ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Tok Jelapang (Syeikh Wan Ahmad)

TUAN GURU SYEKH HJ WAN AHMAD BIN HJ WAN ABDUL HALIM
(Tok Padang Jelapang / Tok Goloq) 1861-1934
 
 
Dilahirkan di kampung Palekbang, Daerah Sungai Pinang, Jajahan Tumpat, Kelantan pada tahun 1861. Ibunya bernama Wan Pandak.
 
Pendidikan
Mendapat pendidikan secara serius dan mendalami ilmu agama setelah berkahwin dan berkeluarga. Beliau telah kembara ilmu ke Patani selama 5 tahun bagi menuntut ilmu dan berguru di pondok kampung Cha-ok bersama Tuan Guru Hj Abdullah dan di Pondok Hj. Ahmad.
Seterusnya beliau ke Mekah dan belajar di sana selama 9 tahun. Antara gurunya disana ialah:
- Syekh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani,
- Syekh Tok Wan Ali Kutan,
- Syekh Wan Daud al-Fathani,
- Syekh Tuan Hj Mokhtar Bogor,
- Syekh Tok Syafei Kedah.
 
Dikatakan guru bimbingan utama beliau ialah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani (ulama’ tersohor Melayu di Tanah Arab & wakil Khalifah Turki Uthmaniyyah bagi hal ehwal alam Melayu) dan melaluinya beliau bertariqat Syathariyyah. Beliau juga juga murid kepada Tok Wan Ali Kutan dimana dikatakan melaluinya beliau mengambil baiah Tariqat Syaziliyyah.
 
Semasa di Mekah beliau bersahabat Karib dengan Tok Selehor, Tok Kenali[1] dan Dato’ Mufti Hj Ibrahim bin Hj Muhammad Yusuf (Mufti ke-6 Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1928-1940).
 
Sekembali dari Mekah al-Mukarramah, beliau membuka pondok pengajian di kampungnya Palekbang. Setelah mengasas dan mengajar selama 2 tahun, kawasan pondoknya telah termasuk didalam projek kerajaan bagi membina landasan keretapi dari Tumpat ke selatan Kelantan. Setelah itu beliau dipelawa muridnya Hj Mat Saman untuk membuka pondok di Padang Jelapang, Lemal, Pasir Mas. Bersama keluarganya beliau  telah berpindah dengan menyusuri Sungai Kelantan dengan menaiki perahu melalui Kuala Lemal dan membuka pondok di kawasan tersebut sekitar tahun 1336H / penghujung 1917.
 
Di Padang Jelapang bermulanya era kecemerlangan dan kemashurannya sehingga digelarkan dengan 'Tok Padang Jelapang'. Setelah 5 tahun di situ beliau berpindah dan membuka pula pondok di pekan Pasir Mas (iaitu di lorong Hj Ahmad Jalan JKR / Kubang Terap dan Jalan Pondok Lama berhampiran klinik Pasir Mas sekarang). Setelah 3 tahun di pekan Pasir Mas yang merupakan zaman kemuncak perkembangan pengajian pondok di Jajahan Pasir Mas, sehinggakan hampir keseluruhan tuan-tuan guru sekitar Pasir Mas pernah berguru dengannya.
 
Tahun 1351/1932M beliau berhijrah pula ke pekan Sungai Golok, Selatan Thai (sempadan Rantau Panjang) bagi membuka pondok di sana.[2] Beliau membuka kawasan tanah hutan bersama rakan dan murid-muridnya bagi mendirikan pondok dan masjid. [3] Sehinggakan beliau digelar ulama pembangunan dan di digelar Tok Golok.
 
 
Kemahiran/kebolehan
Seorang yang alim dalam bidang Usuluddin, Fiqh, Tasawuf, Nahu dan mengajar kitab Qatr al-Nada, Ibn Aqil, Matla’ al-Badrain, Fathu al-Muin, Hashiah ad-Dusuqi, Jauhar al-Mauhub, al-Hikam dan Minhaj al-Abidin.
 
Beliau juga berkemahiran dalam bertukang rumah, membuat tepak sireh, tembaga dan bercucuk tanam (semasa di Sungai Golok menanam kopi, ciku dan limau di kebun seluas 10 ekar dan membuka tanah).
 
 
Keluarga Dan Keturunannya
Mempunyai tiga orang isteri iaitu yang pertama Wan Zainab berasal dari Palekbang, Tumpat yang kedua Che Som binti Hj Awang berasal dari Chetok, Pasir Mas dan yang ketiga Che Yah binti Che Ali berasal dari Kampung Kedap, Pasir Mas.
 
Antara anak-anaknya ialah Wan Mat menetap di Narathiwat, Wan Sulaiman menetap di Sungai Golok, Wan Ismail menetap di Mekah, Wan Ishak dan Wan Som (isteri kepada Tok Guru Mat Melaka Hj Muhammad bin Husain).
 
Cucunya ialah Wan Bidah, Wan Mah, Wan Abdul Aziz, Wan Mat 'Tauke Batik' dan (Dr) Wan Chik menetap di Sungai Golok, Hj Ismail menetap di Kelantan. Antara keturunan beliau seterusnya antaranya ialah penulis sendiri[4]. Sesungguhnya keturunannya bertebaran di Sungai Golok dan Selatan Thai, Kelantan dan Malaysia dan di Mekah al-Mukarramah  dan Arab Saudi.
 
 
Muridnya
Beliau mempunyai ramai anak murid dan dikatakan hampir keseluruhan alim ulama’ sekitar Pasir Mas disekitar pertengahan tahun 1900an pernah berguru dengannya. Muridnya yang merupakan tokoh dan dikenali ramai antaranya ialah :
 
1. Tuan Guru Hj Abdul Rahman (Lubok Tapah)
2. Hj Abdullah Lai
3. Tuan Guru Hj Abdul Ghani bin Awang Kechik (Kubang Bemban)
4. Hj Che Hasan bin Hj Ismail (Lemal)
5. Hj Abdullah bin Musa (Kampung Laut)
6. Tuan Guru Hj Abdullah bin Mat Saman (Lati)
7. Hj Abdul Latif (Banggol Kulim)
8. Tuan Guru Hj Hasan bin Ismail (Buloh Poh,Ketereh)
9. Hj Wan Mat dan Hj Wan Sulaiman (merupakan anaknya)
10. Tuan Guru Hj Ahmad bin Hj Ismail
11. Encik Marib (Pembuka Sungai Golok)
12. Che Wan (mandur membangun Bandar Sungai Golok)
13. Lebai Deraman
14. Hj Abdullah Pondok Padang
15. Pak Chu Hj Abdullah Tal Tujuh
16. Hj Che Yahya Chenok Timur
 
Meninggal Dunia
Iaitu pada tahun 1934 ketika berusia 73 tahun[5] di Sungai Golok dan dikebumikan di kubur besar di Bandar tersebut. Menurut kisah selepas beliau meninggal dunia berlaku kemushkilan sama ada beliau telah meninggal atau belum lagi berikutan keadaan mayatnya tetap panas seperti masih hidup. Sehinggakan dijemput sahabat beliau Dato’ Mufti Hj Ibrahim[6] bagi memastikan bahawa beliau sememangnya telah meninggal dunia.
 
Kesimpulan
Jasa beliau begitu besar kepada agama dan masyarakat setempat dan menjadi tempat rujukan permasalahan agama dan kehidupan harian duniawi. Beliau juga dikenali ulama pembangunan dan berparadigma Islami. Khidmat beliau terutamanya dalam pembangunan institusi pendidikan pondok, dakwah dan ilmu agama yang berpaksikan kepada manhaj Sunni Ahli Sunnah Waljamaah, Fiqh mazhab Imam Syafei dan Tariqah Tasawuf as-Syathariyyah dan as-Syaziliah. Keturunannya bertebaran di Sungai Golok, Selatan Thai, Kelantan dan Malaysia dan juga di Mekah al-Mukarramah. Semoga beliau yang dikatakan tergolong daripada para solihin dapat memberkati kepada penulis. al-Fatihah.
 
 
Disediakan oleh :

http://hanputra.blogspot.com/
Julai 2008

RUJUKAN :

Abdul Razak Mahmud ‘Ikhtisar Sejarah Kelantan’ Pustaka Aman Press, 2005.
Ahmad Fathy al-Fatani ‘Ulama Besar Dari Patani’ Penerbit UKM, 2002.
Auni Abdullah ‘Islam dan Sejarah Politik dan Pemerintahan Alam Melayu’ Nurin Enterprise, 1991.
Ismail Awang ‘Tok Padang Jelapang’ Pengasuh bil. 416/1976 hal. 27 Jun/Julai 1976.
Abdul Rahman Abdullah ‘Pemikiran Islam Di Malaysia :Sejarah dan Aliran’ DBP dan PPJJ USM, 1998.
Dato’ Hj Ibrahim Hj Mohd Yusuf Mufti Ke-6 Kelantan Darul Naim, Utusan Malaysia, m/s 14, 30 Mac 2009.
Ensiklopedia Keseniaan dan Warisan Islam, Cet. ke-2,2010,Jld. 13, Kuala Lumpur: Anzagain sdn bhd.
Ensiklopedia Ulama', 2011, Jld.12. Putrajaya : Jakim.
Hashim Hj. Musa ‘Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia’ Penerbit UM, cet. Ke-2, 2005.
Hj Abdul Halim Bashah ‘Wali Songo’ Pustaka Kafilah Enterprise 1996.
Ismail Che Daud ‘Tokoh Ulama Semenanjung (1), MAIK, 1992.
Ismail Che Daud ‘Tokoh Ulama Semenanjung (2), MAIK, 2007.
Mohd Yunan Mahmud ‘Tokoh-Tokoh Ulama’ Kelantan’ Yayasan Islam Kelantan, 1988.
Md. Taib Osman dan A. Aziz Deraman sebagai Penyelenggara ‘Tamadun Islam Di Malaysia’ DBP, 2000 .
Nazir Dewan Tok Kenali ‘ Tok Kenali’ cet. ke-2, 2005.
Muhammad Uthman el-Muhammadi ‘Islam dan Pembinaan Peradaban Kawasan Timur Laut’.
Zaidi Abdullah ‘Pondok Lubok Tapah: Antara Pusat Pengajian Terpenting di Kelantan’.
Zaidi Abdullah ‘Menuju Kebahagiaan Sejati: Koleksi Hadith Serta Sanad Riwayat Tuan Guru Hj Abdullah b Tuan Guru Hj Abdurrahman’ Syathariyah Niagajaya sdn bhd, 2002.
Temuramah Ustaz Ahmad Fathi (Pengkaji Sejarah Ulama Kelantan dan Patani)
Temuramah Hj Yunus@Ibrahim (Datuk kepada penulis)
http://hanputra.blogspot.com
http://uthman-elmuhammady.blogspot.com
http://www.pengkaji.org/

[1] Tokoh Ulama lima serangkai Kelantan iaitu Tok Kenali di Jajahan Kota Bharu, Tok Bachok di Jajahan Bachok, Tok Selehong di Jajahan Tumpat, Tok Padang Jelapang di Jajahan Pasir Mas, Tok Kemuning di Jajahan Machang
[2] Orang pertama yang membuka Sungai Golok ialah Encik Marib berasal dari Perak dan Che Wan dari Pasir Mas,Kelantan. Sebelum perjanjian Bangkok tahun 1909, Sungai Golok merupakan sebahagian dari wilayah Kelantan Darul Naim.
[3] Iaitu di tapak Masjid Besar Bandar Sungai Golok sekarang dan kawasan pondok ialah di sekitar Masjid tersebut yang juga dikenali dengan ’Dalam Pondok’. Kawasan pondok tersebut kekal sehingga akhir kurun ke-20. Kini di kawasan masjid tersebut hanya kekal dengan Pusat Tahfiz al-Quran.
[4] Keturunan sebelah ibu iaitu Rizhan anak kepada Che Aminah@Hasnah anak kepada Wan Mah binti Wan Sulaiman bin Wan Ahmad bin Wan Abdul Halim.
[5] Laporan Sinaran Kelantan pertengahan tahun 1938 hal.23, oleh Mohd Yusuf b Saleh al-Kalantani
menyatakan Tok Padang Jelapang meninggal dunia pada pukul 7 pagi Sabtu 1 safar 1354 H / 4 Mei 1935 kerana demam panas dan sakit tua ketika umur sekitar 65 tahun. Dan tarikh lahirnya ialah 1 Muharam 1289H / 11 Mac 1872. Mengenai tarikh lahirnya ada kekhilafan antaranya pada tahun 1861 atau 1289H/1872 begitu juga tarikh kewafatannya iaitu pada tahun 1934 atau 1354H/1935Wallahua’lam.
[6] Mufti ke-6 Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim pada tahun 1928-1940