Budaya Ilmu dan Gagasan 1Malaysia dalam Konteks Pembinaan Negara Maju (Part 1)
Oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Konsep Negara Maju Konsep negara maju pada umumnya diterjemah dari bahasa Inggeris, developed nation, yang secara otomatis mengandungi nilai dan pandangan alam, budaya dan tamadun Barat yang sangat berpengaruh. Tidak dapat disangkal, beberapa segi dan ciri nilai dan pandangan alam Barat tidak menyalahi malah ada yang bertindih dengan beberapa nilai dan segi pandangan alam Islam serta adat resam rumpun Melayu; begitu juga dengan segi dan ciri tertentu dari budaya dan tamadun lain seperti Cina dan India. Yang bertindih dan tidak bersalahan itu dapat kita terima dan serapkan dengan mudah tanpa menimbulkan pergolakan dalam fikiran dan tata nila serta kehidupan masyarakat kita; yang bercanggahan harus diubah-suai mengikut pandangan alam, tata nilai dan keperluan kita jika boleh; jika tidak dapat diubah-suai, harus ditolak ketepi dengan tegas tetapi penuh hikmah. Dari pandangan alam Islam yang juga telah sebati dengan jiwa Melayu, negara maju ialah negara berjaya mencapai tujuan-tujuan maqasid al-syariah—menjaga kualiti kehidupan, agama, akal, hartabenda, dan keturunan.[1] Dalam tafsiran negara maju yang kini sedang popular, penekanan hanya diberikan kepada kehidupan akli dan kebendaan; manakala agama dan keturunan tidak diberikan keutamaan sepatutnya—malah agama dan keturunan dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan, mengikut mereka.
Untuk maju, dasar-dasar ajaran agama harus ditafsir mengikut kehendak dan perobahan masyarakat semasa, bukan dipegang teguh dan diamalakn dalam menghadapi cabaran zaman. Indeks Pembangunan Insan (Human Development Index) yang menjadi petunjuk penting negara maju diukur dengan mengambil kira Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per capita; jumlah rakyat mendapat pendidikan tinggi (higher education attainment), dan kadar panjang umur penduduk (longevity). Petunjuk-petunjuk yang dicipta oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Development Program, UNDP) ini tidak dianggap tepat dalam mengambarkan keperluan sebenar manusia, yaitu hidup yang sejahtera dan bahagia.[2] Memang diakui kesejahteraan dan kebahgiaan bukan mudah difahami dan diukur, tetapi sarjana dari semua agama dan bangsa menyepakati bahawa tujuan semua amal perbuatan manusia di peringkat peribadi dan masyarakat ialah untuk mencapai kesejahteraan dan kebahgiaan.[3] Inilah juga cita-cita Wawasan 2020 yang mahu memajukan Malaysia dengan acuan sendiri yang mengambil-kira pemikiran dan amalan terbaik dari pelbagai sumber.
Dalam pandangan alam kita, kesejahteraan dan kebahagiaan (saadah) adalah aspek penting dalam kemajuan individu dan masyarakat. Itulah kebaikan sebenar yang dicita-citakan di dunia dan di akhirat.[4] Negara yang maju ialah negara yang mensejahtera dan membahagiakan rakyatnya—yang mencapai maqasid al-syariah. Itulah negara (baldatun tayyibah) yang diredhai Allah SWT.[5] Negara-Negara Paling Bahagia (2006) Ramai sarjana dan agamawan, terutama dari kalangan Islam, bersetuju bahawa kesejahteraan dan kebahagiaan tidak terbatas kepada perasaan pribadi (subjective feelings) atau kegembiraan atau keseronokan (pleasure), walaupun unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan dari makna pengalaman tersebut.
Kebahagiaan hakiki adalah pengalaman rohani yang berteraskan keyakinan terhadap hakikat semesta dan kehidupan yang memancarkan akhlak dan adab yang baik.[6] Bagi ahli-ahli psikologi modern, Kesejahteraan Subjektif (KS) atau Subjective Well Being (SWB) adalah himpunan petunjuk2 yang mengambarkan kebahagiaan masyarakat yang merupakan satu kriteria kejayaan sesebuah negara dan dasar-dasar pemerentah. KS dikaitkan pula dengan kebahgiaan dasar (underlying state of happiness), berbeza dengan perasaan seronok dan gembira yang sentiasa berobah, dan dimaksudkan sebagai “a sense of satisfaction with one’s life, both in general and in specific areas…such as relationships, health, and work.” [7] Satu kajian dalam tahun 2006 menunjukkan 81% rakyat UK setuju bahawa tujuan utama Kerajaan ialah untuk mengutamakan kebahagiaan rakyat daripada kekayaan. Sehubungan itu David Cameron, ketua Pembangkang di England pada waktu itu (sekarang Perdana Menteri), meletakkan kebahagiaan sebagai agenda politik utama dan mengatakan: It’s time we admitted that there is more to life than money, and it’s time we focus not just on GDP, but GWB—General Well Being.” (BBC 2006).[8] Berdasarkan kesedaran ini, beberapa sarjana di UK telah mencipta Peta Kebahagian Global 2006 (A Map of Global Happiness 2006) yang telah mendapat reaksi meluas di seluruh dunia.
Kedudukan beberapa negara dalam peta itu adalah seperti di bawah. Dalam kurungan adalah jumlah rakyat beberapa buah negara teratas.[9] 1 Denmark ( 5.5 juta), 2 Switzerland (7.5 juta), 3 Austria ( 8.2 juta), 4 Iceland (300,000), 5 Bahamas (303,000), 6 Finland (5.2 juta), 7 Sweden (9 juta), 8 Bhutan (2.3 juta), 9 Brunei, (380,000) 10 Canada (33 juta) , 11 Ireland (4 juta), 12 Luxembourg (475,000) , 13 Costa Rica (4.2 juta) 14 Malta,(412,000) 15 Netherlands (16 juta), 16 Antigua and Barbuda (85,000), 17 Malaysia (26 juta), 18 New Zealand (4.3 juta) 22 UAE 23 Amerika syarikat 26 Australia 30 Oman 31 Arab Saudi 41 United Kingdom 53 Singapura 62 Perancis 63 Hong Kong 64 Indonesia 68 Taiwan 76 Thailand 82 China 89 Japan 90 Yaman 125 India 133 Turkey 167 Pakistan 174 Sudan 179 Burundi
Walaupun petunjuk-petunjuk KS yang membayangkan kebahagiaan dasar ini tidak sepenuhnya menuruti petunjuk-petunjuk kebahagiaan dari ajaran Islam—terutama aspek aspek kerohanian dan akhlak, namun pada umumnya masih boleh diterima. KS didapati mempunyai hubungan rapat dengan keadaan kesihatan, ekonomi dan pendidikan asas. Dari senarai yang dipaparkan di atas, ternyata bahawa di antara semua negara-negara yang diiktiraf lebih bahagia dari Malaysia, hanya Kanada yang mempunyai jumlah penduduk lebih ramai, seperti yang dinyatakan dalam kurungan. Malah negara kita ini jauh lebih sukar ditadbiri berbanding dengan 16 negara di atasnya dari 179 negara kerana jumlah rakyatnya yang pelbagai kaum, bahasa dan agama—sebilangan besarnya pula datang dari daerah dan sejarah dan tamadun yang sangat berbeza. Selain itu, berbanding kebanyakan 16 negara teratas, kita pernah dijajah begitu lama oleh bangsa-bangsa yang berlainan agama yang merobah secara radikal, segala orientasi dan institusi kehidupan bermasyarakat kita. Pencapaian baik ini harus dipertingkatkan dan dijadikan teras agenda 1Malaysia yang bersatu dan maju. Hakikat ini tidak harus dilupakan kerana kerap kali sebahagian dari rakyat kita yang galak melihat kelemahan-kelemahan dalaman dan tidak sedar akan kesejahteraan dan kebahgiaan dasar yang telah tercapai. Hakikat ini sangat berlawanan dengan sebilangan besar negara yang jauh lebih maju ekonomi dan teknologinya, serta lebih kecil jumlah rakyatnya.
Justeru itu, semua lapisan pemimpin dan rakyat dari pelbagai kaum dan agama harus mengenal-pasti kekuatan-kekuatan kita dan mengurangkan kelemahan-kelemahan sedia ada. Jangan kita buang air di tempayan, walaupun berdentum guruh di langit. [1] Islamic Development Bank, Vision 1440H: A Vision for Human Dignity (Jeddah: IDB, 2006) ms 11-15. Jawatankuasa Visi 1440 Hijriah ini dipengurusikan oleh Tun Dr Mahathir Muhammad. lihat juga Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna (Kuala Lumpur: International Institut of Islamic Thought and Civilization), 2001) ms 41-56; idem, “Reflections” in National Institute of Public Administation, Malaysian Development Experience: Changes and Challenges ( Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration, 1994) ms 859-863. [2] Tentang analisa lebih mendalam mengenai criteria UNDP ini lihat, Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna (Kuala Lumpur: International Institut of Islamic Thought and Civilization), 2001) ms 25-40. [3] Wan Mohd Nor, Pembangunan di Malaysia, ms 41-56; idem, “Reflections” dalam National Institute of Public Administration, Malaysian Development Experience: Changes and Challenges ( Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration, 1994) ms 859-863. [4] Kupasan yang berwibawa tentang hakikat ini telah dibuat oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya Dalam Islam. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris dengan pengenalan dan nota oleh Muhammad Zainiy Uthman (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization, 2002). [5] Al-Qur’an al-Karim, surah Saba (34): 15. [6] Al-Attas, Ma’na Kebahagiaan, ms 1-25. [7] Pavot dan Diener (1993) yang dikutip dari A. White (2007), A Global Projection of Subjective Well Being: A Challenge to Positive Psychology? Psychtalk 56, 17-20. [8] White, “A Global Projection of Subjective Well-Being”, ms 1. Sarjana dan pembuat dasar negara-negara maju semakin berminat mengaitkan kebahgiaan dengan tujuan dan dasar pembangunan negara. Pada 29-31 Mac 1993 Institute for Advanced Studies Jepun telah menganjurkan satu simposium penting di Kyoto mengenai “the State of Happiness.” Kemudian Pusat Penyelidikan Bersama, Komisi Se Eropah (Joint Research Centre of the European Commission), Organisasi Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan ( OECD), Bank Itali, dan Pusat Kajian Ekonomi dan Antarabangsa (CEIS), Universiti Rome “Tor Vergata” menganjurkan satu konferensi pada 2-3 April 2007 di Rome mengenai “Is Happiness Measurable and What Do Those Measures Mean for Policy”. Konferensi ini adalah antara beberapa persiapan bagi Forum Se Dunia bagi Mengukur Kemajuan Sosial di Istanbul pada Jun 2007. [9] White, “A Global Projection of Subjective Well-Being”, Appendix.
Ilmu dan Gagasan 1Malaysia dalam Konteks Pembinaan Negara Maju(Part 3)
Oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia
Budaya Ilmu Untuk mencapai kemajuan ekonomi dan teknologi, kesejahteraan pribadi, sosial dan persekitaran dan kebahagiaan dasar memerlukan penyuburan budaya ilmu yang segar.
Di sini kita tidak akan memberi takrif budaya ilmu dan manifestasinya dari pelbagai tamadun sebab hal itu telah dibuat ditempat lain.[1] Dalam konteks ini, budaya ilmu yang harus disubur-segarkan ialah bukan sekadar kecintaan dan penguasaan pelbagai bidang ilmu dan kemahiran, tetapi hanya yang bermenafaat dari kemajuan diri, bangsa, negara dan dunia samada yang berjangka pendek atau panjang. Dalam era ledakan maklumat yang akan berterusan ini, tidak semua maklumat dan pengetahuan akan memberi menafaat kepada diri atau masyarakat. Malah fenomena ledakan maklumat yang semakin tidak terkawal ini boleh juga menimbulkan kekeliruan dan kesengsaraan. Justeru itu pemahaman dan pelaksanaan fardu ain dan fardu kifayah yang dinamik perlu diajar dan dilaksanakan. Ilmu fardu ain yang dinamik bukan terhenti kepada kemahiran dan amalan asas agama yang boleh dikuasai diakhir pendidikan sekolah menengah, tetapi akan berkembang dan mendalam mengikut peranan sesaorang, terutama yang berkait dengan ketuhanan, akhlak dan adab yang tinggi. Fahaman gagasan fardu ain yang tidak dinamik gagal menjelaskan pembiakan pelbagai masalah sosial, kerapuhan integriti, keterlampauan di kalangan mereka yang tidak jahil akan asas-asas agama dan menguasai pula pelbagai ilmu dan kemahiran fardu kifayah. Sehubungan ini, kefahaman gagasan fardu kifayah yang lemah telah membataskan pengisian tanggung-jawab itu kepada kuantiti ahli dalam bidang bidang yang diperlukan, bukan kepada kualiti yang sebenarnya. Peningkatan kualiti ini sesungguhnya bergantung kepada kefahaman mendalam dan amalan ikhlas ilmu-ilmu fardu ain tinggi itu. [2] Budaya ilmu yang disaran oleh Islam dan semua agama besar di negara ini bertujuan melahirkan manusia berpendidikan yang beradab yang memahami akan batas-batas kebenaran dan kemenafaatan (limits of truth and usefulness) terhadap segala sesuatu dan bertindak sepatutnya.[3] Manusia sebegini tidak akan meringankan tanggungjawabnya, juga tidak melampaui batas, malah memaparkan budaya ketepatan, yang dicita-citakan oleh gagasan 1Malaysia. Contohnya beradab kepada Tuhan ialah dengan memahami sifat, Nama dan PerbuatanNya dengan baik -- tidak diperlukan mengetahui zatNya--dan beribadat dengan betul, mengikut suruhan, meninggalkan laranganNya, dan sentiasa memohon kemaafanNya; beradab kepada Nabi Muhammad SAW harus memahami darjat keluhurannya, mencontohi akhlaknya tanpa menyembahnya, dan menjaga hak-hak sahabat dan warisnya; beradab terhadap pemimpin tertinggi ialah berfikiran baik terhadap mereka sekeluarga, mematuhi dasar-dasar mereka dan menasihati mereka tetapi jangan menderhaka dan jangan mentaati mereka dalam kezaliman dan kemaksiatan; beradab terhadap rakyat ialah untuk menjaga kesejahteraan dan kebahagiaan mereka dunia akhirat dengan penuh kasih sayang, bijaksana dan adil; adab kepada alam semesta ialah mengenalinya sebagai ayat-ayat Tuhan, menggunakan sebaik-baiknya tanpa menimbulkan kerosakan-kerosakan persekitaran jangka panjang; beradab kepada bangsa sendiri ialah mengenali sejarah dan sumbangannya serta giat menjaga kepentingannya tanpa menzalimi dan menghiris hati orang lain. Beradab kepada ilmu pengetahuan ialah meletakkan ilmu fardu ain sebagai kewajipan bagi setiap Muslim, dan fardu kifayah bagi sebahagiannya; tidak menggunakan kaedah dan kerangka ilmu-ilmu teknikal bagi menilai ilmu-ilmu kemanusiaan; tidak menggunakan kaedah dan kerangka ilmu kemanusiaan bagi menilai ilmu-ilmu keagamaan. Malah tujuan menutut ilmu, kaedah dan nilai kesarjanaan dan kemenafaatan dilihat melalui pandangan alam dan kerangka ilmu keagamaan yang luas dan menyeluruh.
Beradab kepada ilmuan dan pakar dalam semua bidang ialah dengan memberi peluang luas kepada mereka menyalurkan ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka dengan ikhlas, dan dengan mereka ditempat mereka masing-masing dengan adil.[4] Peranan Pendidikan Pasca Menengah Para sarjana yang berwasasan jauh telah lama menegaskan bahawa setiap bangsa yang berpengaruh mempunyai pusat-pusat keilmuan terkemuka yang memimpin dunianya.[5] Salah satu ciri penting kepimpinan ini ialah dengan melahirkan pemikiran menarik, kaedah serta institusi dan dianggap bermenafaat bagi meneguhkan makna diri, kemajuan dan kesejahteraan bangsanya dan melemahkan saingan masing-masing dalam pelbagai bidang. Keteguhan makna diri, kemajuan dan kesejahteraan bangsanya ini biasanya akan mengambil masa yang tidak cepat, tetapi kemudiannya akan disebarkan oleh golongan sarjana dan pemimpin setiap bidang kepada bangsa-bangsa lain di dunia dengan hujah dan bukti sukar diketepikan. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan ilmuan dan pemikir di pusat-pusat keilmuan Barat telah mencipta pelbagai gagasan, konsep, takrif, kaedah dan syarat penilaian yang terus menerus meneguhkan dan penyebarkan kepentingan pelbagai dimensi mereka ke seluruh dunia.
Konsep-konsep ini termasuklah pemodenan, ilmu dan pendidikan, kemajuan, keadilan, kesejahteran dan kebahagiaan, globalisasi, demokrasi, hak-hak asasi manusia, pasaran ekonomi terbuka, keterlampauan agama, sehingga penarafan pencapaian pelbagai institusi termasuk universiti. Hakikat tak ternafikan bahawa golongan lulusan pasca-menengah memainkan peranan terpenting dalam kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan bangsa dan negara kerana pimpinan semua lapis dan bidang kehidupan bermasyarakat dan bernegara datang dari golongan ini. Pendidikan dan latihan golongan ini melibatkan pelbagai institusi seperti politeknik, kolej komuniti, Institut perguruan, universiti, dan pelbagai institut latihan bagi golongan pentadbiran, teknikal dan professional. Tunjang utama bagi pendidikan pasca-menengah ini ialah IPT yang juga berperanan penting melahirkan manusia berpendidikan dan beradab tinggi serta tenaga kerja cekap dan mahir untuk institusi pendidikan di peringkat rendah dan menengah, serta di tahap profesional pasca-universiti. Justeru itu pembudayaan ilmu yang melahirkan manusia sedemikian harus berpusat kepada mengembalikan semula orientasi IPT, awam dan swasta, kepada agenda pembangunan insan dan kepentingan perpaduan dan kesejahteraan negara khususnya, dan dunia umumnya.[6] Kita harus memastikan bahawa orientasi semula ini bukan hanya untuk IPTA sahaja yang enrolen pelajar semua bidang dan tahap pada tahun 2008-2009 ialah 430,420; malah lebih-lebih IPTS yang jumlah enrolmen pelajarnya melebihi IPTA, yaitu 484,377. Usaha ini juga harus melibatkan institusi-institusi pendidikan tinggi lain seperti Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), politeknik dan kolej komuniti yang jumlah enrolmen pelajar pada tahun 2009 ialah 228,929.[7] Institusi Pendidikan Guru (IPG) juga mempunyai peranan penting dalam orientasi semula ini. Orientasi semula IPT bagi mencapai strategi jangka panjang negara bagi kemajuan ekonomi, teknologi, kebudayaan serta strategi antarabangsa dan keamanan global harus melibatkan pelajar asing yang semakin ramai menuntut di negara ini.
Secara keseluruhan jumlah enrolmen pelajar antarabangsa pada tahun 2009 di IPTA ialah 22,456 di mana jumlah terbesar ialah dari Iran, Indonesia dan negara-negara Islam lain-nya.[8] Pada 31 Disember lalu, Malaysia menerima hampir 80,700 pelajar asing dari lebih 150 buah negara dan daripada jumlah itu 22,400 menuntut di instituti pengajian tinggi awam manakala bakinya, 58,300 di institusi pengajian tinggi swasta. Para pelajar asing ini, walaupun, sebahagian kecilnya menimbulkan pelbagai masalah, sebahagian besarnya akan memainkan peranan penting dalam kepimpinan pelbagai sektor di negara masing-masing. Kehadiran mereka harus disepadukan secara teratur dan terancang bagi kebaikan bersama. Bahasa Kebangsaan dan Keselamatan Negara Gagasan 1Malaysia dapat dicapai dengan budaya ilmu yang memerlukan penguasaan pelbagai bahasa ilmu. Alat pemersatu kita ialah bahasa kebangsaan yang harus disegarkan semula penggunaan dan penghayatannya bagi mendidik bangsa kita yang pelbagai ini dengan semua ilmu dan kemahiran berguna, dan menayangkan pandangan alam, cita-cita, mimpi dan duka kita bersama. Kita harus merasa bimbang bahawa ramai dari rakyat negara bertuah ini tidak berupaya menyampaikan pelbagai bidang ilmu tinggi, cita-cita luhur, mimpi dan rasa duka mereka dalam bahasa kebangsaan kepada saudara-saudara mereka dari bangsa lain, walaupun setelah 53 tahun Merdeka. Sehubungan itu masih ramai dari rakyat kita yang jahil tentang sejarah negara ini sebelum datangnya penjajah Inggeris, malah ramai sekali yang melihat sejarah rantau ini dari kaca-mata penjajah dan kerangka keilmuan Barat yang masih ingin terus dominan. Keterpisahan rakyat kita, terutama golongan terpelajar kita—kerana keterbatasan penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat tinggi—akan meningkatkan perasaan kurang hurmat kepada perjalanan dan pengalaman sejarah silam yang menerangkan kegemilangan tamadun Islam dan Melayu di Kepulauan ini yang banyak terdapat dalam bahasa Melayu.
Ilmu yang benar tentang agama kita telah diamalkan oleh para ulama muktabar sepanjang sejarah, termasuk di Alam Melayu ini. Dalam akidah yang diajar di seluruh dunia Islam, idealisme keagamaan dan keadilan tidak dilihat dari luar kotak keupayaan dan kemampuan. Contohnya, dalam ajaran akidah Islam mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah yang diajar dan diamalkan di seluruh dunia Islam termasuk di alam Melayu, keperluan kepimpinan dan kesatuan umat sangat dititik-beratkan sehingga diharuskan mengikuti pemimpin yang zalim dan fasik, tanpa mentaati kezaliman dan kefasikan mereka, dan tanpa melepaskan tanggungjawab menasihati dan melakukan amar makruf dan nahi mungkar. [9]Justeru itu Islam berjaya membangun tamadun agung yang berdiri lama dan pelbagai agama di hampir semua pelusuk dunia; dari Timur Tengah, ke Andalusia, Turki dan Asia Tengah, Benua kecil India-Pakistan, Afrika dan Alam Melayu. Walaupun tamadun-tamadun ini tidak sunyi dari kelemahan dan pasang surut kehidupan manusiawi, namun keunggulan pencapaiannya dalam pelbagai dimensi masih lagi menjadi tanda aras bagi umat Islam dan kebanyakan manusia.
Kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan membantut pemahaman sebenar tentang sejarah kita. Selain itu, cita-cita dari pihak pemerentah tidak akan sampai terus ke lubuk hati dan akal fikiran rakyat awam pelbagai bangsa kecuali melalui tafsiran dan terjemahan para pemimpin bangsa masing-masing. Rakyat awam terdinding dari memahami secara langsung sejarah kita dan cita-cita sebenar pemerentah. Begitu jugalah pemerentah akan gagal memahami cita-cita, kebimbangan dan pandangan sebenar rakyat yang tidak berupaya menyampaikan maksud mereka dalam bahasa kebangsaan. Keadaan sebegini wajar berlaku sejurus selepas Merdeka tetapi keterpisahan geografis antara masyarakat Melayu, Cina dan India tidak menimbulkan banyak masalah. Keadaan masakini setelah 53 tahun Merdeka memperlihatkan perkembangan baik di mana interaksi antara suku kaum semakin meluas, tetapi keterasingan minda semakin ketara kerana ketiadan satu bahasa kebangsaan yang digunakan bagi menyampaikan pemikiran, cita-cita, dan kebimbangan masing-masing—malah kemarahan sekalipun---dengan sopan santun dan adab tinggi. Bila salam faham berlaku, kebencian dalam hati akan gagal disuarakan dengan bahasa yang baik, besar kemungkinan akan dizahirkan melalui kata-kata kesat, wajah bengis, tindakan merusakan dan menimbulkan persengketaan dan kesengsaran yang tidak terbayangkan sebelumnya. Badai globalisasi yang sukar dikawal boleh menyukarkan masalah-masalah yang sedia ada ini.
Kita harus meletakan penguasaan bahasa Melayu dan pemahaman tentang sejarah Negara dengan baik sebagai satu agenda keselamatan negara (national security), bukan sekadar agenda perpaduan yang biasa difahami. Hakikat ini telah diamalkan disemua negara-negara yang maju.[10] Malah penguasaan pelbagai bahasa asingpun dikaitkan dengan keselamatan negara, di samping dengan aspek peningkatan daya-saing.[11] Jika alat pemersatu kita adalah kekuatan ekonomi semata-mata, alat ini mempunyai pasang surutnya. Jika pertumbuhan ekonomi meningkat, kelemahan-kelemahan politik, akhlak dan lain-lain dapat ditutupi buat sementara; tetapi jika ekonomi merudum, ikatan politik akan merenggang, dan segala masalah-masalah asasi yang selama ini terpendam, akan menjelmakan wajah ganasnya.
Begitu juga jika kesatuan kita berasaskan kepada kekuatan politik semata-mata. Sekarang ini kita mengalami cabaran-cabaran politik paling getir sejak mencapai Kemerdekaan dan sejak Mei 1969. Malah kekuatan politik dan ekonomi dapat dicapai semula dengan budaya ilmu dan penyemaian adab tinggi, bukan untuk mencipta kembali unsur unsur zaman lampau yang mungkin tidak boleh diulang, tetapi dengan mencipta pelbagai instrumen baru yang lahir dari pandangan alam, akal sihat dan pengalaman bermakna masalalu dan terkini. Kesedaran akan kesejahteraan dan kebahagiaan bersama yang berteraskan kefahaman tentang perjanjian sejarah datuk nenek masing-masing dari pelbagai kaum boleh bertindak sebagai jaring penyelamat dalam menghadapi kelemahan-kelemahan pelaksanaan sesuatu dasar, kesilapan-kesilapan pribadi sesaorang pemimpin atau kegawatan kegawatan lain yang dihadapi negara dari masa ke semasa.[12] Rakyat berketurunan Cina, yang mengikut ajaran Kung Fu Tze akan menyanjungi perjanjian dan persetujan nenek-moyang mereka apabila mereka diterima oleh pemimpin Melayu menjadi rakyat negara ini. Kita tidak perlu meragui keikhlasan mereka sebab keikhlasan, sikap besar atau murah hati, tanggungjawab, dan adab sopan juga adalah dasar-dasar penting agama itu.[13] Sehubungan itu, budaya ilmu yang boleh menjulang kemajuan ekonomi dan teknologi bangsa dan kepentingan strategik negara memerlukan ramai rakyat kita menguasai pelbagai bahasa penting dunia. Saranan penting Nabi Muhammad saw “tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina” dan peribahasa kita yang ulong, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak” mengandaikan penguasaan bahasa asing sebagai alat penguasaan ilmu dari pelbagai budaya dan tamadun.[14] Usaha penguasaan pelbagai bahasa ini harus dimulakan dari pertengahan sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti dan seterusnya.
Kejayaan gagasan 1Malaysia sebagai sebuah negara maju dan bahagia banyak bergantung kepada budaya ilmu dan adab sopan setiap lapisan rakyat negara ini. Untuk mencapai matlamat ini kualiti dan kuantiti penerbitan IPT serta institusi kita yang lain harus dipertingkatkan agar rakyat semua lapisan boleh memenafaatkan ilmu dan kepakaran serta pengalaman semua sarjana kita dengan kadar yang cepat dan harga yang tidak mahal. Karya-karya dalam bentuk penerbitan konvensional atau eletronik haruslah dihasilkan dalam bahasa kebangsaan. Jika dihasilkan dalam bahasa Inggeris sekalipun, penerbitan itu harus dilakukan oleh institusi-institusi kita agar maklumat dan tafsirannya lebih tepat dan memancarkan pandangan alam dan kerangka keilmuan kita. Ini tidak bermakna kita tidak langsung menerbitkan karya-karya di luar negara sekiranya hal tersebut boleh menyebarkan ilmu dan pengalaman kita dan mencapai kebaikan sejagat. Kegiatan penerbitan adalah satu industri pelbagai dimensi yang berasaskan ilmu pengetahuan dan kepakaran berwibawa yang juga mampu menjana pendapatan tinggi.
Pengukuhan industri penerbitan negara sangat berkait rapat kejayaan kita dalam persaingan ilmu dan maklumat global. Persaingan global masakini dan masa hadapan ditentukan oleh penguasaan maklumat dan kepakaran. Hakikat penting dan strategis ini telah lama diramalkan oleh salah seorang sarjana Perancis berpengaruh, Francois Lyotard: It is conceivable that nation states will one day fight for control of information, just as they battled in the past for control over territory, and afterwards for control of access to and exploitation of raw materials and cheap labour. A new field is open for industrial and commercial startegies on the one hand, and political and military strategies on the other.”[15] Dalam persaingan maklumat dan kepakaran antarabangsa yang semakin sengit, buah-buah fikiran dan penemuan-penemuan para sarjana kita harus lebih dahulu difahami dan dimenafaatkan oleh bangsa kita sebelum dikongsikan dengan negara lain. Kita tidak harus alpa akan hakikat bahawa bangsa sentiasa mencipta pelbagai stretegi baru yang halus baru untuk memenafaatkan maklumat dan kepakaran dari seluruh dunia bagi tujuan ekonomi, kebudayaan dan stategi geo-politik mereka. Amatlah rugi dan menyalahi tujuan pengilmuan bangsa jika karya-karya yang bermakna dalam semua bidang oleh sarjana tempatan dinilai rendah kerana dihasilkan dalam bahasa kebangsaan dan diterbitkan dalam negara, dan kerana tidak menepati piawaian tertentu dari beberapa badan antarabangsa yang berkempentingan.[16]
Beberapa Cadangan Budaya ilmu yang sihat akan melahirkan rakyat yang berilmu dan beradab tinggi, yang berupaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negaranya. Rakyat berbudaya ilmu dan beradab tinggi akan menzahirkan akhlak yang sederhana dan berani, berupaya membuat inovasi bermakna dalam pemikiran dan perbuatan, mencari persamaan dan menghurmati perbezaan, meningkatkan kesejahteraan dan kebahagiaan. Pohon rimbun Malaysia yang bersatu dan maju akan terus terusan menyumbangkan buah lazat berkhasiat, memberi teduh dan perlindungan kepada semua insan, haiwan dan tumbuhan yang berada di ruangannya. Budaya ilmu yang sihat memastikan airnya jernih bersih, bajanya cukup, tiada melampau, dan tiada juga kurang. Seperti yang telah dibincangkan di atas dan di tempat-tempat lain, tujuan menyubur-segarkan budaya ilmu bukan sekadar melahirkan masyarakat yang mahir dan cekap, tetapi yang berakhlak mulia dan beradab tinggi terhadap diri, keluarga, agama, bangsa, negara dan semua manusia dan makhluk di alam raya ini. Kestabilan, kemajuan, kesejateraan dan kebahagian masyarakat dan negara ini bertolak dari budaya ilmu sebegini. Berikut ini dicadangkan beberapa perkara untuk difikirkan bersama dengan menyedari bahawa sebahagian dari cadangan-cadangan ini mungkin telah diketengahkan dan dilaksanakan di beberapa peringkat.[1]
1. Gerakan penguasaan bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa asing -Penerusan transformasi peranan sekolah kebangsaan dan sekolah wawasan sebagai persiapan awal terpenting perpaduan 1Malaysia yang maju dan bahagia. Para pelajar bukan bumiputera yang belajar di sekolah ini haruslah diberikan insentif khas. Insetif khusus harus diberikan juga para pelajar yang menguasai bahasa-bahasa asing selain Inggeris, seperti Mandarin, Arab, Perancis, Sepanyol, Tamil, Portugis, Jepun, Korea, Russia, Jerman, Urdu, F arsi, Turki, dan Perancis. Insentif ini harus diteruskan hingga ke peringkat universiti. Sekarang ini pengajaran beberapa bahasa asing banyak ditawarkan di sekolah sekolah berasrama penuh tetapi amat kurang di sekolah sekolah harian. Tidak ramai sarjana IPT dan golongan pembuat dasar kita yang menguasai lebih dari dua bahasa, selain dari bahasa ibunda mreka.Perlu digerakan satu usaha besar lebih ramai rakyat Malaysia—yang telah fasih bahasa Melayu dan Inggeris--- menguasai setiap bahasa penting yang tersebut di atas sehingga boleh menulis, mengkaji karya-karya penting dan berdialog tentang perkara-perkara utama.
2.Hapuskan pemisahan Pendidikan Agama Islam dengan Pendidikan Moral - Apabila pelajar Islam mengikuti Pendidikan Agama, pelajar bukan Islam mengambil Pendidikan Moral. Amalan ini secara tidak sengaja menimbulkan salah faham bahawa Agama Islam tidak mempunyai pendidikan moral yang sesuai dalam masyarakat berbilang kaum, dan bahawa semua pelajar bukan Islam kelihatan bersatu “melawan” pelajar Islam. Dicadangkan pelajar Islam juga menyertai Pendidikan Moral supaya kefahaman dan latihan pendidikan moral bersama dapat berjalan. Waktu Pendidikan Agama Islam haruslah dianjakkan kepada hari-hari lain supaya tidak bertindih dengan kelas Pendidikan moral. Cadangan ini akan membuat pelajar Islam mengambil satu lagi mata pelajaran tetapi ini tidak sepatutnya dianggap membebankan kerana ini adalah satu manifestasi budaya ilmu Islam yang sangat baik. Lagipun ia akan menggalakan pelajar Islam bergaul dan berbicara dengan pelajar-pelajar lain tentang isu-isu yang sangat penting . Lagipun para pelajar Islam di sekolah-sekolah aliran agama telah lama mengambil lebih banyak mata-pelajaran dengan pencapaian yang baik.
3. Sekolah Berasrama Penuh sebagai Alat Perpaduan Strategis -Sekolah Berasrama Penuh harus membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar pintar dari bangsa-bangsa lain. Ini kerana pengalaman di sekolah-sekolah tersebut terbukti membuahkan persahabatan berkekalan sepanjang hayat.
4. Program Perkhemahan Terancang dan Bersepadu dari Sekolah Rendah hingga Menengah. - Sehingga kini pelaksanan program PKLN dilaksanakan di tahap hujung persekolahan peringkat menengah di mana rebung telah hampir menjadi buluh. Dicadangkan suatu Program Perkhemahan Terancang dan Bersepadu yang melibatkan para pelajar pelbagai kaum di sekolah rendah dan di sekolah menengah harian harus dibuat setiap tahun ketika cuti penggal panjang. Program ini mungkin mengambil masa tidak lebih dari seminggu dan boleh dilaksanakan di daerah atau negeri masing-masing.
5. Peranan IPT Awam dan Swasta -Kembalikan matlamat asas IPT awam dan swasta bagi pembangunan modal insan dan pembangunan negara sebagai puncak falsafah pendidikan negara dan mercu-tanda perpaduan dan kesejahteraan kebangsaan serta keamanan sejagat. -Semak semula semua kriteria penarafan universiti dunia yang boleh menjejaskan penyebaran maklumat, ilmu, kemahiran dan pengalaman IPT tempatan bagi setiap lapisan masyarakat dan negara. -Memperkayakan industri penerbitan, konvensional dan eletronik, dalam negera terutama penerbitan IPT. -Terjemahkan karya-karya sarjana tempatan yang berwibawa ke dalam bahasa-bahasa asing yang utama untuk disebarkan ke seluruh dunia -Lancarkan program terancang dan komprehensif berjangka panjang dengan pelajar asing sebagai sebahagian dari pelan peneguhan kepentingan ekonomi, kebudayaan dan strategik negara termasuk penguasaan bahasa kebangsaan. Pelaksanaan cadangan-cadangan ini tentunya akan melibatkan kos yang tidak rendah, tetapi boleh membuka peluang-peluang baru kepada pelbagai pihak. Selain itu syarikat-syarikat swasta, baik yang dimiliki rakyat Malaysia atau asing, boleh digerakkan untuk menjayakan cadangan-cadangan ini. Wal’Lahu a’lam bissawab 20hb Sept 2010.
[1] Untuk takrif serta manifestati ciri-ciri terpilih budaya ilmu dalam tamadun Islam, Yunani, Cina, India dan Jepun serta Barat, lihat Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu satu Penjelasan. 1991. Edisi kedua. (Singapura: Pustaka Nasional, 2003); mengenai konsep ilmu dalam agama Islam, lihat juga Wan Mohd Nor Wan Daud, The Concept of Knowledge in Islam: Its Implications for Education in a Developing Country (New York dan London: Mansell, 1989) [2] Perbincangan lebih lanjut terdapat dalam Wan Mohd Nor Wan Daud, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition on the Original Concept of Islamization (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization, 1998), bab 4 dan 5. [3] Gagasan sangat bermakna dan penting ini telah dicipta dan dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization, 1995) ms 134-140. [4] Bahagian ini adalah huraian dari gagasan adab oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, “Acceptance Speech” dalam Commemorative Volume on the Conferment of the al-Ghazzali Chair of Islamic Thought on Syed Muhammad Naquib al-Attas (Kualal Lumpur: ISTAC, 1994) ms 31; lihat juga tulisan saya, Educational Philosophy and Practice, ms 132-167. [5] Lihat Clerk Kerr, “The Frantic Rush to Remain Contemporary” Daedalus. Journal of the American Academy of Arts and Sciences. Jilid 94, no 4 Musim Luruh 1964, ms 1051; lihat juga Wan Mohd Nor, Masyarakat Islam Hadhari: Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) ms 19-23. [6] Lihat Wan Mohd Nor, “Pendidikan Tinggi dan Pembangunan” dalam Hamid Zarkasyi dan kawan-kawan, Membangun Peradaban dengan Ilmu (Depok, Jakarta: KALAM Indonesia, 2010) ms 1-14; rujuk juga Zaini Ujang, Mengangkasa Pengajian Tinggi (Skudai: Pernerbit UTM, 2009) terutama bab 2 dan 3. [7]http://www.mohe.gov.my/web_statistik/statistik_pdf_2009/03_BAB_1_MAKRO_pdf. jadual 1.2 Dicapai 1 Okt 2010 [8]http://www.mohe.gov.my/web_statistik/statistik_pdf_2009/04_BAB_2_IPTA_pdf. jadual 2.6. Dicapai 1 Okt 2010. [9] Lihat contohnya huraian Wan Mohd Nor Wan Daud dan Khalif Muammar, “Kerangka Komprehensif Pemikiran Melayu Abad ke 17 Masihi berdasarkan manuskrip Durr al-Fara’id karangan Syeikh Nuruddin al-Raniri”. Sari: Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu. Jilid 27 no 2, tahun 2010, ms 119-146. [10] Malah mengikut sesetangah sarjana, anak rakyat Jepun yang lama tinggal di luar Negara dianggap tidak lagi sepenuhnya Jepun, malah membahayakan masyarakat (Jepun) ( as no longer quite Japanese, even as presenting a danger to society). Bila mereka kembali ke Jepun, mereka akan menghadiri sekolah sekolah khusus untuk menjepunkan mereka. Lihat Vladimir Alpatov, “Why Do the Japanese Need Gairago?” Window to Japan. Terbitan Persatuan Pengkaji Jepun di Russia .http://ru-jp.org/yaponovedy_alpatov_01e.htm. Dr Alpatov ialah Timbalan Pengarah Institut Kajian Timur (Oriental Studies), Moskow, Russia. Dicapai pada 29 September 2010. [11] Kita perlu mengambil iktibar segera dari program antara-agensi, raksasa dan jangka panjang AS, National Strategic Language Intiative (NSLI), dilancarkan oleh George W Bush sebagai Presiden AS pada Januari 2006 bagi mengembangkan daya saing dan kepentingan strategik AS sebagai kuasa dunia. Program ini menawarkan dana dan biasiswa yang besar bagi mengalakkan rakyat AS dari sekolah rendah hingga ke uiversiti untuk menguasai secara mendalam pelbagai bahasa asing termasuklah Arab, Turki, Farsi, Russia, Jepun, Korea, Mandarin, Urdu, Tajik dan lain-lainnya. Lihat www2.ed.gov/about/inits/ed/competitiveness/nsli/about/html. Dan jugawww.nsliforyouth.org/nslicms-1.1/. Dicapai pada 29 Sept 2010. [12] Untuk satu perbincangan bagaimana kelemahan keterbatasan pribadi boleh menyumbang kepada rasa sejahter, lihat juga Richard B. Brandt, “Happiness” dalam Encyclopadia of Philosophy. 8 jilid dalam 4 (New York/London: Macmillan/Collier, 1967) jilid 3-4, ms 414. [13] Tentang ajaran Kung Fu Tze mengenai dasar-dasar akhlak dan sanjungan kepada orang tua dan keluarga (filial piety) dan hubungan persaudaraan (fraternal relations), lihat T.L Bullock, “Ethics and Morality (Chinese)”, Encyclopaedia of Religion and Ethics, 12 jilid. Penyunting James Hastings(Edinburgh/New York: T & T Clark and Scribner’s Sons, 1908-1927) jilid 5, ms 466-468. [14] Wan Mohd Nor Wan Daud, Masyarakat Islam Hadhari: Suatu Tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke Arah Penyatuan Pemikiran Bangsa (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) ms 128-130; tentang dilema bahasa penghantar di IPT, lihat juga Zaini Ujang, Mengangkasa Pengajian Tinggi, bab 26 “Dilema bahasa penghantar”. [15] Francois Lyotard, The Post Modern Condition: A Report on Knowledge. Terjemahan dari bahasa Perancis oleh G. Bennington dan B. Massumi. Pendahuluan oleh F. Jameson (Minneapolis: University of Minnesota Press, 1984) ms 5; lihat juga Wan Mohd Nor, “Reflections”, ms 868-869. [16] Untuk satu contoh perbincangan menarik tentang hubungan kerangka ilmu dan kepentingan ekonomi dan geo-politik, sila lihat Vinay Lal, Empires of Knowledge: Culture and Plurality in the Global Economy. New and Expanded Edition ( New Delhi: Vistaar Publications, 2005), terutama bab 4 dan 5. [1] Di sini saya tidak masukkan cadangan-cadangan yang telah saya buat di tempat-tempat lain mengenai pembudayaan ilmu dan pemantapan adab tinggi, seperti di dalam Budaya Ilmu: Satu Penjelasan, ms 98-115, dan Wan Mohd Nor Wan Daud, “Integriti dan Mas’uliah Dalam Kepimpinan”, dalam Anis Yusal Yusoff dkk, penyunting, Integriti Politik di Malaysia: Ke Arah Kefahaman yang Lebih Sempurna (Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia) ms 58-64.
Konsep 1Malaysia
Ramai telah mengatakan, termasuk mantan PM kita, Tun Dr Mahathir baru-baru ini, bahawa gagasan 1Malaysia telah ditafsirkan oleh pelbagai pihak mengikut pandangan alam dan kepentingan masing-masing.
Memang frasa 1Malaysia ialah satu ciptaan baru Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tetapi gagasan perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa telah wujud dari awal sejarah Malaysia lagi. Asal usul sesuatu frasa, konsep, teknologi, dan institusi memang perlu diketahui sebagai satu sifat baik terhadap sejarah dan pelaksanaan hak-hak intelek masing-masing, tetapi tidak sepatutnya menghalang umat Islam dan rakyat Malaysia memenafaatkan setiap frasa, konsep, teknologi serta institusi yang datang dari luar setelah hak-hak sejarah dan intelek itu di laksanakan.
Salah satu sifat unggul dan dinamik tamadun Islam ialah keupayaannya menerima pakai dan merobah suai semua yang baik dari individu dan tamadun lain mengikut acuan keislaman yang disepakati berlandaskan al-Qur’an, as-sunnah dan ijmak para ulama. Contoh yang amat jelas ialah sistem penomoran Arab (Arabic numerals) berasal dari sistem penomoran Sanskrit yang telah diubah suai dengan penambahan nomor kosong (sifar). Inovasi ini telah sangat membantu umat Islam membangun satu tamadun yang berteraskan ilmu, sains dan teknologi. Sistem penomoran Romawi (Roman Numerals) adalah terlalu sukar dan membebankan bila melibatkan jumlah ribuan, malah jutaan dan seterusnya. Begitu jugalah dengan ilmu mantik dan geometri yang berasal dari tamadun Yunani digunakan oleh sarjana Islam bagi membangun tamadun berbudaya ilmu dan berteknologi tinggi. Dalam bahasa Melayu pula terdapat sebilangan kata-kata kunci yang berasal dari bahasa Sanskrit dan menayangkan pandangan alam agama Hindu tetapi telah diberikan makna yang sesuai dengan Islam seperti: Tuhan, syurga, neraka, dosa, pahala, budi, bakti, dan lain-lain.
Gagasan 1Malaysia dicipta tepat pada waktunya bila badai globalisasi menghumban masuk pelbagai ide dan pemikiran dari luar dengan kadar dan kelajuan hampir tak terbatas. Kita tidak patut takut akan ide-ide dan pemikiran dari luar atau dari mana saja, tetapi kadar dan kecepatannya haruslah terkawal bagi mengurangi kekeliruan dan merumitkan cabaran-cabaran yang sedia ada. Gagasan ini juga sangat strategik kerana perkembangan-perkembangan politik dan ekonomi dalaman--- yang tidak terpisah dari perkembangan luaran--- boleh menimbulkan suasana “yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran,” “menang sorak kampong tergadai”. Semua ini mencermin keruntuhan adab terhadap agama, bangsa dan negara.[1]
Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri gagasan perpaduan dan kesatuan ini harus terus dihidupkan melalui Perlembagaan Negara, dan falsafah yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Kedua-dua sumber ini berlatar belakangkan sejarah yang lama tetapi dibentuk sebahgiannya dari pengalaman-pengalaman kontemporari yang bermakna.
Kita boleh misalkan Negara Malaysia yang bersatu dan maju sebagai sepohon rimbun berdiri tegap, berdahan kuat, berbuah ranum, enak dan berhasiat untuk semua. Dahannya kukuh dan daunnya lebat memberi teduh dan perlindungan kepada semua yang berada di bawah naungannya.[2] Perlembagaan ibarat batangnya yang teguh tegap itu. Teras-teras perpaduan (Penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara dan Keadilan Sosial) , nilai-nilai murni ( hormat-menghormati, rendah hati, kesederhanaan dan berbudi bahasa) dan aspirasi (berprestasi tinggi, ketepatan, ilmu pengetahuan, integrity, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan, inovasi ) dalam Gagasan 1 Malaysia adalah sebahagian dari dahan dan ranting yang menghulurkan buah-buah manis menyegarkan dan daun-daun lebat yang meneduhkan. Dalam misalan ini, Rukun Negara pula ibarat akar-akar yang bertunjang kepada kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa: Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, dan Kesopanan dan Ketatasusilaan.
Tetapi pohon rimbun Malaysia bersatu dan maju akan terdedah kepada pelbagai penyakit jika akar-akarnya tidak diairi dan dibajai dengan bijak dan sederhana. Buah-buahnya akan berulat, dan banyak yang masam; daunnya akan rontok- layu. Akarnya memburuk dan pohon itu lama kelamaan akan tumbang menghembap bumi dan membunuh mencederakan semua yang di bawahnya: yang baik, dan jahat, kaya dan miskin, tanpa mengira agama dan bangsa. Air yang menghidupkan itu datang dari agama, baja datang dari akal dan pengalaman sejarah kita.
Malaysia yang bersatu dan maju harus sentiasa menzahir keadilan sosial dalam pelbagai institusi dan cabang-cabangnya. Dalam pandangan alam masakini yang berpengaruh, makna dasar keadilan ditafsirkan sebagai kesamarataan sedangkan dalam pandangan alam Islam dan semua agama-agama lain, makna induk dalam keadilan ialah penempatan sesuatu pada kedudukannya yang sebenar mengikut pandangan alam dan tata nilai masing-masing.
Dalam semua negara, semua tafsiran dan tindakan yang berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang dianggap adil. Jika terdapat mana-mana sudut dan segi Perlembagaan dan undang-undang yang harus dikemaskinikan –itu dilakukan dengan hati-hati agar kepentingan rakyat terbanyak dan golongan terpenting sentiasa terkawal. Islam sebagai agama rasmi adalah tiang perpaduan dan kemajuan bangsa yang telah terbukti kewibawaanya membangun tamadun unggul di pelbagai pelusuk dunia termasuk di Alam Melayu yang majmuk ini. Kehadiran pelbagai agama besar di negara ini harus dijadikan sumber kekuatan jika beberapa persamaan besar dalam ilmu pengetahuan dan akhlak difahami dan diamalkan dengan bijak dan sederhana.[3]
Satu ciri budaya ilmu yang patut kita bangunkan ialah yang sentiasa mengkaji dan memahami titik-titik persamaan dalam kepelbagian bahasa, agama, sistem kemasyarakat yang terdapat di dalam dan luar negara. Ini penting untuk saling mengenali antara satu sama lain, mencari kesepakatan dan berkerjasama mencapai kebaikan seperti yang disarankan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an al-Karim.[4] Budaya ilmu sebegini juga memberi kefahaman akan perbedaan-perbedaan samada dasar atau rantingan. Jika sesuatu perbedaan itu bersifat dasar, segala usaha untuk memberi tafsiran bertujuan melenyapkan perbedaan-perbedaan itu akan menimbulkan kekeliruan dan persengketaan. Perbedaan-perbedaan itu patut diterima seadanya, tanpa memaksakan persamaan palsu sehingga menenggelamkan keunikan dan kepelbagaian. Semua penindasan dan kezaliman dalam sejarah dunia berlaku kerana kegagalan manusia menangani perbezaan warna kulit, agama, kelas, etnik, kepentingan politik dan ekonomi.
Prinsip Penerimaan yang menjadi teras perpaduan dalam gagasan 1 Malaysia terkandung dalam sikap muhibbah yang telah lama diamalkan di negara ini. Sikap ini lebih penting dan bermakna dari sikap toleransi. Toleransi menerima perbedaan secara zahir tetapi membenci di dalam hati nurani, sedangkan muhibbah (berasal dari kata-kata Arab hubb yang bermaksud kasih saying) menerima perbedaan agama, budaya, bahasa dan kedudukan berdasarkan kasih sayang sebagai makhluk Allah SWT.[5]
Keadilan sosial yang juga merupakan teras perpaduan dalam gagasan 1Malaysia didasarkan kepada falsafah dan kaedah meritokrasi: setiap sesaorang itu harus diberikan hak-haknya mengikut pencapaian dan sumbangannya yang sah. Tetapi meritokrasi bukan satu konsep yang hanya mempunyai satu petunjuk, malah memiliki banyak segi yang mencerminkan pandangan alam dan tata nilai sesuatu agama dan bangsa. Justeru itu, dalam pandngan Islam, sumbangan Saidina Abu Bakar dalam bentuk kebendaan kepada perjuangan Islam tidak sebanyak sumbangan Saidina Umar dan Uthman, contohnya, namun merit Abu Bakar dianggap lebih tinggi dari semua para Sahabat. Kedudukan dan merit seorang ayah ialah menjadi ketua keluarga, tetapi merit seorang ibu mempunyai syurga dibawah telapak kakinya.
Kejayaan ekonomi golongan minoriti dalam sesebuah negara adalah sesuatu yang bermerit tinggi terutama apabila kedudukan ekonomi dan kewangan golongan itu jauh mengatasi golongan majoriti yang memiliki kuasa politik, pentadbiran dan pasaran dalam negara tersebut. Ramai orang tidak sedar bahawa merit yang sangat tinggi perlu diberikan golongan majoriti yang berkuasa itu kerana tidak menggunakan kelebihan politik dan pentadbirannya untuk menekan hak-hak yang sah perihal ekonomi, bahasa, dan agama golongan minoriti. Dalam konteks Malaysia golongan Bumiputra, khasnya orang Melayu memiliki merit yang sangat tinggi kerana memberikan kerakyatan kepada jumlah yang sangat besar dalam waktu yang sangat cepat tanpa sebarang syarat yang tidak pernah berlaku di zaman moden ini.[6]
Selain itu merit golongan majoriti ini bertambah lagi apabila berjaya mengekalkan dan meningkatkan iklim politik, pentadbiran dan pasaran bagi membolehkan golongan minoriti menjadi kaya raya tanpa menghilangkan identiti bahasa, agama dan kebudayaan golongan minoriti tersebut yang jarang-jarang dilakukan oleh bangsa-bangsa majoriti berkuasa yang lain. Suasana inilah yang menyumbang kepada kebahagiaan dasar (underlying happiness) di negara ini, yang jauh mengatasi kebanyakan negara-negara yang maju lainnya.[7]
[1] Malah umat Islam di AS yang dipimpin oleh sebarisan sarjana dan aktivis berwibawa melalui badan Muslim Democrats juga kini memperjuangkan Gagasan One Nation dengan pelbagai aktiviti dan perbicangan yang menarik. Ketika makalah ini ditulis mereka sedang merancangkan One Nation Rally 2nd October di Lincoln Memorial, Washington Dc. Lihat www.info@muslimdemocrats.net, dicapai pada 29 Sept 2010.
[2] Tamsil ini terilham dari al-Qur’an al-Karim surah Ibrahim (14):24-26, dan al-Saffat (37):62-66), dan dari karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali, Nasihat al-Muluk (Counsel for Kings). Diterjemahkan dari bahasa Farsi oleh F.R.C. Bagley (London: Oxford University Press, 1964).
[3] Lihat Wan Mohd Nor Wan Daud, “The Religionists’ Mission for the 21st. Century: Towards Peace in Asia and the World”. Ucap utama disampaikan di 16th International Conference for World Peace. ISE City, Jepun, 3-4 Oktober 1994. Diterbitkan dalam al-Nadhah (A Journal of the Regional Islamic Da’awah Council of Southeast Asia and the Pacific, RISEAP), Vol. 17, No. 3 & 4, September 1997.
[4] Surah al-Hujurat (49): 13; al-Ma’idah (5):2.
[5] Tentang keterbatasan makna dan amalan toleransi dalam wacana dialog antara agama, lihat Robert A Hunt, “ Challenges in Understanding the Muslim Citizens of the Globalized World”, dalam Robert A Hunt dan Yuksel A Aslandogan, penyunting. Muslim Citizens of the Globalized World (Clifton, New Jersey: Tughra, 2010) ms. 9; tentang pandangan Islam mengenai toleransi, kasih saying, dan kemaafan dalam diolog antara agama, sila rujuk, M. Fethullah Gulen, Essays-Perspectives-Opinions(Clifton, NY: Tughra, 2010) ms 48-53.
[6] Inilah yang kerap diakui oleh para pemimpin bukan Melayu yang berwibawa dan berpandangan jauh seperti Tun Tan Siew Sin dalam “Citizenship, Malay Rights and Chinese Education 1965”. Speech by the Hon’ble The Minister of Finance Enche Tan Siew Sin, at the Delegates’ Conference of the Hokkien Association of Malaysia Kuala Lumpur on 22nd May, 1965. Lihat juga ucapan Dato’ V. T Sambanthan, Menteri Kerja-raya, Pos dan Telekomunikasi di Parliamen pada 1 Jun 1965 dalamParliamentary Debates (Dewan Ra’ayat) . Official Report. Jilid 11, no 4, 1hb Jun 1965, ms 874-886.
[7] Tentang beberapa hujah sejarah dan akhlak mengenai hak keistimewaan Melayu, lihat Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia, ms 111-118.