ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Risalah Untuk Kaum Muslimin: al-Attas

"Risalah Untuk Kaum Muslimin", by Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Published 2001 by International Institute of Islamic Thought & Civilization in Kuala Lumpur (ISTAC). Written in Malay.

Pengenalan

"Risalah untuk Kaum Muslimin ini adalah catatan kata lisan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1973, ketika beliau bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Mahaguru Penyandang Kerusi Bahasa dan Kesusasteraan
Melayu dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti itu.

Sedang Kaum Muslimin di merata dunia menderitai masalah kekeliruan mengenai Islam yang semakin meruncing, Risalah ini mengemukakan pandangan-pandangan Profesor al-Attas yang cukup berdaya-asli dalam maksud membimbing Kaum Muslimin ke jalan yang benar. Sebab utama terjadinya keadaan buruk Kaum Muslimin dewasa ini, menurut beliau, adalah kejahilan masyarakat Muslim itu sendiri mengenai Islam secara yang
menyeluruh. Iaitu, Islam sebagai agama yang sebenarnya yang mampu melahirkan peradaban yang luhur lagi agung, yang mampu menghasilkan ilmu-ilmu Islamiah yang tiada taranya dalam sejarah manusia.

Kejahilan mengenai Islam itulah yang telah melenyapkan kesedaran akan tanggungjawab
individu dan kaum Muslimin terhadap amanah ilmu dan akhlak, dan seterusnya memerangkap mereka dalam pelbagai macam kekeliruan ilmu dan penyelewengan amal, hingga mereka terus terbelenggu pada rantai penjajahan pemikiran Kuasa-Kuasa Besar Dunia masakini."


ULASAN RINGKAS

1. Risalah Untuk Kaum Muslimin’ (Risalah) merupakan sebuah karya berkonsepsi warkah atau risalah (surat); menyelami penderitaan kaum muslimin, bukan derita fizikal, akan tetapi derita jiwa akibat kekeliruaan diri yang berakar daripada penyelewengan dan salah faham tentang Islam dan pandangan hidup. Risalah ini sememangnya penting dan wajar dijadikan santapan akal bagi yang berhajat mengislah diri dan masyarakatnya, bukan sahaja bagi bangsa ini (Melayu Nusantara), bahkan Muslimin sedunia kerana permasalahan yang yang terhurai di dalamnya (Risalah) itu berkenaan masalah kekeliruan mendalam yang sama dideritai oleh kaum muslimin di serata dunia.


2. Gaya penyampaian dalam bentuk perbandingan antara tamadun Islam dengan Tamadun lain khususnya Barat telah berjaya mengetepikan hegemoni Tamadun Barat yang diagung-agungkan itu daripada tetapan minda (mind setting) pembaca.74 perenggan yang merangkum perbahasan dan hujah, yang disandarkan kepadanya dalil-dalil akliah (lojik) dan nakliah (al-Quran dan as-Sunnah) yang termuat dalam Risalah ini perlu diteliti dan ditekuni tanpa terlepas pandang walau satu pun ayat kerana kesinambungannya yang merantai. Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas (al-Attas) telah berjaya menggarap permasalahan ummat dengan begitu baik serta menyantuni semua aspek kehidupan dan ketamadunan sesuai denagn konsep pandangan alam Islami. Pandangan dan tilikannya bersifat malar hijau; bernas dan tetap releven merentasi zaman.


3. Menurut al-Attas, tindanan masalah dan kerumitan jiwa orang Islam sekarang adalah sebenarnya akibat tiga aspek yang saling berpautan ; akibat kejatuhan maruah diri dan kedangkalan ilmu dan akhirnya kekurangan iman (rujuk perenggan dua). Islam pada hakikat batinnya tiada tersentuh oleh pencabulan masa dan kekaburan ataupun perubahan seperti yang telah berlaku pada agama dan falsafah yang lain. Akan tetapi pada hakikat zahirnya Islam itu ditayang kepada dunia oleh penganutnya. Al-attas mengumpamakan penganut agama Islam seumpama ‘cermin bidal tamsil’ yang menangkap sinar mentari Islam yang terang benderang itu. Namun cermin yang kusam dan kelam dikabuti debu tetap tak dapat memantulkan sinaran cahaya benderang yang dipancarkan kepadanya. Bagi yang jahil dalam kalangan manusia maka akan terungkaplah dalam persepsi akliah mereka bahawa cahaya benderang (Islam) itulah yang kotor dan kusam, bukannya cermin (segelintir penganut agama Islam). Kekeliruan dan tanggapan palsu ini memang nyata ada dan berjaya mengecutkan hati Muslimin yang lemah dan menggoncang imannya. (Rujuk perenggan 3)


4. Merujuk kepada perenggan 9-11, al-Attas mula membawa pembaca mengenali sifat-sifat asasi dalam kebudayaan Barat; yang menjadi domain dalam tamadun dunia hari ini.Huraian-huraian dalam perenggan ini merupakan rentetan daripada perenggan 7 yang mengimbas kembali titik mula penyelewengan dalam agama Kristian yang cuba memadamkan cahaya Islam sebelum kemunculan Guru Agung, Nabi Muhammad S.A.W lewat pengetahuan mereka tentang agama yang hak ini (Islam) ini melalui kitab-kitab yang ditanzilkan kepada nabi-nabi mereka. Kebudayaan Barat mengalami era evolusi dan mula memakai doktrin sekular dek kerana banyak memeluk tradisi perbendaharaan turun temurun, kesenian, falsafah, ilmu sains dan teknologi yang mendasari kehidupan mereka. Pemungkiran daripada kepercayaan terhadap agama diperkukuhkan lagi oleh kekecewaan dalam pengalaman beragamakan kristian yang tidak berhasil menatijahkan keyakinan melainkan waham (ilusi) dan wasangka. Perihal ini dihuraikan oleh al-Attas dengan pengenalan kepada faham kebangsaan dan humanisme dalam kerangka kebudayaan Barat yang akhirnya mengangkat agama sebagai ‘alat negara’ semata-mata.


5. Perenggan 12 hingga 20 merujuk kepada aspek pandangan alam yang bersifat paling asas; berkaitan ‘logos’ yang merujuk kepada pengertian faham dalam perspektif agama, ilmu dan keadilan. Dalam kerangka pemahaman Islam, agama ialah Tanzil daripada Tuhan yang hak (Allah) kepada manusia yang dilangsungkan dengan perantaraan wahyu kepada Nabi dan Rasul. Ini berbeza sekali dengan faham agama yang selain daripadanya di mana mereka menganggap agama sebagai sehimpunan kepercayaan tahyul ataupun satu pihak lagi berpendapat agama sebagai rekaan yang membentuk pendapat dan peraturan yang disusun manusia untuk mengawal kesejahteraan komuniti dan negara.


6. Perenggan seterusnya (perenggan 21) sehingga perenggan 31 membicarakan aspek-aspek terbitan daripada aspek-aspek asas pandangan alam; kebudayaan dan kedudukan agama, kebebasan, akhlak dan amalan akhlakiah, serta perubahan, pembangunan, dan kemajuaan. Aspek-aspek ini diulas oleh al-Attas dalam kolumni perbandingan antara Islam dan Kebudayaan Barat. Antara buah hasil daripada kebobobrokan kebudayaan barat ialah jurang generasi dan krisis identiti. (rujuk perenggan 32). Keadaan ini berlaku atas sebab ketiadaan nilai-nlai utuh yang dapat menjawab persoalan-persoalan seperti “siapa aku?”, “apa tujuan hidupku?" dan sebagainya. Justeru, generasi muttakhir merasa mereka tak perlu terikat dengan budaya tradisi kerana yang tradisi itupun belum tentu kenal dirinya, lalu mengambil budaya lain; celupan–celupan unsur luaran yang dirasakan sesuai sedang mereka tidak mengetahuinya.


7. Permasalahan krisis identiti yang berlaku (dalam Tamadun Barat) seperti yang disebutkan dalam perenggan 32 itu dijawab oleh Tamadun Islam melalui penonjolan personaliti dan karektor agung, Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Al-Attas memperjelaskan tentang nilai-nilai murni akhlak Islamiyah yang terpancar melalui didikan Rabbani dan rerelevensinya terhadap seluruh lapisan masyarakat; tanpa sebarang dekonstruksi perspektif bagi kedua-dua generasi. Rasulullah S.A.W juga dirujuk sebagai manusia yang menjadi contoh sempurna bagi seluruh kaum Muslimin malah bagi seluruh keturunan Islam dari saat pertama mula menjelma Ummat Islam hingga ke akhir zaman.


8. Satu aspek penting ketamadunan iaitu, bahasa turut dipolemikkan al-Attas. Dalam hal ini beliau ada menyifatkan Bahasa Arab selaku bahasa universal yang mampu meresap dan merencanakan istilah-istilahnya ke dalam bahasa yang di dampinginya; sebagai contoh Bahasa Melayu, Bahasa Parsi dan juga Bahasa Turki. Bahasa Arab yang juga dirujuk sebagai Bahasa Al-Quran juga mempunyai nilaian yang cukup bermakna dalam istilah-istilah yang digunapakai. Sebagai contoh, istilah ‘alam’ terbentuk daripada perkataan alamat (tanda/ciri-ciri yang memberitahu tentang sifat sesuatu yang dirujuk) yang berakar pada kata ‘ALM, yang juga merupakan kata akar bagi perkataan ilmu. Alam boleh kita tafsirkan sebagai tanda-tanda atau ciri-ciri yang merujuk kepada sesuatu perkara sehingga jelas kepada kita apakah dia perkara yang dirujuk (makna perkara itu). Dan ilmu memang merujuk kepada sesuatu makna sesuatu kerana ilmu adalah perolehan diri akan makna sesuatu. Dengan itu, nampak jelas bahawa ada kesinambungan antara maksud alam dan ilmu yang berakar daripada perkataan yang sama (‘ALM) yang membawa pengertian tanda-tanda yang memberi makna kepada sesuatu yang dirujuk. Secara keseluruhannya, signifikasi istilah alam ini merujuk kepada tanda-tanda kewujudan dan kekuasaan Tuhan dan untuk memperoleh hakikat ketuhanan, perlu melalui jalan ilmu.


9. Berbincang soal bahasa pastinya akan bersangkutankesusasteraan dan kesenian (rujuk perenggan 40-49).Pasti sahaja perbahasan bahasa ini terserlah perinya dalam Peradaban Islam. Menurut al-Attas, secara zahirnya, mungkin dapat kita menerima adanya faham-faham dalam Islam yang seakan-akan sama dengan yang terdapat dalam Kebudayaan Barat mengenai falsafah perihal rasa-seni terhadap keindahan dan kecantikan, mengenai kesusasteraan dan keseniaan (rujuk perenggan 40), namun yang ditolak dalam hal ini ialah beberapa faham asasi yang berkaitan dengan tujuan dan peranan kesusasteraan. Yang jelas bertentangan dengan Islam ialah faham perubahan dasar (rujuk perenggan 36 dan 45).


10. Dalam perenggan 46, al-Attas membawa pembaca memperjelas persepsi terhadap ‘adab’. Al-Attas menyatakan bahawasanya adab itu terbahagi kepada dua aspek; pengenalan dan pengakuan. Pengenalan bermaksud memberi takrifan kepada ‘sesuatu’ berdasarkan haknya manakala pengakuan bermaksud meletakkan ‘sesuatu’ itu sesuai dengan pengenalannya. Secara mudahnya, pengenalan itu ilmu dan pengakuan itu amal. Bak kata pepatah Arab dan Melayu, ilmu tanpa amal ibarat pokok tak berbuah. Sekiranya tercabut salah satu daripada dua aspek tadi, maka tidak akan muncul apa yang dikatakan sebagai adab itu. Selain itu, penting untuk kita fahami bahawa adab tidak terbatas kepada sesama manusia sahaja, malah dengan haiwan, tumbuhan, alam, harta benda; semua jenis makhluk (ciptaan) dan yang paling utama dengan al-Khaliq (pencipta). Justeru, golongan beradab tidak akan sewenangnya mencabuli dan menindas hak orang lain, mengeksploitasi hasil bumi secara rakus kerana tamakkan wang, dan melanggar perintah Tuhan dalam hal ibadah mahupun muammalah.


11. Faktor-faktor dalaman yang mengakibatkan kegentingan bagi Kaum Muslimin mula dibicarakan secara tertumpu dan panjang lebar dalam perenggan 50 hingga 69.Al-Attas merumuskan sebab-sebab yang menimbulkan masalah kegentingan yang mengharungi Kaum Muslimin ada tiga perkara mengikut gilirannya masing-masing iaitu yamg pertama, kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu yang mengakibatkan keruntuhan adab dalam kalangan Kaum Muslimin. Kekeliruan faham ilmu dan keruntuhan adab akhirnyamenjelmakan kewibawaan dan ini merujuk kepada para pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab pimpinan yang sah dan tidak mencapai taraf kepimpinan yang dikehendaki dalam Islam. Pemimpin lemah inilah yang mengekalkan terjadinya kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab sekaligus menjamin produktiviti kepimpinan sepertinya. Turut disentuh oleh beliau ialah mengenai golongan modernis atau pembaharu Islam yang berniat untuk memurnikan semula ajaran Islam daripada unsur-unsur luaran yang menyerang, namun tanpa disedari, disebabkan ketidak kukuhan ilmu, menyebabkan mereka terhimbau dengan unsur yang mereka serang. Perbalahan yang ditimbulkan oleh golongan ini menayangkan kelemahan mereka dalam pelbagai aspek, songsang dengan dakwaan sebagai ‘pembaharu agama’; hakikatnya mereka sangat jauh ketinggalan daripada golongan pemikir dan ilmuan agung, para mujtahidin yang ketinggian ilmu mereka tak dapat ditandingi, apatah lagi oleh golongan muttakhir yang mendakwa diri mereka sebagai golongan ‘tajdid’ (pembaharu).


12. Dalam perenggan-perenggan penghujung Risalah ini(perenggan 70-74), al-Attas cuba menyedarkan Kaum Muslimin tentang faham akal dan peranannya serta gabungjalinan antara keupayaan akal dengan penghayatan naqal (wahyu). Juga, turut disentuh tentang sekularisme dan sekularisasi (proses pensekularan). Al-Attas menganggap akal bukanlah suatu fakulti yang boleh diremeh-temehkan dan bukan juga satu fakulti yang boleh diagung-agungkan sehingga melampaui had upayanya. Seyogianya, akal dilihat sebagai suatu anugerah Tuhan nan Maha Bijaksana yang memberi keupayaan yang hebat namun terhad supaya manusia sedar akan kelemahan dan kekerdilannya di hadapan Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Dalam Peradaban Barat, akal dilihat sebagai sebuah entiti yang bersifat ratio (rasional) yang akhirnya menyuburkan sekularisasi. Ini berbeza dengan Peradaban Islam yang meletakkan akal sebagai entiti integretasi bersifat ratio dan intellectus, yang mana akal ini; ratio dalam hal-hal jasmaniah dan intellectus dalam hal-hal rohaniah.

13. Kesimpulannya, ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ sememangnya sebuah karya yang cukup releven dengan keadaan Kaum Muslimin hari ini dan akan datang. Ia sepatutnya ditatapi oleh setiap Muslim dan idea-ideanya perlu diperluas dan diperkembangkan lagi bagi memulihkan pandangan alam Ummat Islam yang telah sekian lama terhimpit.


Maklumat Pengulas :-
Nama : Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Alamat e-mel : fazrilsaleh@yahoo.com
http://peminggirkota.blogspot.com/2009/03/risalah-untuk-kaum-muslimin-ulasan.html