TASAWWUF DAN TAREQAT
Syeikh Zakaria Al-Kandahlawi di dalam kitabnya “Al-Syari’at Wa Al-Tareqat” berkata:
Tareqat sebenarnya adalah nama lain daripada Ihsan (iaitu yang disebut di dalam hadith Rasulullah SAW) atau ia merupakan jalan yang dengannya dapat diperolehi sifat Ihsan, dan ia juga dinamakan tasawwuf atau suluk.
Hubungan Tasawwuf atau Tareqat dengan Aqidah Islam
Tasawwuf dan tareqat ini tidak boleh keluar daripada aqidah atau syari’at, samada pada asas pegangannya atau sumbernya, ataupun pada furu’ atau cawangan-cawangannya. Melupakan tujuan bererti menyelewang, begitu juga setiap perbuatan atau amalan tasawwuf atau tareqat yang keluar atau bercanggah dengan syari’at atau aqidah adalah merupakan penyelewengan, kerana tasawwuf dan tareqat merupakan penghayatan bagi keduanya.
Sa’id Hawa menyatakan didalam kitabnya Tarbiyatuna al-Ruhiyah : “Sekadar mengetahui adalah satu masalah dan berjalan atau berusaha untuk menghayati dan cara-cara yang demikian adalah masalah lain. Apakah ilmu yang menunjukkan ke jalan tersebut dan yang menyempurnakan segi-segi yang biasanya dibicarakan oleh kitab-kitab aqaid?
“Ilmu yang membicarakan masalah tersebut tidak lain adalah ilmu tasawwuf. Apabila ilmu ini telah dikotori oleh banyak perkara, maka yang demikian tidak membatalkan kedudukannya sebagai salah satu daripada ilmu-ilmu Islam atau menjadikan kita ragu-ragu terhadapnya. Bahkan menjadi kewajiban kitalah untuk membersihkannya serta memberikan kepadanya batasan-batasan serta hak-haknya.”
“Maka ilmu aqaidlah yang mengikat imu tasawwuf, dan ilmu tasawwuf yang menyempurnakan ilmu aqaid dari segi penghayatannya. Apabila tasawwuf menambahkan atas yang demikian dengan perkara-perkara yang menyalahi atau dengan aqidah-aqidah baru yang menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah, atau menyalahi aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah sebagaimana yang diwarisi daripada ulama salaf selama masa ini, maka ia merupakan penyelewengan, penyimpangan dan perbuatan bid’ah yang keji.”
“Jika anda membaca di dalam sesuatu kitab sufi atau mendengar daripada seorang sufi suatu perkataan yang tidak terdapat di dalam Al-Quran atau Al-Sunnah atau tidak pernah diucapkan oleh ulama salaf - yang bukan termasuk dari segi istilah, atau dari segi kefahaman yang benar terhadap nas-nas, atau dari segi pengamalan makna yang tersebut di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah, maka tidak mengapa untuk anda menolaknya dan hendaklah anda merasa tenang bahawa apa yang anda buat itu sendiri adalah tasawwuf yang sebenarnya dan bukan yang lainnya. Para ulama suluk yang mu’tabar atau diterima oleh ummat secara ijma’ bersama anda.
Abu sulaiman Al-Darani berkata:
Mungkin timbul suatu kesan atau kefahaman di dalam hatiku daripada ucapan suatu kaum, maka aku tidak menerimanya melainkan dengan kesaksian dua saksi yang adil, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya Allah telah menjamin pemeliharaan bagiku di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, dan tidak menjamin bagiku pada yang selainnya.
“Di antara wisoyah (pesanan) para imam suluk yang terkenal adalah ucapan salah seorang daripada mereka:
Wahai anakku, jadilah seorang muhaddith yang sufi dan
janganlah menjadi seorang sufi yang muhaddith.
“Sebabnya seorang sufi yang muhaddith menjadikan nas mengikuti hawa nafsunya, sedang seorang muhaddith yang sufi, menjadikan hawa nafsunya yang mengikut nas.
“Jika anda menjumpai di dalam suatu kitab atau mendengar daripada seseorang kefahaman tentang sesuatu nas yang bertentangan dengan kefahaman para ulama aqidah atau para ulama mujtahidin atau a’immat al-tafsir atau qawa’id al-fiqh, maka buanglah kefahaman tersebut tanpa ragu-ragu.
“Sesungguhnya tasawwuf adalah penghayatan. Jika ahlinya ingin memberikan kepada kita aqidah-aqidah baru atau ijtihad-ijtihad fiqhiyah yang baru, atau gambaran-gambaran yang salah, atau kefahaman-kefahaman yang salah dalam masalah-masalah aqidah yang bersandarkan kepada hadith-hadith yang palsu atau da’if, maka tidak semestinya untuk kita ragu-ragu menolaknya”.
Untuk menilai ada atau tidak adanya pertentangan ini mestilah dengan meminta pandangan ahlinya masing-masing.
Di dalam kitab Qawa’id Al-Tasawwuf , Syaikh Zarruq berkata:
Bahawasanya ilmu setiap perkara diambil daripada ahlinya; pandangan seorang sufi dalam masalah fiqh tidak mu’tamad (tidak boleh dijadikan pegangan) kecuali dia dikenal sebagai pakar dalam bidang tersebut; pandangan seorang faqih dalam tasawwuf tidak mu’tamad kecuali jika ia dikenal berpengalaman dalam tasawwuf. Begitu juga pandangan seorang muhaddith dalam fiqh dan tasawwuf kecuali jika dia dikenal sebagai pakar dalam kedua bidang tersebut. Maka wajiblah bagi penuntut tasawwuf mempelajari fiqh daripada fuqaha’. Dia hanya meminta pandangan ahli tareqat dalam perkara yang khusus berkaitan dengan kemaslahatan batinnya. Oleh sebab itulah Syaikh Abu Muhammad Al-Murjani r.a. memerintah sahabat-sahabatnya supaya bertanya kepada para fuqaha’ dalam masalah-masalah fiqhiyah, meskipun beliau sendiri seorang yang ‘arif mengenainya. Fahamilah yang demikian!”.
Hubungan Tasawwuf atau Tareqat dengan Fiqh atau Syari’at Islam
Mengenai hubungan tasawwuf dengan fiqh, Sa’id Hawa menerangkan dalam kitabnya Tarbiyatuna al-Ruhiyah:
“Biasanya kitab-kitab fiqh memulakan dengan pembahasan mengenai taharah dari segi perbuatan dan ucapan, tetapi jarang yang membicarakan tentang makna-makna batin yang semestinya mengiringi amalan bersuci. Kemudian membicarakan tentang solat: syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, wajib-wajibnya, sunnat-sunnatnya, adab-adabnya, perkara-perkara yang dimakruhkan dan perkara-perkara yang merosaknya, tetapi tidak membicarakan makna-makna batin yang semestinya mengikuti amalan-amalan tersebut, seperti khusyu’ dan jalan serta faktor-faktor yang membawa kepadanya, padahal ia merupakan salah satu ilmu, berdasarkan kesaksian nas-nas, bahkan sebagaiman ayang dinyatakan di dalam hadith, ia merupakan ilmu yang pertama kali diangkat dari permukaan bumi.
“Apakah ilmu yang menyempurnakan ilmu fiqh di dalam semua urusan ini? Tidak syak lagi, ia adalah ilmu tasawwuf, iaitu ilmu yang biasa membahas seumpama masalah-masalah ini, yang kerananya ia menyempurnakan ilmu fiqh dari segi-segi batin, seperti mengajarkan tentang ikhlas dan cara mencapainya. Bahkan tugas ilmu tasawwuf tidak terbatas pada yang demikian, kerana ia juga meningkatkan kesediaan manusia untuk berpegang teguh mematuhi hukum-hukum fiqh”.
Beliau menyimpulkan dengan mengatakan: “Tasawwuf adalah mesti atau sangat diperlukan sebagai penyempurna bagi fiqh, dan fiqh adalah mesti sebagai hakim atau pengadil bagi tasawwuf, hakim bagi amalan dan juga sebagai pengarah. Sesiapa yang terluput sesuatu daripadanya, maka sesungguhnya telah terluput daripadanya separuh daripada permasalah agamanya.
“Tasawwuf dan fiqh adalah dua ilmu yang saling melengkapi. Apabila keduanya bertentangan, maka yang demikian adalah kesalahan, kesesatan dan penyelewengan.”
“Yang dimaksudkan dengan pertentangan ialah apabila seorang sufi bergerak jauh daripada fiqh, padahal fiqh adalah sebagai hakim atau pengadil; atau apabila seorang faqih menjauhi diri daripada pelaksanaan, padahal yang demikian merupakan tanda daripada kefasikan hati”.
Syaikh Ahmad Bin Ahmad Bin Muhammad Zarruq berkata di dalam kitabnya Qawa’id al-Tasawwuf:
“Hukum fiqh adalah umum, berkaitan dengan perkara yang menyeluruh, kerana tujuannya adalah menegakkan perintah agama, meninggaikan syi’arnya dan menampakkan kalimatnya, sedang tasawwuf adalah khas berkaitan dengan perkara tertentu, kerana ia merupakan mu’amalah antara hamba dengan Tuhannya tanpa sebarang tambahan. Kerananya, peningkatan faqih ke atas sufi adalah benar atau sah, sedang peningkaran faqih ke atas faqih tidak benar atau tidak sah.” (Maksudnya: Faqih menghakimi atau mengadili ke atas sufi, dan tidaklah sufi menghakimi atau mengadili ke atas faqih).
“Kembali daripada tasawwuf kepada fiqh adalah suatu kemestian, sedang kembali daripada fiqh kepada tasawwuf tidak boleh melainkan dengan fiqh. Fiqh tanpa tasawwuf adalah sah, sedang tasawwuf tanpa fiqh tidak sah, meskipun tasawwuf lebih tinggi martabatnya daripada fiqh.”
“Fiqh adalah lebih selamat dan merata kemaslahatannya daripada tasawwuf. Kerana itulah dikatakan:
"Jadilah seorang faqih yang sufi, dan janganlah menjadi seorang sufi yang faqih".
Abu Bakar Muhammad Al-Kalabadzi, di dalam kitabnya Al-Ta’arruf Li Madzhabi Ahl al-Tasawwuf, berkata:
"Ketahuilah, bahawa ‘ulum al-sufiyah adalah warisan a’mal; tidak ada yang mewarisi ahwal melainkan orang yang telah membetulkan a’mal. Awal pembetulan a’mal adalah mengetahui ilmu-ilmunya, iaitu ilmu hukum-hukum syara’ daripada ilmu Usul al-Fiqh dan furu’nya, iaitu: salat, puasa dan semua yang difardukan sampai kepada ilmu mu’amalat, iaitu nikah, talak, jual-beli, dan seluruh yang diwajibkan dan dianjurkan oleh Allah SWT, di samping perkara-perkara yang sangat diperlukan daripada urusan kehidupan".
Sa’id Hawa berkata: “Apabila telah jelas persoalannya, maka kami mengatakan: Jika kami mengatakan bahawa faqih mesti bertasawwuf atau sufi mesti bertafaqquh, maka mestilah jelas bahawa yang dimaksudkan adalah bahawa ilmu faqih mestilah merangkumi segala yang berkaitan dengan hukum-hukum dan berkaitan dengan cara pengamalan dan penghayatannya; dan ilmu sufi merangkumi segala yang diperlukan daripada hukum-hukum dan diiringi oleh amalan yang sahih di bawah sinaran ilmu yang sahih. Kerana itu, para pemimpin suluk yang besar, seperti Syaikh Al-Rifa’i, berkata: Sesunggunya tujuan terakhir daripada ulama dan para sufi adalah satu. (Maksudnya sama).
Rujukan: Kitab Al-Syari’at Wa Al-Tariqat,Tarbiyatuna al-Ruhiyah,Qawa’id Al-Tasawwuf,Al-Ta’aruf Li Madzhab al-Tasawwuf.
Tasawwuf dan Tareqat Menurut Syeikh Ali Jumaah
Syeikh Ali Jumaah (Ulama' Mesir) mengenai pengertian tasawwuf dan tareqat:
"Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".
Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT, bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.
Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama dengan muridnya.
Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.
Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:
Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]
Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju tuhan mereka.
Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara:
Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.
Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.
Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :
1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada sebarang kekotoran.
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]
2-Memperbanyakkan zikrullah.
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT".
3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)
Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan murid itu sendiri.
Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza.
Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah mengingati Allah SWT.
Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.
Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT. Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".
Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah seterusnya.
Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.
Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan.
Mereka yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan.
Tidak harus juga bagi kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah). Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca sanjungan mereka terhadap tasauf.
Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".
Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.
Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung? Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan sunnah secara terus.
Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara berdepan atau mengadap guru).
Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah ulama' dalam bidang tersebut.
Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.
Firman Allah SWT:
Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat". [Al-Hajj: 38]
Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf, tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Ketahuilah para syeikh tareqat meruapakan golongan ulama pewaris Nabi SAW sebagaimana dikatakan oleh Rasulullah SAW dan Wali mursyid sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran al-karim