Turki kuasa baru di Asia Barat
Kemunculan kuasa diplomatik dan kuasa geo-politik baru di rantau berkenaan untuk muncul, iaitu Turki. Sebagai negara di tangga ke-16 dalam pencapaian ekonomi di peringkat dunia, dan juga negara ke enam kuasa ekonomi di peringkat Eropah, Turki mempunyai banyak lagi kelebihan lain untuk menjadi pengganti AS sebagai broker perdamaian dan juga kuasa pengimbang di rantau Asia Barat dan Utara Afrika. Kelebihan Turki sebagai anggota NATO, anggota aktif OIC, ahli G20, dan juga anggota negara-negara D8 menjadikan negara tersebut lebih daripada layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh AS. Para penganalisis politik antarabangsa kebanyakannya melihat dasar luar Turki pada hari inilah yang menjadi antara faktor lain kepada kemunculan Turki sebagai kuasa baru. Lebih unik hubungan Turki-Amerika di dalam isu-isu di Asia Barat dan Afrika Utara boleh diungkapkan sebagai hubungan frenemy (friend-enemy) seperti yang diungkapkan di dalam buku Charles Kuplan, How Enemies Become Friends. Sungguhpun Obama menyifatkan keunikan hubungan AS-Turki dalam fasa baru ini sebagai model partnership, hakikatnya peranan yang dimainkan Turki telah menjadikan mereka rakan yang lebih dipercayai oleh negara-negara jirannya berbanding AS yang lebih dilihat sebagai ‘Big Brother’. Turki juga merupakan negara Islam yang memiliki kekuatan ketenteraan yang termoden dan maju.
Kemampuan Turki untuk menjadi sebuah kuasa geo-politik di rantau tersebut boleh dilihat kepada kejayaannya di dalam bidang ekonomi serantau. Penstrukturan semula sistem politik dan ekonomi Turki semenjak parti AK berkuasa menurut formula Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah berjaya meningkatkan Keluaran Negara Kasar (KNK) mereka (dari -9.5 peratus pada 2001, kepada 9.9 peratus pada 2004, dan konsisten pada tahap 7.8 peratus untuk 2010) dan berjaya mengundang FDI. Turki juga dikategorikan Bank Dunia sebagai negara maju, dan majalah The Economist menyebut sebagai ‘kuasa ekonomi yang sedang muncul’. Komitmen Turki terhadap ekonomi pasaran juga dapat dilihat daripada dasar luar yang berjaya meningkatkan hubungan dagang dengan negara-negara jiran. Begitu juga keterlibatan aktif mereka di dalam FTA yang melibatkan EU-Mediteranean, peranan utama dalam D8 dan juga aktiviti dagang serta pelaburan mereka dengan negara-negara di Asia Barat dan Afrika Utara.
Pada waktu yang sama, melalui dasar luar Turki yang baru, negara tersebut diterima oleh pihak-pihak bertelagah di rantau Asia Barat dan Mediteranean sebagai orang tengah (mediator). Mereka juga berjaya menguruskan isu dalaman yang sensitif dengan melibatkan pihak ketiga secara damai, seperti isu Armenia, Cyprus dan juga isu puak pemisah Kurdi. Turki di fasa baru juga berjaya mengikat jiran-jirannya dengan peningkatan hubungan dagang, seperti membuka sempadannya untuk Syria dan negara-negara strategik yang lain demi mengurangkan konflik yang telah lama membelenggu. Turki juga bersikap pro-aktif dengan mengadakan pertukaran dagang nuklear (uranium)-petrol dengan Iran (melalui Tehran Research Reactor) bersama dengan Brazil di waktu negara-negara lain di rantau tersebut melihat Iran sebagai ancaman utama. Turki juga berani untuk mengiktiraf aktor bukan negara dalam suasana konflik seperti Hamas dan Hezbollah, tetapi pada waktu yang sama tetap menjaga hubungan diplomasi dan dagang dengan rejim Zionis Israel. Sungguhpun demikian, Turki tetap konsisten dengan isu-isu berhubung hak asasi dan demokrasi. Ini dapat dilihat jelas dalam isu Gaza 2008, isu flotilla, dan juga yang terkini isu berhubung dengan kebangkitan rakyat Arab menentang rejim diktator. Turki menyatakan sokongan kepada rakyat yang bangkit dan mengecam pihak diktator yang menindas rakyat mereka, lebih cepat sebelum AS mengeluarkan kenyataan rasmi. Walaupun Turki mempunyai kepentingan dagang.
Dasar yang telah membentuk hubungan luar Turki pada hari ini semenjak tahun 2003 lagi telah diilhamkan oleh menteri luarnya Dr Ahmed Davotoglu, yang juga mantan pensyarah di UIAM, Malaysia. Beliau menjadi penasihat kepada perdana Menteri Recep Tayyib Erdogan sejak 2003, dan akhirnya dilantik sebagai Menteri luar Turki pada 2009. Pengalamannya sebagai ahli akademik, pemikir dan juga pakar dalam bidang politik ekonomi dan hubungan luar telah menjadikan dasar yang dihasilkannya itu mempunyai nilai falsafah tersendiri berbanding dasar luar Turki sebelum ini. Hubungan luar Turki kini itu menjangkaui pengamalan dan pemahaman sistem antarabangsa yang konvensional. Pendekatan dasar luar Turki itu beroperasi berdasarkan lima prinsip utama yang konsisten: keseimbangan antara persoalan keselamatan dan demokrasi yang melibatkan isu kebebasan individu, hak asasi manusia dan juga kedaulatan undang-undang. keduanya dasar luar Turki adalah berpaksikan zero conflicts dalam hubungan dengan Negara-negara jiran dan Negara di rantau asia barat, eropah, Medittranean dan afrika utara. Ketiga dasar luar Turki yang usaha diplomatik yang proaktif dan pre-emptif dengan menekankan kepada soft power dan perdagangan bagi meleraikan pertelagahan.disamping pendekatan pelbagai dimensi didalam polisi luar dan yang lebih penting adalah dasar rhythmic diplomasi yang bermaksud keterlibatan Turki dalam segala pertubuhan dan kerjasama serantau dan antarabangsa, baik dalam ruang kedamaian, perdagangan, dan juga isu keselamataan. (Foreign Foreincy 10 Mei 2010-Ahmed Davotoghlu).
Kelima prinsip tersebut dijadikan sebagai formula hubungan luar yang dilihat sebagai rakan, mediator, dan dipercayai semua pihak. Teras 3 falsafah utama Turki iaitu Visionary, yang bermaksud dasar dan tindakan yang dilakukan adalah jauh dan mampan, keduanya sonsistent dan sytesmatic, didalam hal berhubung demokrasi, hak asasi dan kebebasan dan wacana pendekatan diplomatik yang baru. Menerusi perluasan soft power. Ini mempamerkan kepada dasar liberal klasik dimana sistem ekonomi pasaran dan juga kepentingan ekonomi semua pihak dijadikan alat utama untuk menjamin kesejahteraan dalam hubungan luar.Pihak yang mencurigai dan seteru dijadikan rakan dagang melalui kepentingan ekonomi bersama. Idea multiple-modernities juga agak ketara didalam perhubungan luar Turki. Dimana kepelbagaian pihak peripheral telah cuba dijadikan kekuatan untuk membentuk pusat yang baru didalam sistem antarabangsa kini dan bagi memunculkan sebagai kekuatan baru ekonomi. Hubungan Malaysia dan Turki kena pada masanya bagi hubungan strategik jangka masa panjang, pengalaman dan strategi Turki berhubung dasar luar memang berjaya dan berkesan hasilnya.
Dr. Maszlee Malik , 27 Februari 2011, Mingguan Malaysia