ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Kekuatan Pertahanan

Kekuatan Pertahanan

Kekuatan Sistem pertahanan merupakan agenda pendekatan Islam Hadhari. Yang merupakan aspek terpenting dalam menjayakan kelangsungan prinsip dan manhaj Islam Hadhari dalam membina peradaban rakyat dan negara. Ia merangkumi aspek keselamatan, keamanan, kajian strategis, kelengkapan persenjataan dan modal insan. Sebagaimana menepati tuntutan Islam yang menyeru umatnya mempunyai kekuatan dalam semua aspek lahiriah dan rohaniah bagi menjana kebaikan kepada umat dan negara.

Realiti dunia kini, negara yang mempunyai kekuatan sama ada ekonomi dan ketenteraan akan disegani negara dunia dan suara pengaruh mereka mendapat tempat dan disegani. Menjadi suatu tanggungjawab sebuah negara yang berdaulat untuk mempertahankan buminya daripada dicerobohi dan ini menjadi tanggungjawab utama pihak pemerintah sesebuah negara dan rakyat yang patriotik.

Sejarah telah memaparkan keselamatan, ketenteraan dan kekuatan pertahanan begitu penting kepada pemerintah. Dan membicarakan aspek kekuatan pertahanan ianya mencakupi pelbagai dimensi yang luas. Antaranya dari segi sistem pertahanan, logistik, peralatan persenjataan, strategi, latihan dan tenaga manusia. Insan merupakan aset terpenting bagi perkara tersebut.

Firman Allah Taala di dalam surah al-Anfal: 60 yang bermaksud :
( Dan persiapkanlah diri untuk menghadapi mereka (musuh-musuh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui sedangkan Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai. )

Dengan memahami ayat tersebut ianya memberi petunjuk yang berfaedah dan strategis. Antara intipati yang dapat diambil ialah :
kepentingan sistem bagi aspek keselamatan dan pertahanan. Iaitu bagi melancarkan dan menyeragamkan proses dan mekanisme persediaan mantap dan siap-siaga bila-bila masa sahaja.
Perancangan strategik, dengan kajian, pengumpulan maklumat dan menganalisis bagi meninjau tahap perkembangan keselamatan dalam negara dan ancaman luar.
Peralatan dan logistik persenjataan terkini dan canggih dengan perkembangan dan situasi semasa.
Latihan yang mantap dan berterusan bagi memastikan pihak keselamatan sentiasa bersedia, berkemahiran dan bersifat proaktif. Kekuatan fizikal menjadi kemestian di samping kekuatan mental dan rohani.
Ilmu pertahanan dan ilmu-ilmu berkaitan, kerana ilmu merupakan nilai tambah kepada kekuatan minda. Nilai-nilai patriotisme perlu disemai bagi taat setia dan berkorban kepada negara. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW ( Kasihkan Watan merupakan sebahagian daripada iman )
Aspek kerohanian perlu diperkasakan bagi kekuatan zahir dan rohani, kemantapan rohani dapat menjana benteng yang utuh. Dengan kekuatan dalaman memberi kelebihan dan ini merupakan rahsia utama kekuatan umat Islam. Antara kaedah menguatkan aspek kerohanian ialah amalan zikir, selawat, doa, wirid dan solat sunat tahajud.
Ikatan strategik kalangan negara dan ummah Islam serta pentingnya perhubungan baik dengan semua negara. Kerana Agama menyeru kepada perhubungan baik dengan semua pihak dan bukannya mencari musuh bahkan konsep Islam ialah memerangi kekufuran dan bukannya memerangi orang kafir. Di sini perlunya ikatan bersama kalangan tentera negara OIC. Hubungan baik dengan negara jiran paling penting kerana kedudukan geografi yang paling berdekatan. Ukhuwah Islamiah harus dimantapkan dan saling menolong sesama saudara seagama.

Kekuatan pertahanan hendaklah sentiasa mantap, siap-siaga, proaktif dan sentiasa ada penambahbaikan. Ilmu menjadi modal penting bagi strategi modal insan. Iaitu dalam konteks ilmu-ilmu yang berkaitan aspek keselamatan dan pertahanan. Keutuhan pertahanan sangat bergantung pada manusia sebagai penggerak utama. Iaitu kepentingan modal insan sebagai aset terpenting.

Tujuan memantapkan kekuatan pertahanan bukannya untuk menyerang orang lain tetapi bagi menggerunkan musuh, mempertahankan diri dan mengukuhkan sistem keselamatan negara bagi keamanan dan kedaulatan. Sudah sampai masanya negara Islam harus mempunyai kekuatan pertahanan bersama sebagaimana negara barat. Di mana umat Islam dilihat terus ditindas, dimanipulasi dan dicerobohi. Berikutan lemahnya ketenteraan dan sistem pertahanan negara Islam serta tiada pakatan pertahanan dan ketenteraan sesama negara Islam.

Agenda bersama umat Islam bagi menghadapi survival dunia hari ini memerlukan kepada kerjasama strategik sesama negara Islam sebagaimana barat mempunyai pakatan ketenteraan sesama mereka dan bagi agenda mereka bersama. Bahkan sesuatu krisis dan konflik yang berlaku di negara umat Islam tidak mendapat pembelaan daripada negara Islam dengan sewajarnya seperti kes pencerobohan US terhadap Iraq di mana US berpakat dengan sekutunya tetapi negara umat Islam hanya mampu melihat apa yang diperlakukan US ke atas Iraq.

Konsep wahdatul ummah harus digerakkan kerana perpaduan merupakan kekuatan yang penting. Persiapan kekuatan merupakan aspek yang tidak boleh diabaikan.

Realiti dunia kini, pelbagai jenis ancaman yang datang menyerang rakyat dan negara bagi melemahkan jatidiri insan muslim. Penjajahan bentuk baru sekarang lebih halus dan semakin sulit untuk dikesani, antaranya ancaman serangan pemikiran seperti tidak cintakan negara, kejumudan pemikiran, mendewakan apa yang dari barat, menghina dan memperlekehkan agama, bangsa dan negara sendiri..

Media menjadi alat utama bagi serangan pemikiran iaitu sebagai strategi perang saraf. Budaya barat diagungkan dan dipromosikan, perpecahan dan pertelingkahan diperbesarkan dan diapi-apikan, serangan akidah semakin menjadi bagi menyeleweng kesucian agama dan penganut Islam sama ada pemurtadan, gerakan kristianisasi, fahaman tidak berpaksi Ahli Sunnah Waljamaah seperti Islam Liberal, Batiniah, Wahabi, Syiah, Pluralisme dan sebagainya.

Keamanan, keselamatan dan kekuatan pertahanan begitu penting bagi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara terus berkekalan. Di mana ia merupakan paksi bagi kestabilan dan kelancaran kemajuan kepada rakyat dan negara. Realiti rakyat yang porak-peranda, perpecahan dan berkonflik akan membawa kehancuran, kemunduran dan kerugian.

Justeru pembinaan benteng yang menjurus kepada kekuatan pertahanan yang menjadi prinsip Islam Hadhari hendaklah digerakkan secara efektif. Nilai-nilai strategis seperti peralatan, persiapan, patriotisme dan kekuatan rohani menjadi pemangkin kepada gagasan tersebut. Rakyat menjadi aset penting sebagai modal insan bagi keutuhan dan kedaulatan negara.