SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH -
Bukti Islam tidak mengguna kekerasanPagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Constantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang, dan nasyid. Demikian gema kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Sekali gus gema itu seolah-olah satu serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Penduduk Constantinople seperti tidak percaya kekuatan tentara Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki, dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditembusi oleh tentera Muhammad al-Fateh?
Suatu yang menakjubkan, tentera Sultan Muhammad al-Fateh telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat! Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Uthmaniah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosphorus ke Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Sedangkan mereka terpaksa melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak yang melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka bahawa tentera al-Fateh mendapat bantuan jin dan syaitan!
Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad al-Fateh ini? Beliau ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiah Othmaniyah. Beliaulah pembuka kota Constantinople atau yang dikenali hari ini sebagai Istanbul. Ketika itu beliau baru menjangkau usia 26 tahun. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Keadaan inilah yang pernah dibayangkan oleh baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Antara lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.”
Sultan Muhammad al-Fateh ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah 10 tahun meninggal dunia. Beliaulah pemerintah Islam pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai “Grand Seigneur” yang bermaksud pemimpin agung. Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi dan dibesarkan di Adirnah. Ayahnya, Sultan Murad II merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Othmaniyah yang masyhur. Ibunya dikatakan seorang puteri raja berketurunan Nasrani. Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian ayahnya, Sultan Muhammad al-Fateh dilantik menjadi pemimpin kerajaan Uthmaniah iaitu pada bulan Februari 1451. Dengan pelantikan ini bermakna beliau merupakan seorang pemimpin termuda yang pernah dilantik. Walaupun baru berusia 22 tahun, beliau berjaya membawa kecemerlangan dalam pemerintahannya. Kekuatan Sultan Muhammad al-Fateh banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Hal ini demikian kerana ketika usianya kecil lagi sudah diajar menunggang kuda, memanah, dan menggunakan pedang. Namun didikan rohani mendapat perhatian serius dan dorongan penuh daripada ayahnya.
Beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terulung antaranya ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani. Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fateh ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, fiqh, linguistik (bahasa Arab, Parsi, dan Turki), dan juga ilmu kemahiran yang lain. Melalui tarbiah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah lahir peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fateh.
Di zamannya tariqat sufi di dokong dan tasawuf berkembang subur serta pusat-pusat tariqat diberi dana bantuan, dimana beliau mengetahui bahawa golongan inilah roh bagi umat Islam.
Sultan Muhammad al-Fateh banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Constantinople. Beliau sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Sebab itu ketika menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Dalam hal ini, beliau banyak mengkaji sejarah Islam zaman Muawiyah bin Abi Sufian r.a. Waktu itu telah ada usaha-usaha yang dibuat ke arah menawan Constantinople.
Usaha pertama yang pernah disusun adalah pada tahun 44 Hijrah, walau bagaimanapun usaha berkenaan gagal. Abu Ayyub al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat nabi, syahid di medan perjuangan itu. Setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fateh menawan Constantinople, beliau telah memerintahkan tenteranya mencari kawasan perkuburan Abu Ayyub al-Ansari. Padanya, Abu Ayyub perlu disempurnakan jenazahnya sebagai seorang sahabat nabi. Setelah ditemui, Sultan Muhammad al-Fateh meminta supaya kuburnya digali dan dipindahkan ke tempat yang lebih baik. Setelah digali, akhirnya mereka menemui bahagian kakinya terlebih dahulu.
Di sini Sultan Muhammad al-Fateh memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari yang fizikalnya masih segar itu. Walau bagaimanapun, beliau gagal menciumnya kerana tatkala hendak mencium tiba-tiba sahaja kaki itu tertarik semula ke dalam tanah. Kejadian itu berlaku berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad al-Fateh bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub al-Ansari. Abu Ayyub al-Ansari menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rasa malu dan hormat kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Padanya, tidak layak orang yang telah berjaya menawan Kota Constantinople mencium kakinya. Selain itu, beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman Rasulullah s.a.w. dalam peperangan. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Namun, Sultan Muhammad al-Fateh mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran, dan semangat tidak putus asa ayahnya. Bahkan beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.
Di sini ternafilah tohmahan golongan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam bahawa beliau menegakkan Islam dengan kekerasan. Walhal mata pedang digunakan sebagai jalan terakhir. Tujuan orientalis itu hanyalah untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam. Dr. Abd. Salam bin Abd Aziz dalam bukunya yang bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh Pembuka Constantinople Menundukkan Rom, menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fateh memiliki keyakinan diri yang kuat. Selain itu, dia juga mempunyai pandangan jauh serta kepintaran yang tinggi. Malah Sultan Muhammad al-Fateh mampu menghadapi tekanan, keperitan, dan bebanan yang dihadapinya. Beliau seorang pemuda yang warak. Malah, jarang sekali beliau menunaikan solat, melainkan di masjid. Sultan Muhammad al-Fateh digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman.
Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Oleh sebab itu, hidangan makanan dan cara berpakaiannya tidak terikat dengan peraturan-peraturan istana. Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Sultan Muhammad al-Fateh juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah. Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople.
Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka. Sepanjang pemerintahannya, beliau tidak lupa membangunkan aspek fizikal dan rohani rakyatnya. Beliau telah membina Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque. Selain itu, beliau juga telah memulihkan semula peranan Masjid Aya Sofia sebagai mercu dan syiar Islam di Turki. Sultan Muhammad al-Fath meninggal dunia pada bulan Mei 1481 dan jenazahnya dikebumikan di Kota Constantinople.