Diaspora Melayu Minoriti
1. Rumpun Melayu sebagai kumpulan minoriti tetapi merupakan
peribumi kepada negara-negara itu terdapat di Singapura, Selatan Thailand, Vietnam,
Selatan Myanmar dan Taiwan (Farmosa). Di negara-negara di luar Alam Melayu
mereka adalah penghijrah atau kelompok Melayu diaspora.
2. Fenomena penghijrahan ini mula berlaku pada zaman Sriwijaya
antara abad ke-7 hingga abad ke-13 secara kecil-kecilan dan mungkin
berkeluarga. Rumpun Melayu itu berhijrah dengan belayar ke Pulau Madagaskar di
pantai timur benua Afrika. Mereka dikatakan penyumbang kepada tamadun awal di
pantai timur benua Afrika dengan memperkenalkan kegiatan bercucuk tanam dan
memelihara ternakan.
4. Rumpun Melayu sebagai minoriti terdapat di Pulau Hainan dan
wilayah Kwantung di Selatan Negeri Cina. Mereka dipercayai adalah daripada
keturunan Champa yang mendiami pesisiran pantai Semenanjung Indo-China.
Sekumpulan yang agak besar keturunan Melayu Champa dari Vietnam itu, disebabkan
oleh peperangan berhijrah dan menjadi penduduk tetap di negara Cambodia,
dianggarkan hampir sejuta orang. Di Vietnam mereka adalah penduduk peribumi
yang pernah menubuhkan kerajaan Melayu Champa yang bertahan agak lama dari abad
ke-2 hingga ke pertengahan abad ke-15 Masihi. Kerajaan Champa itu tumbang
setelah sekian lama berperang dengan bangsa Daiviets dari utara yang kini
menjadikan wilayah itu sebagai Vietnam.
Di Segenting Kra, terdapat sekitar 100,000
pribumi Melayu tetapi perkampungan mereka termasuk ke dalam sempadan Selatan
Myanmar.
5. Sebahagian besar Melayu diaspora, iaitu
mereka yang berhijrah dan menjadi kelompok minoriti di negara-negara di luar
Alam Melayu, melakukan penghijrahan pada zaman penjajahan di wilayah budaya
Alam Melayu ini. Ini termasuklah kewujudan Melayu diaspora di Australia, Britain,
Sri Lanka, Afrika Selatan, Surinam, Arab Saudi dan beberapa lagi. Tetapi
penghijrahan juga berlaku pada zaman selepas penjajahan seperti kehadiran rumpun
Melayu keturunan Champa di Amerika Syarikat dan Perancis serta rumpun Melayu
dari wilayah Patani (Selatan Siam) dan Malaysia di Arab Saudi dan Mesir, serta
rumpun Melayu Sri Lanka di Canada.
6. Di sesetengah negara seperti Australia, Arab Saudi, Britain
dan Amerika Syarikat, penghijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke
negara-negara tersebut berterusan hingga akhir abad ke-20 serta memasuki abad
ke-21 ini. Berbeza daripada zaman penjajahan apabila sebahagian penghijrahan
itu adalah kerana dipaksa, penghijrahan pada zaman pasca merdeka dari
negara-negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei berlaku secara
sukarela, iaitu untuk mencari pekerjaan ataupun untuk mendapatkan ilmu tetapi
kemudiannya memilih untuk tinggal menetap di negara-negara berkenaan.
7. Sebagai rumusan kepada bahagian ini, kesemua kelompok Melayu
diaspora yang berada di negara-negara di luar Alam Melayu seperti China,
Australia, Madagaskar, Sri Lanka, Afrika Selatan, Kemboja, Mesir, Arab Saudi,
Perancis, Belanda, Britain, Amerika Syarikat dan Surinam adalah juga kumpulan
minoriti di negara-negara tersebut. Bagi negara-negara seperti Singapura,
Thailand, Vietnam, Myanmar dan Taiwan, mereka adalah kumpulan minoriti tetapi
kedudukan mereka adalah sebagai pribumi di negara-negara tersebut.
8. Untuk Pulau Madagaskar, rumpun Melayu di sana sudah dianggap
sebagai pribumi kerana kehadiran mereka di pulau itu sudah begitu lama, di
sekitar seribu tahun. Juga, bangsa Merina dari rumpun Melayu itu adalah bangsa
yang pertama menubuhkan Kerajaan Merina di negara itu.
DIASPORA MELAYU PADA ZAMAN PENJAJAHAN PORTUGIS, BELANDA, INGGERIS DAN PERANCIS
9. Kedatangan penjajahan Portugis pada awal abad ke-16 (1509)
disusuli oleh penjajah Belanda yang berjaya menguasai sebagai kepulauan Alam
Melayu, yang kemudiannya diberi nama Hindia Belanda Indonesia (1600) serta
mengambil alih penguasaan ke atas Melaka dari Portugis pada 1641, disusuli pula
oleh kedatangan Inggeris pada suku ketiga abad ke-18 (bertapak di Pulau Pinang
pada 1786) meninggalkan dua kesan yang besar kepada penduduk di Alam Melayu
yang sebelum ini belum lagi terpisah kepada lima negara bangsa baru seperti
Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura.
10. Kesan pertama penjajahan adalah kewujudan dua kelompok
Melayu sebagai kumpulan minoriti di tanah air mereka sendiri; iaitu di
Singapura dan di Wilayah Melayu Selatan Thailand. Rumpun Melayu ini adalah
peribumi di negara-negara berkenaan, iaitu Singapura dan Thailand.
11. Kesan kedua adalah penghijrahan kelompok-kelompok kecil dari
Alam Melayu, khususnya dari Indonesia dan Malaysia, ke negara-negara di luar
Alam Melayu.
Penjajahan Portugis
12. Portugis yang menguasai Ceylon (Sri Lanka), Melaka, dan
kawasan pesisir India seperti Bandar pelabuhan Goa mulai awal abad ke-16
membuka lembaran sejarah ‘diaspora Melayu’ dengan membawa kumpulan-kumpulan
kecil Melayu dari Melaka ke Ceylon sebagai hamba tawanan, pekerja kapal dan
sebagai askar upahan. Namun, penguasaan Portugis ke atas Melaka walaupun lama
dari segi masa (1511 – 1641 untuk selama 130 tahun) tetapi tidak berjaya
meluaskan wilayah penjajahannya dan tidak begitu rancak kegiatan
perdagangannya. Ini bermakna perpindahan rumpun Melayu ke luar wilayah Alam
Melayu terhad dari segi bilangannya, iaitu terhad ke Ceylon sahaja.
Penjajahan Belanda
13. Dalam persaingan merebut wilayah di antara Portugis dan
Belanda, kompeni Belanda ternyata lebih bersedia dengan angkatan laut dan
tenaga manusia yang lebih besar. Belanda berjaya mengambil alih Ceylon daripada
Portugis melalui peperangan; menguasai sebahagian wilayah kepulauan Alam Melayu
yang diberi nama baru Indonesia bermaksud ‘India Yang Jauh’ atau Further India,
serta mengambil alih Melaka dari Portugis dengan secara perundingan pada 1641.
14. Belanda menguasai kawasan atau wilayah kepulauan Melayu yang
amat luas serta lama, melebihi 300 tahun, berbanding dengan penguasaan ke atas
Melaka di Semenanjung Tanah Melayu yang agak kecil dan untuk selama 183 tahun
(1641 – 1824). Pengaruh serta penguasaan Belanda ke atas apa yang kemudiannya
diberi nama Indonesia adalah amat luas lagi mendalam. Ia menerima tentangan
daripada penduduk peribumi yang agak hebat yang mengambil masa agak lama untuk
mematahkannya. Penguasaan ke atas Semenanjung amatlah terbatas dan terhad di
wilayah Melaka sahaja manakala tentangan terhadapnya juga tidak begitu sengit
dari orang Melayu di Semenanjung.
15. Akibat daripada penjajahan, peperangan dan juga perdagangan
itu telah membawa kepada perpindahan penduduk rumpun-Melayu ke luar Alam
Melayu, seperti ke Ceylon (Sri Lanka), Afrika Selatan, Surinam dan Belanda.
Sebahagian besar mereka berhijrah secara paksaan sebagai hamba yang
diperdagang, pesalah dan buangan politik yang di antaranya adalah ulama dan
kerabat diraja, serta golongan merdahika yang berhijrah secara sukarela sebagai
pekerja atau kelasi kapal dan sebagai tentera upahan. Merekalah yang membawa
agama Islam ke sana, dan Islam kekal sebagai salah satu agama yang dianuti oleh
kelompok minoriti yang diiktiraf kehadiran mereka oleh kerajaan majoriti yang
beragama Buddha di Sri Lanka, yang beragama Kristian di Afrika Selatan, Surinam
dan Belanda.
Penjajahan Inggeris
16. Inggeris menjajah Persekutuan Tanah Melayu termasuk
Singapura dan Borneo Utara sekadar 80 tahun sahaja tetapi ia meninggalkan kesan
yang amat mendalam dari segi mentransformasikan ekonomi tradisional kepada
ekonomi perdagangan, membina prasarana komunikasi moden, pengenalan urusan
pentadbiran birokrasi, undang-undang tanah, pendidikan moden, serta pengenalan
sistem politik demokrasi dan kehakiman menggantikan Sistem Kerajaan Melayu
Lama. Di antara kesan yang paling besar sekali ialah menjadikan wilayah Alam
Melayu ini sebagai masyarakat majmuk menerusi migrasi besar-besaran orang Cina
dan India ke wilayah ini. Kesan kedua ialah menjadikan orang Melayu di Pulau
Singapura, di Segenting Kra Selatan Myanmar dan di Selatan Thailand sebagai
pribumi yang berstatus minoriti.
17. Namun pada zaman penjajahan Inggeris juga diaspora rumpun
Melayu adalah secara kecil-kecilan seperti penghijrahan mereka ke Pulau Cocos
dan Pulau Kerismas yang akhirnya membawa sebahagian mereka berhijrah ke benua
Australia. Terdapat sebahagian kecil mereka yang bekerja dengan kapal
perdagangan Inggeris dan akhirnya memilih untuk tinggal menetap di England
seperti di Liverpool.
18. Kehadiran kapal-kapal perdagangan yang menggunakan enjin
kuasa wap yang berulang-alik dari Alam Melayu ke Timur Tengah telah membolehkan
orang-orang Melayu belayar ke Arab Saudi dan Mesir untuk menuntut ilmu agama
Islam serta untuk menunaikan fardu haji di Makkah. Sebahagian kecil daripada
mereka ini yang berasal dari Malaysia dan Selatan Thailand memilih untuk
mencari pekerjaan dan tinggal menetap di sana sebagai kelompok Melayu diaspora.
Fenomena ini berlanjutan sehingga selepas zaman penjajahan.
Penjajahan Perancis dan Sepanyol
19. Penjajahan Perancis di negara-negara di Semenanjung
Indo-China (Vietnam, Kemboja, Laos) dan penjajahan Sepanyol ke atas negara
Filipina tidak secara langsung membawa akibat berlakunya penghijrahan rumpun
Melayu ke negara-negara di luar Alam Melayu tidak wujud tekanan dan juga
kemudahan untuk mereka meninggalkan tanah air dan berhijrah ke Perancis atau
negara-negara Eropah lainnya.
20. Tetapi tekanan untuk berhijrah berlaku selepas penjajah
Perancis dan Sepanyol kembali ke nagara mereka kemudiannya disusuli oleh perang
saudara kerana perebutan untuk berkuasa untuk sekian lama; di antaranya
kemunculan pengaruh komunisme yang sedang meningkat dan berjuang untuk
menguasai negara-negara di Semenanjung Indo-China.
21. Semasa Perang Vietnam memuncak pada awal 70-an, antara
Vietnam Utara yang berfahaman komunis dengan Vietnam Selatan yang menganuti
sistem liberal-demokrasi kedudukan puak minoriti Melayu Champa tersepit di
tengah-tengah gelanggang. Sekumpulan kecil yang mempunyai kemampuan membayar
untuk lari keluar sebagai pelarian perang berhijrah ke Perancis atau Amerika
Syarikat. Majoriti mereka lari mengikut jalan darat untuk berhijrah ke Kemboja
dan menjadi diaspora di sana mewujudkan beberapa buah penempatan yang diberi
nama ‘kampung’.
22. Nasib rumpun Melayu Champa sama seperti pepatah Melayu
‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Hegemoni komunisme yang ingin mengambil tampuk
kuasa di Vietnam merebak ke Kemboja yang menyaksikan kehadiran gerila komunis
Khmer Rouge yang ganas itu. Mereka akhirnya berjaya mengambil alih pemerintahan
dan kekal memerintah untuk beberapa tahun. Pada waktu itu dianggarkan 750,000
atau separuh daripada 1.5 juta orang-orang Champa beragama Islam di Kemboja
terkorban akibat keganasan gerila dan pemerintah Khmer Rouge.
23. Kumpulan-kumpulan kecil mereka ini berjaya melarikan diri
menyeberangi sempadan Thailand dan akhirnya diberi perlindungan di Malaysia.
Sebahagian lain yang mampu dan mempunyai kewangan berhijrah ke negara-negara
yang memberi perlindungan seperti Perancis dan Amerika Syarikat atas nama peri
kemanusiaan.
DIASPORA RUMPUN MELAYU FILIPINA, SINGAPURA
DAN SELATAN THAILAND
24. Perpindahan atau migrasi rumpun Melayu Filipina secara
kecil-kecilan kemungkinannya lebih banyak berlaku pada zaman pasca-penjajahan
Sepanyol daripada semasa sebelum zaman penjajahan. Di antara negara-negara di
Dunia Melayu, Filipina merupakan negara yang lebih mundur dari segi kemajuan
dan pembangunan ekonomi dibandingkan dengan Indonesia, Brunei, Singapura dan
Malaysia.
25. Bagi mereka yang beragama Kristian di pulau-pulau bahagian
utara seperti Luzon, perpindahan ke luar Alam Melayu berlaku dalam kalangan
golongan yang berpendidikan tinggi dan profesional ke negara-negara Barat yang
lebih maju seperti Amerika Syarikat dan Australia. Bagi penduduk di selatan
Filipina yang beragama Islam, perpindahan lebih merupakan akibat tekanan
keadaan politik yang tidak stabil disebabkan oleh perjuangan untuk mendapatkan
kuasa autonomi dari kerajaan pusat di Manila. Mereka yang beragama Islam ini
lebih banyak terdapat di Arab Saudi dan negara-negara Islam di Timur Tengah.
26. Sekumpulan lain yang tidak tergolong dalam kategori
‘diaspora’ atau bermigrasi secara kekal adalah pekerja peringkat bawahan
seperti buruh, pemandu dan terutama sekali pembantu rumah. Mereka ke Hong Kong
dan Arab Saudi untuk bekerja dalam sektor bawahan tetapi status mereka adalah
perpindahan sementara sebagai pekerja kontrak dan bukan untuk tinggal menetap.
Namun jika ada pilihan, pastinya mereka akan memohon untuk diterima sebagai
pemastautin tetap atau warganegara di negara-negara yang mereka sedang bekerja
di luar Filipina.
27. Pada masa-masa lalu, terdapat kelompok kecil rumpun Melayu
dari Singapura yang mencari pekerjaan di Pulau Kerismas (dalam pentadbiran
Australia) dan di Australia sebagai penyelam mutiara di utara Australia Barat
di Bandar kecil Broome. Mereka yang bekerja di Pulau Kerismas kemudiannya
berpindah ke tanah besar Australia untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang
jauh lebih lumayan. Sebahagian besar mereka akhirnya memilih untuk tinggal
menetap di Australia kerana jaminan kehidupan dan gaji yang lumayan.
28. Pada dekad-dekad yang terbaru, penghijrahan secara
kecil-kecilan berlaku dalam kalangan yang berpendidikan tinggi dan golongan
profesional. Penghijrahan ini dikatakan untuk mencari suasana serta peluang
pekerjaan baru yang lebih baik dibandingkan jika mereka kekal berada di
Singapura. Mereka ini bersama-sama Melayu dari Malaysia serta dari Pulau Cocos
dan Pulau Kerismas mewujudkan komuniti Melayu diaspora di beberapa bandar besar
dan kecil di tanah besar Australia seperti di Perth, Geraldton, South Headland,
Kattaning, Melbourne, Sydney, Brisbane, Darwin dan sebagainya.
29. Rumpun Melayu keturunan Patani dari wilayah Melayu Selatan
Thailand sudah berada secara kecil-kecilan di Arab Saudi khususnya di kota suci
Makkah dan Madinah sejak beberapa abad yang lalu.
Tujuan asal mereka ke sana adalah untuk
menunaikan fardu haji dan untuk mencari ilmu. Sebahagian kecil mereka ini
kemudiannya mendapat pekerjaan terutamanya pada musim haji yang menguruskan
para jemaah yang datang dari Alam Melayu. Mereka ini kemudiannya mendapat
peluang untuk tinggal menetap di sana.
30. Gelombang kedua penghijrahan mereka ini
ke Arab Saudi disebabkan oleh keadaan politik yang tidak stabil dan kerana
penindasan oleh pemerintah Siam ke atas penduduk minoriti Melayu di 4 wilayah
Selatan Thailand (Yala, Narathiwat, Patani dan Songkla).
31. Selain Melayu etnik Patani, terdapat juga sebilangan Melayu
dari Malaysia yang diterima untuk tinggal menetap di Arab Saudi.
Rata-ratanya mereka ini telah mendapat
pekerjaan tetap dalam pelbagai sektor awan serta di sektor swasta. Bagi mereka
dan lebih-lebih lagi anak-anak mereka (generasi kedua) yang berpendidikan
tinggi dan berjaya memasuki sektor pekerjaan profesional, sebahagian besar
mereka ini tinggal di kota pelabuhan Jeddah atau di ibu kota Riyard.
"…relations between dominants and minorities as moving
through a definite cycle, with one outcomes, the assimilation of the minority
into the dominant society." (Robert B.Park).
37. Kita akan menggunakan budaya serta ciri-ciri jati diri
penduduk asal di Alam Melayu ini sebagai kerangka rujukan walaupun kita
memahami bahawa kaedah ini mempunyai masalahnya yang tersendiri disebabkan oleh
kepelbagaian budaya masyarakat rumpun Melayu di Alam Melayu ini. Begitu juga
mereka yang telah berhijrah ke luar lingkungan budaya Alam Melayu datangnya
daripada wilayah-wilayah yang berbeza seperti Melaka (Malaysia), Singapura,
Sumatera, Jawa, Sulawesi, Kepulauan Ternate, Patani (Selatan Thailand),
Kemboja, Vietnam, dan sebagainya. Yang akan cuba kita cari jawapan ialah apakah
ciri-ciri utama yang digunakan apabila menganggap diri mereka sebagai orang
Melayu atau sebahagian daripada rumpun Melayu.
Perbandingan Melayu
Sri Lanka dan Afrika Selatan
PERSOALAN BUDAYA DAN JATI DIRI
32. Para sarjana dan pelajar bidang antropologi dan sosiologi
sering merujuk kepada satu takrifan klasik tentang kebudayaan yang pernah
diutarakan oleh Edward Bernard Taylor yang merumuskan ciri-ciri berikut sebagai
konsep kebudayaan; ‘satu kesatuan yang kompleks mencakupi ilmu pengetahuan,
kepercayaan, kesenian, tatasusila, unsur-unsur moral, adat resam, serta segala
kebolehan dan tabiat manusia sebagai ahli dalam sesebuah masyarakat’ (E.B. Taylor
1871).
33. Dari perspektif yang lain, perkataan budaya adalah cantuman
daripada dua perkataan budi dan daya. ‘Budi’ bermaksud akal atau kebijaksanaan
manakala ‘daya’ bermaksud tenaga, kekuatan atau kemampuan. Cantuman dua
perkataan ini memberi erti segala yang dicipta oleh manusia menerusi pemikiran
serta perbuatannya yang dimanifestasikan dalam bentuk material mahupun bukan
material (Wan Hashim 1995: 218).
34. Jati diri atau identiti pula adalah ciri-ciri budaya dan
latar belakang sejarah yang memperkenalkan seseorang atau satu-satu kaum atau
kelompok manusia seperti etnik atau ras yang membezakan mereka daripada
kelompok lain. Tanggapan orang lain terhadap sesuatu kelompok manusia atau kaum
juga menyumbang kepada pembentukan jati diri sesuatu kelompok manusia atau
kaum.
35. Walaupun rupa, wajah atau warna kulit tidak semestinya
dijadikan sebagai unsur penting jati diri sesuatu kaum tetapi dalam konteks
kajian ini, ia boleh dianggap sebagai suatu unsur yang boleh diambil kira. Ini
guna untuk dibuat perbandingan persamaan atau perbezaan di antara wajah atau
paras rupa Melayu diaspora yang sesetengahnya telah berada jauh dari Alam
Melayu sejak 200 – 300 tahun yang lalu dan sesetengah yang lain merupakan
generasi pertama atau generasi kedua yang baru berhijrah ke negara-negara lain
kurang daripada 100 tahun.
36. Kertas kerja ini menggunakan pernyataan atau kerangka sebuah
teori besar yang diajukan oleh Robert E. Park mengenai hubungan kumpulan
minoriti dengan masyarakat domain seperti katanya:
38. Ada persamaan yang nyata ciri-ciri dua kelompok Melayu
diaspora di Sri Lanka dan Afrika Selatan. Pertama, masa penghijrahan ke luar
yang hampir sama, iaitu bermula pada awal kurun ke-16 apabila Portugis
menguasai Melaka. Sebahagian mereka dari Melaka dibawa ke Ceylon sebagai hamba,
kelasi kapal, atau pekerja sukarela yang menyertai pasukan askar upahan.
Penghijrahan ke Ceylon dan Afrika Selatan meningkat dari segi bilangan apabila
Belanda menguasai Melaka dan sebahagian besar wilayah kepulauan Alam Melayu. Selain
hamba, pekerja sukarela dan banduan, turut sama berhijrah tetapi dengan secara
paksaan ialah ulama dan kerabat diraja yang ditawan dan akhirnya dibuang negeri
kerana mengetuai pasukan atau kebangkitan peribumi menentang penjajah Belanda.
Bilangan mereka di Sri Lanka hari ini dalam sekitar 60,000 orang manakala di
Afrika Selatan sekitar 500,000 hingga 600,000 penduduk.
39. Dari segi bentuk rupa, warna kulit atau wajah, sebahagian
besar tidak lagi menyerupai bentuk rupa atau wajah rumpun-rumpun Melayu di Alam
Melayu ini. Di Sri Lanka, majoriti mempunyai rupa dan wajah orang India Muslim,
termasuk pakaian wanitanya yang memakai sari sebagai pakaian harian. Dalam
perkahwinan, mereka mengikut adat resam Hindu apabila pihak wanita menghantar
mas kahwin kepada keluarga pengantin lelaki. Bahasa Melayu yang pernah menjadi
bahasa persuratan dan pertuturan rumpun Melayu di Afrika Selatan telah mula
pupus sejak akhir abad ke-19 atau awal kurun ke-20 yang lalu. Di Sri Lanka,
golongan tuanya masih bertutur dalam bahasa Melayu creole atau pidgin yang
tidak mudah difahami oleh orang Melayu dari Malaysia atau Indonesia.
40. Tiga unsur penting yang meletakkan mereka sebagai orang
Melayu adalah pertama, beragama Islam; kedua, mampu menyusur galur keturunan
mereka yang berasal dari Alam Melayu dan ketiga; pengenalan diri (self
identification) atau memperkenalkan diri mereka sebagai orang Melayu. Sebagai
tambahan, mereka juga menyimpan beberapa artifak budaya serta bahan tulisan
seperti kitab suci al-Quran tulisan tangan dan khat jawi yang ditulis oleh
nenek moyang mereka pada kurun-kurun ke-18 atau ke-19 dahulu. Perlu
diperingatkan di sini bahawa, mereka telah berada di Afrika selatan dan Sri
Lanka sejak 200 hingga 300 tahun yang lalu. Ini membawa kepada penghakisan jati
diri dan budaya mereka yang asal termasuk bahasa Melayu yang telah pupus, serta
amalan adat resam. Yang masih kekal kukuh pegangan mereka ialah kepada agama
Islam.
Perbandingan Rumpun Melayu di Australia,
Arab Saudi dan Surinam
41. Sebahagian besar rumpun Melayu yang kini tinggal menetap di
Australia dan Arab Saudi berhijrah ke sana pada sekitar abad ini. Di Australia,
masih ramai mereka itu dari kalangan generasi pertama yang berhijrah dari Pulau
Cocos atau Pulau Kerismas serta Malaysia dan Singapura. Amat jelas mereka masih
bertutur dalam bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, berpegang kuat kepada agama
Islam, mengamal adat resam Melayu dan berpakaian cara Melayu seperti
orang-orang Melayu di Malaysia dan Indonesia.
42. Bagi generasi kedua yang dilahirkan di sana, mereka masih
bertutur dalam bahasa Melayu tetapi fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan
mulai menerima budaya kehidupan golongan remaja di sana seperti meminati lagu
dan muzik pop dan filem cereka dari barat. Budaya popular termasuk juga cara mereka
berpakaian amat mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Adalah dijangkakan
bahawa kemungkinan besar bahasa Melayu akan secara perlahan-lahan terpinggir,
manakala bahasa Inggeris akan menjadi bahasa utama bagi generasi ketiga dan
seterusnya.
43. Keadaannya agak sama dengan budaya dan kehidupan orang-orang
Melayu yang kini menetap di Arab Saudi. Bilangan mereka relatifnya lebih ramai
terutama di kota suci Makkah dan di Jeddah. Kedua-dua generasi pertama dan
kedua masih fasih berbahasa Melayu, tetapi lebih selesa berpakaian cara
orang-orang tempatan, amalan adat resam campuran Arab dan Melayu, serta
berpegang kuat kepada agama Islam. Ciri-ciri jati diri Melayu mereka ialah
beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan sebahagian adat
resam Melayu serta Arab (tempatan). Mereka juga fasih bertutur dalam bahasa
Arab yang bakal mengambil alih dan menjadi bahasa ibunda bagi generasi ketiga
dan seterusnya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian bahawa ibu bapa mereka lebih
cenderung bertutur dalam bahasa Arab dengan anak-anak mereka (generasi kedua
yang dilahirkan di sana).
44. Keadaannya agak sama dengan rumpun Melayu di Surinam yang
sebahagian besarnya berasal dari Jawa dan Sumatera. Generasi pertama
penduduknya berhijrah pada sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20;
bermakna mereka sudah berada di sana sekitar 100 tahun. Namun mereka masih
tetap dapat mengekalkan ciri-ciri jati diri yang demikian, malah lebih dominan
daripada rumpun Melayu di Australia dan Arab Saudi. Mereka mengamalkan kehidupan
berkampung sesama mereka, fasih bertutur dalam bahasa Melayu ala Indonesia;
berpegang teguh kepada agama Islam serta mengamalkan adat resam yang dibawa
dari Jawa dan Sumatera. Mereka juga mempunyai pasukan-pasukan kesenian tradisi
seperti tarian kuda kepang dan enggau-enggau, lagu dan muzik Melayu-Indonesia,
seni pencak-silat, bergendang rebana dan berkompang. Faktor jumlah dan peratus
penduduk yang relatifnya tinggi iaitu 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk
sebanyak 400,000 orang sahaja di Surinam. Tiadanya unsur budaya dominan seperti
di Australia (budaya Eropah) dan di Arab Saudi (budaya Arab-Islam) membolehkan
rumpun Melayu Surinam mengekalkan jati diri mereka sebagai penduduk diaspora
(pendatang) dari rumpun Melayu.
Perbandingan Melayu Minoriti di Singapura,
Selatan Thailand dan Selatan Myanmar
45. Pertukaran status kelompok Melayu menjadi minoriti di
Singapura, adalah akibat secara langsung kehadiran Inggeris sebagai kuasa besar
kolonial yang telah membenarkan penghijrahan orang-orang Cina ke selatan
memasuki Alam Melayu secara besar-besaran mulai pertengahan abad ke-19 hingga
pertengahan abad ke-20 yang menjadikan pulau Singapura dulunya dihuni oleh
orang Melayu sahaja tetapi kini didominasi oleh kaum pendatang dari negeri
Cina. Ciri-ciri asal kemelayuan pulau itu hampir tidak kelihatan lagi apabila
kampung-kampung tradisi Melayu dipecah dan dimusnahkan menjadikan
kawasan-kawasan enclaves itu sebagai tempat tinggal untuk semua kaum melalui
pembinaan rumah-rumah pangsa. Para intelektual cerdik pandainya serta mereka
yang berkemampuan sebahagian besarnya telah berpindah ke Malaysia atau ke
negara-negara lain seperti Australia.
46. Peratus penduduk Melayu kini dianggarkan sekitar 15% sahaja
dan mereka tidak memainkan peranan penting dalam menguruskan negara itu sejak
Singapura dipisahkan dari Malaysia pada 1965 dahulu. Dalam bahasa salah seorang
pengkajinya Lily Zubaidah Rahim yang kini telah berhijrah ke Australia,
masyarakat Melayu di Singapura hari ini adalah masyarakat pinggiran dalam
segala segi terutamanya dalam bidang kehidupan yang strategik seperti ekonomi
dan pendidikan (Lily Zubaidah Rahman 2004). Namun disebabkan kedudukan mereka
berada di tengah-tengah masyarakat Melayu induk di Malaysia, Brunei dan
Indonesia, mereka masih berusaha dan berjaya mengekalkan jati diri yang
berpaksikan agama Islam dan amalan adat resam Melayu yang mereka warisi dari
nenek moyang mereka. Jika tahun-tahun 40, 50 dan 60-an dahulu, untuk selama 30
tahun atau lebih Singapura amat dikenali sebagai nadi dalam perkembangan
intelektual dan kegiatan persuratan Melayu, kini saki bakinya pun sukar untuk
dicari, hasil daripada usaha meminggirkan penduduk peribumi Melayu itu dengan
secara terancang.
47. Sejarah rumpun Melayu Patani di utara Semenanjung atau kini
dikenali sebagai Wilayah Melayu Selatan Thailand merupakan satu lagi episod
sejarah rumpun bangsa Melayu yang malang. Ia adalah salah satu masyarakat
Melayu berkerajaan yang paling awal di wujudkan selepas kerajaan Melayu Champa,
iaitu dipercayai muncul pada kurun pertama atau kedua kurun Masehi menggunakan
nama Langkasuka atau mengikut catatan Cina "Lang-Ya-Shu". Pada abad
ke-15 atau awal abad ke-16 namanya bertukar menjadi Patani.
48. Bermula sekitar abad ke-13, bangsa Tai dari pinggir selatan
negeri China mula berhijrah ke selatan untuk menguasai kawasan Segenting Kra
hingga ke Semenanjung. Penjajahan ke atas negeri-negeri Melayu utara
Semenanjung oleh bangsa Tai itu berhasil dalam abad ke-19 melalui dasar pecah
dan perintah. Apabila memasuki abad ke-20, dan dengan bantuan kerajaan
Inggeris, perjanjian Anglo-Siamese Treaty 1909 dimeterai yang meletakkan
negeri-negeri Melayu Selatan Thailand di bawah kerajaan Thailand.
49. Untuk selama lebih 100 tahun, kerajaan Thailand menggalakkan
penduduknya berhijrah ke wilayah selatan secara beramai-ramai untuk menduduki
wilayah Melayu itu. Dasar asimiliasi kerajaan Thailand yang agresif
mempercepatkan kehilangan jati diri bangsa Melayu yang berjumlah sekitar 3 juta
orang itu. Perjuangan untuk pemisahan oleh puak radikal dan militannya sudah
lama berjalan tanpa menampakkan hasil kecuali menambahkan ramai rakyatnya
terkorban. Pertumpahan darah berlaku tanpa belas kasihan. Terbaru, Perdana
Menteri Malaysia cuba mencetuskan idea untuk diberi autonomi pada wilayah yang
sentiasa bergolak itu seperti yang diperjuangkan oleh rumpun Melayu-Islam di
Selatan Filipina, tetapi disambut dingin dan amarah oleh pemimpin-pemimpin di
Bangkok. Jalan untuk mendapatkan penyelesaian adalah amat sukar kecuali jika
mendapat restu dan campur tangan dari Bangsa-bangsa Bersatu.
50. Sekitar 100,000 masyarakat Melayu Selatan Myanmar di
Segenting Kra masih mampu hidup berkampung mengamalkan adat resam bangsa Melayu
serta berpegang teguh kepada ajaran Islam. Tetapi dalam aspek kehidupan yang
strategik seperti kegiatan ekonomi dan pendidikan, mereka turut terpinggir dan
ketinggalan.
RUMUSAN
51. Kedudukan rumpun Melayu diaspora amatlah pelbagai. Mereka
yang berhijrah sejak 200 hingga 300 tahun yang silam sudah berasimilasi dengan
masyarakat dan budaya masyarakat dominan seperti di Afrika Selatan dan Sri
Lanka. Namun, Islam serta susur galur sejarah penghijrahan mereka ke sana serta
pengakuan diri mereka sebagai orang Melayu merupakan unsur penting untuk mereka
dilabelkan sebagai orang atau keturunan Melayu.
52. Lebih awal daripada itu ialah penghijrahan rumpun Melayu ke
Pulau Madagaskar sekitar 500 hingga 1000 tahun yang silam. Kelompok ini sudah
berjaya membina jati diri baru yang unik serta berjaya menubuhkan kerajaan yang
pertama di pulau itu yang melayakkan mereka diiktiraf sebagai peribumi Pulau
Madagaskar.
53. Rumpun-pumpun Melayu yang berhijrah kurang daripada 100
tahun ke beberapa negara seperti Arab Saudi, Australia, Eropah dan Amerika
serta mereka yang berhijrah ke Surinam masih berjaya mengekalkan jati diri
dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian,
mengamalkan adat resam Melayu, dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
54. Masyarakat Melayu minoriti di Selatan Thailand, Selatan
Myanmar serta di Singapura berada di bawah dominasi budaya dan masyarakat
dominan yang cuba mengasimilasikan mereka ke dalam masyarakat dominan bukan
Melayu. Mereka menghadapi cabaran yang getir untuk mempertahankan atau
mengekalkan jati diri sebagai rumpun bangsa Melayu.
RUJUKAN
Achmat Davids. 1980. The Mosques of Bo-Kaap, South African
Institute and Islamic Research. Athlone: Cape Town.
Asmah Hj. Omar. 2008. The Malays in Australia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Husseinmiya, B.A. 1989. Orang Regiment, the Malays of the Ceylon rifle. Bangi: Penerbit UKM.
Bunce, Pauline. 1993. Kepulauan Cocos (Keeling): Masyarakat
Melayu di Australia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lily Zubaidah Rahim. 2004. Dilema Singapura, peminggiran politik
dan pelajaran masyarakat Melayu. ITNM.
Md. Sidin Ahmad Ishak & M. Redzuan Othman. 2000. The Malays
in the middle east. Universiti of Malaya Press.
Wan Hashim Wan Teh. 1995. Interaksi Kaum Imigran dengan Bangsa
Melayu dan Kesannya Terhadap Kebudayaan Melayu. Dalam Hanapi Dollah, Lokman
Mohd Zen (pnyt) Kebudayaan Melayu di Ambang Abad Baru: Satu Himpunan Makalah.
Bangi: Jabatan Persuratan Melayu.
Wan Hashim Wan Teh. Rumpun Melayu Minoriti dan Diaspora. Terbitan Khas RUMPUN, ATMA UKM.
Wan Hashim & A. Halim Ali. 1999.
Rumpun Melayu Australia Barat. Penerbit
UKM.
Huntington, Samuel, 2008. Siapa kita? Cabaran kepada identiti
nasional Amerika. ITNM
Wan Hashim & Hanapi Dollah. Melayu Cape di Afrika Selatan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_____________________________________
Disampaikan dalam Seminar
Peradaban Melayu
oleh Prof. Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia