Syeikhul-Islam
Dalam Dinasti ‘Uthmaniyyah
Oleh: Mohd. Khafidz Soroni
Kerajaan ‘Uthmaniyah yang ditubuhkan oleh ‘Uthman
putera Ertuğrul al-Ghazi (1299 -1324) telah berkuasa selama lebih dari
enam abad mulai dari tahun 1299 sehingga tahun 1922 (699 - 1340H) dengan
dipimpin oleh seramai 37 orang pemerintah. Dalam sejarahnya, Kerajaan
‘Uthmaniyyah telah mencapai banyak kejayaan besar seperti kejayaan Muhammad II
bin Murad II (1451 - 1481) yang digelar ‘al-Fatih’ menakluki Kota
Constantinople.
Namun, Empayar ‘Uthmaniyyah mula merosot terutama dengan
kemunculan Gerakan Turki Muda atau Gerakan Sekular pada masa pemerintahan
Sultan Abdul Hamid II (1876 - 1909). Mereka dipimpin oleh
Mustafa Kamal Ataturk yang berjaya pada akhir 1922 menghapuskan sistem
kesultanan dan mengisytiharkan penubuhan Republik Turki. Pada tahun 1924,
sistem khalifah dihapuskan sepenuhnya dan secara rasmi tamatlah pemerintahan
Empayar ‘Uthmaniyyah.
Oleh kerana sudut ketenteraan dalam Empayar ‘Uthmaniyyah ini
lebih menonjol, maka ada sesetengah orang yang menyangkakan dari sudut
intelektual hampir tidak ada ilmuwan terkemuka yang muncul dari dinasti ini.
Sebenarnya, sangkaan ini adalah prasangka yang tidak tepat sama sekali kerana
Dinasti ‘Uthmaniyyah hakikatnya tidak kurang juga hebatnya dari sudut
keintelektualan.
Syeikh Ahmad bin
Mustafa bin Khalil (w. 968H) yang masyhur dengan panggilan ‘Tasykubri Zadeh’
telah menghimpunkan sejumlah besar alim ulama dinasti ini di dalam kitabnya (الشقائق النعمانية في علماء الدولة
العثمانية). Senarai tersebut kemudian ditambah lagi oleh Syeikh ‘Ali
bin Bali bin Muhammad Awzan (w. 992H) di dalam kitab beliau (العقد المنظوم في ذكر أفاضل الروم). Antara
rujukan lain untuk mengenali alim ulama ‘Uthmaniyyah juga ialah kitab (عثمانلي مؤلفلري أو تراجم المؤلفين العثمانيين)
oleh Syeikh Muhammad Tahir Bek Brusliy, kitab (التحرير الوجيز فيما يبتغيه المستجيز) oleh
Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari, kitab (خلاصة الأثر في أعيان القرن الحادي عشر) oleh
al-‘Allamah al-Muhibbi, kitab (سلك
الدرر في أعيان القرن الثاني عشر) oleh al-‘Allamah
al-Muradi dan lain-lain.
Tulisan ini akan membuktikan kesilapan sangkaan berkenaan dengan
memberi tumpuan secara khusus kepada institusi syeikhul-Islam di dalam
Kerajaan ‘Uthmaniyyah.
Jawatan dan Peranan
Syeikhul-Islam
Jika Universiti
al-Azhar Mesir terkenal dengan syeikhul Azhar-syeikhul Azharnya (شيوخ الأزهر), Kerajaan
‘Uthmaniyyah terkenal dengan syeikhul Islam-syeikhul Islamnya (شيوخ الإسلام). Kesemua
alim ulama tersebut berjalan tetap di atas landasan Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Cuma bezanya, kebanyakan syeikhul Islam-syeikhul Islam Kerajaan ‘Uthmaniyyah
adalah berfahaman Maturidiyyah, mengamalkan fiqh Hanafi dan bertariqat
tasawwuf. Manakala syeikhul Azhar-syeikhul Azhar Mesir pula bebas berfahaman
Asy‘ariyyah atau Maturidiyyah, mengamalkan mazhab fiqh empat yang berbeza-beza,
serta bebas sama ada bertariqat tasawwuf ataupun tidak.
Syeikhul-Islam dalam Kerajaan ‘Uthmaniyyah dapat dianggap
sebagai satu institusi agama tertinggi yang mempunyai kedudukan yang begitu
istimewa di sisi khalifah/sultan. Secara rasmi, jumlah syeikhul-Islam yang
pernah dilantik antara tahun 1424 sehingga
tahun 1922 ialah
kira-kira 131 orang syeikhul-Islam. Menurut al-‘Allamah al-Kawthari, seramai
127 orang. Kajian mengenai mereka dapat dirujuk dalam buku Osmanlı Șeyhülislâmları oleh Dr.
Abdül Kadir Altunsu dalam bahasa Turki.
Jawatan mirip syeikhul-Islam atau asalnya mufti dalam Kerajaan
‘Uthmaniyyah bermula di zaman Sultan Murad II bin Muhammad I (1421 - 1444).
Jawatan tersebut pertama kali dipegang oleh Mulla Şyamsüddin al-Fanari (1424 - 1430), seorang
alim sufi yang begitu dihormati oleh Sultan Bayezid I (1389 - 1402). Kemudian
konsep jawatan syeikhul-Islam telah diperkenalkan di zaman Sultan Muhammad
al-Fatih (1451 - 1481). Jawatan ini akhirnya diiktiraf secara rasmi pada zaman
Sultan Salim I bin Bayazid II (1512 – 1520). Dan syeikhul-Islam pertama secara
rasmi ialah Syeikh Zenbilli ‘Ali Efendi (1503 - 1526).
Syeikhul-Islam mestilah dilantik dari kalangan alim ulama yang
paling alim, cerdik dan warak serta mampu membimbing khalifah dan rakyat ke
arah kebaikan dan kesalehan. Antara syaratnya juga, ia mestilah orang yang
pernah mempelajari ilmu agama dalam tempoh yang lama dan menerima berbagai
ijazah dari alim ulama terkemuka. Ia juga mestilah orang yang berpengalaman
dalam bidang pentadbiran berkaitan hal ehwal agama, serta mampu mengeluarkan
fatwa dalam masalah-masalah agama dan maslahat umum. Syeikhul-Islam dalam
Kerajaan ‘Uthmaniyyah turut dirujuk dalam semua perkara yang berkaitan dengan
politik. Beliau juga boleh mencalonkan kepada sultan/khalifah calon-calon yang
sesuai untuk menduduki jawatan-jawatan di dalam bidang kehakiman. Dalam kurun
ke-19, syeikhul-Islam telah menjadi satu institusi besar yang mempunyai
organisasinya yang tersendiri yang mengendalikan kesemua urusan berkaitan
dengan agama kecuali pengurusan harta wakaf. Kedudukannya adalah sama taraf
dengan kedudukan seorang menteri dan istimewanya ia dilantik oleh
sultan/khalifah sendiri.
Dalam sesetengah
rujukan berhubung biografi para syeikhul-Islam, pangkat sebagai
‘syeikhul-Islam’ tidak direkodkan, tetapi hanya disebut sebagai (مفتي الديار الرومية) iaitu
‘mufti Negara Rom’ yang sebenarnya merujuk kepada Kerajaan ‘Uthmaniyyah.
Dengan gabungan antara ulama’ dan umara’ ini, negara Islam dapat
ditadbir dengan penuh adil, amanah dan toleransi. Misalnya, Sultan Salim I bin
Bayazid II (1512 – 1520) pernah berhasrat untuk mengusir minoriti bukan Islam
(Yahudi dan Kristian) dari Kerajaan ‘Uthmaniyyah, namun Syeikhul-Islam ‘Ali
az-Zanbilli [Zenbilli ‘Ali Efendi] (w. 932H)
telah melarang baginda dari berbuat demikian. Ini kerana mereka juga membayar
jizyah sebagaimana orang Islam membayar zakat.
Adakalanya syeikhul-Islam juga keluar berjihad bersama-sama
dengan sultan/khalifah memberi semangat kepada para mujahidin. Pernah ketika
berlaku Peperangan Hungary, Sultan Muhammad III (1595 - 1603) hampir putus
asa untuk mengalahkan tentera musuh yang amat ramai bilangannya, namun Syeikhul-Islam
Muhammad Sa‘duddin at-Tibrizi al-Husaini (w. 1008H) [Hoca Sadettin Efendi (1598
- 1599)] telah memberi semangat kepada sultan dan tentera Islam dengan katanya:
“Sesungguhnya kita hidup adalah untuk
hari seperti ini… Kita mati dan tidak akan melihat kehinaan Islam!..”.
Kata-kata ini telah membangkitkan semangat sultan dan tentera Islam, lalu
mereka pun berjuang bermati-matian hinggalah akhirnya mereka berjaya memperoleh
kemenangan.
Syeikhul-Islam Muhammad Sa‘duddin adalah keturunan Imam Baha’uddin
Syah Naqsyaband al-Husaini, pembangun Tariqat Naqsyabandi yang terkenal. Malah
ada 6 orang keturunan beliau yang pernah menjawat jawatan syeikhul-Islam ini.
(Maqalat al-Kawthari, hlm. 578)
Bagaimanapun, setelah kebangkitan gerakan sekular Turki, jawatan
syeikhul-Islam ini telah dihapuskan bersama hapusnya sistem kesultanan/khalifah
di tangan Mustafa Kamal Ataturk pada akhir tahun 1922. Ketika itu jawatan
syeikhul-Islam dipegang oleh Madani Muhammad Nuri Efendi [Syeikh
Muhammad Nuri al-Madani] (1920 - 1922) sebagai syeikhul-Islam yang terakhir
dalam Dinasti ‘Uthmaniyyah.
Gerakan sekular ini sebelumnya, banyak
menerima tentangan dari ramai alim-ulama Turki seperti Syeikh Badi‘uz Zaman
Sa‘id Nursî (1878 – 1960), termasuk syeikhul Islam-syeikhul Islam Kerajaan
‘Uthmaniyyah seperti Syeikh ‘Abdullah Dürri
zade (m. 1923) dan Syeikh
Mustafa Sabri (1869-1954). Syeikhul-Islam Mustafa Sabri misalnya, merupakan
tokoh ulama terkenal yang banyak menghabiskan hidupnya berjuang menentang
gerakan sekular Turki sehingga akhirnya beliau sendiri terpaksa melarikan diri
dari Turki ke Mesir kerana ancaman jahat mereka. Dalam keadaan bersusah payah,
beliau turut menerima kecaman hebat sewaktu di Mesir daripada mereka yang
terpengaruh dengan pembaharuan moden Mustafa Kamal Ataturk. (lihat: Mustafa Sabri al-Mufakkir al-Islami wal
‘Alim al-‘Alami wa Syaykh al-Islam oleh Dr. Mufarrih Sulaiman
al-Qawsi)
Jawatan syeikhul-Islam ini pernah memberi pengaruh yang begitu
luas hinggakan sampai jauh ke sebelah timur, khususnya ke Tanah Melayu.
Misalnya, Raja Ali Kelana dari Riau (m. 1927) pernah dilantik menjadi Syeikhul-Islam
Johor, Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani (m. 1956) sebagai
Syeikhul-Islam Selangor, Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi (m. 1933) sebagai
Syeikhul-Islam Perak dan sebagainya.
Sumbangan
Intelektual
Seramai kira-kira 131 orang syeikhul-Islam sepanjang
pemerintahan Empayar ‘Uthmaniyyah bukanlah satu jumlah bilangan yang sedikit.
Setiap seorang mempunyai tugas dan peranan masing-masing yang bersesuaian
menurut zaman dan juga tempatnya. Sudah tentu untuk menghuraikannya secara
terperinci memerlukan kepada lembaran kertas yang begitu panjang berjela. Jika
digabungkan pula dengan tokoh-tokoh alim ulama lain yang muncul dalam sepanjang
era Empayar ‘Uthmaniyyah, maka sumbangan intelektual yang telah diberikan oleh
mereka bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.
Keterangan berikut hanyalah sebahagian kecil daripada
contoh-contoh tentang sumbangan intelektual yang telah diberikan oleh mereka.
- Syeikhul-Islam Syamsuddin Ahmad Ibnu Kamal Basya (w.
940H) [Kemal paşa zade Ahmed Şemsettin Efendi] (1526 - 1534) adalah antara ulama Empayar ‘Uthmaniyyah yang terkenal.
Beliau merupakan seorang tokoh ulama prolifik yang telah mengarang lebih dari
350 karya dalam pelbagai bidang seperti tafsir, hadis, fiqh, usul, akidah,
lughah, sejarah, falsafah, mantiq dan sebagainya. Antaranya seperti (تفسير القرآن), (شرح صحيح البخاري), (طبقات الفقهاء), (طبقات المجتهدين), (إيضاح الاصلاح), (حواش على الكشاف), (الاصلاح والايضاح), (تجريد
التجريد), dan lain-lain.
- Syeikhul-Islam Ebus Suud Efendi (1545 - 1574)
atau nama penuhnya Abu al-Su‘ud Muhammad bin Muhammad bin Mustafa al-‘Imadi (w.
982H) merupakan tokoh tafsir yang terkenal dengan kitab tafsirnya (إرشاد العقل السليم إلى مرايا الكتاب
الكريم) atau Tafsir Abi
al-Su‘ud. Antara karya beliau yang lain ialah (تحفة الطلاب), (رسالة في المسح على الخفين), (تسجيل الاوقاف) dan
lain-lain. Beliau amat disegani dan dihormati oleh sultan. Makamnya terletak
berhampiran dengan makam Abu Ayyub al-Ansari RA di Turki.
- Syeikhul-Islam
Syamsuddin Ahmad bin Mahmud al-Adranawi (w. 988H) yang masyhur dengan panggilan
‘Qadhi Zadeh’ [Kadı zade Ahmed Şemseddin Efendi (1577 - 1580)]
telah mengarang sejumlah kitab berharga, antaranya (نتائج الافكار في تكملة فتح القدير لابن الهمام), (حاشية على شرح
المفتاح), (حاشية على شرح الوقاية لصدر الشريعة) dan lain-lain.
- Syeikhul-Islam
Yahya bin ‘Umar al-Minqari (w. 1088H) [Minkari zade Yahya Efendi (1662 - 1674)]
pernah menjadi qadhi di Mesir, Makkah dan juga Istanbul sebelum
diangkat menjadi syeikhul-Islam. Antara hasil karya karangannya ialah (حاشية على تفسير البيضاوي), (رسالة الاتباع
في مسألة الاستماع), (الرسالة المنيرة لاهل البصيرة), (الفتاوي), (تحريرات
التقريرات في آداب البحث), dan sebagainya.
- Syeikhul-Islam
Ahmad ‘Arif Hikmet Efendi (1846 - 1854) merupakan tokoh ulama ‘Uthmaniyyah yang
berketurunan Saidina Husain bin ‘Ali RA, selain 6 orang tokoh syeikhul-Islam
dari keturunan Imam Baha’uddin Syah Naqsyaband al-Husaini. Antara karyanya (الاحكام المرعية في الاراضي الاميرية), (مجموعة
تراجم لعلماء القرن الثالث عشر) dan sebuahdiwan syair di dalam bahasa Arab,
Turki dan Parsi. Beliau telah mendirikan sebuah perpustakaan besar di Madinah
yang masyhur dengan nama ‘Maktabah ‘Arif Hikmat’. Perpustakaan ini begitu
terkenal hingga ke hari ini kerana nilai khazanahnya yang tinggi. Beliau telah
mengumpulkan dan mewakafkan lebih dari 5,000 buah kitab di dalamnya. Riwayat
hidup beliau telah dirakam oleh Syeikh Mahmud al-Alusi di dalam kitabnya (شهي النغم في ترجمة عارف الحكم).
- Syeikh
Mustafa Sabri (m. 1954) bukan sahaja masyhur sebagai tokoh ulama pejuang dalam
bidang politik. Beliau juga terkenal dalam bidang akidah,
pemikiran dan falsafah Islam. Antara karya agungnya (masterpiece) ialah (موقف العقل والعلم والعالم من رب العالمين وعباده المرسلين) setebal
4 jilid yang telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa lain. Karya beliau yang
lain adalah seperti (النكير
على منكري النعمة), (موقف البشر تحت سلطان القدر), (مسألة ترجمة القرآن) dan
lain-lain.
Manakala sumbangan tokoh-tokoh yang bukan syeikhul-Islam,
antaranya ialah:
- Guru
Sultan Muhammad al-Fatih, iaitu Syeikh Ahmad bin Isma‘il al-Kurani (w. 893H)
yang pernah digelar oleh Sultan Muhammad al-Fatih sebagai ‘Abu Hanifah
Zamannya’ kerana keilmuan beliau yang tinggi. Antara karya utama yang
dihasilkannya ialah (غاية
الاماني في تفسير السبع المثاني), (الدرر اللوامع في شرح جمع الجوامع للسبكي), (الكوثر
الجاري شرح صحيح البخاري) dan lain-lain.
- Antara
guru Sultan Muhammad al-Fatih juga ialah Syeikh Mustafa bin Yusuf al-Brusawi
yang masyhur dengan nama ‘Khawajah Zadeh’ (w. 893H). Kerana kemahirannya dalam
bidang falsafah, Sultan Muhammad al-Fatih telah meminta beliau membuat
komparatif antara kitab Tahafut
al-Falasifah oleh al-Ghazali dan kitab Tahafut al-Hukama’ oleh Ibn Rusyd. Lalu beliau menghasilkan
kitab (التهافت في المحاكمة بين تهافت الفلاسفة
للغزالي وتهافت الحكماء لأبي الوليد ابن رشد).
- Seorang
lagi guru Sultan Muhammad al-Fatih yang dikagumi beliau dan menjadi pendorong
utama kepadanya membuka Kota Konstantinopel ialah Syeikh Aq Syamsuddin Muhammad
bin Hamzah al-Dimasyqi (w. 863H). Beliau bukan sahaja guru kerohanian yang
masyhur, malah seorang tabib dan herbalis yang handal. Beliau telah mengarang
dua buah kitab di dalam bahasa Turki mengenainya iaitu (مادة الحياة) dan (كتاب الطب). Karyanya di dalam bahasa Arab diketahui ada
tujuh buah iaitu (حل المشكلات), (الرسالة
النورية), (رسالة في ذكر الله), (مقالات الأولياء), (تلخيص المتائن), (دفع المتائن)
dan (رسالة
في شرح حاجي بايْرَام ولي).
- Syeikh
Mustafa bin ‘Abdullah al-Hanafi (w. 1067H) yang masyhur dengan nama Haji
Khalifah terkenal dengan kitabnya (كشف
الظنون عن أسامي الكتب والفنون) yang merekodkan
sebahagian besar maklumat berkaitan khazanah kitab-kitab Islam. Beliau telah
merekodkan kira-kira 15,000 buah karya ulama yang dihimpunkan dalam tempoh
lebih kurang 20 tahun. Tentunya ia bukanlah satu usaha yang mudah. Kitab ini
telah menjadi rujukan penting bagi para pengkaji ilmu sehingga ke hari ini.
- Syeikh
‘Abdullah bin Muhammad bin Yusuf yang masyhur dengan nama ‘Yusuf Efendi Zadeh’
(w. 1167H) merupakan seorang alim yang mahir dalam bidang tafsir dan hadis.
Antara kitabnya ialah (الائتلاف
في وجوه الاختلاف في القراآت العشر), (زبدة العرفان في وجوه القرآن), (حاشية على
أنوار التنزيل للبيضاوي), (حاشية على العقائد النسفية), (عناية الملك المنعم في
شرح صحيح مسلم), (نجاح القاري في شرح صحيح البخاري) yang terdiri
daripada 20 jilid dan sebagainya.
- Syeikh
Isma‘il bin Mustafa al-Kalanbawi (w. 1205H), seorang alim yang mahir dalam
bidang kejuruteraan, matematik, algebra, geometri, mantiq, paleontologi dan
sebagainya. Antara karya beliau seperti (حاشية على شرح
العضدية للدواني), (حاشية على تهذيب المنطق), (رسالة الإمكان),
(العمل بالربع المجيب) dan lain-lain.
- Syeikh
Ahmad Dhiya’uddin al-Kumusykhanawi al-Naqsyabandi (w. 1311H) merupakan seorang
alim hadis yang jarang ditemukan galang gantinya. Beliau mempunyai sebuah
syarikat percetakan yang mencetak kitab-kitab hadis dan agama, malah
mengedarkannya secara percuma kepada ulama dan ahli ilmu yang miskin. Beliau
juga telah membina 3 buah perpustakaan yang dibuka secara umum kepada
masyarakat. Beliau telah mengarang lebih kurang 50 buah karya, antaranya
seperti (العابر في الانصاري والمهاجر), (لوامع
العقول شرح جامع الاصول) dalam 5 jilid, (راموز الاحاديث) yang pernah dikhatamkan sebanyak
70 kali dan sebagainya.
Terlalu ramai sekali untuk disebutkan tokoh-tokoh yang muncul
dalam era Empayar ‘Uthmaniyyah ini seperti Syeikh Muhammad Jamal al-Khalwati
yang terkenal dengan panggilan ‘Celebi Sultan’ [Qutub Rabbani] (w. 899H) guru
kerohanian yang masyhur, Syeikh Isma‘il Haqqi al-Jalwati al-Hanafi (w. 1137H)
pengarang kitab Ruh al-Bayan
fi Tafsir al-Quran dan telah mengarang lebih dari 100 karya, Syeikh
Ahmad Syakir bin Khalil al-Husaini (w. 1315H) yang telah melahirkan 500 orang
ulama di bawah asuhannya, Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari (w. 1371H) yang
terkenal kepakarannya dalam bidang akidah dan seni hadis, Syeikh Badi‘uz Zaman
Sa‘id Nursî (m. 1960) yang terkenal dengan ‘Rasa’il
al-Nur’nya dan ramai lagi.
Pada tahun 1876 (1293H), Kerajaan ‘Uthmaniyyah telah menerbitkan
akta undang-undang syariah Islam yang telah digubal selama 7 tahun dengan
judul: Majallah al-Ahkam
al-'Adliyyah (sebagai Hukum Sivil Kerajaan ‘Uthmaniyyah) di bawah
seliaan Syeikh Ahmad Judah Basya. Ia mengandung 16 buah kitab dan dianggap
sebagai akta undang-undang syariah Islam pertama yang digubal sedemikian rupa,
meskipun kebanyakannya merujuk kepada fiqh Mazhab Hanafi.
Justeru berdasarkan penjelasan di atas, dapat kita ketahui
bahawa dakwaan yang menyangkakan hampir tidak ada ilmuwan terkemuka yang muncul
daripada dinasti ini atau tiada sumbangan intelektual penting yang diberikan
kepada dunia Islam daripada dinasti ini adalah satu dakwaan yang tiada asas
serta tidak benar sama sekali.
Senarai Syeikhul-Islam:
Berikut adalah senarai perlantikan syeikhul-Islam dalam Kerajaan
‘Uthmaniyyah menurut kronologi. Penulis hanya dapat menemukannya di dalam
bahasa Turki dan telah membuat sedikit suntingan.
Nota:
* Efendi (أفندي) dalam bahasa Turki
merupakan gelaran yang diberi kepada orang yang mempunyai ikhtisas dalam bidang
ilmu agama.
* Zade (زاده) dalam bahasa Turki
bermaksud ‘anak’. Maka perlu diketahui, nama Zekeriya zade Yahya
Efendi misalnya, adalah bermaksud Syeikh Yahya ibn Zakariyya, bukannya
Zakariyya bin Yahya Efendi.
[Osmanlı şeyhülislamları
listesi]