ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Syeikh Yasin Al-Fadani Musnid al-'Asr



Syeikh Yasin Al-Fadani adalah Musnid al-'Asr

AL-'ALLAMAH al-Mutafannin Musnid al-'Asr 'Alam al-Din Abu al-Faidh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani al-Indunisi al-Makki al-Syafii dilahirkan di Mekah pada 1335 Hijrah bersamaan 1916 Masihi. Beliau membesar di sana di bawah asuhan ayahnya dan juga bapa saudaranya bernama Syeikh Mahmud. Keluarganya berasal dari Kota Padang, Indonesia yang berhijrah ke Mekah.

Pengajian awal beliau bermula di Madrasah Saulatiyyah dan pada masa sama, melazimi halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram yang disampaikan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah di sana. Kemudian, melanjutkan pengajian dan menamatkannya di Madrasah Dar al 'Ulum al Diniyyah, Mekah.

Syeikh Yasin telah menimba ilmu daripada para ulama secara talaqqi di mana Mekah pada ketika itu merupakan lubuk ilmu-ilmu Islam dan ulama.
Keberadaan di Mekah memberi kelebihan yang banyak kepadanya kerana pada musim haji, beliau akan memanfaatkan waktu itu untuk menuntut ilmu dan memohon ijazah daripada para ulama yang menunaikan fardu haji.
Antara guru yang paling kerap didampinginya dalam usaha mendapatkan ilmu, makrifah dan pembentukan sahsiah ialah Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki, Syeikh Muhammad Ali bin Husain al-Maliki, Al-'Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masysyat dan Muhaddith al-Haramain Syeikh Umar Hamdan al-Mahrisi.

Hasil kesungguhannya menuntut ilmu tanpa jemu, menjaga adab dan mempersembahkan khidmat yang terbaik kepada para gurunya, Syeikh Yasin telah muncul sebagai salah seorang ulama di Mekah.
Beliau mula mengajar di Masjid al-Haram dan Madrasah Dar al-'Ulum al-Diniyyah ketika umurnya belum mencecah 20 tahun.
Beliau juga seorang ulama berperwatakan sederhana, zuhud, berlapang dada, mengasihi fakir miskin dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada para penuntut yang datang ke Mekah.
Al-Muhaddith Syeikh Mahmud Said Mamduh menyatakan: "Allah telah memuliakan saya dengan memberi peluang kepada saya melazimi Sayyidi Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Beliau telah memberi perhatian khusus kepada saya dan memerintahkan saya duduk di sebelah kanannya setiap kali saya berada di dalam majlis pengajiaannya dan kedudukan saya ini tidak pernah diambil oleh orang lain.

"Beliau juga membantu menyelia urusan pengajian saya di sisi ulama Mekah dan menolong saya berkenaan dengan urusan kitab dan guru, di samping apa yang saya pelajari secara terus daripadanya."
Malah dia juga sentiasa berakhlak dan menjaga adab terhadap guru-gurunya. Beliau akan sentiasa berusaha menjaga hati mereka sebaik mungkin.
Selesai menulis syarah kitab al Luma' mengenai Usul Fiqh yang bertajuk Bughyah al Musytaq bi Syarh Luma' Abi Ishaq setebal dua jilid, beliau berhasrat mencetaknya tetapi dalam masa yang sama salah seorang gurunya iaitu al-Qadhi Syeikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi turut sama selesai menulis syarah bagi kitab al-Luma' bertajuk Nuzhah al-Musytaq.
Maka Syeikh Yasin telah membatalkan niat untuk mencetak kitab tersebut sebagai menjaga hati, memuliakan dan mendahulukan gurunya.
Setelah menghabiskan umurnya atas jalan ilmu dan dakwah, Syeikh Yasin al-Fadani dijemput menemui Ilahi pada Zulhijjah 1410 Hijrah bersamaan 1990 Masihi.
Pemergiannya adalah pemergian musnid terunggul pada zamannya. Setelah kewafatannya, berkuranganlah kehadiran manusia yang datang dari jauh dan dekat ke Mekah demi mendapatkan ijazah dan sanad yang tinggi.

Pengiktirafan Ahli Ilmu
Kedudukan Syeikh Yassin menjadikan beliau di antara ulama tersohor di seluruh dunia Islam dan menjadi tujuan permusafiran mereka bagi mendapatkan faedah ilmu dan merantaikan diri dengan sanadnya yang tinggi.
Pengiktirafan terhadap kedudukannya itu dapat dilihat apabila gurunya al-Muhaddith al-Mujtahid Sayyid Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari dengan katanya: "Di antara mereka daripada kalangan mereka yang mengijazahkan saya ialah al-'Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Saya telah mengijazahkannya dan beliau pun mengijazahkan saya lalu kami saling ijazah mengijazahkan antara satu sama lain. Beliau sekarang adalah Musnid al-'Asr (Musnid Unggul Zaman)."

Mengenai kemahiran dan keilmuannya juga, Syeikh Mahmud Said Mamduh menyatakan: "Syeikh kami al-'Allamah al-Fadani bukan hanya sekadar seorang musnid, bahkan beliau adalah seorang alim yang menguasai segenap disiplin ilmu Islam. Beliau menjadi tumpuan manusia meminta fatwa daripada pelbagai ceruk rantau.
"Seringkali datang kepadanya soalan-soalan yang banyak secara bertulis dari negeri-negeri Melayu Nusantara. Belia mengkhususkan sebahagian daripada waktu malamnya untuk menjawab soalan-soalan itu.
"Ya, beliau menyibukkan dirinya dengan ilmu mengenai isnad di akhir usianya, akan tetapi sebelum itu beliau telah menyibukkan dirinya dengan ilmu-ilmu syarak, istilah dengan menyampaikan pengajian dan dalam bentuk penulisan."
Murid-muridnya itu datang dari seluruh pelosok dunia Islam bermula dari benua Afrika sehinggalah Asia Tenggara. Boleh dikatakan hampir kesemua ulama, tuan guru dan kiai dari Tanah Melayu Nusantara yang menuntut ilmu di Mekah sekitar 1950 sehinggalah 1990 adalah daripada kalangan muridnya, sama ada mengambil ilmu terus atau dengan pengijazahan sanad.
Berdasarkan fakta itu, sudah pastilah ia meliputi ribuan di kalangan mereka baik dari bangsa ajam mahupun Arab.

Syeikh Yasin adalah lambang kebanggaan umat Melayu di tanah Nusantara ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Syeikh Yasin adalah seorang ulama berdarah Melayu yang paling unggul di dunia Islam di mana dalam beberapa sudut, tahap keilmuannya jauh mendahului ulama-ulama Islam dari bangsa lain termasuk bangsa Arab sendiri.

Bahkan ulama-ulama di timur dan barat dunia Islam berusaha untuk meriwayatkan ilmu dan sanad daripada beliau walaupun terpaksa menempuh jarak yang jauh.
Kelahirannya dan keberadaannya di Mekah mengharumkan Tanah Melayu Nusantara ini. Syeikh Yasin adalah lambang keunggulan, kehebatan dan kegemilangan Islam yang sampai ke tanah ini di zaman silam.

OLEH: PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN