WACANA Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fatani: Pemikir Agung Melayu berjaya memancing perbahasan menarik mengenai ketokohan Syeikh Ahmad,
ulama besar kelahiran Pattani yang hidup pada 1856 hingga 1908 Masihi.
Syeikh Ahmad ditonjolkan sebagai
tokoh pemikir Melayu yang ‘dizalimi’ umatnya kerana hanya dibicarakan selepas
100 tahun pemergiannya sedangkan kebijaksanaan tokoh silam itu wajar diteladani
oleh pemimpin negara Islam.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM,
Dr Abdull Rahman Mahmud, sebagai pembahas melihat ‘penzaliman’ Syeikh Ahmad
terjadi kerana penguburan sistem tulisan jawi di negara ini hingga
mengakibatkan segala khazanah tinggalan beliau terkubur sama.
“Jika kita tidak jaga, kita juga
bakal menyaksikan bahasa Melayu turut berkubur kerana sikap pihak tertentu yang
terpegun mahupun mengagumi bahasa asing dan sekiranya ini terjadi bangsa Melayu
akan mundur 200 tahun lagi,” katanya.
Wacana anjuran Institut Alam dan
Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Jumaat
lalu, dipengerusikan Dr Fauzi Naim Badaruddin, turut dihadiri pemegang Kursi
Pengajian Melayu di Victoria University of Wellington, Prof Dr Ungku Maimunah
Mohd Tahir.
Abdul Rahman memaklumkan meskipun
Syeikh Ahmad berada di Mesir, beliau tidak pernah terputus hubungan dengan
bangsa dan Dunia Melayu serta menyedari ancaman penjajah lalu menekankan kepada
raja mahupun rakyat mengenai perkara itu.
Kesungguhan Syeikh Ahmad dan
pelajarnya untuk melihat bangsa Melayu bangkit dapat dilihat melalui usaha
mereka menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar yang bukan saja menawarkan kelas
belajar bahasa Inggeris tetapi juga pengajian sekolah agama.
“Masalah sosial yang dihadapi
masyarakat hari ini kerana kita menganggap sekolah Arab sebagai tradisional dan
tiada nilai tamadun. Kita sepatutnya menekankan kepentingan menguasai pelbagai
bahasa tanpa mengetepikan kepentingan agama. ” katanya.
Pensyarah Fakulti Islam UKM, Anwar
Zainal Abidin, sebagai pembahas II senada dengan Abdul Rahman apabila menyatakan
penekanan sains dan teknologi yang dihebohkan kini pernah disuarakan ulama
Muslim Asia Barat.
“Pentingnya penguasaan ilmu sudah
diperkatakan ulama Muslim pada pertengahan abad ke-19 dan Syeikh Ahmad antara
tokoh rantau Nusantara yang menekankan kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan
dan reformasi pendidikan,” katanya.
Tokoh itu dikatakan menyedari
perlunya membina kekuatan diri bagi menghadapi ancaman dan cabaran luar serta
yakin kejayaan Eropah menguasai dan mempengaruhi Dunia Islam kerana mereka
terkedepan dalam ilmu terutamanya sains dan teknologi.
“Syeikh Ahmad sendiri membabitkan
diri dalam ilmu sains seperti kimia dan perubatan serta menulis mengenainya di
samping beliau turut menekankan kepentingan pemerintahan yang adil lagi
saksama,” katanya.
Setiausaha Himpunan Pencakna Budaya
Kelantan, Zaidi Hassan, sebagai tokoh yang memperkatakan Syeikh Ahmad yakin
ulama terbabit menduduki tempat istimewa dalam sejarah bangsa Melayu.
Ini kerana Syeikh Ahmad meninggalkan
pelajar yang memainkan peranan besar di seluruh pelosok rantau Melayu dan
sesetengahnya muncul sebagai ulama terbilang, penggerak masyarakat yang berjaya
dan pentadbir berjasa.
Zaidi ketika memperkatakan Syeikh
Ahmad Muhammad Zain al-Fatani: Pemikir Agung Melayu mengemukakan 10 fakta bagi
menyokong kenyataannya berhubung sumbangan tokoh terbabit:
1. Memulakan kerja pentashihan dan
percetakan kitab warisan Melayu karangan ulama sebelum beliau.
2.
Menyediakan kerangka bekerja secara berpersatuan dan beliau memulai dengan
menubuhkan Jam’iah al-Fataniyyah di Makkah iaitu organisasi Melayu yang
pertama.
3. Membuka
jalan berfikir yang subur untuk menerima perubahan dan kemajuan secara luaran
dan mengekalkan faham akidah dan pengalaman fikah berdasarkan ajaran klasikal
secara dalaman.
4.
Menyediakan pemikiran yang strategik dalam menghadapi cabaran dan bukan
bergantungan kepada kekuatan atau kekerasan semata-mata.
5.
Mendedahkan pelajar Melayu kepada perkembangan di luar lingkungan dengan
mengadakan rehlah bersama pelajar ke Syam, Mesir, Istanbul dan mendedahkan
mereka kepada akhbar dan majalah, suatu yang tidak pernah dilakukan penuntut
ilmu zaman itu.
6. Menjadi
tempat rujukan pembesar dan orang awam dari kawasan Melayu.
7.
Menitikberatkan kesedaran mengenai kepentingan bahasa dan sejarah bangsa.
8.
Mendorong ahli masyarakat bersangka baik dan menerima ajaran tasawuf Islami,
termasuk amalan tariqah yang mu’tabarah.
9.
Meninggalkan kitab dan karangan bernilai ilmu yang tinggi serta perlu
disebarluaskan kepada ahli masyarakat
10.
Meniupkan semangat mencintai bangsa dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.
Pada sesi soal jawab, dapat dilihat
ketrampilan dan ketokohan Syeikh Ahmad yang diabaikan sekian lama diakui dua
peneliti Dunia Melayu dan Islam yang hadir sama dan mengikuti wacana dengan
penuh minat.
Felo Kanan Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM), Prof Dr Uthman el-Muhammady, meletakkan Syeikh Ahmad sebagai
integrated Muslim intelectual kerana beliau bukan saja menguasai ilmu agama
tetapi juga dunia.
“Beliau intelektual yang akar umbinya
sangat teguh dalam tamadun Melayu dan ada siasah ulama. Beliau sedia belajar,
memahami dan ada wibawa sebagai ulama mahupun cendekiawan. Memahami hal semasa,
fikah, tasawuf, bahasa dan budaya bangsanya,” katanya.
Bekas Pensyarah Jabatan Persuratan
Melayu (JPM), UKM, Dr Shafie Abu Bakar, pula melihat sumbangan Syeikh Ahmad
tertimbus kerana beliau berada di luar lingkaran Dunia Melayu.
“Orientalis tidak menggali sumbangan
Syeikh Ahmad kerana beliau berada di Makkah sedangkan tradisi Pattani sama
hebat dengan Aceh yang ada ramai ulama dan jumlah karya mereka jauh lebih
banyak berbanding tokoh Johor Riau, Raja Ali Haji,” katanya.
Kedengaran juga nada curiga Dr Shafie
dan Abdul Rahman terhadap orientalis Belanda, CS Hugronje, dalam ‘menenggelamkan’
tokoh Islam tetapi tidak dipersetujui Zaidi kerana beliau pernah meneliti
sejumlah surat yang diutuskan ulama Acheh kepada Hugronje mengenai masalah
kelakuan masyarakat Islam bandar itu.
Oleh
Salbiah Ani