ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Semenanjung Tanah Melayu

Semenanjung Tanah Melayu sebenarnya jauh lebih luas, iaitu meliputi daripada pulau Singapura di bahagian selatan hinggalah ke utara di segenting Kra yang di bawah wilayah Negara Thai dan Myanmar pada hari ini

Pada masa dahulu, semenanjung Tanah Melayu turut meliputi wilayah Segenting Kra yang kini termasuk di dalam wilayah Negara Thai dan Myanmar. Penduduk di Negeri Patani bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan (Yawi) sementara penduduk Melayu daripada wilayah Setul hinggalah ke Rundung dan Pulau Dua (Kawthoung) di dalam wilayah Myanmar pada hari ini bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah. Penduduk Melayu di kawasan ini bukanlah pendatang, sebaliknya merupakan kaum pribumi yang telah menduduki kawasan ini sejak zaman berzaman, iaitu warisan daripada Kerajaan Srivijaya dan Langkasuka. Sebahagian daripada maklumat ini boleh dirujuk pada laman sesawang http://sejarahnagarakedah.blogspot.com/ danhttp://patanibook.blogspot.com/.

Anglo-Siamese Treaty, 1909, yang dibuat antara British dengan pihak Thailand telah memisahkan sama sekali semenanjung Tanah Melayu kepada dua bahagian. Perjanjian ini dibuat tanpa melibatkan perbincangan dengan Raja-raja Melayu di negeri-negeri yang berkenaan. Wilayah-wilayah milik Melayu daripada Patani, Singgora, Setul hinggalah ke segenting Kra telah diakui British sebagai hak milik Thai.

Ketika era pemerintahan Phibun Songkram, Perdana Menteri Thai pada tahun 1938, dia telah menukar nama Negara Siam kepada Prathet Thai/Thailand. Secara umumnya, Thailand bermaksud “Negara Bagi Orang-orang Bebas”, tetapi secara metaforiknya, ia bermaksud “Tanah Orang-orang Thai”. Phibun Songkram memerintah secara kuku besi dan berhasrat menjadikan Thailand sebuah negara kesatuan berdasarkan kepada budaya Kaum T’ai dan agama Buddha Theravada. Kaum-kaum minoriti termasuklah Melayu telah dipaksa untuk “menjadi Thai” melalui pemaksaan dasar Thai Ratthaniyom.

Selain daripada itu, nama-nama tempat yang berbaur Melayu di kawasan segenting Kra juga telah diubah kepada sebutan dalam Bahasa Thai. Di bawah ini dinyatakan kembali nama sebenar antara sebahagian kawasan-kawasan di bahagian selatan Siam dalam Bahasa Melayu yang telah di’Thai’kan untuk peringatan dan rujukan kita semua serta generasi akan datang khasnya.


Phuket (Bukit). Nama lain ialah Tongkah.

Thalang (Tanjung Salang)

Yala (Jala)
Betong (Betung)
Bannang Sata (Benang Setar)
Raman (Reman)
Kabang (Kabae / Kabe)
Krong Pinang (Kampung Pinang)

Narathiwat (Menara)
Tak Bai (Tabal)
Rueso (Rusa)
Su-ngai Kolok (Sungai Golok)
Su-ngai Padi (Sungai Padi)
Tanyongmat (Tanjung Mas)

Buketa (Bukit Tar)

Pattani (Pantai Ini)
Sai Buri (Selindung Bayu @ Teluban)
Yaring (Jaring)
Krue Sae (Gersik)
Panare (Penarik)
Yarang (Jarang @ Binjai Lima)

Songkhla (Singgora) bermaksud ‘Bandar Singa’
Chana (Chenok)
Na Thawi (Nawi)
Thepha (Tiba)
Saba Yoi (Sebayu)
Ranot (Renut)
Sadao (Sendawa)

Samila Beach (Pantai Bismillah)

Satun (Setul)

Khuan Don (Dusun)

Phang Nga (Pungah). Ada sumber lain mengatakan daripada nama 'Kuala Bunga'.

Ko Similan (Pulau Sembilan)

Ko Panyee (Pulau Panji)

Ko Phi Phi (Pulau Pi Ah Pi)

Takua Pa (Kupa)

Phattalung (Bedalong / Merdelong)


Trang (Terang)


Ranong (Rundung)


Krabi (Ghraibi)


Chaiya (Cahaya)


Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja / Bandar Sri Raja Dharma). Nama lama bagi negeri ini ialah ‘Tambralingga / Ligor’.

Tenasserim (Tanah Seri). Di dalam wilayah negara Myanmar (Burma) pada hari ini.

Pada hari ini, Kaum Melayu hanya masih menjadi majoriti di Negeri Setul, empat daerah di Negeri Singgora iaitu Tiba, Chenak, Sebayu dan Nawi serta di Negeri Patani (Hari ini telah dipecahkan kepada Patani, Yala dan Narathiwat). Hanya masyarakat di wilayah-wilayah ini sahaja yang masih mampu bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek tempatan. Sementara masyarakat Melayu Islam di wilayah asal Melayu lainnya disebabkan menjadi kaum minoriti, kebanyakannya telah berintegrasi dengan kaum Thai dan tidak mampu lagi untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Hanya agama Islam sahaja yang menjadi petunjuk mereka merupakan keturunan Melayu. Walaubagaimanapun, masyarakat Melayu di wilayah Pulau Dua (Kawthoung), Myanmar, masih lagi bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah pada hari ini.

Tidak ramai yang tahu di dalam wilayah Ranong (Rundung), Thailand, terdapat sebuah Batu Tanda yang amat penting kerana menyimpan satu lipatan sejarah besar yang berkaitan dengan masyarakat Melayu dan Siam di zaman silam. Batu Tanda tersebut (sebagaimana gambar di atas) dinamakan sebagai Ban Malayu di Thailand yang bermaksud sempadan Melayu. Ia merupakan tempat yang paling sempit antara bahagian timur dengan bahagian barat Segenting Kera, iaitu kira-kira 45 kilometer sahaja. Soalannya, bagaimanakah tanda sempadan Melayu ini boleh didirikan ratusan kilometer daripada wilayah sempadan Malaysia-Thailand pada hari ini?
(Didalam buku ‘
Ikhtisar Sejarah Kelantan’ oleh Abdul Razak Mahmud memasukkan foto beliau di sempadan Tanah Melayu (Dan Malayu).


Jawapannya boleh dirujuk kepada maklumat sejarah di zaman silam. Jika dirujuk kepada sejarah, wilayah Segenting Kera merupakan sebuah kawasan yang amat penting kerana menjadi saksi kepada kemunculan dan perkembangan awal tamadun Melayu menerusi beberapa buah Kerajaan utama seperti Langkasuka dan Sri Wijaya (Sri Wijaya sebenarnya berasal dari tanah Semenanjung, akan diterangkan dalam penulisan yang akan datang). Wilayah ini juga menjadi pertembungan beberapa siri peperangan dan perebutan wilayah antara orang-orang Melayu dengan pendatang T’ai yang berhijrah dari Yunnan, China, secara berterusan iaitu sejak dari era Kerajaan Sukothai, Ayutthaya, hinggalah kepada Dinasti Chakri pada hari ini.

Pencerobohan pertama pendatang T’ai terhadap Segenting Kera bermula pada kurun ke-13 dan 14 dimana gerakan ketenteraan Bangsa T’ai ini telah bertembung dengan tentangan daripada beberapa buah negeri Melayu pasca-Sri Wijaya, termasuklah Grahi (Kra), Negara Sri Dharmaraja (Nakhon Si Tammarat), dan Cahaya (Ch’aiya). Pertempuran demi pertempuran telah dicatatkan dalam “Yuan-Shih”, sejarah rasmi bagi Dinasti Yuan di China. Yuan-Shih telah mencatatkan dalam Titah Diraja (Imperial Decree) pada tahun 1295 yang mengarahkan gencatan senjata antara Hsien (Siam) dengan Ma-li-yu-erh (Melayu). Bagi mengecam orang T’ai, titah tersebut menyatakan “Memandangkan kamu Hsien telah menimbulkan peperangan dengan Ma-li-yu-erh selama ini, kini kamu mesti mematuhi titah ini dan berjanji tidak akan mengganggu Ma-li-yu-erh lagi”. Hsien (Siam) telah diharamkan daripada memasuki sempadan alam Melayu yang ditetapkan oleh Maharaja Dinasti Yuan pada garisan Petchburi-Ratchburi, berdekatan dengan kota Bangkok pada masa sekarang.

Segenting Kra diteruskan oleh Raja-raja Ayutthaya. Antara Raja-raja Ayutthaya yang agresif membuat serangan terhadap negeri-negeri Melayu di Segenting Kra ialah Ramadhiraja, Naresuan, Maha Chakrapat, Prasat Thong, Narai dan Petra Raja. Peperangan yang paling terkenal antara Melayu dengan Siam semasa era Ayutthaya ini sudah tentu mengenai Sultan Muzaffar Syah (Raja Patani 1530-64) yang berjaya menewaskan tentera Siam di tempat sendiri dan menawan istana dan singgahsana Raja Maha Chakrapat (Raja Ayutthaya 1548-68). Dan diteruskan dengan peperangan antara Raja Ungu binti almarhum Sultan Mansur Syah (watak utama dalam filem Queen of Langkasuka) dengan Raja Prasat Thong. Ketika inilah meriam terbesar di Nusantara iaitu Sri Negara, Sri Patani dan Mahalela dibuat yang berakhir dengan kemenangan di pihak Melayu menewaskan armada Siam.

Malang bagi nasib masyarakat Melayu-Kelantan di daerah Tabal (Tak Bai) apabila mereka kini termasuk ke dalam wilayah Narathiwat, Thailand. Jika para pembaca ada melalui sempadan Malaysia-Thailand pada hari ini menerusi Bukit Kayu Hitam ataupun Sungai Golok, ingatlah sesungguhnya sempadan wilayah milik kita sebenarnya menganjur jauh hingga ke utara Segenting Kra pada masa dahulu. Kita di Malaysia pada hari ini sebenarnya hanya mewarisi separuh daripada wilayah asal semenanjung Tanah Melayu.