ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Ajaran sesat Bertopengkan Tasawuf/Tareqat Suatu Penyelesaian

Ajaran Sesat Bertopengkan Tasawuf/Tariqat Suatu Penyelesaian

Fenomena ajaran sesat sememangnya wujud sejak berzaman dan di kalangan masyarakat, ianya berkembang dan wujud disebabkan pengaruh luaran bukan Islam dan juga salah faham dalam memahami agama Islam.

Fenomena ajaran sesat harus diambil perhatian serius kerana ianya dapat menggugat kesucian Islam, mengancam perpaduan masyarakat Islam dan kemungkinan mengancam keselamatan negara.

Definisi ajaran sesat (Suatu pengajaran atau fahaman dan amalan yang dibawa oleh orang Islam dan bukan Islam yang mendakwa ianya berdasarkan kepada ajaran Islam atau ianya tidak berdasarkan kepada ajaran Islam tetapi sebenarnya fahaman tersebut berlawanan dengan al-Quran dan as-Sunnah )

Dengan memahami perkara tersebut antara fahaman utama yang dikatakan sesat dalam negara hari ini ialah ialah fahaman Batiniah, Wahabi, Syiah, Anti Hadis, Sekularisme, Pluralisme dan Penggunaan Akal Mengatasi Nas. Iaitu fahaman-fahaman yang bertentangan dengan al-Quran, as-Sunnah dan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah .

Penulis ingin memfokuskan kepada ajaran dan fahaman sesat yang bertopengkan tasawuf Dan tariqat yang berlaku dalam negara dan kalangan masyarakat. Masyarakat masih keliru mengenai ajaran sesat yang membabitkan golongan bertopengkan tasawuf/tariqat.

Punca Dan ciri-cirnya
Kewujudan ajaran sesat bertopengkan tasawuf/tariqat sememangnya mengelirukan dan membawa implikasi persepsi negatif kepada ilmu dan kerohanian Islam antara tuduhan, fitnah dan wujudnya penyelewengan. Ini kerana tasawuf/tariqat merupakan roh Islam dan mendapat kedudukan yang utama dalam Islam. Justeru ianya sentiasa diambil peluang oleh musuh-musuh Islam untuk menyelewengkannya sama ada kalangan umat Islam dan bukan Islam. Sama ada mempunyai agenda tertentu atau disebabkan tidak berpaksi kepada fahaman Ahlul Sunah Waljamaah.

Pentingnya mengetahui dan memahami faktor yang membawa kepada penyelewengan berkaitan ilmu tasawuf/tariqat iaitu :

guru yang mengguna dan berselindung disebalik nama tariqat yang muktabar, pendakwaan sebagai guru, tidak mempunyai keizinan daripada disiplin ilmu tersebut, kejahilan, mempunyai kepentingan peribadi dan anasir mengguna jin dan seumpamanya.
Murid yang jahil ilmu agama, inginkan jalan ringkas menuju ilahi, terpedaya perwatakan guru, dibomohi dan inginkan karamah.
Propaganda media yang membawa persepsi negatif sehingga kepada kesemua amalan tasawuf/ tariqat yang sahih.
Golongan pengingkar tasawuf/tariqat yang mengambil kesempatan melemahkan hal kerohanian lsam serta tidak berpaksi kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Tiada rujukan dan pilihan bagi masyarakat untuk mengikuti jalan kerohanian yang sahih dan daripada golongan yang arif.


Implikasi daripada mengikuti jalan yang terseleweng ialah taksub membabi buta, kejahilan, mengasingkan diri dengan hanya bersama kelompok mereka, mencerca ulama dan kitab tasawuf/tariqat yang sahih, meninggal syariat, memuja guru, merosakkan akidah, memecahbelahkan masyarakat, menyatakan orang lain salah dan mencemarkan kesucian Islam.

Implikasi kepada tasawuf/ tariqat yang sahih ialah persepsi negatif dan keliru kepada kebenaran tariqat/tasawuf, melemahkan umat Islam, memecahbelahkan umat Islam, memudahkan manipulasi dan propaganda kalangan golongan yang bukan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan musuh-musuh Islam dan mencemarkan kesucian Islam.

Tindakan dan jalan penyelesaian
Menjadi kewajipan pihak bertanggungjawab kepada kesucian Islam demi kemurnian akidah, kebenaran tasawu/tariqat dan demi perpaduan ummah mengambil tindakan secara agresif dan efektif iaitu dengan memahami puncannya, memahami ilmunya, memahami permasahan, merujuk kepada ulama yang arif dan sumber Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam mencari kebenaran dan tindakan penyelesaian serta kepentingan tindakan undang-undang bagi membanteras penyelewengan.

Di sini juga betapa pentingnya konsep muzakarah terbuka, penerangan dan tindakan undang-undang bagi mencari penyelesaian. Sudah sampai masanya golongan yang arif hal kerohanian Islam, tasawuf/tariqat di Malaysia bergabung di bawah satu kesatuan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta membina jaringan dengan ulama yang arif yang berpaksi kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Iaitu bagi menyelesaikan permasalahan dengan merujuk kepada ahlinya.

Begitu juga menjadi tanggungjawab mereka yang terlibat dalam keilmuan tasawuf/tariqat tampil memberi penjelasan dan penerangan serta kepentingan media dalam memberi maklumat yang sahih dan juga memberi alternatif jalan yang sahih dan diakui bagi pilihan masyarakat.

Dengan wujudnya kesatuan kalangan yang arif mengenai keilmuan tasawuf/tariqat akan dapat mempertahankan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah masyarakat Malaysia, menangkis golongan sesat yang bertopengkan tasawuf/tariqat dan bagi menangkis ajaran-ajaran sesat lain yang menyusup ke dalam masyarakat Islam seperti ajaran-ajaran sesat yang berkonsep batiniah, wahabi, syiah, pluralisme, liberalisme, anti hadis dan seumpamanya.

Rujukan bahan yang berpaksi kepada fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah hendaklah diperbanyakkan dan disebarkan bagi tatapan masyarakat serta pentingnya merujuk kepada orang yang arif dari kalangan ahlinya.

Kesedaran terhadap kepentingan kebenaran tariqat /tasawuf yang merupakan roh ajaran Islam dan tuntutan agama, rahsia kekuatan dan peradaban umat Islam perlu dipertahankan dan diperkasakan serta diperkembangkan kepada umat Islam. Sememangnya penyelewengan terhadap kesucian Islam adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam dan pihak yang bertanggungjawab.