ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Cabaran akademia muda dalam membudayakan kesarjanaan


DUNIA akademik menjadi semakin mencabar khususnya kepada akademia atau pensyarah muda apabila kerajaan berusaha membangunkan sektor pendidikan tinggi negara ke arah berdaya saing setanding institusi pengajian tinggi ternama dunia, di samping meningkatkan penarafan global terhadap universiti tempatan.
Akademia muda tidak boleh lagi berpeluk tubuh, sebaliknya perlu menyiapkan diri menghadapi cabaran yang bukan saja bercorak tempatan malah global sifatnya.

Persoalan di sini ialah bagaimana membentuk seseorang akademia muda yang cemerlang dan berdaya saing tinggi itu?

Sebelum menjawab persoalan itu, akademia muda perlu berpegang kepada prinsip cintakan ilmu. Malah cintakan ilmu dalam erti kata menguasai ilmu atau menjadi autoriti dalam sesuatu sumber ilmu tidak kira sama ada dalam sains sosial atau sains tulen.

Pemerhatian yang dapat dilihat di kalangan akademia muda kini adalah mereka lemah dari segi penguasaan teori dan falsafah sesuatu ilmu. Mereka tidak gemarkan teori dan falsafah. Ini menyebabkan penguasaan ilmu tidak lengkap dan gagal menjelaskan serta menerangkan fenomena kejadian dan situasi sebenar sesuatu permasalahan dalam kajian.

Tindakan kerajaan memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dilihat sebagai usaha murni Kementerian Pengajian Tinggi mewujud dan memantapkan penyelidikan di kalangan akademia tempatan khususnya akademia muda dalam menguasai ilmu khususnya dari segi teori dan falsafah.
Namun, kaedah memupuk dan mempertingkatkan penguasaan ilmu akademia muda bukan suatu yang boleh dicapai dalam jangka masa singkat. Namun, ia perlu dicapai melalui perancangan teliti dan sistematik semua pihak, termasuk kementerian, universiti dan individu yakni setiap akademia muda terbabit.

Kegagalan perancangan itu dilihat mampu membawa budaya kelesuan di kalangan akademia muda seterusnya melemahkan fungsi universiti sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi negara.

Dalam menangkis kelemahan itu dan berusaha ke arah melahirkan tenaga akademia muda yang cemerlang dan berilmu, suatu elemen pencerahan perlu diserapkan di setiap institusi pengajian tinggi negara sama ada di sektor awam mahupun swasta.

Elemen pencerahan itu boleh dilihat dari segi dua faktor yakni makro dan mikro. Faktor makro lebih mengkhusus kepada dasar pendidikan tinggi negara. Misalnya, kerajaan memperkenalkan program MyBrain 15 dalam usaha melahirkan seramai 60,000 tenaga akademik, terutama sekali akademia muda bertaraf kedoktoran, PhD.

Niat itu amat murni dalam mempertingkatkan kualiti universiti tempatan. Malah matlamat universiti meletakkan syarat yakni 60 peratus tenaga akademik di setiap universiti harus memiliki PhD juga menyumbang kepada dasar murni kerajaan.

Namun persoalannya ialah apakah strategi yang dilakukan untuk mencapai dasar itu pada peringkat universiti? Adakah pencapaian pelaksanaan dasar mencerminkan matlamat dasar yang dibentuk?

Selain itu, adakah dengan memperoleh PhD sudah dapat diterjemahkan sebagai mencapai tahap penguasaan autoriti ilmu seperti seharusnya dijadikan matlamat di setiap universiti tempatan. Memperoleh PhD tidak lebih dijadikan matlamat awalan berbanding matlamat ulung ke arah penguasaan ilmu. Cabaran sebenar ialah dalam membentuk pemupukan atau membudayakan kesarjanaan atau keintelektualan setiap universiti tempatan.

Inilah cabaran sebenar akademia muda kini. Mereka harus bebas mencari dan menguasai ilmu. Kebebasan akademik amat penting untuk dilaksanakan dalam usaha mencapai matlamat itu. Universiti harus menjadi pasar idea yang mana ilmu itu diperbincang dan diperdebatkan secara terbuka, kritikal, analitikal dan menyeluruh.

Budaya kesarjanaan ini, walaupun wujud di universiti tempatan namun terhad sifatnya. Yang jelas, kejayaan pelan strategik yang dibentuk Kementerian Pengajian Tinggi yakni dalam usaha merubah minda secara drastik dalam pendidikan tinggi amatlah bergantung kepada pembentukan dan kejayaan pelaksanaan budaya kesarjanaan ini.

Sementara itu, kejayaan budaya kesarjanaan juga disumbang oleh faktor mikro bagi elemen pencerahan tadi. Faktor mikro banyak bersangkutan dengan nilai kendiri setiap akademia muda terbabit. Mereka seharusnya mempunyai matlamat dan minat menjadikan diri mereka sebagai tenaga akademik cemerlang khususnya dalam melahirkan karya penulisan asli yang bermutu tinggi.

Langkah kerajaan menggalakkan akademia muda menghasilkan karya dalam jurnal berimpak tinggi seperti dalam senarai indeks SCORPUS dan ISI adalah tepat dalam menggalakkan budaya penulisan. Akademia muda juga harus mampu menjadi penyelidik berkaliber dalam menghasilkan kajian dan perundingan yang boleh dimanfaatkan negara secara keseluruhannya.

Hasil penulisan dan penyelidikan itu boleh dimanfaatkan dari segi penyebaran ilmu melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Maka kebergantungan akademia tempatan terhadap sumber luar khususnya dari Barat, dapat dikurangkan kerana akademia tempatan sendiri mampu menjadi sumber berautoriti bagi sesuatu ilmu.

Di samping itu, proses jaringan perhubungan luar amatlah penting dan harus diperluaskan. Ini boleh dilakukan dengan galakan kerajaan dan usaha akademia muda membabitkan diri sebagai pembentang kertas kerja dalam persidangan berimpak tinggi di dalam dan luar negara. Lagi banyak membentangkan kertas kerja, lagi baik. Ini bukan saja mendedahkan akademia muda kepada proses jaringan kesarjanaan, malah mampu mempersiapkan mereka dalam menghadapi dunia akademik yang lebih mencabar khasnya dari aspek pengantarabangsaan. Penyebaran ilmu kepada masyarakat awam juga boleh dilakukan melalui proses ini.

Jelas sekali, apa yang penting buat masa ini ialah akademia muda harus mematangkan diri dalam dunia pilihan mereka yakni dunia akademik. Mereka harus fokus, dinamik dan berdedikasi dalam kerja akademik, terutama dalam usaha menguasai ilmu dan disiplin tertentu.

Sokongan dan dokongan juga harus diberikan oleh akademia veteran terhadap proses kematangan itu, bukannya menyekat dan mendiskriminasi kerana bimbangkan kedudukan mereka terancam. Akademia muda juga perlu diberikan ruang dan fokus mempersiapkan diri bagi menguasai ilmu dan sekiranya dapat dikurangkan gangguan dari segi kerja pentadbiran.

Oleh itu, akademia muda yang berkualiti dan pengiktirafan yang diperoleh dari dalam dan luar negara ialah akademia yang bukan saja mempunyai PhD, malah terlatih dari segi penulisan, berkemahiran dalam penyelidikan dan mampu menterjemahkan penguasaan ilmu ke dalam proses pengajaran, pembelajaran dan jaringan perhubungan.

Penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu juga penting bagi proses penguasaan ilmu selain bahasa asing lain. Jadi, dasar murni yang dibentuk kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi akan gagal sekiranya dasar itu tidak dapat diterjemahkan secara berkesan pada peringkat universiti dan terhadap setiap akademia muda.

Akademia muda mempunyai cabaran besar untuk dihadapi dalam usaha merealisasikan matlamat pencerahan dan kecemerlangan pendidikan tinggi negara pada masa depan.

Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani : Penulis ialah Pengerusi Program Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) 2010/12/09 Utusan Malaysia