ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

UNIVERSITI ISLAM MALAYSIA (Universiti naungan Raja-Raja)

Universiti naungan Raja-Raja

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Amalia Hasannudin

2012/03/03 Berita Harian

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah universiti penyelidikan berteraskan Islam akan ditubuhkan di bawah naungan Majlis Raja-Raja, di Cyberjaya, khusus bagi pelajar pasca siswazah yang terbuka kepada pelajar dalam dan luar negara.

Penubuhan UIM yang diputuskan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-222 pada 2010 adalah kesinambungan Kolej Islam Malaya (KIM) yang ditubuhkan pada 1955, namun ditangguhkan pada 1970 kerana keperluan mendesak waktu itu untuk menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengangkat martabat Bahasa Melayu ke peringkat universiti.

Pengerusi Majlis UIM, Tan Sri Dr Yusof Noor, berkata universiti berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 27 hektar dengan struktur seni bina Islam dan istana Melayu termasuk pembinaan sebuah masjid serta menara jam sebagai lambang diraja.

Beliau berkata, UIM bukan duplikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana ia adalah pusat penyelidikan khusus bagi pengajian Sarjana dan PhD serta sebagai penyambungan semula KIM yang ditubuhkan sebelum ini atas persetujuan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, sesi pengambilan pertama pelajar diadakan Jun ini dan mereka yang terpilih akan mengikuti pengajian di kampus sementara di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

Katanya, Majlis Universiti itu yang dilantik dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk tujuan itu.

Katanya, pengumuman rasmi penubuhan universiti berkenaan akan dibuat kerajaan dalam masa terdekat dan Majlis UIM juga menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada universiti itu berstatus institusi pengajian tinggi awam atau swasta.
“Universiti ini mengutamakan mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai disiplin termasuk sains, kejuruteraan dan sains sosial, berteraskan Islam.

“Uniknya, jumlah pelajar dihadkan kepada 1,000 orang dan mereka boleh memilih bahasa antarabangsa yang ingin digunakan dalam penulisan tesis untuk memudahkan perkongsian dokumen antara negara, namun sinopsis tesis mesti dalam Bahasa Melayu sebagai menghormati bahasa kebangsaan,” katanya di sini, semalam.

Yusof berkata, UIM juga menyediakan kursus pendek seperti dilaksanakan di Universiti Harvard, Cambridge, Oxford dan Al-Azhar berikutan permintaan kursus berkenaan dari dalam dan luar negara.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UniversitinaunganRaja-Raja/Article/

Universiti Islam Malaysia (UIM) yang bakal ditubuhkan bukan duplikasi kepada universiti Islam lain di negara ini namun sebaliknya adalah penyambungan kepada sebuah institusi pengajian yang telah pun tertubuh sebelum ini.Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, UIM dahulunya merupakan Kolej Islam Malaya (KIM) yang ditubuhkan pada tahun 1955, diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu ketika itu.“Ia (operasi) bagaimanapun tertangguh pada 1970. (Namun) Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang kali ke-222 pada 2010 telah berkenan mengaktifkan KIM sebagai Universiti Islam Malaysia.

“Kekeliruan itu menjadi keprihatinan kita. Ia (UIM) bukan sebuah universiti baru tetapi sebaliknya memperbaharui institusi yang telah pun ditubuhkan sebelum ini,” katanya pada taklimat media di sini, Jumaat.

Turut hadir adalah Ketua Bahagian Kewangan MUIM, Datuk Abd Manaf Ahmad dan Ketua Pengurusan dan Perundangannya, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob.

Mohd Yusof (gambar) berkata, UIM sebenarnya merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) yang pertama ditubuhkan di Malaysia sebelum kemunculan universiti-universiti lain.

“Sekali lagi, penubuhan UIM bukan sebagai satu duplikasi kepada mana-mana universiti di pasaran. Ia adalah sebagai penyambungan semula (institusi di mana operasinya sebelum ini ditangguhkan),” katanya.

Rancangan penubuhan UIM didakwa menimbulkan kekeliruan dengan universiti Islam sedia ada di negara ini terutama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menurut Mohd Yusof, UIAM ditubuhkan menerusi tajaan daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara-negara Islam manakala USIM pula merupakan universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh kerajaan.

“UIM pula adalah daripada penubuhan Kolej Islam Malaya yang mendapat restu dan ditubuhkan oleh Raja-Raja Melayu.

“Dengan penubuhan UIM nanti, ia akan menjadi lambang solidariti dan kerjasama institusi raja-raja Melayu,” katanya lagi.

UIM memfokuskan program pasca ijazah iaitu peringkat sarjana dan doktor falsafah yang mengutamakan mereka yang berpengalaman dalam bidang-bidang masing.

Pengambilan pertama dijangka dilaksanakan pada Jun ini.

UIM akan beroperasi buat sementara waktu di Institut Latihan Islam Malaysia di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Usaha sedang dilakukan oleh MUIM untuk mendapatkan sebidang tanah di Cyberjaya sebagai kampus tetap UIM berkonsepkan Islam dan institusi raja-raja Melayu.