Konsep
waqaf selamatkan GLC
|
PADA 7 Julai, 2011,
akhbar Utusan Malaysia menerbitkan seruan saya supaya kerajaan mengkaji semula
pelupusan atau penswastaan 33 GLC sehingga satu agenda ekonomi untuk membela
nasib golongan miskin yang majoritinya Melayu dan Bumiputera digubal.
Saya telah menyatakan
pendirian selaku Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan
juga bagi pihak Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mewakili sejumlah besar
NGO Melayu.
Seruan ini diutarakan
setelah Datuk Seri Idris Jala, Ketua Eksekutif Pemandu yang juga Menteri di
Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelupusan 33 syarikat terbabit sebagai
sebahagian “Inisiatif Pembaharuan Strategik yang membabitkan peranan kerajaan
dalam sektor perniagaan.” Beliau telah dipetik sebagai berkata antaranya, 21
syarikat milik GLC akan dilupus terus, sementara lima dikurangkan pegangannya
dan tujuh lagi disenaraikan di bursa saham.
Pada pandangan saya,
antara sebab utama pelupusan ini tidak harus dilakukan ialah kerana dengan
menswasta atau melupuskan ekuiti milik GLC, pada hakikatnya kerajaan
memindahkan bahagian hak milik pegangan masyarakat ramai dan ekuiti amanah
rakyat terbanyak kepada segelintir golongan atasan dan mereka yang kaya.
Lebih-lebih lagi jika penswastaan atau pelupusan ini dilakukan menurut kaedah
penyenaraian di bursa saham – berapa ramaikah dalam kalangan rakyat
berpendapatan rendah akan mendapat manfaat darinya? Sesungguhnya langkah ini
suatu langkah yang tidak adil dan akan melebarkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Beberapa persoalan
lain juga menuntut cadangan ini dikaji semula. Tidakkah sebahagian besar GLC
telah membuktikan prestasi yang bertambah baik dan usaha hebat kalangan CEO dan
barisan kepimpinan GLC telah membuktikan GLC pada umumnya tidak lagi membebankan
kewangan kerajaan dan rakyat? Jika ianya dilakukan bertujuan meringankan beban
rakyat, kenapa syarikat GLC yang berjaya mahu dilupuskan?
Peranan kerajaan
menerusi GLC dan penglibatan mereka dalam ekonomi juga bukan lagi menjadi isu
“ideologi” politik dan pemerintahan. Kita di Malaysia harus bersikap pragmatik.
Setelah GLC lebih efisien dan berkesan, diurus dengan profesional, telus dan
akauntabiliti, mereka tidak lagi menjadi penghalang kepada persaingan sihat
dalam sistem ekonomi. Justeru, setelah mengikut kaedah pasaran dan berjaya
menambah nilai ekonomi tanpa subsidi yang semuanya dicapai tanpa campur tangan
kerajaan, tidak ada sebab lagi peranan mereka harus dicurigai.
Tidakkah Republik
Rakyat China dan Singapura bukti nyata antara beberapa negara lain yang tegas
menggunakan GLC sebagai strategi besar membina keupayaan dan ketahanan bersaing
ekonomi masing-masing? Singapura tetap menjadikan GLC institusi strategik dalam
percaturan persaingan ekonomi serantau dan global, sekalipun pernah berlaku kerugian
besar oleh GLC utama mereka atas kesilapan dan kelemahan pengurusan. Selain
itu, Amerika syarikat, iaitu pejuang utama kapitalisme liberal dan benteng
paling kukuh sistem kapitalisme Barat, kini sedang mengkaji semula dasar
liberalisasi ekonomi mereka setelah dilanda krisis sejak akhir 2008 dan
seterusnya, setelah kadar pengangguran dan kemiskinan meningkat dan tekanan
ekonomi semakin mendesak.
Keyakinan penuh rakyat
Amerika sebelum ini terhadap sistem ekonomi ‘private-sector driven’ semakin
pudar setelah jelas dilihat impak sistem ini yang lebih mirip menjadi
‘greed-driven’ – iaitu dipacu nafsu serakah dan tamak haloba golongan elit
korporatnya. Kini pemerintah Amerika banyak terlibat langsung dalam pengurusan
ekonomi, termasuk menggunakan wang rakyat untuk membela dan melindungi
kepentingan golongan yang paling terjejas oleh krisis kerana ditakuti akan
merosak dan memusnahkan sistem ekonomi.
Kenapa pula kini kita
di Malaysia berebut-rebut melakukan sebaliknya? Kenapa harus taksub memburu
liberalisasi, menyerahkan destini masa depan rakyat dan negara kepada
kepentingan sempit swasta, langsung mengabaikan “Semangat DEB” dan mengenepikan
nilai keadilan masyarakat?
Sesungguhnya langkah
yang membawa impak besar seperti ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati
dan setelah dihalusi kesan dan implikasi sepenuhnya. Kerana jika ia diteruskan,
bermakna “Semangat DEB” telah diketepikan dan dibuang. Dan dengan mengenepikan
“Semangat DEB” membawa kesan jangka panjang serius terhadap perjuangan
menerapkan keadilan dalam sistem ekonomi negara. Apabila keadilan
dikesampingkan, ia jelas bertentangan dengan aspirasi besar umat Islam di
Malaysia serta pegangan nilai hidup mereka dan ini pasti tidak akan dapat
mereka terima!
Jangan gadaikan GLC
dengan sistem
liberalisasi
Dalam keadaan iklim
ekonomi mencabar dan desakan kos sara hidup semakin mengancam, golongan
termiskin, majoritinya Melayu dan Bumiputera, berhak untuk terus menuntut
pembelaan dan perlindungan. Sesungguhnya, sangat tidak kena pada masanya sistem
ekonomi negara yang diwarisi sejak merdeka yang berteras kepada memperjuangkan
kesaksamaan dan keadilan ekonomi dirombak dan diliberalisasikan.
Malah Dewan
Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) tegas
dengan pendirian supaya kerajaan mengekalkan peranan GLC selagi jelas mereka
berupaya menambah nilai ekonomi atas dasar persaingan di pasaran. DPIM dan MPM
juga mencadangkan supaya penswastaan GLC, jika hendak terus dilakukan,
sewajarnya dijayakan menerusi kaedah Islamik, kerana dengan berprinsipkan Islam
ciri-ciri keadilan dan pembelaan untuk golongan masyarakat termiskin akan tetap
menjadi pertimbangan utama.
Salah satu institusi
yang boleh digunakan untuk menjayakan penswastaan cara Islam ialah dengan
mewakafkan bahagian saham dan ekuiti syarikat GLC yang berjaya dan menyerahkan
hakmilik atas nama institusi Waqaf Korporat. Lebih baik lagi jika wakaf
dilakukan sebelum syarikat terbabit disenaraikan. Dengan cara ini, pertambahan
nilai saham di bursa saham akan dapat dimanfaatkan oleh Waqaf Korporat untuk
dipanjangkan kepada masyarakat menerusi agihan kepada golongan bukan-bisnes,
termasuk yang miskin dan terpinggir khasnya. Menerusi Waqaf Korporat sebagai
institusi amanah, milik saham tersenarai juga dapat dikekalkan berpanjangan
untuk manfaat generasi akan datang, Insya Allah sampai kiamat!
Penulisan saya dalam
artikel al Islam, terbitan Julai, 2011, memberi satu contoh kejayaan Waqaf
Korporat, iaitu Waqaf An Nur Corporation Bhd. (WANCorp) yang ditubuhkan oleh
Johor Corporation sejak tahun 2000. WANCorp memiliki aset bernilai RM430.4 juta
pada akhir 2010 dan selain memiliki saham tersenarai di Bursa Malaysia, juga
menerajui syarikat tidak tersenarai pemilik kompleks membeli belah (Larkin
Sentral di Johor Bahru), selain syarikat terbabit dalam bisnes haji dan umrah
serta pembangunan mutawif profesional.
WANCorp jelas telah
banyak membawa manfaat bukan sahaja menerusi program bisnes dan pembangunan
keusahawanan, malah juga menerusi program fi sabilillah dan amal kebajikan.
Paling penting, sekalipun dibentuk mengikut acuan Islam, manfaat besarnya tidak
eksklusif malah dapat dinikmati bersama semua warganegara.
Ini terbukti, misalnya
apabila WANCorp berjaya memiliki saham PLC yang bisnesnya dikendalikan dengan
cara sangat inklusif membabitkan eksekutif dan anggota profesional semua kaum
di segala peringkat dan lapisan. Demikian juga, setelah WANCorp berjaya membawa
manfaat besar kepada lebih 650,000 pesakit miskin menerusi rangkaian Klinik
Waqaf dan Hospital Waqaf di seluruh negara, termasuk kepada lebih 40,000
pesakit miskin bukan Muslim.
Waqaf Korporat
Nasional Malaysia
Apa yang segera perlu
kerajaan lakukan ialah memudahkan pembentukan banyak lagi badan-badan Waqaf
Korporat seperti WANCorp. Untuk itu, dicadangkan supaya ditubuhkan sekurang-kurangnya
satu organisasi Waqaf Korporat di setiap negeri. Namun, pra syarat paling
penting ialah menentukan semua organisasi Waqaf korporat ini diurus dan
dikendalikan secara profesional dan distruktur mengikut kaedah yang dapat
memaksimumkan kedua-dua kelebihan pada institusi ini. Pertama, kelebihan ciri
Islamnya yang mematuhi syarak dan memenuhi semua syarat wakaf dalam Islam; dan
kedua, digandingkan dinamisme Waqaf Korporat sebagai entiti bisnes yang di pacu
daya keusahawanan tinggi berlandaskan sistem pengurusan profesional dan susunan
organisasi mengikut kaedah amalan terbaik korporat sejagat.
Dalam hal ini, satu
langkah besar dan paling strategik yang kerajaan perlu segera utamakan ialah
penubuhan institusi Waqaf Korporat Nasional Malaysia. Institusi Waqaf Korporat
peringkat nasional ini perlu segera dijadikan organisasi amanah induk mewakili
bukan sahaja kepentingan masyarakat Melayu dan Muslim, malahan juga membela
nasib semua golongan termiskin dan terpinggir dari kalangan semua kaum, agama
dan keturunan. Untuk menjayakannya, sama seperti ketika penubuhan PNB dan
Yayasan Pelaburan Bumiputera, kerajaan digesa memperuntukkan sekurang-kurangnya
RM2 bilion, bagi digunakan untuk membeli dan mewakafkan saham-saham milik GLC
kepada institusi Waqaf Korporat Nasional.
Setelah Waqaf Korporat
dibangunkan, penswastaan syarikat GLC harus memberi keutamaan kepada mereka.
Barulah penswastaan syarikat GLC dapat dijayakan mengikut acuan dan pendekatan
Islam tanpa mengenepikan “semangat DEB”. Menerusi kaedah ini juga pendirian
yang jelas dilihat membela kepentingan rakyat terbanyak dan melindungi
kepentingan hak golongan miskin dan terpinggir pasti disambut baik oleh semua
rakyat Malaysia.
Juga, menerusi kaedah
Islamik ini, rakyat Malaysia dapat memperkenalkan satu pendekatan baru
institusi wakaf yang dipercayai berupaya memperbaiki sistem ekonomi ciplakan
kapitalisme Barat. Kerana seluruh dunia amnya dan dunia Islam khasnya sedang
menantikan pembaharuan, supaya kehidupan tidak terus dinoda dan dirosakkan oleh
orang yang rakus dan materialistik serta korporat yang cuma mengutamakan
kepentingan swasta yang terlalu sempit.
Pembaharuan institusi
ini juga perlu disegerakan jika kita di Malaysia ingin mengelakkan ledakan satu
hari nanti kemarahan rakyat seperti yang telah berlaku di Mesir, Tunisia dan
Libya dan kini sedang menjangkiti beberapa negara Islam lain, terutama di Asia
Barat.
TAN SRI MUHAMMAD ALI
HASHIM
Timbalan Presiden
Dewan
Perdagangan Islam
Malaysia (DPIM)