ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Institusi Kesultanan Teras Ketuanan/Kedaulatan Melayu Islam





Institusi Kesultanan Teras Ketuanan/Kedaulatan Melayu Islam

Institusi kesultanan Melayu merupakan anatara institusi yang tertua di dunia, dikatakan institusi kesultanan Melayu telah melangkau lebih 700 tahun. Ianya masih utuh walaupun diterjah arus semasa bahkan institusi kesultanan Melayu suatu yang unik dalam tradisi pemerintahan mana-mana Negara dunia hari ini.

Keunikan ini merupakan suatu warisan yang bernilai dan merupakan khazanah negara bangsa yang menjadi kesinambungan dari satu generasi ke satu generasi. Dalam tradisi Islam kedudukan ulul amri merupakan suatu kedudukan yang tinggi dan menjadi tanggungajawab besar terhadap pemerintah dan rakyat dibawah naungannya. Ianya merupakan suatu payung naungan daripada sistem pemerintahan khalifah Islamiah. Kedudukan ulul amri merupakan suatu teras yang penting kepada pengurusan pentadbiran sebuah negara Islam yang berdaulat.

Kuasa ‘daulat’ meruapakan suatu kuasa yang berada pada seseorang raja dan institusinya,. Iaitu kuasa atau kerajaan, kewibawaan, keunggulan, keistemewaan diri dan keturunan (yang mana raja-raja Melayu kebanyakkan merupakan keturunan susur galur ahli bait Rasulullah SAW).

Ke-raja-an’ : yang membawa erti suatu pemerintahan yang dibina dan diketuai oleh seorang raja Melayu. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Institusi Raja

Institusi ini merupakan sumber kekuasaan, kewibawaan pemerintah, sumber kekuatan rakyat bagi mencari perlindungan, keadilan, kesetiaan dan kecintaan pada negara.

Ianya menjadi lambang dan identiti bagi kekuatan dan perpaduan dan merupakan kuasa penting bagi konsep penyemak dan penyimbang bagi kesejahteraan rakyat dan negara, Menjadi lambang kedaulatan Melayu dan Islam. Sebagai tonggak umat Melayu Islam bagi menjaga hak agama dan hak orang Melayu sebagaimana tercatat dalam perlembagaan.

Institusi kesultanan begitu unik bagi menjamin kelangsungan dan kesinambungan suatu tamadun Melayu Islam. Ianya menjadi jambatan bagi urusan agama dan duniawi . Melayu Islam beraja merupakan suatu hakikat leluhur yang harus diperkasakan dan dipertahankan.

Antara kesultanan Melayu yang wujud di nusantara ialah :
Melaka, Demak, Sulu, Acheh, Riau, Banten, Manguindanao, Pattani,Brunei (Borneo).
Di zaman kegemilangan tamadun Melayu Islam Melaka. Institusi kesultanan banyak dinasihati oleh para ulama sufi. Di zaman tersebut ulama yang terkenal ialah Maulana Abu Bakar, Maulana Yusuf dan kadi Munawar Shah dan mereka sentiasa mendampingi Sultan dan menjadi tempat rujukan. Ulama diberi kedudukan yang tinggi dalam hirarki siosial di Melaka dan setaraf dengan pembesar dan pentadbir. Dizamannya dakwah Islamiah yang berpaksikan kepada roh Islam dan faham Sunni Ahli Sunnah Waljamaah. Dimana acuan peradaban Melayu Islam meliputi agama Islam dan institusi kesultanan itu sendiri dan inilah acuan sebenar umat Melayu Islam di alam nusantara.

Di zaman kesultanan Melaka agama menjadi teras yang penting , ilmu fardu Ain merupakan asas pembelajaran bagi rakyat jelata. Kemesraan dan keakraban umara dan ulama begitu baik. Melaka berjaya menjadi pusat keilmuan, dakwah, perdagangan, pertemuan dan sebagainya. Kerajaan Osmaniah yang merupakan pusat pemerintahan khalifah Islam pada masa tersebut mengiktiraf Melaka sebagai sebahagian naungan kerajaan Osmaniah. Bahkan Sultan Melaka diiktiraf oleh khalifah di Turki.

Megat Iskandar Syah 1414
SultanMuzafar Syah (1446-1456)
Sultan Mansur Syah (1456-1477)
Sultan Alauddin Syah (1477-1488)

Dicatatkan dalam sejarah Turki bahawa Sultan Mansur Syah pernah pergi ke Turki menemui Khalifah Osmaniah pasa masa tersebut. Mandat telah diberikan oleh Khalifah di Turki kepada Sultan di Melaka sebagai jaringan khalifah Osmaniah. Antara karya sejarah Melayu ialah ‘Taj as-Salatin oleh Tun Sri Lanang (Penulis dan pengkaji sejarah).

Mengikut sejarah penamaan sultan bermula semasa kerajaan Abbasiah.
Diatas kelangsungan dan daulat Institusi Kesultanan menjadi benteng kebal kepada Tanah Melayu bagi menghadapi saat gentir dari pelbagai tekanan, masalah dan penjajahan penjajah.

Keturuan Rasulullah merupakan suatu kelebihan yang ada pada Sultan Melayu antaranya Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin al-Muktafibillah Shah merupakan suatu kedaulatan, alkisah datuknya Sultan Zainal Abidin 1 Sultan Terengganu sentiasa mendampingi ulama dan dikatakan beliau sendiri telah mencapai taraf ulama (ulama bertaraf Sultan). Beliau menjadikan ulama sebagai penasihatnya iaitu Syed Abdul Rahman al-Aidrus atau dikenali Tokku Paloh (seorang sufi Tariqat as-Naqsyabandiah), Syed Abdul Malik Abdullah ‘Tok Pulau Manis’ (seorang sufi Tariqat as-Syaziliah).

Melayu Islam Beraja

Dengan menggali dan kembali kepada hakikat leluhur menyerlahkan rahsia kekuatan dan kehebatan umat Melayu. Konsep Melayu Islam dan beraja merupakan suatu kesebatian yang menyerlahkan kegemilangan Tamadun Melayu Islam.

Dalam konteks sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, di mana ketua negara ialah Yang DiiPertuan Agong. Ketua Kerajaan Perdana Menteri, ketua negeri iaitu Sultan / Yang Dipertua Negeri, ketua kerajaan negeri iaitu Menteri Besar / Ketua Menteri.

Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan, kewibawaan dan menjadi payung bagi rakyat mencari perlindungan, naungan, keadilan, kesetiaan dan kecintaan pada negara.

Keunikan sistem beraja di Malaysia menjadi simbol kehebatan dan kekuatan perpaduan masyrakat. Sebagaimana fungsi Majlis Raja-raja Melayu :
Adat perlantikan dan pertabalan termasuk proses akad dan baiah bagi memastikan tidak pupus rantaian salasilah sebuah kerajaan Islam di zaman berzaman selepas wafatnya Rasulullah SAW.
- Sebagai lambang identiti, kesinambugan , perpaduan dan kekuatan.
- Kesinambungan antara tradisi dan moden
- Sebagai penyemak dan penyimbang sihat dalam sistem tadbir urus dan kuasa politik

Institusi kesultanan merupakan suatu warisan dan budaya peradaban ketamadunan Melayu Islam bagi mengekalkan kerajaan dan ketuanan Melayu dari perspektif hak dan kedaulatan sebagai pribumi di tanahair sendiri. Yang merupakan warisan bangsa bagi menjadi hak dan keistimewaan Melayu dan kedaulatan agama Islam.

Dimana konsep daulat zuriat dan daulat institusinya, paksi utama ialah kepada institusinya kerana seseorang raja akan silih berganti. Justeru sistem ini begitu penting sebagai lambang perpaduan rakyat Malaysia.

Kemantapan dan kedaulatan Institusi Kesultanan memberi kebaikkan kepada negara dan rakyat dari ancaman luar dan dalam agar negara terus aman makmur dan bersatu di mana hak pribumi terus terpelihara tanpa digugat.

Takrif Melayu : Beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengikut adat istiadat Melayu. Titah Raja Nazrin Sultan Azlan Shah (Raja Muda Perak): Bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu ingat mereka akan sejarah bangsa yang bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan negeri beraja”.
Tanah Melayu begitu luas meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Indonesia, Champa, Selatan Filipina dan Selatan Thai (sehingga Segenting Kra: di sana tertulis di dinding konkrit dalam bahasa Siam 'Dang Malayu' yang bermaksud tanah Melayu sebagai tanda sempadan antara tanah Siam dengan tanah Melayu.)

Pengukuhan Institusi Kesultananan secara langsung mengukuh orang Melayu itu sendiri disamping bangsa dan negara terus makmur dan aman. Kehebatan bangsa Melayu yang berjiwa penakluk, peneroka, berilmu, berdagang, bertukang, belayar dan pusat pelbagai bahasa harus dikembalikan dalam gagasan peradaban Tamadun Melayu Islam yang merupakan hakikat leluhur yang perlu dibongkar dan diaplikasikan. Dimana Islam ialah agama yang membawa ketamadunan Melayu. Kepentingan sejarah sebagai hujah, peringatan, pengajaran, sejarah membina kemahiran berfikr, mengkritik menganalisis, berkomunikasi dan sebagainya.

Pemerkasaan Institusi Kesultanan Melayu begitu penting dalam agenda memulihkan maruah, semangat dan kedaulatan bangsa.Inilah acuan Malaysia yang hakiki iaitu berteraskan tamadun Melayu Islam. Dalam perlembagaan jelas memberi peruntukan kepada kedaulatan Melayu dan tunjang orang Melayu ialah Raja Melayu. Kedudukan Raja-raja Melayu dan hak dibawahnya: hak istimewa, kedaulatan dan kemuliaan Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain mengikut perlembagaan persekutuan.

Tonggak @ tiangseri :
Perkara 153(1), perkara 160 (2) perkara 3(1) perkara 152, pwerkara 32 dan perkara 38(1). Berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Raja Melayu raja berperlembagaan dan ketua agama negeri.


Rujukan :
1.Lim Swee Tin ‘Melayu Pendatang Satu Pemesongan Fakta’ Mingguan Malaysia, Ahad 16 Nov. 2008 m/s 8.
2. Dr Rais Yatim ‘Sejarah Buktikan Ketuanan Sebenar di Semenanjung Tanah Melayu ‘ Bertia Harian selasa 18 Nov. 2008 m/s 24 dan 33.
3. Soal Jawab Prof Datuk Dr Shamsul Amri ‘Peringatan Majlis Raja-raja beri ‘Isyarat’’ Berita Mingguan 19 Okt. 2008 m/s 34-35.
4. Johan Jaafar ‘Peringatan Raja-Raja Melayu’, Berita Mingguan, 19 Okt. 2008 m/s 33.
5. Zainul Rijal Abu Bakar ‘Paradigma Baru Junjung Raja Melayu’ Rabu 22 Okt m/s 36.
6. Mohd Sayuti Omar ‘ Nasihat Raja-raja Jadikan Amanat ‘Terakhir’ Siasah 26 Okt.-1 Nov. 2008
7. Khalid Salleh ‘Ketuanan Melayu Terjemah Erti Bernegara’ Berita Harian 29 Nov. 2005
8. Titah DYMP Seri Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan, Khamis 6 Nov. 2008 Utusan Malaysia m/s 3.
9. Suzana Othman’ Perana Ahlul Bait Rasulullah SAW Terhadap Perkembangan Tamadun Melayu Nusantara; Ijtima Ulama Pondok Senusantara kali ke-2, Yayasan al-Jenderami, 12-15 April 2007.
10. Suzana Othman / Hj Muzaffar Dato’ Hj Mohamad ‘ Peranan Ahlul Bait Rasulullah SAW Dalam Pemerintahan Islam Di Nusantara’ Ijtima Ulama Pondok Senusantara kali ke-2, Yayasan al-Jenderami, 12-15 April 2007.
11. A.Aziz Deraman, ‘Tamadun Melayu’ DBP, 2000
12. Mohd Koharuddin Mohd Balwi ‘ Peradaban Melayu’ Penerbit UTM, 2005.
13. Hj Abdul Halim Bashah ‘Wali Songo dengan Perkembangan Islam di Nusantara’ al-Kafilah Enterprise, 1996
14. Auni Abdullah ‘Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme Dalam Sejarah Alam Melayu’ Darul Fikr, 2005
15. Auni Abdullah ‘Islam dalam Sejarah Politik, Pemerintahan di Alam Melayu’, Nurin Enterprise, 1991
16. Asreemoro ’ Tausug dan Kesultanan Sulu’ RNH Marketing sdn bhd, 2007
17. Suzana Othman / Hj Muzaffar Dato’ Mohamad ‘Ahlul-Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu'. Crescent News sdn bhd, 2006.
18. -----------'Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur,' Pustaka BSM Enterprise, 2003.
19. -----------'Seratus Sepuluh Soaljawab Melayu Islam Beraja', Pustaka BSM Enterprise, 2003
20. ----------'Ahlul Bait Rasulullah SAW Dinasti Melayu dan Akhir Zaman', Pustaka BSM Enterprise, 2003
21.------------'Sesungguhnya Tuhan Kamu Tidak Bermata Satu: Mencari Landasan di Akhir Zaman', Crescent News sdn bhd, 2007.