ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Resolusi Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka

Resolusi Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka

Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (KEMM) telah berlangsung dengan jayanya pada 29 Januari 2011 di UTEM. Tiga kertas kerja telah dibentang dan dibincangkan.

Dengan ini KEMM merumuskan bahawa:


1. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa Islam yang sebaris dengan bangsa-bangsa lain di kalangan umat Islam di serata dunia, memainkan peranan mengembang dan mendaulatkan Islam di rantau ini.

2. Kedudukan yang hebat itu telah dicapai kerana Islam telah sebati dengan pemikiran serta adab budaya Melayu sehingga melahirkan tamadun bangsa yang agung.

3. Sejarah mencatatkan kecekalan bangsa Melayu mempertahankan keperibadian dan jatidiri keIslaman mereka dalam siri perjuangan yang panjang menentang penjajah yang bertujuan menjadikan Melayu bangsa yang lemah.

4. Kesatuan agenda Islam dan semangat kebangsaannya telah berjaya menyatukan orang Melayu sepanjang sejarah.

5. Kelunturan pegangan umat Melayu kepada Islam telah melemahkan sendi-sendi kekuatan yang menjadi pemangkin untuk agenda penjajah yang berteraskan humanism dan materialism bertapak lalu melemahkan jatidiri bangsa Melayu.

Berdasarkan rumusan tersebut Konvensyen Memperingati 500 Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka menegaskan bahawa bangsa Melayu mesti:


1. Menyedari keperluan yang mendesak supaya kembali kepada keperibadian Islam mereka yang asal.

2. Mengharmonikan kefahaman antara Nasionalis dengan Islamis dalam perjuangan bangsa Melayu di Malaysia.

3. Menjadikan usaha mengumpul bukti-bukti sejarah yang boleh mengembalikan Melayu kepada jatidiri mereka sebagai agenda nasional.

4. Mendedahkan fakta-fakta sejarah bagi memberi nafas baru dalam memahami sejarah perjuangan bangsa Melayu.

5. Mentajdid peradaban Melayu dalam rangka mewariskan kisah kegemilangan, peradaban dan kepahlawanan umat Islam.

6. Mencari persepakatan atas satu agenda yang boleh mambangunkan sebuah bangsa yang mempunyai agenda yang didukung bersama, “Melayu sepakat Islam berdaulat”.

7. Memperkasakan institusi yang memperjuangkan dan memartabatkan identiti keperibadian bangsa Melayu.