ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Kepentingan Fiqh Sirah

Mengikut Kamus Dewan, sejarah atau tawarikh antara lain bermaksud peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau. Ia juga diertikan sebagai kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa yang telah lalu.

Bagaimanapun, ramai di kalangan kita yang tidak mengambil berat tentang sejarah. Bukan sahaja tarikh sesuatu peristiwa itu yang tidak diingati, pengajarannya juga tidak dipedulikan.

Inilah yang cuba diperbetulkan oleh tokoh ilmuwan Islam dari Syria, Prof. Dr. Mohammad Said Ramadan Al-Bouti yang juga pengarang buku Fiqh Sirah.

Siri-siri buku Fiqh Sirah karya beliau mengandungi tiga jilid yang diberi tajuk Fiqh Al-Sirah 1, Fiqh Al-Sirah 2 dan Fiqh Al-Sirah 3.

Fiqh dari sudut bahasa adalah pemahaman yang mendalam. Sirah pula adalah perjalanan. Perjalanan yang dimaksudkan di sini adalah perjalanan nabi dan rasul terakhir iaitu Muhammad SAW.

Maka, Fiqh Sirah bermaksud memahami perjalanan hidup Nabi SAW. Ia memberi penekanan kepada aspek-aspek yang tersirat di sebalik Sirah Rasulullah.

Hal ini perlu bagi memperlihatkan dengan jelas hakikat pengajaran-pengajaran dan aspek-aspek penting di sebalik perjalanan yang telah dilalui oleh baginda SAW.

Menurut Dr. Said Ramadan, pendekatan memahami sirah itu perlu diberi nafas baru agar ia memberi kesan kepada pengkaji dan pembacanya.

Katanya, pada zaman silam, orang Muslim apabila diberitahu tentang sesuatu peristiwa dalam sirah, ia terus terkesan dalam diri mereka.

"Lalu, apabila dibacakan sirah timbul rasa kecintaan dan terus berubah yakni mencontohi sebagai mana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

"Namun, kini keadaannya tidak begitu. Kajian sirah tidak banyak memberi kesan kepada orang yang mengkajinya," jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada syarahan umum bertajuk 'Aplikasi Fiqh Sirah dalam Realiti Semasa' di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Dalam syarahan selama kira-kira sejam setengah itu, Dr. Said Ramadan turut menjawab pelbagai pertanyaan para peserta dari dalam dan luar negara.

Moderator program yang juga Ahli Lembaga Pengarah IKIM, Ir. Dr. Muhammad Fuad Yeoh kemudiannya menterjemah syarahan tokoh tersebut daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu.

Dr. Said berkata, sirah itu mengandungi pelbagai aspek menyeluruh Nabi SAW yang menyentuh kehidupan baginda sebagai seorang suami, pemimpin, guru dan sebagainya.

"Adalah penting bagi setiap kita mengamal dan menghayati sirah nabi dalam diri masing-masing terlebih dahulu sebelum menyebarkannya kepada orang lain," jelas beliau.

Dr. Said Ramadan juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mengaitkan perlunya ubah dan perubahan dalam fiqh sirah.

Sebab itu, beliau tidak suka menggunakan kalimat perubahan kerana ia mungkin membawa kepada pemahaman mengubah hukum Islam kepada hukum lain.

"Islam itu adalah tetap dan tidak berubah. Sepatutnya kita sama-sama menjaga agama suci ini tidak membiarkan ia diubah (taghyir)," tegas beliau.

Ditanya bagaimana mengaplikasi fiqh sirah jika ada kekangan seperti politik dan undang, Dr. Said Ramadan berkata, sebenarnya kekangan itu ada daripada dalaman dan luaran.

Bagaimanapun, kata beliau, hanya kekangan luar yang akan mengambil sedikit masa untuk diatasi kerana siapa yang menjadi kekangan itu perlu dikenal pasti.

Menurutnya, kekangan dalaman akan dapat diatasi apabila mewujudkan rasa cinta pada Rasulullah daripada segi akhlak. Apabila berlaku demikian, maka sirah itu boleh terus diaplikasi.

"Bagi kekangan luaran pula, sepatutnya kita mengajak golongan ini sama-sama menimbulkan kasih sayang pada nabi SAW selain bekerjasama dengan para pemimpin yang bertanggungjawab untuk melaksanakan fiqh sirah.

"Cuma cabaran luaran ini tidak akan dapat diatasi jika metod Rasulullah SAW itu tidak dilaksanakan dalam diri terlebih dahulu," tegasnya.

Mengenai konsep syura, Dr. Said Ramadan menjelaskan, syura itu memang diperintahkan oleh Allah SWT.

Cuma, katanya, isu yang boleh dibawa dalam syura adalah yang tidak ada dalam nas al-Quran dan hadis nabi SAW serta dibincang oleh ahli fuqaha dan ulama yang memahami hukum hakam Islam dengan baik.

"Cuma jika pemimpin itu alim dan faqih, syura boleh dilaksanakan tetapi pemimpin tersebut tidak terikat dengan keputusan syura," jelas beliau.


Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Utusan Malaysia (Isnin) 21 Disember 2010