ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Faham Sunni dan Kesederhanaan Islam


Faham Sunni dan Kesederhanaan Islam Fahaman Sunni atau Ahli Sunnah Waljamaah merupakan aliran utama mendominasi majoriti umat Islam sedunia termasuk di Alam Melayu sejak berzaman. Yang dimaksudkan faham sunni ialah berpaksikan kepada kefahaman berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Ijma’ ulama menetapkan teras utama faham sunni ialah berdasarkan epistimologi dan methodologi Ahli Sunnah Waljamaah seperti akidah mengikut manhaj Imam Asyaari dan Imam Maturidi, Fiqh dengan salah satu empat mazhab muktabar (iaitu mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi atau Syafei) dan tasawuf dengan manhaj Imam Junaid, Imam Ghazali atau mana-mana tariqah sufi muktabar. Rantau Alam Melayu merupakan rantau sunni semenjak kedatangan Islam hasil berkat dakwah para pedagang dan ulama sufi yang datang berdakwah. Penerapan Islam kepada umat Melayu telah berjaya membawa kepada pembentukan tamadun dan peradaban Melayu Islam dan terbentuknya suatu pemerintahan Kerajaan Melayu Islam seperti Pasai, Mataram, Demak dan Melaka. Sememangnya kecemerlangan ketamadunan Melayu Islam adalah berpaksikan kepada faham sunni dan kesederhanaan Islam didalam memahami tuntutan dan kefahaman daripada al-Quran dan Sunnah. Ancaman Aliran Bukan Sunni Fahaman bukan sunni ialah suatu kefahaman yang bertentangan dan tidak menepati dengan akidah yang sahih dan kefahaman al-Quran dan Sunnah. Antara yang dimaksudkan ialah Syiah, Batiniah, Salafi Wahabi dan Islam Liberal dan pelbagai fahaman lain. Daripada aliran akidah tersebut umat Islam berpecah kepada pelbagai ideologi fahaman terhadap agama mengikut fahamannya tersendiri hasil pengaruh pengajian dan pembacaan serta pengkajian masing-masing. Pihak barat secara prihatin dengan agenda tersirat telah mengklafikasikan aliran pemikiran kalangan umat Islam dengan label tertentu, walaupun realiti ianya tidak tepat kerana aliran pemikiran adalah begitu kompleks dan berubah-ubah. Namun secara umum, penting diketahui pembahagian tersebut iaitu antaranya aliran tradisionalis,/konservatif, fundamentalis, reformis/moderat/progresif dan liberal. Daripada pelbagai aliran akidah tersebut umat Islam dikategorikan dengan pelbagai aliran pemikiran tersebut samaada dikenali Wahabi Moderat, Sunni Moderat, Syiah Moderat, Sunni Konservatif, Wahabi Konservatif dan Syiah Konservatif, Sunni Liberal, Syiah Liberal, Wahabi Liberal, Neo-Traditionalis, Neo-Wahabi dan pelbagai label dengan ‘isme-isme’ (iaitu ideologi dan pemikiran) tertentu berdasarkan kumpulan fahaman masing-masing. Siapakan yang dimaksudkan Sunni, Wahabi dan Liberal dan siapakah tokohnya dan apakah yang dimaksudkan aliran traditionalis/konservatif. Modenis, liberal dan fundamnetalis.? Aliran Traditionalis ialah fahaman berpaksikan kepada faham teks al-Quran dan Sunnah dan berpegang kepada ulama tertentu. Dan dikatakan fanatik dan taklid kepada tokoh dan kitab tertentu. Iaitu berpegang kepada mazhab dan tariqat tertentu. Antaranya institusi tersebut ialah pondok/pesantren, tariqat sufi, al-Azhar. Antara tokohnya ialah Imam Ghazali, Imam Suyuti, Maulana Zakaria al-Kandahlawi, Syekd Ahmad al-Fathoni, Syeikh Daud al-Fathoni, Syekh Ahmad Zaini Dahlan, Syeikh Yasin al-Fadani, Syekh Waliyullah al-Kandahlawi , Said Nursi dan ramai lagi. Aliran Fundamentalis dinisbahkan golongan yang mendakwa berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dan mendakwa mengikut golongan Salafussoleh (iaitu dinisbahkan golongan yang hidup 300 tahun selepas Baginda SAW) walaupun jelas tidak sama sekali. Menggunakan pelbagai jenama dan pelbagai institusi serta gerakan tersendiri. Antara tokohnya ialah Ibn Taimiah, Ibn Qayyim, Muhammad bin Wahab, Nasrudin Albani dan ramai lagi. Aliran Modenis/reformis iaitu golongan yang melihat realiti semasa dan banyak mengunakan akal disamping nas dan teks bagi kesesuaian zaman. Antaranya ada yang Sunni, Syiah, Wahabi atau Liberal. Antara tokohnya Muhammad Abduh, Jamaluddin al-Afghani, Nurcholis Majdid, Fazlur Rahman, Yusuf al-Qardawi, Ismail Faruqi, Fethullah Gulen, Ali Syariati, Mohd Iqbal dan ramai lagi Aliran Liberal mereka menggunakan akal dalam memahami nas secara konteks dan tidak mengikut methodologi Ilmu Islam. Bahkan akal digunakan sepenuhnya sehingga melangkaui nas. Antara tokohnya seperti Ali Abdul Raziq, Hasan Hanafi, Taha Hussin, Nucholis Majdid, Ali Syariati, Farish A. Noor, Ianya dikatakan mirip dengan fahaman Muktazilah. Sememangnya istilah aliran pemikiran yang dilabelkan oleh barat kurang tepat kerana daripada aliran akidah tersebut adanya yang bersikap konservatif, modenis, liberal dan progresif dan begitu kompleks untuk ditetapkan secara tepat. Bahkan Islam sememangnya agama yang liberal, progresif dan moderat sebagaimana tuntutan al-Quran dan Sunnah yang menepati fitrah manusia dan bukannya mengikut takrifan barat. Aliran Islamisasi iaitu dinisbahkan kepada gerakan Islam mengambil apa yang baik dari barat dan digabungkan dengan agama dan Islam mengikut acuan Islam bagi kebaikan dan kehendak gerakan mereka, namun gerakan Islam juga cenderung kepada aliran pemikiran tertentu. Permasalahan dunia massa hari ini ialah pelampau/ekstrimis Islam yang berpaksikan kepada fahaman dan ideologi agama terutama golongan yang dimaksudkan ialah bukan sunni dan fahaman yang paling banyak mendominasi membentuk fahaman keras ekstrimis ialah Syiah dan Wahabi kerana berpegang kepada konsep takfir, bid’ah, syirik dan kufur. Memahami al-Quran dan Sunnah mengikut pegangan mereka tersendiri.. Hakikatnya semua fahaman yang bukan sunni tidak menepati kehendak Quran dan Sunnah adalah pelampau kerana memahami agama mengikut fahaman mereka dan tokoh-tokohnya. Begitu juga golongan jumud yang sukar terima perubahan dan kebaikkan masa kini dan selesa dengan tinggalan lama dan sekadar berbangga dengannya. Adalah menjadi fitrah ada yang betul sudah pasti ada yang palsu, ada hak adanya batil. Bahkan fahaman-fahaman yang mengelirukan memberi perspeksi negatif terhadap Islam dan umatnya. Barat dan Agenda terhadap Dunia Islam Barat sentiasa memandang dengan curiga terhadap umat Islam dengan perspeksi negatif. Ini berikutan mereka masih mewarisi bahawa Islam dan Umat Islam sebagai ancaman kepada peradaban barat. Sebagaimana Firman Alllah Taala yang bermaksud: (Tidak akan redha orang Yahudi dan nasrani sehingga kamu mengikut telunjuk mereka). Al-Baqarah:120 Dasar neo imperialisme masih wujud kalangan Negara barat bagi agenda dan hegemoni mereka di zaman moden ini dengan pendekatan baru dan strategis. Dengan kajian mereka dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan umat Islam dan menggerakkan agenda mereka untuk memecahbelahkan umat Islam secara langsung atau sebaliknya. Bagi memastikan umat Islam terus bertelingkah dan berselisih sesama sendiri. Jurang perbezaan fahaman dan pendapat kalangan umat Islam diperbesarkan dan barat mendokong samaada secara moral, dana atau politik mana-mana pihak yang membawa keuntungan bagi agenda mereka. Ukhuwah Islamiah dan kesedaran kepada penghayatan Islam dengan roh yang hakiki menjadi ancaman justeru umat Islam tidak boleh dibiarkan bersatu. Aliran akidah kalangan umat Islam dilagakan antara Sunni, Syiah dan Wahabi serta Islam Liberal. Bahkan barat mengetahui fahaman ekstrim dapat dimanipulasikan bagi agenda mereka seperti fahaman wahabi yang melampau digunakan untuk memerangi keganasan dan mencampuri urusan negara Islam di sebalik ‘agenda memerangi keganasan’ . Dan dengan ini ianya dapat memberi persepsi imej negatif terhadap umat Islam dan agama Islam sendiri. Aliran pemikiran Islam dilagakan antara traditionalis dengan fundamentalis atau liberal, agar umat Islam sibuk bertelingkah dengan pegangan masing-masing. Mana-mana pihak yang perlu disokong akan diberi sokongan samaada secara langsung atau secara tidak langsung. Bahkan mereka sedang membina rangkaian muslim liberal dan moderat yang dilihat lebih menepati citarasa barat. Pendekatan Wasatiyyah Islam Kesederhanaan Islam harus dipupuk dan diperkasakan bagi mengembalikan roh Islam dan peradaban hakiki bagi umat sejagat. Kepentingan kefahaman al-Quran dan Sunnah berpaksikan faham Sunni dengan mengembalikan roh Islam ketempat sewajarnya dengan pembangunan rohani. Pentingnya memahami konteks semasa dan zaman kini harus ditunjangi dengan ijtihad dan tajdid yang betul dari kalangan ahlinya serta memahami ‘maqasid as-Syariah’. Sememangnya Islam agama keamanan untuk umat dan alam sejagat Anjakan paradigma dan pemikiran yang jernih harus difahami. Pendekatan hikmah harus dipupuk dari taklid buta kepada rasional dan ilmiah, dari jumud kepada keterbukaan, dari ekstrim kepada kesederhanaan dan berhikmah, dari fanatik kepada toleransi, dari iktilaf kepada penyatuan dan gabungan. Kepentingan memahami antara turath dan moden dan gabungannya bagi kehidupan kini dan masa depan. Jaringan Sunni harus diperkukuhkan dan membina ukhuwah Islamiah, titik persefahaman dicari dan perselisihan dielakkan, tautan mahhabah menjadi agenda penting, pembangunan rohani rahsia kekuatan umat Islam dibangunkan. Faham agama hendaklah dirujuk kepada ahlinya. Sebagaimana Firman Alllah Taala yang bermaksud ; (..Bertanyalah kepada ahli Zikir (ahlinya) sekiranya kamu tidak mengetahui ) al-Anbiyaa’ :7 Sabda Rasulullah SAW (…Para Ulama pewaris para nabi ) Riwayat al-Tirmizi. Menjadi Moderat antara golongan zahiriah dan golongan takwil, antara yang kaku dalam memahami nas dengan berlebihan dalam mentakwilkan nas. Pendekatan wasatiyyah membawa dasar faham agama yang sebenar dengan kefahaman, keyakinan dan pengamalannya. Epistimologi (faham ilmu) dan manhaj Sunni adalah penting bukannya campuran pengaruh syiah atau wahabi atau Islam Liberal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud (…Dan sesiapa yang diberikannya kebaikan ialah diberikannya faham dalam agama). Riwayat al-Tirmizi Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud (…Buatlah yang lebih mudah dan janganlah mempersulitkan, buatlah mereka gembira dan jangan buat mereka lari.) muttafaq alaih. Peri pentingnya pembangunan rohani kerana paksi memahami agama ialah dengan kalbu disamping akal yang begitu terbatas. Manhaj teras bagi mempelajari ilmu agama adalah berguru dan talaqi dengan ahlinya disamping merujuk kepada kitab ulama Sunni dan muktabar. Penyucian hati aspek terpenting dan inilah ditekankan ulama hakikat. Tiga ilmu teras perlu diutamakan disamping ilmu agama dan akademik yang lain. Jaringan Sunni harus dimantapkan bagi mengekang fahaman bukan Sunni dan pelbagai aliran pemikiran yang bertentangan dengan tuntutan kefahaman agama yang sebenar. Seterusnya bagi membina tautan mahabbah dan ukhuwwah Islamiah. RUJUKAN Abdullah Zaidi Hassan, ‘Pemikiran Politik Di Kalangan Aktivis Muslim’. Abdul Rahman Hj Abdullah, ’Pemikiran Islam Di Malaysia: Sejarah dan Aliran’, USM & DBP 1998. Abdul Rahman Hj Abdullah,’Falsafah dan Kaedah Pemikiran: Perbandingan Pemikiran Barat dan Pemikiran Islam Dalam Menyelesaikan Masalah Manusia’, USM & Utusan Publications & Distributors sdn bhd, 2002. Ahmad Sunawari Long, Zulazmi Yaakub, ’Budaya dan Pemikiran Islam Mesir-Malaysia’,UKM 2006. Al-Ashari, Abu al-Hasan Ali b Ismail,’ al-Ibanah an Usul al-Diyanah’ Dar al-Bayan, Damsyik. 1990. Al-Baghdadi, Abdul al-Qahir b Tahir b Muhammad,’ al-Farq Baina al-Firaq,’ Dar Makrifah, Beirut. Angel Rabasa, Cheryl Benard, Lowell H.Schwartz, Peter Sickle, ’Civil Democratic Islam:Partners,Resources & Strategies’, Rand Corporation, 2003. Cheryl Benard ‘Building Muslim Moderate Network’, Rand Corporation, 2007. Ensiklopedi Tematis Dunia Islam,’Pt Lachtiar Baru Van Hoeve Hj Mahfuz Muhammad,’Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah & Cabarannya Merentasi Abad’, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, 2007. Hj Muzzaffar Dato’ Hj Mohamad, Tun Suzana Tun Hj Othman,’Ahlul Bait Rasulullah SAW, Dinasti Melayu dan Akhir Zaman’, Pustaka BSM Enterprise, 2003. Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad, Tun Suzana Tun Hj Othman,’Hakikat Mencari Landasan Akhir Zaman, Crescent News(KL) sdn bhd, 2007. Hj Wan Mohd Saghir Abdullah,’Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua di Dunia Melayu’ Khazanah Fathaniyah, 1999. K.H. Sirajuddin Abbas, ‘I’tiqad Ahlussunnah Waljamaah’,PAP, cet.9, 2006. Sayyid Mohd b Alawi al-Maliki,’Mafahim Yajib An Tusahiha’, Daerah al-Auqaf Wal Syuun Islamiah, Dubai, UAE, 1995. Mohd Fuad al-Baqi,’ al-Mu’jam al-Mufaras Lil Alfaz al-Quran as-Syarif, Dar al-Hadis, Kaherah,1996. Mohd Ridhuan b Alias, ‘Analisis Kelemahan Gerakan Islam Di Malaysia: Satu Pandangan’. Rumaizuddin Ghazali,’Aliran-aliran Pemikiran Islam Di Malaysia’. Siddiq Fadzil, ‘Pemikiran Islam Kontemporari: Tinjauan Kritis Evaluatif tentang Tema dan Pola’. www.abim.org/mindamadani www.idealis-mahasiswa.net http://www.rand.org/ www.living-islam.org