ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Nas Sahih Tapi Faham Salah

Penyampaian atau Khitab Agama kepada Masyarakat.

kepincangan Penyampaian Ilmu Agama dan Kefahamannya yang Sahih dalam masyarakat disebabkan terputusnya sanad ilmu di sisi kebanyakan para penyampai (pendakwah atau pengajar) ilmu agama pada masa kini serta tiada rujukan dan bimbingan daripada ulama’ mursyidin (wali mursyid).

Quran dan sunnah adalah sahih Cuma kefahaman yang didapati daripada keduanya oleh seseorang yang salah lantaran tiada rujukan muktabar iaitu ulama’ mursyid serta sanad dan izin daripadanya. pengajian2 di Universiti yang mana kebanyakan para pensyarah yang mengajar ilmu agama tidak mempunyai sanad ilmu yang bersambung kepada Rasulullah SAW dengan pengajian2 talaqqi.

Asas Penyampaian Ilmu dan Kefahaman Agama berteraskan hadis yang bermaksud: "Sampaikan daripadaku walau satu ayat (perkataan)" . Perkataan "Daripadaku" ('Anni) merupakan asas dalam penyampaian kefahaman agama kepada masyarakat iaitu perlu mempunyai sanad yang bersambung kepada Saidina Rasulullah SAW agar realisasi makna kalimah "Daripadaku" dalam hadis tersebut.

Penyampaian Ilmu dan Kefahaman Agama ( "Ballighu 'Anni walau Aayah..." ) perlu berteraskan tiga perkara:

Pertama: Menyampaikan ilmu dengan kefahamannya yang sahih.

Kedua: Menyampaikan akhlak agama dengan bentuk praktikalnya yang jelas.

Ketiga: Menyampaikan hal kerohanian (hati) yang terkandung dalam nas dan ilmu agama.

Ianya hanya dapat diwarisi dan disampaikan melalui silsilah sanad yang bersambung dari satu zaman ke satu zaman sehingga bersambung kepada SAW. Iaitu melalui ulama pewaais Nabi SAW (wali mursyid)

Kesimpulan bahawa, jika ingin membaiki sistem pembelajaran agama di universiti-universiti, maka para pensyarahnya perlu mempunyai silsilah sanad ilmu, suluk dan hal (keadaan hati) yang bersambung kepada para guru yang mana seterusnya bersambung sehinggalah kepada Rasulullah SAW.

Penyampaian Agama perlu melalui tiga: Ilmu (kefahaman sahih), Suluk (Akhlak melalui tarbiah) dan Hal (hubungan hati seseorang dengan Allah s.w.t. melalui persahabatan dengan murobbi (Sheikh Mursyid).

Oleh: Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin

Kepentingan Sanad dalam Ilmu-ilmu Agama

Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan beberapa keistimewaan yang besar yang tidak diberi kepada umat manusia selain mereka. Antara keistimewaan umat Islam akhir zaman ini adalah, Allah s.w.t. memberi jaminan untuk menjaga mereka (umat Islam) daripada “berhimpun” dalam kesesatan.

Namun, Allah s.w.t. memelihara umat Islam daripada kesesatan dengan memelihara institusi ulama’ mereka yang terlibat dalam menjaga sumber ajaran Islam dan kefahaman-kefahamannya yang sahih. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa, Allah s.w.t. menjaga ajaran Islam sama ada dari sudut sumbernya, cara memahami sumber secara sahih dan kefahaman sahih terhadap sumber-sumber tersebut melalui para ulama’ yang disebut dalam Al-Qur’an sebagai Ahl Az-Zikr yang perlu dirujuk oleh orang-orang awam.

Keistimewaan ini bertolak daripada suatu keistimewaan asas lain iaitulah konsep “Isnad” atau sandaran dalam bidang ilmu-ilmu agama. Sesuai dengan maksud hadith Nabi -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang menyebut bahawa: “Para ulama’ adalah pewaris para Nabi…”, maka sudah tentulah ilmu Nabawi itu diterima oleh para ulama’ secara “pewarisan”. Dalam konsep “pewarisan” dalam tradisi pembelajaran ilmu agama inilah wujudnya konsep atau tradisi “sanad” atau sandaran.

tentang kedudukan dan tradisi perkembangan Ilmu Warisan Nabawi ini sejak zaman berzaman khususnya berkaitan dengan amalan para ulama’ salaf. Antara konsep yang sangat penting dalam tradisi pembelajaran ilmu agama tersebut sudah tentulah kaedah talaqqi bersanad dalam pengajian ilmu-ilmu agama tersebut.

Kita dapat simpulkan bahawa konsep Sanad dalam sistem pengajian ilmu agama amalan para ulama’ sejak zaman salaf sehinggalah hari ini mempunyai kefahaman yang lebih luas daripada penggunaan istilah tersebut dalam ilmu hadith semata-mata, walaupun penggunaannya dalam ilmu hadith tersebut adalah salah satu cabangnya yang terpenting.

Manhaj Islami dalam Ilmu-ilmu Agama

Dr. Yusuf Abdul Rahman Al-Mar’ashli berkata dalam muqoddimah tahqiq kepada kitab Al-Majma’ Al-Mua’assis karangan Imam Ibn Hajar:

“Adapun antara sudut terpenting dalam kitab ini adalah berkenaan dengan Manhaj Islami dalam ilmu-ilmu yang mengikut manhaj As-Salaf As-Sholeh, yang terzahir dalam bentuk talaqqi ilmu-ilmu dari para ulama’, membaca kitab-kitab di hadapan mereka, mendapatkan ilmu daripada mereka dan mengembara kepada mereka untuk tujuan tersebut, untuk mendapatkan ketinggian sanad, kejernihan minuman (ilmu), kesejahteraan daripada salah, kepincangan dan hawa.”

“Hendaklah bagi penuntut ilmu memilih seorang guru yang boleh dia membaca kepadanya, yang mana guru tersebut perlu dinilai berdasarkan dia pernah membaca ilmu tersebut daripada guru-gurunya dengan syarat yang muktabar di sisi para ulama’. Begitu juga, para gurunya perlu membaca ilmu tersebut daripada guru-guru mereka. Begitulah seterusnya, bersambung sanad tersebut sampai kepada sumber cahaya dan ilmu dan petunjuk kemanusiaan iaitu Rasulullah s.a.w..”

“Inilah cara sebenar dalam menuntut ilmu. Ini kerana, ilmu itu dengan belajar dan tidak diambil itu melainkan dengan bertalaqqi daripada mulut para ulama’ dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, bersahabat dengan para ulama’ dan sebagainya”. [Muqoddimah Tahqiq bagi Al-Majma’ Al-Mu’assis m/s 10]

Beza Antara Para Ulama’ dengan Ahli Akedemik

Tradisi “Sanad” ini adalah suatu intipati terutama dalam sistem pembelajaran ilmu agama sejak generasi awal Islam lagi. Iaitu, setiap guru yang mengajar ilmu agama kepada murid-muridnya mempunyai latar belakang keilmuan yang jelas terutamanya senarai guru-gurunya yang mengajarnya ilmu agama tersebut. Begitu juga, guru-gurunya (kepada guru tersebut) juga mempunyai latar belakang keilmuan yang jelas iaitu mempunyai guru-guru yang mengajar mereka ilmu agama kepada mereka juga. Para guru kepada guru-guru tersebut juga begitu. Begitulah bersambung silsilah “berguru” itu sampai kepada para sahabat r.a., yang mana para sahabat r.a. mengambil ilmu agama daripada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Inilah gambaran umum konsep “Sanad” dalam tradisi pembelajaran ilmu agama. Mereka yang mempelajari ilmu-ilmu agama melalui sistem dan tradisi yang asal ini tidak terpisah daripada konsp “Sanad” ini. Ianya tidak terpisah daripada tradisi pembelajaran ilmu agama secara asal yang diambil daripada generasi salaf.

Cuma, setelah muncul sistem pembelajaran acuan Barat, ilmu-ilmu agama diajar dalam bentuk dan acuan Barat di institusi-intitusi pengajian yang tidak mempunyai sanad keilmuan dalam bidang agama secara jelas. Maksudnya, para guru (atau pensyarah) yang mengajar ilmu-ilmu agama dalam institusi-institusi tersebut tidak mempunyai latar belakang keilmuan yang jelas daripada para ulama’ dan tidak mempunyai sanad keilmuan. Maka, mereka yang mengajar ilmu-ilmu agama dalam institusi-institusi tersebut tidak mempunyai sanad keilmuan akhirnya menyebabkan murid-murid yang belajar ilmu-ilmu agama di institusi tersebut juga tidak mempunyai sanad keilmuan.

Bahkan, lebih malang lagi jika seseorang itu mengambil ilmu-ilmu agama, kefahaman tentang Islam dan pengakuan keahlian dalam bidang ilmu agama daripada orang-orang kafir (Orientalis) yang mengajar ilmu-ilmu agama di institusi-institusi tersebut. Dalam ukuran tradisi Islam sebenar, ianya tidak sah dan tidak diakui kelayakannya dalam bidang ilmu keagamaan.

Inilah yang membezakan seorang ulama’ (alim) yang lahir dari tradisi pengajian Islam asal (bersanad) dengan seorang ahli akedemik yang lahir dari tradisi pengajian Islam versi baru (terutamanya dengan acuan Barat). Dari sudut penguasaan juga, seorang alim yang lahir dari tradisi pengajian Islam asal menguasai ilmu-ilmu agama secara menyeluruh sedangkan seorang ahli akedemik yang lahir dari tradisi pengajian Islam tanpa bersanad menguasai ilmu-ilmu agama secara terpisah-pisah atau menjurus semata-mata.

Mungkin seorang ahli akedemik itu boleh membicarakan bab Takhrij Hadith sebab mendalami bidang tersebut di institusi pengajian moden, namun tidak boleh menjawab persoalan-persoalan asas dalam ilmu bahasa Arab, atau dalam bidang Ulum Al-Qur’an dan sebagainya. Inilah yang dimaksudkan olehSheikhna (guru kami) Al-Mufti Dr. Ali Jum’ah dalam kitab Al-Madkhal iaitu apabila ilmu agama dikuasai secara terpisah-pisah menyebabkan ianya menjadi sekadar maklumat, bukan ilmu menurut ukuran sebenar.

Dr. Yusuf bin Abdul Rahman berkata dalam Muqoddimah Tahqiq bagi Al-Mu’jam Al-Mu’assis:

Tatkala ilmu diambil daripada pemegang sijil-sijil (syahadah) bukan daripada pemegang ijazah-ijazah (sanad keilmuan dan Ijazah Tadris), maka rendahlah darjatnya, terpesonglah penuntutnya daripada kualiti sebenar dan terpesong daripada jalan (tradisi) sebenar. Maka kembalilah kepada halaqah ilmu dan para ulama’ yang memiliki ijazah (sanad) sebelum kita mencari mereka lalu sudah tidak menemui mereka lagi (para ulama’ yang memegang sanad ilmu dan ijazah). Kembalilah kepada membaca kitab-kitab di hadapan para ulama’ yang mempunyai sanad yang bersambung agar kita menjadi pemikul ilmu yang berkualiti, lalu menyampaikannya kepada generasi kemudian setelah kita. Kalau tidak, maka terputuslah sanad-sanad, sedangkan kita sudah mensia-siakan ilmu-ilmu kita, dan dengan demikian (terputusnya sanad ilmu) kita (para penuntut ilmu yang menjadi ulama’) bertanggung jawab di hadapan Allah s.w.t.”. [m/s: 9-10]

· Apapun sebagaimana saranan Quran dan Sunnah ialah perlunya rujukan dan bimbingan Wali mursyid. (al-Kahf:17,al- al-Furqan:59,Nahl:43, Fatir:32, al-Ra’d:7)