ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Ilmu FALAK

ILMU FALAK: SATU PENEROKAAN

ILMU FALAK: SATU PENEROKAAN

Dr Mat Rofa Ismail

Jabatan Matematik

Universiti Putra Malaysia

Pendahuluan

Ayat al-Qur’an yang pertama diwahyu kepada Rasulullah saw menyebut tentang iqra’ dan al-qalam, yakni merujuk kepada pembacaan dan pena. Kedua-dua kalimah menjadi simbol kepentingan ilmu dalam Islam. Iqra’ merujuk bacaan, kajian, analisis dan penyelidikan. Kajian sains dalam tamadun Islam bermaksud mengkaji keindahan hukum Ilahi yang ditakdirkan ke atas alam semesta, lalu bacaan dilakukan dengan nama Allah SWT. ”Bacalah dengan nama Tuhan-Mu” (al-`Alaq, 1). Paradigma Tauhid menjadi paradigma kajian sains tabii di kalangan saintis Muslim.

Al-Qur’an menggesa agar diperhatikan kejadian langit dan bumi, memerhatikan perjalanannya serta kejadian siang dan malam. ”Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam benar-benar menjadi tanda (keagungan Ilahi) bagi ahli Ulil-Albab” (Ali Imran, 190). Umat Islam diseru agar merenungi kejadian langit dan bumi serta hitungan perjalanan matahari, bulan dan cakerawala yang menjadi intisari dalam kajian astronomi.

Alam sesmesta bergerak secara tertib dan harmoni. Apakah sebabnya peristiwa harian seperti edaran matahari, bulan, bumi dan cakerawala keseluruhanya berlaku dalam suasana yang sedemikian tepat dan persis?Saintis Islam mengkaji keindahan sistem perjalanan alam semesta itu sebagai manifestasi keagungan ciptaan Allah SWT. Seluruh jirim langit berjalan mengikut ketentuan Ilahi yang telah ditakdirkan kepada mereka. Mereka melakukan peredaran penuh ketaatan tanpa bantahan. Mereka tunduk dan patuh. Mereka bertasbih serta melakukan ibadat dalam pengertian fitrah kejadian masing-masing. Keharmonian hukum alam pada hakikatnya ialah manifestasi kepatuhan alam terhadap takdir Ilahi. ”Bertasbih kepada Allah seluruh yang ada di langit dan di bumi, sedangkan Dialah Yang Maha Perkasa kagi Maha Bijaksana” (al-Hasyr,1).

Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada ketentuan Ilahi, tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi. Seluruh jisim langit dan bumi, seluruh jisim yang seni seperti elektron yang mengelilingi neukleus sehingga cakarewala yang mega yang mengelilingi pusat cakerawalanya, bergerak sedemikian dengan penuh peraturan, sebagai simbol kepatuhan dan ketundukannya kepada Pencipta. Simbol kepatuhan yang sama dapat disaksikan apabila kita mememerhatikan peraturan para jamaah haji melakukan pusingan tawaf mengelilingi kaabah dengan penuh ketaatan dan kepatuhan. Keharmonian hukum alam ialah simbol kepatuhan alam terhadap arahan ketuhanan. Alam adalah Muslim pada pengertian maknawi. Saintis Muslim tidak pernah memisah antara sains dengan iman, antara ilmu dengan agama. Kedua-dua ilmu emperikal dan tauhid dikaji dalam acuan yang sama, sepadu dan saling berkaiatn, tidak terpisah seperti amalan saintis Barat. Di atas prinsip inilah tamadun Islam terbina.

.Islam melihat kegiatan ilmu sebagai ibadat umum umat Islam. Ilmu sains tabii dikaji dalam satu paradigma kesepaduan ilmu yang berfungsi untuk melihat alam sebagai satu manifestasi keagungan Ilahi. Alam yang berjalan secara teratur dan tertib, bukan terjadi secara kebetulan tetapi menerusi Iradat dan perancangan Ilahi yang penuh hikmah. Alam semesta yang menjadi objek kajian sains hakikatnya dianggap sebagai kitab terbuka yang harus dikaji secara selari dengan kitab wahyu al-Qur’an. Hasil akhir kegiatan saintifik seseorang Muslim ialah sifat bertakwa yang menjadikan diri pengkajinya tunduk dan patuh kepada kehendak Ilahi, apabila melihat bahawa semua objek kajian sains di langit dan di bumi tunduk patuh kepada Pencipta-nya. Di atas paksi inilah seharusnya kajian saintifik moden umat Islam dilakukan. Setiap kajian yang ikhlas akan berakhir dengan pengiktirafan keagungan Ilahi dalam penciptaan alam semesta.

Hukum keseragaman alam yang disangka saintis Barat sebagai hukum tabii, hakikatnya ialah hukum Allah SWT yang disebut Sunnatullah. Muslim bermaksud orang yang patuh dan tunduk kepada peraturan dan kehendaki Ilahi. Dalam pengertian ini, alam semesta yang berjalan secara teratur dan seragam hakikatnya patuh dan tunduk kepada perintah Ilahi. Maka hakikatnya alam semesta adalah Muslim dengan pengertian ini. Hukum sebab dan akibat sebenarnya merupakan sebahagian daripada sunnatullah. Hukum ini tetap berjalan seadanya selagi dikehendaki berlaku demikian oleh Pencipta-nya.

Ilmu Falak dan Umat Islam

Falak atau astronomi ialah ilmu tentang kajian bintang dan sistem peredarannya. Menurut al-Khawarizmi al-Katib, astronomi ialah perkataan Yunani; astro- bintang dan nomi – ilmu. Pengarang Mafatih al-’Ulum itu mentakrifkan: Astronomi ialah ilmu berkenaan pergerakan jisim-jisim langit (al-ajsam al-samawiyyah), saiz dan bentuknya. Ilmu ini diwarisi daripada para anbia terdahulu termasuk Nabi Idris as. Nabi Idris memperturunkan ilmu tersebut kepada para sahabatnya di Mesir. Orang Mesir terkenal dengan pengetahuan mereka tentang alam langit sebab mereka mewarisi ilmu tersebut daripada para anbia. Mesir muncul sebagai umat terawal yang mengembangkan ilmu berkenaan. Mereka mengira perjalanan matahari, bulan dan planet, serta mereka mengira peristiwa gerhana matahari, pasang surut laut, musim dan kalendar. Ilmu ini disusun kembali oleh ilmuwan Mesir seperti Batlamius (Ptolemy) dan angkatannya lalu diwariskan pula kepada umat Islam khususnya apabila pembukaan Mesir dilakukan oleh para khalifah Islam yang awal.

Dalam pendahuluan buku al-Durr al-naqiy, Syeikh ’Umar Nuruddin seorang ahli falak tempatan, menceritakan mengenai pelopor ilmu-ilmu bersumberkan akal termasuk ilmu pengiraan dan falak:

’Dan orang yang menghantar dia (’ilm Hisab) seperti yang menghantar ilmu handasah dan ilmu tanjim dan ilmu hai’ah dan barang yang bergantung dengan dia iaitu Hasib Karim al-Din ibn Daniel, al-Nabi, dengan berkat doa bapanya dan kata qil Saidina Idris a.s.; dan kelebihan, iaitu berhajat kepadanya dan kebanyakan daripada segala ilmu dan muafakat segala ulama dan ahli mudun lamanya dan barunya atas perkenan akan dia dan dipujikan dia dan diamati-amati akan dia…

Ilmu tanjim dan hai’ah yang dimaksudkan oleh Syeikh Nuruddin di atas ialah cabang-cabang ilmu mengenai bintang dan alam langit. Catatan yang menghubungkan ilmu falak dengan para anbia adalah cacatan popular dalam catatan penulis Muslim termasuk penulis Melayu. Zubair bin ’Umar al-Indunisi membuat catatan tentang ilmu falak secara yang lebih terperinci dalamKhulasah al-Wafiyyah seperti di bawah:

’ Nama ilmu ini ialah ilmu pengiraan (al-Hisabi) dan pencerapan (al-irsyad) dan dimasyurkan dengan nama ilmu falak bahagian-bahagian ilmu hai’ah. Orang Arab membahagikan ilmu ini yang di sisi orang Yunani dikenali sebagai astronomi dan bermakna hukum-hukum perjalanan bintang (qawanin al-nujum) kepada tiga bahagian: deskriptif (wasfi), tabi’i dan amali. Falak wasfimengkaji tentang ehwal jirim-jirim langit dan pergerakan, kemunculan, cara perjalanan, ketinggian dan kerendahannya, panjang malam dan siang dan yang bersangkutan dengan bulan, tahun, hilal, gerhana bulan dan gerhana matahari. Falak tabii mengkaji tentang ehwal jirim-jirim tersebut dari segi dalil tentang peristiwa-peristiwa dan ’illah peristiwa-peristiwa tersebut serta kaedahnya. Cabang ini dinamai ilmu tanjim atau ahkam atau ilmu melibatkan perdalilan (istidlali). Falak amali pula mengkaji tentang pengetahuan yang dicapai oleh dua bahagian tadi dengan rubu` al-mujayyab, al-muqantar, jadual hisab zij, pencerap (al-rasd) dan logaritma. Inilah tujuan buku ini.

’Pengasas ilmu ini ialah Nabi Allah Idris, ke atas Nabi kita dan ke atasnya selawat dan salam. Beliaulah orang pertama yang mengeluarkan ilmu hikmah dan ilmu bintang kerana sesungguhnya Allah Subhanahu Ta’ala memberi kefahaman kepada beliau rahsia-rahsia falak dan susunannya, tempat-tempat ijtima’ kawajib dan menganugerahkan kefahaman tentang bilangan tahun dan pengiraan…”

Umat Islam memurnikan ilmu astronomi warisan Mesir-Yunani menerusi budaya dan sistem nilai Islam yang dipadankan menerusi wahyu Ilahi yang murni. Pemisahan antara unsur kuantitatif dengan kualitatif yang bercampur antara unsur khurafat dan murni dilakukan sepanjang pemindahan ilmu berkenaan khususnya apabila para khalifah Abbasiyyah membina balaicerap dan kajian perjalanan bintang kemudiannya. Ilmu ini dikenali kemudiannya sebagai ilmu falak. Istilah falak mempunyai konotasi yang berbeza daripada astronomi. Astronomi di sisi masyarakat Mesir digunakan untuk urusan harian seperti pengiraan musim, pertanian, perjalanan dan kalendar. Falak di sisi ilmuwan Islam lebih rapat kepada aktiviti ibadat kerana banyak ibadat umat Islam berkait rapat dengan ilmu berkenaan selain daripada aktiviti harian termasuk pengembaraan, pertanian dan kalendar. Kalimah falak diambil sempena kalimah falak yang terdapat dalam al-Qur’an.

“Dan Dialah yang menjadikan malam, siang, dan matahari serta bulan. Kesemuanya itu (terapung) berenang dalam falak masing-masing” (al-Anbia, 30).

Sa`id Hawwa menerusi al-Asas fi al-Tafsir ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa ayat di atas mempunyai nilai saintifik yang tinggi. Dinyatakan dalam ayat tersebut kesemua malam, siang, matahari dan bulan terapung beredar di udara seperti orang berenang. Perkataan kull (dengantanwin) bererti melibatkan kesemua objek yang telah disebut sebelumnya. Namun malam dan siang bukan objek seperti bulan dan matahari, tetapi termasuk dalam bilangan yang dimaksudkan. Ini bererti bumi, tempat berlaku siang dan malam itulah yang dimaksudkan terapung di dalam orbit. Lagi pula istilah yasbahun dalam ayat di atas merujuk kepada tiga atau lebih objek mengikut tatabahasa Arab. Ini menafikan bagi orang yang berpendapat bulan dan matahari sahaja yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Jika hanya dua objek yang dimaksudkan tentulah kalimah yasbahandigunakan, bukan yasbahun. Demikian hujah Sa`id Hawwa dalam ulasannya.

Ibadat umat Islam seperti solat, haji, puasa, takwim, arah kiblat, dan seumpamanya berkait rapat dengan ilmu falak. Para ulama menyatakan hukum mempelajari ilmu ini bertaraf fardu kifayah. Husain Muhammad al-Mahali misalnya menyatakan ilmu pengiraan berkaitan falak khususnya merupakan satu sudut (rukn) daripada sudut-sudut agama. Contoh kegunaan ilmu ini dalam hukum fiqh diperjelas oleh Abul’l Yasr al-Bazdawi dalam Risalah Fi Simt al-Qiblat:

Kemudian, setiap orang perlu melakukan solat setiap hari, berulang-ulang, yang tidak dapat dilakukannya kecuali dengan mengetahui rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Antara syaratnya ialah tawajjuh kepada kiblat; mengetahuinya wajib. Imam-imam salaf telah mengasas banyak masalah dalam syarat-syarat dan memperlihatkan dalil-dalil kesahannya; tidak mencukupi untuk bertaklid sahaja. Demikian pula mereka meletakkan masalah yang banyak tentang zakat, puasa, perkahwinan, talak, perniagaan, jenayah dan masalah-masalah lain. Walaupun kebanyakan manusia tidak perlu mengetahuinya dalam setiap segi, tetapi tidak memadai untuk mereka bertaklid sahaja. Kemudian imam-imam salaf kebanyakan mereka enggan merenung masalah kiblat dan mereka berpuas hati dengan bertaklid. Bertaklid tidak wajib bagi mereka. Mereka tidak melakukan pengiraan itu tanpa alat untuk mengira arah kiblat, dan kiblat tidak dapat diketahui kecuali dengan ilmu pengiraan …..

Penyusunan takwim sembahyang memerlukan pengetahuan geometri sfera dan trigonometri khususnya tentang fungsi songsangan sinus, kosinus dan tangen. Ini adalah asas dalam pengiraan waktu syuruq, fajar, ghurub, ijtima`dan yang seumpamanya. Dalam penentuan tersebut, seseorang ulama perlu mengetahui glob bumi, sistem matahari, falak perjalanan bumi mengelilingi matahari, surihan bulan dan kemerengan bumi dalam putaran dan edarannya. Ini memerlukan pengetahuan yang mendalam tentang matematik dan cabangnya khususnya falak, geometri, trigonometri dan aljabar.

Menurut al-Ghazali, ilmu dikelaskan kepada dua kategori iaitu ilmu syariah dan bukan syariah. Ilmu syariah hanya diperoleh menerusi wahyu tetapi ilmu bukan syariah mempunyai pelbagai sumber akal, pemerhatian, percubaan atau pengalaman manusia. Falak dikelaskan di bawah ilmu matematik. Matematik dikenali sebagai ilmu al-ta`lim dalam tradisi Islam. Matematik terbit daripada pemikiran akal manusia sedangkan akal pula anugerah Ilahi yang mulia kepada manusia. Ilmu perubatan diperoleh menerusi pemerhatian dan ujikaji, manakala ilmu bahasa diperoleh menerusi pendengaran. Menurut al-Ghazali lagi, ilmu bukan syariat terbahagi kepada tiga juzuk yang lain: harus, terpuji dan dikeji. Matematik dan perubatan, menurut al-Ghazali ialah dua contoh ilmu yang terpuji dalam kategori ini. Kajian ilmu falak dilakukan sebagai cabang ilmu matematik yang bertaraf fardu kifayah menurut Hujjatul-Islam tersebut.

Al-Khawarizmi menerusi Kitab al-`Amal bi al-Astrulab (Pengiraan menggunakan Astrolab) dan Kitab Amal San`al-Astrulab (Seni Pengiraan menggunakan Astrolab) menceritakan tentang penggunaan alat astrolab untuk menentukan altitut jisim samawi daripada titik cerapan tertentu.Astrolab ialah alat yang diperbuat daripada kayu atau logam yang digunakan ahli falak untuk menentukan altitut jirim samawi, untuk menentukan latitut dan masa pencerap, atau melakukan pengiraan matematik. Alat astrolab yang dicipta al-Khawarizmi dikatakan mampu menyelesaikan 43 masalah yang berkaitan dengan pengiraaan tersebut. Sekurun kemudian pula, tokoh falak Iran yang terkenal Abdul Rahman al-Sufi pula telah merekacipta alat yang sama untuk digunakan dengan lebih cekap sehingga mampu menyelesaikan sebanyak 1000 masalah berkaitan dengan astronomi dan matematik.

Cabang-cabang ilmu falak termasuklah ilmu azyaj (kata tunggal azyaj ialahzij), iaitu ilmu tentang jadual perjalanan falak, ilmu hai’ah, iaitu ilmu tentang susunan orbit, jumlah bintang dalam rantai tertentu, bahagian-bahagian buruj, jarak, saiz dan yang bersangkutan dengannya, ilmu ahkam (kata tunggalnya hukm yang bererti hukum) dan ilmu tentang alat kajian bintang (alat al-munajjimin). Ibnu Khaldun menyatakan dalam al-Muqaddimah, bahawa ilmu zij ialah cabang ilmu hai’ah dan mentakrifkan ilmu hai’ahsebagai ilmu pencerapan pergerakan bintang dengan kaedah geometri.

Trigonometri (al-muthallathat) diasas oleh umat Islam khusus untuk pengiraan falak. Ilmu falak memerlukan pengetahuan tentang geometri satah dan sfera. Ilmu ini diasas oleh rangkaian ilmuwan Islam termasuk al-Battani, Abu’l-Wafa, al-Tusi dan al-Biruni. Perbincangan trigonometri boleh didapati misalnya dalam Miftah al-Hisab (ditulis pada tahun 1428 Masihi) karya Jamsyid Ghiath al-Din al-Kasyi. Beliau membicarakan ilmu ini dalam bab ilmual-misahah yang melibatkan keluasan dalam bentuk segi tiga dan beliau mentakrifkan segi tiga sebagai satah yang dilengkungi oleh tiga garis lurus yang digelar adla’ al-muthallah (sempadan segi tiga). Trigonometri ialah pengajian tentang segi tiga.

Kegemilangan Falak Umat Islam: Satu Kenangan

Umat Islam mementingkan kajian emperikal dalam bidang falak. Data dan cerapan menjadi kegiatan penting umat Islam sejak zaman kerajaan Abbasiyyah. Pada masa pemerintahan al-Makmun mlnya, isdua balai cerap dibina dalam kurun ke-9 iaitu di Syamsiah Baghdad dan Bukit Qasiun Damshik. Balai cerap ini menjadi mercutanda penting dalam astronomi Islam yang kemudiannya menyaksikan banyak balaicerap yang didirikan di seluruh wilayah Islam. Balaicerap di Maragha dan Samarkhan misalnya dibina dengan ketinggian melebihi 70 meter.

Penyelidikan dengan metodologi saintifik menjadi tradisi keilmuan tamadun Islam. Aspek emperikal menjadi pembeza antara pendekatan Yunani dengan pendekatan Islam. Khalifah al-Makmun mengarah Banu Musa tiga bersaudara untuk mengukur lilitan bumi. Mereka berpandukan bintang kutub dalam pengukuran tersebut lalu mencari lilitan yang setara dengan pergerakan 1o bintang tersebut. Mereka mendapati jarak yang sepadan ialah 66 2/3 mil Arab. I mil Arab bersamaan 1979.3 km. Ini bermakna lilitan bumi mengikut garis bujur berdasar cerapan ini ialah 47,356 km yang menunjukkan pencapaian hebat ilmuwan Islam kurun ke-9 Masihi. Nilai yang diterima sekarang ialah 40,000 km. Cerapan ini dilakukan di kawasan berdekatan Mausul Iraq. Mereka melakukan cerapan ulangan pula kemudiannya di Kufah dan mendapati keputusan yang hampir sama.

Al-Biruni menjadi saintis Islam yang awal mentafsir al-Qur’an secara perbandingan saintifik tentang kejadian alam. Di atas permintaan Sultan Mahmud Ghaznawi, al-Biruni mentafsirkan ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan sains. Sebagai contoh, ketika mentafsirkan ayat tentang kisah Zul-Qarnain dalam surah al-Kahfi, yang menceritakan bahawa Raja yang adil itu tiba di suatu tempat matahari terbenam dalam satu tasik, manakala penduduknya pula terdedah kepada sinaran matahari tanpa dapat berlindung diri sama sekali sepanjang masa. Ayat ini ditafsirkan bahawa terdapat kawasan di atas muka bumi ini yang mengalami siang selama 24 jam tanpa ada malam sama sekali. Pengembara moden mendapati tempat tersebut berlaku di kutub utara atau selatan. Ini menggambarkan kegiatan sains saintis Muslim berkait rapat dengan agama serta menjadikan al-Qur’an sebagai paksi kegiatan ilmu.

Hasil kajian astronomi terdahulu disemak kembali oleh rangkaian saintis Islam. Batlamius mencatatkan sudut kecondongan bumi sebanyak 230 51’ manakala ahli falak Hindu mencatatnya sebagai 240. Ibrahim Sinan dan Abu Jaafar al-Khazin ingin mengkaji kemungkinan kecondongan tersebut berubah sepanjang tahun. Al-Khujandi merumuskan memang benar kecondongannya berubah, dan kecondongan maksimum atau al-mail al-a`zam mencapai 23032’ 22’’. Al-Battani turut mengukur kecondongan tersebut dan memberi nilainya 230 35’. Al-Battani turut menemui orbit bumi mengelilingi matahari bukan dalam orbit bulatan sebagaimana sangkaan, tetapi elips.

Bulan yang mengeliling bumi pula dikaji oleh Abu al-Wafa al-Buzajani dalam kurun ke-10. Al-Buzajani merumuskan perjalanan bulan mengitari bumi menerusi persamaan halaju bulan yang digelarnya muadalah al-sur`ah. Penulis Eropah menyatakan bahawa persamaan surihan bulan diberikan buat pertama kalinya oleh Tycho Brahe dari Denmark dalam kurun ke-16. Dalam tahun 1749, Dunthorn menggunakan persaman halaju bulan untuk menentukan pecutan bulan serta ramalan gerhana bulan dan matahari.

Menurut Ibn al-Haitham, bulan tidak mengeluarkan cahaya seperti jirim langit lain yang bersinar, tetapi bulan membalikkan cahaya matahari ke bumi.

Nasiruddin al-Tusi menyusun jadual falak untuk menyemak kembali data astronomi Batlamius. Kegiatan al-Tusi tertumpu di Maragha. Menerusi cerapannya, beliau mendapati ada banyak kesilapan data yang terdapat dalam karya asal Batlamius. Al-Tusi cuba membuat andaian bahawa kesilapan tersebut kemungkinan berpunca daripada kesilapan model geosentrik yang menjadi pegangan umum ketika itu. Beliau mencadangkan model heliosentrik menggantikan model Batlamius. Pandangan yang sama dikemukakan oleh al-Biruni dan Ibn al-Haitham. Mereka sukar menerima premis Batlamius apabila kajian tentang titik auj atau apogee dalam peristiwa akuinoks tidak menyokong langsung model tersebut. Mereka mengemukakan model heliosentrik bahawa matahari berada di tengah sistem suria dengan planet mengelilinginya. Pandangan ini sungguh penting kerana teori heliosentrik dikemukakan kembali di Eropah oleh Copernicus kemudiannya yang menimbulkan konflik yang besar dalam sejarah astronomi.

Abdul Rahman al-Sufi (903 – 986) telah menyebut tentang kewujudan galaksi di luar Bima Sakti. Dalam karyanya Kitab al-Kawakib al-Thabitah, beliau menceritakan tentang nebula Andromeda yang diberi nama timanganKabus Kecil dan Awan Magallan sebagai al-Baqar al-Abyad. Andromedadisifatkan berada sebelum mulut kumpulan bintang yang digelar Ikan Besardalam pengelasan bintang Arab. Menurut al-Biruni pula, galaksi Bima Sakti terdiri daripada koleksi bintang nebula yang tidak terkira bilangannya.

Jadual dan data falak yang dikenali sebagai zij telah dihasilkan di pelbagai balai cerap. Antara zij yang terkenal termasuklah zij yang dikumpulkan oleh al-Battani di Raqqah, Siria, zij yang dicerap Ibnu Yunus al-Safadi di balai cerap Kaherah, Mesir dan zij yang dicerap oleh kumpulan Ulugh Beg di balai cerap Samarkhan, Uzbekistan. Karya falak tersebut sangat terkenal di Eropah dan dirujuki oleh ahli astronomi benua itu termasuk oleh Copernicus ketika menulis bukunya De Revolutionibus Orbium, khususnya zij al-Battani. Data gerhana matahari dan bulan al-Battani turut digunakan Dunthrone (1749) untuk menyelidiki pecutan bulan.

Al-Biruni turut membawa satu kumpulan saintis untuk mengkur lilitan bumi. Peristiwa ini dilakukan di tepi pantai Lautan Hindi di benua India dengan menggunakan astrolab dan pengiraan secara trigonometri. Pengukuran jejeri bumi didasarkan kepada rumus

R = [a kos q] / (1 – kos q),

dengan q sebagai sudut dongak puncak gunung dan a jarak gunung daripada pencerap. Dalam pengukuran tersebut, tinggi gunung berkenaan ialah 652.5 hasta, q = 34”. Data ini memberikan lilitan garis khattul-istiwa sebagai 56.92 mil. Kajian ini dilakukan sebagai semakan terhadap kajian terdahulu yang dilakukan pada zaman al-Ma`mun.

Al-Biruni menyusun kalendar Parsi, Hebrew, Rom, Hindi dan Turki. Beliau turut menyenarai hari perayaan pelbagai kaum. Kalendar sistem matahari dikira berdasar bilangan 365.2422 hari setahun (kiraan ini yakni 365.2422, masih tepat hingga kini). Al-Biruni turut memerhati pergerakan titik awj atausolstis matahari yang berubah sepanjang zaman. Beliau turut memetakan 1029 objek samawi secara terperinci termasuk lokasi dalam hemisfera samawi yang tepat kepada minit yang berhampiran. Dalam pengiraan, al-Biruni sangat terliti dalam analisisnya. Sebagai contoh, beliau menggunakan nilai p = 3.141592653535898732 yang mempunyai 18 titik perpuluhan.

Karya teragung al-Biruni ialah al-Qanun al-Mas’udi ditulis dalam 143 bab. Karya ini merupakan karya agung al-Biruni. Karya ini mempunyai asas yang kuat dalam ilmu falak, geometri, trigonometri dan analisis berangka matematik.

Karya sains beliau sangat banyak dan indeks penulisannya dikumpulkan dalam senarai setebal 60 halaman. Al-Biruni membuktikan bahawa bumi berputar atas paksinya, beredar dalam orbit elips dan beliau membuktikan teori geosentrik Ptolemy menyalahi data cerapan astronomi. Beliau mengemukakan 7 kaedah penentuan kutub utara. Beliau turut mengukur perimeter bumi mengikut garis khatulistiwa. Beliau meramalkan gerhana matahari pada 8 April 1019 dan gerhana bulan pada 17 September 1019. Kedua-dua peristiwa dicerap benar di Lamghan dekat Kabul.

Al-Biruni mencipta alat astrolab berbentuk selinder yang berbeza daripada bentuk astrolab sebelumnya untuk cerapan dan kajian serta pengiraan waktu sembahyang fardu. Rekaan beliau ini terdapat dalam beberapa penulisannya termasuk dalam al-Tafhim li Awa’il Sinaah al-Tanjim.

Al-Biruni mengkaji tentang peristiwa pasang surut air laut yang mempunyai kaitan dengan tarikan gravity antara bulan dan bumi. Kajian pasang surut laut dilakukan al-Biruni di Bandar Somnath di India.

Rangkaian awal ahli falak Muslim seperti al-Fazari dan al-Khawarizmi, dikuti oleh al-Biruni dan Ibn al-Zarqali, kemudian oleh Ibn al-Shatir dan Ulugh Begh, telah memantapkan kajian data astronomi zij secara kuantitatif yang terpisah daripada mitos dan khurafat, sehinggakan bidang ini antara bidang yang paling pesat perkembangannya selain daripada bidang teras agama

Apakah tajuk yang biasa dibincangkan dalam karya falak yang membawa tajuk zij tersebut? Sebagai pengetahuan, antara lain zij mempunyai beberapa tajuk yang piawai. Perbezaan antara satu zij dengan zij yang lain bergantung penekanan serta data baru yang didasar kepada pengiraan dan cerapan yang lebih terkini. Antara tajuk asas perbincangannya adalah seperti yang berikut:

· Kronologi zij

· Trigonometri

· Astronomi sfera

· Pergerakan min suria, bulan, dan planet

· Persamaan suria, bulan dan planet

· Latitut bulan dan planet

· Kedudukan planet

· Paralaks

· Gerhana bulan dan matahari

· Ketampakan bulan dan planet

· Matematik geografi serta penentuan arah kiblat (dari bandar tertentu bersama koordinat)

· Uranometri (jadual bintang malar serta koordinat)

Sejarah telah menyaksikan betapa ribuan kajian zij telah dilakukan di seluruh wilayah Islam. Walaupun demikian, terdapat beberapa balaicerap yang telah menghasilkan zij induk yang menjadi rujukan penting dalam selang masa tertentu. Antara zij penting yang pernah dihasilkan dalam sejarah falak Islam ialah:

· Zij al-Khawarizmi (kurun ke-9)

· Zij Sabi`al-Battani (kurun ke-10)

· Zij Hakimi Ibn Yunus (kurun ke-10)

· Zij al-Mas`udi al-Biruni (kurun ke-11)

· Zij Ibn Ishaq (kurun ke-12)

· Zij Ilkhani Nasir al-Din al-Tusi (kurun ke-13)

· Zij Sultani Ulugh Beg (kurun ke-15).

Di Eropah, pengaruh astronomi Muslim sangat besar. Kegiatan penterjemahan karya tamadun Islam berlaku secara beransur-ansur sejak kurun ke-12 sehingga kurun ke-15 dan kajian secara mendalam pula berlaku sekitar kurun ke-16 dan 17 oleh Copernicus, Kepler, Brahe, Galileo, Descartes dan Newton. Tokoh seperti Regiomontanus, mengulas tentang trigonometri satah dan sfera yang menjadi unsur penting dalam kajian astronomi. Fungsi trigonometri al-Battani dan Abu al-Wafa diperkenalkan secara mendalam oleh Regiomantanus di Eropah. Jadual fungsi trigonometri yang tepat sangat diperlukan dalam kajian astronomi kerana cerapan yang melibatkan angkasa raya itu sangat peka dengan tabii ketepatan nilai, seperti nilai sin(10) yang menjadi perbincangan dalam kurun ke-11.

John of Sacrobosco menulis kembali falak Islam di Paris dalam karyanya termasuk Theorica planetarum atau Corpus astromicum. Karya matematik Regiomontanus pula memulakan perbincangan trigonometri yang membincangkan fungsi sinus, kosinus dan tangen sebagai adaptasi daripada karya astronomi Muslim ke Eropah khususnya di Jerman. Karya De triangalisRegiomontanus sebenarnya pernyataan kembali karya trigonomertri Abu’l-Wafa al-Buzajani. Karya al-Zarqali telah dirujuk oleh Copernicus dalam penyusunan De revolutionibus orbium coelestium. Rumus matematik dalam karya Ibnu Syatir yang bertajuk Nihayah al-su’l dalam kurun ke-14 ditemukan sekali lagi dalam karya Copernicus kurun ke-16.

Jadual falak susunan al-Khawarizmi, adaptasi daripada astronomi India dan cerapannya sendiri telah diterjemahkan ke Latin. Antara zij lain yang diterjemahkan ke Latin termasuklah Zij Hakimi Ibnu Yunus al-Safadi, ZijMumtahan Yahya ibn Mansur dan Zij al-Fahhad. Selain itu Zij al-Battani, al-Tusi, al-Biruni dan Ulugh Begh mendapat perhatian yang penting dalam pembinaan astronomi Eropah. Zij al-Biruni diterjemahkan ke bahasa Rusia dan Rusia menganggap al-Biruni sebagai tokoh teragung astronomi mereka. Al-Biruni lahir di Khwarizmi dalam wilayah Rusia. Rusia menyambut ulang tahun ke-1000 al-Biruni pada tahun 1950 secara besar-besaran. Ini merupakan sumbangan besar umat Islam terhadap perkembangan awal keilmuan Eropah khususnya dalam bidang falak.

Kaedah emperikal ujikaji makmal yang diasaskan oleh Ibn al-Haitham dalam optik digunakan secara meluas dalam penciptaan teleskop kemudiannya menerusi kajian Kepler, Galileo, Newton dan Descartes di Eropah. Bahkan banyak hasil yang dinyatakan sebagai hasil penemuan Newton termasuk graviti, optik, hukum gerakan dan kalkulus boleh dijejak pengambilannya dalam tulisan ahli sains Islam termasuk Ibn al-Haitham, Ibn Malka dan Thabit ibn Qurrah. Kaedah al-istiqra’ wa al-tajribah yang dipopular dengan kaedahhypothetico-deductive di Barat pada hakikatnya ialah kaedah yang diasaskan oleh Jabir ibn Hayyan dalam kimia dan Ibn al-Haitham dalam bidang optik. Roger Bacon sebagai pengembang pemikiran Ibn al-Haitham di Barat kemudiannya diisytihar oleh penulis mereka sebagai pengasas kaedah hipotehtico-deductive. Aspek cerapan emperikal tersebut membantukan kajian sains termasuk astronomi di Eropah menjelang kurn ke-17.

Barat mengisytiharkan bahawa Copernicus sebagai saintis pertama yang mengemukakan teori heliosentrik yakni teori matahari sebagai pusat edaran planet dalam sistem suria dalam kurun ke-16. Sejarah Barat melanjutkan bahawa Galileo yang menyokong teori Copernicus merupakan ahli astronomi agung dengan penemuan teori tersebut. Namun hakikatnya, al-Biruni, Ibn Syatir dan al-Zarqali telah menyatakan hakikat ini apabila mereka melakukan cerapan yang bercanggah dengan teori geosentrik warisan Ptolemy. Ibn Syatir misalnya sekitar tahun 1360 Masihi, menyatakan bahawa teori yang menyatakan bumi sebagai pusat alam tidak benar sama sekali. Menurut Ibn Syatir, ketika jirimlangit bergerak dari timur ke barat menurut pencerap, matahari pula berubah-ubah ufuk terbit dan terbenamnya sepanjang tahun. Planet pula ada yang muncul dan tenggelam maka ini menunjukkan bumi dan planet beredar mengelilingi matahari, dan bulan pula mengelilingi matahari. Pandangan Copernicus sangat selari dengan pandangan Ibn Syatir. Penulis Barat menafikan hubungan Copernicus dengan Ibn Syatir, walaupun dalam perpustakaan bandar kelahiran Copernicus terdapat manuskrip astronomi dalam bahasa Arab yang tersimpan di situ. Banyak pandangan Coperninus yang menyerupai pandangan Ibn Syatir menerusi manuskrip tersebut

Pada tahun 1607, Kepler mengulangi pandangan Abu al-Wafa al-Buzajani tokoh astronomi Muslim bahawa pergerakan planet, termasuk bumi,mengelilingi matahari dalam surihan berbentuk elips. Newton mendapati daya graviti memegang planet untuk kekal dalam orbitnya. Matahari yang menjadi pusat pergerakan planet dianggarkan mempunyai garis pusat sepanjang 1,392,000 km, kira-kira 109 kali lebih panjang daripada garis pusat bumi. Haba di pusat matahari mencapai suhu 15 juta Kalvin dan pembakaran melalui fusi nuklear menggunakan 600 juta ton metrik hidrogen sesaat.

Falak tamadun Islam bukan sahaja membina astronomi Eropah bahkan Alam Melayu turut menerima pengaruh falak tamadun induknya, khususnya apabila Islam bertapak mantap di rantau ini. Manuskrip mengenai ilmu falak boleh ditemui di merata tempat negara kita. Perpustakaan Negara Malaysia, Pusat Islam, perpustakaan universiti tempatan, sekolah agama, koleksi pertubuhan dan koleksi perseorangan adalah tempat-tempat yang boleh ditemui manuskrip berkenaan yang ditulis dalam bahasa Melayu atau Arab.

Perpustakaan Akademi Islam Universiti Malaya, cawangan Kelantan misalnya, mempunyai satu koleksi warisan ilmu berkenaan yang masih belum diketahui umum. Di antara manuskrip yang dimaksudkan termasuklah sebuah kitab mengenai astrolab karya Mahmud Zuhdi bin Abdul Rahman yang ditulis pada tahun 1343H, sebuah kitab mengenai jadual falak karya Muhammad Marzuqi bin Syed Husain yang ditulis pada tahun 1334H dan jadual-jadualnya ditulis dalam sistem munajjimin atau sistem jummal, Kitab al-Wasilah al-Mar’iyyah li ma’rifat al-auqat al-Syar’iyyah yang mengandungi 24 bab mengenai pengiraan waktu yang berhubung dengan syari’ah karya Khalifah bin Hamad yang ditulis pada tahun 1326H, sebuah kitab falak mengenai jirim-jirim langit (al-ajram al-samawiyyah) yang ditulis pada tahun 1334H, (tidak dinyatakan pengarangnya,) yang merupakan salinan daripada sebuah kitab lain yang juga tidak dinyatakan namanya. Kitab Syarh al-Dawa’ir karya Syeikh Sulaiman al-Zuhdi yang disalin balik oleh penulis Nusantara yang tidak disebut namanya dan sebuah kitab falak bertajuk Kitab al-Khusuf dan Kitab al-Kusuf karya Muhammad Mansur bin Abdul Hamid al-Batawi (tidak dinyatakan tahun penulisannya) mengenai gerhana bulan dan matahari.

Selain daripada manuskrip, buku-buku bercetak yang dihasilkan oleh ahli falak Nusantara juga banyaj ditemui. Antara karya penting yang dimaksudkan Riad al-wardiyyah, Nukhbah al-Bahiyyah dan Khulasah al-Jawahir al-Naqiyyah karya Syeikh Ahmad al-Khatib Pati Kiraan karya Syeikh Tahir Jalaluddin, Khulasah al-Wafiah fi al-Falak bi jadwal al-Lugharatimiyyahkarya Zubair ’Umar al-Jailani, Minhaj al-Qawim pada mengetahui Hisab dan Taqwim karya Syeikh Abdul Rahman al-Fatani, Hisab Falak karya A. Katsir,Kitab Falak karya Syeikh Ahmad al-Fatani, Almanak Jamiliyyah Syeikh Jamil Jambek, al-Majesti Ajeungan H. Nawawi, dan lain-lain.

Para ilmuwan Melayu juga sangat berminat untuk mengkaji ilmu kosmologi, yang bersifat lebih umum daripada ilmu falak. Kosmologi membincangkan tentang kejadian alam semesta yang dihubungkan dengan falsafah, kepercayaan, budaya dan sistem nilai sesuatu masyarakat. Dalam bidang ini, ulama Nusantara tidak ketinggalan membincangkan kejadian langit dan bumi serta membincangkan teori kosmologi Islam. Syeikh Nur al-Din al-Raniri, misalnya pernah menulis tentang kejadian alam menerusi karyanya yang bertajuk Kitab bad’ Khalq al-Samawat wa’l-Ard (dicetak di pinggir kitab Taj al-Muluk) dan Jawahir al-`Ulum fi Kasyf al-Ma’lum (masih berbentuk manuskrip). Syeikh Muhammad bin Ismail (Nik Mat Kecik) al-Fatani membincangkan mengenai kosmologi Islam termasuk kejadian cakerawala menerusi karyanya yang bertajuk al-Durr al-Masnun wa’l-Jauhar al-Maknun(dicetak pada tahun 1309H di al-’Amirah al-Islamiyyah). Syeikh Ahmad bin ’Abdul Latif menulis mengenai alam langit dalam Ma’rij al-Aflak (berbahasa Arab). Persoalan langit dan cakerawala disentuh juga oleh al-Khatib dalam bukunya yang bertajuk Dau al-Siraj yang membincangkan tentang peristiwa Mi’raj Nabi s.a.w.

Lintasan sejarah ini memberikan gambaran bahawa umat Islam terdahulu termasuk ilmuwan Islam Alam Melayu pernah menempa sejarah dalam bidang falak serta ilmu yang berkaitan denganya. Akan tetapi rentetan sejarah ini hanya tinggal sebagai kenangan indah dalam lipatan sejarah umat Islam.

Putaran Roda Umat Islam: Giliran Saintis Barat Menerajui Astronomi

Kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 menyaksikan nasib malang umat Islam yang paling derita dalam sejarah umat. Umat Islam kehilangan maruah, daya juang, pendidikan, ekonomi, budaya dan politik. Kerajaan Uthamaniyyah sebagai penaung terakhir umat Islam dalam kewarisan khalifah yang terbina selama 1300 tahun telah runtuh. Umat Islam tiada sebarang penaung induk. Mesir, Nigeria, India, Tanah Melayu, dan Borneo jatuh ke tangan British.Indonesia menjadi jajahan Belanda. Moroko, Algeria, Tunisia menjadi taklukan Perancis. Asia Tengah yang berpusatkan Samarkhan menjadi cabang wilayah Soviet. Negara Arab Teluk yang kaya dengan minyak tunduk kepada kemahuan British. Lebih menyayat lagi, bumi Palestin dirampas dan diisytiharkan wilayah Israel. Wilayah ini dirancang untuk berkembang lebih luas dari masa ke semasa. Satu fasa keagungan dan kejatuhan umat Islam telah lengkap kitarannya.

Umat Islam dilihat berada pada tahap paling rendah dalam perkembangan ilmu keseluruhanya termasuk ilmu falak. Kegemilangan umat Islam dalam bidang berkenaan seperti peninggalan azyaj cerapan yang dilakukan oleh Ulugh Bagh, al-Kasyi, al-Tusi, Qadi Zadih, al-Zarqali, al-Biruni, Ibn al-Ha’im dan angkatannya hanyalah indah dalam catatan sejarah. Hampir tiada kajian baharu ke arah lanjutan cerapan zij Ulugh Begh misalnya. Umat Islam lebih cenderung untuk mengadaptasi kajian silam bagi tujuan pengiraan asas takwim yang berkaitan dengan umat Islam daripada karya falak silam tanpa melakukan cerapan kajian asli yang baharu. Kajian moden terserlah di Barat sedangkan umat Islam secara umumnya menjadi penonton terhadap kajian Barat. Walaupun ada umat Islam yang berpeluang mendapat pendidikan kajian emperikal Barat, namun mereka hanya menambah ilmu dalam paradigma dan sistem nilai Barat. Ilmu tersebut bukan berpaksikan konsep Tauhid. Bahkan dalam banyak hal, mereka menafikan ketaudihan lalu menganut fahaman positifisme yang melihat alam secara bebas daripada ketuhanan. Astronomi Barat moden diasas terhadap fahaman tersebut.

Namun hakikatnya, Barat membina teori astronomi moden mereka menerusi runtuhan ilmu falak Islam. Universiti Barat yang dibina berdasar universiti Islam Sepanyol menjadikan falak sebagai satu ilmu asas mereka. Model universiti Islam dibina di Perancis, Sicily, Jerman, England dan Itali. Perbincangan teori heliosentrik disambung kembali oleh Kepler, Copernicus, Gallileo dan rangkaianna. Akan tetapi sejarah pemindahan ilmu Islam ke Eropah itu tidak dicatat oleh penulis Eropah, bahkan mereka menafikannya pula. Pada awal pemindahan tersebut, golongan awal mereka mendapat tentangan hebat daripada wibawa gereja. Gereja menentang keras kajian astronomi yang bercanggah dengan kitab suci mereka. Ribuan saintis Barat, termasuk Bruno dan Servetus dihukum bakar hidup-hidup kerana menyatakan pandangan astronomi yang dianggap bidaah oleh wibawa gereja. Akhirnya komuniti Barat membuat keputusan nekad untuk memisahkan kajian astronomi daripada agama. Hukum sunntulllah yang disebut saintis Muslim menjadi law of nature di sisi mereka. Tabii mengambilalih peranan ketuhanan dalam astronomi Barat. Inilah paradigma yang menjadi paksi penyelidikan Barat.

Kajian Barat ditumpukan terhadap struktur galaksi yang menjadi misteri kewujudan. Kewujudan nebula Andromeda telah dinyatakan oleh ahli falak Muslim sejak kurun ke-10 lagi khususnya oleh al-Sufi dan al-Battani. Al-Sufi menggambarkan bentuk lingkaran Andromeda. Galaksi ini hanya diketahui di Eropah dalam tahun 1780 menerusi Messier, ahli astronomi Perancis lalu ditandakan dalam peta galaksi sebagai M31 (huruf M sempena nama Messier).

Penemuan besar dalam kajian galaksi dan kosmos menjelang pertukaran kurun ke-19 dan 20 ialah teori alam semesta yang dinamik. Edwin Hubble (1889 – 1953) mengkaji anjakan merah cahaya dari galaksi yang jauh dari bumi. Beliau mendapati terdapat hubungan yang linear antara anjakan merah dengan jarak galaksi dari pencerap. Beliau melakarkan graf hubungan antara jarak 24 galaksi tertentu yang terang cahayanya, lawan anjakan merah. Tokoh ini dianggap saintis pertama yang mencadangkan hipotesis alam mengembang. Galaksi yang lebih jauh dan pudar cahayanya didapati bergerak lebih laju daripada galaksi yang dekat. Kelajuan yang dicerap itu agak luar biasa kepantasannya. Pemerhatian inilah akhirnya melahirkan teoriDeguman Besar.

Fonomenon ini disebut kesan Doppler dalam fizik. Dalam cerapan ini, semua garis hitam spektrum galaksi yang dicerap bergerak ke arah garis merah manakala garis merah pula bergerak ke lampau merah, dan seterusnya. Ini menunjukkan bahawa galaksi yang dicerap bergerak menjauhi pencerap. Analogi lain yang biasa diberi dalam kuliah fizik ialah kesan bunyi keretapi yang semakin perlahan apabila semakin lama keretapi tersebut menjauhi stesen dan sebaliknya jika keretapi menuju dan mendekati stesen.

Akan tetapi ada saintis Barat seperti Fred Hoyle yang tidak begitu bersetuju dengan teori pengembangan alam. Beliau lebih cenderung untuk menyatakan alam bersifat statik seperti anggapan sebelum ini. Ini berkait pula dengan sikap peribadi beliau sendiri yang berpegang kepada Atheisme. Hipotesis pengembangan alam memerlukan permulaan alam semesta, yakni alam bermula pada suatu ketika tertentu sedangkan beliau berpendirian bahawa alam adalah azali. Teori ini tidak mendapat tempat dalam arus perdana kajian kosmologi kini. Bahkan Hoyle sendiri pun telah meninggalkan teorinya sendiri.

Pada tahun 1917, Albert Einstein mengkaji peristiwa graviti dan kosmos dengan anggapan alam bersifat statik, yakni dengan menggunakan persamaan dalam kerangka kerelatifan maka didapati tabii persamaan tersebut menunjukkan bahawa alam boleh mengembang atau mengecut, walaupun beliau sendiri belum sampai kepada kesimpulan tersebut. Persamaan Eisntein dikaji oleh tokoh kosmologi kemudian, dan secara model matematik menunjukkan alam boleh berkembang atau mengecut saiznya bergantung kepada beberapa parameter kosmos. Einstein mengakui kesilapannya kerana menambahkan satu parameter yang digelar pekalipemalar kosmologi di bawah anggapan alam bersifat pegun. Beliau hanya menjangkakan daya tarikan yang seimbang dalam alam semesta keseluruhannya agar alam bersifat tenang dan diam tetapi kajian lanjut menunjukkan sebaliknya.

Stephen Hawking, ahli falsafah kontemporari yang mengkaji asal usul alam semesta, menggunakan model relatifan Einstein yang serupa untuk menyelidiki kemungkinan permulaan Letupan Besar. Beliau cuba merumuskan persamaan-persamaan kosmos bersama Penrose untuk mengkaji letupan tersebut dengan membalikkan masa sehingga beliau membuat keputusan bahawa masa memang bermula dengan letupan tersebut dan titik singularan yang dimaksudkan memang wujud.

Letupan Besar yang memulakan ruang dan masa dalam alam semesta, mengikut teori ini, alam akan terus mengembang dan mengembang akibat tolakan letupan tersebut ke arah sempadan alam. Akan tetapi andainya daya tarikan graviti antara galaksi lebih kuat daripada daya yang terbit akibat letupan besar, maka gerakan akan berhenti seperti peristiwa regangan bahan kenyal dalam gerakan harmonik: setiap pengembangan akan sampai ke tahap akhirnya, kemudian berhenti. Peristiwa tidak terhenti setakat itu tetapi akan mengecut kembali mengikut jalan asalnya. Sebagaimana proses bermula, demikianlah cara berakhirnya. Seluruh jirim alam semesta termasuk bintang, galaksi, planet, dan segalanya akan terperangkap kembali ke dalam titik singularan asal. Ketika itu seluruh alam semesta terperesok ke dalam peristiwa yang dinamai Mampatan Besar. Keseluruhan alam akan mengalami kemusnahan pengkahiran. Malapetaka itu tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya. Setiap yang bermula pasti akan berakhir.

Akan tetapi, andainya daya yang terbit daripada letupan awal lebih kuat daripada tarikan graviti antara galaksi dan objek samawi yang lain, maka secara teorinya pengembangan akan terus berlaku. Kajian sedang giat dilakukan untuk mengukur pekali pengembangan tersebut. Ada pula pandangan ahli kosmologi yang menyatakan bahawa proses pengembangan dan pengecutan boleh berlaku secara berulang-ulang kali seperti gerakan harmonik ayunan bahan kenyal seperti getah atau spring.

Mengikut teori ini, alam yang kita diami sekarang berada di antara dua selang masa, iaitu selang masa antara Letupan Besar dan Mampatan Besar. Pada mulanya saintis berpendapat alam hanyalah terdiri daripada satu galaksi sahaja. Akan tetapi apabila penemuan galaksi Andromeda, maka persepsi penyelidikan astrofizik berubah wajah. Galaksi ada pelbagai bentuk: berpusar, berlingkar, berbentuk elips, dan ada pula yang bentuknya tidak teratur. Galaksi mempunyai pelbagai saiz, dan amat memeranjatkan para pemerhati apabila didapati ada galaksi yang besar menelan galaksi yang kecil. Ada pula galaksi yang dicerap bertembung di angkasa rasa kemudiannya berpadu menjadi satu paduan.

Kajian astrofizik menempa kemajuan luar biasa dalam kurun ke-20 dan 21. Pengembangan alam yang dicerap secara saintifik mengubah persepsi alam yang disangka sebelum ini sebagai statik. Penemuan Lubang Hitam, jisim gelap, gelombang radio, sinaran latar kosmos dan kuasar mewarnai lagi kajian kosmologi moden.

Keadaan kritikal selepas pertama Letupan besar menjadi bahan kajian yang menarik kerana peristiwa tersebut menjadi titik tolak untuk pemahaman tentang asal usul alam semesta. Kajian tertumpu kepada peristiwa pada masa kurang daripada satu saat daripada peristiwa tersebut, yang melibatkan suhu yang tinggi ketika itu, melebihi 1028K. Kajian menunjukkan alam semesta berkembang sebanyak dua kali ganda dalam jangkamasa 10-34 saat. Di antara selang masa 10-34 hingga 10-32 saat, alam semesta berkembang sebanyak 1050 kali ganda.

Pembentukan logam berat seperti besi, emas, platinum, uranium dan plutonium ada kaitan dengan kematian bintang di angkasa raya. Apabila bahanapi bintang kehabisan maka tindakbalas nekleosentesis yang menukarkan silikon dan sulfur kepada besi akan berlaku pada teras bintang. Besi mempunyai susunan nekleus yang paling stabil. Tenaga pembentukan atom besi sungguh tinggi. Besi tidak terbentuk di bumi tetapi dari bintang di ruang angkasa menerusi proses yang disebut tadi. Ledakan nukleosintisisis yang berlaku pada suhu yang tinggi akan menghamburkan besi ke ruang angkasa dan seterusnya di tarik ke permukaan bumi menerusi tarikan graviti.

Di Cambridge, Stephen Hawking melakukan kajian kosmos untuk ijazah PhD di bawah penyeliaan Denis Sciama. Kajian kosmos sedang giat dilakukan di Cambridge ketika itu. Tahun 1963, saintis mula mengesan kewujudan objek ganjil yang berjarak jutaan tahun cahaya yang sangat jauh yang mempunyai saiz yang hampir sama dengan saiz sistem suria tetapi mempunyai tenaga yang sangat luar biasa yang dijangkakan melebihi seluruh tenaga yang ada dalam galaksi yang kita diami ini. Objek alien ini dikenali kemudiannya sebagai kuasar. Pembentukan kuasar masih menjadi persoalan sains yang sukar dijawab. Penemuan kuasar mendorong kelahiran teori lubang hitamyang menakutkan. Lubang ini disifat oleh ahli astrofizik sebagai kawasan “gravititational completely collapsed object”. Saintis pertama yang menamakan lubang hitam ialah John Wheeler. Ada konjektur yang menyatakan bahawa jirim dalam lubang hitam akan dihimpit menjadi satu titik seni yang mempunyai ketumpatan yang tidak terhingga, dan di sana semua hukum fizik asas seperti hukum fizik klasik Newton tidak berlaku lagi.

Newton merumus teori mekanik klasik yang menggambarkan alam semesta sebagai sebuah mesin yang mematuhi hukum mekanik. Alam semesta dimodel sebagai jisim yang mempunyai saiz dan model yang tidak berubah. Namun dalam kurun ke-20, Einstein mengemukakan teori kerelatifan dengan rumus matematik menggunakan geometri bukan-Euklid. George Lemaitre yang membuat pengiraan rumus Einstein mendapati bahawa model alam yang statik adalah tidak benar, lalu beliau mengemukakan model alam sedang mengembang luas tanpa henti. Andainya alam berkembang, tentulah alam bermula daripada satu titik misteri. Model ini kemudiannya menimbulkan teori letupan besar alam.

Teori letupan besar segera tersebar luas di kalangan ahli kosmologi serta mendapat pelbagai reaksi. Sekumpulan pasukan kosmologi Cambridge yang diketuai Fred Hoyle menolak teori tersebut. Beliau berpegang kepada model alam yang pegun dan menyatakan bahawa letupan tersebut tidak pernah berlaku. Saiz alam sentiasa kekal menurutnya, kecuali ada gangguan kecil berlalu akibat pembentukan jirim baru dari masa ke semasa yang menyebabkan kelihatan alam sedang mengembang. Lalu kajian mereka dilakukan ke arah hipotesis ini untuk mencari lokasi baru pembentukan jirim tersebut termasuk pembentukan planet.

Ada banyak persoalan baru yang perlu dijawab terhadap teori lubang hitamdan permulaan alam semesta. Persoalan pertama tentang pertukaran tenaga kepada jisim yang menjadi asal usul alam dan persoalan kedua berkaitan dengan tabii letupan yang biasa berlaku yang berakhir dengan kemusnahan dan malapelataka sedangkan teori ledakan tersebut berakhir dengan kelahiran alam semesta serba indah lagi tersusun rapi.

Rumus E = mc2 Einstein yang terkenal menghubungkan jisim m dengan tenaga E, manakala pemalar c merujuk kepada laju cahaya yang malar. Bahan radioakatif yang mereput seperti uranium bukan sahaja mereput tetapi bertukar menjadi unsur lain serta membebaskan tenaga yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa jisim dan tenaga boleh bertukar peranan. Jika jisim membentuk tenaga maka proses sebaliknya pun mungkin berlaku. Maka teori lubang hitam boleh dijustifikasi menerusi alasan ini.

Saintis mengemukakan teori jirim dan antijirim. Kedua-duanya mempunyai sifat yang bertentangan dan tidak boleh bersatu pada masa dan tempat yang sama. Masing-masing akan memusnahkan pasangannya. Elektronmempunyai pasangan positron, proton mempunyai pasangan antiprotonmanakala neutron mempunyai pasangan antineutron. Teori antijirimdikemukakan oleh Paul Dirac pada tahun 1928 dan mula dikesan pada tahun 1932 oleh Carl Anderson. Jirim dan antijirim andainya berpadu akan mengeluarkan pancaran elekromagnet berbentuk foton. Kuantiti jirim alam semesta dijangka melebihi kuantiti antijirim. Paduan jirim dan antijirim akan menyebabkan letupan berlaku dengan mengeluarkan tenaga yang banyak. Bom hidrogen dibina berdasar teori antijirim. Adakah teori lubang hitamboleh dijelaskan menggunakan konsep jirim dan antijirim?

Pada tahun 1950, saintis mendapati bintang yang membentuk galaksi berputar keluar dalam bentuk lingkaran spiral. Vera Rubin mencadangkan bahawa ruang kosong antara bintang dipenuhi jirim yang tidak dapat dilihat yang digelar jirim hitam. Saintis percaya alam semesta terbentuk daripada 99% jirim hitam. Ketumpatan jirim hitam mempunyai kaitan dengan proses pengembangan galaksi. Saintis turut percaya bahawa pembentukan galaksi mempunyai kaitan dengan jirim tersebut. Selepas letupan besar, jirim hitam terkumpul dan menarik jirim di bawah pengaruh gravity galaksi. Namun jirim langit yang dapat disaksi bukan berasal daripada jirim ini. Ada pandangan yang menyatakan bahawa partikel yang terdapat dalam jirim hitam adalah pancaran radioaktif yang dikeluarkan semasa proses pereputan.

Roger Penrose bersama Dennis Sciama membuktikan sebarang jirim yang tertarik ke arah lubang hitam akan dihimpit ke satu titik singularan yang mempunyai ketumpatan yang tidak terhingga. Apabila Hawking melakukan penyelidikan bersama Penrose dan Sciama, persoalan lubang hitam serta permasalahan pembentukan alam menjadi fokus penyelidikan. Hawking pernah menggunakan teori termodinamik yang rumit untuk menerangkan sifat lubang keramat tersebut serta permulaan dimensi ruang masa. Beliau menerbitkan hasil kajiannya dalam tulisannya Large scale of space time. Hawking menyatakan bahawa tiada apa pun yang mungkin terselamat daripada lubang hitam, namun dalam sesetengah keadaan lubang tersebut mengeluarkan partikel subatom yang kini digelar sebagai pancaran Hawking.

Menurut Hawking lagi, lubang hitam yang mengeluarkan pancaran akan kehilangan jisimnya. Jika pancaran tersebut berlaku secara aktif dan berterusan, lubang tersebut mungkin akan lenyap. Semua objek yang terperangkap ke dalam lubang tersebut akan dihimpit dan membentuk alamnya sendiri walaupun alam yang seni. Alam ini digelar alam bayi ataubaby universe oleh Hawking. Kemungkinannya alam bayi ini akan membesar dan akan menyertai alam semesta yang lain kemudiannya. Alam bayimenjadi satu cabang alam yang besar. Andainya teori alam bayi Hawking benar, maka tentulah kelahirannya mempunyai kaitan dengan kuantiti tenaga yang tertentu yang digelar pemalar kosmologi. Harapan saintis adalah untuk mendapatkan nilai tersebut dan kajian menunjukkan bahawa nilai tersebut sangat kecil sedangkan mereka menjangka nilai yang besar sesuai dengan indeks pengembangan alam semesta.

Hawking mentakrif masa khayali sebagai masa takrifan yang mempunyai arah bersudut tepat dengan masa biasa yang bermula dengan kelahiranalam bayi. Objek mungkin musnah dan kembali ke titik singularan melaluilubang hitam dalam kiraan masa biasa tetapi tidak hilang dalam masa khayali. Riwayat objek tersebut hanya hilang dalam masa biasa tetapi berkekalan dalam masa khayali. Masa khayali bukan bersifat fiksi sainstetapi takrifannya dilakukan menggunakan takrifan matematik yang sah. Secara berjenaka, Hawking menyatakan bahawa “sesiapa yang terjatuh kelubang hitam akan berfikir secara khayali jua”.

Hawking bersama Penrose dan George Ellis pernah membuktikan teorem singularan matematik kosmos. Teorem yang dikenali sebagai teorem singularan ini memberi hubungan penyelesaian persaman kerelatifan am dengan kewujudan sempadan singularan untuk ruang dan masa. Menerusi teorem ini, mereka mentafsirkan bahawa alam semesta bermula daripada satu titik singularan.

Kajian Hawking tentang kosmos menjadi kajian kontemporari yang menarik. Banyak persoalan secara falsafah telah timbul daripada perbincangan kosmologi menerusi hujah matematik kenisbian. Banyak dimensi tersirat dalam kajian beliau. Beliau berharap kajiannya menjadi kajian saintifik yang tiada unsur metafizik. Akan tetapi apabila sampai kepada pentafsiran hasil keputusannya, beliau tidak dapat mengelak diri daripada menyentuh aspek tersebut.

Masyarakat Eropah kini menempa keagungan dalam pemikiran saintifik moden manakala umat Islam tertinggal jauh mengekori dari belakang. Inilah roda hidup. Ketahuilah roda hidup sentiasa berputar. Sekali ke atas, sekali ke bawah. Satu masa dulu, umat Eropah duduk pada titik paling bawah dalam putaran roda tersebut, manakala umat Islam ketika itu berada di puncaknya. Hari silih berganti. Kini giliran umat Islam pula berada di bawah, manakala umat Eropah dipuncaknya. Ingatlah roada akan terus berputar. Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu umat, tanpa daya dan usaha yang diberikan sebagai ikhtiar umat tersebut. Adakah umat Islam sudah memberikan usahanya serbagaimana umat terdahulu memberikan usahanya dengan jiwa dan seluruh penghayatan?

ALAM KOSMOS: ILMU UMAT ISLAM

Alam kosmos dan ilmu yang berkaitan dengannya lebih dekat kepada umat Islam berbanding umat yang lain. Al-Qur’an sentiasa menyebut ayat Allah SWT di langit dan di bumi agar menjadi iktibar keagungan Ilahi, Pencipta Hakiki alam semesta. Kalimah langit disebut sebanyak 310 kali dalam al-Qur’an. Daripada jumlah tersebut, 120 tempat disebut dengan kalimah mufrad (yakni al-sama’) dan 190 tempat dengan kalimah jamak (yakni al-samawat). Hakikat ini diketahui oleh umat Islam yang sentiasa membaca al-Qur’an serta berfikir tentang keajaiban kejadian langit dan bumi. Secara umumnya kalimah jamak al-samawat yang tedapat dalam al-Qur’an merujuk kepada tujuh lapisan langit. Langit yang tujuh tersebut masih menjadi misteri yang belum dapat diungkai atau dicerap ahli kosmologi moden tetapi kewujudannya dinyatakan secara jelas dalam al-Qur’an.

Langit yang disebut dengan kalimah mufrad sama ada dinyatakan dalam bentuk makrifah dan bukan-makrifah (yakni al-sama’ atau sama’) terdapat 38 tempat yang merujuk atmosfera sekeliling bumi yang terdapat awan, angin, hujan, ozon, kilat, petir dan seumpamanya. Sebanyak 82 kalimah yang lain merujuk kepada langit dunia yakni langit yang dekat yang sebahagiannya dapat dicerap indera termasuk planet, bintang, galaksi, kuasar, lubang hitam, jirim gelap dan seumpamanya.

Saintis Barat moden kini hanya mampu menerokai sebahagian langit dunia yang mempunyai segala jirim langit serta kesatuan galaksi meganya sedangkan langit yang tujuh menjadi misteri yang belum pernah terungkai dalam pengetahuan saintis Barat. Langit dunia yang dipenuhi bintang dan galaksi ini pun baru sahaja mula diterokai menjelang kurun ke-20 apabila teleskop dan stelit moden diciptakan. Al-Qur’an menegaskan betapa langit dunia dihias dengan gugusan bintang-bintang yang tersebar luas diangkasa raya. ”Sesungguhnya Kami telah hiaskan langit dunia dengan lampu (yakni bintang) dan Kami jadikanya untuk rejaman syiatan…” (al-Mulk, 5).

Walaupun al-Qur’an yang menjadi petunjuk umat Islam, namun al-Qur’an membayangkan bahawa saintis bukan-Islam yang akan mengkajinya terlebih dahulu serta menyaksikan asal usul kejadian langit dan bumi secara saintifik. Al-Qur’an membayangkan saintis bukan-Islam akan menemukan fakta saintifik tentang permulaan alam yang bermula daripada satu jisim yang berpadu dan kemudiannya berpecah memisahkan bumi dengan jirim langit yang lainnya. Saintis yang mengkaji komet, bulan dan bintang mendapati unsur alam yang melibatkan jisim bumi dan langit adalah sama. Ini memberikan konjektur bahawa bumi dan langit berasal daripada jisim yang sama. Kosmologi moden telah sampai kepada kesimpulan tersebut berdasarkan cerapan terkini, yakni langit dan bumi bermula daripada pemulaan yang sama. Namun al-Qur’an telah menegaskan bahawa langit dan bumi berasal daripada paduan jisim yang sama lalu dipisahkan antara kedua-duanya.

Adakah tidak orang kafir melihat bahawa langit dan bumi kedua-duanyaberpadu lalu Kami pecahkan kedua-duanya. Dan Kami jadikan daripada air setiap sesuatu yang hidup. Kenapa mereka tidak beriman?” (al-Anbia, 30).

Dalam kosmologi, persoalan pembentukan alam menerusi pecahan jisim singularan dikemukakan oleh pengkaji mutakhir khususnya apabila teori astrofizik dan kerelatifan Einstein mula dibincangkan secara meluas dalam kurun yang lalu. Seorang profesor dari Jabatan Geologi, Universiti Johannes Gottenberg membuat ulasannya tentang fakta saintifik yang terkandung dalam ayat di atas. Menurutnya, tidak mungkin manusia biasa yang hidup 1400 tahun yang silam boleh menyelidiki asal usul alam semesta yang berkesimpulan bahawa langit dan bumi asalnya satu paduan (ratqan) lalu terpisah dengan tenaga yang kuat (fataqnahuma).

Ahli kosmologi moden seperti Hawking menyelidiki asal usul alam semesta menggunakan model matematik seperti yang pernah dikemukakan dalam teori kuantum kerelatifan Einstein. Beliau membuat pengiraan persamaan kerelatifan Einstein dengan mengambil kira konsep ruang dan masa menggunakan model geometri Labochevskian, yakni bulatan geodesi menjadi asas geometri, bukannya garis lurus seperti cadangan Euklid. Hal ini selari dengan istilah uruj yang bermakna garis lengkungan yang digunakan al-Qur’an seperti yang dinyatakan dalam surah al-Ma`arij. Istilah mi`raj yang merujuk perjalanan Rasulullah saw bersama Jibril ke langit yang ketujuh dan seterusnya ke Sidratul-Muntaha dalam peristiwa Isra’ dan Mi`raj turut membawa konotasi yang serupa. Saintis memnunjukkan bahawa cahaya bergerak dalam bentuk garis lengkung antara galaksi, bukan dalam bentuk garis lurus seperti sangkaan Newton.

Menurut Hawking, alam semesta bermula dengan satu titik singularan. Titik singularan ini mempunyai ketumpatan yang tidak terhingga, berlakulah letupan besar lalu seluruh alam yang berada dalam dimensi ruang masa yang baru wujud itu mengembang luas sehingga membentuk pelbagai bintang dan galaksi. Teori ini digelar teori Letupan Besar. Teori ini sebenarnya masih dalam bentuk kajian awal ahli kosmologi. Namun beberapa pengiraan yang dilakukan termasuk cerapan anjakan merah menunjukkan teori tersebut ada asas yang boleh dimodelkan dengan permulaan alam semesta. Mengikut teori ini, alam yang kita diami ini sedang berkembang luas. Pengukuran anjakan merah membuktikan secara yakin bahawa sememangnya alam semesta sedang berkembang seperti belon berkembang. Sempadan alam semesta pun boleh diukur berdasarkan teleskop maju lagi canggih.

Adalah sesuatu yang menarik di sini bahawa al-Qur’an memberitahu kita betapa penemuan tentang kesepaduan langit dan bumi seperti dalam ayat di atas ditujukan kepada saintis bukan-Islam. Kini tokoh kosmologi terkenal dunia seperti Einstein, Tolman, Sciama, Kozai, Hoyle, Gold, Bondi, Hawkings, Alpher, Gamow, Dicke, Bethe, Penrose, Penzias, Fowler, Cronin, Fitch, dan angkatannya kesemuanya saintis bukan-Muslim.

Al-Qur’an merakamkan bahawa alam semesta sedang berkembang dengan menggunakan kalimah lamusi`un. Musi` adalah ism fail dalam bahasa Arab yang bermaksud sedang dan terus mengembang. Ayat dalam surah al-Zariyat menerangkan bahawa:

Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami dan sesungguhnya Kamimengembangnya” (al-Zariyat, 47).

Pengetahuan tentang alam sedang mengembang adalah pengetahuan yang sangat terkini. Pengetahuan ini dicerap dalam tahun 1930-an seperti dalam perbincangan yang lepas. Sebelum itu, saintis termasuk Einstein percaya bahawa alam berkeadaan statik dan tidak dinamik. Namun persamaan yang beliau modelkan sebagai persamaan kosmos diselesaikan saintis terkemudian lalu menunjukkan bahawa anggapan tersebut tidak benar, bahkan alam bersifat dinamik. Pengembangan tersebut, mengikut teori ini, adalah akibat Letupan Besar yang memulakan ruang dan masa. Hawking menjejaki peristiwa ke belakang menerusi persamaan kosmos dan akhirnya bertemu dengan saat permulaan alam yang penuh misteri.

Alam semesta kini sedang mengembang luas masa demi masa. Ahli kosmologi berpendapat bahawa tahap pengembangan alam semesta akan terhenti pada satu tahap. Pada tahap tersebut sempadan alam semesta tetap dan tidak mengembang lagi. Kemudian mulalah proses pengecutan dan mampatan berlaku sebagai proses kebalikan daripada pengembangan. Teori pengecutan dan mampatan semula ini dikenali dalam teori kosmologi sebagai teori himpitan besar lawan kepada letupan besar, proses pemulaan letupan dulu. Ini mengakibatkan alam semesta mengalami kehancuran yang maha dahsyat yang merupakan katastrofi total.

Al-Qur’an menyatakan proses kemusnahan alam adalah proses kebalikan daripada penciptaan.

Ingatlah hari yang Kami menggulung langit seperti menggulung surat catatan. Sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, demikianlah Kami ulanginya (kembali)” (al-Anbia 103).

Ungkapan ayat Sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian demikianlah Kami ulanginya kembali adalah sangat signifikan. Model Hawking untuk mengetahui kesudahan alam semesta dalam peristiwa Himpitan Besaradalah berdasarkan peristiwa awalnya yang diulang tayang semula. Kesudahan alam semesta adalah mengikuti peristiwa yang sama dengan kelahirannya dulu.

Asal usul alam semesta menjadi kajian astronomi yang menarik dalam kurun ke-20. Dr Kozai seorang perofesor Emeritus Universiti Hongo, Tokyo yang membuat penyelidikan di makmal cerapan angkasa Mikata, Tokyo membuat penemuan penting dalam astronomi. Menurutnya, rumus matematik yang dimodelkan untuk alam semesta peringkat awal, menunjukkan pada suatu masa silam, seluruh alam semesta tidak wujud kecuali asap. Kemudian pendapat ini dibuktikan pula dengan teleskop yang berkuasa tinggi yang mampu melihat pembentukan bintang baru yang sememangnya bermula daripada kelompok asap yang panas.

Kemudian Dia menujukan kehendak-Nya ke arah langit sedang langit masih berupa asap lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau terpaksa. Kedua-duanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela” (al-Fussilat, 11).

Alangkah dekatnya penemuan-penemuan saintis bukan-Islam seperti yang digambar di atas tadi dengan maksud firman Allah SWT berkaitan dengan kejadian langit dan bumi. Andainya mereka mengkaji al-Qur’an tentukan kajian mereka lebih bermakna kerana setiap penemuan mereka telah disentuh oleh al-Qur’an. Al-Qur’an bukan kitab saintifik tetapi kitab hidayah dan petunjuk yang meliputi dunia dan akhirat untuk makhluk seluruh pelusuk alam, di langit atau di bumi. Barangkali itulah hikmah Ilahi agar penemuan rahsia kejadian alam diterokai oleh saintis bukan Islam secara bebas daripada al-Qur’an. Andainya saintis Muslim yang menemuinya, maka ada yang menyatakan bahawa penemuan itu diperoleh daripada al-Qur’an. Namun penerokaan Barat tentang alam kosmos benar-benar menyaksikan mukjizat al-Qur’an berkaitan dengan penciptaan alam semesta.

Ustaz Sa`id Hawwa menerusi al-Asas fi al-Tafsir menyebut bahawa ayat-ayat al-kauniyyah menjadi perantaraan dakwah yang berkesan kepada bukan sahaja umat bukan-Islam malahan terhadap umat Islam sendiri. Ahli tafsir terdahulu, menurut Sa`id Hawwa membuat andaian bahawa pembaca kitab tafsir mereka terdiri daripada para penuntut ilmu atau ilmuwan yang mantap keimanan mereka. Namun Sa`id Hawwa menegaskan bahawa perkara itu tidak semestinya benar untuk umat Islam kini. Penyusunan kitab tafsir yang dilakukan menerusi al-Asas fi al-Tafsir ditulis agar pembacanya yang bersekang mata meneruskan pembacaan hingga waktu malam, bertambah keimanan bagi setiap halaman yang dibacanya. Itulah harapan pengarang tafsir yang menulis tafsirnya dalam bentuk pentafsiran saintifik selain mengikuti uslub Seyyed Qutub menerusi Fi Zilal al-Qur’an. Sa`id Hawwa turut menekankan kajian saintifik terhadap kajian arkeologi yang mula diterokai menerusi pertolongan stelit dan perkaedahan saintifik moden.

Seorang tokoh ilmuwan Islam kontemporari terkenal iaitu Profesor Zaghlul Najjar turut mengkaji secara mendalam tentang ayat al-kauniyyah dalam al-Qur’an serta mengajak umat Islam turut menerokai bidang yang menjadi tema keimanan tersebut. Beliau menempelak golongan intelektual yang menentang pengkajian alam dalam bentuk saintifik kerana golongan tersebut berpendapat ayat al-Qur’an tidak boleh dikaji menerusi kaedah tersebut. Golongan tersebut menentang kajian yang dilakukan oleh Harun Yahya, Seyyed Hossein Nasr dan Maurice Bucaile. Namun hakikatnya, Harun Hahya, Nasr dan Bucaille bukanlah golongan awal membincangkan hubungan sains dengan al-Qur’an bahkan saintis silam seperti al-Biruni dan Fakhrul-Razi atau Sa`id Hawwa dan Zaghlul Najjar pada zaman moden ini, turut mentafsirkan al-Qur’an dengan sains. Kita jangan keliru. Ada dua pendekatan di sini. Pertama, ada yang menjadikan sains sebagai kebenaran mutlak, lalu dengan merujuk kepada sains sebagai rujukan, mereka mentafsirkan al-Qur’a agar disesuaikan dengan penemuan sains. Ini merupakan fahaman Bucaillisme, andainya ingin disebut demikian.Pendekatan ini menimbulkan konflik yang hebat kerana sains bersifat kebenaran relatif yang berubah dengan penemuan baru.

Pendekatan kedua, seperti yang dilakukan oleh al-Biruni, Fakhrul al-Razi, Sa`id Hawwa dan Najjar ialah menjadikan al-Qur’an sebagai rujukan dan kebenaran mutlak. Al-Qur’an menggesa agar manusia berfikir tentang kejadian alam semesta dan diri mereka sendiri. Ayat al-Qur’an menggesa agar dikaji alam semesta dengan nama Allah SWT, lalu ditemui fakta sains yang disokong oleh al-Qur’an. Kebenaran al-Qur’an tidak bergantung kepada penemuan sains. Inilah pendekatan ulil-albab. Al-Qur’an sentiasa menggesa agar manusia memerhatikan kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, kejadian guruh dan petir, edaran angin dan awan, aliran sungai dan laut, gunung ganang dan cuaca, haiwan dan tumbuhan, kejadian manusia serta segala keajaiban makhluk. Kajian inilah yang digelar kajian berpaksikan Tauhid menerusi acuan ulil-albab.

Golongan intelektual yang mengkritik itu yang kononnya penuh iman di dada, mengkritik hebat lalu mengulas secara borong akan pendekatan pertama dan kedua yang dilabelkan dengan fahaman Bucailisme tanpa membezakan pendekatan kedua-duanya yang berlainan premis itu. Ini kritikan yang tidak cermat. Bahkan Nabi Allah Ibrahim as sendiri meminta Allah SWT memperlihatkan kepadanya bagaimana Ia menghidupkan yang mati. Lalu, Allah SWT bertanya kembali kepadanya: Apakah anda tidak percaya? Namun dengan penuh keimanan Nabi Ibrahim as menyebut, bahkan ia beriman, namun permohonannya sekadar menenangkan perasaan hatinya sahaja. Pendekatan inilah yang diambil oleh golongan kedua kerana keyakinan ada perlbagai tahap: ainul-yaqin, `ilm al-yaqin, haqqul-yaqin dan seumpamanya.

Pendekatan Zaghlul al-Najjar dan Sa`id Hawwa bolehlah dijadikan contoh pendekatan ulil-albab yang merenungi alam bumi dan kosmos dengan penuh keinsafan yang berakhir dengan pengiktirafan keagungan Ilahi serta doa yang syahdu mengakui ketauhidan Uluhiyyah, Rubbubiyyah dan Asma al-Husna wa SifatiHi. Tiga buah buku Zaghlul Najjar yang bertajuk al-Ard fi’il-Qur’an (geologi mengikut al-Qur’an) , al-Sama` fi’l-Qur’an (kosmos mengikut al-Qur’an) dan al-Hawayan fi’l-Qur’an (haiwan mengikut al-Qur’an) adalah antara buku terbaik yang pernah saya saksikan dalam pendekatan ini. Demikian pula Sa`id Hawwa menerusi kitab tafsirnya al-Asas fi al-Tafsir (11 jilid) turut menghuraikan ayat-ayat al-kauniyyah dengan penemuan sains terkini menerusi pengetahuan balaghah al-Qur’an yang mendalam beliau mentafsirkan kembali maksud ayat al-Qur’an yang mutlak sifatnya, yang mengesahkan penemuan terkini sains. Ini bukan Bucaillisme. Ini sebahagian pengertian ulil-albab yang merenungi kejadian langit dan bumi, mengkaji, menganalisis yang berkhir dengan kesimpulan bahawa: Mahasuci Engkau wahai Tuhan-ku, tidaklah Engkau jadikan semuanya ini dengan sia-sia. Justeru, lindungilah diriku ini daripada siksaan Neraka. Sekali lagi ditegaskan, bahawa pendekatan kedua ini ssesuailah kalau diberikan nama pendekatanulil-albab, yang berbeza sekali dengan pendekatan Bucailisme.

Sa`id Hawa mencadangkan pendekatan ulil-albab ini dijadikan sebagai media dakwah yang berkesan kepada generasi muda Islam sendiri kerana kekuatan hujah menerusi pendekatan ini. Bahkan, Zaghlul Najjar menyatakan dalam seminar di Moscow pun ada ahli geologi Rusia yang mengisytiharkan syahadah apabila mendengar hujah beliau yang menghuraikan kejadian gunung mengikut al-Qur’an. Diberitakan penduduk Belanda dan Moscow kini menerima Islam secara mendadak menerusi pendakwahan ini. Pertambahan penduduk asal Eropah ke dalam Islam banyak dipengaruhi pendekatan ini.

Menerusi bukunya al-Sama’ fi al-Qur’an al-Karim, Zaghlul Najjar mengajak pembacanya merenungi ayat-ayat al-kauniyyah yang terkandung dalam al-Qur’an secara mendalam. Sebanyak 310 ayat yang menyebut langit dalam al-Qur’an yang pengetahuan tentangnya menjadi misteri alam kosmos, benar-benar menggambarkan al-Qur’an sebagai kitab mukjizat yang diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah saw yang disaksikan oleh manusia zaman moden ini. Antara lain al-Qur’an menyentuh tentang:

· Langit merupakan binaan yang teguh, indah dan kemas bukan kosong sebagaimana sangkaan orang terdahulu.

· Langit sentiasa berkembang, yang hakikat akhirnya hanya dikatahui Allah SWT.

· Langit dan bumi pada awal kejadiannya daripada satu paduan jisim yang sama.

· Langit pada awalnya berbentuk asap panas lalu diciptakan alam semesta keseluruhannya.

· Kejadian tujuh langit dan tujuh bumi serta fasa kejadiannya.

· Kejadian langit melalui enam fasa kejadian.

· Putaran bumi pada awal kejadiannya sangat laju, beransur-ansur perlahan, tekal dan mantap, dan akhirnya berhenti.

· Pengembangan langit akan terhenti jua, kemudian kemusnahannya mengikut ulangan kembai kejadiannya asalnya seperti menggulung lembaran kertas.

· Manusia di atas muka bumi tidak mungkin melihat bintang sebenarnya tetapi hanyalah melihat bekas lintasan bintang sahaja kerana cahaya bintang mengambil masa jutaan tahun untuk sampai ke bumi.

· Makhluk ganjil yang dinamakan khunnas dan kunnas yang berada di persada langit yang hakikatnya hanya diketahui Penciptanya.

· Bintang mereput yang berdenyut dikenali sebagai pulsar dalam astrofizik yang denyutan berkala seperti nadi atau pukulan tukul yang seragam. Bintang itu mengeluarkan cahayanya yang menembusi langit sebelum ajalnya tiba. Adakah itu bintang al-tariq?

· Langit di sekitar bumi mempunyai lapisan ozon yang memantulkan gelombang cahaya kembali ke angkasa dan langit dunia turut membentuk medan elektromagnet yang terbit daripada bumi yang bermagnet yang memantulkan kembali pancaran matahari yang berupa tsunami matahari ke angkasa. Adakah ini maksud al-raj` yang disebut al-Qur’an?

· Teori tali temali yang menggambar kesatuan rangkaian jaringan alam kosmos dengan galaksi menggambarkan simpulan temali tersebut dalam model kosmos dalam kajian kosmologi moden. Adakah ini maksud al-hubuk yang disebut al-Qur’an sedangkan orang Arab memahami habakah (atau jamaknya hubuk) sebagai jalinan benang bulu untuk membuat pakaian?

Persoalan yang disebutkan dalam contoh yang di atas, menjadi persoalan keimanan bagi mereka yang mempunyai sifat golongan ulil-albab atau mereka yang mempunyai basirah mata hati yang tajam. Sudut-sudut ini hanyalah permulaan penerokaan kepada kajian kosmos keseluruhannya. Semoga umat kajian saintis Muslim lebih bermakna dengan menjadikan sudut tersebut sebagai langkah pertama pengkajian alam langit.

Penutup: Satu Epilog

Marilah kita lapangkan hati dan perasaan kita seketika untuk merenungi putaran roda umat Islam hari ini. Di manakah kedudukan umat Islam dalam ilmu dan keilmuan? Walaupun Islam dibina di atas paksi ilmu dan keimanan tetapi umat Islam secara umumnya, telah jauh meninggalkan paksi rujukan tersebut.

Dalam perkembangan pemikiran sains, umat Islam menjadi penonton setia kepada kajian umat lain. Barat membina ilmu mereka di atas paksi positifisme yang menafikan sistem nilai dalam kajian saintifik. Andainya ada umat Islam yang terlibat dalam kajian tersebut, maka kajian dilakukan di atas paksi yang sama. Marilah kita renungi tentang saintis Muslim dalam dunia dan teknologi moden dewasa ini. Andainya kita dikemukakan pertanyaan yang berikut: Berapa ramaikah pemikir Islam moden kini yang pernah menerima Hadiah Nobel yang melambangkan kecemerlangan pemikiran saintifik atau sumbangan sejagat yang lain?

Hakikatnya, tidak ramai pemikir Islam yang mendapat pengiktirafan tersebut. Antara nama dalam senarai yang kecil ini termasuklah Abdul Salam (1979, fizik), Ferid Mourad (1998, perubatan), Ahmad Zewail (1999, kimia) dan Sherin Ebadi (hak asasi, 2003) Mohamaed ElBaradei (2005, keamanan).

Namun adakah mereka mewakili saintis atau pemikir Islam sejati? Abdus Salam sebenarnya pengikut Ahmadiyyah. Ferid Murad walaupun ayahnya seorang Islam dari Albania tetapi beliau sendiri cenderung kepada pemikiran Episkopalian. Pemilihan Sherin Ebadi misalnya sebagai pemenang Hadiah Nobel yang dikaitkan dengan kegiatannya memperjuangkan hak kanak-kanak Iran, lebih merupakan sikap anti-Islam beliau yang ditunjukkan kepada dunia. Beliau mendakwa Islam seharusnya selari dengan demokrasi moden. Beliau menunjukkan sikapnya yang sinis terhadap para ulama.

Naguib Mahfouz yang memenangi hadiah Nobel kerana penulisan novel dianugerahkan kerana beliau ialah tokoh sasterawan yang mempersoalkan kewajiban syariat Islam itu sendiri. Beliau dikecam oleh seluruh ulama muktabar dunia Islam.

Berbanding dengan penerima anugerah Hadiah Nobel dari kalangan pemikir Yahudi, misalnya yang berjumlah melebihi 170 saintis yang menerima pengiktirafan tersebut sepanjang kurun ke-20, maka kita dapat sedikit gambaran betapa kedudukan para pemikir Islam dalam ilmu yang berkaitan akliah moden. Apapun alasan yang mungkin kita berikan terhadap fenomenon tersebut, namun satu perkara yang pasti ialah umat Islam tertinggal jauh dalam pemikiran saintifik hari ini berbanding masyarakat bukan-Islam..

Dalam bidang fizik, ramai tokoh Barat yang memeangi Hadiah Nobel seperti Einstein, Bohr, Hertz, Feynman, Abrikosov, Alferov, Bloch, dan Steinberg. Secara kebetulan, kesemua tokoh ini berketurunan Yahudi dan sifat atom menjadi kajian mereka. Fizik atom merupakan bidang kajian yang membuka ruang yang luas kepada para pengkaji untuk menerokai hakikat kejadian alam semesta menerusi komponen seninya yang berada dalam komponen sebuah atom. Kajian sains peringkat teori ini kemudiannya merungkai banyak rahsia alam ciptaan Tuhan yang tersembunyi dalam alam semesta.

Sesungguhnya umat Islam tertinggal jauh dalam pemikiran dan inovasi saintifik. Sejarah kegemilangan ilmu umat Islam seperti cebisan episodnya digambarkan dalam buku-buku sejarah hanya tinggal kenangan abadi. Umat Islam hari ini, bukan hanya ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan bahkan ketinggalan dalam semua lapangan kehidupan. Umat Islam dihina oleh masyarakat dunia. Mereka dilabel sebagai masyarakat mundur. Lebih malang lagi, umat Islam hari ini bukan sahaja dilabelkan sebagai masyarakat mundur bahkan turut dikaitkan dengan segala keburukan. Sebagai contoh, ahli politik British yang bernama Robert Kilsroy-Silk menulis dalam Express on Sunday bahawa “We owe the Arabs nothing”. Seterusnya beliau menulis:

What do they (the Arabs) think what we feel about them? That we admire them for being suicide bombers, limb amputators, women repressors.

Walaupun kecaman yang menganggap umat Islam sebagai pengganas seperti yang diungkapkan di atas yang dilakukan oleh individu tertentu tetapi ungkapan itu mewakili pendangan besar masyarakat Barat terhadap Islam. Mereka bukan sahaja mencemuh umat Islam bahkan mereka mencemuh Islam itu sendiri. Islam dipersalahkan oleh Barat dan sekutu mereka. Islam telah diletakkan dalam kandang orang salah. Bagaimanakah kita mampu membela serangan terhadap Islam tanpa ilmu secukupnya?

Pandangan negatif sedemikian tidak hanya tersebar di kalangan masyarakat Barat, bahkan kadang-kadang tersebar di kalangan umat Islam sendiri. Mereka sinis terhadap budaya Islam. Sinis terhadap perundangan Islam. Sinis terhadap ekonomi Islam. Sinis terhadap pentadbiran Islam. Kefahaman masyarakat terhadap kesyumulan Islam dipudarkan oleh gerakan sekularisme yang melanda umat Islam dalam kurun-kurun terakhir ini. Umat Islam yang pernah berada pada puncak ketamadunan ilmu suatu ketika dahulu, kini berada pada titik yang paling bawah dalam putaran roda peradaban.

Syariat Islam diperlekehkan oleh musuh Islam. Mereka menggambarkan Islam kolot dan jumud yang sangat terikat dengan aliran fiqh yang dikembangkan dalam kurun-kurun awal Islam. Mereka menanam syak wasangka kepada generasi remaja Islam. Di sinilah peranan para pemikir Islam untuk mengadakan jawapan yang tepat, mantik, jitu lagi saintifik terhadap persoalan tersebut. Namun kemutlakan Islam tidak bergantung kepada umatnya. Islam tidak boleh diukur menerusi kelakuan umatnya. Syariat Islam diasaskan kepada fitrah kejadian insan. Para pengkaji yang ikhlas akan menemui hakikat ini. Sebagai contoh, seorang uskup Barat melakukan kajian keunggulan syariat Islam yang pernah disaksikan dalam peradaban manusia yang menyatukan hampir separuh dunia di atas kalimah keimanan yang sama.

Beliau ialah Dr Rowan Williams Uskup Besar Canterbury England yang merupakan tokoh besar Kristian Eropah. Beliau membuat satu kejutan ketika beliau diwawancara Oleh BBC awal Februari 2008. Beliau menyatakan United Kingdom perlu mempertimbangkan syariah Islam untuk dilaksanakan.Menurutnya, ”..the adoption of some Sharia Law in tha UK is unavoidable…adopting parts of Islamic Sharia Law could help social cohesion”. Dalam wawancara tersebut, beliau tidak menghuraikan alasan yang terperinci tentang cadangannya agar syariah Islam diperkenalkan di bumi tersebut. Namun kita tahu, perkataan itu bukan keluar dari mulutnya secara spontan tetapi setelah kajianya yang mendalam tentang peranan Islam dalam hubungan antara kaum sepanjang sejarah yang memperlihatkan toleransi umat Islam yang tiada taranya dalam sejarah dunia.

Seseorang pengkaji yang ikhlas akan mengiktiraf sejarah toleransi umat Islam sepanjang zaman, khususnya seperti yang ditunjukkan pemimpin Islam Andalusia sejak kemasukan Tariq bin Ziad ke Sepanyol. Islam membawa ilmu dan tamadun ke Sepanyol. Islam mengatur kehidupan yang harmoni di kalangan masyarakat majmuk yang terdiri daripada Kritian, Yahudi dan Islam. Pemimpin Islam menunjukkan jaminan soasial yang adil terhadap setiap unit masyarakat majmuk itu. Sepanyol menyebarkan budaya ilmu ke seluruh Eropah. Universiti Islam di Sepanyol terbuka kepada seluruh penduduk Eropah. Pelajar Eropah dari setiap penjuru datang ke Sepanyol untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang. Sepanyol menjadi pintu masuk peradaban keilmuan Eropah selama 700 tahun lamanya yang menjadi sebab berlakunya zaman kecerahan Eropah menjelang kurun ke-16. Inilah sejarah yang tertulis dengan tinta emas dalam peradaban dunia. Shariah Islam memberikan keadilan kepada seluruh penduduk Andalusia yang majmuk.

Sejarah keilmuan dan tamadun yang dibawa oleh Kerajaan Uthmaniyyah yang bertapak di Turki menunjukan toleransi yang serupa. Turki menerima pelarian orang Yahudi dari bumi Andalusia pada kurun ke-15 setelah Ferdinand dan Isabela menguasai bumi tersebut. Dalam peristiwa itu, jutaan umat Islam dibunuh di bumi Sepanyol. Orang Yahudi turut menerima nasib yang sama, dan kumpulan yang terselamat melarikan diri ke Turki lalu diberi perlindungan oleh khalifah Uthamaniyyah. Barangkali itulah sejarah yang dikenangi kembali oleh Uskup Besar Canterbury yang tersebut.

Uskup Besar tiba-tiba teringatkan peranan yang pernah dimainkan Islam dan sistem pentadbiran Islam yang merubah masyarakat Eropah dari zaman kegelapan ke zaman kecerahan mereka, ketika umat Islam sendiri telah lupa kepada jati diri mereka sendiri. Pandangan aneh Uskup diterima masyarakat England khususnya dan Eropah umumnya dengan kecaman dan kritikan terbuka, sebab umat Islam dilabelkan oleh ahli politik Barat sebagai ganas dan tidak bertamadun. Suara ikhlas Uskup yang berdasar kajiannya tentang dialog antara Islam-Kristian, dicabar oleh pemimpin besar mereka seperti Gordon Brown, Perdana Menteri, Tony MacNulty Menteri Dalam Negeri dan Stephen Lowe, Uskup Hulme. Kesemua tokoh ini memberi respons yang sama, bahawa pendapat Uskup Besar itu merbahaya kepada perpaduan masyarakat. Akan tetapi Uskup Besar berhujah bahawa memaksa umat Islam mengikut perundangan yang sama pun bahaya juga. Mereka harus diberi kebebasan memilih. Penentangan terhadap cadangan perlaksanaan Syariah Islam di England bukan sahaja ditentang oleh masyarakat dan pemimpin Kristian Eropah, tetapi pemimpin umat Islam England turut menentang dengan nada tersendiri. Sebagai contoh, Dilwar Husain tokoh Islamic Foundation Eropah menyatakan masyarakat Islam sangat selesa berada di bawah Undang-Undang British yang sekular. Menurutnya: “Most Muslims are perfectly happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words, some of the most important things that concerns people are already in the system. We are not seeking the introduction of a new system - absolutely not”

Kadang-kadang keindahan Islam yang dapat dilihat oleh orang bukan-Islam tidak dapat dilihat oleh umat Islam sendiri. Fenomenon ini bukan sahaja berlaku di Eropah tetapi merupakan senario biasa dalam negara umat Islam. Yang menentang pentadbiran Islam yang syumul bukan sahaja datang daripada masyarakat bukan-Islam bahkan datang dari umat Islam yang telah hilang jati dirinya. Mereka tidak dapat melihat kebenaran itu sebagai perkara yang benar, dan mereka juga tidak dapat melihat kepalsuan itu sebagai perkara yang palsu. Dalam suasana seperti ini, mampukah umat Islam mengembalikan semula kecemerlangan budaya ilmu seperti kecemerlangan puncak peradabannya? Marilah kita berdoa agar dapat melihat kebenaran itu benar, dan kepalsuan itu palsu. Persoalan ini berkait pula dengan ilmu, amalan, keikhlasan dan hidayat Ilahi. Saya tinggalkan persoalan ini untuk direnungi bersama. Renungilah alam kosmos yang mega dan kemudian kembalilah merenungi diri sendiri yang kerdil berada di atas planet bumi yang terapung-apung di angkasa raya. Carilah maksud yang tersirat dan tersurat dalam kejadian langit dan bumi keseluruhannya, nescaya kita akan temui kesimpulan yang sama.

Selamat berfikir, berfikir dan berfikir!


Mafatih al-‘Ulum, hlm. 122.

Kerajaan Mesir tua wujud sekitar tahun 3000SM. Mesir mendapat nama sempena anakanda Nabi Idris as yang bernama Misr. Menurut riwayat, Nabi Idris as diutuskan kepada kaum di Mesir serta dianaugerah Allah swt dengan beberapa suhuf. Nabi Idris as mengajar umatnya agar menyembah Tuhan Yang Maha Satu. Akan tetapi apabila masa berlalu ajaran baginda telah diseleweng oleh kaumnya, lalu akhirnya kaum itu telah menyembah bintang dan cakerawala dan ada pula kaumnya yang menyembah Nabi Idris as sendiri yang mereka gelar sebagai Hermis. Demikianlah halnya yang berlaku kepada umat terdahulu apabila ajaran para rasul telah ditokok tambah dan dipinda oleh generasi terkemudian.

.

Lihat Al-Asas fi al-Tafsir Sa`id Hawwa di bawah kesimpulan al-Fawa’id ayat 30, surah al-Anbia’ (jilid 7, hal.3455). Beliau menulis (terjemahan bebas penulis): “Ayat ini mengisyaratkan pergerakan bumi kerana kalimah kullbermakna jamak, menunjukkan yang berenang (terapung) melebihi dua objek sedangkan malam dan siang bukan objek. Bahkan bumilah objek terapung berenang yang menyerupai pergerakan matahari dan bulan. Maka yang terapung dalam ayat ini ada tiga objek: matahari, bulan dan yang ketiga tempat berlakunya siang dan amlam, iaitu bumi. Justeru, ayat menunjukkannya pergerakan [objek tersebut] dan ayat ini mendahului saintis yang menemui fenomenon ini, – dan padanya mukjizat yang lain – daripada mukjizat al-Qur’an”.

Fath Rabb, al-Mahali, hlm. 4.

Lihat teks Risalah fi simt al-Qiblat al-Bazdawi yang disiarkan oleh D. King dalam Majalah Tarikh al-‘Ulum al-‘Arabiyyah, hlm. 186-196.

Alat astrolab popular digunakan dalam tamadun Islam yang dimulakan oleh al-Fazari. Catatan Ibn al-Nadim menunjukkan bahawa alat tersebut adalah ciptaan asli al-Fazari. Namun berdasarkan nama astrulab yang disebut oleh Arab daripada kalimah astrolab menunjukkan bahawa alat ini bukan berasal dalam tamadun Arab tetapi diadaptasi daripada alat yang pernah digunakan dalam tamadun Yunani. Mengikut catatan, Appolonius dan Hipparchus telah menggunakan alat ini dalam tamadun Yunani. Ahli falak Islam telah memperbaiki serta memperluaskan gunaannya. Ada kemungkinan hanya persamaan nama yang wujud antara warisan Yunani dan Arab yang berlaku, kerana dinyatakan bahawa al-Fazari turut mencipta alat yang berbentuk hemisfera yang belum dikenali oleh Yunani. Al-Fazari turut menulis karya tentang penggunaan alat ciptaannya seperti Zat al-Halaq (astrolab yang mempunyai cincin).

Lihat makalah Julian Smith bertajuk Astrolabe dalam Encyclopaedia of the History of Science (ibid).

Nadir al-Nabulasi (ed.), 1977. Miftah al-Hisab al-Kasyi, hlm. 197.

Penulis Barat berusaha keras untuk menafikan trigonometri sebagai ilmu yang diasaskan oleh ahli falak Islam. Mereka lupa bahawa istilah sinus dan kosinusyang menjadi istilah paling asas dalam ilmu berkenaan merupakan adaptasi terjemahan kalimah jib dan jibtamam Arab. Bahkan nama bintang dan buruj kebanyakannya masih kekal nama Arab hingga kini. Bahkan alat rubu al-mujayyab itu bermaksud jadual sinus untuk sudut tersetentu.

Surah al-Kahfi, ayat 90.

Galaksi Andromeda kini ditandakan sebagai M31. Teks Barat menyatakan bahawa galaksi ini ditemui oleh Simon Marius (1612). Nama al-Sufi yang disebut Azhopi turut dirakamkan dalam teks Barat untuk sebuah kawah di atas permukaan bulan (22.1S, 12.7E) yang digelar kawah Azhopi.

Al-Baqar al-Abyad bermaksud lembu putih. Adalah suatu yang menarik bahawa cerapan al-Sufi terhadap galaksi ini dilakukan setelah mendapat berita pelayar Arab yang mengembara ke Alam Melayu yang melihat kumpulan nebula galaksi tersebut ketika malam yang terang.

Al-Biruni turut membuat model matematik terhadap putaran bumi terhadap paksinya. Bumi ialah planet dalam sistem suria yang terletak dalam Bima sakti.

Karya Copernicus De Revolutionibus Orbium dirujuki pula oleh Galileo yang menimbulkan konflik yang besar dalam astronomi Eropah antara saintis dengan gereja.

Disebut juga dalam bahasa Latin sebagai titik augee.

Pergerakan titik awj ini berlaku sebanyak 11.8” setahun atau 10 dalam jangkamasa 305 tahun.

Cara penulisan pecahan perpuluhan diasas seorang ahli matematik Islam berbangsa Yahudi bernama Sama’wal al-Maghribi.

Perlu dingati bahawa ketika ramalan gerhana dibuat berdasar pengiraan matematik yang teliti, masyarakat masih belum faham tentang ilmu berkenaan. Al-Biruni telah mendapat fitnah masyarakat bahawa beliau mengamalkan ilmu sihir, yang hampir membawa padah kepadanya. Sebelum itu, Jabir turut dikatakan ahli sihir kerana mengkaji ilmu kimia yang mencuba untuk mengubah sifat kualitatif logam murah menjadi logam mahal berdasar kajian ilmu berkenaan. Ilmu kimia dan astronomi pernah disenaraikan sebagai ilmu sihir di kalangan penulis tertentu yang tidak memahami asas ilmu berkenaan. Perlu diingati bahawa ilmu astronomi (falak) berbeza sama sekali daripada ilmu astrologi (tanjim).

Penulis Barat sering menyatakan kajian graviti dilakukan oleh Newton, namun hakikatnya hampir semua saintis Muslim sejak kurun ke-9 termasuk al-Kindi telah menyatakan konsep tersebut.

Zij Sultani ini disusun oleh jawatankuasa yang diketuai oleh Jamshid Ghiathuddin al-Kashi yang bekerja dengan Sultan Ulugh Beg seorang pemerintah yang berilmu dan mementingkan penyelidikan falak. Kegiatan ini berpusat di Samarqan yang dianggap ibu wilayah Islam timur. Ulugh Beg ialah anakanda Shahrukh bin Taimur (Timurlane). Di balai cerap Samarqan terkumpul ahli falak yang terkenal iaitu al-Kashi (ketua), Qadi Zadeh, Muhyiddin al-Kashani, Salahuddin al-Mausawi dan al-Saqqar (atau Ali al-Khushaji). Di sini ramai ahli falak China yang bergabung tenaga di bawahpatronaj Ulugh Beg dan pembinaan balai cerap sepanjang Jalan Sutera ke China mempunyai kaitan dengan Samarqan. Balai cerap Samarqan merupakan antara balaicerap terbaik yang pernah didirikan dalam wilayah Islam. Balai ini berbentuk bulat dengan garispusat 46 meter, mempunyai bangunan 3 tingkat dengan ketinggian 30 meter yang dibina di atas sebuah bukit yang terletak di tepi sungai. Pencerap yang besar diletakkan di dewan cerapan utama. Amat menarik tentang zij ini kerana ramai ahli falak Melayu menyalin zij induk ini untuk disesuaikan dengan suasana tempatan. Kami menemui banyak manuskrip yang menjadikan zij ini sebagai rujukan induk dalam manuskrip Alam Melayu. Ulugh Beg sendiri menggambarkan ketelitian cerapan tentang zij ini dengan ungkapannya: “Setiap cerapan, setiap pakar perjalanan planet, telah dicatatkan dalam karya ini”. Jadual ini merekod fenomenon samawi yang melibatkan 1018 bintang dan planet. Zij ini merekodkan tempoh setahun solar bersamaan 365 hari 6 jam 10 minit 8 saat. Nilai yang dikira pada hari ini (selepas lebih 500 tahun berlalu) ialah 365 hari 6 jam 9 minit 9.6 saat. Demikianlah besarnya peranan balai cerap Ulugh Beg dalam kajian detik-detik akhir tamadun Islam dalam bidang berkenaan. Selepas kematian mengejut Ulugh Beg, balai cerap ini dirobohkan, dan ahli falak telah lari bertempiaran. Nashkah Zij Sultani atau dikenali juga dengan nama Zij al-Karkani, berjaya diselamatkan oleh Ali al-Qushaji dalam pencerobohan tersebut. Zij inilah yang tersebar luas kemudiannya sehingga ke India, China dan Alam Melayu.

Kebanyakan penulis teks Barat menafikan hubungan ini, kecuali segelintir penulisnya seperti Sedillot, Sarton, Nalino, Kennedy dan King. Apabila terdapat penulis Barat seperti Sedillot yang cuba memaparkan sejarah yang murni tentang hubungan Eropah dengan tamadun Islam, maka penulis seperti Duhem yang membabi buta menyangkalnya walaupun Duhem sendiri disifatkan oleh Walker sebagai a physicist and philosopher ignorant of Arabic.Lihat Walker (1996) ibid. hal.171.

Lihat Abdullah al-Daffa` al-`Ulum al-Riadiyyat fi al-Hadarah Islamiyyah, hal.260.

Penemuan manuskrip Ibn Syatir pada tahun 1950 di Bandar Bolanda menguatkan hipotesis hubungan meraka.

Pandangan saintis terhadap orbit planet mengelilingi matahari berubah-ubah sejak zaman Batlamius hingga kini. Pada mulanya mereka menganggap matahari mengelilingi bumi dalam bentuk bulatan. Kemudian, muncul pula pandangan yang menyatakan sebaliknya, iaitu bumi yang mengelilingi dalam bentuk bulatan. Sarjana Muslim menemui orbit tersebut sebenarnya dalam bentuk ihlilaji (elips) yang diperkuatkan pula oleh Kepler kemudiannya, dengan matahari berada di fokus elips. Kemudian pada pertengahan kurun ke-20 ada pula pandangan yang menyatakan bahawa orbit bumi mengelilingi matahari dalam bentuk terbuka meliuki berbentuk orbital bunga cengkih tetapi harmoni. Lihat buku Shaharir (2004, ibid).

Data ini sering dikemukakan untuk menyangkal teori Einstein bahawa objek tidak mungkin bergerak melebihi kelajuan cahaya. Kelajuan yang ditunjukkan oleh pengembangan akibat letupan deguman besar (jika data dan pengiraannya benar) itu bergerak melebihi halaju cahaya. Dalam teori kenisbian, faktor Lorentz ditakrifkan sebagai 1 / Ö(1 – R2) dengan R nisbah halaju objek dengan halaju cahaya. Faktor ini mencapai nilai maksimum tak terhingga apabila R = 1. Sebagai jalan tengah, ada pandangan yang menyatakan bahawa objek dalam alam semesta tidak boleh bergerak melebihi halaju cahaya, tetapi alam semesta sendiri tidak terikat dengan syarat tersebut. Ada pula yang ingin mengubahsuai faktor Lorentz menjadi 1 / Ö(R2 – 1) untuk menangani masalah ini, seperti yang pernah dilakukan kepada faktor Prandtle-Glauert dalam kajian aeroangkasa yang mengubah faktor tersebut iaitu dari 1 / Ö(1 – M2) kepada 1 / Ö(M2 – 1) untuk M nisbah halaju objek terhadap halaju bunyi, dengan alasan yang sama. Lihat Elsaie (ibid) hal.62, Shaharir (2004) hal. 124 – 142.

Zaglul al-Najjar al-Sama’ fi’l-Qur’an al-Karim, hal590.

Ketika mentafsir ayat surah al-Anbia ini, Sa`id Hawa menulis seperti berikut: “Anda mendapati ayat ini mendahului kajian saintifik, dalam kedua-dua tafsir, kalimah “ratq” bermaksud jisim padu yang satu yang terbit daripada jisim al-sadimah (nebula), atau tafsir dengan maksud bumi tiada tumbuh-tumbuhan dan langit tidak berhujan, kedua-dua pentafsiran sesuai dengan maksud bahawa Bumi dalam bentuk asalnya suatu jasad panas seperti matahari yang ketika itu tiada sebarang hidupan atau air. Kedua-dua pentafsiran diakui Ibn al-Kathir”. Lihat buku Al-Rasul karya Said Hawwa (Dar al-Salam, 1986; hal.278) dengan terjemahan bebas penulis ini.

Banyak sumber internet yang membincangkan kejadian alam mengikut al-Qur’an tetapi pelajar seharusnya menyemak kembali kepada sumber penulisan yang sah serta oleh ilmuwan yang berwibawa dalam bidang ini.

Lihat perbincangan kejadian alam mengikut ahli kosmologi moden dalamHistory of Truth karya A.M.Elsaie (AS Nordeen, 2004) di bawah tajuk The Universe.

Said Hawwa telah mentafsirkan ayat ini menerusi al-Asas fi al-Tafsir (Dar al-Salam, 1985; jilid 10, hal.5522-5530) seperti yang berikut (terjemahan bebas penulis ini): “Ayat ini menunjukkan langit berada dalam pengembangan, penolakan keluar sentiasa atau Kami (yakni Allah swt) jadikan keluasan langit. Ayat ini menunjukkan mukjizat al-Qur’an tentang kejadian alam” (hal.5522). Seterusnya Sa`id Hawwa membuat ulasan lanjut seperti yang berikut: “Antara penemuan saintifik yang besar dalam sejarah sains ialah pendapat yang dikemukakan buat pertama kali dalam sejarah kosmologi oleh Einstein berbangsa Yahudi, yakni teori pengembangan alam semesta yang belum pernah dikemukakan sebelumnya, sehingga ada orang yang menggunakan istilah “al-Kaun al-Einsteiniyyah” (alam mengikut pandangan Einstein) untuk merujuk peristiwa pengembangan alam. Sebelum itu, dikatakan alam bersifat statik … namun ternyata alam sedang mengembang dengan lajunya”. Menurut Said Hawwa lagi, kalimah musi`undalam bentuk ism fa`il untuk kalimah ausa`a bagi gantinama ketiga nahnuseperti dalam ayat bermaksud proses berterusan. Kitab tafsir al-Asas fi al-Tafsir (11 jilid) ditulis dengan banyak rujukan tentang kajian sains moden.

Menurut Shaharir (2004, ibid) teori alam berbentuk statik muncul kembali dalam kajian terkini.

Hanya Allah swt yang mengetahui maksud hakikinya. Namun ada pentafsiran yang menyatakan bahawa bentuk lingkaran atau spiral galaksi yang berputar keluar dari pusat galaksi sangat serupa dengan bentuk beberapa helai kertas yang digulung secara longar yang dilihat dari sisi hujungnya. Bentuk ini serupa lingkaran kulit siput yang disebut dalam bahasa Arab sebagai al-halazuniyyah. Andainya proses kejadian alam ialah proses pengembangan, maka proses kesudahannya boleh diibarat seperti kertas tersebut digulung ke dalam kembali, yakni proses kebalikannya.

Dipetik daripada sumber internet di bawah tajuk perbincangan sains dan al-Qur’an.

Sa`id Hawwa menulis beberapa siri asas Islam termasuk al-Islam, Allah, al-Rasul, tazkiah al-nafs, tarbiyayh al-ruhiyyah, jundullah dan tafsir al-Qur’an yang memperlihatkan Islam dalam bentuk kesepaduan rohani dan jasmani, syariah dan keadilan, dunia dan akhirat. Buku-buku karangan beliau telah menyentuh hati nuani penulis ini khususnya buku beliau yang bertajuk al-Rasul, al-Asas fi al-Tafsir dan Jundullah.

Zaghlul al-Najjar al-Sama’ fi’l-Qur’an al-Karim, Dar al-Ma`rifah, Beirut, 2007.

Khunnas dari segi bahasa bermaksud makhluk yang tidak dapat dilihat manakala kunnas sering digunakan oleh orang Arab untuk maksud apabila serigala yang hilang memasuki lubangnya. Kedua-dua makhluk itu merupakan sifat bintang di langit. Zaghlul al-Najjar membandingkan istilah itu dengan white dwarf yakni bintang yang kehilangan cahaya dan lubang hitam yang menelan semua jirim langit sepanjang lintasannya. Namun hakikatnya hanya Allah SWT yang mengetahuinya.

Express on Sunday 4 Januari 2004; Evening Standart UK, 23 April 2004.Maksudnya: ”Apa yang orang Arab fikir perasaan kita terhadap mereka. Bahawa kita kagum dengan sikap mereka yang menjadi pengebom berani mati, pemotong kaki dan tangan, penindas wanita”.

Wawancara dilakukan oleh Christopher Landau melalui Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008. BBC = British Broadcasting Cooperation.

What we don’t want either, is I think a stand-off where the law squares up to people’s religious consciences” ujar Uskup Besar Dr Rowan Williams

Maksudnya: Kebanyakan Muslim cukup gembira tentang sistem perundangan yang ada di UK. Mereka memberi sokongan terhadapnya. Undang-undang itu melindungi mereka termasuk peruntukan makanan halal dan perkhidmatan bank. Dalam kata lain, kebanyakan perkara asas yang penting berkaitan masyarakat sudah ada dalam sistem itu. Kami tidak meminta agar diperkenalkan satu sistem yang baru – sekali-kali tidak.

http://www.kesturi.net/archives/category/makalah/page/16