ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Kitab Jawi: Aspek Falsafah Sains Yang Terkandung Padanya



Kitab Jawi:
Aspek Falsafah Sains Yang Terkandung Padanya

Oleh:
Mohd Zaidi Abdullah
Akademi ‘Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun,
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
www.ilhamkanku.com.my
mzaid_saf@hotmail.com

Tafsiran Katakunci

Falsafah Sains
Falsafah sains adalah bidang ilmu yang mempelajari dasar-dasar filsafat, asumsi dan implikasi dari sains, yang termasuk di dalamnya antara lain ilmu alam dan ilmu sosial. Di sini, falsafah sains sangat berkaitan erat dengan epistemologi dan ontologi. Filsafat sains berusaha untuk dapat menjelaskan masalah-masalah seperti: apa dan bagaimana suatu konsep dan pernyataan dapat disebut sebagai ilmiah, bagaimana konsep tersebut dilahirkan, bagaimana sains dapat menjelaskan, memperkirakan serta memanfaatkan alam melalui teknologi; cara menentukan validitas dari sebuah informasi; formulasi dan penggunaan metode ilmiah; macam-macam penalaran yang dapat digunakan untuk mendapatkan kesimpulan; serta implikasi metode dan model ilmiah terhadap masyarakat dan terhadap ilmu pengetahuan itu sendiri. Dalam pemikiran non-muslim barat, falsafah sains sering merujuk pada analisis logikal sains.[1]

Kitab Jawi
Kitab Jawi adalah ‘sesebuah tulisan dalam bahasa Melayu yang menggunakan huruf-huruf Arab dengan huruf tambahan’. Tulisan Jawi dikesan antara yang terawal adalah pada Batu Bersurat Terengganu. Dalam tulisan tersebut, diungkapkan bentuk perundangan berdasarkan aqidah yang diperundangkan di Terengganu.


al-Ilm, Pengetahuan dan Sains

                          idrāk (masdari) diterjemah sebagai ‘tahu’

al-ilm                sifat (mana ismi) diterjemah sebagai ‘pengetahuan’

  diterjemah sebagai ‘mengetahui’

Pecahan makna ilmu yang terpapar ini dibahas dengan teliti oleh Sheikh Pak Da Eil Fatani (w.1965M) dalam kitabnya, Sharh Bakurat al-Amani(selesai tulis 1358H).[2] Ini merupakan tradisi pemikiran ulama Alam Melayu yang sepatutnya mesti diambil tahu dan dipentingkan dalam setiap kajian pemikiran Islam di Alam Melayu. Anasilis makna atau aspek semantik amat ditekankan terutama dari Halaqat Fataniyyah-Haramiyah.

Secara tradisi berkitab, seperti kitab Bidayah al-Hidayat karya Jalaluddin Aceh, al-Durr al-Thamin karya Sheikh Daud al-Fatani, al-Muqaddimat al-Kubra karya Sheikh Ismail al-Khalidi al-Naqshabandi, ‘Aqidah al-Najin karya Tuan Minal dan lain-lain menerjemahkan perkataan ‘ilm dengan perkataan pengetahuan. Boleh dipilih sama ada dimelayukan sahaja al-ilm kepada ilmu atau diterjemahkan sebagai pengetahuan. Selaku pola ismi atau yang dinisbahkan kepada kata nama, dengannya dapat membentuk suatu bidang atau suatu bentuk ilmu atau pengetahuan atau sains atau scientia. Takrif ‘pengetahuan’ pula adalah, “mendapat akan sesuatu yang berbetulan dengan hakikatnya”.[3]


Sheikh Daud Fatani menyatakan:
“Dan segala sebab bagi pengetahuan yakni sebab yang mendapatkan bagi ilmu yang baharu ini tiga sebab dengan istiqra’ (induktif).”

Kemudiannya akan muncul ungkapan ilmu dan teknologi atau sains dan teknologi atau pengetahuan dan teknologi. Dimaklumkan kepada penulis agaknya perkataan sains mula digunakan dalam buku teks di Malaya pada tahun 1958 apabila subjek sains tingkatan satu dalam bahasa Melayu dimulakan sebelum itu seluruh alam Melayu pakai istilahi ilmu pengetahuan sahaja.[4] Lahirnya perkataan sains dalam tulisan dalam bahasa Melayu telah menambahkan perbendaharaan katanya. Sains yang berasal dari scientia bermaknakan knowledge atau knowing dalam bahasa Inggeris.

Bukan yang ditakrifkan semula oleh pakar sains empirikal semata-mata. Sekalipun – dengan kenyataan ini – dilihat perkataan sains dengan pengertian ini amat luas namun penyelesaian yang agak popular dalam tradisi pemikiran Islam adalah bentuk kehierarkian pengetahuan yang terkenal dalam bidang al-hikmah.

Tradisi Intelektual Haramain-Alam Melayu (berikutnya akan disingkatkan TIHAM)[5] akan dikembangkan dalam penulisan ini yang pada hemat penulis yang merupakan tradisi sebenar yang terkandung dalam kitab-kitab jawi yang masih digunapakai sehingga kini dan masih diulang cetak berkali-kali. TIHAM berperanan dalam pembentukan sejarah dan kehidupan manusia di Alam Melayu khususnya.

Keprihatinan tokoh ini menyaksikan visi masa depan dalam perkembangan pengetahuan dunia Melayu-Islam terarah dengan mantap. Ini dapat disaksikan betapa penelitian semula perkataan sains dikemukakan oleh al-Attas, al-Faruqi dan lain-lain[6] terhadap faham konvensional perkataan sains dalam dunia kontemporari. Sheikh Pak Da Eil memang dibesarkan berdasarkan tradisi ilmu berguru memang menerima secara turun-temurun ilmu naqli dan ‘aqli dalam tradisi pemikiran Islam.[7] Ini membuktikan.

Sains-Ilmu-Pengetahuan Berteraskan Tauhid
Pengertian sains-ilmu-pengetahuan telah dikemukakan. Al-Quran sendiri memperlihatkan pelbagai pengetahuan disentuhnya. Begitu juga, al-Sunnah atau al-Hadith. Di Alam Melayu, dengan jelas dapat dikatakan pemikiran Islam terasas pada subjek ilmu tauhid. Ilmu tauhid ini memajukan hidup orang-orang Melayu terarah dan bermatlamat. Kombinasi tauhid Ahli Sunnah Ash‘ari-Maturidi dengan usulfiqh-fiqh-qawa‘idfiqh, tasawwuf-tariqat dan al-Ishraqiyyah[8] yang diharmonikan dengan bentuk jiwa penerimanya di kalangan orang-orang Melayu-Nusantara mematangkan bentuk pemikiran yang tersendiri.

Bentuk pemikiran yang tergabung dalam kemajmukan bangsa seperti arab, india, cina, dan lain-lain menyumbang kepada pembangunan sosial. Menurut pengkaji budaya Melayu, Nakula, dalam Seminar Antarabangsa Seni dan Kosmologi Islam pada 1996, menyatakan bahawa orang-orang Melayu berasal dari rumpun keturunan Nabi Idris a.s. (nabi ini dianggap oleh para sejarawan sebagai tokoh Hirmis).

Al-Quran
Secara pastinya umat Islam di Asia Tenggara pastinya mempelajari al-Quran serta mereka tidak kenal pun apa itu sekularisme sehingga kedatangan penjajah yang semakin mencengkam. Penjajah ini yang kemudiannya mengasingkan pengajian agama dan pengajian keduniaan. Al-Quran telah diterjemahkan oleh Sheikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri dengan judul Tarjuman al-Mustafid dan disalin sejak ditulis termasuk dalam bentuk cetakan sehingga kini serta mendapat penelitian ulang oleh Sheikh Dr. Muhammad Idris al-Marbawi.

كل يوم هو فى شأن

Ayat ini secara pastinya membuktikan Allah Ta‘ala menguruskan alam ini. Tindak Allah terus terhadap alam amat berhubung rapat dengan doktrin tauhid. Justeru, hukum adat disusun bagi penjelasan secara rasional akan kejadian di muka bumi serta seluruh alam semesta. Hukum adat amat terkenal dalam kajian kitab jawi serta mendapat perhatian perbahasan yang agak teliti.

خلقكم و ما تعملون
Allah yang menjadikan kamu dan apa yang kamu lakukan.

Seperti yang dibicarakan dalam bahasan tauhid, kitab jawi mengkhabarkan bahawa kaedah ikhtiyar (pilihan) dan kasb (usaha) memiliki peluang yang diberikan oleh-Nya dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Secara bersepadu, jelas sekali pilihan dan usaha bukan sekadar dalam ibadat kepada-Nya tetapi apa jua termasuk yang dikategorikan sebagai saintifik dan rasional. Ini sepatutnya difahami secara benar dan tepat.

Justeru, dengan dasar ini, suatu pemikiran dan falsafah sains sentiasa wujud dalam diri umat Islam di rantau ini. Sebagai buktinya, kitab jawi sendiri memperuntukkan kajian perubatan tradisional yang menggunakan herba-herba sebagai rasional dalam perubatan bukan sekadar jampi serapah yang hanya melibatkan bacaan.[9] Ini juga harus disedari. Yang pastinya, yang membacanya juga yang membaca kitab-kitab jawi yang mengandungi aspek tauhid, fiqh dan tasawwuf.




Sains-Pengetahuan-Ilmu Kosmologi Islami Dalam Persuratan Melayu
Pengetahuan sama ada secara intelektual (‘aqli) atau seni (fann) terungkap dalam Terjemahan ‘Aqa’id al-Nasafi, Hamzah Fansuri, al-Sumatera’i, al-Raniri dan ‘Abdul Rauf al-Fansuri. Gambaran keadaan masyarakat serta segala hubungkait dengannya termasuk aktiviti pengetahuan dapat dikesan dalam Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang, Babad Tanah Jawa, Tarikh Fatani salinan Sheikh Daud al-Fatani dan Tuhfah al-Nafis karya Raja Ali Haji.

Bentuk ‘pengetahuan’ yang berpengaruh pada fikiran orang-orang Islam di Alam Melayu adalah kerangka martabat tujuh yang dikemukakan dalam Tuhfah al-Mursalah oleh al-Burhanfuri[10] tanpa mengenepikan usuluddin biasa, fiqh Shafii dan sebagainya. Ini cara berfikir masyarakat Melayu-Islam untuk sekian lama sehingga pertengahan abad ke-20 bentuk fikiran tersebut digugat sedikit. Namun, kini semacam mendapat sambutan semula.

Pengetahuan yang bersepadu terkandung dalam Tuhfah al-Mursalah memperkenalkan martabat keenam sebagai ‘alam ajsam iaitu ibarat daripada segala suatu yang dijadikan murakkab ia lagi kashf(tersingkap), yang menerima suku lagi bersetengah. Menurut Sheikh Daud al-Fatani, “martabat alam ajsam yang kasar yang disusun daripada beberapa kejadian yang empat iaitu api, hawa, air dan tanah. Maka keluar daripadanya lima perkara iaitu jamad, nabat, hayawan, insan dan jin. Maka adalah ‘alam ajsam itu ibarat daripada segala perkara yang kauniyyah yakni masuk di bawah lafaz kun. Yang bersusun daripada perkara yang kasar-kasar lagi menerima disuku-sukukan, dibahagikan, dicarik dan bertemu.”[11] Ini walau dikatakan huraian berbentuk teosofi atau teologi atau kosmologi menurut pengertian dan had sempadan pengetahuan kontemporari tetapi amat jelas melibatkan alam fizikal. Pengetahuan Martabat Tujuh atau Sains Martabat Tujuh atau Ilmu Martabat Tujuh memberi ruang kepada perbahasan yang bagi mereka yang tidak mencapai maqām (kedudukan) yang tinggi dalam aspek Ihsan al-Din.

‘Pengetahuan’ yang mengungkapkan al-Qadïm (Allah) dan al-Hādith (makhluk) dalam kerangka martabat tujuh bertujuan mengenali Allah Ta‘ala bersama alam semesta. Yakni tauhidullah. Sebagai seseorang insan, mereka tidak lepas dari alam jisim, alam khayal dan juga alam ruh. Ketiga-tiga alam ini cukup mudah dirasai atau berjelira dalam diri seseorang manusia. ‘Sains dan teknologi barat-non Islamik’ jelas tidak memperakui [keberadaan] ruh. Jadi, dengan sendirinya masyarakat Islam di rantau ini yang menjunjung wahyu (al-Quran dan al-Hadith) telah mengislamisasikan pengetahuan (boleh dibaca juga sains atau ilmu) dan teknologi dalam kefahaman dan penggunaan.

Martabat tujuh jika dilihat secara kronologi dalam persuratan Melayu jelas tidak dicanggahi oleh kitab-kitab usuluddin yang mudah dimengertikan oleh orang-orang awam cuma ada disebut jika tidak memiliki pengetahuan atau kemahiran yang diperlukan maka baru haram dibaca. Ini ada dinyatakan seperti dalam Bidayat al-Hidayah(w.1170H/1756M) karya Tuan Sheikh Muhammad Zain ibn al-Faqih Jalal al-Din al-Ashi dan Manhal Safi karya Sheikh Daud al-Fatani.

Bagaimana ulama seperti Sheikh Daud al-Fatani mengharmonikan ilmu usuluddin (banyak kitab beliau dalam ilmu tauhid seperti al-Durr al-Thamin dan Ward al-Zawahir) dengan Manhal Safinya patut dikaji. Tiada pertentangan dinyatakan antara hukum adat yang terkandung dalam al-Durr al-Thamin dengan kosmologi yang tersebut dalam Manhal Safi misalnya. Dalam diri seorang ulama pun boleh mengungkap aliran tinggi dan halus dan aliran biasa. Kebenaran dan kewujudan pada martabat masing-masing amat terakui di kalangan ulama Melayu. Dengan kata yang tegas, perkotakkan ilmu tidak wujud. Inilah bentuk sains-ilmu-pengetahuan yang dikumpulkan oleh ulama Melayu. Pengamatan ini diambil kira setelah membaca teks-teks jawi dari beberapa kurun yang lalu hingga kurun ini.

Pengajian Islam dan Pengajian Pengetahuan Semasa
Perbendaharaan ilmu dan perladungan kepandaian (sina‘ah) pertama kali disentuh adalah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (w.1325H/1908M) yang merupakan tokoh penting Alam Melayu yang memperhebatkan peri pentingnya ilmu kepada masyarakat Islam. Dalam buku terkenal beliau, Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin, beliau menyeru umat Islam mengambil tahu perkembangan ilmu di Istanbul dan Mesir pada ketika itu. Beliau berjaya mencetak kitab-kitab Jawi di Istanbul dan Mesir. Ini usaha gigih dalam menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu.

Ciri penting pada zamannya tentang teknologi yang cepat proses percetakan, kiriman maklumat yang lekas sampai, dan seumpamanya. Ini konsep teknologi. Bagi penulis, beliau memang bijak dalam penyampaian maklumat kerana tidak menceritakan teknologi apa yang ada tetapi ciri atau konsep teknologi tersebut. Konsep atau ciri yang dipaparkan masih diaplikasikan kepada teknologi kontemporari.

Perkaderan beliau sebenarnya yang memunculkan keprihatinan ulama Melayu dari Fatani, Kelantan dan Kedah memperkukuhkan ilmu ‘aqli dalam masyarakat Melayu di Makkah dan Tanah Melayu. Ini boleh dikatakan respons beliau terhadap perkembangan ilmu dan teknologi pada zaman tersebut. Dr. Shafie Abu Bakar telah beroleh inspirasi dari karya Hadiqah al-Azhar wa al-Rayahin dengan melahirkan Teori Takmilah.[12]

Namun begitu, beliau bukan mempraktikan saintisme kerana kukuhnya pegangan beliau kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau mengkaji ilmu hisab, perubatan, tulisan kod rahsia dan lain-lain secara tradisi. Antara muridnya yang berjaya: Tok Kenali, Abdullah Fahim, Pak Chik Wan Daud (guru Pak Da Eil), Abu Bakar Muar, dan ramai lagi.

Penafsiran ilmu pondok yang diterima oleh penulis adalah melalui beberapa orang murid Pak Da Eil[13] antaranya, seperti Tuan Guru Hj. Abdullah Lubok Tapah (1933-2008) dan Sheikh Zakariya Ahmad Wan Besar (lahir 1928-belajar di Makkah mula ketika berumur 7 tahun).

Hukum Adat
Yang amat rapat dan merupakan stuktur penting dalam kitab jawi yang membicarakan ilmu usuluddin adalah HUKUM ADAT. Bahasan HUKUM ADAT ini termuat dalam hampir semua permulaan kitab-kitab dalam bidang ilmu tersebut sebelum dimulakan bahasan sifat dua puluh dan lain-lain.

Dilihatkan kajian Prof. Muhammad Naquib al-Attas hanya menyentuh aspek epistemologi (yakni pancaindera, khabar sadiq, akal dan intuisi) berdasarkan kajian beliau terhadap sebuah manuskrip terjemahan ‘Aqāid al-Nasafi yang belum diketahui penterjemahnya. HUKUM ADAT mula disentuh pengaitannya dengan falsafah sains dan teknologi adalah dalam Pegangan Sejati Ahli Sunnah wal Jamaah: Suatu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup, diterbitkan pada tahun 2000, oleh Syathariyah Niagajaya Sdn. Bhd.[14] Sekali lagi, percubaan dilakukan sekalipun, pada hemat penulis agak lemah, adalah dalam sebuah artikel bertajuk Kitab Lama Bertemu Buku Moden yang tersiar dalam Utusan Malaysia (tapi artikel ini dicampurtangan oleh editornya) pada 17hb. Oktober. 2008. Dalam artikel ini pula, penulis mengaitkan dengan bahasan ilmu qawa‘id fiqh - al-‘ādat muhkamat.[15]

Dilihat pemusatan dari bahasa muncul kerana perkataan adat yang dimaksudkan dalam usuluddin dari segi hubungan sebab dan akibat yang biasanya difahami dalam bahasa falsafah semasa sebagai okasionalisme (kesempenaan) dengan bahasan ‘adat dalam qawaid fiqh dari segi kebiasaan perilaku manusia dan persekitaran. al-‘Adat dalam qawaid usul fiqh berpotensi dikembangkan dalam sains sosial kontemporari.

Berikut ditransliterasikan tentang HUKUM ‘ADAT
“… Adapun ‘ilmu tasawwur pada hukum ‘adat itu iaitu seperti bahawa kita tasawwurkan makna makanan dan tanah iaitu zat yang bersifat putih dan hitam dan kuning dan merah dan lainnya tiada ahkam atasnya itu dengan mengenyangkan atau tiada mengenyangkan atau seperti kapur dan tepung tiada ahkam atasnya itu .. dan ‘ilmu tasdiqnya maka iaitu ditasdiqkan akan tanahnya itu nafi daripadanya mengenyangkan dan makanan itu sabit baginya mengenyangkan dan …..”
dan
“Soal: Apa hakikat hukum ‘adat itu ? Jawab: Adapun hukum ‘adat itu iaitu mesabitkan pertambatan antara satu pekerjaan pada wujudnya  dan ‘adamnya ertinya pada adanya dan pada tiadanya dengan wasitah (perantaraan) yang meantarai berulang-ulang kali[16] yakni terkadang ada dan terkadang tiada ada dengan syarat beserta sah bersalahan ‘adatnya dan tiada boleh memberi bekas salah suatu daripada keduanya itu pada suatu yang laginya itu tiada sekali-kali pada jalan ‘aqal. …”[17]

Pensabitan pertambatan (ithbat rabt) terasa kewajarannya dan kini semakin difahami dengan fenomena yang berlaku dalam interaksian dalam mekanik kuantum.[18] Lee Smolin telah memperlihatkan rantaian sebab dan akibat yang bergilir-ganti dalam kejadian sesuatu peristiwa fizikal. Justeru, ini secara asasnya, merupakan aspek kefalsafahan sains[19] menurut pemikiran ulama dunia Melayu.

Rabt telah diterjemahkan oleh ulama Melayu dengan kata ‘pertambatan’. Dalam bahasa mudahnya, apabila seseorang menambatkan seekor lembu pada tiang maka agak tepat dikatakan tidak akan lari lembu tersebut. Ini fenomena fizikal. Jika diulang-ulang oleh sesiapa pun maka secara mantikinya akan menjadi keadaan yang sama. Tali, pengikatan, lembu dan orang pengikat terlibat dalam HUKUM ADAT tersebut.

Usah kita beranggapan sesuatu yang lama itu ketinggalan tapi cuma diekspresikan dalam bahasa Melayu silam dalam laras usuluddin. Jika diterapkan dalam sains dan teknologi semasa ia masih dapat diprufkan. Ikatan sebab dan akibat ini yang menumbuhkan perubatan herba alam Melayu masih diterima pakai dan diislamisasikan sesuai dengan ilmu usuluddin.

Dalam ilmu tibb misalnya, peranan herba dan perbedahan diakui secara HUKUM ADATnya serta sebagai ‘pilihan’ dan ‘usaha’ sekalipun disertakan bacaan doa dan wafaq. Ini masih secara rasional dan logik bersifat saintifik. Buktinya, kini, perubatan herba semakin mendapat perhatian dalam bidang perubatan yang kurang memberi kesan negatif pada tubuh badan manusia.

Kitab pengukuh serta lanjutan bagi kitab jawi adalah kitab Arab seperti kitab mantik. Dalam kitab mantik dijelaskan peruntukan satu bahagian tentang keabsahan hujah berdasarkan adat. Ini sekali lagi memperkukuhkan ‘ikatan sebab dan akibat’ dibina berdasarkan mantiki.

Rasional ini adalah pertama kali ditulis kepada para pembaca di Malaysia sehingga memungkinkan penyiaran artikel tersebar ke khalayak ramai yang majoritinya kurang minat kepada tradisi pemikiran pondok di Malaysia. ‘Titik temu’ antara hukum adat dengan ‘adat muhkamat berterusan dari segi min quwwah ila fi’l (daya menuju tindakan) adalah dari keberterusan berlakunya dalam kehidupan yang mana sesiapa yang buat akan dikatakan ada hubungan secara adatnya terutama oleh masyarakat yang berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah. Ini merupakan sains paradigmatik yang diakui Thomas Kuhn.

Memang masyarakat Islam di Asia Tenggara amat rapat dengan pengajian tauhid berpandukan dua kalimah syahadat yang menerbitkan lima puluh simpulan iman.[20] Pengajian ini berpotensi dikembangkan sehingga memunculkan kajian maqulat yang ditulis oleh Ayah Dir Sekam, Wan Ali Saulati dan Mohd Zaidi Abdullah sendiri.

Maqulat
Maqulat diertikan sebagai predikat.[21] Predikat terhadap bahan alamiah. Bahan alamiah seperti kayu dan atom umpamanya. Kayu dan atom ini tidak akan terlepas dari pempredikatan. Pengertian ini dapat dihubungkan dengan bahasan falsafah sains walaupun pada asalnya ilmu maqulat adalah kitab pertama dalam siri Organon logik Aristotle.[22] Logik ini boleh dibahas dari segi tarkib (susunan struktur ayat) semata-mata (seperti apabila hendak dicakap bahawa Zaid sedang duduk tidak semestinya ada Zaid di tepi yang berkata sedang duduk) atau dengan merujuk alam zahir (‘alam shahadah) seperti kayu itu panjang apabila kita melihatnya dengan pengukuran. Ini pastinya, melibatkan sains dan teknologi yang disebut dalam bahasa kini.

Pengaruh Pak Da Eil kepada pelapis ulama Melayu jelas kelihatan kepada ulama Melayu, antaranya ialah tokoh berikut. Sehubungan dengan bidang ilmu ini, Tuan Guru Abdul Qadir bin Wangah Sekam, menyatakan bahawa:
q  “Ilmu ini (yakni maqulat) bicara kepada makhluk Tuhan.”
q  “hendaklah kita ketahui bahawasanya sekalian makhluk Tuhan yakni benda yang Tuhan menjadi[kannya] kesemuanya tidak lepas sekali-kali daripada  dua perkara namanya jauhar keduanya ‘arad.”[23]

Penulis kurang bersetuju jika ada andaian menyatakan bahawa maqulat merupakan ilmu rendah yang telah tersedia ada cuma dipelajari oleh ulama Melayu sahaja. Pada penelitian penulis sekali terdapat beberapa pengembangan serta sintesis telah dikemukakan. Pengaruh pengajian ilmu pemikiran Islam pasca Ghazali.[24]

Penyelidikan maqulat secara asasinya boleh dipecahkan kepada jauhar, kamm dan aina yang berada di alam nyata manakala tujuh lagi disebutkan sebagai nisbiyyah. Penyelidikannya juga melibatkan aspek kuantitatif dan aspek kualitatif. Maqulat ini telah diislamisasikan dengan kerangkanya ditafsirkan secara selari dengan wahyu.Oleh demikian, maqulat Aristotle disintesiskan dengan prinsip-prinsip ilmu kalam dan segala perkaitannya.

Dengan mendasarkan kajian sistem maqulat, Tuan Guru Hj. Wan Ali al-Jambawi, dalam berjudul Tausi‘ah al-Fikri, telah berjaya menganalisis suara yang tersimpan dalam piring peti:

“Dan adapun suara-suara yang di dalam piring peti menyanyi yang di pasangkan dia pada masa yang kedua maka berbunyi seperti tuannya. Kalau begitu sedang menunjuk ia atas kekal ia dua masa. Maka jawabnya iaitu hasil daripada habas - kurung - dan tahan akan hawa` angin yang berhembus suara dengan dia kerana makna suara itu (kaifiyyah qa’imah bi l-hawa’ yahmiluha ila al-shamakh) ertinya suara itu ialah kelakuan yang menumpang di angin -udara- membawakan dia kepada lubang telinga dan bermula hawa` itu jauhar yang mengakakan suara dan apabila dikurung akan hawa’ yang ialah tempat terletak suara maka suara pun mengikut ada bersama-sama pada masa mula bersuara  oleh tuannya kerana suara sesaja itu tiada boleh dikurungkan dia  kerana bahawa ia ‘arad maka tidaklah (qa`im binafsihi ‘arad tidak bawa dirinya sendiri) bahkan menumpang di lain dan tiap-tiap suara yang telah lepas keluar daripada  tuannya maka tidak kekal di mana-mana masa dan lenyap  habis pergi. (li anna baqa’ al-‘arad ba‘da wujudihi mustahil) ertinya kerana bahawa kekal ‘arad lepas adanya tertegah - tak mungkin ada sekali-kali akan tetapi yang ada itu ialah suara yang terlekat di piring mengikut tempatnya iaitu hawa’ dengan kaifiyyah yang termaklum di sisi hukama` ahli penangkap suara-suara maka kembalilah ia kepada ‘arad menumpang jisim iaitu piring dan apabila jisim itu jatuh di mana-mana tempat dan masa maka ‘arad pun sebegitu juga.”

Analisis logik kategori-predikat memang bersifat falsafah sains walau dalam wacana arus perdana dalam bidang. Penjelasan istiqrai(induktif) yang membentuk penyusunan maqulat memang bercirikan falsafah sains. Apatah lagi, ia diberikan ‘nafas baru’ oleh ulama Melayu.

Masa

Seperti yang telah disebutkan, penulis akan memaparkan tentang teori masa. Teori masa ini telah dibincangkan oleh Ahmad al-Saj‘āi. Sebelum dibicara dengan lebih lanjut tentang sistem maqulat, patut anda memahami bahawa keseluruhan pengkajian maqulat yang telah dipaparkan melibatkan dalam masa dan ruang. Al-‘Allamah Ahmad al-Sajā‘i telah memaparkan lima pendapat tentang masa. Empat daripada lima pendapat tersebut disebut dengan lafaz qil. Lafaz qil menunjukkan kelemahan hujahannya. Penyebutan sebegini merupakan tanda gaya bahasa dalam kitab-kitab lama. Pendapat yang kelima iaitu pendapat yang diterimapakai oleh golongan Ahli Sunnah wal Jamaah, yang menurut pendapat Syaikhul Islam Zakaria al-Ansāri, ia adalah pendapat yang paling sahih. Syaikh Hasan al-‘Attār menyebut, pendapat kelima ini bersifat amr i‘tibar (yang disabitkan oleh akal) menerusi hubungan dua peristiwa atau lebih. Pendapat ini bersesuaian dengan konsep al-hikmah al-wusta sebagaimana telah dinyatakan. Masa ditakrifkan sebagai relatif dan pemerhatiannya secara bandingan di antara dua peristiwa. Dalam pengalaman kita seharian, masa ditandai oleh nombor-nombor seperti pukul 1:00 tengah hari dan pukul 3:00. Penomboran adalah amr i‘tibāri. Penentuan tanda-tanda ini adalah hasil terjadinya dua peristiwa. Dalam kaitan antara dua peristiwa itu mempunyai sifat kebaharuan atau dalam kekinian. Contohnya, apabila dikemukakan soalan, bilakah Zaid datang ? maka dijawabnya, ketika terbit matahari. Jawapan ini ditinjau menerusi kedatangan Zaid dan sebaliknya. Kedua-dua peristiwa inilah yang disebut hakikat masa. Dan, masa yang ditanggap itu terjadi sebagai keterangan (zharaf) bagi peristiwa-peristiwa dan kesertaan peristiwa-peristiwa tersebut. Al-‘Allamah Ahmad al-Sajā‘i memetik konsep ini daripada kitab ilmu kalam terkenal  iaitu al-Mawaqif karya ‘Adududdin al-Īji (w.756H/1355M).[25] Penelitian tentang ‘masa’ ini hampir menyamai tetapi tidak sama dengan tepatnya, serta ia mendahului dalam beberapa segi terhadap kerelatifan Albert Einstein (1879-1955M).[26] Sehubungan dengan ini, jelas sekali tokoh-tokoh Ahli Sunnah menafikan kemutlakan masa[27] sebagaimana yang diungkapkan oleh Newton (1642-1727M). Cuba anda bayangkan kalau tiada kedua-dua peristiwa tersebut, apakah kita dapat mengirakan masa dalam akal fikiran kita ??? Ini hujah berasaskan logik. Tetapi, sayang pemikir-pemikir moden muslim lemah dalam memajukan teori ini ke tahap yang lebih cemerlang. Namun, kita masih bernasib baik masih ada golongan yang mewarisinya hingga ke generasi kini secara metode perguruan.

Ruang atau Lapang (Makān)
Dalam ‘Aqidah al-Mu’minin karya Sheikh Zakaria bin Ahmad Wan Besar Kedah (lahir 1928) - setelah mengkaji dengan teliti kitab ‘Aqidah al-Najin - menyatakan:
 
“Dan makna makan itu di sisi Ahli Sunnah itu iaitu lapang yang mauhum (yang diwahamkan) yang menempati padanya oleh jirim..”

“Dan makna itu di sisi jumhur falasifah[28] iaitu satah (permukaan) yang batin (sebelah dalam) daripada yang meliputi yang menyentuh bagi satah yang zahir daripada yang diliputi seperti batin buyung yang bersentuh bagi zahir air dan di atas pendapat ini maka air yang ditengah itu tidaklah ia pada tempat..”

Ruang yang dinyatakan ini adalah bergantung pada kebaharuan yang dijadikan oleh-Nya. Dari tiada kepada ada dan dari ada kepada tiada. Fana maksudnya. Penciptaan ‘berterusan’ seperti yang dikemukakn oleh Sir W. Dampier adalah mendorong kepada umat Islam mempelajari alam semesta.
*****
Masa dan ruang adalah selain Allah s.w.t. atau, dalam kata lain, kedua-duanya adalah dijadikan oleh-Nya. Masa dan ruang termasuk kelajuan yang dimiliki oleh para malaikat dan para jin juga diakui dalam ajaran wahyu Islam. Selain Allah s.w.t., adalah alam. Menurut al-‘Arif billah  al-Muhaddith Abdul Ghani al-Nabulusi [29](1050/1641-1143H/1731M), alam adalah makna-makna dan kadar-kadar (maqadir) yang telah zahir dalam nur kewujudan Allah s.w.t.

Ilmu Hai’ah (Kelakuan Jasad Samawi)
Orang Melayu yang belajar di al-Haramain sebenarnya cukup prihatin dengan persekitaran dunia ilmu antarabangsa. Dunia ilmu peringkat antarabangsa telah dihujahkan berlaku berasaskan paradigma. Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain (seoarang pakar matematik dan pengislaman ilmu di Malaysia) telah menyatakan dengan jelas tentang hal ini. Katanya:

“Dalam dunia ilmu di Barat, ketidakneutralan ilmu-ilmunya (sains sosial, sains tabii, teknologi dan apatah lagi kemanusiaan) telah diterima umum terutama selepas terbitnya karya agung Thomas Kuhn pada tahun 1962 yang berjudul The Structure of Scientific Revolution.”

Kata-kata ini mengungkapkan keadaan sebenar pemikiran non-muslim di Barat untuk mencapai kejayaan. Mereka cuba mengenal pasti paradigma bagi pengukuhan keilmuan mereka. Katanya lagi:

“Walaupun buku ini (yakni The Structure of Scientific Revolution) sebenarnya membicarakan sains tabii. Malangnya, muslim kini rata-rata masih hidup dalam zaman ilmu sebelum Kuhn dalam aspek tanggapan atau fahaman mereka tentang tabii ilmu (lebih-lebih lagi tentang sains dan teknologi).”

Pernyataan ini diluahkan oleh beliau dalam Menjana Keilmuan Islam (sebuah terbitan tak berkala 2 oleh Fakulti Pengajian Islam UKM pada tahun 1997). Beliau seorang ahli sains matematik-fizik yang telah turut sama terlibat dalam Malaysian Research and Development Classification System 4th telah melihat realiti yang dihadapi oleh majoriti umat Islam apabila mempelajari ilmu dari Barat tanpa kritis atau, dengan kata lain, menerima bulat-bulat atau hanya sebagai pengguna bukan pencipta.

Dalam kesempatan ini, penulis akan menauladani soal peri penting tentang pengetahuan berlakunya paradigma dalam kajian sains dan teknologi. Usaha beliau supaya umat Islam menyedari dan mengetahui keparadigmaan dalam sains dan teknologi membawa beliau kepada penerjemahan buku oleh Kuhn tersebut. Bagi penulis, usaha beliau dapat dikatakan lanjutan kepada usaha tokoh-tokoh seperti, antaranya, yang dilakukan oleh mantan Mufti Mesir Syaikh Muhammad Bakhit al-Muti‘i dan Tuan Haji Awan Din. Dan, sepatutnya sikap ini diambil perhatian oleh umat Islam yang prihatin.

Kali ini, penulis akan membawa pembaca ke satu titik kefahaman penting yang berlaku di kalangan ulama yang belajar di al-Haramain yang menyentuh keparadigmaan dalam sains astronomi sekalipun beliau tidak menyebutkannya dengan perkataan paradigma. Tetapi sebenarnya maksudnya adalah sama. Ulama tersebut bernama Hj. Awan Din bin al-Marhum Mat Hasan (dari Yala, Thailand) yang merupakan sahabat seperguruan Tuan Guru Hj. Abdullah (Lubok Tapah). Hj. Awan diasuh dalam ilmu falak oleh Syaikh Daud bin Sulaiman al-Kalantani di Makkah. Karya Haji Awan Din yang penting berjudul Muqaddimah al-Ha`iah (Pengantar Astronomi) yang diselesaikan pada malam Rabu. 14hb. Jamadil Thani. 1389H/1969M. Berikut disebutkan topik-topik yang terdapat di dalamnya: Pendahuluan, Keterangan Langit, Keterangan bagi Kedudukan Matahari dan Bumi, Bulan dan Bintang, Keterangan Jarak Jauh dan Dekat bagi Segala Bintang Yang Tujuh, Keterangan Bumi dan Kedudukannya, Keterangan Memusing Bagi Bumi dan Dalilnya, Keterangan bahawasanya Bumi Beredar Mengelilingi akan Matahari, Keterangan Jirim Bumi dan Keterangan Jirim Bulan.

Ilmu Hisab

Falsafah matematik dalam bahasa Melayu terungkap dalam ‘Alam al-Hussab fi ‘Ilm al-Hisab karya Sheikh Ahmad Khatib Minangkabawi. Berikut kenyataan beliau:

“Tatkala ada ilmu hisab tinggi darjat kerana tiada terkahaya daripadanya tiap-tiap manusia pada ketika mukimnya dan tiada pula pada ketika musafirnya kerana segala manusia berkehendak kepada makan dan minum dan ibadah dan tiap-tiap sesuatu daripada demikian itu masuk di dalamnya hitungan.”

Mantiq
Seperti yang tersurat dalam Zahrah al-Murid fi Bayan Kalimat al-Tauhid(tahun 1178H) karya Sheikh ‘Abd al-Samad Falimbani, para guru jelas diperlukan kefahaman mantik dan sedia diketahui pengajian mantiq secara talaqqi (berguru) dalam dunia pondok-pesantren yang berabad-abad lamanya. Mantik aliran ini ditambah dengan logik kala (temporal modaliti) yang pernah dikaji oleh Nicholas Rescher berdasarkan al-Risalah al-Shamsiyyah karya al-Katibi al-Qazwini. Kitab ini serta kitab mantik pascanya pernah dijadikan teks antaranya, oleh Sheikh Daud bin Sulaiman al-Kalantani (w.1979). Logik kala ini melibatkan ruang dan masa dan peristiwa-kejadian alam-fenomena alam. Jadi, pemikiran ulama Melayu bukan semata-mata dibina oleh aliran Aristotle. Malah, terbina hasil sintesis pelbagai aliran yang terdapat dalam pemikiran Islam antarabangsa.[30]

Khatimah
Pengislaman Sains-Ilmu-Pengetahuan-Scientia yang dilalui penulis adalah berdasarkan karya-karya sama ada yang tebal atau nipis yang ditulis oleh ulama Melayu. Ini perlu bagi memperlihatkan aspek-aspek logik kefalsafahannya dalam fikiran umat Islam di rantau ini. Memang ilmu yang tidak dikembangkan pada asalnya dalam wadah Islam agak kurang bersepadu sifatnya dengan tauhid yang dipegang umat Islam. Jadi, ulama Islam serta hukama’nya telah menyaring mana-mana pemikiran-pemikiran yang berada dalam pengetahuan manusia di peringkat antarabangsa amnya dan di peringkat Alam Melayu khususnya. Sekalipun penulis pernah terbaca bahawa orang-orang Melayu cenderung bersifatkan estetika namun estetika yang terisi dalamnya aspek rasional dalam sajak atau peribahasa atau puisi malah mengandungi juga potensi ilmiah yang halus dalam menerangkan aspek logik dan falsafah sains.

Dalam kertas kerja ini, secara jelas, dipaparkan pengetahuan terpusat pada tauhidillah yang terangka padanya maratib ruh-fikiran dan seumpamanya dengan kerasionalan falsafah [(al-hikmah)] memperuntukkan HUKUM ‘ADAT yang memberi pertimbangan menurut maqulatiyyah (kekategorian) - sebagai contoh menerima bekas secara majazi sahaja – dalam penakrifan masa, ruang, perilaku jasad samawi dan hisab yang semuanya itu dipertimbangkan menerusi logik-tambahkemasaandan ruang.

Jadi, pemikiran ulama Melayu yang boleh didapati dalam kitab-kitab jawi rasional-tauhidi yang memungkinkan kita semua membina sains yang berparadigmakan Alam Melayu. Sekalipun negara-negara di Alam Melayu atau Asia Tenggara terdiri dari masyarakat majmuk tetapi kerasionalannya boleh terakui oleh masyarakat lain jika diperkayakan. Wallahu a‘lam.

Tamat: 6:49 pagi; 18hb. Okt. 2008M.


Lampiran

Shahidan Radiman meneliti bahawa:
‘kenyataan Ibn Rushd tentang occasionalisme (kesempenaan) ini sekarang terbukti salah/meleset apabila hasil penemuan mekanik kuantum menunjukkan bahawa occasionalisme ini berlaku yang menunjukkan sifat (attribute) kezarahan atau kegelombangan sesuatu zarah itu terpisah dari jirim tersebut dan hanya muncul apabila dilakukan sesuatu pengukuran/pencerapan terhadap jirim itu’.

Pandangan yang kedua
adalah pandangan Abu Hasan Asshaari yang menyatakan bahawa alam semesta itu sendiri tidak mempunyai kewujudannya yang berterusan (perpetual existence) . Seperti yang dihurai oleh Majid Fakhry pandangan Asshaari ini “ Universe does not have a perpetual, established existence and reality. Nor do things have essential qualities of themselves. God creates the universe anew every moment and direct it continuously by ordering each thing to do what it must do. “ Kita lihat bahawa pandangan asShaari ini lebih mirip kepada pandangan pada tahap Kuantum, di mana alam serba –serbi “chaotic” dan tidak deterministik ( dari pandangan manusia) malah jirim sendiri bersifat dualistik.

Timbulnya metafizik dalam Fizik bermula dengan persoalan dan paradoks dalam Mekanik Kuantum ) termasuk persoalan asas (foundational problems) sehingga diperlukan falsafah sebagai prinsip pnerokaan ( guiding principle). Contohnya, apabila John Bell menerbitkan Teorem bell nya pada tahun 1964 , David Bohm, salah seorang peneroka Interpretasi Bohm-Hiley (Bohmian Mechanics) dalam Mekanik Kuantum menginterpretasi teorem tersebut kepada 3 perkara ( lihat ……..: (i) everything in the Universe is a kind of total rapport, so whatever happens is related to everything else (nonlocal) (ii) there is some kind of information that can travel faster than the speed of light dan (iii) it may mean that our concept of space and time have to be modified in someway that we don’t understand them. Sehingga kini ketiga-tiga pandangan tersebut sedang dikaji dan dibuktikan. Dalam hal (i) , Geoffrey Chew telah mencadangkan konsep “bootstrap” dalam teori hadron yang menyatakan zarah-zarah asas terkait dengan yang lain ( sekarang ini kita tahu ini adalah satu sifat ”asymptotic freedom” dalam teori Kromodinamik Kuantum ). Ibn Arabi, contohnya dalam Fusus al Hikam ada menyebutkan ” Every particle of the world is from the whole of the world. That is, every single particle is capable of receiving into itself all the realities of all the other single
particles of the world”. Adakah Ibn Arabi bersetuju dengan kenyataan Bohm ke (ii) ? Malah kenyataan (i) merupakan Prinsip Mach yang sudah terbukti sekarang (secara teori dan ujikaji) bahawa inersia semua jirim mendapat sumbangan dari semua jisim di seluruh alam semesta !

Salah satu Interpretasi Mekanik Kuantum yang mempunyai nilai metafiziknya tersendiri adalah interpretasi Everett-Wheeler. Interpretasi inimenyatakan bahawa semua jalan laluan kepada sesuatu peristiwa kuantum wujud , tetapi apabila sesuatu pengukuran dibuat iaitu satu penentuan peristiwa sudah dilakukan , maka hanya jalan laluan (alam selari) yang menghasilkan peristiwa yang diukur itu yang masih kekal dan alam-alam selari yang lain menghilang (terpadam, dalam alam mithal ?). Menurut David Deutsch salah seorang pendokong interpretasi alam selari ini, “ The real world is the multiverse and it does contain many universes. The point that theorists tend to miss is that the multiplicity of reality is not or even primarily a consequence of quantum theory. Rather, it is quite simply an observed fact.”. Jadi, alam-alam selari ini bukanlah disebabkan oleh “pandangan teori kuantum” tetapi sesuatu yang boleh dicerap dan berlaku secara semulajadi.



[1]          Lihat May Brodbeck, “The Nature and Function of the Philosophy of Science”, dlm. Herbert Feigl & May Brodbeck, Readings in The Philosophy of Science. New York: Appleton-Century-Crofts, Inc. 
[2]          Lihat Mohd Zaidi Abdullah, “al-‘Ilm, al-Maqulat dan al-Hikmah Dalam Pemikiran Ulama Melayu: Satu Penelitian Awal”, AFKAR: Jurnal Akidah dan Pemikiran Islam, bil. 6, 1426H/2005M. Analisis bahasa seperti ini juga diterima pakai oleh al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah dalam Risalah Persediaan Bagi Sekalian Mukallaf. cetakan penulis sendiri. Pasir Mas Kelantan. Penulis mendapat kebenaran (ijāzah) mengajarkan risalah ini.
[3]          Lihat Sheikh Zain al-Abidin bin Muhammad al-Fatani, ‘Aqidah al-Najin fi ‘Ilm Usul al-Din, hlm. 5, tt.
[4]          Maklum berbentuk hipotesis ini, penulis terima daripada Prof. Shaharir dalam bentuk sms pada 4:22, 27hb. April. 2008.
[5]          Antara ciri-norma TIHAM ini didapati dalam Manifesto: Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengamalan Islami, hlm. 204-208. Shah Alam: Kurnia Ilham, DPF dan DDB Enterprise. 2006
[6]          Lihat http://en.wikipedia.org/wiki/Science.
[7]          Guru utama beliau ialah Pak Chik Wan Daud dan Sheikh Muhammad Ali al-Maliki.
[8]          Ini dapat dibuktikan dalam Mishkat al-Anwar karya Imam Ghazali yang pernah dipetik oleh al-Raniri dalam Asrar al-Insan.
[9]          Penulis sendiri terlibat dengan perusahaan perubatan tradisional yang dimiliki oleh keluarga serta berupaya membaca sendiri kitab-kitab jawi yang mengandungi peraturan perubatan tradsional.
[10]         Al-Burhanfuri, Tuhfah al-Mursalah ila al-Nabiyy s.a.w. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah, cetakan pertama. Tahun 2005. cetakan ini disertakan terjemahan dalam jawi dan ditransliterasikan oleh Wan Mohd Shaghir.
[11]         Lihat tulisan ini dalam bentuk transliterasi dalam Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, Manhalush Shafi Syeikh Daud al-Fathani: Membicarakan Rumus-Rumus Shufi dan Istilah-Istilah Tasawwuf, hlm. 37-38. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyyah & Imatera Publishers Sdn. Bhd. Penulis juga memiliki Manhalus al-Shafi dalam bentuk tulisan tangan yang bersumberkan Tuan Guru Hj. Abdullah Lubok Tapah yang menyalin daripada naskhah Sheikh Muhammad Shalih Idris al-Kalantani.
[12]           Othman Puteh (penyelenggara), Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa, hlm. 136-159. KL: Dewan Bahasa dan Pustaka.
[13]         Tokoh ini juga mem dipengaruhi aliran India daripada Sheikh Abd al-Rahman Karim Bakhsh dan aliran Mesir daripada Sheikh Muhammad ‘Ali al-Maliki. Aliran Mesir akan terjejak pada pemikiran Sheikh Hasan al-‘Attar yang penulis kemukakan sebahagiannya dalam Nafas Baru Hikmah al-Ishraqi.
[14]         Alhamudillah buku ini laris jualannya dan kehabisan stok di pasaran. Mendapat kata sokongan daripada Tuan Guru Hj. Abdullah Lubok Tapah, Tuan Guru Hj. Hashim Pasir Tumboh, Ustaz Ambak Terengganu dan Ustaz Abdul Aziz Andik Achuk Selangor. Buku ini sedang dikemaskinikan untuk edisi baru. Insha Allah, bakal diterbitkan pada tahun 2009.
[15]         Disertakan salinannya dalam lampirannya.
[16]         Dalam sains dan teknologi moden, perulangan keputusan yang sama amat penting bagi mengukuhkan sesuatu teori.
[17]         Sama dengan yang terdapat dalam al-Durr al-Thamin, hlm. 9 dengan sedikit perbezaan.
[18]         Lihat kertas kerja Shahidan Radiman bertajuk Fizik dan Metafizik: Jembatan Yang Dihurai Sufisme dan Mekanik Kuantum dibentangkan di Wacana Hadhari, 14hb. Julai. 2008.
[19]         Harus diperhatikan bahawa dalam kesempatan ini penulis merujuk suatu pengertian umum yang dikemukakan Wikipedia Ensiklopedia, falsafah sains adalah kajian tentang asumsi, asas dan implikasi dari sains.
[20]         [20] Lihat kitab agak terawal yang berjudul Bidayat al-Hidayat (syarah matan Umm al-Barahin) karya yang diberikan nota tepi oleh Sheikh Ahmad Zain al-Fatani.
[21]         Lihat Mohd Zaidi Abdullah, Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi, hlm.  147-149. Shah Alam: Kurnia Ilham
[22]         Lihat Ibn Khaldun, al-Muqaddimah.
[23]         Abdul Kadir Wangah Sekam, Mabda’ al-Fikrah .
[24]         Pemikiran Imam Ghazali (w.505H/1111M) terumus melalui tasawuf-kalam-falsafah-mantik-berpusatkan epistemologi. Kalam zaman Ash’ari agak ringkas serta merupakan asas penting kepada pengembangan kalam di kemudian hari. Asas sains kealaman yangberteraskan tauhid adalah sebuah risalah terkenal Ash‘ari bertajuk Risalah al-Khaud fi ‘Ilm al-Kalam.

[25]         Untuk mengenali tokoh ini serta buah fikirannya, sila baca Mudasir Rosder, Asas Tauhid, hlm. 53-59. Setakat tinjauan penulis, kajian tentang al-Īji amat kurang. Di Malaysia, antara yang melakukan kajian berkenaan sebahagian pemikiran tokoh ini ialah Mohd Zaidi Ismail (ISTAC).
[26]         Untuk penerangan yang lebih mudah, sila baca hlm. 209-214. Kajian tentang masa dari aspek lain, sila baca Malay Perception of Time oleh Asmah Haji Omar, terbitan Akademi Pengajian Melayu U.M., cetakan pertama 2000.
[27]         Untuk mengetahui tentang masa dari perspektif falsafah China, Jepun, Tibet; Lihat dalam Oliver Leamen, Key Concepts in Eastern Philosophy, hlm. 263-265.
[28]         Maksud falasifah dalam penulisan ulama silam ialah falasifah dari mazhab Peripatetik bukan Ishraqiyyun.
[29]         Ramai tokoh ulama pada zamannya berguru kepada beliau. Sila baca, Silk al-Durar oleh al-Muradi.
[30]           Lihat kajian yang bakal diterbitkan Mantik-Hikma Pasca Imam Ghazali oleh penulis yang pernah dibentangkan dalam Bengkel Pengislaman dan Pemeribumian Sains anjuran ASASI.