ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Salaf Tidak Pernah Takwil?

Salaf Tidak Pernah Takwil?

PENGENALAN

Dewasa ini, seringkali kita mendengar perbalahan yang tidak menguntungkan umat Islam dengan menjadikan isu-isu khilaf sebagai subjek utama perbahasan sehinggakan sampai kepada tahap membidaah dan mengkafirkan sesama Islam. Sikap segelintir puak yang begitu bersungguh-sungguh menabur bibit-bibit fitnah ini terus dilontarkan kepada masyarakat Islam lantas terjadilah permusuhan sesama Islam lantaras isu-isu khilaf yang mustahil dapat dihapuskan sehingga Kiamat.

Antara isu yang hangat diperkatakan ialah isu ayat-ayat sifat bagi Allah SWT. Saya melihat isu ini sentiasa dihangatkan oleh mereka sehingga mengundang rasa tidak tenteram kepada umat Islam. Di kesempatan ini, saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan ketika berhadapan dengan isu ini. Saya sedaya upaya menggunakan bahasa dan perbahasan yang mudah difahami oleh masyarakat kebanyakkan. Semoga mendapat manfaat dari penjelasan ini.

ADAKAH ALLAH SWT MENYERUPAI MAKHLUK?

Adapun perbahasan mengenai pentakwilan ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW pada sifat Allah SWT seringkali dibahaskankan pada kitab-kitab akidah yang memuatkan penjelasan terhadap manhaj salaf dan khalaf. Perbahasannya agak panjang.

Sebagai permulaan kepada perbincangan ini, terlebih dahulu saya ingin menetapkan kefahaman pembaca bahawa Allah SWT sama sekali tidak sama dengan sebarang perkara baharu, seperti mana ayat al-Quran al-Karim berikut:

Firman Allah Taala bermaksud:
Tiada ada sesuatupun yang serupa denganNya (Allah Taala) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Syuura: Ayat 11).

Ayat al-Quran di atas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT tidak serupa sama sekali dengan apa-apa jua makhluk-makhluk yang lainnya. Ini bertepatan dengan salah satu Sifat 20 iaitu Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadis.

APAKAH MAKSUD TAKWIL?

Secara ringkasnya, takwil bermaksud memindahkan lafaz daripada makna zahirnya. Takwil boleh dibahagi kepada dua:
- Takwil ijmali.
- Takwil tafsili.

Tawil ijmali digunakan oleh golongan Salaf iaitu memindahkan lafaz daripada makna zahirnya dan kemudian diserahkan maksud sebenar sesuatu lafaz itu kepada Allah SWT. Cara ini juga dikenali sebagai tafwidh (penyerahan).

Manakala takwil tafsili pula digunakan oleh golongan Khalaf iaitu memindahkan lafaz dari makna zahirnya dan kemudian menentukan maksud yang dimahukan dari lafaz tadi. Namun takwilan tersebut masih berlegar di ruang lingkup sesuai dengan Allah SWT.

Cara Khalaf dilihat lebih rapi dan lebih memberi faham kerana di sana terdapat penambahan maklumat dan penjelasan serta berkesan menolak syubahat daripada firaq bidaah. Manakala cara Salaf pula adalah lebih selamat kerana dia tidak menentukan apakah maksud sebenar lafaz itu kerana takut terjatuh kepada makna yang bukan yang dikehendaki oleh Allah SWT.

KENAPAKAH BERLAKU PERSELISIHAN?

Tujuan kedua-dua cara ini adalah sama iaitu untuk membersihkan Allah Taala daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk. Perbezaan kedua-dua golongan ini berlaku kerana berbeza pandangan dalam menentukan tempat berhenti (waqaf) pada ayat 7 surah ali-Imran:

وَ مَا يَعلَمُ تَأوِيلَهُ إِلا اللهُ

Bermaksud: Dan tiadalah yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.

Ataupun:

وَ مَا يَعلَمُ تَأوِيلَهُ إِلا اللهُ وَ الرَّاسِخُونَ فِي العِلمِ

Bermaksud: Dan tiadalah yang mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang-orang yang mendalam ilmunya.

Golongan Salaf berpandangan waqaf seperti yang pertama. Lalu mereka (Salaf) berpendapat yang mengetahui tentang takwil hanyalah Allah SWT sahaja dan makhluk tidak berpeluang menyelongkar maknanya. Manakala golongan Khalaf berpandangan waqaf adalah seperti yang kedua. Lalu mereka (Khalaf) berpendapat yang mengetahui tentang takwil adalah Allah SWT dan para alim ulama.

Sebagai contoh, di dalam firman Allah SWT pada ayat 5 surah Toha:

الرَّحمَانُ عَلَى العَرشِ استَوَى

Bermaksud: Ar-Rahman (Allah SWT) itu beristiwa di atas arasy.

Salaf mengatakan istiwa tidak kita ketahui maksudnya. Manakala Khalaf mengatakan istiwa di situ dengan maksud istila (menguasai).

MANA SATUKAH GOLONGAN YANG BENAR?

Kedua-dua manhaj (Salaf dan Khalaf) adalah bertepatan dan ianya boleh digunakan. Tiada perbalahan sehingga membawa perpecahan di antara kedua-duanya. Imam Abu Hassan al-Asy’ari juga turut menggunakan kedua-dua cara di atas dalam menerangkan ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW yang meletakkan sifat Allah SWT seperti contoh ayat di atas (Surah Toha: ayat 5) ini. Sila rujuk kitabnya seperti al-Ibanah (menggunakan cara Salaf) dan al-Luma (menggunakan cara Khalaf).

Oleh itu, tidak boleh dilontarkan tuduhan bidaah, kafir dan sebagainya jika seseorang itu cenderung menggunakan salah satu dari cara tersebut. Ini kerana, kedua-dua cara itu adalah betul. Jadi, sesiapa yang mudah melontarkan kata-kata bidaah, kafir dll terhadap orang lain yang tidak sealiran dengan kecenderungannya itu, maka sebenarnya dia yang tidak memahami perbahasan ilmu akidah Islam.

SALAF TIDAK MENTAKWILKAN LANGSUNG?

Sebilangan golongan Salaf turut mentakwil ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW yang difikirkan perlunya pentakwilan ini. Dengan itu, tertolaklah hujjah golongan Wahabi yang mengatakan golongan Salaf tiada pentakwilan langsung. Sebagai contohnya:

1. Imam Malik dan Imam Ahmad mentakwilkan ayat berikut:

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan datanglah Tuhanmu.
(Surah al-Fajr: Ayat 22).

Imam Ahmad mentakwikan ayat al-Quran al-Karim di atas dengan makna: Dan datanglah pahala dari Tuhan. (Sila rujuk al-Bidayat wa al-Nihayat karangan Imam Ibnu Khathir).

Imam Malik pula mentakwilkan ayat al-Quran al-Karim di atas dengan makna: RahmatNya yang turun. (Sila rujuk al-Salafiyyah al-Muasarah karangan Syeikh Abdullah bin Abd Rahman).

2. Imam Malik turut mentakwilkan sebuah hadis (riwayat al-Bukhari) tentang turunnya Tuhan pada waktu tengah malam dengan turunnya perintahNya. (Sila rujuk Siyar Alam al-Nubala karangan Imam al-Zahabi).

3. Imam Sufyan al-Thauri mentakwilkan ayat istiwa (surah al-Baqarah: Ayat 29) dengan maksud berkehendak menciptakan langit. (Sila rujuk Jamik al-Bayan karangan Imam al-Tobari).

4. Imam al-Bukhari turut mentakwilkan sebuah hadis (riwayat al-Bukhari dan Muslim) tentang Allah SWT tertawa dengan maksud rahmat Allah SWT. (Sila rujuk al-Asma wa al-Sifat karangan Imam al-Baihaqi). Bahkan Imam al-Bukhari turut mentakwilkan ayat al-Quran al-Karim (surah al-Qashash: Ayat 88) tentang wajah Allah SWT dengan kerajaan Allah SWT. (Sila rujuk Fath al-Bari karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani).

Demikianlah beberapa contoh yang menunjukkan bahawa generasi Salaf juga mentakwilkan ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadis-hadis Nabi SAW. Jika ini dijadikan ukurannya, maka golongan Wahabi yang mengatakan sesiapa yang melakukan takwilan adalah bidaah dan kafir, sesungguhnya mereka sebenarnya telah menghukum para ulama Salaf dengan satu tuduhan yang amat berat!

APAKAH KAITAN DENGAN GOLONGAN MUJASSIMAH?

Golongan Mujassimah atau Musyabbihah ialah golongan berpendapat bahawa sifat Allah SWT itu menyerupai sifat makhluk seperti mengatakan Allah SWT bertangan, berkaki dan bermuka sebagaimana sifat makhluk. Mereka memahami ayat-ayat sifat Allah SWT dengan makna zahir semata-mata namun tanpa sedar mereka turut menjisimkan Allah SWT. Menurut Ibnu al-Bana dalam kitabnya al-Mukhtar fi Usul al-Sunnah, golongan Musyabbihah atau Mujassimah ini menjadikan segala sifat Allah SWT seperti sifat-sifat makhluk meliputi zat, sifat dan perbuatan Allah SWT.

Walaupun mereka mendakwa mereka berpegang dengan manhaj Salaf, tetapi hakikatnya mereka terpesong daripada manhaj itu. Mereka berlebih-lebihan di dalam membicarakan ayat-ayat sifat sehingga sampai ke tahap menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Golongan ini terpesong dari akidah Islam yang mengatakan Allah SWT tidak menyamai sebarang perkara baharu.

KESIMPULAN

Daripada penjelasan ringkas ini, dapatlah kita fahami bahawa kedua-dua manhaj iaitu Salaf dan Khalaf adalah bertepatan dengan Islam. Jadi, sebagai umat Islam yang sayangkan agamanya, kita perlu menjauhkan diri dengan segelintir golongan (terutamanya Wahabi) yang begitu mudah membidaah dan mengkafirkan orang lain yang tidak sealiran dengan mereka.

Sekian.

buluh.iluvislam.com