ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Gerakan Islam dan Kebijaksanaan AKP di Turki



Setelah tumbangnya Iraq akibat tindakan Amerika Syarikat pada tahun 2003 dan lobi Israel yang terus menerus mengkhianati Iran atas alasan membangunkan loji nuklear, menjadikan Turki begitu istimewa dalam kalangan penganalisis politik antarabangsa, setelah bekas empayar Uthmaniyyah terpaksa tunduk kepada sekularisme dalam Perang Salib terakhir pada tahun 1924.
Bila berjaya memaksa Sultan Abdul Hamid II menyerah, Mustapha Kemal Pasha yang memimpin Gerakan Muda Turki (Young Turk Movement), telah memaksakan dasar pembaratan dan bahasa Arab dihapuskan dari sistem pendidikan. Bahasa Latin dijadikan sebagai bahasa utama manakala wanita Islam tidak dibenarkan jilbab, madrasah ditutup, aliran tarekat diharamkan, al-Qur’an dan sholat tidak boleh menggunakan bahasa Arab, dan politik agama dihapuskan.
Mustapha Kemal Pasha yang juga dikenali sebagai Kemal Attartuk melancarkan pelbagai bentuk serangan kepada kumpulan agama dengan menuduh mereka adalah anti pembaharuan. Bahkan, Kemal Attartuk sanggup menghancurkan apa sahaja simbol yang berhubungan dengan Islam termasuk memusnahkan sebuah wilayah bernama Konya kerana membenarkan pemakaian jilbab dan mengumandangkan seruan azan setiap kali tibanya waktu sholat, termasuk memenjarakan beberapa orang tokoh pembaharu Islam, misalnya Mohamad Said Nursi dan Ziya Golkap.
Di bawah prinsip sekularisme, Kemal Attartuk berusaha menjadikan Turki sebagai sebuah negara republik yang memiliki nilai-nilai kebebasan dan demokrasi Barat. Dalam pandangan Attartuk, kehadiran Islam dan kemasukan nilai-nilai yang diasaskan oleh Dinasti Uthmaniah sebagai punca kemunduran Turki dan setiap usaha untuk menghidupkan kembali spiritual Islam sebagai ancaman. Mereka yang terbabit dalam gerakan tersebut dipanggil Irtica, yakni kelompok reaksioner atau fundamentalis.
Undang Syariah dihapuskan pada tahun 1925 dan digantikan dengan Undang-Undang Sivil Swiss dan Undang-Undang Jenayah Itali. Bagaimanapun, amalan agama tidak diharamkan terus, Kemal Attartuk menubuhkan direktorat agama dan diletakkan secara langsung di bawah kawalan presiden. Kesan daripada kedudukan tersebut, agama telah dimonopoli untuk disesuaikan dengan kehendak sekularisasi di mana lebih 60,000 imam dan khatib sholat Jumaat dikawal ketat.
Kemalisme berlangsung dalam tempoh selama 30 tahun (1920-1950), sehinggalah pada tahun 1960 berlaku kudeta dan setahun kemudian terbentuk sebuah perlembagaan yang menegaskan “semua produk hukum yang berlaku di Turki tidak boleh bertentangan dengan pemikiran Kemalisme. Evolusi pemikiran Kemalisme mencapai puncaknya ketika tentera sekali lagi melakukan kudeta pada 1980. Dalam perlembagaan baru 1982, Kemalisme menjadi ideologi rasmi Republik Turki. Pada evolusi ketiga ini, ideologi Kemalisme menjadi prinsip kewarganegaraan dan falsafah hegemoni Republik Turki moden. …ideology ini bermetamorfosis dari awalnya ideologi politik kenegaraan menjadi falsafah dan model keperibadian rakyat Turki. Sekularisme kini bertransformasi menjadi “agama wajib” bagi seluruh rakyat Turki. Model interpretasi inilah yang ditentang keras oleh AKP.” (hal. 61-62)
Larangan pemakaian jilbab merupakan simbol pertarungan antara kelompok secular dan Islam pasca-kudeta 1980. Sejak diperundangkan secara rasmi pada 1982, Torgut Ozal yang memimpin Parti Ibu Pertiwi (ANAP) memberikan kebenaran kepada para mahasiswi memakai pakaian muslimah, tetapi kemudiannya diveto oleh Presiden Kenan Evren atas alasan kebenaran tersebut adalah bertentangan dengan prinsip reformasi Kemalisme. Bagaimanapun, pengharaman tersebut dicabar di mahkamah dan dalam keputusannya, mahkamah mentafsirkan “had berpelembagaan kebebasan beragama dengan mengizinkan campur tangan agama melampaui kehidupan individu” adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip sekularisme.” (hal. 63)
Selepas kemenangan parti Refah pada akhir tahun 1990, Profesor Necmetin Erbakan menarik kesemua larangan tersebut dan menyusun semula penggunaan simbol agama, akhirnya telah menimbulkan kemarahan pihak tentera. Pada tahun 1997, tentera melakukan kudeta dan membubarkan parti Refah yang dianggap bersifat fundamentalis. Berikutnya, Parti Fezilet dibubarkan kerana dianggap menyamai Parti Refah. Pada tahun 2007, Tayyib Erdogan meluluskan pindaan menarik larangan berjilbab. Pada tahun 2010, kemenangan AKP dalam satu referendum telah membolehkan jilbab dipakai secara bebas di khalayak awam, termasuk university dan tempat terbuka.
Recep Tayyib Erdogan, pada tahun 1997 terpaksa dipenjarakan selama 10 bulan kerana membaca puisi keagamaan karya Ziya Golkap dengan tuduhan “memprovokasi tindakan pemisahan, memecahbelahkan rakyat Turki menjadi dua kelompok, yakni orang beriman dan orang kafir.” Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu dilihat sebagai hukuman politik.
Tayyib Erdogan yang berasal dari keluarga miskin dari desa Kasimpasa, Istanbul tetapi taat beragama. Akibat pernah bercakap “kotor”,Tayyib pernah dihukum oleh ayahnya, iaitu digantung di atap loteng. Kekerasan hukuman tersebut hanya dapat dilembutkan apabila bersedia untuk “mencium sepatu ayah” dan bersumpah tidak akan mengulangi kesalahan yang sama (hal. 67).
Ketika berusia 15 tahun, Erdogan memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai sayap remaja gerakan Milli Gorus yang diasaskan oleh Profesor Necmetin Erbakan. Kemasukan dalam politik pada tahun 1976, ialah merasakan berlakunya penindasan setelah Adnan Menderes dihukum gantung. Ketika itu, Erdogan adalah Ketua Pemuda Parti Keselamatan Nasional (MSP) cawangan Beyoglu. Setahun kemudian, dilantik mengetuai sayap pemuda di Istanbul dan ini menjadi titik permulaan baharu dalam hubungannya dengan jaringan pertubuhan Islam yang lebih luas, termasuk Ikhwanul Muslimin.
Ketika dipilih menjadi Datuk Bandar Istanbul atas tiket Parti Refah, Erbakan menggelarkan Erdogan sebagai Muhammad al-Fatih, tokoh yang berjaya menakluki Istanbul (Konstantinapol) pada tahun 1453. Apabila keluar dari Parti Refah, Erdogan menubuhkan parti AKP (Adalet ve Kalkinma Partisi—Parti Keadilan dan Pembangunan).
Dalam pilihan raya 2002, AKP menang dengan 34 peratus, meningkat kepada 46 peratus tahun 2007 dan seterusnya 50 peratus pada tahun 2011. Akhir September 2012, Erdogan dipilih semula sebagai pemimpin AKP untuk penggal selanjutnya bagi membolehkan beliau bertanding semula pilihan raya pada tahun 2015. Kemenangan itu dlihat sebagai kejayaan besar gerakan Islam di Turki yang diselubungi sekularisme sehingga mencetuskan perhatian besar masyarakat antarabangsa.
Turki mempunyai penduduk hampir 80 juta orang dan 99.8 peratus adalah beragama Islam. Hampir 27 peratus penduduknya adalah kumpulan umur bawah 14 tahun. Majoriti penganut Islam ialah dari kelompok Sunni dan kelompok Syiah dari aliran Alevi (Alawiyah) adalah kelompok minoriti dan menjadi pendokong kepada sekularisme.
Menilai mengenai sumbangan pengaruh Attartuk, Serif Merdin dalam Islam in Mass Society: Harmony versus Polarization in Politics in Thrid Turkish Republic, modernisme Kemal tidak menawarkan budaya baru Turki kecuali hanyalah pemaksaan model Barat. Walhal, “sekularisme Kemal mengalami kegagalan kerana tidak mampu menghadirkan pembentukan espitemologis dan budaya yang kukuh sebagaimana Islam.” (hal. 13).
Ahmad Dzakirin, sarjana lulusan Rajaratnam School of International Studies, Singapura telah berjaya melontarkan beberapa pertimbangan sejarah mengenai kebangkitan semula politik Islam di tengah-tengah kegagahan sekularisme Turki dalam buku terbaharunya dan versi Malaysia diberikan tajuk, Kebangkitan Gerakan Islam: Analisis Strategi dan Polisi AKP Turki Memenangi Pilihan Raya Umum.
Buku setebal 376 halaman ini dibahagikan kepada lapan bab penting, iaitu Gerakan Islam antara Erbakan dan Erdogan: Pendewasaan Gerakan Islam; Islam versus Kemalisme: Tafsiran Sekularisme; Menundukkan Tentera:Penjaga Ideologi Kemalisme; Strategi dan Dasar Politik Luar Negeri:Parameter Baru Politik Luar Negeri Turki; Erdogan Pahlawan Palestin dan Dunia Islam; Strategi dan Dasar Ekonomi AKP: Protek Ekonomi Islam; Strategi dan Dasar Sosial AKP: Semoga Allah Menolong Kita Berkhidmat Kepada Negara; dan, Republik Islam Turki: Model Demokrasi di Dunia Islam.
Sebagai pahlawan Palestin dan dunia Islam, Erdogan merupakan pemimpin paling popular dalam kalangan negara Arab dan menjadi seorang yang sangat berani untuk melakukan tindakan pengajaran kepada Israel kesan daripada tragedi kematian sembilan orang (lapan adalah rakyat Turki dan seorang rakyat Amerika Syarikat keturunan Turki) sukarelawan Flotila Pembebasan Gaza ke atas konvoi Mavi Marmara pada awal pagi 31 Mei 2010. Ekoran sikap biadab komando tentera laut Israel, Erdogan membalas tindakan itu dengan menarik dutanya ke Israel dan memohon penjelasan rasmi dari duta Israel di Ankara. Insiden itu akhirnya menyebabkan hubungan diplomati Turki-Israel terputus.
Ketika Hamas menang pilihan raya 2006, Erdogan menyambut kemenangan tersebut dengan mendesak masyarakat antarabangsa menerima “realiti Hamas menjadi sebahagian dalam penyelesaian konflik Palestin tanpa syarat. Pada hal, dalam masa yang sama, para pemimpin Arab cenderung bercabang dua dan tidak berani mengambil sikap tegas atas perubahan politk domestik di Palestin. Tiba-tiba mereka memilih jalan selamat dengan bertindak di bawah kerangka pensyaratan AS dan Barat dengan menekan Hamas.
“Ketika tidak ada tanda-tanda positif political engangement (penerimaan politik) Barat atas Hamas, Erdogan dengan lantang mengkritik sikap hipokrit AS dan EU dalam berdemokrasi. Barat menolak Hamas, namun membuka diri dengan kemenangan parti sayap kanan, Likud dan sekutunya dengan Beitenu Yisrael, parti sayap kanan ekstrem yang perkauman dan antikemerdekaan Palestin.” (hal.198-199).
Israel menuduh Turki memainkan peranan “diplomasi sistematik” dengan menjarakkan dirinya dengan Tel Aviv manakala usahanya yang lain ialah mendesak penerimaan Turki dalam Kesatuan Erropah setelah syarat yang ditetapkan sudah dipenuhi. Kesatuan Eropah enggan menerima Turki sebagai ahli barunya disebabkan khuatir Turki akan muncul sebagai kuasa penting yang boleh menstabilkan politik Timur Tengah atas kedudukannya untuk menyingkirkan peranan Israel yang kian kacau dan “double standard.”
Turki pernah melarang Israel menyertai latihan tentera bersama Anatolian Eagle bersama NATO, protes terhadap serangan ganas Israel ke atas Gaza pada tahun 2008, larangan mengehadkan laluan terbang tentera Israel di ruang udara Turki dan tindakan walkout dalam sebuah forum di Davos. Erdogan turut menggelarkan Israel melakukan tindakan ganas apabila membunuh rakyat awam di Gaza dan melakukan kepungan penduduk Palestin. Mahkamah Sepanyol membuka kertas siasatan ke atas tujuh agen perisikan Mossad dalam kes pembunuhan pegawai tertinggi Hamas, Syeikh Shalah Shahadah bersama 14 orang awam pada bulan Julai 2002. Sepanyol juga menjadi penaja utama Turki dalam usahanya untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah. Bagaimanapun, pertuduhan tersebut dibatalkan atas tekanan Amerika Syarikat dan Israel.
Kejayaan AKP, dinilai sebagai pos-Islamisme atas beberapa faktor. Erdogan menerima konsep demokrasi, tetapi ia bukanlah berdasarkan fahaman sekularisme. Erdogan meneruskan dasar transformasinya dengan tidak mengaitkan AKP sebagai sebuah parti Islam, sebaliknya sebagai parti kanan tengah konservatif. Menurut Erdogan, “saya mencadangkan perlembagaan secular bagi Mesir. Jangan takut dengan sekularisme, kerana sekularisme tidak dimaksudkan sebagai musuh agama. Saya sendiri berharap rejim baru di Mesir secular. Saya juga berharap bahawa setelah pidato saya, pandangan rakyat Mesir atas sekularisme berubah.” (hal, 321-322).
Jadi tidaklah pelik apabila ada orang cuba memperkatakan sekularisme sebagai sesuatu yang buruk tidak diterima oleh rakyat Turki, kerana bagi mereka, sekularisme telah memberikan mereka kekuatan untuk muncul sebagai sebuah negara yang kuat dan kukuh di antara negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Sekularisme yang berlaku di Turki memberikan laluan baharu untuk Islam menembuskan nafasnya dalam konteks bernegara dan melaksanakan ekonomi terbuka, kerana empayar-empayar Islam sejak sekian lama telah berusaha menjadikan umat Islam tidak terbuka fikirannya. Yang lebih penting ialah hakikat keislaman dan keimanan seseorang itu tidak tercabar oleh laluan sekularisme yang menghalalkan apa sahaja atas kepentingan material,Turki sebenarnya sedang mengimbanginya tanpa membuang sekularisme.
Bagaimanapun, analisis pengarang, Ahmad Dzakirin dalam buku ini bukan sahaja dapat membuka dimensi baru dalam kaedah berpolitik dalam kontradiksi asas pemikiran, bahkan menjadi satu percubaan menarik untuk meneroka kehadiran politik dalam ruang publik agama. Inilah yang dikatakan sebagai dinamisme politik, yang seharusnya menawarkan pilihan-pilihan yang sesuai dengan spiritualisme, kerana kecerdikan spiritual itulah yang mampu mengatasi segala keburukan yang dikembangkan oleh ideologi dan fahaman tanpa menginstitusikan falsafah keimanan dan ketuhanan dalam tubuh negara.
Nama Buku : Kebangkitan Gerakan Islam: Analisis Strategi dan Polisi AKP Turki Memenangi Pilihan Raya Umum.
Nama Pengarang : Ahmad Dzakirin
Nama Penerbit : Alam Raya Enterprise Sdn. Bhd. 2012.
Jumlah Halaman : 383 (termasuk indeks dan bibliografi)
Harga : RM 25.00
Nama Pengulas : Kamarun KH

sumber:ummatanwasatan