Seni hiasan kitab al-Quran
Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
AL-QURAN adalah kitab suci umat Islam yang merupakan sebuah buku yang mengandungi himpunan wahyu Allah SWT kepada Nabi SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s.
Wahyu diturunkan selama 10 tahun di Mekah dan 13 tahun di Madinah. Ayat al-Quran pertama yang disampaikan oleh malaikat Jibrail a.s kepada Nabi Muhammad SAW adalah ayat pertama - ayat lima daripada surah al-Alaq yang bermaksud: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia yang mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Al-Quran dibukukan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Usaha mengeluarkan satu versi penulisan dan susunan yang seragam untuk semua umat Islam.
Ia dilakukan pada zaman pemerintahan khalifah Islam yang ketiga, Khalifah Uthman r.a berdasarkan kepada jilid al-Quran yang dibukukan sebelum itu ketika zaman Saidina Abu Bakar r.a iaitu khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Penulisan al-Quran kemudiannya berkembang dengan pesat dan memperkenalkan satu lagi seni iaitu seni hiasan al-Quran.
Seni hiasan al-Quran merangkumi tulisan, tanda baca, tanda ayat, hiasan muka surat, warna dakwat, penjilidan dan kulit al-Quran.
Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri dan keunikan dalam menzahirkan keimanan umat Islam di pelbagai tempat di seluruh dunia.
Seni yang berkaitan dengan al-Quran adalah paling indah dan terpilih kerana ia digunakan untuk kitab yang mengandungi wahyu Allah SWT yang dijadikan panduan dalam kehidupan seharian umat Islam.
Setiap satu bahan, warna atau motif yang dipilih perlulah yang terbaik kerana ia adalah al-Quran.
Tulisan bagi teks al-Quran bermula dengan tulisan kufik yang kemudiannya diperhalusi dan diperindahkan dari satu zaman ke satu zaman. Tulisan yang menjadi pilihan ramai bagi penulisan al-Quran adalah tulisan nasakh.
Ini kerana hurufnya jelas dan mudah dikenali dan dibaca terutamanya bagi umat Islam yang bukan keturunan Arab.
Di samping tulisan nasakh, tulisan yang menjadi pilihan penulisan teks al-Quran adalah kufik mahgribi, bihari dan sinni.
Tulisan-tulisan ini lebih bersifat kewilayahan kerana kufik maghribi sering digunakan pada al-Quran dari Afrika utara, bihari bagi al-Quran dari India dan sinni untuk al-Quran dari China.
Selain huruf, inisiatif Saidina Uthman r.a adalah terhadap titik huruf dan tanda bacaan telah mengelakkan perbezaan dalam bacaan dan pemahaman umat Islam tentang isi kandungan al-Quran.
Kepekaan Saidina Uthman r.a dan para sahabat lain ketika itu kepada keperluan umat Islam yang bukan Arab adalah amat penting dalam memastikan keseragaman sebutan dan makna daripada dahulu, kini dan selamanya.
Walau bagaimanapun bentuk tulisan yang digunakan, teks al-Quran tetap terpelihara seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Qur'an dan sesungguhnya kamilah yang benar-benar memeliharanya. (al-Hijr: 9)
Al-Quran yang dihasilkan dengan penulisan tangan pada abad ke 8 hingga abad ke 19 Masihi tidak mempunyai nombor ayat selepas setiap ayat seperti dalam al-Quran bercetak pada hari ini.
Penanda ayat al-Quran juga mendapat perhatian pelukis hiasan. Hiasan yang paling minimum bagi penanda ayat adalah bulatan ringkas yang menggunakan pen berwarna merah atau hitam. Penanda ayat yang kreatif mempunyai hiasan berbentuk kelopak bunga, bintang atau pusaran.
Oleh kerana tiada nombor ayat, hiasan birai di tepi teks al-Quran selalunya merupakan penanda bagi mengingatkan pembaca mengenai nombor juz dan bilangan ayat seperti rubuk (satu per empat), nisf (setengah) atau thuluth (tiga per empat).
Ini membantu pembaca mengetahui jumlah ayat yang dibaca kerana teks tidak mempunyai nombor ayat.
Hiasan birai ini memperindahkan lagi halaman al-Quran selain daripada halaman pembukaan, tengah dan penutup.
Sebagai contoh, al-Quran dari zaman Uthmaniyyah, Safavid dan Qajar banyak menggunakan motif hiasan berasaskan bunga.
Al-Quran dari Cina banyak menggunakan motif hiasan berasaskan awan dan al-Quran dari dunia Melayu menggunakan motif berasaskan kerawang.
Seni hiasan al-Quran yang seterusnya adalah hiasan muka surat seperti muka surat pembukaan, tengah dan penutup serta hiasan birai di bahagian tepi teks al-Quran.
Hiasan muka surat pembukaan sering mempunyai dua halaman muka surat yang mengandungi surah al-Fatihah dan beberapa ayat terawal surah al-Baqarah.
Bagaimanapun, bagi al-Quran dari Filipina, muka surat pembukaan hanya mengandungi surah al-Fatihah yang ditulis di atas dua halaman.
Motif yang menjadi pilihan bagi bahagian ini ialah motif bunga-bungaan seperti al-Quran dari Turki, motif geometri seperti al-Quran dari Afrika Utara dan motif kerawang atau seni bina seperti al-Quran dari dunia Melayu.
Motif-motif yang dipilih ini menyumbang kepada kepelbagaian motif hiasan al-Quran dan secara tidak langsung memperkenalkan identiti masyarakat Islam setempat.
Tidak semua la-Quran mempunyai hiasan tengah. Hiasan tengah ialah hiasan yang dilukis pada surah ke 15 dalam al-Quran yang dihasilkan di beberapa wilayah Islam seperti Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, Asia Tengah dan India.
Sebagai contoh, hiasan tengah al-Quran dunia Melayu boleh ditemui pada dua halaman terawal surah al-Israk atau pada dua halaman terawal surah al-Kahfi.
Hiasan penutup selalunya terdapat pada dua halaman terakhir yang mempunyai surah an-Nas sehingga surah al-Kafiruun atau hanya dua surah iaitu surah an-Nas dan al-Falaq.
Warna merupakan bahan yang paling penting dalam sesuatu hiasan. Sumber pewarna yang digunakan bagi hiasan al-Quran terdiri daripada tumbuhan seperti warna daripada daun, bunga atau buah, mineral seperti emas atau perak, dan batu separuh berharga seperti batu lapis lazuli.