ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Kaji naskhah bersejarah



Kaji naskhah bersejarah

Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my

Penyelidik muda perlu terokai khazanah bangsa dalam manuskrip Melayu lama

USAHA mengumpul, memelihara, memulihara dan mengkaji manuskrip Melayu semakin mencabar berikutan capaian yang terhad dan kekurangan tenaga mahir yang mempunyai kepakaran meneliti manuskrip Melayu lama.

Demikian antara isu utama yang dibincangkan pada Wacana Penyelidikan Manuskrip Melayu : Menyelami Sumber Maklumat Pribumi Nusantara yang menampilkan Ketua Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kamariah Abu Samah, sebagai pembicara. 
Mungkin ramai tidak sedar betapa tingginya nilai sejarah dalam manuskrip Melayu yang memuatkan pelbagai bahan ilmu termasuk keagamaan, tradisional, artistik, undang-undang dan budaya sehingga ia dilindungi di bawah Akta Warisan (Akta 654), 2005. - Kamariah Abu Samah, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Kamariah memulakan bicaranya dengan memaklumkan tradisi kepengarangan Melayu bermula pada abad ke-14 dan kebanyakan naskhah Melayu tertua disimpan di gedung luar negara kerana penjajah membawa pulang segala macam khazanah negara ini.

Setakat ini lebih 10,000 salinan judul manuskrip Melayu berada dalam simpanan institusi di 28 negara antaranya British of Library, Sekolah Kajian Afrika Timur dan Asia di Universiti of London, Royal Asiatic Society, Perpustakaan Nasional Singapura, Perpustakaan Nasional Indonesia dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

“Mungkin ramai tidak sedar betapa tingginya nilai sejarah dalam manuskrip Melayu yang memuatkan pelbagai bahan ilmu termasuk keagamaan, tradisional, artistik, undang-undang dan budaya sehingga ia dilindungi di bawah Akta Warisan (Akta 654), 2005,” katanya pada wacana di Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Malah, isu kekurangan tenaga mahir dalam melakukan kajian terhadap manuskrip Melayu turut memberi kesan kepada perkembangan sastera dan kesudahannya, naskhah bersejarah terperam kerana tiada tenaga pakar yang berupaya melaksanakannya.
Hanya beberapa nama saja yang boleh disebut sebagai pengkaji manuskrip aktif yang antaranya Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Bazrul Bahaman; Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Jelani Harun, Felo Penyelidik Utama ATMA UKM, Prof Dr Ding Choo Ming dan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Mardiana Nordin.

“Tugas sebagai pengkaji manuskrip bukanlah sesuatu yang mudah dan kita hampir pupus kelompok pengkaji yang perlu berpengetahuan luas dan boleh membaca tulisan jawi lama atau klasik dengan baik.

“Malah, pengetahuan dalam bahasa lain terutama bahasa Arab juga sangat diperlukan terutama dalam menganalisis manuskrip bercorak keagamaan yang banyak ditulis dalam bahasa terbabit,” katanya.

Beliau turut mendedahkan konflik yang merencatkan perkembangan pengumpulan dan kajian manuskrip lama, apatah lagi dengan ketiadaan pelapis muda yang bakal menyambung usaha pengkaji sedia ada.

Kamariah yang berkhidmat lebih 30 tahun di DBP menjelaskan, manuskrip Melayu memainkan peranan penting terutama dalam memperkaya dan memperhebat khazanah penyelidikan dalam bahasa Melayu.

“Kewujudan Perpustakaan DBP pada 1956 memperkuat usaha dalam memperkembangkan korpus sastera Melayu. Perpustakaan DBP dinaik taraf menjadi PDM pada 1993 dan menjadi perpustakaan khusus yang berperanan membina koleksi persuratan Melayu dalam pelbagai bentuk.

Kami memelihara manuskrip sebagai koleksi khazanah dan warisan bangsa yang bernilai tinggi. Bagi menaik taraf peranan dan fungsi PDM sebagai pusat penyelidikan persuratan Melayu, DBP juga menyimpan koleksi manuskrip dalam pelbagai bentuk daripada cetakan awal termasuk cetakan batu sehingga kepada bahan elektronik, pangkalan data dan usaha pendigitalan,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof Dr Teo Kok Seong dan Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip ATMA, Datuk Zawiyah Baba.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan yang turut meluangkan masa menghadiri wacana itu berharap sinergi antara badan penyelidikan dapat dijalankan termasuk pembabitan ATMA yang dilihat mampu menjana koleksi digital dan penerbitan berkualiti tinggi.

“Kekayaan sumber warisan tamadun Melayu begitu luas dan bukan sekadar berada di Tanah Melayu, tetapi turut meliputi pusat peradaban Melayu lain termasuk Kalimantan, Jawa dan Pattani yang kemudian disebarkan ke dunia luar oleh penjajah dan sarjana barat.

“Meskipun kelompok pengkaji semakin mengecil, tetapi kesungguhan yang ditunjukkan tetap ada terutama untuk melakukan kajian terhadap aspek budaya, sastera, sejarah, falsafah dan budaya pemikiran yang sebahagiannya masih belum disentuh,” katanya yang sememangnya dikenali sebagai pejuang bahasa tegar dan teguh pendirian.

17 April 2012
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kajinaskhahbersejarah/Article