ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

SYEIKH, AL-SĀLIK DAN AL-RĀBITAH.


SYEIKH, AL-SĀLIK DAN AL-RĀBITAH.

Untuk menjelaskan lagi kedudukan al-rābitah dalam ilmu dan amalan tasawwuf ada baiknya jika diterangkan secara ringkas aspek-aspek yang ada kaitan dengannya. Antara yang terpenting dalam amalan ilmu dan amalan tasawwuf sehingga muncul istilah al-rābitah itu ialah syeikh atau dikenali juga dengan guru yang murshid.

Dalam ilmu tasawwuf, syeikh memainkan peranan yang amat penting untuk memimpin seorang sālik untuk mencapai ke tahap kesempurnaan di sisi Allah S.W.T. Dengan kedudukannya yang penting inilah maka amalan al-rābitah itu wujud dalam amalan tasawwuf. Justeru ada baiknya jika kita kemukakan kedudukan syeikh dalam disiplin ilmu tasawwuf. Semoga dengan penerangan ini dapat kita lihat hubungan di antara syeikh dan al-sālik dengan menggunakan kaedah al-rābitah untuk bertawassul ketika seorang murid berada di bawah asuhannya.

3.6.1 Kedudukan Syeikh

Dalam kita membicarakan syeikh, antara aspek yang perlu kita lakukan dalam memperjelaskan lagi kedudukannya menurut perspektif Islam dan amalan tasawwuf ialah dengan cara melakukan pengamatan, penelitian yang mendalam dari berbagai sudut dan aspek definisinya. Kedua, mengumpulkan fakta-fakta dan huraiannya yang berkaitan dengan syarat-syarat dan adab-adab bagi seorang syeikh. Manakala yang ketiga pula ialah merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai landasan untuk melihat kedudukan syeikh, di samping merujuk semula sejarah kehidupan manusia, agama, pendapat dan pandangan para ulamak tasawwuf yang sama-sama boleh membantu memperjelaskan lagi kedudukan syeikh dalam ilmu dan amalan tasawwuf.

Berlandaskan sumber-sumber dan maklumat di atas, dapatlah kita menerangkan kedudukan syeikh itu dengan lebih jelas menurut perspektif Islam dan ilmu dan amalan tasawwuf. Menurut Prof Madya Dr. Jahid bin Sidek dalam Tesis Ph.D beliau yang bertajuk al-Syeikh Dalam Ilmu Tariqah menyebutkan terdapat tujuh kedudukan syeikh antaranya ialah:

1. Syeikh itu berada pada posisi pewaris Rasulullah s.a.w, sama ada dari sudut zahir mahupun yang batin. Sebagai posisinya seorang waris tentu sahaja ia mewarisi khazanah yang pernah dimiliki oleh Baginda Rasulullah s.a.w berupa ilmu, makrifah, iman, akhlak yang mulia, sifat-sifat takwa dan sebagainya lagi yang merangkumi seluruh ajaran al-Qur’an seperti yang dijelaskan oleh Saidatina ‘Aisyah ra apabila beliau ditanya tentang akhlak Baginda s.a.w. beliau berkata: Adalah akhlak Baginda s.a.w itu ialah al-Qur’an.

Posisi dan status syeikh sebagai pewaris Rasulullah s.a.w yang tersebut itu sememangnya banyak disebutkan dan dihuraikan oleh ulamak-ulamak tasawwuf, sehingga dapat memberikan satu gambaran yang jelas bahawa para ulamak tasawwuf itu seolah-olah telah mengijmakkan perkara tersebut. Sebagai contoh apa yang dikemukakan oleh Syeikh ‘Abd al-Qādir ‘Isā menegaskan tentang kedudukan syeikh sebagai pewaris Nabi s.a.w. dengan katanya:
وبما أن رسالة سيدنا محمد عليه السلام عامة خالدة إلى قيام الساعة فإن لرسول الله صلى الله وارثا من العلماء العارفين بالله . ورثوا عن نبيهم العلم والخلق والإيمان والتقوى .فكانوا خلفا عنه في الهداية والإرشاد والدعوة إلى الله يقتبسون من نور ليضيئوا للإنسانية طريق الحق والرشاد . 

Maksudnya:

Oleh sebab risalah junjungan Nabi Muhammad s.a.w itu keadaannya adalah menyeluruh (untuk semua manusia) dan kekal pula hingga sampai hari kiamat, maka sudah pastilah Rasulullah s.a.w itu mempunyai para pewaris dari kalangan ulamak ‘ārif billah yang telah mewarisi ilmu, akhlak, iman dan takwa daripada nabi mereka itu. Para pewaris itu adalah merupakan para khalifahnya dalam (kepimpinan ke pintu) hidayat, asuhan dan dakwah kepada Allah S.W.T. Mereka itu sentiasa dapat mengambil sebahagian dari nur risalah Nabi s.a.w untuk mereka gunakan bagi menerangi jalan kebenaran dan kebaikan bagi kehidupan kemanusiaan.

Jika kita cuba bandingkan ungkapan di atas dengan maksud dari sebuah hadis Rasulullah s.a.w, kita akan dapati ia menepati kehendak dari hadis tersebut. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dardā’ antara lain meyebutkan:
أَخْبَرَنَا نَصْرُ بْنُ عَلِيٍّ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ دَاوُدَ عَنْ عَاصِمِ بْنِ رَجَاءِ بْنِ حَيْوَةَ عَنْ دَاوُدَ بْنِ جَمِيلٍ عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ إِنِّي أَتَيْتُكَ مِنَ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي عَنْكَ أَنَّكَ تُحَدِّثُهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لاَ قَالَ وَلاَ جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لاَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ بِهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالاَْرْضِ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ النُّجُومِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الاَْنْبِيَاءِ إِنَّ الاَْنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَإِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظِّهِ أَوْ بِحَظٍّ وَافِرٍ. 

Maksudnya:

Dan sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para nabi, dan sesungguhnya para nabi itu tidak mewariskan (wang) dirham dan dinar, tetapi mereka itu mewariskan ilmu, sesiapa yang telah mendapatkan ilmu itu berertilah ia telah mendapat bahagian yang sebanyak-banyaknya.

Dari keterangan di atas maka dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa syeikh itu merupakan sebahagian daripada mereka yang tergolong ke dalam al-‘ulamā’ warathat al-anbiyā’ yang sebenar. Mengapa tidak, kerana pewaris inilah yang dimaksudkan oleh Saidina ‘Ali ibn Abi Tālib k.w. sebagai orang alim yang benar-benar kenalkan Allah S.W.T. dan takutkanNya (al-‘ālim al-rabbāni) yang tetap terus hidup sepanjang masa dan ajaran-ajarannya sentiasa segar di dalam hati manusia, sekalipun jasadnya telah lenyap di dalam tanah. Mungkin juga orang alim tersebutlah yang dimaksudkan oleh Syeikh Sahl ibn ‘Abdillah al-Tustari (w 282H/867M) sebagai ulamak yang memiliki hati yang hidup dan sedar serta takutkan Allah S.W.T. dan sentiasa mendapatkan rahmat daripadaNya, sentiasa cintakan Allah S.W.T., mempunyai sifat malu dan sentiasa mengutamakan Allah S.W.T.dalam segenap situasi dan kondisi.

Sebagai posisinya pewaris kepada nabi, al-syeikh itu juga telah mewarisi ilmu yang bersifat ilhāmiyyah atau yang dikenali juga dengan nama ilmu laduniyyah atau dengan nama hikmah ilāhiyyah yang sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebahagian dari ilmu ilhāmiyyah atau ilmu laduniyyah atau hikmah ilāhiyyah yang telah dikurniakan kepada para mashā’ikh yang terkenal dalam bidang tasawwuf dan tariqah ada diabadikan dalam kitab-kitab yang mereka susun seperti kitab al-Hikam yang dikarang oleh Ibn ‘Atā’illah al-Iskandari (w 709 H), Kashf al-Mahjub oleh Syeikh al-Hujwiri (w.465H), al-Fath al-Rabbāni oleh Syeikh ‘Abd al-Qādir al-Jilāni (w.562 H/1147M) dan sebagainya lagi. 

Semua kitab tersebut apabila kita baca dan renungkan secara mendalam dengan mata hati (al-basirah) nescaya kita akan dapat menyaksikan bagaimana ilmu ilhāmiyyah atau ilmu laduniyyah tersebut mengalir dari lautan ilmu Allah S.W.T. ke dalam hati para mashā’ikh yang mengarang kita-kitab tersebut. Begitu juga apabila kita mendengar kata-kata para mashā’ikh itu, kita akan merasakan keadaan pengalaman yang serupa iaitu ada kalanya kata-kata mereka dipenuhi oleh ilmu tersebut yang terus mengalir dari lautan ilmu Allah S.W.T. menuju ke hati dan keluar ke lidah mereka. Syeikh Ibn ‘Atā’illah sendiri pernah merasakan pengalaman seperti itu semasa beliau mendengar buat kali pertama syarahan gurunya lalu beliau berkata bahawa orang itu (yang dimaksudkan ialah Syeikh Abu ‘Abbās al-Mursi) benar-benar telah menghirup ilmu dari limpahan lautan Ilāhi. Pada ketika itu Allah S.W.T. telah menghapuskan perasaan yang tidak mempercayai terhadap ilmu tasawwuf pada diri Ibn ‘Atā’illah. 

Kalau dilihat dari latarbelakang sejarah kehidupan Ibn ‘Atā’illah, beliau merupakan seorang faqih yang terkenal dalam mazhab Maliki, pada mulanya menentang pengajaran ilmu tasawwuf, hal ini disebabkan kerana beliau menolak kewujudan ilmu tasawwuf dalam Islam, terutamanya ajaran tasawwuf yang dibawa oleh Syeikh Abu ‘Abbās al-Mursi. Namun dengan kehendak daripada Allah S.W.T segala pengalaman beliau ketika mendengar syarahan Syeikh Abu ‘Abbās al-Mursi menyebabkan beliau menerima ilmu tasawwuf dan terus menjadi muridnya. Akhirnya beliau merupakan pendokong dan tokoh yang bertanggungjawab dalam menyebarluaskan ajaran tasawwuf di bawah payung Tariqat al-Shādhiliyyah. Secara terus terang beliau mengakui kewujudan ilmu laduniyyah tersebut dan akhirnya dapat mengarang kitab al-Hikam yang secara keseluruhannya mengandungi ajaran tasawwuf.
2. Syeikh merupakan seorang yang mempunyai hubungan yang erat dan rapat dengan Rasulullah s.a.w., kerana syeikh itu berada pada posisi waris yang berhak mewarisi berbagai pusaka yang telah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Tegasnya syeikh mempunyai hubungan nasab atau keturunan yang erat dan hampir dengan Baginda s.a.w. sehingga layak ia menerima pusaka daripadanya. Bagaimanapun bukanlah merupakan nasab atau keturunan yang hakiki atau keturunan darah yang sebenar, tetapi keturunan atau nasab yang bersifat ma‘nawi.

Boleh kita katakan di sini, yang dimaksudkan dengan nasab ma‘nawi tersebut ialah ilmu, iman, sifat-sifat takwa, ma‘rifah dan sebagainya lagi yang wujud pada diri syeikh itu benar-benar berasal daripada Rasulullah s.a.w. Persoalannya bagaimana hal ini boleh terjadi? Tentu saja jawapannya bahawa syeikh tersebut mewarisi daripada syeikhnya, sedangkan syeikhnya pula mewarisi daripada syeikhnya yang lebih dahulu darinya. Begitulah seterusnya, apa yang berlaku dalam disiplin ta‘lim dan tarbiyah ilmu dan amalan tasawwuf, sambung-menyambung daripada seorang kepada seorang yang lain hinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w. Keadaan yang berlaku dalam disiplin serta tradisi ilmu dan amalan tersebut seolah-olah serupa dengan hubungan darah seseorang yang sebenar. Penulis merasakan tidak ada sebarang keganjilan yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dalam hal ini, malahan disiplin ilmu Islam yang lain juga menekankan hal ini demi menjaga kesahihan sesuatu ilmu seperti yang dilakukan oleh ulamak muhaddithin dengan disiplin mustalahnya.

Hubungan nasab ma‘nawi dengan Rasulullah s.a.w yang begitu erat merupakan asas dan dasar yang sangat penting dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf . Ulamak-ulamak tasawwuf memberikan penekanan yang sangat utama tentang adanya hubungan nasab ma‘nawi ini di antara seorang syeikh dengan Rasulullah s.a.w sehingga hubungan nasab tersebut dijadikan salah satu syarat penting yang mesti ada pada seseorang syeikh itu. 

Dengan adanya hubungan nasab ma‘nawi di antara seorang syeikh dengan Rasulullah s.a.w maka ilmu dan amalan Islam yang bersifat zahir mahupun yang batin dapat dipelihara keutuhan, kebenaran dan semua adab-adabnya, kerana ia berasal daripada sumbernya yang sah dan sebenar. Semasa hayat Rasulullah s.a.w., Baginda merupakan sumber hidayat dan keberkatan yang datang daripada Allah S.W.T, kemudian mengalir ke dada para sahabatnya. Justeru itu, apabila wafat Baginda s.a.w, tempat Baginda diambil alih oleh para sahabat, tābi‘in, tābi‘ al-tābi‘in dan seterusnya hingga ke hari ini yang menurut istilah ilmu dan amalan tasawwuf dikenali sebagai syeikh. Hidayat dan keberkatan akan mudah mengalir daripada Allah S.W.T kepada syeikh dan seterusnya ke dada para muridnya. 

Oleh sebab itulah para ulamak menegaskan bahawa seorang syeikh yang terputus silsilahnya (tidak sampai kepada Rasulullah s.a.w) bererti terputuslah keberkatannya dan ia bukanlah orang yang berhak berada pada posisi pewaris Baginda s.a.w. yang sah. Dalam hal ini Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi ada menegaskan pandangannya mengenai fakta ini dengan katanya:
فمن لم تتصل سلسلته إلى حضرة النبوية فإنه مقطوع الفيض ولم يكن وارثا لرسول الله صلى الله عليه وسلم . 

Maksudnya:

Maka sesiapa yang silsilahnya tidak bersambung sampai kepada kehadirat kenabian itu, sesungguhnya ia terputus dari limpahan rohani itu dan bukanlah waris Rasulullah s.a.w (yang sebenarnya).

Justeru kerana itu para ulama tasawwuf telah menyimpulkan bahawa seseorang yang sālik itu mestilah mengetahui kedudukan silsilah syeikhnya supaya dapat memastikan nasab atau keturunan ma‘nawinya benar-benar sampai kepada Rasulullah s.a.w. Jika tidak, ini bererti ia tidak kenalkan bapa dan datuknya yang ma‘nawi. Manakala perjalanan kerohaniannya pula seperti perjalanan orang buta yang tentu sahaja akan mengalami berbagai masalah dan kesukaran yang mengakibatkan gagalnya wusul kepada Allah S.W.T. Syeikh ‘Abd al-Wahhāb al-Sha‘rāni ada menjelaskan hal ini dengan katanya:
اعلم أيها الطالب المريد من لم يعلم أباه وأجداد فى الطريق فهو أعمى وربما انتسب الى غير أبيه. 

Maksudnya:

Ketahuilah wahai murid! Sesiapa yang tidak kenalkan bapanya dan para datuknya dalam tariqah itu, maka ianya adalah buta dan mungkin juga nasabnya dihubungkan kepada orang lain yang bukan bapanya (yang sebenar).

Dengan keterangan dan perbincangan di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa kedudukan atau posisi syeikh sebagai kerabat ma‘nawi Rasulullah s.a.w. merupakan satu kedudukan yang sangat tinggi dan istimewa dalam Islam. Sebab keturunan ma‘nawi itu juga bererti sebagai bukti atbā‘ al-Rasul atau pengikut Rasulullah s.a.w. yang sebenar. Orang yang benar-benar mengikuti jejak Rasulullah s.a.w. zahir dan batin adalah dalam golongan orang yang dicintai oleh Allah S.W.T, seperti yang difirmankanNya:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ 

Maksudnya:

Katakanlah wahai Muhammad! Jika kamu benar-benar mencintai Allah S.W.T., maka ikutilah aku, nescaya Allah S.W.T. mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah S.W.T. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dari keterangan ayat al-Qur’an di atas dapat kita fahamkan bahawa seorang yang dicintai oleh Allah S.W.T. adalah juga dikasihi oleh Rasulullah s.a.w, dengan kedudukan yang demikian tentu sahaja ia mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah S.W.T di dunia mahupun di akhirat. Antara mereka yang mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah S.W.T selain daripada Rasul dan para Anbiyā’ ialah golongan siddiqin, shuhadā’ dan sālihin yang setiap muslimin dan muslimat memohon ke hadrat Allah S.W.T untuk dimasukkan di kalangan mereka seperti yang diungkapkan dalam bacaan solat:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ. صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ . 

Maksudnya:

Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

Jelas sekali, posisi dan kedudukan seorang syeikh seperti yang diterangkan adalah termasuk dalam salah satu daripada golongan yang tersebut.

3 Syeikh sebagai khalifat Rasulillah atau pengganti atau wakil Rasulullah s.a.w di dalam bidang tabligh atau penyebaran ajaran Islam dan tarbiyah serta asuhan dalam penghayatan ajaran Islam yang sebenarnya sama ada bersifat zahir mahupun yang batin. Kedudukan tersebut ada dijelaskan sendiri oleh Nabi s.a.w dalam sabdanya yang telah diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dalam Sunannya antara lain menyebutkan:
: لا يمس النار مسلما رآنى أو رأى من رآنى . 


Maksudnya:

Tidak akan disentuh api neraka orang Islam yang melihat aku, dan tidak juga akan disentuh api neraka orang Islam yang melihat orang yang telah melihat aku.

Syeikh ‘Abd al-Wahhāb al-Sha‘rāni menganggap syeikh itu sebagai pengganti atau wakil yang membawa syariat Nabi Muhammad s.a.w, ini dapat kita lihat dari ungkapan beliau yang antara lain menyebutkan:
ان شيوخ رضى الله عنهم نواب الشارع صلى الله عليه وسلم. 
Maksudnya:

Sesungguhnya para syeikh itu adalah naib (pengganti/wakil) bagi pembawa syariat s.a.w dalam (urusan) mendidik dan mengasuh seluruh manusia.

Sedang Syeikh ‘Abd al-Qādir ada menjelaskan dengan katanya:
فكانوا خلفأ عنه فى الهداية والارشاد والدعوة الى الله ,يقتبسون من نوره للانسانية طريق الحق والرشاد . 

Maksudnya:

Mereka itulah para khalifahnya dalam (kepimpinan ke pintu) hidayat, asuhan dan dakwah kepada Allah S.W.T. Mereka itu sentiasa dapat mengambil sebahagian dari nur risalah Nabi s.a.w untuk mereka gunakan bagi menerangi kebenaran dan kebaikan bagi kehidupan manusia.

Dari keterangan di atas, sama ada dari hadis yang disabdakan oleh Baginda s.a.w atau dari huraian dan pandangan para ulama tasawwuf, jelas menunjukkan kepada kita bahawa kedudukan syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai seorang khalifah Rasulullah s.a.w atau wakilnya dalam kerja-kerja al-tabligh, al-tarbiyah al-ruhāniyyah dan menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Selepas kewafatan Baginda s.a.w., para sahabat berperanan sebagai pengganti kepada Rasul s.a.w. Setelah zaman sahabat berlalu, maka al-tābi‘in pula yang mengambil tempat mereka (sahabat) sebagai khalifah yang melaksanakan urusan al-tabligh dan al-tarbiyah. Seterusnya silih berganti hinggalah ke hari ini, para khalifahnya terus wujud dan terus melaksanakan tugas-tugas tersebut.

4 ِSyeikh jika dilihat dari sudut ilmu, merupakan orang yang benar-benar berada dalam golongan yang dimaksudkan oleh Baginda s.a.w sebagai al-‘Ulamā’ warathat al-anbiyā’ (ulamak pewaris para nabi). Kedudukan ini selayaknya bagi seorang syeikh jika kita timbang bahawa syeikh itu mempunyai tiga darjat di atas iaitu sebagai pewaris, khalifah dan kerabat Nabi s.a.w yang terdekat. Justeru bagi seorang yang mempunyai kedudukan sebagai ulamak pewaris nabi-nabi” tentu sahaja mereka memiliki ilmu dan ma‘rifah yang lebih sempurna dan lebih baik dari ilmu yang dimiliki oleh ulamak biasa. Begitu juga jika dilihat dari sudut akhlaknya tentu sahaja ia lebih baik dan lebih mulia dari akhlak ulamak biasa. Tegasnya berbagai aspek zahir dan batin seseorang syeikh adalah menggambarkan ciri-ciri sifat seorang ulamak yang sebenar di samping menepati dengan gelaran ulamak pewaris nabi seperti yang dimaksudkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. tersebut.


Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri ada menyebutkan kedudukan para mashāyikh tersebut dari sudut ilmu dan ma‘rifahnya dengan membandingkan mereka dengan ulamak-ulamak selainnya dengan katanya:
فإن هؤلاء حججهم في مسائلهم أظهر من حجج كل أحد وقواعد مذاهبهم أقوى من قواعد كل مذهب والناس إما أصحاب النقل والآثر وإما أرباب العقل والفكر وشيوخ هذه الطائفة ارتقوا عن هذه الجملة فالذى للناس غيب فهو لهم ظهور والذي للخلق من المعارف مقصود فلهم من الحق سبحانه موجود فهم أهل الوصول والناس أهل الاستدلال . 
Maksudnya:

Sesungguhnya para syeikh itu, hujah-hujah mereka tentang berbagai masalah adalah lebih jelas daripada hujah-hujah tiap-tiap orang (yang lain);kaedah-kaedah (dalam mazhab mereka juga lebih teguh daripada kaedah-kaedah mazhab lainnya; orang ramai itu sama ada mereka menjadi orang yang berpegang kepada (zahir) al-Qur’an, hadis dan kata-kata ulamak salaf ataupun menjadi orang bergantung kepada (kekuatan akal dan fikiran, padahal syeikh-syeikh golongan (al-sufiyyah) ini telahpun meningkat tinggi melintasi itu semua; perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai, dapat dilihat jelas oleh syeikh-syeikh itu; berbagai ma‘rifah yang sedang dicari-cari oleh orang ramai, bagi syeikh-syeikh itu pula ma‘rifah tersebut telah pun mereka perolehi daripada kurniaan Allah S.W.T.; syeikh-syeikh itu merupakan orang yang sudah sampai (kepada hakikat Allah S.W.T. yang sebenar) sedang orang ramai masih mencari-carinya menerusi dalil-dalil.

Jelas dari pandangan dan ulasan daripada Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri di atas menunjukkan kepada kita terdapat perbezaan dan kelebihan yang begitu ketara di antara kedua-dua golongan ulamak (ulamak tasawwuf dan ulamak zahir) dari sudut ilmu dan ma‘rifah. Menurut Prof Madya Dr.Jahid Sidek, antara kelebihan tersebut ialah:

a) Dari sudut keupayaan untuk memberikan dalil-dalil ataupun bukti-bukti yang paling jelas mengenai sesuatu hukum yang timbul berkaitan dengan masalah-masalah agama, mereka lebih berupaya. Abu Tālib Makki memberikan penegasan dalam hal ini dengan menyatakan :
وقد كان علمأ الظاهر إذا أشكل عليهم علم فى مسألة الاختلاف الأدلة سألوا أهل العلم بالله لأنهم أقرب إلى التوفيق وأبعد من الهوى والمعصية .


Maksudnya:

Dan sesungguhnya ulama-ulama zahir itu bila menghadapi kemusykilan agama mengenai sesuatu masalah disebabkan adanya dalil-dalil yang berlawanan, maka mereka itu meminta (penjelasan hukumnya) dari ahli-ahli ‘ilm billah itu, (kerana mereka itu lebih hampir kepada taufik dan jauh daripada hawa nafsu dan maksiat. 

Untuk membuktikan kenyataan beliau di atasو maka Abu Tālib Makki seterusnya mengatakan:

منهم الشافعى رحمه الله تعالى كان إذا اشتبهت عليه المسألة لاختلاف أقوال العلماء فيها وتكافؤا لاستدلال عليها رجع إلى علماء أهل المعرفة .

Maksudnya:

Di antara mereka itu (ulama zahir yang merujukkan masalah yang mereka hadapi kepada syeikh) ialah Imam al-Syafi’i rahimahullah ta’ala. Bila beliau itu menghadapi kekaburan masalah, disebabkan kata-kata ulama yang bercanggah mengenai masalah tersebut dan jalan dalilnya sama kuatnya, maka beliau pun merujuk (masalah itu) kepada ulama’ ahli ma‘rifah itu. 

Seterusnya Syeikh Abu Tālib Makki menunjukkan kepada kita orang yang selalu dijadikan pakar rujuk dan guru tarbiyah oleh al-Imam al-Syafi’i. Orang yang dimaksudkan ialah Shubbān al-Ra’y. Beliau melaporkan kepada kita dengan katanya:
وكان يجلس بين يدى شبان الراعى كما يجلس الصبى بين يدي المكتب ويسأله كيف يفعل فى كذا وكيف يصنع فى كذا .

Maksudnya:

Dan Imam al-Syafi’i itu duduk di hadapan Shubbān al-Ra’y seperti kanak-kanak duduk di hadapan guru tulisnya dan ia bertanya kepada Shubbān al-Ra’y itu: Macam mana hendak dibuat tentang (masalah) ini; dan bagaimana hendak dilakukan tentang (masalah) ini pula. 


a) Dari keterangan yang diberikan oleh al-Imam Abu Qāsim al-Qushayri di atas, dapat juga kita lihat bahawa kaedah-kaedah ilmu dan amalan yang ada di kalangan para al-mashā’ikh itu adalah lebih baik, lebih kuat dan berkesan. Sebagai contoh, dalam usaha untuk mengenal Allah S.W.T., kaedah ihsān menerusi zikrullah dan murāqabah digunakan oleh para mashā’ikh. Sedangkan para ulama mutakallimin menggunakan kaedah istidlāl dan rasional. Tentu sahaja kaedah ihsān yang digunakan oleh para mashā’ikh itu lebih baik, kerana kaedah ini selaras dengan kehendak dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebagai contoh, menurut keterangan ayat 190 dan 191 dari surah Āli ‘Imrān bahawa zikrullah dan murāqabah itu adalah jalan untuk mencapai ma‘rifah yang sebenar. Jelas dari kaedah tersebut akan memudahkan terbukanya hijāb hati dan memudahkan mendapat jadhbah, kashaf dan ma‘rifah. Oleh sebab itu ulama-ulama tasawwuf menyimpulkan bahawa zikrullah adalan jalan yang paling dekat untuk segera sampai kepada Allah S.W.T. dan keredaanNya, tanpa zikrullah jalan menuju kepada Allah S.W.T. menjadi jauh dan langkahnya juga menjadi lambat sehingga mungkin tidak akan sampai sehingga seseorang itu mati. 

b) Seterusnya dapat juga kita fahamkan dari ungkapan al-Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri tersebut bahawa para mashā’ikh itu sebenarnya mempunyai basirah atau mata hati yang terang dan awas kerana hijābnya telah dibukakan oleh Allah S.W.T. dan dikurniakan kashaf kepadanya. Dengan kashaf tersebut mereka dapat melihat berbagai perkara yang ghaib yang biasanya tidak dapat dilihat dan diperhatikan oleh orang biasa. Sebagai contoh, seorang syeikh memberi sejumlah wang kepada seorang muridnya untuk menyewa seorang perempuan yang tinggal di sebuah bilik, dengan rasa penuh keraguan dan tandatanya, pergilah murid itu seperti yang telah diperintahkan oleh syeikhnya. Akhirnya murid tersebut mendapati bahawa perempuan yang ada di dalam bilik itu adalah isterinya sendiri yang telah lama ditinggalkan kerana menuntut ilmu. 

c) Dari kata-kata Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri itu juga dapat kita melihat bahawa syeikh itu merupakan seorang yang benar-benar ‘ārif billah yang telah sampai kepada hakikat Allah S.W.T. yang sebenar iaitu hakikat uluhiyyah dan rububiyyahNya. Inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Abu Qāsim al-Qushayri bahawa para mashāyikh itu adalah ahl al-wisāl. Ahl al-wisāl ini menurut keterangan yang dikutip daripada Ibn ‘Ajibah ialah orang-orang yang telah dipilih oleh Allah S.W.T. dengan diberi cintaNya, dijadikan sebagai wali Nya, dibukakan hijāb pintu hatinya, diperlihatkan kepadanya berbagai rahsia zatNya sehingga semua kesan-kesan kekuasaan dan kewujudanNya iaitu segala kejadian dan ciptaan Allah S.W.T. itu tidak menghalang pandangan basirah terhadap hakikat Allah S.W.T. dan kehambaan dirinya sendiri. 

Seterusnya, menurut Ibn ‘Ajibah lagi bahawa orang yang tersebut juga dikenali sebagai ahl al-‘irfān, ahl al-shuhud dan ahl al-‘ayyān yang tidak melihat wujudnya semua makhluk kerana ia shuhud terhadap Allah S.W.T. semata-mata. Oleh itu syeikh adalah orang yang telah sampai ke maqām fanā’ dan baqā’ billah. 

Dari kelima-lima sifat yang dimiliki oleh syeikh seperti yang telah dikatakan oleh Syeikh Abu al-Qāsim al-Qushayri itu jelas kepada kita bahawa syeikh itu merupakan seorang wali Allah S.W.T., yang sentiasa bersifat dengan sifat taqwa dan sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah S.W.T. dengan firmanNya :
إِنَّ وَلِيِّي اللَّهُ الَّذِي نَزَّلَ الْكِتَابَ وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِينَ

Maksudnya:

Sesungguhnya Pelindungku adalah Allah S.W.T. yang telah menurunkan Kitab (al-Qur’an) dan Allah S.W.T. lah yang mengurus dan melindungi orang-orang yang salih.

5. Kedudukan syeikh dari sudut ketakwaan mereka adalah merupakan orang yang benar-benar mencapai taraf ulu al-albāb iaitu orang yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالاَْرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّار 

Maksudnya:

Mereka itulah orang-orang yang berdhikrullah dalam keadaan berbaring dan mereka itu sentiasa memikirkan (bukti-bukti kewujudan dan kekuasaan Allah S.W.T.) di dalam ciptaanNya yang di langit dan yang di bumi, seraya berkata: Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan (semua ciptaan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka.

Dari keterangan ayat di atas menunjukkan bahawa orang yang bertaraf ulu al-bāb itu ialah orang yang mukmin dan sentiasa berzikrullah dan bermurāqabah terhadap Allah S.W.T. sehingga mereka mencapai hakikat kekurangan, jahil, lemah dan sebagainya lagi. Ciri-ciri ketakwaan tersebut ada dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam firmanNya yang antara lain menyebutkan:
الَّذِينَ يُوفُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَلاَ يَنقُضُونَ الْمِيثَاقَ وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاَةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلاَنِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّار

Maksudnya:

(Ulu al-albāb itu) ialah orang-orang yang memenuhi janji Allah S.W.T. dan tidak merosakkan perjanjian itu; dan orang-orang yang menghubungkan apa yang Allah S.W.T. perintah supaya dihubungkan (tali persaudaraan dan silat al-rahim) dan mereka itu takut kepada Tuhan mereka dan takut terhadap hisab yang buruk; dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredaan Tuhan mereka, mereka mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi ataupun terus terang dan mereka itu menolak kejahatan dengan kebaikan; mereka itulah yang mendapat tempat kesudahan(yang baik).

Dari ayat-ayat al-Qur’an di atas Prof Madya Dr. Jahid Sidek seterusnya menyenaraikan sifat-sifat taqwa orang-orang yang ulu al-albāb itu sebagai:

a) Golongan ini sentiasa bertaqwa, melakukan apa sahaja yang diperintahkan dan menjauhkan segala larangan Allah S.W.T. dalam erti kata yang sebenar sama ada yang zahir mahu pun yang batin. Tegasnya mereka itu benar-benar menjadi orang-orang yang bersifat dengan sifat taqwa.

b) Para mashā’ikh itu memiliki akhlak yang mulia di samping menjaga hubungan sosial mereka, selaras dengan firman Allah S.W.T:
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمْ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلا بِحَبْلٍ مِنْ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنْ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنْ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمْ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الاَْنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ


Maksudnya:

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah S.W.T. dan adanya sebab daripada manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah S.W.T., dan mereka ditimpakan kemiskinan dari segala jurusan. Yang demikian itu, mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah S.W.T. (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah S.W.T.).

Tegasnya mereka adalah orang yang benar-benar berpegang teguh dengan pengertian ayat di atas yang terangkum dalam makna hablun min al-nās dan hablun min Allah seperti yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dan para sahabatnya. Allah S.W.T menceritakan kedudukan mereka seperti yang difirmankanNya:
وَعِبَادُ الرَّحْمَانِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الاَْرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمْ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلاَمًا

Maksudnya:

Dan hamba-hamba (Allah S.W.T.) al-Rahman (yang diredai Nya), ialah mereeka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.

c) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah mereka yang hanya takut kepada Allah S.W.T. Sifat ini lahir pada diri mereka kerana mereka telah shuhud terhadap hakikat keagungan dan kesempurnaan Allah S.W.T, dalam ertikata yang lain ialah shuhud terhadap uluhiyyah dan rububiyyah Allah S.W.T. Di samping itu mereka juga bimbang terhadap perbicaraan di padang mahsyar jikalau amalan yang jahat itu lebih banyak dari yang baik. Atau khuatir jika amalan yang baik itu tidak diterima oleh Allah S.W.T. Mereka juga bersifat bimbang jika kesudahan hidup mereka disudahi dengan su’ al-khātimah, lantaran itu mereka sentiasa memiliki sifat orang-orang yang ikhlas takutkan Allah S.W.T.

d) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah mereka yang sentiasa bersifat sabar dalam menghadapi semua ujian dan dugaan yang Allah S.W.T berikan kepada mereka pada setiap masa dan keadaan, kerana mereka ingin mendapat keredaan daripada Allah S.W.T semata-mata. Mereka digambarkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. 

Maksudnya:

(Orang-orang yang bersabar itu) ialah orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu musibah, mereka mengucapkan: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah S.W.T. dan sesungguhnya kepada Nyalah kami kembali. 

e) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu menggunakan harta dan kekayaan yang mereka miliki hanya untuk tujuan mendapatkan keredaan dari Allah S.W.T. Sama sekali tidak akan membelanjakan harta tersebut ke jalan yang dimurkai oleh Allah S.W.T. Dengan harta tersebut mereka tidak bersifat riyā’ dan ‘ujub terhadap pengorbanan yang mereka lakukan terhadap harta mereka. Keikhlasan adalah asas di dalam menginfakkan harta tersebut,sama ada secara terang atau secara rahsia, bagi mereka adalah sama sahaja, kerana yang mereka pandang hanya Allah S.W.T. sahaja.

f) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah orang yang boleh bertindak dengan sebaik-baiknya di dalam menghadapi sebarang kejahatan yang dilemparkan kepada mereka. Di antara kemuliaan yang dimiliki oleh mereka ialah membalas kejahatan dengan kebaikan. Ini menunjukkan wujudnya kemuliaan hati dan keteguhan iman yang dimiliki oleh mereka. Justeru mereka adalah tergolong di kalangan orang-orang yang ‘ārif bi Allah yang sentiasa shuhud terhadap Allah S.W.T.

g) Orang-orang yang bersifat ulu al-albāb itu ialah mereka yang mendirikan solat dengan penuh khusyu’ dan tawādu‘ dengan sentiasa mengingati keagungan dan kesempurnaan Allah S.W.T. Mereka itu adalah merupakan orang-orang mukmin yang beroleh kejayaan di sisi Allah S.W.T. seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ . الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاَتِهِمْ خَاشِعُونَ. 

Maksudnya:

Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka.

Dari fakta yang terkandung dalam ayat 20-22 surah al-Ra’d tersebut dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa sifat-sifat taqwa golongan ulu al-albāb itu adalah yang paling sempurna dan istimewa. Justeru kerana itu sifat-sifat tersebut sewajarnya wujud di kalangan para mashā’ikh seperti yang telah diterangkan di atas.

6. Di kalangan ulama tasawwuf, syeikh merupakan orang yang mempunyai kedudukan dan status yang istimewa di sisi Allah S.W.T, kerana mereka dianggap sebagai salah satu pintu dari berbagai pintu rahmat Allah S.W.T. yang sentiasa menyeru manusia untuk menghampirkan diri kepadaNya dan mendapatkan keredaanNya. Mengenai hal ini Allah S.W.T menjelaskan dengan firmanNya: 
قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنْ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ . 

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad):Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutiku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah S.W.T. dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah S.W.T. (dari segala iktikad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah S.W.T. dengan sesuatu yang lain.

Dari maksud firman Allah S.W.T dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w itu merupakan pintu berbagai rahmat Allah S.W.T. seperti ilmu, iman, ma‘rifah dan sebagainya lagi. Demikian juga bagi umatnya yang mengikuti dan menghayati ajaran-ajarannya, sama ada yang zahir mahupun yang batin adalah juga sebagai pintu berbagai rahmat Allah S.W.T. tersebut. Seorang syeikh sepertimana yang telah dihuraikan di atas adalah merupakan pewaris Rasulullah s.a.w, khalifahnya dan orang yang paling hampir dengannya. Dengan kedudukan ini tentulah seorang syeikh itu tergolong di kalangan orang-orang yang mengikuti sunnahnya yang zahir dan yang batin. Dari sini dapat kita lihat bahawa syeikh itu adalah di antara salah satu pintu dari pintu-pintu rahmat Allah S.W.T. Sebagai seorang murid yang sentiasa belajar dan berdampingan dengan syeikh itu tentulah ia berada di hadapan pintu rahmat Allah S.W.T. 

Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, seorang murid dikehendaki supaya seboleh-bolehnya sentiasa berdampingan dengan syeikhnya dan sentiasa taatkannya. Perhubungan yang rapat dalam kehidupan sehari-hari di antara seorang murid dengan syeikhnya adalah dituntut dalam Islam seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ. 
Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T., dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang benar.

Tujuan dari perintah supaya sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang bertaraf al-siddiqin itu ialah supaya kita sentiasa mendapat keberkatan dan berbagai rahmat daripada Allah S.W.T. menerusi mereka. Dengan taraf mereka sebagai al-siddiqin tentulah ia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. selepas kedudukan para Anbiyā` dan Rasul, sebab itu Allah S.W.T. memberi pengakuanNya terhadap mereka ini dengan firmanNya:
وَمِنْ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالاَْنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ. 

Maksudnya:

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya. Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah S.W.T. dari kalangan hambaNya hanyalah orang-orang yang bergelar ulama. Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Dengan kedudukan mereka selepas para Anbiyā` dan Rasul, maka tidak hairanlah kalau Allah S.W.T. telah menjanjikan tempat di dalam syurga bagi mereka seperti yang terdapat dalam firmanNya:
وَمَنْ يُطِعْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُوْلَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُوْلَئِكَ رَفِيقًا. 

Maksudnya:

Dan sesiapa yang taat kepada Allah S.W.T. dan RasulNya, maka mereka akan ditempatkan di dalam syurga bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah S.W.T. kepada mereka, iaitu Nabi-nabi dan orang-orang al-siddiqin dan orang-orang al-shāhidin, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Dari keterangan kedua-dua ayat al-Qur’an yang tersebut di atas tadi dapatlah dilihat kedudukan seorang yang bertaraf syeikh amat tinggi di sisi Allah S.W.T. Sekalipun ia tidak mencapai taraf al-siddiqin, sudah pasti mereka ini menduduki taraf al-shuhadā’ atau al-sālihin seperti yang termuat dalam ayat tersebut. Justeru kerana itu, dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, seorang murid dikehendaki supaya sentiasa berdampingan dengan syeikhnya, jika tidak dapat berbuat demikian maka hendaklah ia membayangkan wajah syeikhnya itu. Dari sini maka timbullah istilah yang dikenali di kalangan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai al-rābitah.

7. Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf seorang yang bergelar syeikh itu dianggap sebagai seorang mukmin yang telah mencapai taraf al-muhsinin. Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. dalam al-Qur’an yang rahmat Allah S.W.T. itu sentiasa hampir (sentiasa diberikan) kepada orang yang al-muhsinin seperti yang telah dijelaskan olehNya:
وَلاَ تُفْسِدُوا فِي الاَْرْضِ بَعْدَ إِصْلاَحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنْ الْمُحْسِنِينَ. 

Maksudnya:

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah S.W.T. menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T. itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya (muhsinin).

Seperti yang telah kita huraikan di atas tadi bahawa seorang syeikh itu merupakan salah satu dari pintu dari berbagai pintu rahmat Allah S.W.T., oleh itu boleh kita katakan bahawa syeikh itu adalah golongan yang hampir kepada rahmat Allah S.W.T. Orang yang sentiasa hampir dengan rahmat Allah S.W.T. itu adalah orang yang bergelar al-muhsinin. Kesimpulannya, seorang syeikh itu adalah bertaraf al-muhsinin. Jika kita tinjau dari sudut hadis pula kita akan dapati bahawa syeikh itu adalah antara orang yang sudah mencapai martabat ihsān seperti yang disabdakan oleh Baginda s.a.w di dalam sebuah hadisnya:
الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه , فان لم تكن تراه فإنه يراك . 

Maksudnya:

Ihsān itu ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihatNya. Jika anda tidak (terasa) melihatnya, maka sesungguhnya Allah melihat anda.

Dengan berbagai fakta yang telah dihuraikan di atas berhubung dengan status dan kedudukan seorang syeikh menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, dapatlah kita membuat kesimpulan yang tepat bahawa seorang yang bergelar syeikh yang sebenar atau yang memenuhi semua syarat-syarat dan adab-adab syeikh yang telah ditentukan adalah seorang mukmin yang mempunyai status dan kedudukan yang paling istimewa sekali. Keadaan ini disebabkan kerana seorang syeikh itu mempunyai nasab ma‘nawi yang rapat hubungan dengan Rasulullah s.a.w di samping mewarisi sifat-sifat ketakwaan, keilmuan, ma‘rifat dan sebagainya lagi. Dengan sifat yang dimiliki oleh mereka ini sudah tentu mereka dapat menegakkan kebenaran seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. tanpa menghiraukan segala rintangan, halangan dan penghinaan demi menegakkan kebenaran tersebut, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w:
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتى أمر الله وهم كذلك . 
Maksudnya:

Akan sentiasa wujud satu golongan dari umatku itu yang tetap menegakkan kebenaran, tanpa memperdulikan orang yang menghinakan mereka, sehingga datang urusan Allah S.W.T. (kematian atau sebagainya) mereka tetap berkeadaan demikian itu.