NABI SAW BUKAN MANUSIA BIASA
Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia lain.
Diantaranya ialah sabdanya sendiri mengenai peribadinya di dalam hadis sahih: ‘Kedua-dua mataku tidur, tetapi hatiku tidak tidur’. Didalam hadis sahih yang lain, baginda SAW bersabda:’ sesungguhnya aku dapat melihat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihat kamu dari dari depanku.’ Baginda SAW juga bersabda ‘Aku dianugerahkan kunci-kunci perbendaharaan bumi.’
Meskipun pada fizikalnya, baginda SAW masih hidup dengan kehidupan barzakhiyyah (di alam barzakh) secara sempurna. Baginda SAW dapat mendengar perkataan orang yang masih hidup di dunia dan mendengar salam mereka serta menjawabnya. Bahkan , disampaikan kepada baginda SAW setiap selawat yang diucapkan kepada baginda SAW dan juga diperlihatkan kepadanya segala amal perbuatan umatnya. Baginda SAW berasal senang dan gembira dengan amal soleh orang-orang yang baik dan sentiasa meminta keampunan bagi umatnya yang melakukan dosa.
Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan bumi daripada memamah jasad baginda SAW yang sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan dan pemusnah yang terdapat di dalam bumi. Diriwayatkan daripada Sidna Aus Ibn Aus RA ;sesungguhnya diantara hari kamu yang paling mulia ialah hari Jumaat. Pada hari itulah Nabi adam diciptakan dan pada hari itu juga beliau diwafatkan. Pada hari Jumaat juga, terjadinya tiupan sangkakala, dan pada hari itu juga terjadinya so’iqah (petir dasyat atau kiamat) maka perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada hari itu kerana selawat sekelian akan dipersembahkan kepadaku.’ Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah SAW bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepadamu , padahal engkau telah binasa ? Baginda SAW bersabda , ‘Sesungguhnya Allah mengharamkan keatas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi.’ (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dalam sohihnya; Imam Hakim pula mensohihkannnya).
Berdasarkan hadis-hadis ini dan hadis lain, kita berpegang bahawa Nabi SAW diberi keistimeweaan untuk terus menerima selawat , mengetahui amalan umatnya dan sebagainya. Berkenaan permasalahan ini, alhafiz Imam al-Suyuti RA telah menulis risalah khusus yang dinamakan anba’ alAzkiya’ bi hayah al anbiya’ (Perkhabaran orang cerdik Pandai mengenai kehidupan para nabi).
Baginda SAW telah wafat tetapi kemuliaanya, kedudukannya dan pangkatnya yang tinggi di sisi Tuhannya tetap kekal dan tidak diragui oleh orang-orang yang beriman. Yang demikian bertawasul kepada Allah dengan perantaraan baginda SAW pada hakikatnya kembali kepada kepada iktikad wujudnya makna-makna tersebut dan kepercayaan bahawa baginda SAW begitu dikasihi dan dimuliakan oleh Allah SWT juga berdasarkan keimanan dengan risalah baginda SAW.
Bertawasul dengan baginda SAW bukanlah suatu penyembahan kepadanya kerana walau sebesar dan setinggi mana pun darjat baginda SAW , baginda SAW tetap makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak berkuasa menolak sebarang kemudaratan dan mendatangkan sebarang manfaat kecuali dengan izinNya.
Sumber : Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Utusan Malaysia 10 Oogos 2010.
· ** Rasulullah SAW ialah insan istemewa dan diberi anugerah khususi, Baginda merupakan insan pilihan, alamat kasihnya umat baginda ialah sentiasa berbanyak selawat dan ketahuilah bahawasanya Rasulullah SAW diperlihatkan oleh Allah Taala akan amalan umatnya dari kalangan orang mukmin sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran.