Peranan Institusi Raja
RAJA
SEMBILAN negeri di Malaysia kekal berada di bawah payung
naungan Raja. Institusi Raja telah wujud lebih enam abad dan telah berakar umbi
di bumi ini. Perlu difahami bahawa penduduk di negeri-negeri beraja di alam
Melayu, menganggap mereka menetap bukannya dalam wilayah sempadan geografi
mengikut tradisi Eropah, tetapi hidup tertakluk kepada kesetiaan di bawah
payung naungan Raja.
Istilah Kerajaan berasal daripada perkataan Sanskrit
Ke-Raja-An; mengandungi istilah Raja,
bermaksud rakyat yang tertakluk kepada seorang Raja Pemerintah. Sembilan Raja
Pemerintah yang masih kekal bertakhta adalah pewaris pemerintahan di negeri
masing-masing.
Sesungguhnya sistem beraja telah
menjadi benteng penghalang dari memudahkan imperialis British melakukan
penjajahan mutlak; British sekadar berupaya memperkenalkan sistem Residen,
satu bentuk penjajahan tidak langsung atau pemerintahan de facto yang masih
mengekalkan kedaulatan Raja Melayu.
British, terpaksa mengadakan rundingan dengan setiap Sultan,
dan hanya berupaya melakukan penjajahan secara mencantumkan
perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.
Ketika merangka formula membentuk kerajaan merdeka, Yang
Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) amat menghayati, bahawa
sistem pemerintahan berteraskan Raja terlalu berharga dan terlalu bernilai
untuk ditiadakan. Tanah Melayu yang merdeka telah memilih untuk memeterai
sistem pemerintahan beraja yang kekal segar dengan menjelmakannya dalam bentuk
dan acuan kontemporari.
Institusi Raja diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Lalu diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang
menggabungkan institusi Raja dengan institusi rakyat, berasaskan konsep Raja
Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah
baru, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni.
Raja, termaktub dalam Perlembagaan diwujudkan berasas
undang-undang. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara di dalam
Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan
Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia
berperanan penting dalam struktur kerajaan dan struktur negara bangsa.
Ketetapan untuk terus mendaulatkan institusi Raja adalah satu
pelanjutan adat - satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi;
betapa keindahan adat - betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi
negara bangsa.
Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal
Perlembagaan Merdeka tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat
negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja dalam
sistem Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang
di-Pertuan Agong; Raja kepada seluruh Persekutuan. Secara harfiahnya gelaran
tersebut bermaksud Dia Yang Terulung Dalam Kalangan
Kami, iaitu primus inter pares.
Sesungguhnya, kewujudan takhta Ketua
Utama Negara dan kaedah lantikan Yang di-Pertuan Agong, adalah satu kehebatan
keaslian inovasi yang telah mengekalkan identiti negara bangsa.
Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong
sebagai Ketua Utama Negara, secara undang-undang menganggotai tiga cabang Kerajaan
yang terdiri daripada cabang
Perundangan, cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman. Parlimen mengandungi
tiga komponen, terdiri dari Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan
Rakyat.
Diperuntukkan supaya Yang di-Pertuan
Agong menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh
Badan Perundangan. Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan
Parlimen. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan.
Baginda berkuasa mengampuni dan menangguhkan sesuatu hukuman.
Baginda bertanggungjawab memelihara
kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum
lain. Baginda diperuntukkan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tidak
mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan
mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan,
kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri
Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri
Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Baginda
diperuntukkan kuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan
Timbalan Menteri. Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta
mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak
bersidang secara serentak.
Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri
untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah
menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja
melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan
Pelajaran. Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan
Baginda.
Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan
peranan Yang di-Pertuan Agong dalam bidang Kehakiman. Atas nasihat Perdana
Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru
Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana
Menteri.
Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya
Pilihan Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan
Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya
Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.
Demikian senarai peranan dan tanggungjawab Yang di-Pertuan
Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu amatlah tidak
munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk
menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan
mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup,
mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh
perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda,
meskipun nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau tergelincir
dari landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara
bangsa.
Raja adalah payung kedaulatan negara
untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum - tanpa
mengira agama - tanpa mengira kabilah politik. Raja yang bersemayam di puncak
struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja
berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan -
payung penyatuan.
Untuk itu amatlah penting bagi Raja bersifat berkecuali,
memastikan berada di atas segala polemik politik untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara
berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan
sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang
dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu panas yang
berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.
Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan bahawa
semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang digubal
serta kepentingan lebih besar negara dan warga senantiasa dilindungi. Pada
pertengahan abad kesembilan belas, Walter Bagehot telah memperkenalkan konsep
triniti klasik, dengan menggariskan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga
hak; pertama: hak untuk dirunding, kedua: hak untuk memberi nasihat, ketiga:
hak untuk memberi peringatan.
Dalam perkara-perkara, termaktub secara nyata dalam
Perlembagaan, bahawa Raja perlu bertindak atas nasihat, Duli-Duli Baginda
hendaklah menerima nasihat tersebut; tetapi Raja juga tidak harus rasa tertekan
dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan
bercanggah dengan tuntutan syarak, bercanggah dengan semangat Perlembagaan,
bercanggah dengan undang-undang dan bercanggah dengan keadilan hingga
memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan
pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara
Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah
menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja
bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbang tara yang bebas kepada
cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, sekali gus memperkukuhkan
mekanisme semak dan imbang, demi menjamin berlangsungnya tadbir urus negara
yang baik. Institusi Raja yang berjaya mencerminkan sifat-sifat kearifan dan
keadilan pastinya akan menjadi sumber rujukan pilihan apabila tercetusnya
sesuatu krisis.
Tugas tersebut bukanlah ringan; ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan
kematangan. Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi
warga yang berlatar belakangkan pelbagai kaum - pelbagai agama; ditambah pula
dengan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya, memiliki
pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi. Pada hari
ini, pemahaman warga terhadap Institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung
pendulum, ada yang menghargai relevansinya, ada pula yang kabur akan
peranannya.
Sesungguhnya, para pengasas kemerdekaan negara ini telah
mendapat petunjuk Ilahi, dengan wawasan bijak membentuk Kerajaan Merdeka di
bawah naungan Raja Berperlembagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Raja
Pemerintah untuk memperlihatkan kepada warga akan relevansi Institusi Raja,
terutama untuk memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan
yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Pada masa ini, daripada jumlah 192 negara anggota Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya empat puluh tiga (43) negara masih mempunyai
Institusi Raja; Enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II
sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Enam belas (16)
negara lagi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, empat (4) sistem Raja
Separa Autonomi, dan tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja Secara Mutlak.
The Economist Intelligence Unit Democracy Index mencatatkan:
tujuh daripada sepuluh negara di tangga teratas yang mengamalkan demokrasi
sepenuhnya adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan;
sementara penemuan Transparency Internationals Corruption Perception Index
mencatatkan tujuh daripada sepuluh negara yang berada di tangga terbaik adalah
negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan.
Sebelas daripada dua puluh negara dalam UNDP Human
Development Index yang berada di tangga teratas, adalah negara-negara yang
mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan, dan sembilan daripada dua puluh
negara di tangga teratas mengikut yang dikategorikan oleh Heritage Foundations Index of Economic Freedom memiliki
Institusi Raja Berperlembagaan.
Dalam menghadapi cabaran dinamik politik yang sedang berlaku,
Institusi Raja sedang melalui satu lagi tahap evolusi. Berpedomankan pengalaman
dan hikmah takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Institusi Raja di bumi ini, akan menemui
paksi baru untuk melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang
semakin berubah, membantu membina imej institusi takhta yang terus bertenaga -
kekal dinamik, berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama dalam
memenuhi peranan sebagai instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.
Sebenarnya, takhta ketika ini, berhadapan cabaran lebih
kompleks, malah diperlu untuk menyempurnakan peranan yang semakin mencabar
dalam orbit moden Malaysia. Keunggulan sifatnya, menjadikan peranan Raja begitu
jitu terutama ketika menghadapi keadaan yang mendesak. Ciri-ciri keunggulan
yang membezakannya dari versi stereotaip, memperlihatkan keistimewaan
keupayaan, menggabungkan tiga tenaga utama, pertama: institusi takhta,
dilambangkan oleh Raja, kedua: institusi demokrasi, dimanifestasikan melalui
Perlembagaan, ketiga: institusi moral atas nama Islam. Bahawa kejayaan yang
tercipta sehingga kini adalah hasil daripada peranan bersepadu di antara
tatanegara sosial dan sivil; gabungan Raja, Perlembagaan dan Islam.
Kebijaksanaan Raja sehingga kini adalah
kejayaan mengintegrasikan ketiga-tiga tenaga utama tersebut menjadi satu tenaga
yang amat dinamik dalam menstabilkan dan memakmurkan sebuah negara merdeka lagi
berdaulat. Kesaktian daripada rangkuman tiga komponen - Raja,
Perlembagaan dan Islam telah menghasilkan kepaduan yang dihasratkan. Ia turut
memberikan kesinambungan serta membuahkan nikmat keharmonian sosial, juga turut
memperkukuhkan cara demokrasi dapat berfungsi dan mendasari kestabilan sosial
serta kestabilan politik.
PENUTUP
Ujian kepada kandungan yang tersirat dalam Perlembagaan akan
menjelma ketika berlakunya situasi kejutan yang tidak ada duluan (precedent),
situasi kejutan yang berpotensi mencetuskan senario baru. Ketika menghadapi
saat-saat sedemikian, hikmah pemimpin, terutama Raja yang bertakhta di atas
politik dan bersemayam di atas birokrasi pentadbiran harian, berperanan amat
penting untuk melakukan analisis bijak lagi tepat dengan merumuskan
penyelesaian secara adil lagi saksama.
Bermula daripada Pilihan Raya Umum Kedua Belas, landskap
politik negara menghadapi perubahan. Dikatakan telah berlaku tsunami politik,
memperlihatkan negara semakin menuju kepada senario politik dua parti. Senario
ini, jika berlangsung secara tertib, meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan
undang-undang, ditangani secara bijak lagi berhikmah, dilihat, berpotensi
memberikan impak positif, menyuburkan amalan demokrasi.
Tetapi, kelihatan, kaedah menuju ke senario tersebut, bagai
mencetuskan gelombang perpecahan, yang ombaknya semakin menghempas minda warga.
Warga kelihatan semakin terpisah hingga benteng perpaduan kelihatan semakin
retak. Lebih membimbangkan, jika keretakan itu tercetus atas nama agama - atas
nama kaum.
Dalam senario sedemikian, keluhuran institusi Raja perlu
dilindungi daripada sebarang bentuk penodaan, agar warga kekal menabur bunga
setia. Ketika warga kelihatan semakin hanyut dilambung emosi, amatlah penting
diperingatkan semula, kisah perit hikayat lama; betapa akibat fitnah dan hasad
dengki, takhta telah disalah pengaruh.
Tercetuslah sengketa antara dua saudara yang sebangsa -
seagama - seperguruan. Bisa Taming Sari ditusuk ke dada saudara sendiri; yang
tewas terkubur tanpa setunggul nisan jasa, yang menang dihempas gelombang serba
salah sepanjang masa, betapa Dang Baru memamah pahit sirih derita, bergambir
dan berpinang sengsara ke akhir usia, dan keagungan Melaka akhirnya luntur.
Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana
secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita - diimbangkan berita.
Raja juga dikurniakan Ilahi dengan akal - dengan fikiran, dilengkapkan dengan
deria - disempurnakan dengan hati. Raja juga memikul amanah Allah Subhanahu
Wataala yang wajib dipenuhi. Sebagai Amirulmukminin, Raja
bertanggungjawab menyempurnakan tuntutan Fardu Kifayah kepada watan - kepada
ummah.
Setiap minggu di mimbar Jumaat, Katib mendoakan - jemaah
mengaminkan, akan kesejahteraan Raja, agar Raja berdaulat lagi mulia, gagah
lagi perkasa, memerintah secara adil lagi saksama, supaya negara aman, sentosa,
selamat lagi sejahtera. Warga semestinya meletakkan harapan agar doa mereka
dikabulkan Ilahi. Ia tidak sekadar doa, ia juga seruan - ia juga peringatan,
akan tanggungjawab dan harapan yang diletakkan kepada Raja.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130607/re_01/Peranan-Institusi-Raja#ixzz2W5D2bF8V