ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Cop mohor di dunia Islam

Kepentingan cap mohor di dunia Islam

Cap Mohor Engku Biru
Kelantan
1910 Masihi / 1328 Hijrah


CAP mohor merupakan salah satu cara pengesahan yang dilakukan oleh individu dengan meletakkan tanda khas yang mempunyai nama mereka selain tanda tangan.

Ia telah digunakan oleh tamadun terdahulu sejak zaman sebelum Islam lagi sebagai salah satu simbol kuasa. Dalam tamadun China, maharaja mempunyai beberapa jenis cap mohor.

Cap mohor diraja ini akan dikurniakan kepada beberapa pegawai empayar yang menjalankan perintah maharaja seperti jeneral yang mengetuai sesebuah pasukan tentera.

Dalam sejarah Islam, cap mohor telah digunakan sejak zaman Rasulullah s.a.w. Pada tahun 628 Masihi, sewaktu baginda ingin menulis surat kepada Maharaja Byzantium mengenai seruan Islam, baginda telah dimaklumkan bahawa Maharaja Byzantium hanya akan membaca surat yang mempunyai cap mohor.

Oleh itu, Rasulullah telah menggunakan satu cap mohor yang mempunyai ukiran perkataan 'Muhammaad Rasulullah' pada surat baginda.

Cap mohor direka dalam pelbagai bentuk dan gaya. Ia tidak mempunyai bentuk atau perkataan tertentu yang perlu digunakan. Ia terpulang kepada si pemilik untuk menentukan bentuk dan teks cap mohor yang dikehendaki. Dalam kebanyakan cap mohor yang dimiliki oleh pemerintah Islam, tulisan kaligrafi yang menunjukkan nama, gelaran dan tahun telah digunakan untuk cap mohor individu.

Teks bagi cap mohor selalunya diukir terbalik supaya ia meninggalkan kesan susunan teks yang betul selepas dicap di atas kertas dan boleh di baca.

Dalam bahasa Melayu perkataan cap dikatakan berasal dari perkataan India chapp, sementara mohor dipercayai berasal dari perkataan Parsi muhr. Kedua-dua perkataan ini membawa maksud sesuatu yang telah dimeterai.

Terdapat dua bentuk cap mohor yang sering digunakan oleh pemerintah iaitu cap rasmi yang bersaiz lebih besar dan diletakkan dalam bekas khas dan disimpan oleh raja atau pegawai istana yang paling dipercayai seperti setiausaha istana.

Satu lagi jenis cap mohor yang dihasilkan ialah berbentuk cincin. Cap berbentuk cincin lebih bersifat persendirian dan boleh dibawa ke mana sahaja kerana ia dipakai oleh pemiliknya. Cap berbentuk cincin selalunya bersaiz lebih kecil dan dalam bentuk seperti bulat, bujur dan segi empat.

Cap mohor boleh dibuat daripada beberapa bahan berlainan seperti logam atau kayu dan batu permata berharga dan separa berharga.

Sewaktu zaman awal Islam, kebanyakan cap mohor diperbuat daripada batu permata berharga dan separa berharga seperti batu kristal, batu jed, batu garnet dan batu zamrud.

Batu-batu permata yang telah siap diukir dalam bentuk yang dikehendaki biasanya dijadikan sebagai batu cincin ataupun loket kepada sipemilik. Bagi logam, perak dan tembaga banyak digunakan sebagai cap mohor. Di dunia Melayu, kayu juga digunakan dalam pembuatan cap mohor.

Dalam zaman pertengahan Islam, selain raja, cap mohor juga banyak digunakan oleh para pembesar, penulis dan juga peniaga. Ini dapat dilihat di atas manuskrip Islam dan dokumen rasmi empayar Islam yang dipamerkan di muzium-muzium. Antara dokumen yang menggunakan cap mohor ialah dekri diraja, dokumen kerajaan seperti berkaitan dengan tanah dan wakaf, sijil perkahwinan, karya kaligrafi dan manuskrip.

Cap mohor mempunyai banyak fungsi dan ia dapat menjelaskan kepada penyelidik peranan yang dimiliki oleh pemiliknya. Jika cap mohor raja terletak di atas dekri, ia dilihat sebagai orang yang memiliki kuasa dan mengeluarkan perintah. Jika cap mohor digunakan dalam dokumen sewa beli, ia dilihat sebagai akuan bayaran oleh orang yang telah membayar dan orang yang menerima bayaran. Di atas sijil perkahwinan Iran, saksi selalunya meletakkan cap mohor mereka dengan rasa gembira sebagai saksi kepada satu ikatan perkahwinan. Tetapi jika perkahwinan tersebut gagal dan pasangan terpaksa bercerai, saksi yang meletakkan cap mohor mereka di atas sijil perkahwinan akan memadam atau mengoyakkan cap mohor mereka.

Bagi sesebuah manuskrip Islam, cap mohor dilihat sebagai tanda hak milik penulis ataupun pengarangnya. Ini banyak ditemui pada manuskrip dari Iran dan Turki. Kadangkala terdapat cap mohor di bahagian tepi teks manuskrip. Ia menunjukkan penambahan nota atau isi kandungan yang dilakukan oleh individu yang meletakkan cap mohornya di bawah nota tersebut.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia, koleksi cap mohor batu separa berharga seperti batu karnelian, kristal dan jed dipamerkan di galeri mata wang manakala koleksi cap mohor Melayu terdapat di galeri Dunia Melayu

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

Utusan Malaysia: