disediakan oleh: Mohd Zaidi Abdullah Pengasas-Penyelidik, Akademi ‘Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.mzaid@ilhamkanku.com.my
Penulis menetapkan usaha penyelidikan secara tidak langsung sejak tahun 1991. Secara rasmi telah disusun suatu perancangan jangka pendek dan jangka panjang. Penyelidikan asasi secara bertulis sebagai artikel pertama adalah pada 1hb. April. 1996. Pada asasnya, didapati penurunan ilmu secara berkesinambungan atau bersanad masih terpelihara di Alam Melayu. Keutamaan dalam bidang penyelidikan adalah menjejak kesinambungan ilmiah dari sumber Alam Melayu sendiri tidak kira sama ada sumber tersebut memelihara khazanah berbahasa Melayu atau berbahasa Arab atau lain. Ini bermakna Atur-Cara atau kaedah penyelidikan ‘semasa’ telah disusun semula supaya sesuai dengan ruh tradisi. Dalam pengertian tepat, selaku penyelidik memiliki autoriti sanad sebelum melakukan penyelidikan menggunakan sanad dalam meninjau serta meneliti perkembangannya.
Antara tokoh-tokoh yang memelihara kesinambungan penurunan keilmuan ialah Al-Marhum Ustaz Taha (ahli fatwa MAIS-kenalan T.G. Hj. Hashim), Ustaz Abdul Aziz Andik Achuk (ahli fatwa tertua MAIS sekarang), Tuan Guru Hj. Abdullah (lahir 1933), Tuan Guru Hj. Hashim (Pondok Pasir Tumboh), Sheikh Zakaria bin Ahmad Wan Besar (lahir 1928-ahli fatwa Kedah), Tuan Guru Hj. Abdul Rahman (Pondok Darul Salam Kuala Ibai), Ustaz Dato Ambak, Ustaz al-Marhum Abdullah Mohamad (Nakula). Pada tahun 1999, berkesempatan pula menemui dan bermuzakarah dengan Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir (w.April.2007). Tokoh ini mendokumenkan segala maklumat yang diperolehinya tentang ulama-ulama Alam Melayu. Khazanah Fathaniyah dan PENGKAJI ditubuh oleh beliau demi menonjolkan semula khazanah ulama Melayu.
Seperti yang disebut, atur-cara penyelidikan telah dirombak dan disusun semula. Dari tradisi ini, penulis menetapkan bahawa Tafsir al-Jalalain karya Imam Jalaluddin al-Mahalli (w.864H/1459M) dan Imam Suyuti (w.911H/1505M) sebagai teks utama yang boleh dijadikan ‘teras’ kefahaman Islam. Penetapan ini kerana tafsir ini merupakan karya mutawatir yang dikaji di pelbagai belahan dunia Islam termasuk di pondok-pesantren Malaysia, Indonesia dan Thailand. Al-Quran pula mengandungi pelbagai pengetahuan. Ini bermakna asas pemikiran kesatuan dan kesepaduan terdapat dalamnya. Alangkah menariknya, setakat penemuan hingga kini, sebuah tafsir dalam bahasa Melayu lama telah ditulis Sheikh ‘Abd al-Rauf al-Fansûri bertajuk Tarjuman al-Mustafid. Kitab ini memiliki keistimewaan kerana berjaya menampilkan ragam qiraat serta penerjemahan kesan dari ragam tersebut dalam sebuah kitab yang boleh dibawa ke mana-mana. Al-hamdulillah, sanad al-Fansuri masih hidup. Karya ini mendapat perhatian penelitian untuk dicetak yang diketuai oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (w.1325H). Alam Melayu juga dilengkapi karya tafsir yang bermutu seperti Marah al-Labid karya Sheikh Nawawi Banten dan karya ini juga menjadi rujukan asas bagi orang-orang Arab yang jujur sehingga kini.
Selain al-Quran dan tafsirnya, pengajian berkitab juga menjadikan kitab-kitab hadith sebagai teks-teks penting. Antaranya, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, al-Muwatta’ dan lain-lain. Teks-teks tulen dalam pengajian hadith ini menandakan bahawa pemikiran dan pemahaman tradisi di Alam Melayu menjunjung Sunnah Rasulullah s.a.w. Alam Melayu memiliki ulama yang berjaya menulis sharah dalam penyelidikan usul hadith al-Tarmasi dengan kitabnya Manhaj Dzawi al-Nazhar manakala pengajian hadith seperti al-Marbawi dengan kitabnya Bahr al-Mazi dan terjemahan serta ta’liq Bulugh al-Maram.
Pengkajian perincian secara lengkap dari kedua-dua sumber Islam tersebut terdapat dalam ilmu tauhid, fiqh, usul fiqh, qawa‘id fiqh, tasawwuf, nahu, saraf, balaghah dan lain-lain. Ini kerana - secara insafnya - al-Quran dan al-hadith tidak akan dapat difahami dengan tepat jika tanpa ilmu-ilmu yang dihuraikan oleh para ulama. Ini kunci asas ilmu-ilmu Islam.
Seperti yang ditegaskan, atur-cara penyelidikan telah dirombak dan disusun semula menurut kesesuaian tradisi Islam. Yang dipentingkan dalam penelitian adalah sumber bersanad lebih diutamakan berbanding pewarasan akal terhadap ‘sesuatu bahan’. Kelogikan ‘sesuatu’ dengan persekitaran jika melibatkan masa lalu yang tidak disaksikan sendiri oleh penyelidik bukan boleh dijadikan sandaran utama. Faham orang dahulu seperti nur muhammad yang membayangi perkembangan pemikiran Islam di Alam Melayu tidak sama dengan teori dan atur-cara penyelidikan orang kini terhadapnya. Secara tradisinya, nur Muhammad difaham bagi mereka yang beramal tariqah. Jadi, kajian secara intelektual adalah bias jika penyelidik tidak mengalami sendiri.
Dalam kajian orientalis atau mana-mana pengkritik al-Quran masih tidak mampu mengenepikan al-Quran sebagai wahyu. Kaedah pemeliharaannya amat teliti jika dibandingkan teks-teks agama lain. Ini membuatkan penulis berpendapat, al-Quran sepatutnya menjadi kaedah teras penyelidikan. Al-Quran memiliki sanad dan, ia juga dipelihara oleh sekian banyak tafsir-tafsir bagi pemeliharaan maknanya. Begitu juga, al-Hadith dan sanad menduduki hierarki kedua dalam senarai autoriti dalam semua mazhab Islam. Penyelidikan sosiologi yang dibentuk menurut Ibnu Khaldun pun masih dipengaruhi jasa kajian sanad. Cuba lihat awal al-Muqaddimahnya. Ringkasnya, al-Quran dan al-hadith serta sanad-sanad kedua-duanya adalah autoriti penentu. Ini bermakna mana-mana kaedah sains sosial lain masih bersifat sekunder.
Penulis melihat penyelidikan keIslaman pada hari ini terutama dari segi persejarahan menerima pakai kaedah sains sosial dan kemanusiaan yang masih dipertikai latarbelakang pembinaannya. Dikatakan kebanyakan persejarahan dan sains sosial pada hari ini dipengaruhi Hegel, Max Weber, Kuhnian dan seumpamanya. Cuma beberapa ciri dari mazhab-mazhab tersebut agak boleh diterima tetapi semestinya diIslamisasikan terlebih dahulu.
Penulis percaya ramai penyelidik dalam sains sosial dan kemanusiaan kurang berpuashati dengan teori dan kaedah yang dianjurkan oleh pakar-pakar barat. Kajian keagamaan dalam bidang ini hanya sebagai subnya sahaja. Pada hemat penulis, inilah ‘tanda’ perbezaan antara manusia tradisi dengan manusia moden. Agama bukan mengatasi ilmu-ilmu rekaan manusia. Dalam pengamatan tradisi, situasi ini kurang sesuai dengan ruh Islami. Secara tegasnya, ini merupakan ‘krisis kebenaran’ yang dialami oleh manusia moden.
Penulis juga melakukan tinjauan sejak beberapa tahun lalu di tempat-tempat sosial. Beberapa kali juga berbual dengan orang-orang awam. Kesedaran inilah yang mendorong tertulisnya beberapa buah buku tentang Islam seperti Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal Jamaah: Suatu Keluhuran dan Kemurnian Pegangan Hidup, diterbitkan pada tahun 2000M. Berminat menyumbang kepada masyarakat terutama secara bertukar-tukar idea dengan masyarakat pelbagai peringkat. Bagi penulis, ilmu aqidah mesti diketahui tidak kira mereka beramal atau tidak; taat atau fasiq. Ini kerana aqidah memainkan peranan penting dalam menuju kebenaran. Ada orang bertemu kebenaran selepas bertahun-tahun berada pada ‘jalan tidak menentu’. Jadi, ilmu yang diketahui membantu serta membimbingnya. Akan tetapi, tidak kurang juga mereka yang berkeinginan melalui jalan keagamaan terbimbing oleh ajaran yang menyeleweng.
Mengisi ‘krisis’ kebenaran ini, penulis memanfaatkan induk dan keluasan skop al-Hikmah al-Ishrâ qiyyah. Dalam meneliti al-Shaqâ ’iq al-Nu‘mâ niyyah, didapati karya-karya yang cenderung kepada aliran ini dijadikan teks dalam tradisi pemikiran Islam dalam pemerintahan ‘Uthmâ niyyah. Muhaddith Kabir Badr al-Dî n al-Hasani (1267/1851-1354/1935) juga mengajar kitab seperti Sharh Hikmah al-Ishrâ q karya Qutb al-Dîn al-Shîrâzi.
Sesuai dengan situasi ini, sanad diteraskan pada penyelidikan perkembangan Islam di masa lalu. Tafsiran al-Quran dan Syarah Hadith boleh dikembangkan menurut syarat-syaratnya. Ini pegangan penulis.
Penulis dapat mengesan sanad yang masih berkesinambungan dari Sheikh Abdul Rauf al-Fansûri dan Sheikh Daud al-Fatani dalam periwayatan Tariqah Shattariyyah serta disiplin-disiplinnya. Misalnya, ‘Abd al-Rauf al-Fansuri kepada Tok Pulau Manis manakala Sheikh Daud kepada Sheikh Abdul Qadir bin Abdul al-Rahmani al-Fatani kepada Sheikh Ahmad al-Fatani. Harus diingati bahawa kedua-dua orang tokoh ini merujuk pada Sheikh Ahmad al-Qushashi al-Madani yang berjaya menggabungkan dua puluh tariqah dalam Shattariyyah versinya.
Dengan pengakuan para ulama Arab, Sheikh Muhammad Yasin al-Fadani juga banyak menghubungkan tradisi sanadnya dengan tokoh-tokoh penting penyebaran Islam di Alam Melayu seperti dengan Sheikh Abd al-Samad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arshad al-Banjari dan lain-lain. Dalam pada itu, Sheikh Ibrahim bin Daud al-Fatani turut dikenali oleh ulama Arab dan sanad-sanad Sheikh Ibrahim juga telah dibukukan oleh Sheikh al-Turkistani. Turut sama disebut oleh ulama Arab ialah Sheikh Salih bin Idris al-Kalantani.
Sebelum melanjutkan bicara, kita melihat betapa bersungguh-sungguhnya non-muslim dari negara penjajah sanggup menyamar untuk mengenali identiti dan aktiviti Islam. Tokoh yang dimaksud ialah C. Snouck Hurgronje dalam Mekka in the Latter Part of the 19th Century. Daily Life, Customs and Learning, diterjemahkan oleh J.H. Monahan (H.B.M. Consul di Jeddah). Edisi English diterbitkan pada tahun 1888-1889. Penyelidikan ini jelas bermotifkan politik penjajah.……………