ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Agensi HEI

Agensi Kerajaan tiada kuasa dakwa, ambil tindakan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam

Berita Harian 15 Nov 2010

ARAHAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat status agama seorang bapa pelajar di Sarawak seolah-olah menimbulkan polemik baru dari sudut Perlembagaan.

Nazri sebagai menteri Persekutuan dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam hal berkenaan malah, JAKIM juga tidak boleh masuk campur menyiasat status agama bapa kanak-kanak yang dirotan di Sarawak itu.

Pada hemat saya, Nazri sebagai menteri Persekutuan mempunyai kuasa penuh mengarahkan JAKIM, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan untuk membuat apa saja bagi memastikan sesuatu perkara itu berjalan lancar.

Namun, jika Nazri mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), maka ia bercanggah dengan konsep federalisme yang diamalkan dan badan negeri itu boleh mengabaikan arahan berkenaan.

Ini kerana JAIN dan MAIN tidak tertakluk kepada bidang kuasa Persekutuan seperti dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Taburan kuasa antara negeri dan persekutuan ini sudah dipersetujui semua pihak dan termaktub dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang ingin menubuhkan sebuah persekutuan yang kuat.

Justeru, adakah JAKIM mempunyai kuasa membuat siasatan yang diarahkan dan apakah motif siasatan itu. Bagi menjawab persoalan ini ada baiknya kita merujuk fungsi JAKIM itu sendiri.

Melalui laman web JAKIM, tiga fungsi utama badan itu ialah penggubalan dan penyeragaman undang-undang syarak, penyelarasan pentadbiran Islam dan penyelaras dan pembangunan pendidikan Islam.
Piagam Pelanggan JAKIM pula antara lain, melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan sebagai agensi pusat yang unggul dengan memberikan perkhid-matan berkualiti dalam pengurusan hal ehwal Islam melalui usaha penyelarasan, peningkatan mutu perkhidmatan dalam bidang dakwah, penyelidikan perundangan, latihan, pendidikan serta pembangunan ekonomi dan sosial.

Jelaslah penumpuan JAKIM lebih kepada penyelidikan dan penyelarasan bukan mengambil tindakan terhadap mana-mana orang ataupun pertubuhan. Malah, JAKIM sendiri tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mendakwa atau mengambil tindakan perundangan berkaitan hal ehwal Islam.

Oleh demikian, apabila seorang menteri Persekutuan mengarahkan JAKIM menyiasat, apa yang perlu dilakukan JAKIM ialah menyelaraskan tindakan dan bekerjasama dengan negeri berkenaan untuk mendapatkan maklumat diperlukan menteri berkenaan

Walaupun Sarawak satu-satunya negeri yang tidak meletakkan Islam sebagai agama negeri, namun Ketua Agama Islam di Sarawak adalah Yang di-Pertuan Agong seperti dalam Perkara 4A (1) Undang-Undang Tubuh Sarawak.

Islam mempunyai kedudukan tinggi di Sarawak dan undang-undang Islam digubal serta dilaksanakan di negeri itu menunjukkan Islam mempunyai kedudukan istimewa berbanding agama lain.

Pada saya, tiada silapnya arahan menteri Persekutuan kepada JAKIM untuk menyiasat bukan mengambil tindakan dan bagaimana siasatan dilakukan, terpulang kepada kebijaksanaan JAKIM.

Tindakan hanya boleh diambil pihak berkuasa negeri mengikut undang-undang yang berkuatkuasa seperti Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan Enakmen Jenayah Syariah.

Saya juga berpendapat, bagi memudahkan tindakan perundangan JAKIM yang ditubuhkan sejak 1968 tidak lagi diletakkan sebagai agensi Kerajaan Persekutuan sebaliknya berada bawah naungan Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama negeri.

Jika JAKIM diletakkan di bawah tadbir urus Majlis Raja-Raja, isu menyanggah konsep federalisme tidak timbul. Pada masa sama, JAKIM bukan hanya penyelaras tetapi mempunyai kekuatan undang-undang dan tidak lagi dikatakan mencampuri urusan negeri.

JAKIM, JAIN dan MAIN juga perlu bebas daripada kongkongan politik supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan serta bagi menjaga imej dan kesucian agama Islam.

* Agensi hal ehwal Islam sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja Melayu dan bukannya di bawah JPM, ini bagi memudahkan urusan dan penyelarasan agensi seperti Jakim, Jawhar, Tabung Haji, JKSM, IKIM, Yadim. Ini bagi meneutralkan daripada bias politik kepartian dan kepentingan menteri yang mungkin akan datang seorang liberal, plural atau wahabi. dengan ini dapat perkasakan ASWJ dan manfaat bagi umat I slam di Malaysia. Dekad ini juga perlunya diwujudkan Universiti Islam DiRaja dan Institut Kajian DiRaja bagi agenda agama dan daulat.