ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

GERAKAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYU DIPELOPORI ULAMA’



GERAKAN KEMERDEKAAN TANAH MELAYU DIPELOPORI ULAMA’.
Gerakan ini bermula tahun 1511 setelah Melaka jatuh ketangan Portugis.Semangat juang dan jihad dipelopori oleh Ulama sebagai pembangkit kesedaran perjuangan kemerdekaan tanah Melayu sejak berzaman.

Perjuangan kemerdekaan bermula 1511-1957 menjangkaui masa hamper 450 tahun sama ada jihad persenjataan dan secara organisasi. Karya-karya klasik membuka kesedaran dan semangat juang dan siasah seperti Sulatus Salatin, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah. Penjajahan tanah Melayu bermula dengan Portugis, Belanda, British, Siam, Jepun dan British. Antara ulama pejuang kemerdekaan seperti Maulana Yusuf di Melaka dahulu, seterusnya antaranya Tokku Paloh, Kiyai Fadhil, Sheikh Abdul Samad al-Palembani, Tok Janggut, Tok Gajah, Abdullah Fahim, Raja Haji, Ab. Rahman Limbong, Sheikh Mohamad Said al-Barsisa, Sheikh Daud al-Fatani, Sheikh Wan Mustafa, Sheikh Abdul Qadir Kedah dan ramai lagi.

Syeikh Ahmad al-Fatani seorang ulama serba boleh 'versatil' dan seorang tokoh Islah dalam pembentukan sosial Islam di alam Melayu. Beliau merupakan Ulama pengkader dan penggerak perjuangan ilmu dan kemerdekaan akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 ialah Syeikh Ahmad al-Fatani yang menubuhkan organisasi secara tersusun Jam’iyyah Fataniyyah tahun 1873 di Mekah. Mekah pada masa tersebut menjadi pusat keilmuan dan pengkader para pejuang tanah Melayu secara tersusun. Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada bangsa dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah. Gerakan secara organisasi ini dan perkongsian maklumat dan kader ini bagi kembali berjuang di tanah Melayu melalui dakwah, penyebaran ilmu, institusi pendidikan, siasah dan tadbir dan organisasi di tanah Melayu.

Syeikh Ahmad al-Fatani berasa sedih kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia) dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian.Syeikh Ahmad al-Fatani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan.

Syeikh Ahmad mengambil berat tentang urusan siasah ummah dalam maksud yang luas terutama yang menyentuh tentang anak bangsanya sendiri. Sheikh Ahmad tiada terhenti sebagai seorang ulama yang dikerumuni oleh penuntut-penuntut, bahkan beliau membina hubungan dengan raja-raja Melayu dan mengambil tahu tentang berkembangan yang berlaku di tanah airnya. Dikatakan jasad di Mekah jiwanya rohnya di alam Melayu.

Beliau Menyediakan kerangka bekerja secara berpersatuan dengan dimulai oleh beliau iaitu menubuhkan Jam‘iah al-Fataniyyah di Mekah, yang merupakan organisasi Melayu yang pertama. 
Beliau Membuka jalan berfikir yang subur dan bijaksana untuk menerima perubahan dan kemajuan secara luaran dan mengekalkan fahaman aqidah dan pengamalan feqah dan Tasawuf berdasarkan kerangka ASWJ menurut faham al-Quran dan Sunnah. Beliau menekankan roh Islamiah dan kepentingan faham ASWJ menurut manhaj Asyairah, pengamalan Fiqh mengikut manhaj Syafei dan pengamalan Tasawuf mengikut manhaj Tariqat dan beliau sendiri adalah pengamal Tariqat as-Syatariyyah.
Beliau juga menyediakan pemikiran yang strategik dalam menghadapi cabaran, dan bukan bergantungan kepada kekuatan atau kekerasan semata-mata.
 Beliau Menitik beratkan kesedaran tentang kepentingan keilmuan dalam pelbagai bidang, memartabatkan bahasa dan sejarah bangsa. 
Beliau juga telah memainkan peranan meniupkan semangat mencintai agama, bangsa dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.
Syeikh Ahmad sangat menekankan kepada penguasaan ilmu dan kepandaian yang meliputi segala bidang dan strategi politik yang berkesan sebagai wasilah perjuangan. Syeikh merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di alam Melayu.
Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fatani dapat dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniyah. 

Kalam beliau diterjemahkan dari bahasa Arab:"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."
 (Tashil Nail al-Amani). 

Syeikh Ahmad al-Fatani telah menukilkan ilmu Siasah dengan katanya:
'Pada bicara ilmu siyasah iaitu ilmu membaikkan rakyat dengan menunjukkan kepada jalan yang melepaskan mereka itu daripada tiap-tiap kekeruhan pada dunia dan pada akhirat. Dan iaitu daripada anbiya atas khawas dan awam pada zahir dan batin mereka itu dan daripada segala raja-raja dan salatin atas mereka itu pada zahir mereka itu jua. Dan daripada ulama atas khawas mereka itu pada batin mereka itu. Maka hanyalah ilmu ini wujub kifayah dan ghayahnya menceraikan segala perbantahan atas jalan sebenar dan merentahkan mereka itu atas jalan adil dan menghelakan mereka itu kepada segala yang manafaatkan mereka itu pada dunia mereka itu dan akhirat mereka itu dan memelihara kerajaan daripada segala barang yang menjatuhkan dia ke dalam kecederaan.'

Kata-kata Syeikh Ahmad al-Fatani:
 ‘Ilmu Tarikh itu daripada sebesar-besar segala ilmu kadarnya dan terlebih cemerlangnya, didalam segala kelam, tercengang itu qamarnya, member faedah ia akan yang mempunyainya, akan cerdik dan tajam penilikkannya ia atas segala mereka yang semasanya dan sama taranya, dan mendapat ia akan beberapa martabat yang tinggi didalam dunianya, bahkan membawa kepada manfaat bagi ukhranya kerana dengannya lah jadi caraca bagi tolannya bagi afkar dan dengan dia pula dapat mengambil iktibar dan dengan dia diketahuikan segala hawadis didalam segala masa dan didalam cerminnya, terlihat barang yang mentadwinkan dia oleh segala mereka yang dahulu daripada ulum dan sonai, dan nyatalah dengan dia oleh barang yang tersembunyi daripada segala ehwal kurun yang telah lalu dan sekalian khabar segala negeri dan barang yang didalamnya daripada asar dan manafi’.
(Hadiqah al-Azhar)

Kini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-56 tahun, sejarah perjuangan ulama dan pejuang nusa harus diambil iktibar dan peringatan bagi menyemai semangat jatidiri Melayu Islam.