ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Mahabbah Rasulullah


Mahabbah Rasulullah SAW

Mahabbah memberi pengertian kasih sayang dan kecintaan. Iaitu kecenderungan dan keasyikan hati kepada sesuatu yang berpusat di hati. Alamat yang menyatakan sesorang itu mempunyai mahabbah ialah ianya sentiasa mengingat dan mungkin sentiasa menyebut sesuatu atau orang yang dikasihinya.

Mahabbah Rasulullah merupakan tuntutan agama dan merupakan prasyarat dalam memahami dan menghayati kalimah syahadah. Kasih kepada Rasulullah merupakan intipati sebagai seorang Muslim kerana tanpa mahabbah terhadap Rasulullah tiada guna ibadatnya dan kurang sekali kerana agamanya tiada hadam atau mengecapi hakikat ad-Din. Inilah intisari kepada syahadah. Dalam konteks mahabbah kepada Rasulullah ialah sentiasa mengingatinya dengan berselawat dan mengikuti ajarannya. Bahkan mahabbah terhadap Rasulullah merupakan yang paling utama berbanding orang lain sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: (Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga ianya kasih kepadaku lebih dari ianya mengasihi terhadap dirinya, keluarganya dan manusia lain)
Dan firman Alllah Taala yang bermaksud: (Nabi SAW terlebih utama disisi orang mukmin daripada mereka sendiri).

Baginda Rasululllah SAW merupakan makhluk terbaik dan paling mulia yang dijadikan sebagai utusan Allah, makhluk pertama, pembawa rahmat, ikutan terbaik dan insan kamil serta pemberi syafaat. Amat menghairankan sekiranya seseorang tiada mahabbah dan menganggap Rasulullah adalah insan biasa sesungguhnya orang tersebut tiada adab dan tiada faham agama dalam konteks ahli sunnah waljamaah.

Sabda Rasulullah SAW ( Sesiapa yang kasihkan daku maka sesungguhnya dia kasihkan Allah dan sesiapa mentaati daku maka sesungguhnya dia mentaati Alllah)

Apabila seseorang mempunyai mahabbah secara auotomatik ianya kasihkan Allah Taala jua.
Firman Allah Taala yang bermaksud ( Katakanlah sekiranya kamu kasihkan Allah maka ikutlah orang yang dikasihi Allah)

Dan firman Allah Taala yang bermaksud (Sesungguhnya diri Rasulullah merupakan ikutan (qudwah) terbaik.)

Seseorang yang mencapai mahabbah sudah pasti juga akna dipacu untuk kasihkan ahli bait, para sahabat, para solihin, para auliya’ para ulama dan sesama manusia dan juga makhluk.

Bagi mencapai mahabbah terhadap Rasulullah tidak dapat tidak ialah dengan berbanyak selawat. Kerana selawat merupakan perkara sunnah dan dikategorikan sunnah darjat pertama yang menjadi wasilah bagi seseorang muslim yang ingin menyucikan hati dari kekotoran maknawi. Dengan hati bersih suci akan memacu kehadrat ketuhanan serta bagi mencapai makam hamba dan mukmin sejati.

Hadis Qudsi:
(….. dan sentiasalah hambaku mendampingiku dengan mengerjakan amalan sunat sehingga daku kasihkannya…)
inilah rahsia untuk mencapai makanm tersebut.

Sabda Rasulullah SAW: ( Sesiapa yang berselawat kepada ku sekali Allah Taala akan memberikannya ganjaran sepuluh kali ganda, sesiapa yang berselawat kepadaku sepuluh kali Allah taala akan memberi ganjarannya seratus kali dan sesiapa yang berselawat kepadaku seribu kali nescaya akan dijauhinya sentuhan api neraka).

Barakallah begitu mulianya mereka yang berselawat dan mahabah Baginda Rasulullah SAW. Bahkan menjadi fardu Ain bagi insan muslim agar mempunyai mahabbah serta merupakan wasilah kepada mahabbah Ilahi keranan tanpa mahabbah Rasulullah tiadalah gunanya seseorang itu di muka bumi ini. Wassalam.