Tulisan Jawi Warisan Bangsa & Peradaban Melayu
Cabutan petikan ucapan titah Raja Nazrin Shah:
Persidangan kali ke-164 turut memberikan perhatian kepada persoalan adat Melayu dan betapa penting bagi Majlis untuk turut memberi perhatian membincangkan perkara-perkara berkaitan adat Melayu. Beta telah menegaskan dalam persidangan kali ke-165 bahawa Melayu itu adalah bangsa beradab, bangsa bertamadun, sopan sikapnya santun tuturnya.
Adat Melayu menghormati institusi keluarga, institusi masyarakat, institusi Raja dan institusi agama. Bahasa Melayu itu adalah bahasa yang halus lagi indah; kaya perbendaharaan katanya; bahasa yang mencerminkan kecantikan budaya dan ketinggian tamadun; bahasa yang menjiwai bangsanya.
Bahawa tulisan jawi adalah sebahagian dari warisan sejarah Melayu. Tulisan jawi telah memartabatkan bahasa Melayu, menyuntik komponen tulisan kepada bahasa yang indah lagi kaya.
Melalui tulisan jawi, bahasa Melayu lebih luas tersebarnya dan berperanan amat penting untuk merakamkan secara bertulis kekayaan sejarah dan warisan bangsa; begitu juga peranan pentingnya membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.
Tulisan jawi adalah tulisan yang mendapat pengiktirafan tinggi - diguna pakai di istana Raja Melayu. Malah surat-surat dari luar negara yang diutus kepada Raja-Raja Melayu, begitu juga perjanjian-perjanjian yang dimeterai dengan Raja-Raja Melayu, ditulis dengan tulisan jawi. Sehingga hari ini, Raja-Raja Melayu meneruskan dan kekal memberi tempat yang mulia kepada warisan sejarah bangsa ini; watikah-watikah dan surat-surat utama Raja-Raja Melayu masih kekal menggunakan tulisan jawi.
Keupayaan membaca dan menulis jawi juga mempunyai kaitan penting dengan penghayatan terhadap agama Islam. Al-Quran, Hadis Nabi dan kitab-kitab utama agama Islam adalah dalam tulisan jawi. Ketidakupayaan umat Islam untuk menguasai tulisan jawi dibimbangi akan menjauhkan mereka daripada sumber dan naskhah asal khazanah ilmu hasil karya pujangga dan ilmuwan Islam.
Untuk itu, usaha memastikan tulisan jawi terus hidup dan tidak pupus adalah satu perjuangan bangsa. Ia adalah sebahagian dari khazanah bangsa yang wajib dikekalkan, diberikan keutamaan dan dipertahankan selagi Melayu tidak hilang di dunia.
Semangat para pejuang bahasa untuk terus mempertahankan warisan bangsa Melayu perlulah diberikan penghargaan dan diberikan sokongan oleh setiap anak Melayu yang berjiwa dan bersemangat Melayu; meski setinggi mana mencecah awan, akar bangsanya biarlah mencecah bumi di tanah air warisan bangsa; tahu menghargai khazanah bangsanya dan tidak merelakan warisan bangsanya dihina atau dicerca.
Perjuangan bangsa. Orang Melayu jangan terlalu cepat melatah, terbawa-bawa dengan agenda sulit lagi terselindung yang mahu menghapuskan warisan bangsa lalu bersedia diperalatkan untuk membunuh warisan bangsa sendiri.
Sebagai tanda serius untuk memastikan kelangsungan tulisan jawi, Beta menyarankan agar bahan bercetak seboleh-bolehnya bagi kesemua program di bawah anjuran Majlis dilakukan dalam kedua-dua tulisan rumi dan jawi.
Semoga Allah SAW menganugerahkan hidayat dan petunjuk kepada Beta dan ahli-ahli Majlis menemui jalan yang diredai dan memberikan kekuatan dan keberanian kepada kita bersama untuk melaksanakan tindakan demi memartabatkan ummah dan watan dan barang dijauhkan ummah terpinggir di bumi sendiri.
Orang Melayu diminta pertahan tulisan jawi agar tidak pupus
Utusan Malaysia. IPOH 13 Jan. 2011 – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah mengajak orang Melayu mempertahankan tulisan jawi supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.
Baginda bertitah, tulisan jawi adalah khazanah bangsa yang bukan sahaja wajib dikekalkan tetapi diberi keutamaan dan dipertahankan selagi Melayu tidak hilang di dunia.
“Semangat para pejuang bahasa untuk terus mempertahankan warisan bangsa Melayu perlulah diberi penghargaan dan sokongan oleh setiap anak Melayu yang berjiwa dan bersemangat Melayu
“Meski setinggi mana mencecah awan, akar bangsanya biarlah mencecah bumi di tanah air warisan bangsa, tahu menghargai khazanah bangsanya dan tidak merelakan warisan bangsanya dihina atau dicerca,” titah baginda.
Baginda bertitah merasmikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk) kali ke-174 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMPk, Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.
Raja Nazrin bertitah, tulisan jawi telah memartabatkan bahasa Melayu dan menyuntik komponen tulisan sehingga menjadikannya bahasa yang indah lagi kaya.
Melalui tulisan jawi, titah baginda, bahasa Melayu lebih luas tersebarnya dan berperanan amat penting untuk merakamkan secara bertulis kekayaan sejarah dan warisan bangsa serta menjadi bahasa ilmu.