SULUG, MORO DAN FILIPINO
oleh :Asreemoro
PENGERTIANNYA DARI KONTEKS ISTILAH DAN BAHASA
SIAPA MORO?
Hari ini bangsa Sulug di kepulauan Sulu hanya memanggil diri mereka sebagai Tausug sahaja dan sebahagian lagi menisbahkan diri mereka dengan bangsa Moro. Nampaknya gelaran Sulug atau Moro ini tidak difahami walau pun sekadar pengertian pada asas istilah. Sesetengahnya mungkin tidak bersetuju dengan gelaran Moro tetapi oleh kerana majoriti orang-orang Islam Sulu dan Mindanao hari ini mengambil sikap “nagpatural”[01] tanpa bangkangan hinggakan gelaran tersebut masih kekal digunakan.
Menjelaskan makna Sulug (Sug) dan gelaran Moro adalah penting untuk memahami sejarah kepulauan Sulu kerana kebanyakan masyarakat luar keliru memilih samada menggelar Sulug atau Moro. Disebabkan era Presiden Marcos berperang begitu lama melawan Moro National Liberation Front (MNLF) yang bermula 1972 dan kesannya masih berterusan sehingga kini, menyebabkan Sulug 'tertindih' oleh gelaran Moro. Walaupun begitu penggelaran Moro bukan hanya dimulai pada era perang Marcos vs. MNLF malah ia sudah bermula semenjak kedatangan Spanyol ke kepulauan Sulu lagi seawal abad ke-16.
DARI MANA GELARAN MORO BERMULA?
Moro berasal dari perkataan Moor yang dinisbahkan kepada orang Islam Iberia atau Mauritania (Orang Arab Islam Andalusia) yang pernah menakluk Spanyol selama 800 tahun. Ketika penjelajah Spanyol datang ke kepulauan Sulu Utara (i.e. Luzon-Visaya) pada abad ke-16, yang kemudiannya berkerja keras menjajah kepulauan emas tersebut didapati terdapat kaum yang juga keras menentang mereka malah lebih ganas dari orang Moor di Spanyol itu. Memandangkan penentang mereka ini beragama Islam sebagaimana bangsa Moor di Andalusia maka mereka turut menggelar Moor juga pada orang Islam di kepulauan Sulu dan disebut pada lidah Spanyol sebagai Moro hinggalah ke hari ini.
Cesar Adib Majul dalam bukunya Muslim in the Philippines[02] (Islam Di Filipina) menjelaskan tentang istilah Moro :
"Legazpi[03] memanggil mereka Moro, nama yang dikekalkan mereka hingga ke hari ini, tanpa mengira yang mereka itu tidak mempunyai persamaan dengan Orang Mauritania, membuktikan sebuah masyarakat agama yang dikongsi bersama Arab Spanyol".
Dalam buku yang sama Majul memperincikannya lagi,
"Istilah Moro pada mulanya berasal dari Mauri purba atau Mauritania. Sungguhpun istilah ini lebih tepat ditujukan kepada orang Berber (Barbar) di Afrika Utara dan mereka yang datang ke Spanyol, namun istilah ini adakalanya sesuai digunakan untuk merujuk penakluk-penakluk Islam yang menakluki Spanyol, dan yang demikian istilah ini adakalanya merujuk kepada orang Arab juga. Bagi setengah-setengah orang Spanyol, disebabkan oleh kekurangan istilah yang lebih tepat untuk merujuk kepada mana-mana orang Islam, maka mereka menggunaka istilah (i.e. Moro) secara longgar".
Ini bermakna gelaran Moro bukan sahaja dirujuk kepada umat Islam Andalusia atau kepulauan Sulu sahaja malah semua umat yang menganut agama Islam. Jelasnya istilah Moro telah menjadi identiti keagamaan (Religious Identity) menurut Spanyol dan bangsa kolonialis Eropah ketika dulu. Dalam buku Salah Jubair, A Nation Under Endless Tyranny menyatakan,
"Ia merujuk kepada penduduk asal yang beragama Islam dari Manila kata Moro pertama kali diterapkan oleh Sepanyol tahun 1570 untuk menunjukkan orang-orang yang mengakui Islam. Barulah pada tahun kemudian, lebih khusus lagi di 1578 dan selepas itu, bahawa nama Moro pada umumnya diterapkan pada Muslim Mindanao dan Sulu.”[04]
Seorang penulis Melayu, Zakaria Ali menulis dalam bukunya bertajuk Islamic Art In Southeast Asia telah menjelaskan tentang penggelaran Moro pada Raja Aceh,
"Tome Pires mencatatkan bahawa Raja Ache adalah Moor... Orang-orang Moor menguasai pesisir laut dan mereka melantik Raja Moor dari kasta Bengali, dan semenjak itu raja-raja Pase (Pasai) yang seterusnya sentiasa Moor (i.e. beragama Islam).”
Dalam buku Robert Nicholl bahawa Tome Pires menyatakan tentang Raja Brunei sebagai Moor,
“Borneo... telah dihuni oleh Moor tidak lama setelah raja mereka menjadi Moor...”[05]
Francisco Combes pula dalam catatannya pada abad ke-16, bertajuk Historia De Mindanao Y Jolo menyatakan bahawa Lutao (Orang Laut Balangingi' @ Sulug Bangingi') sangat berani dan ditakuti sebab itu selalu digunakan oleh raja-raja Moro (i.e. kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara) untuk berperang dilaut menentang musuh-musuh mereka.
SIAPA FILIPINO?
Apakah maksud sebenar istilah Filipino? Hari ini begitu ramai umat Islam samada Tausug di kepulauan Sulu atau dari pulau besar Mindanao berbangga mengaku sebagai Filipino. Ia berdasarkan pemahaman nasionalisma mereka hari ini bahawa Filipino bermaksud Rakyat Filipina yang cintakan negara Philippines tanpa mahu memahami asal usul istilah tersebut. Sebenarnya nama Filipino berasal dari lidah penjajah Spanyol yang hanya bermula pada tahun 1500-an dan Amerika Syarikat pula memanggilnya Philippines pada tahun 1890-an.
“Nama Filipino telah dipilih oleh seorang pengembara Spanyol bernama Ruy López de Villalobos, yang menamakan kepulauan "las Islas Felipinas" (the Philippine Islands) sempena nama Raja Philip II di Spanyol.”[06]
Ketika era penjajahan Spanyol ke atas kepulauan yang mereka namakan Felipinas itu telah muncul dua bentuk komuniti keturunan Spanyol yang dinamakan Peninsulares dan Insulares. Peninsulares merujuk kepada keturunan (full-blooded) Spanyol yang dilahirkan di Semenanjung Iberia (Spanyol). Insulares pula merujuk kepada keturunan (full-blooded) Spanyol yang dilahirkan di Philippines.[07]
Sementara Sepanyol menamakan Filipina kepada tanah jajahan mereka yang begitu jauh, sebenarnya mereka tidak memanggil penghuni asal kepulauan tersebut sebagai Filipino. Orang Spanyol membezakannya dengan memanggil mereka bangsa Indios (i.e. Pribumi @ Bumiputra) yang bertaraf rendah bukannya Filipino. Setelah bangsa Indios berjaya dikristiankan dan berlaku asimilasi antara keturunan Spanyol (Insulares) dengan Indios maka pada akhirnya Spanyol menamakan orang-orang Pribumi dengan nama Filipino. Walaubagaimana pun ia hanya sekadar strategi untuk memudahkan kristianisasi penjajah dan bertujuan memisahkan penganut-penganut Islam yang digelar Moro (Mindanao dan Sulu) dari saudara-saudara mereka yang digelar Indios itu.
Sebenarnya masyarakat Pribumi yang berjaya dikristiankan yang walaupun sudah diterima sebagai Filipino namun mereka tetap dipandang sebagai kasta bawahan yang tidak setaraf dengan Filipino yang asal (Peninsulares). Berkenaan dengan hal ini Mr. Victor mengatakan,
“Selama tempoh awal penjajahan orang Spanyol, secara umum penduduk asli (Indigenous peoples) yang dikristiankan di Filipina dirujuk sebagai Indios.”[08]
Nampaknya ia lebih menonjol kepada diskriminasi perkauman yang tidak disedari oleh rakyat Filipina hari ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan Indios oleh Spanyol? Untuk mendapatkan jawapannya kita perlukan orang-orang Maxico sendiri yang menberikan jawapan. Antara Filipina dan Mexico sebenarnya masih berkongsi sejarah PENJAJAHAN dari Spanyol ketika dulu.
“Bagi kebanyakan orang Mexico, "Indio" adalah rasis atau penghinaan perkauman. Hal ini dapat diertikan dalam bahasa pasar sebagai orang yang berasal dari kelas sosio-ekonomi rendah dan tidak diingini.”[09]
Hari ini sebahagian orang-orang Islam di Sulu dan Mindanao telah senang dipanggil Pinoy atau Filipino tanpa rasa malu dan terhina terhadap nenek moyang mereka yang mati berjihad menentang Spanyol ketika dulu adalah semata-mata tidak mahu difilipinokan (i.e. dispanyolkan @ dikristiankan). Nenek moyang mereka tidak pernah kalah maka sebab itu mereka juga tidak pernah tunduk kepada kekuasaan Spanyol yang mahu memfilipinokan mereka.
Alunan C. Glang menegaskan bahawa hanya mereka yang berjaya dikalahkan oleh Spanyol sahaja yang tunduk merelakan diri menerima kedaulatan King Philip @ Felipe II dan selayaknya mereka dipanggil Filipino. Menurutnya, orang-orang Moro (Muslim Sulu dan Mindanao) tidak pernah menjadi rakyat (subjects) Spanyol dan tidak pernah menjadi Filipino. Faktanya ialah, selama 350 tahun generasi Muslim Sulu dan Mindanao bertumpah darah adalah semata-mata mengelak dari menjadi Filipino. Oleh kerana mereka gagal difilipinokan menyebabkan Spanyol mewujudkan satu permainan teater yang menghina. Teater tersebut dipanggil “Moro Moro” untuk menggambarkan tentera Spanyol sebagai hero manakala Muslim Sulu dan Mindanao (Moros) sebagai penjenayah yang pengecut.[10]
SIAPA SULUG?
Sulug adalah merujuk kepada satu bangsa yang menduduki kepulauan Sulu dan kepulauan sekitarnya. Bangsa Sulug kadang-kadang disebut sebagai orang Sulu atau pun orang Sug (Tau Sug). Orang Melayu Brunei menggelar mereka sebagai orang Suluk atau Solok kerana kebiasaan lidah menyebut “G” menjadi “K” pada perkataan Sulug tersebut. Bangsa Inggeris yang mentadbir Borneo Utara ketika dulu turut menggelar bangsa Sulug dengan Soolook kerana mungkin terikut dengan sebutan orang-orang Brunei. Persoalannya mengapa masyarakat Sulu tidak menamakan Sulug pada bangsa mereka?
Sulug hanya disebut sebagai Sug sahaja kerana kebiasaan membuang “L” di tengah perkataan. Samada Sulug atau Sug ia membawa makna yang sama iaitu “Aliran Arus” (Current) pada laut mahu pun sungai. Ini bermakna Sug atau pun Sulug adalah makna kepada sifat aliran air yang bergerak menyusur gugusan kepulauan. Oleh kerana bangsa yang menghuni kepulauan Sulu itu menjadikan laut sebagai tempat mencari makan samada sebagai nelayan, berdagang merentas benua mahu pun sebagai tentera upahan yang menjaga laut hinggakan penduduk kepulauan ini digelar bangsa Arus laut sebagai identiti mereka. Secara mudah gelaran kepada orang kepulauan ini dapatlah diringkaskan seperti berikut,
- Sulug: Bermaksud arus pada laut atau sungai (Current).
- Sug: Ringkasan pada gelaran Sulug kerana kebiasaan lidah mereka membuang L di tengah perkataan.
- Tausug: Nama terkini bangsa Sulug dari gabungan dua perkataan iaitu Tau (Orang) dan Sug (Arus). Bila Tau dan Sug digabungkan ia akan menjadi nama khusus iaitu Bangsa Tausug, bermaksud bangsa pelayar di kepulauan Sulu yang menjadikan laut sebagai lebuh raya perhubungan dengan dunia luar.
- Suluk @ Solok: Salah sebutan bagi perkataan Sulug oleh orang Melayu, iaitu sebutan 'G' berbunyi 'K'.
- Solot: Salah sebut bagi Sulug oleh orang-orang Jawa-Majapahit (1293-1500) sebagaimana yang tertera dalam Negarakertagama.
Di Nusantara, Tausug sejak abad ke-14 dikenali oleh bangsa-bangsa lain dengan gelaran Suluk atau Solok. Sebagai contoh kaum Visaya (Luzon-Visaya) dan Iranun-Maguindanao serta sub-etnik mereka di Mindanao rata-rata memanggil Tausug dengan panggilan Sulug. Manakala di Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo, Tausug dipanggil Suluk atau Solok yang kemungkinan besar panggilan tersebut sudah bermula ketika zaman Srivijaya lagi.
LATAR BELAKANG BAHASA SUG DAN PENUTURNYA
Tausug menutur satu bahasa yang menjadi linguafranca di kepulauan Sulu ketika dulu iaitu Bahasa Sug dan sehingga hari ini masih menjadi bahasa utama di kepulauan Sulu sekali pun terpaksa berada di bawah tekanan pentadbiran kerajaan Filipina yang menjadikan bahasa Tagalog sebagai bahasa rasmi. Bahasa Sug masih mengekalkan bahasa induk kepulauan Sulu yang asal yang disebut sebagai bahasa Buranun (Bangsa Gunung) atau pun bahasa pedalaman dan pergunungan. Bahasa lain juga turut memperkayakan Bahasa Sug hari ini antaranya seperti Sanskrit, Melayu, Arab, China, Inggeris dan lain-lain.
Di kepulauan Sulu terdapat banyak kaum atau etnik yang walau pun mempunyai bahasa etnik mereka sendiri namun mereka tetap menutur Bahasa Sug sebagai bahasa perantara. Antara kaum kepulauan Sulu selain Buranun yang menutur Bahasa Sug ialah,
- Samal Balangingi dan Samal Pala'o (Badjau): Biasanya Balangingi adalah penguasa laut manakala Pala'o (Paraho @ bangsa berumah atas perahu) sebagai pekerja buruh.
- Yakan: Satu kaum terbesar di Pulau Basilan.
- Kalibugan: Kaum yang duduk di Semenanjung Zamboanga, kaum ini menurut pengkaji adalah berasal dari kaum Suba'anun (kaum Dayak Sungai) yang telah diislamkan pada awalnya oleh Tausug. Suba'anun pula adalah sub-etnik dari Dayak Laut Iranun yang selalu menyertai ekspedisi maritim bersama Balangingi di seluruh laut Asia Tenggara ketika dulu.
- Jamamapun (Kagayan @ Kagayanun): Menetap di Laut Sulu di satu pulau kecil yang dinamakan Cagayan de Sulu.
- Tidung @ Tirun: Menetap di kawasan Timur pulau Borneo yang kemungkinan besar mempunyai pertalian terdekat dengan Dayak Laut Iranun di Mindanao yang kemungkinan juga adalah keluarga terdekat dengan Dayak Ida'an dan Dayak Murud @ Murut di Borneo Utara. Sehingga hari ini sebahagian golongan tua kaum Tidung di Kalimantan Timur sehingga ke Tawau, Borneo Utara (Sabah) masih fasih menutur Bahasa Sug yang mereka panggil sebagai bahasa Suluk.
- Tagbanua @ Tambanoa: Suku kaum Dayak yang menetap di sepanjang sungai Sugut sehingga ke kaki gunung Kinabalu yang kemungkinan adalah kaum induk kepada kaum Dusun, Lotud dan kaum Sungei atau Laum Suba' hari ini.
Dalam catatan Najeeb Saleeby (History of Sulu) dan tulisan Cesar Adib Majul (Muslim in the Philippines) menunjukkan etnik Dampuan (Champan @ Champa) dan Melayu Banjar adalah sebahagian dari rakyat Kesultanan Sulu maka sudah tentu mereka juga menggunakan Bahasa Sug selain bahasa Melayu. Terbukti sehingga hari ini lidah “Banjar” yang menyebut “R” menjadi “G” masih digunakan dalam Bahasa Sug, contohnya, Bagu (Baru), Layag (Layar), Dapug (Dapur @ dibakar), Niyug (Nyiur), Baga (Bara), Bugas (Beras), Gimba (Rimba), Bugat (Berat), Suga (Suria), Bagat (Barat), Paga-paga (Para-para), Gatus (Ratus), dan lain-lain.
Melihat kepada susunan suku-suku kaum yang dinyatakan di atas maka tidak hairanlah mengapa dikatakan bahawa sekali pun mereka mempunyai bahasa dan budaya berbeza dan selagi masih dibawah kekuasaan Kesultanan Sulu, serta menggunakan Bahasa Sug sebagai bahasa perantara maka mereka masih dinamakan sebagai BANGSA TAUSUG atau bangsa Sulug. Hari ini sempena kemunculan semula kedaulatan Kesultana Sulu, nama Tausug telah dijadikan sebagai kewarganegaraan Sulu yang baru sempena mengingati sejarah kesatuan dan kekuatan kaum-kaum Sulu lain membela Kesultanan Sulu ketika dulu.
ANTARA SU'LUG DAN SUG-SUG
Sulug mempunyai kesamaan dengan perkatan lain yang sinonim iaitu Su'lug dan Sug-sug sebagai kesesuaian dengan budaya mereka yang menetap di negeri kepulauan.
- Su'lug: Membawa pengertian secara bahasa iaitu 'rentetan atau proses memakai sesuatu sehingga sempurna menjadi pakaian pada badan', secara istilah bermaksud 'memakai', contoh ayat seperti 'nag su'lug badju' (Memakai baju), 'nag su'lug ilmu' (memakai ilmu kebatinan). Pakai dalam bahasa Melayu sama sebutan dan maknanya dengan pakai dalam Bahasa Sug. Yang berbeza dengan Bahasa Melayu, Bahasa Sug kaya dengan sebutan seperti mengasingkan pakai, memakai dan pakaian. Pakai disebut iyusal, memakai disebut su'lug @ siyu'lug, pakaian disebut tamungun. Walaubagaimana pun ia bergantung kepada penggunaan ayat kerana Bahasa Sug masih menggunakan pamakai (i.e. pakaian yang dikenakan pada tubuh), namakai (i.e. pakaian yang sedang dipakai), piyakai (i.e. dipakai atau diguna).
- Sug-sug: Bermaksud menelusuri akar keturunan atau dalam Bahasa Arab disebut Silsilah (Salsilah). Seorang tua yang mengingatkan anak cucunya dari mana asal keturunan mereka dengan penceritaan nasab secara tertib satu persatu dan teliti, adalah budaya dalam tradisi lisan maka ia disebut sebagai melakukan Sug-sug. Seseorang yang sedang mengamalkan sesuatu ilmu kebatinan (jampi serapah @ rukyah - membaca ayat satu persatu) juga dipanggil nag sug-sug ilmu'.
KESIMPULAN MAKNA SULUG
Dari keterangan di atas menunjukkan bahawa makna Sulug itu sebenarnya ialah “menelusuri jalan” ke satu-satu tujuan tertentu yang boleh dikiaskan kepada apa-apa keadaan yang melibatkan perjalanan, pelayaran, penerokaan, pengembaraan dan sebagainya. Sebagai satu proses perjalanan menelusuri laut sehingga sampai ke pulau-pulau dan tanah besar di mana-mana sahaja sebagaimana pekerjaan bangsa Sulug sejak sekian lama. Maka satu kemungkinan yang tidak dapat disangkal kebenarannya bahawa itulah yang menyebabkan mereka digelar BANGSA SULUG yakni bangsa penelusur atau peneroka laut sehingga memungkinkan mereka berjaya mengelilingi glob beribu tahun yang lalu.
Untuk menjadi penelusur atau peneroka laut ia memerlukan keberanian dan kekuatan semangat yang luar biasa. Maka sebab itu Sulug bukan sahaja perlu menjadi seorang pelayar yang handal malah perlu mahir dengan ilmu-ilmu “alat” lain yang boleh membantunya sampai ke destinasi dengan selamat. Makna SUG dalam budaya Tausug di kepulauan Sulu mempunyai makna sehingga ia menjadi satu istilah keberanian yang disebut U-SUG (Jantan @ Perkasa), I-SUG(Berani yakni tiada istilah 'takut' dalam kamus hidupnya), KU-SUG (Kekuatan). Istilah Usug, Isug dan Kusug telah dijadikan bulansang (kata-kata perangsang yang dipaku ke dalam hati dan perasaan) oleh Tausug untuk kekal sebagai penguasa laut samada pembela atau pemusnah.
Notakaki:
[01] Nagpatural (Bahasa Sug) bermaksud merelakan diri sebagai pak turut.
[02] Islam Di Filipina, Cesar Adib Majul dari translasi Muslim in the Philippines (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988).
[03] Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor Diraja Spanyol telah sampai ke Pulau Cebu pada 1565 dari New Spain (Maxico). Rujuk: www.britannica.com/ebi/article-9047633/.
[04] A Nation Under Endless Tyranny, Salah Jubair, dalam bab I - Once Upon A Time, buku edisi kedua.
[05] Notes on some controversial issues in Brunei history, Robert Nicholl, Archipel, Année 1980, Volume 19, Numéro 19, pp. 25-42.
Ruj: www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_19_1_1524
[06] Ruy López de Villalobos, bertolak dari Spanyol pada tahun 1541 dan mula menamakan Sulu Utara dengan Filipinas pada 1543.
Ruj: www.etymonline.com/index.php?search=Filipino&searchmode=none.
[07] Answers.com - What is the difference between peninsulares and insulares.
wiki.answers.comwiki.answers.com/Q/What_is_the_difference_between_peninsulares_and_insulares
#ixzz1IRb7rs8L
[08] Causes of Conflict between Christians and Muslims in the Philippines, Mr. Victor.
www.iiipeace.org/Philippines%20Causes%20of%20Conflict%20between%20Christians%20and%20Muslims.htm
[09] http://babynamesworld.parentsconnect.com/meaning_of_Indio.html
[10] Mabuhay ang Maharlika, Rodel Rodis dalam INQUIRER.net.
Ruj: www.proyectos-saluda.org/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=1992
|