Index Librorum Prohibitorum
Oleh: Adib Zalkapli
Pegawai-pegawai agama yang dipertanggungjawabkan memantau penerbitan, menyemak tajuk-tajuk dan kandungan buku, bersama-sama perunding yang dapat memberikan kefahaman tentang apa yang dibincangkan dalam penerbitan itu sebelum ia dimasukkan dalam senarai buku yang diharamkan kerana bertentangan dengan kepercayaan mereka. Buku-buku yang diharamkan termasuklah penerbitan-penerbitan daripada mazhab-mazhab yang dilihat sebagai musuh. Pengharaman itu dilihat penting untuk melindungi akidah pengikut-pengikut mereka.
Untuk tempoh 400 tahun senarai yang dikenali Index Librorum Prohibitorum (Senarai buku yang diharamkan) cukup aktif dikemaskinikan oleh Gereja Roman Katolik melalui Kongregasi Indeks, yang berperanan memantau buku-buku. Daripada tahun 1559 hingga 1966, senarai itu menjadi panduan buku apa yang tidak boleh dibaca atau dimiliki oleh para Katolik.
Di Malaysia, Index Librorum Prohibitorum dikendalikan oleh Bahagian Kawalan dan Teks al Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Hujung bulan Januari lalu, agensi itu mengeluarkan kenyataan mengharamkan 11 buku berkaitan Islam, lapan berbahasa Inggeris dan tiga lagi dalam bahasa Malaysia. Alasannya: “Sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.” Seperti Index Librorum Prohibitorum, tiada alasan lanjut diberikan.
Antara buku yang diharamkan adalah Islam & Pluralisme, sebuah rangkuman esei-esei yang diterbitkan oleh Middle Eastern Graduates Centre. Buku itu menurut MEGC dalam kenyataannya adalah sebagai satu reaksi kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Majelis Ulama Indonesia pada tahun 2006 yang mengharamkan sekularisme, liberalisme dan pluralisme.
“Menyedari bahawa pluralisme bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam tradisi keilmuan Islam, kami mengutip dan menterjemahkan beberapa tulisan yang cuba menjelas realiti kejamakan (plurality) dan pluralisme keagamaan dalam teks-teks agama (Al-Quran dan hadis), sejarah, tradisi, dan idea-idea yang terkandung di dalam karya para sarjana agung Muslim, khususnya daripada aliran sufisme,” Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, pengarah eksekutif MEGC.
Organisasi itu juga dilaporkan akan menulis surat kepada KKDN bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang alasan pengharaman buku itu.
Satu lagi mangsa pengharaman yang telah menjawab tindakan ‘Kongregasi Indeks’ Malaysia itu adalah pengarah eksekutif Center for Islamic Pluralism – yang mempunyai operasi di seluruh dunia – Stephen Schwartz, penulis buku Two Faces of Islam terbitan Double Day, New York pada 2002.
“Saya memandang pengharaman ini satu penghormatan. Bagaimanapun, saya menyeru Muslim yang sederhana dan mereka yang bersimpati dengan Islam sederhana serta pendukung kebebasan bersuara supaya memprotes kepada pihak berkuasa Malaysia atas tindakan melampau ini,” kata Schwartz dalam satu siaran media CIP. Schwatz turut mengatakan agen Wahabi Saudi terlibat dalam pengharaman buku tersebut.
Siri pengharaman terbaru ini, yang memang merupakan acara berkala ‘pengawal akidah’, telah menimbulkan perbincangan hangat dan reaksi bercampur-campur di laman-laman blog dan forum.
Bagi kumpulan yang menyokong pengharaman ini, anti-Semitisme sangat terserlah dalam pandangan mereka apabila pihak dibelakang penerbitan buku-buku ini cuba dikaitkan dengan pertubuhan Yahudi.
Ketiadaan penjelasan yang lebih mendalam oleh KKDN dalam pengharaman buku ini telah mewujudkan ruang untuk banyak pihak membuat pelbagai spekulasi tentang pengharaman terbaru ini.
Pengharaman ini memang tidak sepatutnya berlaku, ketika orang ramai mempunyai kebebasan untuk membaca sebarang bahan melalui internet. Namun jika pihak berkuasa berpandangan pengharaman ini sangat perlu, sekurang-kurangnya ketelusan dalam perkara ini sangat penting. Setidak-tidaknya, pihak penerbit perlu mengetahui persoalan apa yang terdapat dalam mana-mana buku yang telah membawa kepada pengharaman.
Atau mungkin dokumen rahsia atau laporan berkenaan buku-buku berbahaya ini hanya akan diketahui lebih 400 tahun lagi, seperti dokumen lama berkenaan Index Librorum Prohibitorum, yang kini sedang hebat dikaji ahli sejarah, bagi membongkar pemikiran gereja pada era itu.
18 Februari, 2008,
· Ulasan:
Artikel diatas secara licik ingin mempertikaikan aliran fahaman mereka yang dikatakan menyeleweng atau bercanggah dengan agama Islam. Memang dalam membuat kajian dan analisis banyak faktor perlu dipertimbangkan atau bias dalam membuat keputusan. Walhal seorang muslim semestinya bias kepada akidah Ahli sunnah waljmaah. Namun yang dipertikaiakan adakah ianya isu akidah atau pemikiran? Justeru justifikasi perlu mantap dan kefahaman mendalam dalam sesuatu bidang, jika tidak memang mengelirukan, tidak tepat dalam penilaian dan sebetulnya pengkaji sudah pasti akan bias kepada pegangannya. Justeru suatu bidang perlu dirujuk kepada ahli sesuatu bidang mafhum hadis ‘ Tanyalah ahli zikr dan ahli (pakar) sesuatu bidang sekiranya kamu tidak mengetahui’.
Artikel diatas cuba melepaskan diri dari tuduhan terhadap penulisan buku yang diwartakan haram tersebut.
Suatu pembohongan artikel di atas menisbahkan pluralisme dengan beberapa tokoh sasterawan dan ulama’ sufi seperti dinyatakan di atas. Sedangkan faham penulisan ulama Sufi perlu di rujuk kepada ulama yang arif dalam kesufiian dan disiplinya tersendiri. Banyak penyelewengan disandarakan kepada sufi adalah suatu ketidakadilan.
Nampakanya pegawai Jakim dituduh sebagai berpegang kepada akidah dan fahaman wahabi, adakah ini benar wujud? Perlu kepada siasatan telus dan terhadap penerbitan Jakim sama ada bias kepada wahabi atau tidak? Kerana tuduhan ini agak berat tanpa bukti bertulis atau rekod bersuara. Jakim perlu konsisten dengan Ahli Sunnah wal Jamaah dan pemerkasaaanya. Sebarang tuduhan perlu dijelaskan dan perlu diambil perhatian tindakan yang sewajarnya.