ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

INTISARI DALAM TARIQAH

1) Guru atau Mursyid
Syeikh atau guru mempunyai kedudukan yang penting dalam Tariqah. Ia juga sering dikenali dengan panggilan Mursyid (yang memberi petunjuk). Seorang guru tidak sahaja merupakan seorang pemimpin yang mengawasi murid-muridnya dalam kehidupan zahir dan pergaulan sehari-hari, agar tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran Islam dan terjerumus kepada perbuatan maksiat, berbuat dosa besar atau kecil, yang segera harus ditegurinya. Akan tetapi peranannya juga lebih dari itu, adalah sebagai pemimpin kerohanian yang tinggi sekali kedudukannya dalam Tariqah. Ia merupakan perantaraan dalam ibadah antara murid dan Tuhannya. Ini dikaitkan dengan peranan Rasulullah saw didalam membimbing para sahabat menuju kepada penghambaan kepada Allah.

Seorang syeikh dalam Tariqah membimbing muridnya dengan memberikan pengajaran zikrullah melalui proses Bai’at (perjanjian). Dan kedudukan syeikh itu haruslah bersilsilah dengan para gurunya pula di mana dia memperolehi ajaran Tariqah tersebut.

Oleh kerana itu jabatan ini tidaklah dapat dipangku oleh orang sembarangan walaupun ia mempunyai pengetahuan yang lengkap tentang Tariqah. Di samping menerima ijazah dari guru sebelumnya sebagai penerus pemimpin tariqah, seorang syeikh itu haruslah mempunyai kebersihan rohani dan kehidupan bathin yang murni. Berbagai-bagai jolokan nama yang tinggi diberikan kepadanya menurut kedudukannya. Antaranya:

Mursyid
Orang yang memberikan petunjuk (Irsyad)
Sheikh
Nama yang sering dikaitkan sebagai guru, ketua atau pemimpin
Murabbi
Orang yang mengajarkan ilmu pendidikan (tarbiah)
Maulana
Gelaran ‘tuan’ guru yang sudah mencapai darjat tinggi
Mua’allim
Guru yang memberikan ilmu
Mudarris
Pengajar atau pengurus satu pengajian
Muaddib
Guru yang mengajar adab atau tatasusila. Manusia dipanggil ‘adib’ dalam hubungan dengan Khaliq (Penciptanya)
Ustaz
Gelaran biasa bagi seorang guru. Ia lazim sekali digunakan dalam rantau sebelah sini, terutama di Singapura, Malaysia dan Brunei. Tetapi di Indonesia sering ustaz itu dipanggil kiyai.
Nussak
Orang yang mengerjakan segala amal dan perintah agama
Ubbad
Orang yang ahli dan ikhlas mengerjakan segala ibadah
Imam
Pemimpin bukan sahaja dalam soal ibadah, bahkan juga dalam sesuatu aliran keyakinan
Sadah
Bererti Penghulu. Gelaran ini juga kadangkala diberikan kepada seorang guru sebagai penghormatan atau orang yang dihormati dan diberi kuasa yang penuh.

2) Murid atau Salik
Pengikut sesuatu tariqah itu dinamakan murid, iaitu orang yang menghendaki pengetahuan dalam segala amal ibadahnya. Murid itu terdiri dari lelaki dan perempuan, tua mahupun muda. Dalam tariqah, seorang murid itu tidak hanya berkewajipan mempelajari segala sesuatu yang diajarkan atau melakukan segala sesuatu yang dilatihkan guru kepadanya yang merupakan pokok asal dari ajaran-ajaran sesuatu Tariqah. Bahkan ia harus patuh dan beradab kepada syeikhnya, dirinya sendiri mahupun terhadap saudara-saudaranya setariqah serta orang Islam yang lain.

Segala sesuatu yang bertalian dengan itu, diperhatikan dengan sungguh-sungguh oleh Mursyid sesuatu tariqah, kerana kepada keperibadian merid-muridnya itulah bergantung yang terutama berhasil atau tidak perjalanan suluk tariqah yang ditempuhnya. Pelajaran-pelajaran kesufian dan latihan-latihan tariqah itu akan kurang faedahnya, jika ianya tidak meninggalkan perubahan budi pekerti dan peningkatan amaliah murid-murid itu.

3) Talkin dan Bai’ah
Talkin dalam istilah Tasawwuf adalah pengajaran dan peringatan yang diberikan oleh seorang Mursyid kepada muridnya yang hendak mempelajari beramal mengikut perjalanan tariqahnya. Manakala Bai’ah pula bererti perjanjian (‘ahad) kesanggupan kesetiaan seorang murid di hadapan gurunya untuk mengamal dan mengerjakan segala amalan dan kebajikan yang diperintahkan oleh gurunya.

Talkin dan bai’ah dalam perlaksanaan adalah sesuatu yang asas dan menjadi pokok pengamalan dalam tariqah. Seorang murid sebelum mengamal, terlebih dahulu harus mendapatkan Bai’ah dan berjanji dengan gurunya dengan penuh kesetiaan.

Dengan menjalani proses perjanjian ini, ia akan dapat memberi kesan yang mendalam kepada orang yang menerima pengajaran itu dan dapat menguatkan tali ikatan perguruan dan persaudaraan kukuh yang tidak akan putus antara seorang murid dan gurunya juga meninggalkan pengertian yang sangat mendalam dan cara-cara serta adab yang akan ditinggalkan dalam ingatan kedua belah pihak.
Kebiasaannya, seorang Syeikh atau Mursyid akan memberikan pengajaran Zikrullah kepada muridnya sebagai amalan pokok dalam tariqah. Zikrullah yang diajarkan berupa kalimah Tauhid ‘Laa Ilaha Illallah’ diajarkan kepada murid dengan cara pengamalan yang khusus, terutama melafazkan kalimah ini dengan lafaz yang bersuara dan juga di dalam hati.

Inilah cara yang pernah dipelajari dan diambil oleh Sayidina Abu Bakar As Siddiq ra dan Sayidina Ali Bin Abi Thalib ra daripada Rasulullah saw sehingga melaksanakan zikir dengan kalimah ini dapat meresap teguh sampai ke dalam hati. Terdapat banyak hadis yang menerangkan peristiwa Nabi Muhammad saw mengambil ‘ahad (perjanjian) pada waktu membai’atkan para sahabatnya, secara perseorangan dan berjamaah.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tabrani dari Syaddad Bin Aus bahawa Rasulullah saw pernah mentalkin sahabat-sahabat beliau secara berjamaah dan perseorangan. Pada suatu hari ketika kami berada dekat Nabi saw dan beliau bersabda, “Adakah di antara kamu orang asing?” (yakni Ahli Kitab). Maka saya menjawab: ‘Tidak ada’. Lalu Rasulullah saw berkata, “Angkatlah tanganmu dan ucapkanlah Laa Ilaha Illallah”. Lantas beliau menyambung, “Segala puji
bagi Allah wahai Tuhanku, Engkau telah mengutus aku dengan kalimah ini dan Engkau menjadikan dengan ucapannya kurnia syurga kepadaku dan bahawa Engkau tidak sekali-kali memungkiri janji”. Kemudian beliau bertanya: “Ketahuilah, gembiralah. Sesungguhnya Allah swt telah mengampuni kamu sekelian.”

Terdapat juga sesetengah kumpulan tariqah yang menjalankan proses perjanjian dan talqin dengan cara yang berlainan iaitu dengan Wasiat, Ijazah dan Khirqah.
Ijazah dan Wasiat merupakan kekuasaan seorang guru dalam bentuk surat keterangan yang memberi kekuasaan kepada seorang murid untuk mengamalkan sesuatu atau selanjutnya mengajarkan pengamalan tariqah itu kepada orang lain.

Manakala Khirqah pula berupa sepotong kain atau pakaian yang pada kebiasaannya dari bekas pakaian seorang guru yang diberikan kepada murid atau memakainya sebagai mengikat ikatan perguruan dalam pengamalan tariqah. Ini akan menghasilkan keberkahan dan dianggap suci dan menjadi kenang-kenangan bagi seorang murid.

4) Silsilah

Silsilah bagi seorang Syeikh atau Mursyid merupakan sesuatu yang penting untuk mengajar dan memimpin sesuatu tariqah. Mereka yang menggabung diri kepada sesuatu tariqah, hendaklah mengetahui benar-benar nisbah atau hubungan guru-gurunya yang sambung-menyambung antara satu sama lain sampai kepada Nabi Muhammad saw. Ini dianggap perlu dan sesuatu yang darurat kerana ia memberikan petunjuk kepada seorang murid. Bantuan kerohanian yang diambil guru-gurunya itu harus benar, dan jika tidak berhubungan sampai kepada Nabi Muhammad saw, maka bantuan itu dianggap terputus dan tidak merupakan warisan daripada Nabi saw. Seorang murid dalam tariqah hanya membuat perjanjian dengan gurunya dan tidak menerima Bai’ah, Talqin, Ijazah, Wasiat atau Khirqah tanda kesanggupan dan kesetiaan, kecuali kepada Mursyid yang mempunyai silsilah yang baik dan benar.


Silsilah itu merupakan hubungan nama-nama yang panjang yang satu bertalian dengan yang lain, dari kedudukan Mursyid hingga kepada Rasulullah saw. Barangsiapa yang tidak ada hubungan dengan Nabi saw ia dianggap terputus limpahan cahaya dan tidak menjadi waris Rasulullah saw. Orang yang demikian tidak dibolehkan mengambil Bai’ah daripadanya dan ia tidak boleh memberi atau diberi Ijazah. Barangsiapa yang mengamalkan tariqah tetapi tidak mengenal nenek moyangnya (silsilah) dari para Masyaikh, ia ditolak dan tidak diakui.

Setiap orang yang tidak mempunyai syeikh (Mursyid) yang memberi bimbingan kepada jalan keluar dari sifat sifat tercela, maka dia dianggap maksiat kepada Allah dan RasulNya kerana dia tidak dapat petunjuk mengenai jalan mengubatinya. Walaupun ia mengamalkan segala perkara yang bersifat aktif ataupun menghafal seribu buku tidaklah bermanfaat dengan tidak berguru atau mempunyai Syeikh.

TARIQAH-TARIQAH YANG MU’TABARAH
(YANG DIAKUI KEBENARANNYA)


Tariqah sebagaimana telah diakui dalam Ilmu Tasawwuf sebagai jalan yang memberi petunjuk dan membawa seseorang itu kepada Tuhannya dengan pengabdian sebenarnya. Justru demikian, jalan untuk menyampaikan kepada maksud dan tujuan itu terbentang luas dan banyak sekali. Kepelbagaian tariqah yang wujud dan bermacam jenis, warna dan caranya tetap kembali yang matlamat yang satu iaitu Taqarrub kepada Allah swt dan akhirnya mancapai Makrifatullah.

Tariqah-tariqah sejak awal kewujudannya telah berkembang pesat dan diamalkan sehingga ke hari ini. Bilangannya banyak sekali. Ada tariqah-tariqah yang merupakan tariqah asas yang dibentuk oleh ahli-ahli Tasawwuf, dan ada juga tariqah-tariqah yang merupakan perpecahan daripada tariqah asas, telah dipengaruhi oleh pendapat para masyaikh tariqah asas, telah dipengaruhi oleh pendapat para masyaikh tariqah yang mengamalkannya di belakangnya atau oleh keadaan setempat, keadaan bangsa yang menganut tariqah-tariqah itu. Banyak diantara perpecahan tariqah-tariqah itu disusun atau diberi istilah-istilah yang sesuai dengan tempat perkembangannya.

Dr Syeikh H.Jalaluddin, seorang pakar ilmu Tasawwuf dan seorang ahli tariqah,telah banyak menulis tentang perkembangan tariqah-tariqah, antara lain tariqah-tariqah yang telah diakui kesahihannya. Beliau menerangkan tariqah-tariqah tersebut ialah:-

1 Tariqah Qadiriyah 22 Tariqah ‘Usyaqiyyah
2 Tariqah Naqsyabandiyyah 23 Tariqah ‘Umariyyah
3 Tariqah Syaziliyyah 24 Tariqah ‘Uthmaniyyah
4 Tariqah Ahmadiyyah 25 Tariqah ‘Aliyyah
5 Tariqah Rifaiyyah 26 Tariqah Bakriyyah
6 Tariqah Dasukiyyah 27 Tariqah ‘Abbasiyyah
7 Tariqah Akbariyyah 28 Tariqah Haddadiyyah
8 Tariqah Maulawiyyah 29 Tariqah Maghribiyyah
9 Tariqah Qurabiyyah 30 Tariqah Ghaibiyyah
10 Tariqah Suhrawardiyyah 31 Tariqah Hadiriyyah
11 Tariqah Khalwatiyyah 32 Tariqah Syattariyyah
12 Tariqah Jalutiyyah 33 Tariqah Bayumiyyah
13 Tariqah Bakdasiyyah 34 Tariqah ‘Aidrusiyyah
14 Tariqah Ghazaliyyah 35 Tariqah Sanbliyyah
15 Tariqah Rumiyyah 36 Tariqah Malawiyyah
16 Tariqah Jastiyyah 37 Tariqah Anfasiyyah
17 Tariqah Sya’baniyyah 38 Tariqah Sammaniyyah
18 Tariqah Kaisaniyya 39 Tariqah Sanusiyyah
19 Tariqah Hamzawiyyah 40 Tariqah Idrisiyyah
20 Tariqah Sya’baniyya 41 Tariqah Badawiyyah
21 Tariqah ‘Alawiyyah



www.khadijahmosque.org