ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

UNIVERSITI DINAUNGI RAJA-RAJA DI CYBERJAYA



UNIVERSITI  DINAUNGI  RAJA-RAJA DI  CYBERJAYA

SHAH ALAM 7 Sept. - Universiti Islam Malaysia yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu bakal dibuka di Cyberjaya pada tahun hadapan.
Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, dengan pembukaan universiti itu nanti, ia bakal menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, universiti berkenaan adalah kesinambungan daripada Kolej Islam Malaya yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 1955 dan pentadbirannya ketika itu diurus dengan menggunakan sumber wakaf dan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Kolej Islam Malaya yang dihentikan operasinya pada 1970 atas sebab-sebab tertentu akan diaktifkan semula dan kali ini ia akan dinaik taraf serta dikenali sebagai Universiti Islam Malaysia.

"Pengiktirafannya juga telah dibawa serta diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kini menunggu perakuan serta pertimbangan terakhir oleh Kabinet," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf Majlis Universiti Islam Malaysia di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan dana wakaf Universiti Islam Malaysia daripada beberapa syarikat korporat, pertubuhan bekas pelajar serta individu.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadi penyumbang terbesar dengan sumbangan sebanyak RM5 juta diikuti oleh syarikat Shahpadu Corp. Sdn. Bhd. yang menyumbang sebanyak RM100,000.

Tokoh agama, Datuk Dr. Harun Din yang mewakili bekas Pelajar Kolej Islam Malaya turut memberi sumbangan sebanyak RM30,675 manakala waris serta warga komuniti Petaling Jaya menyumbangkan sebanyak RM17,000.
Persatuan Alumni Kolej Islam (Alkis) pula menyumbang sebanyak RM11,000 manakala Persatuan Bekas Pelajar Kolej Islam Malaya (PBPKIM) serta bekas Ketua Pelajar Kolej Islam Malaya, Puzi Dahman masing-masing menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000.

Mengulas lanjut mengenai universiti itu, Mohd. Yusof berkata, pihaknya kini dalam proses pengambilan tanah bagi membina sebuah kampus di Cyberjaya.
Tambahnya, sementara menunggu ia siap dibina, pihaknya akan menyewa premis di Cyberjaya iaitu lokasi yang berdekatan dengan tapak kampus itu nanti.
"Kampus berkenaan akan dibina dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM300 juta dan pembinaan akan bermula sebaik sahaja proses ambil alih tanah selesai," jelasnya.

Mohd. Yusof berkata, universiti berkenaan hanya akan menawarkan kursus peringkat Ijazah Sarjana serta Ijazah Doktor Falsafah dan bakal mengambil kira-kira 1,000 pelajar sahaja.
Katanya, ia akan menawarkan pelbagai bidang kursus seperti Sains, Perundangan dan Sains Sosial yang berteraskan Islam.


Universiti Islam Malaysia terima dana wakaf RM5.18 juta

7 September 2012

SHAH ALAM - Universiti Islam Malaysia (UIM), universiti pertama di Malaysia dizahirkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu, hari ini menerima dana wakaf berjumlah RM5.18 juta daripada tujuh pihak yang terdiri daripada syarikat, pertubuhan dan individu.
Sumbangan disampaikan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Istana Bukit Kayangan di sini.
Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyumbang RM5 juta, Shahpadu Corp Sdn Bhd menyumbang RM100,000, Datuk Dr Haron Din mewakili bekas pelajar Kolej Islam Malaya (KIM) menyumbang RM30,675, waris dan warga KIM Petaling Jaya menyumbang RM17,000, alumni Kolej Islam (Alkis) yang diwakili Datuk Sallehuddin Ishak menyumbang RM11,000, Persatuan Bekas Pelajar KIM dan bekas ketua pelajar Kolej Islam Klang tahun 1975 Puzi Dahman masing-masing menyumbang RM10,000.
Turut hadir dua bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Abdullah Ayub dan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang juga pengerusi PNB.
Pengerusi Majlis UIM, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata penubuhan UIM diasaskan daripada KIM yang berteraskan kepada dana dan harta wakaf sebagai menyambung tradisi yang diamalkan sejak ia diperkenalkan pada 1955.
Beliau berkata pemilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai tetamu kehormat untuk menerima dana berkenaan pada majlis itu adalah sebagai penghormatan UIM kepada kerabat Diraja Selangor bagi pihak Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah yang telah berkenan mewakafkan tanah dan istana baginda di Kampung Jawa, Klang untuk menjadi kampus pertama KIM pada 1955.
Mohd Yusof berkata pengaktifan semula KIM sebagai UIM telah dibawa dan diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan kini menunggu perakuan serta pertimbangan akhir oleh Kabinet.
Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi juga telah bersetuju supaya UIM didaftar sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan menggunakan model pentadbiran di bawah naungan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Kampus UIM bernilai kira-kira RM300 juta akan dibina di Cyberjaya dan kita sedang dalam proses untuk mendapatkan tanah bagi dijadikan tapak universiti.
Sementara menunggu kampus siap dibina pihak UIM akan menggunakan bangunan sewa berdekatan dengan tapak berkenaan sebagai kampus sementara bagi operasi pengajian yang  dijadualkan bermula awal tahun depan.
"UIM hanya akan menumpukan pengajian di peringkat Sarjana dan PhD dan bagi peringkat permulaan maksimum 1,000 penuntut tempatan dan luar negara diambil.
UIM turut memastikan penuntut yang dipilih terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkualiti," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan dana itu.
Mohd Yusof berkata seperti universiti lain, UIM menawarkan bidang pengajian seperti sains, sains sosial, perundangan dan hubungan antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata bagi setiap penghasilan tesis, penuntut akan diminta menyediakan cadangan yang turut menyentuh perspektif Islam.
"Selain itu, UIM dalam perancangan untuk mengadakan kursus jangka pendek di peringkat Diploma Lanjutan dan mendapatkan khidmat pensyarah dari negara luar.
Ini adalah bagi  mengurangkan kebergantungan pelajar kepada universiti di luar negara untuk mengikuti kursus jangka pendek.
"UIM juga sedang mempertimbangkan permintaan penuntut luar negara yang memohon untuk menyediakan tesis dalam bahasa ibunda masing-masing.
Mereka mungkin akan dibenarkan berbuat demikian tetapi mereka akan diminta supaya menulis sinopsis tesis dalam Bahasa Melayu," katanya.- Bernama