis makalah ini 3 tahun terlebih awal daripada yang dilakukan oleh Kementerian itu) menghasilkan Pengelasan Sains Matematik PERSAMA 2000. Perbezaan pengelasan ilmu ini pun menunjukkan perbezaan sistem nilai mempengaruhi bentuk pengelasannya.

Walau bagaimanapun judul-judul ilmu Malayonesia yang dipaparkan di bawah ini tidaklah berasaskan pada mana-mana pengelasan ilmu yang diperihalkan di atas tetapi semata-mata berasaskan pada penemuan ilmu Malayonesia dalam prasasti dan manuskrip berkenaan oleh kumpulan kami (KuPELEMA=Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Melayu yang ditubuhkan dalam tahun 2005 di INSPEM, UPM) sehingga kini dan karya ahli kumpulan ini (diketuai oleh penulis ini) dan beberapa orang sarjana di luar kumpulan ini terhadap peMalayonesiaan ilmu kontemporer.

2.0. Falsafah
Falsafah ilmu Malayonesia pra-Islam memanglah agak jelas  dipengaruhi oleh agamanya, Hindu-Buddha, apabila melihat istilah-istilah ilmunya sahaja pun, dan pandangan alamnya atau kosmologinya, walaupun kami belum menemui karya khusus berkenaan dengan falsafah ilmu dalam bahasa Melayu Kuno atau rumpun bahasa itu, seperti Campa atau Jawa Kuno. Yang ditemui (khususnya oleh Alinor 2006) setakat ini ialah epistemologi warisan Hindu-Buddha yang ditulis pada prasasti dalam bahasa Sanskrit, oleh itu tidak dianggap sebagai ilmu Malayonesia.

Walau bagaimanapun, dalam prasasti Campa Mi Son bertarikh 1081 M  (Finot 1904, 934-937 ; Shaharir 2008/2010 : Umbaian),  dan Mi Son bertarikh 1088 M (Finot 1904, 946-951)  dalam bahasa Campa, ada membayangkan falsafah hidup Malayonesia pra-Islam. Falsafah ini dicatatkannya ada dalam “ilmu tentang Enam Puluh Empat Kala” ”(sidah catusastikalavidya) ;  menggesa supaya tahu dan mengamalkan “Empat Upaya” (caturupaya), iaitu perundingan (sama), sumbangan (dana), serangan (danda), pertentangan (bheda);  memiliki “kemampuan… .  kecerdasan, bakat (?) untuk semua perniagaan, peraturan yang baik dan jahat”, berada “dalam lapan belas saluran tindakan dan ketekalan” (astadaça margga vyavahara nan di samata) yang memberi kesedaran adanya tuhan Dharma terlihat di dunia ini.  Falsafah itu juga menganjurkan supaya seseorang itu berperasaan penuh belas kasih kepada semua makhluk ; membuat perbuatan baik dan memberi hadiah siang dan malam tanpa henti ; mengetahui bahawa tuhan adalah dewa Sriçanabhadreçvara Parameçvara terlihat di dunia ini ; menyembah dan mengabdikan kepada tuhan dengan sepenuh jiwa raganya terutamanya ketika berjaya ; berusaha sepenuhnya mengalahkan enam pasukan musuh (paslyan sadarivargga sidah), iaitu, cinta (kama), kemarahan (krodha), nafsu (lobha), kesalahan (moha), kebanggaan (mada), dan iri (matsarya); melakukan  latihan kerohanian (yoga), meditasi (dhydna), kontemplasi (samadhi), untuk kebaikan rohani (dharmapunya); dan mengamalkan kebajikan selalu dan sepenuhnya. (Maklumat ini juga diambil daripada terjemahan prasasti berkenaan oleh Zahrin Afendi)

Terlebih awal daripada itu, dalam prasasti Talang Tuwo bertarikh 684 M  sudah dicatatkan falsafah hidup yang harus dihayati oleh semua orang, iaitu, pertama-tamanya, matalamat hidup seseorang itu semestinyalah subahagia (subhagia), iaitu bahagia yang indah.  Maksudnya, seperti termasuklah tanaman  menjadi, segala ternakan dan hamba-abdi (hulun; boleh ditafsirkan para pekerja) sihat, tidak ditimpa bencana (upasargga), tidak mendapat siksaan (pidanu; di dalam bahasa Melayu Indonesia kini: pidana), tanpa penyakit tidak-boleh-tidur (swapnawighna; istilah modennya, insomnia),  berhasil yang baik dalam setiap pekerjaan, tiada-penyakit (nirwyadhi), awet-muda (ajara), tiada kecurian (curi), tiada kecurangan (ucca), tiada pembunuhan (wadhana), tiada penzinaan (paradara); baik-hati (tyaga), mengikut sila atau fadilah (marsila), sabar (ksanti), dianugerahi kekuatan pandangan (dhairyyamani), kerajinan (rajin), berkepakaran seni (tahu samisrana), dan beroleh sahabat-yang-bijaksana (kalyanamitra). Selain daripada itu, seseorang perlulah mengamalkan doktrin Buddhaisme Mahayana yang melalui cara yang bernama pranidhana, dan  di dalam prasasti ini diistilahkan sebagai waropaya (upaya yang terbaik dalam konteks amal-ibadat khusus Buddhaisme Mahayana yang ada dicatatkan secara ringkasnya di prasasti itu). Setiap orang juga perlulah mengikuti cara kerohanian yang membolehkan seseorang itu mencapai tahap  aufklami/kecerahan  yang lengkap dan agung (anuttarabhisamyaksamwodhi).

Falsafah hidup Malayonesia Islam menggantikan falsafah Malayonesia Buddha di atas memang banyak ditulis dalam manuskrip/buku tawhid, fiqah dan tasawuf para ulama Aceh abad ke-16 dan ke-17 M seperti al-Ranyry dan ‘Abd Ra’uf Singkel dan manuskrip tentang sufi/tariqht seperti yang ditulis dalam abad ke-17 dalam Ms1659 di PNM (Perpustakaan Negara Malaysia) berkenaan tariqaht syatdariyah (yang ada unsur-unsur yoga). Yang lebih menarik lagi ialah tentang adanya falsafah ilmu Malayonesia Islam, khususnya epistemologi, dalam manuskrip  ‘Aqa’id al-Nasafi (terjemahan 1592) yang menjelaskan sumber-sumber ilmu yang berbeza daripada falsafah sains moden dalam dua perkara, iaitu ilmu boleh datang daripada pewibawa benar (istilah asalnya, khabar shadiq) dan ilham dari pertolongan Allah.

Kajian etnosains matematik berasaskan cerita rakyat atau penglipur lara (khususnya jenis cerita jenaka Lebai Malang, Pak Pandir, dan Mat Jenin) dilakukan oleh Hanapi & Shaharir (2000) membawa kesimpulannya bahawa cerita itu antara lainnya boleh ditafsir membawa mazhab falsafah matematik Malayonesia zaman klasiknya atau pra-Islamnya, iaitu Mat Jenin terlalu berpegang kepada nyataisme dan tentuisme dalam matematik, bahkan pak kaduk boleh mewakili ahli matematik skeptik dan subjektifis. Aspek lainnya ialah pentafsiran cerita-cerita itu sebagai satira bermatematik dalam kejahilan atau penyalahgunaan beberapa unsur matematik seperti ramalan, pengambilan risiko, ketakpastian, vektor, malah penambahan, persamaan, perbandingan dan arah.

2.1. Pembilangan
Prasasti Malayonesia (dalam bahasa Melayu pra-Islam) yang tertua setakat ini ialah yang dijumpai di Dong Yen Cau, Vietnam Tengah, bertarikh sekitar 400 M. Kandungan prasasti ini (Intan 1991, Coedes & Damais 1992) menunjukkan tamadun Malayonesia pada abad ke-4 M pun sudah tahu membilang sampai ribu (rivu/riwu); dan ada unit masa thun (tahun), dankulo/kalo (keturunan/generasi).

Sebagai perbandingan, dalam bahasa Inggeris, mengikut kamus etimologi bahasa Inggeris di internet, perkataan yang setara dengan ribu ialahthousand yang berasal  drp Proto-Jermanik (tiada tarikh yang jelas) dengan suku kata pertamanya thou- diambil daripada Sanskrit tawas yang bermaknakuat, gagah dsbnya, dan –and itu imbuhan yang bermakna “agen yang menjadikan sesuatu”. Oleh itu ahli etimologi Eropah berpendapat tiadalah  perkataan am Indo-Eropah bagi thousand. Ringkasan thou bagi thousandmuncul dalam pertengahan abad ke-19 M yang menunjukkan perkataanthousand itu sendiri agak baru diperlukan di dalam masyarakat berbahasa Inggeris. Perkataan year yang sepadan dengan tahun memang perkataan asal Inggeris yang mungkin sudah ada juga dalam masa yang sama dengan perkataan Melayu thun itu tetapi perkataan generation yang sepadan dengankulo/kalo itu diambil daripada Perancis, generacion, dalam abad ke-14 M sahaja.

Prasasti Kedukan Bukit, Palembang, Sumatera,  bertarikh 605 Saka=683 M (Coedes & Damais 1992) menunjukan dalam abad ke-7 M lagi tamadun Malayonesia sudah ada unit bilangan laksa (= puluh ribu); unit masawarsatita=tahun lepas, wulan=bulan, suklapaksa=dua minggu pertama setiap bulan, sistem bilangan ordinal hari seperti pancami = hari kelima,saptami=hari ketujuh, dan tiga nama bulan (waisakha, Laghu, dan Jyestha) yang menunjukkan nama setiap hari dalam seminggu dan bulan dalam setahun (warisan Hindia) sudah dihayati pada abad ke-7 M (hinggalah abad ke-13, masuknya Islam di Malayonesia). Apabila disemak pada prasasti lain lagi dan bahasa Sanskrit (di internet) maka dapatlah bilangan hari dan nama bulan itu:

Bilangan hari Malayonesia pra-Islam
Pratipada/Prathama=hari pertama+Dwitiya=hari kedua; Tritiya=hari ketiga, Caturti=hari keempat,+Pancami = hari kelima, Sasti=hari keenam,+Saptami=hari ketujuh
Setakat ini, tiadalah nama hari Sanskrit yang dijumpai di prasasti Malayonesia pra-Islam.

Nama-Nama bulan Malayonesia pra-Islam
+Caitya/Chaitra/Caitra/Chaitra/Citra (30 / 31* hari) mulai  Mac/Maret 22 / 21*,
+Waisakha/Waisyaka/Vaisakha (31 hari) mulai April 21,
+Jesta/Jyestha/Yaistha (31 hari) mulai Mei 22,
Asadha (31 hari) mulai Jun/Juni 22,
Syrawana/Shravana (31 hari) mulai Julai/Juli 23,
Badra/Bhadra (31 hari) mulai Ogos/ Augustus 23,
Aswina/Asvina (30 hari) mulai September 23,
+Kartika/Karttika (30 hari) mulai Oktober 23,
Agrahayana (30 hari) mulai November 22,
Pausa (30 hari) mulai Disember/Desember 22,
+Margasirsya/Margasirsha/Magha (30 hari) mulai Januari 21, dan
+Falgana/Phalgana/Phalguna (30 hari) mulai Februari 20.

Angka tarikh prasasti, iaitu tahun Saka 605 dengan simbolnya yang tersendiri, menunjukkan adanya sistem angka Malayonesia yang berasaskan sepuluh mengandungi kosong dan berkedudukan seperti sistem angka sekarang (Shaharir 1998/2000):
1        2       3       4       5         6          7          8             9             0

Angka ini sudah boleh dibaca dalam bahasa Melayu pra-Islam sebagai

eka/esa/asa/sa/satu [rivu(v)/riwu/rabu] (dan) dwa/dua/dwi/dvi [rtus/r(u)tuh] (dan) tya/tlu/tluv/kluv pluh pat/pak [juta] (dan) lima [keti/kot] (dan) nam/ban [laksa/taman] (dan) t(i)juh [rivu(v)/riwu/rabu] (dan) dualapan/dalapan [rtus/r(u)tuh] (dan) sa(a)lapan/sa(a)mbilan [pluh];

atau bacaan sekarang

satu [bilion/miliar/serijuta] (dan) dua [ratus] tiga puluh empat [juta] (dan) lima [ratus] enam [puluh] tujuh [ribu] (dan) lapan/dalapan [ratus] sembilan [puluh]

Ini boleh dianggap, sehingga kini, sistem angka perpuluhan berangka sifar dan berasas kedudukan yang tertua di dunia yang dihebahkan dalam Shaharir (1998/2000, 2001a)

Prasasti Talang Tuwo bertarikh 684 M (Coedes & Damais 1992) juga ada unit masa mengikut sistem hari ordinal (dwitiya=hari kedua), ada nama bulan (wulan)C[a]itra, dan ungkapan perihal masa yang khusus,nityakala=berkekalan/berpanjangan/tak berkesudahan; dantatkalana=pada masa itulah.

Prasasti Campa bertarikh 1088M (Shaharir 2008/2010: umbaian) ada istilah kala (purvvakala= dahulu/sebelumnya, sadakala=terus-menerus, anitya=sementera/afermeral; tra sidah=kini, dah=telah), unit berat logam berharga (thil dan dram)

Perhatikan dalam bacaan angka Malayonesia pra-Islam itu unit terbesarnya ialah juta sahaja. Sebenar nombor terbesar dalam pembilangan Malayonesia sekurang-kurangnya mulai abad ke-17 M (dalam Akayet Inra Patra, Campa) ialah kotchai yang bersamaan dengan seratus ribu juta atau seratus bilion/miliar/srijuta (Alinor 2010). Unit bilion,..dan x-lion yang lain lagi sehingga, mengikut Inggeris, zilion, dalam pembilangan Malayonesia besar kemungkinannya mulai ada dalam abad ke-19 M. Setakat ini yang kami jumpai ada dalam manuskrip/buku Ahmad al-Khatib, ‘Alam al Hussab fi ‘IlmHisab bertarikh 1307 H (skit. 1889 M). Manuskrip/buku (dalam bahasa Melayu klasik) ini  dapat juga memberi bayangan tahap pengetahuan matematik sarjana Malayonesia dalam abad ke-19 M. Unsur matematik dalam buku ini agak terkebelakang berbanding dengan matematik Eropah pada abad yang sama, abad ke-19 M, kerana tiadanya geometri Euklidan apatah lagi geometri bukan Euklidan, tiadanya bicara penyelesaian persamaan aljabar berdarjah lebih tinggi daripada 3, dan tiadanya kalkulus. Namun di dalam buku ini ada maklumat yang agak terkehadapan tentang  unit/satuan nombor besar-besar dengan imbuhan yang tidak semuanya daripada Sanskrit, iaitu eka-, dwi-,…, dasa-, duodasa- , …,  mil- (katalah sama dengan X), bi-(=X2), tri-, kater-, sanka-/sinki-, sisa-/sisi-, sita-/siti-,wita-/wita-, nuka-/nuki- (=X9) dan wisyi- (=X10). Jika dibandingkan dengan unit di dalam bahasa Inggeris sekarang seperti yang dua terakhir itunano- dan deci- (kedua-dua imbuhan Barat ini muncul terkemudian drp tarikh buku al-Khatib ini.  Sehingga kini asal-usulnya semua imbuhan ini masih belum terlerai sepenuhnya seperti yang dibicara di dalam Shaharir (2004).

Selain daripada unit bilangan Malayonesia dalam bentuk imbuhan yang bitara dan mendahului tamadun lain  itu, status keaslian dan etimologi bilangan kosong, satu hingga sepuluh/sapluh dalam bahasa Melayu itu juga menarik dikaji berbanding dengan nombor Inggeris zero, one hingga ten. Perkataan kosong hingga sepuluh itu semuanya asli bahasa Melayu (walaupun ada pertikaian keaslian satu dan dua; tetapi takkanlah dua perkataan bilangan kecil ini pinjaman yang lain tidak!) tetapi tidak demikian dengan bahasa Inggeris itu (Yang terkenalnya zero itu daripada bahasa Arab sifr dan one..hingga ten setiap satunya daripada bahasa Proto-Jermanik, Jerman, Latin, Yunani atau bahkan Sanskrit). Perkataan myriad Inggeris yang sepadan dengan laksa bukan sahaja daripada Perancis (yang wujud dalam abad ke-13 M sahaja) tetapi hanya diambilnya dalam abad ke-16 M sahaja. Tiada istilah Inggeris yang sepadan dengan keti atau taman. Perkataan milliondiambil daripada Perancis dalam pertengahan abad ke-14 M mungkin lebih awal masa munculnya dengan juta Melayu kerana catatan adanya juta Melayu yang kami ketahui setakat ini ialah pada catatan Pegafetta 1519 M tetapi mengenangkan ada bilangan x-llion Inggeris itu terkemudian drp x-lion Melayu seperti yang dibicarakan dalam Shaharir (2004a) besar kemungkinannya million dan juta Melayu juga sekurang-kurang sezaman munculnya dengan istilah Inggeris itu.

Pendeknya, Malayonesia pra-Islam sudah pun lengkap sistem penomboran dan pengangkaannya dan kedatangan Islam sepatutnya tidaklah mengubah sistem pengangkaannya dan penomboran ini kecuali aspek pentafsirannya tentang sesuatu nombor kerana perubahan nilai menerusi perubahan agama mereka itu. Namun ternyata hal ini berlaku sebaliknya di Malayonesia Barat terutamanya, iaitu mereka meninggalkan sistem angka mereka ini dan mendukung sistem angka Arab pula, al-Arqam al-Hindiyah (Angka Arab sekarang), bukannya al-Arqam al-Maghribiyah (Angka sekarang) yang juga ciptaan Tamadun Islam. Angka al-Arqam al-Maghribiyaht diambil menerusi penjajah sehingga angka itu dikenali angka penjajah pula (angka Inggeris di Malaysia atau angka Belanda di Indonesia, mungkin angka Perancis di Indocina?; tetapi yang menariknya ‘Umar al-Kelantani menamakan angka Arab sekarang sebagai “huruf yang dihantar akan dia oleh hukam’ negeri Hindi”, dan tidak menamakan apa-apa terhadap angka 0, 1,2,.., sekarang ini tetapi bulan Gregory ini sebagai bulan Afranj, di dalam manuskrip terjemahannya, al-Durar al-Bahiyaht 1318 H/1904 M). Yang tidak kurangn menariknya juga ialah tafsiran beberapa nombor dalam bahasa Melayu klasik masih berbeza daripada tafsiran nombor itu di dalam bahasa Inggeris, khususnya tafsiran nombor kosong hingga sepuluh (Shaharir 2009a) waima zaman pra-Islam atau zaman Islamnya. Ini pun peranan bahasa dalam penomboran. Angka Malayonesia pra-Islam masih diwarisi oleh Jawa hingga kini.

Sementara itu, dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat tiga  Istilah tentang melempah ruahnya sesuatu kuantiti, iaitu “tiada terpermanai”, “tiada terkira-kira” dan “tiada terhisabkan” yang mempunyai perbezaan maknanya yang cukup halus (Shaharir 2006a,b, 2010b). “Tiada terpermanai”  untuk benda atau perkara yang amat banyak sehingga mungkin tak habis-habis sukatannya dan tiadalah pula  jelas asal-usul atau kejadiannya; “tiada terkira-kira” untuk barang atau benda yang bernilai (wang) dan banyak pula; manakala  “tiada terhisabkan”  ialah untuk benda atau perkara yang amat banyak dan sukar dihitung seperti bulu kambing dan bintang itu. Istilah-istilah ini masih berpotensi untuk diangkat menjadi istilah matematik melampaui terhingga sekarang kerana dalam matematik Barat yang kita warisi kini, hanya ada dua konsep tidak boleh bilang, iaitu “tidak boleh bilang” (uncountable, terjemahan drp konsep Jerman unzählbar), “tidak/tak terangkakan” (nondenumerable, terjemahan daripada konsep Jermanunabzahlbar), dan dua konsep “tidak/tak  terhingga/berhingga”, iaitu ketakterhinggan boleh bilang (countable infinity) dan ketakterhinggan tak boleh bilang  (uncountable infinity) kedua-duanya berasal daripada konsep tak terhingga  dalam bahasa Inggeris infinite yang berupa terjemahan Inggeris kepada  konsep Jerman endlosigkeit.   Perhatikan jika istilah infinitydaripada infinite itu diambil sebagai infiniti dalam bahasa Melayu moden (yang sudah pun semakin menjadi begitu), maka hilanglah tiga konsep “infiniti” dalam bahasa Melayu klasik itu. Yang pasti hilangnya apabila ilmu ini diajar di dalam bahasa Inggeris!

Unit hari, masa dan berat (thil dan dram) yang kami peroleh daripada prasasti abad ke-11 M di atas demikianlah juga statusnya mendahului Inggeris, bahkan dipercayai unit drum Inggeris itu diambil dari bahasa Belanda pada pertengahan abad ke-16 M sahaja, dan Belanda mengambilnya dari bahasa Melayu-Campa. Mungkin sahaja Eropah mengambil daripada pehijrah Campa ke Eropah Tengah sejak abad ke-15 M itu menjadi suku kaum yang dikenali sebagai Chimera itu. Unit berat Inggeris, pound diambil drp Latin libra pondo (hingga ringkasannya pun dikekalkan lb hingga sekarang yang masih dipakai di AS) pada abad ke-14 M sahaja. Unit “dua minggu pertama setiap bulan”, iaitu suklapaksa, tiada di dalam bahasa Inggeris. Kajian kami pada peribahasa dan sumber-sumber manuskrip dan prasasti lain lagi menunjukkan tamadun Malayonesia memang  banyak unit fizik yang mendahului tamadun Eropah (lihat Shaharir 2012b) tetapi semuanya tertimbus dek penjajah.

2.2.Mantik Malayonesia
Kajian Shaharir (2011b) tentang mantik Malayonesia menerusi bahasanya di beberapa buah prasasti sebelum abad ke-11 M menunjukkan mantik dua dua-nilai yang lengkap (dengan konjungsi yang setara dengan “dan”, disjungsi yang setara dengan “atau”, penafian (dengan awalan/perkataan a-/an- = tak/bukan, jańgan  =tidak, wukan = bukan) dan implikasi keras (setara dengan ayat “Jika A maka pastilah N”) dan lembut (setara dengan ayat, “Jika A maka moga-moga/mudah-mudahan/harap-harap/dsb N”) sudah wujud sebelum abad ke-11 M. Ayat-ayat implikasi dalam prasasti Malayonesia pra-Islam itu menunjukkan implikasinya tidaklah keras tetapi beralas dengan menggunakan perkataan moga-moga, mudah-mudahan dan sebagainya yang istilah asalnya ialah punarapi  seperti dalam ayat yang berikut:

Jadi laki swayambhu punarapi tmu ya
(Dlm BM kini: (Sekiranya/Jikalaulah) lahir lelaki mudah-mudahan dia bertemu/beroleh swa-kekuatan/swa-wujud.) [Ubahsuai pada terj. prasasti Talang Tuwo 685 M dlm Noriah 1999 dan Coedes-Damais 1992]

Punarapi tmu ya kalyanamitra.
(Dlm BM kini: Semoga dia bertemu/beroleh sahabat yang bijaksana)
[Ubahsuai pada terj. prasasti Talang Tuwo  685 Moleh Noriah 1999 dan Coedes-Damais 1992]

Di dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi 686 M ini ada pula dua ayat berimplikasi (yang tidak bertaraf pasti) yang berbentuk “Apabila/Tatkala …. , (maka) biarlah” (Kadaci … dhawa) dan “Sesiapa yang … (maka) mudah-mudahan…” (Yamng … tuwi). Dua ayat itu ialah yang berikut:

Kadaci yamng uramng di dalamna bhumi {ajnana kedatuan ini} parawis drohaka hanun samwuddhi lawan drohaka manujari darohaka niujari drohaka tahu dim darohaka tida ya mar{p}padah tida ya bhakti tida ya itatwarjjawa diy aku dngan di iyam nigalarku sanyasa datua dhawa wuatna uramng inan niwunuh ya sumpah….
(Dlm bahasa Melayu kini, gabungan terjemahan Noriah 1999 dan Coedes-Damais 1992: Apabila ada orang di bumi di bawah kerajaan ini berpakat dengan orang jahat, menegur orang jahat, mendengar kata orang jahat, mengenali orang jahat, tidak menghormati, tidak tunduk, tidak setia, akan daku dan akan dia, yang kuberi kedudukan datu, (maka) biarlah mereka ini mati kena sumpah…)

Yamng manuruh marjjahati yamng marjjahati yamng watu nipratistha ini tuwiniwunuh ya sumpah talu muah ya mulamng
(Dlm bahasa Melayu kini, gabungan terjemahan Noriah 1999 dan Coedes-Damais 1992: Sesiapa yang menyuruh orang memusnahkan atau mereka sendiri memusnahkan batu yang dipacak/dibangunkan ini, (maka) mudah-mudahan mereka pula mati dimakan sumpah dan dihukum segera)

Perkataan terawal yang kami jumpai yang menunjukkan ayat berimplikasi ialah mata yang dipakai dalam prasasti Kedukan Bukit 683 M dengan maksud “memandangkan …”, “dengan kehadiran itu …” atau “sehubungan dengan itu…” dan sebagainya. Beberapa tahun kemudian di prasasti Talang Tuwo ada perkataan projanakan = memandangkan, tmu = beroleh  juga membawa maksud yang serupa. Perkataan man = maka dan hetu =oleh itu, ada dalam prasasti Campa awal abad ke-11 M; manakala perkataan makasendiri yang bermaksud “menyebabkan” atau “menjadi” banyak muncul dalam prasasti Kota Kapur dan Karang Berahi (bertarikh 686 M) dalam ungkapan makalangit, makasakit, dan makagila, serta dalam prasasti Boom Baru, Palembang,  bertarikh sekitar abad ke-7 M juga, dalam ungkapan yang sama tetapi dengan transliterasi dua kata: maka langit, maka sakit, danmaka gila.  Contoh ayatnya ialah yang berikut:

Tathapi sawanakna yamng wuatna jahat makalangit uramng makasakit makagila mantra gada wisaprayoga upuh tuwa tamwal saramwat kasihan wasikarana ityewamadi jangan muah ya siddhapulamng ka iya muah yamng dosana wuatna jahat inan [Prasasti Karang Berahi dan Kota Kapur]

(Dlm bahasa Melayu kini, gabungan terjemahan Noriah 1999 dan Coedes-Damais 1992: Begitu juga, sekalian mereka yang berbuat jahat (seperti) menjadi fikiran orang terganggu (menjadi marah, tidak waras), membuat orang menjadi sakit, membuat orang menjadi gila, menggunakan mantera untuk ubat guna-guna, dan menggunakan racun upuh/Ipoh, tuba, sirih setangkai (yang telah dibubuh guna-guna), menggunakan ubat pengasih, melakukan paksaan dan lain-lain, (semoga perbuatannya itu) gagal dan mengena balik kepada yang berdosa berbuat jahat itu)

Perkataan pengkuatiti yang penting dalam mantik yang lengkap itu ialah sawanakna (=setiap suatu), waram (= barang/sebarang, apa saja, apabila), (sarwwa, parawis dan sawanakna) yang dipakai untuk maksud semua mengikut konteksnya, dan kathamapi (= sebarang cara, mengikut apa cara pun), pala (=setiap), dan dom (=semua). Perkataan pewujud yang tidak kurang penting dalam system mantik ialah yambhu (= ada/wujud/ujud). Semua ini ada dalam prasasti Talang Tuwo yang bertarikh 685 M. Perkataan pewujud  mada (menjadi perkataan ada sekarang) muncul dalam prasasti Campa awal abad ke-11 M.

Berkenaan dengan konjungsi, selain daripada yang terkenalnya, “dan” (=dan sekarang), ada pula konjungsi nan (=dan atau dengan), dngan/dangan(=dengan), tathapi (=dan juga) yang semuanya ada dalam prasasti Talang Tuwo. Namun Disjungsi yang setara dengan atau hanya  wujud dalam prasasti Campa awal abad ke-11 M, iaitu  yava. Nampaknya tanpa perkataan yang bermaksud “atau”,  tidaklah mengelirukan kerana konteksnya dapat menentukan “dan” atau “atau” itu.

Manuskrip di PNM berkatalog Mss 781(2), tanpa judul, tanpa tarikh dan anama penulisnya, tetapi dipercayai karya Nur al-Dyn al-Ranyry kerana dikatalog bersekali dengan karya al-Ranyry MSS 781(1) ialah berkenaan dengan mantik Burhan. Ini unsur mantik khusus ciptaan sarjana Tamadun Islam. inilah manuskrip mantik Malayonesia Islam yang tertua setakat ini. Apabila mantik ini dibandingkan dengan mantik sezamannya di Eropah, ternyata mantik Burhan ini mendahulu sistem mantik di Eropah (Shaharir 2009b).

Unsur mantik yang dikaji daripada bahasa di dalam manuskrip Hikayat Raja Pasai (Shaharir 2006a,b, 2010b) yang dipercayai ditulis tidak melewati abad ke-16 M bukan sahaja menunjukkan tahap berbahasa dengan mantiknya di kalangan sarjana Malayonesia pada abad tersebut sudahlah tinggi dan canggih sama seperti sekarang, tetapi bahasa mantiknya begitu halus yang cukup berbeza dengan bahasa mantik Malayonesia pra-Islam atau moden ini, walaupun anehnya tiada pula ayat berimplikasi tidak tegas seperti menggunakan moga-moga, atau insya Allah sesuai dengan ajaran ahl sunnah wa al-jamaah itu. Mantik yang terpapar di dalam Hikayat Raja Pasai (HRP) ialah mantik dua-nilai berimplikasi tegas-lembut sahaja. Contoh retorik berimplikasi dan penafian lembut yang indah itu ialah, “Jika hamba mau daruhaka, jika Pasai sePasainya, jika Siam seSiamnya, jika Cina seCinanya, jika Jawa seJawanya, jika Keling seKelingnya tiada dapat melawan aku”. (HRP: 50). Contoh ayat kontrapositifnya, “Jikalau Si Beraim Bapa tiada kubunuh, kerajaanku jangan kekal dan bau syurhga pun jangan kucium”. (HRP: 41). Walau apa pun Shaharir (2009c) membuktikan model matematik bagi sistem mantik berimplikasi lembut seperti implikasi Melayu sejak zaman pra-Islam lagi itu dan kini oleh ajaran Islam, mazhab ahl sunnah wa al-Jama‘ah, masih belum dapat diwujudkan.

2.3. Fizik
Satu daripada perkara asas yang dibicarakan di dalam fizik ialah asal-usul jirim, bahkan takrif fizik yang lumrah ialah kajian jirim dan interaksi antaranya.  Fizik Barat sebelum abad ke-19 M berpegang kepada teori yang kononnya daripada sains Yunani, bahawa asal kejadian jirim ialah tanah, air, api dan angin atau ditambah satu lagi unsur (digelar unsur  asasi jirim yang kelima) yang dalam bahasa Yunaninya, aether (menjadi ather dalam bahasa Inggeris, al-athir dalam Tamadun Islam, dan eter dalam bahasa Melayu moden tanpa kesedaran etimologi perkataan Inggeris itu dan warisan bangsanya tentang ilmu ini). Kewujudan aether ini dipadamkan oleh ujikaji Michelson dan Morley 1887, atau oleh Teori Kenisbian Einstein awal 1905. Dalam sains Hindia (lebih awal daripada sains Yunani) unsur kelima ini dinamai akasa. Kewujudan unsur asasi kelima ini menjadi kontroversi akhir-akhir ini kerana kelemahn teori Einstein itu sendiri (lihat seksyen 3.2) dan ditambah pula dengan penyerlahan kesilapan ujikaji Michelson dan Morley, dan adanya beberapa teori aether baharu kini.

Dalam ilmu Malayonesia pra-Islam, Shaharir (2009/2012) mendapati Tamadun Jawa kuno sebelum abad ke-11 M mengubah-suai teori lima unsur asasi kejadian Jawa-Hindu kepada panca tanmatra (lima unsur yang halus/subtel) yang terdiri daripada akasa (angkasa), vayu (angin/bayu), agni(api), apah (air) dan prthiwi (pertiwi/tanah) mengikut tertib masa kemunculannya dari yang terawalnya akasa dan terakhirnya prthiwi itu. Teori ini menerima juga teori alternatif Jawa-Buddha dengan teori  panca tathagata(lima unsur emanasi) yang menerbitkan lima unsur asasi kejadian yang terdiri daripada Wairocana menjadi unsur siti/bhumi (tanah/bumi),Ratnasambhawa, menjadi banyu (air), Amitabha menjadi geni (api),Amoghasiddhi menjadi vayu (angin/bayu) dan Aksobhya menjadi akasa. Teori ini diwarisi oleh sarjana Jawa turun-temurun tanpa perubahan istilahnya kecuali unsur kelima itu (akasa) diistilahkan semula sebagai angkasa atau langit. Dalam manuskrip Melayu-Jawi, lima unsur asasi kejadiaan ini menjadi gabungan warisan Tamadun Islam dan Jawa Kuno/Purba (Jawa-Hindu-Buddha) iaitu tanah/bumi , air, api, hdaway (hawa)/angin dan langit. Ini dijumpai di dalam manuskrip Mss 423 di PNM yang tanpa tahun dan judul tulisannya tetapi dianggarkan sekitar abad ke-17 M ke-18 M. Empat istilah unsur asasi (istilah dahulu “anasir kejadian”) pertama itu yang tertuanya setakat ini dijumpai dalam Taj al-Salatdin oleh Bukhary al-Jawhary (1603). Empat unsur pertama itu juga ada di dalam manuskrip Melayu-Jawi MS781(1) karya Nur al-Din al-Ranyry (Nuruddin al-Raniri) berjudul Fi Khalq Samawat  wa al-Ardh  1047 H (skit. 1637/38 M),  manuskrip Jawa-Melayu Surat Tdib Ubat” oleh Muhammad (t.t) yang disalin pula oleh Salleh ibni Ahmad Penambang pada 1288 H (skit. 1871 M), Manuskrip Melayu-Jawi MS1514 bertarikh 1343 H = skit. 1924 M yang pengarang?/penyalinnya? ialah Muhamad Yusof al-Jari ibn Budah, manuskrip Melayu-Melayu-Jawi MS505 berjudul Kitab Seribu Masalah oleh Abdullah Ibn Thamud (t.t), dan manuskrip Melayu-Jawi Mss 423 (t.t). Berdasarkan manuskrip Melayu-Jawi MS1514 di atas teori unsur asasi kejadian ini adalah sebahagian daripada teori Martabat Tujuh, sebuah kosmogenesis Melayu-Islam abad ke-16 M.

Penemuan ini mengesahkan tamadun Malayonesia juga berteori tentang unsur asasi jirim seperti yang kami jangkakan kerana bahasa Melayu kini ada “angkasa” yang kami percaya berasal daripada akasa itu.
Manuskrip Melayu-Jawi  ‘Aqa’id al-Nasafi (terjemahan 1592) mengadungi teori unsur jirim Jawhar dan ‘aradh yang sarat dengan keagamaan Islam. Teori ini juga didukungi oleh ahli fizik Eropah (dengan menyesuaikannya kepada Kristian) di sekitar abad yang sama hingga abad ke-19 apabila teori ini digantikannya dengan teori atomnya yang diasaskannya pada  konsep atom Yunani yang tidak bertuhan itu dan dikembangkan menjadi teori quantum pada awal abad ke-20 (Shaharir 2009/2012). Kelemahan teori quantum (lihat 3.2) menambahkan lagi sarjana Muslim mengkaji semula pendiriannya terhadap teori jawhar dan ‘aradh itu dsn mungkin mendapat inspirasi baharu untuk mengembangkannya lagi.
2.4.Astronomi, Kosmologi dan Kosmogeni Malayonesia
Sebelum orang Malayonesia mengambil istilah astronomi menerusi penjajahnya, atau falak menerusi Islam, mereka ada istilahnya sendiri, iaituhorasastera. (daripada Sanskrit, hora bermakna bintang yang juga diambil oleh Latin dan seterusnya diambil Inggeris seperti horo dalam dalam katahoroscope, dan hour). Horasastera Malayonesia sarat dengan astrologi, astronomi, kosmologi dan komogoni Hindu-Buddha yang pernah cuba diIslamkan sebagaimana yang dihuraikan oleh Shaharir (2007/2008), tetapi kini sudah diabaikan langsung. Nama-nama objek di langit (bulan, bintang dan planet) bagi horasasterawan sama sahaja dengan nama-nama objek itu dalam Sanskrit atau Pali. Prasasti Talang Tuwo bertarikh 606 S=684 M ada  istilah graha=planet, dan neksatra=buruj atau mahligai qamar, yang menunjukkan pengetahuan objek-objek ini dari Tamadun Hindu-Buddha sudah diketahui oleh Malayonesia sekurang-kurangnya sejak abad ke-7 M lagi. Nama-nama graha dan neksatra kemudian ditukar kepada istilah Arab  mungkin sejak abad ke-13 M hingga kini, walaupun istilah dari bahasa Inggeris juga digunakan.  Senarai nama planet dan buruj dalam bahasa Hindia/Malayonesia pra-Islam, Arab/Malayonesia Islam dan Inggeris/Latin/Malayonesia moden ada dalam Shaharir (2010a). Amat menarik juga adanya nama-nama bintang dalam bahasa Austronesia atau yang akrab dengannya, iaitu Dara (dikatakan bahasa Khmer Purba), Ketu(bahasa Tibet), Sitara (bahasa Sanskrit), Tara (Sanskrit), Tu (bahasa Vietnam) dan Whetu (bahasa Maori). Yang paling menarik ialah bintang Dara itu kerana Khmer Purba itu sebenarnya zaman kerajaan Funan dan Campa, bahkan perkataan dara memang perkataan Melayu hingga hari ini. Mungkinkah bintang ini ditemui oleh horasasterawan Funan atau Campa? Bintang yang lain-lain itu juga boleh dihipotesiskan demikian juga jika bintang-bintang itu memang ditemui dalam abad ke-2 M hingga ke-13 M.  Ini belumlah dapat dipastikan. Apa pun syarat perlu bagi menjadi ilmu Malayonesia bagi bintangDara dan Whetu itu sudah dipenuhi.

Manuskrip MS505, Kitab Seribu Masalah  di PNM setebal 108 pipi oleh  Abdullah Ibn Thamud (tanpa tarikh) (mungkin nama pengarang asalnya) yang penterjemah/penyalin manuskrip ini dan tarikhnya tidak diketahui, antara lainnya ada membicarakan unsur fizik dan kosmologi-kosmogoni yang persoalannya masih diminati kini. Perihal kejadian alam semesta di dalam manuskrip ini ada kesamaannya dengan yang di dalam manuskrip al-Ranyry MSS 781(1) di PNM yang dibicarakan lagi di bawah ini sehingga boleh memberi hipotesis  baru tentang asal-usul manuskrip al-Ranyry itu.
Manuskrip Mss 781(1), Khalaq al-Samawat  al-Ardh (Penuhnya: Fashl awwal fi Bayaan maa Khalaq Allah Ta’ala wa Khalaq al-Samawat  al-Ardh wama Ta’aluqu biaidi ‘Alaihi Fushuk. Fasal yang Pertama pada Menyatakan Peri yang Pertama Dijadikan Allah Ta’ala dan Peri Kejadian Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi dan Barang yang Ta’aluk pada Keduanya dan Di Dalamnya Beberapa Fasal), setebal 105 pp, karya terjemahan Nur al-Dyn al-Ranyry/Nuruddin al-Raniri. Namun tiadalah tarikh karyanya (tetapi boleh dipercayai lebih awal daripada tarikh bukunya, Bustan al-Salatdin 1639. Karya ini juga dimuatkan ke  dalam Bab 1 buku itu, dan ada juga di dalamTaj al-Muluk, sebuah antologi manuskrip yang masyhur itu, yang disusun oleh Isma’il Acih yang tiada tarikhnya juga. (Bustan al-Saltdin sudah ditransliterasi sepenuhnya oleh Jelani Harun dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2004; Namun ternyata versi Jelani itu ada banyak juga perbezaannya dengan Mss 781(1) yang kami telaah dan transliterasinya, dan oleh itu transliterasi Jelani ini tentunya boleh menjadi bahan kajian tambahan lagi lebih-lebih lagi didapati juga berbezanya kedua-dua versi ini dengan yang di dalam Taj al-Muluk itu). Bahan manuskrip Mss 781(1) ini sudah pun menjadi bahan makalah dan buku berhubung dengan kritikan terhadap Teori Einstein, Teori Quantum dan kosmologi-kosmogeni moden (Lihat Shaharir 2011c: seksyen 3.1) dan makalah (Shaharir 2010a).

Status astronomi Malayonesia Islam atau ilmu falak Malayonesia Islam dapat ditelaah dalam tesis D.Fal Baharrudin (2010) yang berasaskan pada puluhan manuskrip falaq di Malayonesia ini daripada yang tertuanya (setakat yang dijumpai sehingga kini) hinggalah awal abad ke-20 M. Berikut ialah petikan (dengan perubahan yang minimal) bab terakhir tesisnya itu yang memberi kesimpulan tesis tersebut dan sekaligus menjawab status ilmu ini di Malayonesia, khususnya astronomi Malayonesia Islam sebelum awal abad ke-20.

Bidang utama astronomi Malayonesia Islam ialah pengukuran waktu,  taqwim,  jadual astronomi/falak,  penggunaan Sukuan Sinus dan  ilmu Bintang Dua Belas. Setiap satu melibatkan aspek teori dan amali serta penggunaan aritmetik, geometri dan trigonometri. Mengikut Baharrudin, Astronomi Malayonesia Islam mencapai kemuncaknya antara 1930-an sehingga 1950-an dengan munculnya para ulama yang mempunyai kecenderungan menghasilkan karya mereka untuk digunakan sebagai bahan mengajar demi keterlestarian ilmu ini. Seramai empat puluh orang tokoh ulama-astronomi/ulama-falak Malayonesia telah dikenal pasti yang berkarya secara aktif bagi tempoh masa antara 1840-an sehingga akhir 1950-an. Tujuh orang daripadanya dianggap sarjana besar dalam astronomi/falak Malayonesia Islam (abad ke-18 hingga ke-19 M) ialah al-Himyari, Arsyad al-Banjari, ‘Abbas Kutukarang, Ahmad al-Fatdany, Ahmad al-Khatib, ‘Umar Isma‘il Nur al-Dyn, dan Muhammad Nur Isma‘il kerana karya-karya mereka ini dianggap mengatasi yang lain dan terbukti keupayaannya melahirkan golongan pelapis yang mewarisinya. Terdapat juga kecenderungan sebilangan ahli astronomi/falak Malayonesia Islam membuat terjemahan di samping menghasilkan karya baharu untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran ilmu ini. Inisiatif  dan usaha ini timbul atas dasar ilmu falak merupakan ilmu pelengkap kepada ilmu-ilmu agama yang perlu sampai ke peringkat akar umbi masyarakat. Baharrudin mendapati usaha-usaha melakukan inovasi dalam kaedah-kaedah ilmu astronomi/falak yang diwarisinya daripada Tamadun Islam memang dilakukan, sehingga kaedah hitungan astronomi/falak berkembang maju dari sains rakyat kepada sistemhisab munajjimin dan penggunaan Sukuan Sinus serta seterusnya dengan kaedah logaritma. Kaedah-kaedah terapan/aplikasi astronomi/falak tersebut saling berkaitan keperluannya. Bermula dari aspek penentuan waktu sehinggalah penentuan tanda-tanda geografi dan geometri langit, semua hasil ini digunakan bagi memenuhi keperluan ibadat dan ikhtiar hidup. Analisis mengenai taqwim dan isu yang berkaitan dengannya, menunjukkan masyarakat Malayonesia  peka dengan perubahan mekanisme taqwim, apabila secara beransur-ansur boleh menggantikan taqwim pengaruh Hindu kepada taqwim yang dimajukan oleh ahli-ahli astronomi/falak zaman Tamadun Islam. Taqwim Hijri Malayonesia juga didapati mempunyai unsur-unsur sains matematik yang jelas, sebagai kesan pengaruh sains Tamadun Islam. Pengubahsuaian konsep taqwim dengan mengekalkan ciri-ciri tempatan terserlah apabila ahli-ahli astronomi/falak tempatan yang membantu Seri Sultan Muhammad (Sultan Agung Prabu Hanyokrokusum) sultan Mataram Islam 1633 M di Jawa, menyusun taqwim Jawa-Islam pada kurun ke-17 M telah menggunakan kuantiti tersendiri berkaitan tempoh purata tahun qamariyah. Langkah ini dibuat untuk mengekalkan sebahagian ciri-ciri taqwim Hindu, etnosains Jawa dan menyesuaikannya pula dengan sains Tamadun Islam. Ciri-ciri taqwim Hindu dan etnosains Jawa merupakan pengetahuan yang popular ketika itu. Justeru dengan pengubasuaian ini, masyarakat dapat menerimanya secara lebih mudah. Baharrudin mendapati jadual-jadual astronomi/falak Malayonesia pula, sebahagiannya merupakan ambilan terus dari bahan Tamadun Islam. Sebahagian lagi diubahsuai untuk kegunaan Malayonesia dan ada yang merupakan hasil hitungan oleh ahli-ahli astronomi/falak Malayonesia sendiri. Antara jadual astronomi/falak yang diubah suai bagi kegunaan Malayonesia, termasuklah jadual berkaitan parameter hitungan waktu-waktu solat dan sudut kiblat. Kemajuan penggunaan jadual astronomi/falak ini juga merupakan lanjutan kemajuan teknik sains rakyat yang diterima sebelum ini sebagaimana dibuktikan dalam karya-karya klasik (berasaskan Hikayat Raja Pasai dan Sulalaht al-Salatdinatau Sejarah Melayu). Kaedah penggunaan  maklumat panjang bayang-bayang Matahari juga terdapat sebagaimana dalam MS Malay d.1 (bertarikh 1175 H /1762 M, tersimpan di Bodlein Library, London dan di PNM berkatalog MKM645) sehingga penggunaan logaritma pada 1930-an. Proses ini juga merupakan nilai penyesuaian yang diterima untuk membolehkan penerapan ilmu astronomi/falak dalam ibadat dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi.

Sebanyak 48 buah manuskrip astrononi/falak Malayonesia yang ditelaah oleh Baharrudin sepanjang penyediaan tesis D. Fal beliau di UPM tetapi tiga  daripada manuskrip itu dianggapnya karya yang besar dan berpengaruh. Karya-karya itu ialah MS Malay d1, Sabilih al-Muhdtadyn, Siraj al-Zhalam danSullam al-Naiyiraini.

Manuskrip MS Malay d.1 (daripada Bodlein Library, London) atau di PNM berkatalog MKM 645, boleh dianggap manuskrip astronomi/falak Malayonesia Islam yang tertua setakat ini (bertarikh 1175 H bersamaan dengan 1762 M). Penulisnya Ibn Shaddad al-Himyari berbangsa Arab Yaman tetapi karya in di dalam bahasa Melayu klasik. Karya ini bukanlah ditulis untuk  kegunaan rantau Malayonesia kerana tiadanya proses sintesis atau ubah suai data kuantitatif yang dapat dikesan,  walaupun beberapa konsep ilmu astronomi/falak yang dinyatakan dalam manuskrip ini memang digunakan di Malayonesia. Antaranya penggunaan ukuran panjang bayang untuk penentuan waktu solat zuhur dan asar dengan skala tertentu masih sesuai digunakan di Malayonesia.

Naskhah  Sabilih al-Muhdtadyn pula jelas menunjukkan ada unsur-unsur ilmu astronomi/falak di dalamnya yang digunakan secara langsung dalam ibadat orang-orang Islam. Kandungan dan kaedah penyampaian unsur-unsur ilmu astronomi/falak ini menunjukkan pengarangnya, Syaykh/Syeikh Arsyad al-Banjary/al-Banjari mempunyai pengetahuan ilmu astronomi/falak yang tinggi. Karya ini ditulis dalam tahun 1195 H bersamaan dengan 1780 M. Kaedah ilmu astronomi/falak yang disampaikan dalam naskhah ini dipersembahkan dalam bentuk sains rakyat dan astronomi/falak bermatematik yang diambil dari kitab fekah utama tetapi telah disesuaikan untuk kegunaan orang di Malayonesia. Selain itu, naskhah  Sabilih al-Muhdtadyn juga didapati sarat dengan istilah teknik dalam astronomi/falak yang kami buktikan  melalui adaptasi terhadap sesuatu petikan dan illustrasi rajah.

Unsur-unsur matematik yang dapat dirumuskan daripada naskhah Siraj al-Zhalam oleh ‘Abbas Kutakarang 1266 H bersamaan dengan 1849 M (cetakan pertamanya 1882) pula membicara kaedah penyusunan taqwim Hijri (Arabi) secara hitungan dan taqwim  yang berasaskan ramalan. Kaedah penyusunan taqwim ini merupakan pengaruh penyusunan taqwim Tamadun Islam secara langsung, termasuk penggunaan huruf tahun sebagai taqwim yang popular digunakan di  Malayonesia.  Terapan taqwim dalam kegiatan seharian masyarakat yang berasaskan ramalan dalam naskhah Siraj al-Zhalam ini didapati berbaur antara pengaruh Tamadun Islam dengan pengaruh Hindu. Walau bagaimanapun,  dalam keadaan inilah sebenarnya terdapat etnosains yang dimiliki oleh masyarakat seperti sukatan taqwim dan masa serta pengetahuan astrometri buruj dan bintang. Baharrudin mendapati sebuah jadual yang penting dalam naskhah Siraj al-Zhalam telah disalin dengan beberapa kesilapan. Beliau melakukan pembetulan terhadapnya dan dirakam di dalam tesis beliau itu. Oleh kerana naskhah ini menjadi rujukan dalam beberapa naskhah ilmu ramalan seperti Taj al-Muluk, kesilapan ini kemungkinan menjejaskan hubungan antara tarikh-tarikh Hijri dengan taqwim berasaskan ramalan yang salah itu.

Dalam tesisnya juga, Baharrudin menunjukkan keberkesanan penggunaan Sukuan Sinus (Rubu‘ Mujayyb) sebagai peralatan matematik yang digunakan untuk penerbitan sifir-sifir trigonometri dan penyelesaian persamaan trigonometri. Kemudahan ini dapat membantu penyelesaian hitungan waktu-waktu solat, arah kiblat, taqwim dan parameter geomaklumat  serta kerja-kerja yang melibatkan pengukuran saiz dan matra geometri.  Setiap satu penyelesaian ini merupakan keperluan seharian masyarakat. Penggunaan Sukuan Sinus juga merupakan satu contoh bagaimana konsep hitungan dan amali astronomi/falak digunakan dalam keadaan sebenar. Langkah-langkah penggunaan Sukuan Sinus yang dinyatakan secara perihalan juga mencabar penggunanya berfikir secara kritis dan kreatif berbanding dengan penggunaan rumus secara kuantitatif dengan simbol tertentu. Adaptasi rumus pula telah menunjukkan penglibatan persamaan-persamaan trigonometri dalam kaedah hitungan secara perihalan sebagaimana yang terdapat dalam naskhah astronomi/falak yang dikaji. Konsep matematik yang terdapat dalam penggunaan Sukuan Sinus memerlukan kemahiran berfikir  yang tinggi, berbanding penyelesaian secara ambilan jadual falak atau pengiraan semata-mata. Kemahiran berfikir ini sebenarnya satu proses membina keterampilan sahsiah yang menjadi matlamat setiap proses pendidikan. Menerusi kajian penggunaan Sukuan Sinus ini, Baharrudin juga telah membuktikan adanya hubungan ilmu astronomi/falak Malayonesia dengan sains Tamadun Islam melalui Risalah al-Maridini yang terdapat dalam nota keliling naskhah al-Jauharun Naqiyyah dan disalin semula oleh Syaykh Ahmad al-Fatdany (Syeikh Ahmad al-Fathani/al-Fatani) sebagaiRisalah fi al-A‘amal bil Rubu‘ al-Mujayyab. Selain sumber Sibti al-Maridini melalui naskhahnya yang digunakan secara berleluasa. Baharrudin juga membuktikan beberapa rumus trigonometri dalam naskhah berkaitan Sukuan Sinus merupaksn sumber sains Tamadun Islam.

Baharrudin juga membincangkan kesan penerapan ilmu astronomi/falak termasuk sub-bidangnya terhadap tashawwur Malayonesia. Penerapan  ilmu astronomi/falak telah dikaji dalam konteks sains rakyat dan budaya. Oleh kerana ruang lingkup budaya yang luas, unsur-unsur etnomatematik dalam skop budaya lebih bersifat matematik kabur berbanding dengan sifat perihalan ataupun kuantitatifnya. Antara unsur-unsur etnomatematik yang terdapat dalam sistem kepercayaan termasuk pemahaman kosmologi yang berkaitan dengan struktur alam,  konsep yang tersusun serta pengetahuan tentang buruj dan aspek astrometrinya. Penggunaan konsep Bintang Tujuh dan Bintang Dua Belas sebagai unit taqwim menunjukkan masyarakat di Malayonesia memberikan takrif yang berbeza antara graha/planet (sebagai Bintang Tujuh) dengan buruj sebagai bintang tetap. Unsur-unsur etnomatematik yang dapat digarap dalam ilmu pengetahuan pula termasuklah penggunaan taqwim yang berasaskan ramalan dan penggunaan unit sukatan yang dijelmakan daripada pemahaman masyarakat tentang ilmu astronomi/falak.

Seterusnya, Baharrudin membincangkan sumber ilmu astronomi/falak Malayonesia Islam daripada sains Tamadun Islam. Dari aspek pedagogi, penonjolan sumber ini merupakan kekuatan kepada usaha-usaha penyebaran ilmu pengetahuan yang berasaskan sains dan matematik. Keadaan yang sama menjelaskan sebabnya  Ilmu Bintang Dua Belas mendapat kedudukan yang baik kepada masyarakat Malayonesia, kerana sumbernya dari sains Tamadun Islam.

Unsur-unsur ilmu astronomi/falak Malayonesia Islam juga didapati mengandungi nilai mengikut falsafah matematik masa itu. Antara yang ketara ialah mantikisme/lojikisme, sehingga hasil hitungan  falak dianggap tepat  dan perlu diterima oleh masyarakat untuk kegunaan ibadat dan kehidupan seharian. Matematik termasuk ilmu astronomi/falak dianggapkan ilmu yang teruji dan diyakini kebenarannya. Para ahli astronomi/falak sering menekankan, bahawa kaedah-kaedah hitungan astronomi/falak yang digunakan adalah satu langkah ijtihad yang boleh diamalkan, sesuai dengan justifikasi hukum syarak. Untuk tujuan ini, ada antara konsep ilmu astronomi/falak  yang dibawa masuk ke Malayonesia mengalami sintesis yang sesuai dengan tujuan penggunaannya, keluasan justifikasi fekah dan  keupayaan manusia sebagai pengguna. Semua ini menjadi satu aspek nilai yang dipertimbangkan dalam membincangkan soal ketepatan hitungan dan penerimaan secara mutlak unsur-unsur matematik.

         Kesimpulannya, Baharrudin berpendapat bidang utama naskhah astronomi/falak Malayonesia berkait rapat dengan keperluannya dalam ibadat dan kehidupan seharian. Kandungannya menggambarkan penggunaan konsep matematik yang disampaikan secara perihalan termasuk kaedah hitungannya; manakala penerapan ilmu astronomi/falak berlaku dalam bentuk teori, amali dan penghasilan produk.  Hubungan ilmu astronomi/falak Malayonesia dengan matematik Tamadun Islam berlaku secara pengaliran ilmu pengetahuan sama ada melalui naskhah asal ilmu astronomi/falak Tamadun Islam yang disalin semula ataupun konsep yang menjadi kandungan dalam naskhah astronomi/falak karya ilmuwan Malayonesia. Ciri-ciri etnomatematik yang terdapat dalam ilmu astronomi/falak menunjukkan ciri-ciri etnosains tempatan yang asal serta pengaruh sains Tamadun Islam dengan kesan kecil pengaruh sains Hindu pada taqwim Jawa-Islam dan taqwim berasaskan ramalan.  Penerimaan dan penolakan sesuatu unsur untuk dijadikan etnosains tempatan dibuat berdasarkan kesesuaiannya dengan  tujuan penerapan dan budaya masyarakat. Ini menjelaskan sebabnya pengaruh matematik Islam lebih dominan dalam masyarakat Malayonesia yang bukan semata-mata penerimaan mereka terhadap Islam  tetapi juga disebabkan unsur-unsur matematik yang dianggapnya bersifat sejagat. Ini menjadikan masyarakat Malayonesia tidak keberatan menerima unsur-unsur baharu ini. Penerimaan ini juga menunjukkan keberkesanan pengamiran mekanisme sains dan agama dalam konteks ilmu astronomi/falak Malayonesia.

2.5. Kepemimpinan & Kepengurusan
Sebuah Prasasti di Campa bertarikh 1010 S = 1088 M yang dirujuk oleh pengkaji awalnya Finot 1904 sebagai “Kepingan Batu Myson oleh Jaya Indravarman II” ada menyenaraikan 32 sifat raja Campa yang hebat yang layak bergelar Cakravantin (=Pemimpin Alam). Maklumat ini menjadi sumber asli bagi kami mendapatkan 5 aksiom kepemimpinan (lihat Shaharir 2005/2009) yang masih mampu (dengan sedikit penyesuaian/penapisan Hindu-Buddhaisme dengan –isme kini atau bahkan Islam, menandingi aksiom kepemimpinan Barat kini, atau Islam kini. Dua aksiom yang menariknya ialah keberpadaan dan upapradana (kerasuahan). Keberpadaan ialah tafsiran kami daripada sifat cakravantin yang asalnya mengikut Buddhaisme, iaitusanamu, khasnya dalam pengejaran triwarga/trivarga (tiga matalamat kehidupan): artha/harta (kekayaan), kama (keseronokan) dan dharma (fadilah) dalam kehidupan; dan dalam pemapanan paksapata(keseimbangan dan keadilan). Jelas sifat ini memang boleh disesuai dengan konsep keberpadaan kita sendiri, manakala sifat upapradana itu sama ada disingkirkan langsung atau diinovasikan kepada konsep lain sama sekali yang tidak bertentangan dengan Islam. Teori kepemimpinan dan kepengurusan ini jelas mendahulu banyak teori berkenaan dari tamadun-tamadun besar  dunia termasuk tamadun-tamadun di Eropah dan lain-lain kecuali tamadun Yunani dengan karya Republik oleh Plato dan Tiongkok dengan Kesenian Perang oleh Sunzu, kedua-duanya sebelum Masehi.

Bab 3  daripada manuskrip Bustan al-Salatdin, “Pada Menyatakan Raja-Raja yang ‘Adil dan Wazir yang Ber’aqal” karya Nur al-Dyn al-Ranyry 1048 H (=1638 M) yang ditransliterasikan ke Rumi sepenuhnya oleh Jelani Harun 2002 dan kemudiannya diterbitkan 2004 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ditafsirkan oleh Shaharir (2008/2010) sebagai teori kepemimpinan dan kepengurusan Malayonesia. Teori ini, bersama-sama dengan manuskrip lain lagi, boleh menandingi teori kepemimpinan dan kepengurusan oleh para sarjana Tamadun Islam dan berpotensi untuk dilakukan pengubahsuaian yang sesuai dengan zaman ini bagi menghasilkan teori kepemimpinan dan kepengurusan yang mampu menyaingi teori-teori masa kini.

Manuskrip-Buku Taj al-Salatdin oleh Bukhary al-Jawhary (Bukhari al-Jauhari) pada tahun 1012 H (skit. 1603 M) yang ditransliterasikan ke Rumi sepenuhnya oleh Khalid Husain, terbitan DBP 1966 sebagai Tajussalatin(suntingan keduanya 1992), ditafsirkan oleh Shaharir (2008/2010) sebagai sebuah buku teori kepemimpinan dasn kepengurusan Malayonesia. Beliau mendapati teori di dalam buku ini pada amnya lebih baik daripada yang ada di dalam Bustan al-Salatdin  yang disebut di atas tetapi gabungan kedua-duanya pastinya menghasilkan teori yang lebih mantap lagi.

Manuskrip-Buku Hikayat Raja Pasai (anama pengarang dan tanpa tarikh karyanya tetapi dipercayai ditulis tidak melewati abad ke-16 M) yang telah ditransliterasi ke Rumi sepenuhnya oleh Russell Jones 1967 juga ditafsirkan oleh Shaharir (2006a,b & 2010b) mengandungi teori kepemimpinan dan kepengurusan Islam yang berguna sebagai khazanah ilmu Malayonesia yang tertua yang sarat nilai feudalismenya.



3. Ilmu Malayonesia Kontemporer: Kritikan Membina terhadap Ilmu Sains Kontemporer mengikut Acuan Sendiri

Pengkritikan terhadap ilmu tidaklah asing pada para sarjana sepanjang masa. Namun kritikan itu berlegar pada isu dalaman, atau swaketekalan, atau dalam acuan paradigma ilmu itu yang sedia ada sahaja. Hasilnya ialah timbunan ilmu dalam paradigma yang sama itu. Pengkritikan yang menghasilkan ilmu dalam paradigma yang lain, iaitu nilai-nilai daripada  tamadun yang lain, ialah semestinya melalui pengkritikan kepada paradigma ilmu kontemporer yang sedia ada itu. Medan pengkritikan yang baru ini bukanlah suatu preskripsi yang baharu. Imbauan terhadap kegiatan sebegini sudah lama diperakukan secara tidak langsungnya oleh Seyyed Hossain Nasr (1964/1992) yang mengungkapkannya sebagai doktrin kosmologi Islam; tetapi yang kami perlebarkan dan pertajamkan lagi sebagai kosmologi Melayu-Islam atau lebih luas lagi Malayonesia-Islam menghasilkan konsep etnosains yang baharu (Shaharir 1995/1997, 2000, 2000/2002). Kosmologi di sini ialah set pemikiran dan panduan/pandangan hidup atau pandang alam yang pastinya melibatkan sistem nilai dan kebudayaan. Doktrin ini pada sesuatu bangsa yang dianggap tidak asing lagi, maka doktrin itu sesuailah juga dirujuk sebagai acuan sendiri. Dalam hal ini, kosmologi Melayu-Islam (subset besar Malayonesia Islam) ini dianggap acuan selayaknya dan tidak asing bagi Malayonesia oleh itu, itulah acuannya sendiri.

Penerapan doktrin ini secara mudahnya ialah ketika seseorang menjawab soalan seperti “apa Melayu dan Islam kata pada sesuatu perkara yang dipilih untuk melakukan kritikan itu?”. Doktrin Ini lebih-lebih lagi benarnya dan layaknya apabila dilihat betapanya Islam di kalangan Malayonesia ini tidak sama dengan amalan Islam di kalangan tamadun lain, Arab umpamanya, sehingga layaknya muncul istilah Islam-Melayu, Islam-Arab dsbnya. Contoh perbezaan yang ada dan simpel antara Islam-Melayu dengan Islam-Arab ialah tentang amalan sunat atau harus/mubah serta hukum fiqh terhadap benda/haiwan yang boleh dimakan atau tidak. Sehubungan dengan inilah maka penulis ini menganggap karya etnosains matematik, bahkan etnomatematik, beliau yang pertama ialah “Krisis nilai dalam penemuan matematik“ yang disiarkan di dalam warkah berita ASASI 1984, Asasains1/84 itu. Sejak itu banyaklah karya etnosains matematik yang terhasil ekoran daripada penerapan kritikan ilmu berasaskan doktrin kosmologi Islam itu yang semakin luas cakupannya apabila doktrin itu diperluaskan kepadadoktrin kosmologi Islam-Melayu atau penekanan kepada Melayunya,doktrin kosmologi Melayu-Islam. Kini diperluaskan lagi kepada Malayonesia Islam. Sebagai pemantapan daripada kedudukan inilah maka penulis memperkenalkan istilah pemeribumian ilmu di Seminar Sains dan Teknologi Islam di Kuala Lumpur dalam tahun 1995, sebagai kegiatan pembinaan ilmu berasaskan pada kritikan ilmu kontemporer atau penggalian, pencarigalian atau ekskavasi ilmu peribumi di rantau Asia Tenggara, etnosains Malayonesia, untuk dikontemporerkan (Shaharir 1995/1997) yang diistilahkan sebagai pemeribumian ilmu; dan lebih teguh lagi di Seminar Tamadun Melayu di UKM 1997 (Shaharir 1997/2004) yang dengan mudahnya dan bersahajanya boleh diperluaskan kepada Malayonesia. Contoh hasil kegiatan pemeribumian ilmu atau pembinaan ilmu berasaskan doktrin kosmologi Islam-Melayu atau Melayu-Islam oleh penulis ini dipaparkan di bawah ini bidang demi bidang penglibatannya dengan tujuan berkongsi, mendapat tanggapan, atau menjadi iktibar sarjana lain yang melakukan penyelidikan di bidang ini.



3.0. Matematik Kewangan dan Perbankan
Bidang yang penulis (dan rakan/pelajarnya) rasa paling berjaya melahirkan ilmu Malayonesia Islam kontemporer menerusi kegiatan etnosains matematiknya ialah bidang matematik kewangan atau matematik perbankan. Kritikan kepada matematik kewangan kontemporer dilakukan sejak pertengahan kedua daripada dasawarsa daripada 1980-an dahulu oleh beberapa orang matematikawan sempena pengenalan perbankan Islam di Malaysia pada tahun 1983, setelah menyaksikan kelemahannya, atau merasai sendiri bahananya, termasuklah oleh penulis ini dalam tahun 1989 tetapi terbit tahun 1991/92 (oleh itu, karya ini dirujuk di sini sebagai Shaharir 1989/1992). Namun semua kritikan ikhlas itu pun terbukti ada kelemahannya lagi, bahkan kesilapan setelah Maheran (2002, 2003, 2004a) menghalusinya lagi dan melakukan kritikannya pula. Kritikan itu berasaskan kepada penilaian produk bank lazim seperti “skim pinjaman” itu disimpulkan sebagai ribak (riba’ atau usury Inggeris) mengikut doktrin kosmologi Islam, walaupun istilah “bunga” yang sepadan dengan interest Inggeris itu sudah ditukarkan kepada yang lunak-lunak seperti “faedah”, “perkhidmatan”, dan “keuntungan” sekalipun, selagi matematiknya tidak berubah, tegasnya matematik bunga (atau mathematics of interest) itu perlu diubah atau diperbaiki kepada matematik yang berparadigma yang baru yang lebih cocok dengan nilai yang membentuk kosmologi Islam itu, iaitu “matematik pinjaman” itu perlu ditukar kepada seperti “matematik mudharabaht”, “matematik musyarakaht” dan lain-lain lagi yang sebenarnya masih belum dibina dengan lengkapnya sehingga hari ini. Inilah yang dilakukan oleh Maheran untuk penyiapan tesis D. Fal beliau dalam tahun 2002-2005  di bawah penyeliaan penulis ini  lalu menghasilkan siri makalah oleh Maheran dan Shaharir dalam tempoh 2002 -2004 dan Maheran drk. (2005, 2008).

3.1. Pengoptimuman dan yang berhubung dengannya
Bidang kedua yang penulis ini ceburi dan menggunakan kaedah kritikan ilmu berasaskan kosmologi Melayonesia Islam, khasnya Melayu-Islam ialah bidang pengoptimuman. Di sini penulis menggali makna “optimum”  dan mendapati maknanya “yang terbaik” dan kemudiannya bertanyakan soalan “apakah maksud yang terbaik bagi orang Melayu dan bagi Islam?” . Tidaklah lama memerlukan renungan seseorang bagi menjawab soalan ini. Cuma selama ini belum pernah ditanya soalan sedemikian di dalam bidang ilmu ini. Yang lamanya ialah kerana jawabannya memerlukan radikalisme dan reaksioner untuk berani mengubah sistem nilai yang dipegang selama ini dengan mengatakan buku-buku teks itu salah dalam mentakrifkan optimum: takrif itu banyak yang tidak cocok dengan ajaran Islam dan kebudayaan sendiri (Melayu-Islam). Inilah yang dipersembahkan dahulu di khalayak yang sesuai. Selepas itu barulah diusahakan mendapatkan takrif baru optimum sesuai dengan kosmologi Melayu-Islam itu, iaitu “yang terbaik” di sisi Melayu ialah “berpada-pada” (“buat baik berpada-pada…”), dan di sisi Islam wustdo atauwasatdan (ada ayaht al-Qur’aan dan al-Hadith yang menegaskan umat Islam ialah umat yang wustdo atau wasatdan dan perbuatan yang terbaik ialah yang wustdo). Hujah-hujah lain pun memang boleh diutarakan dengan menyembulkan hakikat bahawa takrif optimum sekarang (terutamanya berasaskan perancangan multimatalamat) sesuai dengan ektrimisme, kapitalisme, (neo-)liberalisme dan elitisme yang bertentangan dengan kosmologi lain yang dianggap “lebih baik” (seperti sosialisme bagi mereka yang berpegangan hidup kepada keunggulan sosialisme, atau ajaran Islam bagi Melayu-Islam). inilah yang dibicarakan di dalam makalah Shaharir (2006c,d). Sehubungan dengan itu, satu daripada bidang yang disangkut-pautkan oleh pembina teorinya dengan pengoptimuman ialah teori pengguna/konsumer/ konsumen dan di sini kami dapati kosmologi Melayu-Islam cukup kaya bagi mengkritik teori kini kerana teori ini banyak membabitkan kelakuan manusia. Persoalan “Apakah aksiom kelakuan manusia mengikut ajaran Islam?” cukup memberi senjata yang kuat dan berkesan bagi mengkritik teori kontemporer (teori Barat) tentang hal ini.  Makalah Shaharir dan Rohani (1996) dan Shaharir (2003a, 2005a) ada membicarakannya. Ekorannya banyak teorem sekarang di dalam bidang ini yang perlu diubah dan dibuktikan keesahan perubahan itu.

3.2. Matematik Fizik: Teori Einstein dan Teori Quantum
Teori Kenisbian Einstein, ringkasnya Teori Einstein, ialah teori yang berasaskan pada andaian tentang ruang dan masa, dan kesenian membina model geometri Riemannan untuk alam semesta yang membabitkan andaian tentang asal-usul alam semesta. Oleh itu apa saja yang berlaku hasil daripada Teori Einstein (yang memang banyak tidak serasinya dengan Islam) adalah akibat daripada model alam semesta yang diasaskan kepada beberapa andaian yang terbit daripada sistem nilai pembina model itu. Ini termasuklah peranan bahasa dalam penentuan sesuatu konsep yang diperlukan di dalam pemodelan itu seperti yang telah pun dibuktikan oleh Whitehead (sarjana Inggeris) tentang saratnya Teori Einstein itu dengan bahasa Jerman dan berbezanya konsep itu jika digunakan bahasa Inggeris seperti yang dihuraikan olehnya lalu beliau memperoleh Teori Kenisbian yang berbeza rasional dan hasilnya daripada Teori Einstein itu. Oleh itu wajarlah kita mengetengahkan sistem nilai kita sendiri pula terhadap apa-apa andaian di dalam teori semasanya daripada Teori Einstein itu. Di sinilah bahasa Melayu dan teori Melayu-Islam tentang alam semesta seperti yang terdapat di dalam banyak manuskrip Melayu Jawi dan Tamadun Islam itu berguna bagi mengkritik Teori Einstein itu. Hal yang sama berlaku di dalam Teori Quantum. Hasilnya ialah sebuah seksyen di dalam buku Shaharir (1987/2000) yang mengandungi kritikan terhadap model alam dalam Teori Einstein itu, dan beberapa kritikan lagi terhadap Teori Einstein dan Teori Quantum di dalam Shaharir 2003a, 2004b, 2007a, 2008a,b, 2011d) dan lebih meluas dan kritis lagi di dalam buku Shaharir (2011c)  dalam kedua-dua Teori Einstein dan Teori Quantum.

3.3. Teori Kebarangkalian,  Kemungkinan, Mantik dan Set
Empat buah teori yang dijadikan subjudul ilmu ini amat akrab hubunganya sehingga jika satu daripada berubah maka yang lain lagi itu pun perlu berubah juga. Mantik yang ada atau terhasil di dalam teori kebarangkalian (yang lazim itu) ialah mantik tak terhingga berbanding dengan mantik lain lagi seperti mantik di dalam sistem kehakiman di Malaysia ialah mantik dua nilai (ya atau tidak; atau bersalah atau tidak bersalah), dan mantik kehakiman di Perancis ialah mantik tiga nilai (ya, tak, dan belum tahu), dan mantik hukum aqal Islam (wajib, sunat,…dll.)  ialah mantik lima nilai, manakala mantik ahl sunnah wa al-jama‘ah ialah mantik berimplikasi lembut yang belum dapat diwujudkan struktar matematiknya. (Shaharir 2009c). Peristiwa di dalam teori kebarangkalian (yang lazim) ialah set yang lazim itu. Memang sudah pun ada teori kebarangkalian yang tidak lazim (iaitu kebarangkalian di dalam fizik quantum) yang sepadan dengan peristiwa yang tidak lazim, set yang tidak lazim (aljabarnya berbeza, iaitu bukan ajabar Boolean; bahkan bukan set Borel atau Borelan) dan mantik yang tidak lazim (bukan mantik dua-nilai). Adakah teori-teori ini serasi dengan ajaran Islam? Soalan ini akan memberi bahan kritikan yang hebat kepada teori-teori itu jika kita lebih percaya kepada ajaran Islam (kosmologi Melayonesia Islam) daripada ajaran daripada teori-teori itu yang sebenarnya penuh dengan aksiom yang boleh dipersoalkan berasaskan kosmologi bukan Barat. Teori kebarangkalian (dan teori kemungkinan kerana set/peristiwa kabur dan oleh itu mantik kabur) kini, jika diacukan dengan kosmologi Melayu-Islam banyak yang tidak serasinya. Bahkan konsep barangkali yang dipadankan denganprobable dan oleh itu kebarangkalian dengan probability itu sendiri pun sudah tidak begitu serasi, apatah lagi konsep  pasti (yang dipadankan dengan certain) yang diberi probability satu; dan konsep mustahil (yang dipadankan dengan impossible) dan diberi probability kosong). Istilah probabilitas tentunya mudah diterima sebagai benar-benar sama dengan apa sahaja makna dan bawaan “nilai kehidupan” pada probability itu tetapi ini hanya meninggalkan atau tertinggal langsung kosmologi sendiri (Malayonesia Islam). Istilah berasaskan pada transkripsi istilah Inggeris memang begitulah sifat dan natijahnya, iaitu memudahkan kita menerima sahaja ilmu Inggeris yang sebenarnya etnosains Inggeris (sarat dengan sistem nilai, pandangan hidup dan lebih am lagi kosmologi Inggeris). Begitu juga istilah mungkin (daripada bahasa Arab mumkin) yang sudah pun lain maknanya daripada makna asalnya itu dan  dipadankan pula denganpossible itu juga lebih teruk lagi kurang serasinya. Oleh itu teori kebarangkalian atau kemungkinan sekarang yang dipadankan denganprobability theory atau possibility theory itu banyak masalah keserasian nilainya. Beberapa buah manuskrip Melayu Jawi (yang dibicarakan selepas ini; ada rakaman beberapa jenis mumkin yang terfosil di alam kosmologi Melayu kini dan sebenarnya tidak dapat dipadankan dengan teori kebarangkalian dan kemungkinan kini yang kita ambil daripada etnoteoriprobability dan possibility Inggeris itu.

Manuskrip MS1659, tanpa judul dan tanpa tahun dan tanpa pengarang, ialah sebuah antologi makalah yang khususnya, dalam satu drp manuskripnya, berjudul Mutiara Putih karya syaiykh ‘Abd al-Ra’uf (nama selebihnya tidak jelas, mungkin al-Fansuri atau Singkel, atas perintah sultan Negeri Inderagiri (di Riau 1658-1838); jika demikian, maka manuskrip itu ialah karya abad ke-17 M),  mengandungi teori mumkin yang berpotensi diangkat menjadi sebuah teori bermatematik baharu bagi mengatasi kelemahan yang ada di dalam teori kebarangkalian dan teori kemungkinan kini. Semua persoalan inilah, dan lain-lain yang disebut sepintas lalu di atas, berasaskan kosmologi Malayonesia Islam itu, menjadi bahan kritikan terhadap teori kebarangkalian, kemungkinan, mantik dan set  kini. Hasilnya dirakamkan di dalam makalah Shaharir (2007b)

3.5. Keterlestarian
Dalam prasasti Talang Tuwo bertarikh 685 M itu, kami begitu teruja dengan adanya cerita pembinaan sebuah taman yang dilakukan oleh seorang raja bernama Sri Jayanasa (boleh dianggap raja Sriwijaya atau Malayapura) yang diberi namanya Sriksetra. Sebenarnya seluruh prasasti ini ialah tentang harapan raja itu terhadap para pekerja taman itu, penggunaan taman  oleh hamba rakyatnya, penyelenggaraan dan pemuliharaannya.  Pengelasan pokok daripada senarai tumbuhan yang di taman (parlak) raja itu memberi masalah baru kepada ahli botani kini untuk mengecami segala tumbuhan yang disenaraikan di prasasti itu. Taman Diraja untuk orang awam ini (dengan pelbagai tumbuhan dan haiwan dan segala kemudahan awam untuk riadah/rekreasi, ilham, ilmu, keagamaan, dan para kembara/pelancong/parawisata ini) jelaslah yang bitara dan tertua di Asia Tenggara (mungkin juga di Dunia?). Cerita ini memberi ilham kepada pembina takrif baharu tentang keterlestarian yang begitu banyak kelemahannya menerusi nilai Malayonesia Islam yang dibicarakan oleh Shaharir dan Alinor (2011) yang selanjutnya telah membuahkan sebuah kritikan terhadap paradigm sains keterlestarian kini sehingga menerbitkan sebuah paradigma baharu keterlestarian (Shaharir 2012c)



3.6. Psikologi
Teori keperluan manusia oleh Maslow (1943, 1954) amatlah berpengaruh bukan sahaja dalam psikologi tetapi dalam ekonomi dan ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain. Maslow berpendapat keperluan manusia ada 5 tahap, iaitu yang terendahnya keperluan fisiologi, diikuti oleh keperluan keselamatan, keperluan cinta dan kasih sayang, keperluan estim/penghormatan, dan tertingginya keperluan swa-aktualisasi. Teori ini seolah-olah mencapai tahap maksum. Bagaimana dengan pandangan Malayonesia?

Manuskrip MS1659 di PNM (sebuah antologi risalah (pp 49-50) boleh menjadikan sarjana Malayonesia kini lebih kritis terhadap teori Maslow itu keran di dalam manuskrip ini ada risalah tentang nafs (yang boleh difahami sebagai keperluan manusia) yang menarik yang membicarakan bilangannya tahapnya yang lain daripada yang biasa disebut orang, iaitu nafs  ammaraht, lawwamahtmutdma’innaht. Di dalam manuskrip ini dinyatakan adanya satu lagi hierarkinya yang dinamainya nafs sawyyaht. Setiap jenis haierarki nafs ini ada dijelaskan fi‘il-nya. Dalam manuskrip MS147 di PNM, Jami‘ al-Jami‘  al-Muntaqaraby‘aht, yang salinannya bertarikh awal abad ke-20 (menunjukkan ilmu ini sudah diketahui dalam abad ke-19 atau sebelumnya lagi) ada perihal 6 tingkat hati dan nafs, dan tingkat-tingkat itu ialah  nafs amaarahnafs lawwaamahnafs mul-hdamahnafs mutdmainnah,  nafs raa-dhyah, dan nafs mar-dhyah. Semua maklumat ini amat berguna bagi mengkritik dan memperbaiki teori Maslow itu.
3.7. Pendidikan Matematik
Pendidikan dalam bidang apa pun semestinya bertujuan mengukuhkan lagi keimanan, patriotisme (kasih akan watan), menyuburkan daya pengkritikan, inovasi, dan pengaryaan. Yang paling mencabar tetapi jarang diambil kesah oleh mana-mana pihak yang sepatutnya ialah bagaimanakah nilai-nilai ini boleh dicapai menerusi pengajaran dan pendidikan ilmui, terutamanya sains dan matematik? Aksiom yang perlunya bagi mencapai matlamat itu dalam pendidikan apa pun, terutamanya di peringkat sehingga pra-universiti, semestinya di dalam bahasa sendiri, dan bagi Malayonesia sewajarnyalah dalam bahasa ilmunya yang terbukti ada sejak pra-Islam lagi, ialah bahasa Melayu. Yang lainnya ialah beraksiomkan kepada kaedah pendekatan kepada ilmu itu. Inilah yang dibicarakan secara ringkasnya di bawah ini.


3.7.1. Matematik Sekolah
Penulis ini terpanggil untuk mengisi gagasan “penerapan nilai di kurikulum matematik sekolah” dalam tahun 1986-1990-an kerana itulah bahagian terpentingnya di dalam resolusi pendidikan Islam yang dimulai di Persidangan Pendidikan Islam di Jeddah pada tahun 1979 dahulu, yang dianggap kemudiannya sebagai sebahagian daripada pengisian  “pengIslaman ilmu”. Sebagai meneruskan input ini, selepas pembentangan makalah kami (Shaharir & Latif 1987/1992) itu, dalam tahun 1987-1989 penulis ini menyorot buku-buku teks Matematik Sekolah Dasar / Rendah dengan mengkritik unsur-unsur bukan Melayu-Islam dan nilai-nilai yang kurang serasi dengan kebudayaan Melayu-Islam yang ada di dalam buku-buku teks tersebut. Maka terbitlah beberapa buah makalah dan buku berkenaannya itu yang mengandungi kritikan membina terhadap matematik sekolah berasaskan doktrin kosmologi Melayu-Islam (Shaharir 1988, 1989). Kegiatan ini tergenang dengan tertimbusnya dek dasar baru pendidikan negara yang meninggalkan “penerapan nilai” dahulu kepada “pembistarian sekolah”, dan kesibukan baru penulis dengan tugas barunya di universiti dalam tempoh 1988-1994, kegawatan ekonomi dan politik negara.

Dalam usaha kami menghidupkan kembali kegiatan ini, dalam awal alaf ke-2 dahulu, kami menggunakan program PERSAMA (Persatuan Sains Matematik Malaysia) yang sedia ada yang bernama MATEMADESA dan sudah lama tidak bergerak. Sebagai Presiden PERSAMA pada masa itu  kegiatan MATEMADESA yang dahulu berupa siri tak berkala ceramah motivasi matematik di sekolah yang bermasalah (biasanya di desa-desa; dan itulah datangnya singkatan MATEMADESA = matematik untuk sekolah di desa), setelah berpendapat kegiatan sebegitu tidaklah begitu berkesan, matalamat projek itu ditukar kepada projek pendekatan baru matematik sekolah yang diberi nama “Kaedah Matemadesa”. Rancangannya, dalam projek ini prinsip Matemadesa dan contoh-contoh penulisan sesuatu judul matematik sekolah (peringkat Sekolah Menengah) akan ditulis oleh sekumpulan sarjana dan guru-guru akan dilatih untuk menghayati kaedah baru ini dengan menggunakan contoh-contoh yang ditulis itu sebagai modelnya. Kami berjaya membentuk sebuah kumpulan bagi pengisian projek ini dengan agak berhasilnya juga. (Lihat buku suntingan Shaharir 2001b, makalah Shaharir 2001c, dan seterusnya siri makalah Shaharir 2003b, 2004c dan Shahrir drk. 2003). Kami anggap ini (berasaskan sistem nilai kami; dan jika dibangunkan dengan lengkapnya) adalah “lebih baik” daripada kaedah lain yang diimport, termasuklah “realistic mathematics” (matematik berkenyataan), atau “problem based learning method” (kaedah pembelajaran berasaskan masalah), atau “problem solving method” (kaedah menyelesai masalah) yang kini sedang rancak dituruti-takut-menyoal masing-masingnya di Indonesia dan Malaysia sejak beberapa tahun ini. Namun rancangan kami ini berjalan separuh jalan sahaja, “disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari”; malah matalamatnya bolehlah dikatakan masih jauh daripada tergapai. Sebahagian besarnya disebabkan oleh teralihnya kami kepada penyerangan isu dasar baru kerajaan terhadap penggunaan bahasa Inggeris di dalam pendidikan sains dan matematik sekolah, PPSMI, mulai 2002 dan sebahagian lagi bagi penulis ini sebagai ketua penggeraknya, kerana dihambat oleh persaraannya. Kegiatan ini sebenarnya berupa penerapan kaedah doktrin kosmologi Melayu-Islam di peringkat sekolah. Namun masihlah diharapkannya akan dapat dibangkitkan kembali pada masa yang terdekat ini. Usaha menghidupkan kembali kegiatan ini dapat dilihat di dalam Shaharir (2009d), tetapi nampaknya masih sukar dibangkitkan lagi, walaupun IIIT Asia Tenggara dan Timur di bawah pimpinan Osman Bakar juga sedang berusaha melakukan perkara yang agak sama di bawah nama lamanya “PengIslaman Ilmu”.

3. 7.2. Pendidikan Matematik Peringkat Universiti.
Di peringkat Universiti, secara umumnya  pendekatan beretnomatematik di dalam pendidikan sains matematik digambarkan secara kasarnya menerusi buku suntingan penulis ini “Pengenalan  Tamadun Islam dalam Sains  dan  Teknologi ” 1985 yang diterbitkan oleh DBP, dan sebuah bukunya  yang lain “Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains” terbitan 1987 dan diulang cetak 2000 (terbitan Penerbit UKM). Penekanan kepada keperluan pendekatan berasaskan sejarah pembinaan sesuatu unsur sains matematik (suatu aspek etnosains matematik) sudah dibicarakan dalam makalahnya 1984; dan begitu juga dengan kepentingan menonjolkan segala nilai (baik atau buruknya) yang tersirat di dalam setiap unsur matematik yang diajar ada diperkatakan di dalam siri makalah beliau 1991, 1992 dan 1998b. Selain itu, dua buah makalahnya bersama Latif (1987) “pengIslaman Matematik” dan risalahnya “kaedah pemeribumian” (Shaharir 2003c)  bersama-sama dengan dua buah makalahnya (Shaharir 1985 dan 2002) yang lebih spesifik dirasakan dapat  memberi gambaran kaedah pendekatan yang harus dilakukan di dalam pendidikan sains Matematik Universiti yang dihasrati oleh penulis ini, iaitu berasaskan sejarah sebenar perkara yang memunculkan sesuatu unsur matematik, menonjolkan nilai-nilai (baik dan buruknya daripada kaca mata Malayonesia Islam) yang tersirat atau tersurat , menyerlahkan batas-batas keesahannya dan kegunaannya serta gambaran atau isyarat idea ke arah pembaikannya mengikut nilai sendiri.

Apa pun keterlestarian pendekatan baru pengajaran dan pendidikan sains matematik universiti  ini, sebahagian besarnya bergantung pada kejayaan penjanaan ilmu Malayonesia kontemporer yang dipaparkan contoh-contohnya di atas.


3.8. Flora dan Fauna Malayonesia

Senarai flora dan fauna yang terdapat di Malayonesia dan disebut di dalam manuskrip, prasasti dan peribahasa Melayu cukuplah banyak dan banyaklah daripadanya yang didapati belum ada nama sainsnya dan ini diketengahkan oleh Shaharir (2006a,b, 2005b, 2003d)


3.9. Bahasa Jiwa SATRIA, Bahasa Hati SAKTI

SAKTI atau SATRIA ialah akronim bagi semua bidang besar ilmu sains dan teknologi, sains (sosial, tabii, dsbnya), kesihatan, kejuruteraan, dan teknologi yang diperkenalkan oleh penulis ini beberapa tahun yang lepas (Shaharir 2002a). Seperti yang dibicarakan dalam bahagian mukaddimah makalah ini, peranan bahasa tidak lagi begitu tepat dengan dictum klasik “bahasa jiwa bangsa” tetapi lebih tepat lagi sebagai “bahasa jiwa SATRIA” atau “bahasa hati SAKTI”. Bahasa sebagai jiwa  dalam ilmu secara amnya memang sudah biasa diucapkan atau ditulis sebagai retorik ahli bahasa, falsafah dan sosiologi ilmu pengetahuan, malah dibuktikan keesahannya dalam Teori Einstein oleh Shaharir (2008a). Namun diktum yang lebih mengangkat jiwa dan rasa beritma lagi bolehlah diutarakan seperti “bahasa qalbu ilmu”  atau “bahasa penemu ilmu”. Ini memerlukan  contoh konkrit saratnya peranan bahasa dalam sesuatu judul ilmu sains (dan matematik). Perkara ini memang sudah mula diketengahkan oleh Shaharir sejak beberapa tahun kebelakangan ini (Shaharir 2009a) dan akan dipaparkan seluruhnya dalam Shaharir (2012d).


Kesimpulan
Ilmu Malayonesia ialah ilmu yang ditulis (terjemahan atau karya asli) dalam bahasa Melayu atau rumpunnya seperti Campa dan Jawa dan menghayati agamanya. Ilmu ini dibuktikan wujud sejak zaman pra-Islam lagi dan oleh itu dibahagikan kepada tiga kategori, ilmu Malayonesia pra-Islam (sebelum abad ke-13 M), Islam (abad ke-13 M hingga ke-19 M) dan moden (abad ke-20 hingga kini). Pengelasan ilmu Malayonesia wujud sejak zaman pra-Islam lagi dan mendahului berlakunya perkara ini di Eropah. Ilmu Malayonesia pra-Islam yang mendahului zamannya ialah pembilangan yang berupa sistem perpuluahn berkedudukan yang ada kosong. Konsep ketakterhinggan dalam Malayonesia Islam berbeza dengan di dalam bahasa Inggeris kerana adanya tiga ungkapan: tiada terkira-kira, tiada terpermanai, dan tiada terhisabkan yang berbeza maknanya. Beberapa nombor Malayonesia wujud lebih awal daripada nombor Inggeris, dan nombor-nombor itu lebih asli daripada nombor Inggeris dan tafsirannya juga berbeza daripada tafsiran nombor Inggeris. Mantik Malayonesia  yang berupa mantik dua-nilai berimplikasi keras dan lembut sudah wujud sejak abad ke-11 M atau lebih awal lagi. Mantik burhan warisan Tamadun Islam diketahui oleh ahli mantik Malayonesia sejak abad ke-17 dan manuskrip mantik Malayonesia Islam yang tertua setakat ini ialah yang dipercayai ditulis oleh al-Ranyry tentang mantik burhan itu. Mantik Malayonesia pra-Islam dan pasca-Hindu-Buddha juga berimplikasi lembut dan lebih daripada itu bahasa berimplikasi itu cukup halus sehingga layak dinamai mantik berimplikasi lembut dan halus. Unsur asasi kejadian dalam fizik Malayonesia pra-Islam dengan lima unsur kejadian dikekalkan hingga zaman Islamnya tetapi zaman modennya terumbang-ambing mengikut rentak Barat. Dalam era Malayonesia Islam, teori jirimnya ialah teori jawhar dan ‘aradh  yang diambil daripada Tamadun Islam dalam abad ke-16 M, iaitu sekitar yang diambil oleh Eropah juga. Falsafah ilmu Malayonesia pra-Islam belum ditemui tetapi falsafah hidupnya memang berasaskan Buddha (bukanya  Hindu). Falsafah ini diambil alih oleh Islam (sejak abad ke-13 M, di Pasai) dan falsafah ilmu Malayonesia Islam sejak abad ke-16 M, khususnya epistemologinya yang berbeza drp dan yang mendahului epistemologi Barat. Ahli astronomi dan kosmologi Malayonesia sudah mengenali bulan. bintang dan planet, dan boleh dihipotesiskan adanya beberapa butir bintang yang ditemui oleh ahli astronomi Malayonesia pra-Islam, terutamanya bintang Dara dan Wethu. Walaupun ahli astronomi Malayonesia nampaknya tidak berteori tetapi mereka menggunakan teori daripada tamadun pra-Islam dan Islam bagi keperluan hidup mereka dengan pencapaian yang tidaklah inferior dibandingkan dengan tamadun lain sezamannya. Bidang kepengurusan dan kepimpinan Malayonesia boleh dianggap yang tertua di dunia selepas Yunani dan Tiongkok. Ilmu Malayonesia kontemporer juga mula menampakkan kekuatannya terutamanya dalam model Kewangan dan perbankan, pengoptimuman, keterlestarian, dan pendidikan matematik sekolah dan pasca-sekolah. Bidang fizik teori, khususnya teori Einstein dan teori quantum tercabar hebat menerusi pandangan alam Malayonesia Islam; begitu juga dengan sains ketakpastian pasikologi (teori Maslow). Kajian ilmu Malayonesia pada prasasti dan manuskrip membuahkan cabaran kepada ahli-ahli sains hayat untuk memberi nama sains kepada ratusan flora dasn fauna yang belum dikenali pada zaman ini. Kajian ilmu Malayonesia juga membuahkan satu kajian yang ampuh tentang hipotesis “bahasa qalbu ilmu” atau “bahasa penemu ilmu” dalam setiap bidang ilmu kontemporer.


Catatan Ujung
*  menandakan bulan untuk tahun lompat.
Nama yang dirakamkan pada prasasti (batu bersurat atau inskripsi) dalam bahasa Malayu/Melayu sejak abad ke-7 M, yang dijumpai setakat ini. Sementara itu ada nama bulan pada prasasti Melayu yang belum diketahui padanannya dengan nama bulan Sanskrit, iaitu Laghu. Tiada nama hari Malayonesia pra-Islam yg dijumpai di prasasti, walaupun dalam bahasa Jawa Kuno namanya (bermula dengan Ahad) Raditya, Soma, Anggara, Buda, Respati, Sukra dan Tumpak. Ini hanya ada dua yang sama dengan dalam Mon: Aditya, Candra, Angara, Budhavara, Brhaspati, Sukrasani; sedang dalam Sanskrit: Bhaanu, Indu, Bhauma, Saumya, Bruhaspathi/Guru, Bhrgu, Sthira yang juga hanya dua sahaja yang sama dengan Jawa. Ini menunjukkan aslinya nama hari Jawa kuno itu.


Rujukan

Ahmad al-Fatdany. 1307 H/1898. Hdadiqaht al-Azhar wa al-Rayahin. Sudah ditransliterasi lengkap oleh Wan Mohd Saghir 2001 dan diterbitkan oleh Khazanah Fataniyah, Kuala Lumpur.
al-Attas S.M.N.1972. Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: UKM
—————-.1978/1981. Islam dan Sekularisme. Bandung: Pustaka 1981. Terj karya asalnya Islam and Secularism , Kuala Lumpur: ABIM 1978.
al-Faruqi, I.R. 1982/1984. Islamisasi Pengetahuan. Bandung: Pustaka 1984. Ada juga terjemahan PengIslaman Ilmu. Kuala Lumpur: IIIT. 1991. Semuanya terj. karya asalnya 1982 dalam bahasa Inggeris.
Alinor M. b.A.K. 2004. Dialog peradaban Melayu dianalisis menerusi sebaran kesusasteraan.. Kesturi 14 (1 & 2): 35-44
——————–. 2005. Epistemologi/Mantik dalam Tamadun Melayu Terawal.Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik Melayu. Jilid II. Bangi : Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM. Ms 233-245. Muncul juga dlm Kesturi 15 (1 &2): 38-54
———————. 2006. Pengelasan Ilmu Melayu-Sanskrit. Kesturi 16 (1 & 2) 2006 : 15-24.
———————. 2010. Tahap ke-Sanskrit-an bahasa Melayu: Ulasan buku James T. Collins, Bahasa Sanskerta dan bahasa Melayu, DBP 2009. Kesturi20(2): 67-88
Baharrudin Z. 2009. Etnomatematik dalam Ilmu Falak Alam Melayu. Tesis D.Fal. di  UPM.
Bastion A. 1884. Indonesien order die Inseln des Malayischen Archipels I. Die Molukken, Berlin 1884, II. Timor und die Umlieg, Inseln 1884III. Sumatera und Nachbarschaft, 1886. Ausberdem: Inselcruppen in Ozeanien, 1883 und zur Kenntnis Hawaiis 1883. Samtlich mit Tafelm
Beg M.A.J. 1980. Islamic and Western Concept of Civilisation. K. Lumpur. UM
Casson (Pengulas). 1989. The Periplus of the Erythrean Sea , terj. 1912 karya asalnya dalam Yunani Periplus Maris Erythraei abad ke-1 M. Ulasan Casson ada dalam terbitan semula terj. buku ini 1912 itu oleh Princeton Univ. Press 1989.
Chandra Muzaffar drk. 2001. Pengenalan ilmu ketamadunan. Dlm Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Coedes G. & Damais L.-C. 1992. Sriwijaya: History, Religion & Language of an Early Malay Polity. Kuala Lumpur: MBRAS
Deutscher G. 2010. Through the Language Glass: Why the World Looks Different in Other Languages. Metropolitan Books
Earl G. 1845/1855. On the physical geography of South-Eastern Asia and Australia. Sebuah risalah yang diterbitkan dalam tahun 1855 berasaskan makalahnya yang dibentangkan di Royal Geographical Society, London dalam tahun 1845
———. 1950. On the leading characteristics of the Papuan, Australian and Malay-Polenesia nations. Jour. Of Indian Archipelego and Eastern Asia (JIAEA) , vol. IV: 66-70
Feyerabend P. 1975/2010.  Against Method. New Ed. (4th ed.) London: Virso. Snt pertama 1975.
Guerrero M. 2011. Heidegger – Language is the House of Being. http://ezinearticles.com/?Heidegger—Language-is-the-House-of-Being&id=1682879
(26 Feb 2012)
Hanapi D. & Shaharir b.M.Z.  2000. Cerita Jenaka Melayu dan minda matematik pengaryanya.  Kesturi 10(1&2): 41-51.
Huntington S. 1993. Clash of civilization? Foreign Affairs 72(3): 22-49
—————-. 1996. The Clash of civilization and the Remaking of the World Order. N.York: Simon & Schuster
Ketut Riana (Pentransl. & pnterj.). 2009. Nagara Krtegama (versi dalam bahasa Bali; judul penuhnya, Kakawin Desa Warnnana Uthawi Nagara Krtagama. Masa Keemasan Majapahit) Jakarta: Kompas.
Koharuddin M.b.M.B. t.t. Tradisi keilmuan dan pendidikan dalam tamadun Melayu di Nusantara. Jurnal Kemanusiaan ? Tercapai di https:// docs.google comreviewer?a=v&q=code (21 Mac 2012)
Kuhn T. 1962/1997. Struktur Revolusi Sains. Kuala Lumpur: DBP. Terj karya asalnya The Structure of Scientific Revolution Snt kedua, 1970 (Snt pertama 1962),
Lakatos I. 1978/2003. Pemalsuan dan Atur Cara Penyelidikan Sains. Bangi: UKM. Terj karya asalnya, Falsification and Scientific Research Programme. OUP 1978
Logan J. 1850. Ethnology of Indian Archipelego. JIAEA,  vol. IV: 252-347
Maheran bt. M. J.  & Shaharir b.M.Z. 2002.Model “baru” pinjaman mudarabah berasaskan ekuiti. Pros. Simpos. Kebang. Sn Matema. Ke-10.Skudai: UTM, pp. 179-190
——————————————-. 2003.. Persamaan Beza  Mudharabah Perniagaan. Prosiding Simpos. Keb. Sn Matema.ke-XI. K.Kinabalu: UMS: 202-209
——————————————-. 2004a.. Kelemahan amalan bank Islam di dalam pengagihan untung pelaburan mudharabah. Ddlm. Pros. Sem. Matematik dan Masyarakat, KUSTEM & PERSAMA  25-26 Feb 2004
——————————————. 2004b. Model pelaburan mudharabah dan musyarakah. Pros. Seminar Kebangsaan Matematik ke-12, di UIAM. Makalah Matematik Gunaan bil. 19
——————————————-. 2004c.. Mudharabah model for business loan based on equity. Proc. Sem. on Non-Bank Financial Institutionns: Islamic Alternatives. 1-3 Mac 2004, K.Lumpur: 1-10.
Maheran bt.M.J., Shaharir b.M.Z. & Aziz A.b.J. 2008. Perkembangan Model Matematik Pelaburan Islam Berkonsepkan Musyarakah. Kesturi 2008, 18(1&2):
Maheran, Shaharir, Abdul Aziz dan Zaidi. 2005a. Model Pelaburan satu saham dari perspektif Islam. Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-XIII. UUM. 410-414
————————————————–. 2005b. Perkiraan keuntungan oleh bank Islam dalam pelaburan mudharabah: Pembaikan dan cadangan. ProsidingSeminar Kewangan dan Ekonomi Islam 2005, anjuran UUM di Bangi, Selangor pada 28 Ogos 2005: 79-85
Maslow A. 1943. A Theory of human motivation. Psychological Rev. 50(4):370-396
————. 1954. Motivation and Personality. N.York: Harper & Row
Mueller-Vollmer K. 2011. Wilhelm von Humboldt. Stanford Encyclopedia of philosophy. http://plato.stanford.edu/entries/wilhelm-humboldt/#SomEssHumUndLan
(25 Feb. 2012)
Muslim A.D. 2011. Sekilas tentang “Aceh”.
http://kantorkemenagacehtimur.wordpress.com/2011/03 (tercapaikan 19 Mac 2011)
Nasr S.H. 1964/1992. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam. Kuala Lumpur: DBP 1992. Terj. karya asalnya Introduction to Islamic Cosmological Doctrines.
———-. 1968/1984. Science and Civilization in Islam. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar. Snt perta manya 1968 terbitan Harvard  Univ. Press
Nehru J. 1963. Jawaharlal Nehru Quest. London: Asia Pub. House
Nik Rosdi M.b.N.A. 2011. Ilmuwan Nusantara. Batu Caves, K. Lumpur: PTS
Noriah M. 1999. Sejarah Sosiolinguistik Bahasa Melayu Lama. P.Pinang: USM
Oppenheimer S. 1998. Eden in the East. The Drowned Continent of Southeast Asia. Orien Pub.
——————-. 2004. Out of Eden. Peopling of The World. Constable and Robinson, UK. Terbitan AS dengan judul “Real Eve”.
Popper C. 1934/1958/2005. Logika Penemuan Sains. Yogyakarta:   Terj. karya terj. Inggris , The Logic of the Scientific Discovery 1968 snt ked. (snt pertama 1958) yang diterj. Drp karya asalnya dalam bahasa Jerman 1934
Rieber R.W. (Pnyut.).1983. Dialogues on the Psychology of Language and Thought. Plenum Bahagian yang relevan dengan petikan terhadap Chomsky di dalam makalah ini (sebuah wawancara) ada di internet, http://www.chomsky.info/interviews/1983—-.htm (25 Feb. 2012)
Rosenthal F. 1970/1992. Keagungan Ilmu. Kuala Lumpur: DBP 1992. Terj karya asalnya Knowledge Triumphant, Brill 1970.
Shaharir b.M.Z. 1984. Pengajaran dan pembelajaran matematik universiti di Malaysia. Dlm. Shaharir b. M. Z. (Pnyut.). Dasar dan Peranan Pendidikan Matematik di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 13- 22.
—————–.  1985. Contoh pendekatan kuliah sains keIslaman matematik. Asasains. Akademi Sains Islam Malaysia. 1/85: 27-32
—————. 1987/2000. Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains. Snt pertama 1987 terbitan Bina Ilmu. Snt. kedua 2000 terbitan Penerbit UKM.
——————-.  1988. Sorotan buku teks matematik KBSR darjah tiga. Asasains. 2/88: 16-24.
——————-.  1988. Sorotan buku teks matematik KBSR darjah empat.Asasains. 1/88: 26-34
——————-.  1989. Sorotan buku teks matematik KBSR darjah dua. .Asasains. 1/89: 25-31.
—————–. 1989/1992. Pinjaman secara Islam: Satu alternatif. Isu Pengurusan Perniagaan . 1: 3-16 (Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia). Tarikh penerbitan tidak berkala ini tidak tercatat pada keluaran pertama ini; cuma ingatan penulis sahaja 1991 atau 1992. Segi penulisannya, makalah ini memang siap dan dihantar kepada pihak berkenaan pada 1989.
——————. 1991a. Keperluan Pendekatan dan Tekad Baru dalam Reformasi Pendidikan Sains  Matematik. Dlm.  Zainodin bin Haji  Jubok et al.Ke Arah Pengajaran Berkesan. Pascasidang  Kolokuium Tahunan FSMK 1991.Bangi:  Fakulti Sains Matematik dan  Komputer,  Universiti  Kebangsaan Malaysia:  1-6
—————-. 1991b. Keperluan Perubahan Penjelmaan Sikap dan  Sistem  Nilai Ahli Sains  Matematik Malaysia. Dalam Zainodin bin Haji  Jubok et  al.Ke  Arah Pengajaran  Berkesan.   Pascasidang   Kolokuim Tahunan FSMK  1991. Bangi: Fakulti  Sains Matematik  dan  Komputer,  Universiti Kebangsaan Malaysia.  69-82.
——————-. 1992. Reformasi Apakah yang diperlukan di dalam program-program Sains Matematik. Jurnal Matematika.  8 (2): 101-109
—————–. 1995/1997. Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with particular references to Malaysia. Dalam/in Anuar AbRazak dan Abu Bakar Majeed (Pyt./ed.), Islam Science and Technology.Pasca-sidang 1995. IKIM, Kuala Lumpur: 47-76 
——————. 1997/2004. Pembinaan sains Melayu. Dlm Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), Dinamika Bangsa  Melayu. Menongkah Arus Globalisasi. Penerbit UKM, 303-320. Asalnya makalah yang dibentang di seminar Tamadun Melayu, UKM 1995.
——————. 1998a. Makna ilmu dan ilmuwan dalam budayas Melayu di pascabima. Kesturi 8(1): 65-1067
—————–. 1998b. Beberapa isu dalam pemelajaran sains matematik universiti. DDlm. Abdul Razak drk. (Pyt.) 1998. Pascasidang Pemelajaran Matematik: Agenda Semasa. Fakulti Sains Matematik dan PERSAMA: 86-92.
—————. 1998/2000. Sistem Angka Melayu sebelum Kedatangan Islam.Bull. Malaysian Mathematical Society. 23(1):1-34. Asalnya sebuah laporan Cuti Sabatikal UKM 1998.
————–2009/2011. Unsur asasi jirim dalam sains Melayu sebelum dipengaruhi Barat. Makalah dibentang di Seminar Etnomatematik Kebangsaan II di INSPEM, 20 Ogos 2009. Terbit ddlm Kesturi 2011, 21(1).
—————. 1999/2003. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masehi dan peribahasa. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 1: 78-113. Asalnya dibentangkan di Kolokuium Khas FSH, UKM pada 1999
—————. 2000. Pembangunan sains matematik mengikut acuan sendiri.Majalah Ilmiah Himpunan Matematika Indonesia (MIHMI). 2000, 6(5): 625-628. Dibentangkan di Kolokuium FST, UKM dan Seminar Kebangsaan Sains Matematik Malaysia ke-9 di KUT, K.Terengganu pada 2000
—————.2000/2002. Etnomatematik Melayu. Sari 20: 97-112. Asalnya dibentangkan di Simpos. UNRI-UKM di Riau pada 2000
—————–. 2001a.A note on the decimal numerical system. Humanistic Maths. of Network Journal. 24:36-42
——– (Pnyut.). 2001b. Prinsip dan Pengenalan Panduan Pelaksanaan Matemadesa. PERSAMA
——————. 2001c. A need for an indigenized methodology of teaching in Malaysian School mathematics. Proc. to the Internat. Conf. on School Mathematics and Sciences, anjuran ASM, 2001: 1-13
——————. 2002. Kaedah pengajaran dan pendidikan pengoptimuman yang mendekati Nilai Islam. Pros. Simpos. Kebangsaan Sains Matematik ke-9.Bagi: Pusat Pengajian Sains Matematik, UKM: 313-320
——————. 2002b. Berakhirnya Sakti  Melayu? Dewan Bahasa, Nov: 7-24
——————. 2003a. Some specific methodologies of relating mathematical sciences and Islam. Jour. Is. Sci : (1-2):111-126.  Juga muncul ddlm. Azizan bt.B. (Pnyut.). 2007. Science & Religion. Centre For Civilisational Dialogue, UM: 49-67.
——————. 2003b.Unsur-unsur kemanusiaan dalam matematik sekolah. Jurnal pendidik dan Pendidikan USM 2002/2003, 18:15-28
——————-. 2003c. Kaedah pemeribumian sains, teknologi dan perubatan. Makalah-Risalah Khas Pusat Penerbit dan Teknologi Pendidikan UKM
—————–. 2003d. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masehi dan peribahasa. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 1: 78-113. Asalnya dibentangkan di Kolokuium Khas FSH, UKM pada 1999.
—————–. 2004a. Penjodoh bilangan kuantitatif dalam bahasa Melayu klasik. Warkah Berita PERSAMA: 68-70
—————–. 2004b.Perjuangan menegakkan sistem nilai Islam dalam pembinaan teori fizik. Majalah Fizik, Sains & Idea 4: 18-27 (Institut Fizik Malaysia)
—————–. 2004c. Kamiran SPM (Matematik Tambahan) mengikut  Pendekatan Matemadesa. Kesturi  2004, 14 (1 & 2): 45-67
——————. 2005a. Sains Matematik dan Pengurusan. Jurnal Sukatan Qualiti dan Analisis /Journal of Quality Measurement & Analysis (JQMA/JuSQA) 1(1): 1-43
——————. 2005b. Haiwan-Haiwan yang tercetus daripada peribahasa Melayu  yang belum jelas segi sainsnya: Satu cabaran terhadap ahli biologi dan ahli leksikografi  di Alam Melayu. Malaysian Jour. of Sc. & Technol. Studies 3: 105-135
————–. 2005/2009. Teori kepemimpinan Melayu-Campa. Kesturi 19 (1&2): 117-131. Asalnya makalah ini dibentangkan di Seminar Antarabanagsa Campa di UKM 2005
—————–. 2006a. Ulasan Buku Hikayat Raja PasaiJawhar 3(1):1-17
—————-. 2006b. Beberapa Unsur Sains Melayu Islam yang Tertua dan Cabarannya. Malaysian Jour. of Sc. & Technol. Studies 4: 115-131
——————-. 2006c. Pendekatan baru terhadap konsep optimum Barat dan beberapa konsep optimum baru dalam acuan sendiri. Kesturi 16 (1&2): 55-96
——————-. 2006d.  Penganggaran Nilai Wustdo dalam Pengaturcaraan Linear Bermatalamat Tunggal. Sem. Keb. Sn Matema 14 , PERSAMA-UM : 357-360
—————–. 2007/2008. Model Alam Semesta Rumpun Melayu Zaman Pra-Islam dan Zaman Perlihannya. Kesturi 18 (1&2): 66-81. Makalah  yang dibentangkan di Seminar Etnomatematik Alam Melayu I, 21 Nov. 2007, anjuran KuPeLEMA (Kumpulan Penyelidiikan Etnomatematik Melayu), INSPEM, UPM.
——————-. 2007a. Beberapa judul dalam fizik matematik: perspektif acuan sendiri. Kesturi 17(1&2): 53-86. Bengkel Pemeribumian dan PengIslaman Sains & Kejuteraan ASASI-UKM di UKM 9 Feb 2007
——————-. 2007b. Keperluan teori  kebarangkalian baru yang lebih serasi dengan sistem nilai sendiri. Prosiding Sem Keb Sn Matema ke-15 PERSAMA-UiTM 5-7 Jun 2007. Pusat Penerbit Universiti (UPENA), UiTM: 413-424
——————-. 2008a. Bahasa jiwa ilmu: kes teori kenisbian dalam fizik teori.Sari 27(1): 143-165
——————. 2008b. Some weaknesses of the Relativity Theory on the basis of cosmological doctrines. Dlm. Senin H.B., Carini G., Abdullah J. & Bradley D.A. (Pnyut.). Current Issues of Physics in Malaysia. AIP Conference Proceedings. American Institute of Physics: 75-83
—————–. 2008/2010. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Snt. kedua 2010. K.Terengganu: Penerbit Universiti Malaysia Terengganu
——————.  2009a. Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik. Seminar Ulang Tahun INSPEM, UPM,  12 Mei 2009. Terbit dlm. MathsDigest 2009, 3(1): 1-16
——————. 2009b. Mantik Melayu separuh pertama Abad ke-17 menerusi manuskrip mantik Melayu-Jawi yang tertua  detakat ini: Manuskrip Nur al-Dyn al-Ranyry. Seminar Etnomatematik Kebangsaan III di INSPEM, 19 Nov 2009. Akan terbit ddlm Kesturi 2011, 21(2)
——————-. 2009c. A need for a new algebra of an Islamic Logic based on al-Ghazaly’s  Reasoning. Mimeograf. (disediakan untuk Seminar on Islamic Science anjuran Academy of Islamic Science, OIC & UIS, Malaysia 2009, tetapi tidak jadi dibentangkan).
——————-. 2009d. Yang Mana Satukah Sebenarnya Tempat Pendidikan Islam? Seminar Pendidikan Islam anjuran KDH/ABIM 23/03/09=26R’awal 1430. Ada dlm Blog Komshaha dan laman  ASASI, kesturi.net
——————. 2009/2012. Unsur asasi jirim dalam sains Melayu sebelum dipengaruhi Barat. Makalah dibentang di Seminar Etnomatematik Kebangsaan II di INSPEM, 20 Ogos 2009. Akan terbit ddlm Kesturi 2012.
——————-. 2010a. Banyaknya Alam Mengikut Sains Moden Serasi dengan Islam!? Seminar PengIslaman Ilmu ASASI-IIITM 16 Dis 2010, UKM.
——————–.2010b. Hikayat Raja Pasai: Sebuah Sorotan Tarikh penulisannya, kemasukan Islam di Pascabima dan pelbagai ilmu di dalamnya. Filologi Melayu 17: 1-37
—————–.  2011a. Keterlestarian Kebudayaan. Kuliah III, Siri Wacana Keterlestarian dan ketamadunan, Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dengan kerjasama Akademi Pengajian Melayu UM, 26 Nov. 2011.
——————. 2011b. Mantik Melayu pra-Islam berasaskan bahasanya di prasasti. Seminar Bahasa Melayu Purba dan Klasik, anjuran ASASI, 24 Feb 2011
——————. 2011c. Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum. ASASI
——————. 2011d. Kritikan terhadap kaedah pengquantuman dan mazhab mekanik quantum. Makalah yang diasaskan pada sebahagian daripada catatan Kuliah 3: Asal-Usul Teori Quantum, Aksiom dan “Fakta” Utamanya; dan Kuliah 4: Asal-Usul Mazhab Teori Quantum dan Pelbagai Kritikan Ilmuwan Barat Terhadapnya.  Siri Wacana Kritikan Teori Einstein dan Teori Quantum anjuran ASASI, masing-masingnya pada 24 Mei , dan 11 Jun 2011, di Jab. Fizik, UKM. Akan terbit di dalam buku suntingan Abdullah H. 2012. PTS-Akadamik.
——————. 2012a. Sudah Berakhirkan ilmu dalam Acuan Sendiri? Akan diterbitkan oleh Pusat Dialog Peradaban, UM
—————–. 2012b. Istilah dan Konsep Sukatan Tradisional Melayu. Akan diterbitkan oleh USM dalam tahun ini.
——————. 2012c. A new paradigm in sustainability. Jour. of Sustainable Development.
——————. 2012d. Bahasa penemu Ilmu. Seminar MABBIM, Brunei, 4 April

Shaharir b.M.Z. & Alinor M.b.A.K. 2011. Keperluan Takrif baru konsep keterlestarian.  Kuliah II. Siri Wacana Keterlestarian dan ketamadunan , Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dengan kerjasama Akademi Pengajian Melayu UM,.
Shaharir b.M.Z., Beh S.H, Lim S.Y & Tam Y.K. 2003. Tabii dan tahap penerapan nilai dalam buku teks matematik tingkatan satu : rujukan khas kepada  penulisan pecahan, peratus, perimeter dan luas. Diges Pendidikan  5(1): 39-48
Shaharir b.M.Z. & Latif A.b.S. 1987/1992. Matematik Bersepadu Peringkat Sekolah . Seminar Pendidikan Sains dan Matematik Sekolah 1987; diterbitkan olek  Institut Kajian Dasar, K.Lumpur 1992.
Shaharir M.Z. & Rohani A. R. 1996. Pengaruh sistem nilai dalam pengoptimuman utiliti berketentuan: Ke arah  teori yang lebih serasi dengan Islam. Dlm. Prosiding Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-VII. Shah  Alam: Intitut Teknologi Mara. 290-296
Wallace A. 1863. On physical geography of Malay Archipelego. Jour. of Royal Geographical Soc., vol. XXXIII: 217-234
————–. 1869. The Malay Archipelego. The land of Orang-Utan and the Bird of Paradise: A Narrataive of Travel, with Studies of Man and Nature. Diulang cfetak dan suntingan puluhan kali dan cetakan terbaharu yang kami tahu ialah 2004 terbitan Graham Brush, Singapore.

%%%%%%
* Makalah yang dibentangkan di Siri Wacana Keterlestarian Ilmu, 29 Mac 2012 di DBP . Kerjasama Pusat Dialog Peradaban dan DBP.
UMBAIAN 1
Prasasti berbahasa Melayu Kuno atau Kunlun (dengan huruf Palawa) yang tertua

Prasasti bahasa Melayu Kuno yang dijumpai di Dong Yen Cau/Chau, sekitar abad ke-4 M
http://www.facebook.com/note.php?note_id=180845735308106

Prasasti Kedukan Bukit, Palembang, bertarikh 603 Saka bersamaan dengan 681 M
(biasa dianggap prasasti berbahasa Melayu Kuno yang tertua, dengan mengabaikan/tidak mengetahui  prasasti dalam bahasa Melayu Kuno bertarikh sekitar 400 M di Vietnam di atas)

UMBAIAN 2

Prasasti berbahasa Melayu peralihan (Kuno-klasik) berhuruf Palawa bercampur Jawi

Prasasti bahasa Melayu berhuruf campuran Jawi dan Kawi di Pengkalan Kempas, Port Dickson bertarikh 1468 M  (juga dikenali sebagai prasasti Ahmad Majanu sempena nama seorang yang diceritakan di prasasti itu).  http://en.wikipedia.org/wiki/History_of_the_Malay_language
 UMBAIN 3
Manuskrip berbahasa Melayu pra-Islam tertua
  
Sampel manuskrip Uli Koszok berbahasa Melayu pra-Islam yang tertua dengan huruf Kerinci
pertengahan abad ke-14 M yang dijumpai di Tanjung Tanah, Sumatera
  
UMBAIN 4

Prasasti berbahasa Melayu Klasik (berhuruf Jawi) yang tertua

Prasasti Terengganu bertarikh 702 H bersamaan dengan 1303 M
http://www.asiaexplorers.com/malaysia/terengganu-inscription-stone.htm
  
UMBAIAN 5

Manuskrip Berbahasa Melayu Klasik (berhuruf Jawi)

Sampel manuskrip Melayu Jawi, Hikayat Raja Pasai, yang dipercayai ditulis
sebelum abad ke-16 M (dianggap tertua)
http://perihal-bangsa-melayu.blogspot.com/2010/01/kesultanan-samudera-pasai.html
Sampel manuskrip drp Hikayat Pelayaran Abdullah bertarikh 1845
http://en.wikipedia.org/wiki/Jawi_alphabet

Salinan sepipi  manuskrip al-Himiyar 1762 M, MS Malay d.1, fragmen b di Bodlein Library, London
(drp Tesis Baharruddin 2009)
Manuskrip Melayu-Jawi tertua dlm Astronomi

UMBAIAN 6

Prasasti  dan Manuskrip Berbahasa Jawa Kuno

Prasasti sukabumi bertarikh 732 S bersamaan 804 M yg dianggap prasasti dalm bahasa Jawa Kuno yang tertua
http://www.uniknya.com/2012/03/25/hari-ini-25-maret-804-prasasti-sukabumi-ditulis/

Sampel manuskrip berbahasa Jawa Kuno
 http://www.kesturi.net/