PEMIKIRAN
ISLAH
DAN TAJDID SHEIKH AHMAD
AL-FATHANI DALAM ‘HADIQAH AL-AZHAR WA AR-RAYAHIN’: Kearah penghayatan
Fiqh al-Hadharah
Islam merupakan agama yang membawa rahmat dan
kesejahteraan kepada seluruh alam ini. Mukjizat agung al-Quran merupakan panduan
dan rujukan utama kepada umat manusia untuk kehidupan di dunia ini sepanjang
zaman. Rasulullah SAW Berjaya membawa risalah Islam seterusnya diwarisi para
sahabat dan pewarisnya. Islam telah membawa nur petunjuk dan membawa manusia
keluar daripada kegelapan. Para ulama’ merupakan pewaris Rasulullah SAW membawa
panji dan dakwah Islamiah dengan rahmat dan hikmah bagi kesejahteraan kehidupan
duniawi dan ukhrawi.
Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu
Daud, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat
ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini
agamanya”.
Islam agama membawa peradaban, bersifat ukhrawi
dan duniawi dan menitikberatkan konsep Islah Dan Tajdid bagi kehidupan realiti
manusia di alam ini dan perkembangan zaman. Ibnu Manzur dalam karyanya ‘Lisan
al-Arab’ Islah bermaksud menghilangkan kerosakan atau mendirikan
semula sesuatu yang telah runtuh.Manakala Tajdid adalah kalimah arab yang
berasal daruipada jaddada dan yujaddidu, tajdidi bermaksud iaitu
menjadikannya baru atau bernafas baru. Kamus Dewan edisi keempat menyatakan
Istilah Islah ialah usaha untuk
mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan
sesuai; 2. penyelesaian perbalahan dengan jalan baik atau dengan jalan damai. Manakala Tajdid ialah pembaharuan (yang menurut ulama fiqah bererti
menghidupkan kembali ajaran Rasulullah SAW yang semakin ditinggalkan akibat
amalan bidaah).
Islah iaitu memperbaiki atau
membersihkan Islam daripada pemalsuan dan penyelewengan.Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk
menghayati agama dengan sebenar mengikut pendekatan baharu,penghayatan dan
realiti semasa muafakat dengan al-Quran dan hadis serta berpaksikan akidah
sahih Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Tajdid adalah bagi memperbaharui atau
menyegarkan semula kefahaman terhadap ajaran agama sesuai dengan tuntutan
zaman. Tajdid merupakan asas perubahan
yang menyeluruh tidak sahaja dari segi konsep, falsafah, isi, hala tuju dan
hasil, tetapi terdapat orientasi maju dan dinamik sesuai dengan perkembangan
zaman. Tajdid dalam Islam tidak mencabut akar tradisi yang cemerlang tetapi
menjadi elemen pengukuh dan memperkasa supaya pembangunan insan memberi manfaat
terhadap sekitarnya.
Alam Melayu telah berjaya melahirkan ramai
ilmuwan dan ulama’. Mereka telah menghasilkan Khazanah pemikiran dan keilmuan
dalam bentuk karya-karya yang begitu banyak didalam pelbagai bidang, sehingga
terdapat banyak manuskrip Melayu di pelbagai negara. Khazanah peradaban Melayu
Islami (kitab Jawi) masih terpinggir dan
ditinggalkan untuk dikaji, diamati dan dianalisis. Justeru dalam memacu kearah
ketamadunan dan peradaban sewajarnya karya khazanah warisan bangsa Melayu
Islami perlu diterokai dalam menongkah membina ketamadunan mengikut acuan
sendiri. Memahami khazanah sendiri membangkitkan semangat rasa bangga, kagum,
jatidiri terhadap nusa dan bangsa serta agama.
Dalam menghadapi cabaran dan kehidupan semasa
memahami turath dan massa amat penting dalam kerangka tersendiri yang lebih
mantap dan jitu. Fiqh al-Hadharah,
Pensejarahan dan falsafah sejarah harus digali kembali bagi melihat akar
kekuatan umat Islam, untuk dimartabatkan dan dijadikan panduan rujukan dan
diambil manfaat bagi menghadapi cabaran kehidupan semasa. Sheikh Ahmad al-Fathani
menukilkan bahawa:
‘Ilmu Tarikh itu daripada sebesar-besar segala
ilmu kadarnya dan terlebih cemerlangnya, didalam segala kelam, tercengang itu
qamarnya, member faedah ia akan yang mempunyainya, akan cerdik dan tajam
penilikkannya ia atas segala mereka yang semasanya dan sama taranya, dan
mendapat ia akan beberapa martabat yang tinggi didalam dunianya, bahkan membawa
kepada manfaat bagi ukhranya kerana dengannya lah jadi caraca bagi tolannya
bagi afkar dan dengan dia pula dapat mengambil iktibar dan dengan dia
diketahuikan segala hawadis didalam segala masa dan didalam cerminnya, terlihat
barang yang mentadwinkan dia oleh segala mereka yang dahulu daripada ulum dan
sonai, dan nyatalah dengan dia oleh barang yang tersembunyi daripada segala
ehwal kurun yang telah lalu dan sekalian khabar segala negeri dan barang yang
didalamnya daripada asar dan manafi’.
Tokoh ilmuwan dan ulama Melayu tersohor
diantaranya Sheikh Wan Ahmad b Wan Muhammad Zain al-Fathani (1856-1908).
Ketokohan beliau terserlah dengan penguasaan lebih 40 bidang keilmuan, dan
banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang keilmuan terutama dalam bahasa
Melayu dan juga bahasa Arab. Beliau adalah pemikir, strategis, pengkader,
ilmuan, ulama, sasterawan dan pejuang. Seorang Melayu Muslim yang serba boleh,
berpengetahuan luas dan bijaksana. Kepakarannya mendapat pengiktirafan khilafah
kesultanan Osmaniah di Istanbul, Turki pada masa tersebut. Beliau juga menjadi
rujukan para Sultan di alam Melayu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan. Perakuan
Sarjana dan Orientalis Belanda iaitu C.Snouck Hurgronje menggelarnya sebagai ‘A
Savant of Merit’ diatas keilmuan dan
ketokohan Sheikh Ahmad al-Fathani. William R.Roff menggelar sebagai ‘A Great Savant’.
Yakni sebagai sarjana ulung.
Kalangan ulama’ Melayu
pernah belajar dan berguru dengan beliau semasa menuntut ilmu di Haramain
(kurun ke19 dan awal ke-20) serta mempunyai hubungan sanad dan silsilah ilmu
dan amalan. Ramai muridnya telah berjaya menjadi ulama dan pejuang sekembalinya
ke tanahair masing-masing. Sheikh Ahmad al-Fathani banyak memberi sumbangan
dengan pendekatan Islah Dan Tajdid yang dibawa oleh beliau hasil daripada
tarbiah,keilmuan, pemikiran dan pengalaman serta kembara ilmiah di Haramain,
Mesir, dan Turki serta pengamatan beliau terhadap bangsa dan alam Melayu.
Antara karya agung memperlihatkan keilmuan
dan pengetahuannya dalam pelbagai bidang
ilmu ialah ‘Hadiqah al-Azhar’ yang ditulis dalam bahasa Melayu tulisan
Jawi, karya ini siap ditulis pada hari Sabtu 15 Syaaban 1307 bersamaan 6 April
1890. Cetakan pertama ialah pada tahun 1307H/1890M . Karya ini telah diulang
cetak dalam beberapa versi seperti cetakan Istanbul, Kaherah, Mekah dan Pulau
Pinang. Keunikan karya ini kerana memperlihatkan penulisan tokoh dalam pelbagai
bidang keilmuan.
Kepentingan menghidupkan warisan Melayu Islam
merupakan suatu usaha untuk memahami dan menilai tradisi yang sedia ada dalam
sesuatu masyarakat bertujuan untuk
mengenalpasti aspek ‘hakikat’ yang terkandung didalamnya yang boleh
diaplikasi,dikembangkan penjelasan dan pelaksanaannya menurut setempat dan
semasa. Ini dapat menyumbang kearah menghasilkan suatu kaedah penyelesaian bagi masalah dan cabaran umat setempat dalam
kerangka dan tradisi serta acuan sendiri yang terjaga dengan pendekatan
bersesuaian dengan tuntutan dan cabaran setempat dan semasa. Gandingan secara
bersepadu diantara ‘hakikat’ yang disaring dari warisan dan tradisi Melayu
Islam dan ilmu-ilmu moden yang berkembang kini akan menghasilkan suatu
penyelesaian yang mantap dan terkawal bagi permasalahan ummah setempat.
Fiqh al-Hadharah ini sebagai satu usaha ilmiah/amaliah bagi
membina satu kerangka islah dan tajdid berdasarkan tradisi pandangan (worldview)
dan pengalaman (lifeworld) Islam. Tradisi keilmuan(budaya ilmu) dan
keruhanian(amal ruhiyyah) yang menjadi teras kepada kekuatan
peradaban Islam.
Antara
ciri-ciri faham Tajdid dan Islah Sheikh Ahmad al-Fathani ialah:
1.
Mengembalikan
ajaran Islam ke landasan yang asal iaitu berpegang kepada al-Quran dan
al-Sunnah
2.
Memelihara dan
memperkasakan ajaran dan amalan ahli sunah wal jamaah.
3.
Faham sebenar al-Quran dan Sunnah
adalah melalui ulama mursyidin.
4.
Mendorong kepentingan teras
amal Islami berdasarkan Islam, Iman, Ihsan dimana kepentingan amal Islami
melalui bermazhab dan bertariqat.
5.
Mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli
kearah kesepaduan ilmu
6.
Memperbetulkan fahaman keliru yang
terdapat di kalangan umat Islam yang beranggapan bahawa jenis ilmu dan
pekerjaan yang bukan dari ibadat secara khusus tidak dituntut oleh agama.
7.
Kepentingan ilmu dan pendidikan
serta penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu serta membasmi kejahilan.
Menggalakkan rehlah ilmiah bagi menuntut ilmu dan pengalaman di Negara luar.
8.
Menitik beratkan kesedaran tentang
kepentingan bahasa dan sejarah bangsa serta mengambil iktibar dan panduan
sejarah manaqib ulama’, Khilafah Osmaniah dan ancaman ajaran Wahabi.
9.
Mengambil berat tentang nasib
bangsanya dan sayangkan bahasa Melayu. Dia telah melakukan usaha yang terancang
sebagai langkah untuk menebus maruah bangsanya dan perancangan bebaskan
daripada penjajahan.
10.
Melakukan pentashihan dan percetakan
kitab-kitab Melayu/jawi bagi tatapan umah Melayu. Meninggalkan kitab-kitab
serta karangannya yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi.
11.
Menyediakan kerangka bekerja
secara berpersatuan dengan dimulai penubuhan Jam‘iah al-Fataniyyah di Makkah.
Merupakan organisasi Melayu yang pertama. Pengkaderan orang melayu dan ulama di
Mekah bagi kembali ke tanah Melayu sebar ilmu, dakwah dan pusat pendidikan
serta jihad.
12.
Membuka jalan berfikir menerima
perubahan dan kemajuan secara luaran dan supaya mencapai kemajuan sains,
teknologi dan ilmu semasa dalam pelbagai bidang serta budaya mengkaji,
menyelidik dan analisis (R&D).
13.
Menyediakan pemikiran yang strategik
dalam menghadapi cabaran, jaringan ukhuwwah dan hubungan diplomatik dengan
Khilafah Islamiah Turki Osmaniah.
14.
Mengikuti perkembangan dunia
luar kerana dunia Melayu tiada akan terlepas dari perkembangan yang berlaku di
peringkat dunia,
15.
Menyemarak semangat mencintai
bangsa,bahasa Melayu dan tanah air di atas dasar tuntutan agama.
16.
Kepentingan dan kepedulian siasah
17.
Merencanakan perancangan ketamadunan
ummah
Perkara ini menarik perhatian untuk mengkaji,
menyelidik, menganalisis serta meneroka khazanah ini dalam memahami warisan
pemikiran, pendekatan dan konsep Islah Dan Tajdid oleh tokoh tersebut.
Dengannya dapat dijadikan sebagai suatu panduan dan kerangka dalam menghadapi
cabaran semasa, dakwah Islamiah dan kearah (fiqh al-Hadharah) mengembalikan dan
menjana peradaban insan dan ketamadunan Melayu Islami. Pemikiran Islah Dan
Tajdid beliau menjurus secara bersepadu kepada perancangan ketamadunan ummah
dan peradaban insani. Pemikiran beliau jelas bersifat
glokal,futuristik,progresif, wasatiyyah, strategis dan berperadaban mengikut
acuan Melayu Islami.
Rizhan el-Rodi