Sangkal
teori peradaban Melayu dan Islam oleh Barat
BARU dua bulan dilancarkan,
buku Historical Fact and Fiction karya terbaru tokoh
intelektual negara, Prof Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas
sudah mencetus perdebatan yang luar biasa.
Buku yang berkisar mengenai
peradaban Melayu dan Islam itu menarik perhatian ramai pengkaji
sejarah kerana dikatakan membuka dimensi baru dalam kaitan antara
kedua-duanya. Malah tidak keterlaluan untuk disimpulkan buku itu
memberikan interpretasi dan tafsiran baru kepada sejarah Nusantara
dan Alam Melayu.
Ini kerana ia bertentangan
dengan apa yang sudah terakam dalam sejarah negara dan diwarisi dari
satu generasi ke satu generasi. Ia sekali gus menangkis catatan
sejarah mengenai Melayu dan Islam di rantau ini yang sebenarnya
banyak ditulis oleh pengkaji Barat.
Justeru, pertembungan
intelektual antara Dr. Syed Muhammad Naquib dan pengkaji sejarah
Barat menerusi buku inilah yang sebenarnya menjadi titik tarikan
utama kepada pengkaji sejarah untuk menyelusuri sudut pandangan tokoh
intelektual Islam ini.
Bertempat di Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur malam
minggu lalu, buku itu sekali lagi melalui siri 'bedah siasat' di
kalangan pengkaji sejarah. Begitu pun sesi kali ini lebih menarik
kerana yang mengupas mengenainya adalah pemilik karya agung itu
sendiri iaitu Dr. Syed Muhammad Naquib.
Tidak hairan, Dewan Jumaah, UTM
malam itu penuh sesak dengan pengkaji sejarah dari dalam dan luar
negara yang tidak mahu melepaskan peluang mendengar wacana yang
disampaikan oleh Tokoh Melayu Terbilang 2011 itu.
Turut bersama-sama hadirin yang
lain ialah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang yang
sebenarnya memainkan peranan penting dalam usaha penerbitan buku itu
di bawah label UTM Press.
Begitu pun tempoh satu jam
setengah malam itu jauh daripada memadai untuk Dr. Syed Muhammad
Naquib berkongsi hasil kajian beliau yang memakan masa berpuluh-puluh
tahun lamanya.
Namun dalam kesempatan yang
penuh berharga itu, beliau sempat menyentuh mengenai beberapa perkara
yang menjadi inti pati serta fokus utama yang dimuatkan dalam buku
tersebut. Antaranya mengenai sejarah sebenar kemasukan Islam ke
Nusantara yang sebenarnya dibawa menerusi misi khas oleh beberapa
pendakwah dari Arab.
Pendakwah itu pula mempunyai
hubungan darah atau salasilah dengan Nabi Muhammad S.A.W. Teori ini
sudah semestinya bercanggah dengan apa yang disebut sejarah sebelum
ini bahawa Islam dibawa masuk ke rantau ini oleh pedagang dari India,
China dan Parsi.
Mengukuhkan teorinya itu adalah
penjelasan bagaimana orang Melayu mampu menguasai bahasa Arab dengan
baik tanpa ada pelat India atau Parsi. Turut disentuh beliau adalah
mengenai pengislaman Parameswara yang sebenarnya berlaku sebelum
wujudnya Kesultanan Melayu Melaka.
Malah, Parameswara juga
dikatakan berbangsa Melayu dengan nama Islamnya Muhammad serta
merupakan anak seorang Raja Palembang iaitu Sang Aji.
Pendedahan yang mungkin
mengejutkan banyak pihak menerusi buku ini juga adalah mengenai asal
usul nama Melaka yang sebenarnya bukan daripada pohon Melaka seperti
yang dipercayai sejak sekian lama. Sebaliknya menurut beliau,
'Melaka' merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Arab yang
bermaksud 'pelabuhan'.
Banyak lagi sebenarnya
teori-teori baru yang didedahkan oleh Dr. Syed Muhammad Naquib
mengenai peradaban Melayu dan Islam menerusi buku ini. Antaranya
mengenai kisah Merah Silau dan Semut Besar; identiti raja Muslim
pertama kerajaan Samudera-Pasai dan asal-usul perkataan Melayu dalam
nama Sumatera.
Turut dikaji adalah amalan
mewariskan takhta dalam adat resam orang Melayu ketika zaman
kegemilangan kerajaan Melayu pada kurun ke-14.
Begitu pun seperti yang disebut
awal tadi, tempoh satu jam setengah sepanjang syarahan perdana malam
itu tidak memungkinkan keseluruhan wacana pemikiran beliau disingkap
satu persatu.
Namun buku ini dengan
sendirinya sudah mencetuskan impak yang cukup besar dalam bidang
teori dan falsafah khususnya dalam bidang sejarah Melayu dan Islam di
negara ini.
Malah, sewaktu pelancarannya
yang disempurnakan oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris
Shah pada 9 September lalu juga, buku ini sudah membuatkan banyak
pihak tersentak.
Tidak hairan sudah ada gesaan
supaya fakta sejarah mengenai Melayu dan Islam yang terkandung dalam
buku teks sejarah pendidikan negara ketika ini dirombak dengan
menjadikan karya Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai rujukan utama.
Namun perlu diakui usaha itu
bukanlah sesuatu yang mudah kerana sejarah mengenai Melayu dan Islam
itu tidak hanya tercatat di negara ini.
Pengkaji Barat yang merupakan
pemilik asal teori mengenai Melayu dan Islam yang diguna pakai ketika
ini juga sudah semestinya mempunyai dokumentasi mereka sendiri.
Justeru, usaha merubah fakta
sejarah itu tidak mungkin boleh dilakukan tanpa adanya perdebatan
mengenai teorinya di kalangan pengkaji sejarah terlebih dahulu.
Barangkali kerana hakikat itu juga, UTM ketika ini bersungguh-sungguh
membawa buku ini untuk dikaji dan dikupas di peringkat antarabangsa.
Di Indonesia misalnya, buku ini
sudah diangkat dalam beberapa siri wacana oleh ahli akademik di sana.
Agak mengejutkan, teori yang
dibawa oleh Dr. Syed Muhammad Naquib itu turut membuka lembaran baru
dalam perbincangan mengenai Islam dan Melayu di kalangan pengkaji di
sana.
Malah, ada yang mengangkat
beliau setanding dengan Allahyarham Malek Bennabi iaitu pengkaji
sejarah terkemuka dari Algeria. Seperti Dr. Syed Muhammad Naquib,
Malek Bennabi juga pernah mencabar teori keislaman Barat menerusi
karya beliau, Islam in Society and History.
Selepas Indonesia, buku itu
akan dibahaskan pula di Turki dalam masa terdekat serta beberapa
negara Islam lain yang sudah menunjukkan minat.
Namun bagi Dr. Zaini, dalam
keghairahan membawa buku ini menjelajah ke serata dunia, adalah
mustahak untuk ia terlebih dahulu dikaji dan difahami oleh rakyat
Malaysia memandangkan sejarahnya yang terlalu dekat dengan orang
Melayu di negara ini.
Kerana itu katanya, UTM ketika
ini sedang merintis kerjasama dengan Institut Terjemahan Negara
Malaysia (ITNM) bagi membolehkan karya agung ini yang diterbitkan
dalam bahasa Inggeris diterjemah ke dalam bahasa Melayu.
Begitu pun seperti yang
ditegaskan Dr. Zaini, ia mengambil sedikit masa kerana karya ini
merupakan hasil penyelidikan dan usaha terjemahannya perlu dilakukan
dengan berhati-hati.
Namun beliau memberi jaminan,
jika tiada aral melintang, versi terjemahannya akan berada di pasaran
selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
Apa yang boleh dijangkakan,
buku ini dalam versi bahasa Melayu nantinya akan lebih memberi impak
yang lebih besar. Ini kerana ia tidak lagi hanya beredar di kalangan
ahli akademik, sebaliknya sudah menjadi bahan bacaan umum kerana
nilai komersial yang disuntik menerusi terjemahan ke bahasa Melayu.
Adalah menjadi harapan, buku
ini nanti mampu diangkat sebagai bahan rujukan agung yang
memungkinkan sejarah mengenai Melayu dan Islam didokumentasikan dari
kaca mata pengkaji Muslim sendiri.