ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Untuk anda yang mencintai ilmu

Untuk anda yang mencintai ilmu

Pada zaman dahulu, menurut ceritanya, si polan yang ingin menuntut ilmu, terpaksa merantau berpurnama lamanya untuk mencari seorang guru. Guru yang ditemui pula belum tentu akan menerima si polan dengan mudah. Setelah disuruh mengangkat air, membelah kayu dan dilempang hingga tergolek; jika si polan tahan dengan deraan itu, baharulah dia diterima menjadi murid.

Pada tahun-tahun selepas kemerdekaan, menuntut ilmu asas menjadi mudah dengan wujudnya sekolah. Namun, untuk memperoleh ilmu ke peringkat tertinggi hingga ke menara gading bukannya senang. Bukan sedikit mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (kini PMR) lebih daripada sekali, Sijil Pelajaran Malaysia hingga tiga kali, atau Sijil Tinggi Pelajaran (kini STPM) sampai lima kali hanya untuk menjejakkan kaki ke tangga universiti.

Tetapi, pada hari ini, ilmu pula yang mencari kita. Bukalah akhbar dan kita akan menemui pelbagai ilmu yang ditawarkan. Kita boleh memilih mana yang sesuai dan diminati. Layarilah internet, dan kita boleh menemui beribu-ribu laman institusi pelajaran. Malah, tawaran untuk mempelajari ilmu sampai kepada kita dalam bentuk e-mel ataupun surat. Seolah-olah pada hari ini, guru yang mencari kita, bukan sebaliknya.

Oleh kerana mudahnya memperoleh ilmu pada hari ini, maka sesiapa sahaja boleh belajar apa yang diingininya pada bila-bila masa yang kita suka. Tambahan pula, tiada had umur yang menyekat kita daripada mempelajari sesuatu. Tentu sekali fenomena ini amat bagus kerana ia memenuhi hasrat kita sebagai manusia yang sentiasa ingin tahu dan ingin menjadi lebih pandai. Tanpa perlu mengikuti kelas atau kuliah yang formal pun, kita itu boleh menjadi pakar di dalam bidang yang diminatinya.

Namun, ia boleh menjadi masalah apabila kita tidak mempunyai kepandaian untuk menilai sesuatu ilmu itu. Kita perlu tahu menimbang apakah ilmu itu menjadikan kita lebih bijaksana atau semakin dungu. Lebih tawaduk bila mana ilmu itu membuatkan kita semakin sedar akan kekurangan ilmu yang diterokai atau semakin bongkak dengan ilmu yang sedikit. Lebih malang lagi jika kita tertuntut ilmu yang sudah ketinggalan zaman ataupun yang salah lagi menyesatkan!

Mempelajari sesuatu ilmu itu tidak boleh hanya berdasarkan menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang. Jika itulah sahaja yang diperoleh, maka kita hanya mendapat kulit dan isi dan tidak intinya. Kulit adalah pengetahuannya, isi adalah kemahirannya, tetapi intinya pula ialah sikapnya.

Serampang tiga mata yang menunjangi ilmu inilah yang menjadi kunci-kunci kepada penguasaan apa jua bidang. Tidak boleh tidak, ilmu yang baik adalah ilmu yang meresap dan dihayati oleh seseorang secara mental, fizikal dan spiritual. Ini adalah kerana, pengetahuan sesuatu ilmu itu adalah untuk mental, kemahiran ilmu itu adalah untuk fizikal, sementara perubahan sikap yang diperoleh daripada sesebuah ilmu itu adalah untuk spiritualnya.

Lihatlah betapa ramai manusia yang dikatakan terpelajar tetapi tidak bijak, apatah lagi bestari. Tahu teori, tetapi yang tidak dapat dipraktikkan. Kerana itulah, jika kita renungi, terdapat banyak sekali masalah di dalam masyarakat yang terjadi secara berulang kerana pendekatan penyelesaiannya mengikut paradigma yang serupa. Puncanya adalah kerana penguasaan ilmunya hanyalah penambahan pengetahuan dan peningkatan kemahiran dan tidak kepada perubahan sikap.

Jika akal dan fikiran sahaja yang diasah, tetapi hati masih tidak diasuh, maka setinggi mana, sebanyak mana ilmu yang dituntut, ia akan berkesudahan dengan kesilapan yang akhirnya menjadi kesalahan. Ilmu yang tidak dipelajari dengan penyertaan hati akan menjadikan seseorang itu tidak mengenal baik dan buruk untuk diri, negara dan agamanya meskipun dia sudah mumaiyiz berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Justeru itu, dalam pada kita mudah sekali mempelajari ilmu, kita mestilah memperoleh tiga elemen yang penting itu. Ia akan menjadikan kita seseorang yang seimbang dari segi perlakuan dan pemikiran. Malah, pada waktu yang sama dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara optimum. Inilah wasatiyyah yang harus menjadi pegangan kepada sesiapa yang mencintai ilmu.

NORDEN MOHAMED
Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini