ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

SULUG, MORO DAN FILIPINO



SULUG, MORO DAN FILIPINO

oleh :Asreemoro

PENGERTIANNYA DARI KONTEKS ISTILAH DAN BAHASA


SIAPA MORO?

Hari ini bangsa Sulug di kepulauan Sulu hanya memanggil diri mereka sebagai Tausug sahaja dan sebahagian lagi menisbahkan diri mereka dengan bangsa Moro. Nampaknya gelaran Sulug atau Moro ini tidak difahami walau pun sekadar pengertian pada asas istilah. Sesetengahnya mungkin tidak bersetuju dengan gelaran Moro tetapi oleh kerana majoriti orang-orang Islam Sulu dan Mindanao hari ini mengambil sikap “nagpatural”[01] tanpa bangkangan hinggakan gelaran tersebut masih kekal digunakan.

Menjelaskan makna Sulug (Sug) dan gelaran Moro adalah penting untuk memahami sejarah kepulauan Sulu kerana kebanyakan masyarakat luar keliru memilih samada menggelar Sulug atau Moro. Disebabkan era Presiden Marcos berperang begitu lama melawan Moro National Liberation Front (MNLF) yang bermula 1972 dan kesannya masih berterusan sehingga kini, menyebabkan Sulug 'tertindih' oleh gelaran Moro. Walaupun begitu penggelaran Moro bukan hanya dimulai pada era perang Marcos vs. MNLF malah ia sudah bermula semenjak kedatangan Spanyol ke kepulauan Sulu lagi seawal abad ke-16.


DARI MANA GELARAN MORO BERMULA?

Moro berasal dari perkataan Moor yang dinisbahkan kepada orang Islam Iberia atau Mauritania (Orang Arab Islam Andalusia) yang pernah menakluk Spanyol selama 800 tahun. Ketika penjelajah Spanyol datang ke kepulauan Sulu Utara (i.e. Luzon-Visaya) pada abad ke-16, yang kemudiannya berkerja keras menjajah kepulauan emas tersebut didapati terdapat kaum yang juga keras menentang mereka malah lebih ganas dari orang Moor di Spanyol itu. Memandangkan penentang mereka ini beragama Islam sebagaimana bangsa Moor di Andalusia maka mereka turut menggelar Moor juga pada orang Islam di kepulauan Sulu dan disebut pada lidah Spanyol sebagai Moro hinggalah ke hari ini.

Cesar Adib Majul dalam bukunya Muslim in the Philippines[02] (Islam Di Filipina) menjelaskan tentang istilah Moro :

"Legazpi[03] memanggil mereka Moro, nama yang dikekalkan mereka hingga ke hari ini, tanpa mengira yang mereka itu tidak mempunyai persamaan dengan Orang Mauritania, membuktikan sebuah masyarakat agama yang dikongsi bersama Arab Spanyol".

Dalam buku yang sama Majul memperincikannya lagi,

"Istilah Moro pada mulanya berasal dari Mauri purba atau Mauritania. Sungguhpun istilah ini lebih tepat ditujukan kepada orang Berber (Barbar) di Afrika Utara dan mereka yang datang ke Spanyol, namun istilah ini adakalanya sesuai digunakan untuk merujuk penakluk-penakluk Islam yang menakluki Spanyol, dan yang demikian istilah ini adakalanya merujuk kepada orang Arab juga. Bagi setengah-setengah orang Spanyol, disebabkan oleh kekurangan istilah yang lebih tepat untuk merujuk kepada mana-mana orang Islam, maka mereka menggunaka istilah (i.e. Moro) secara longgar".

Ini bermakna gelaran Moro bukan sahaja dirujuk kepada umat Islam Andalusia atau kepulauan Sulu sahaja malah semua umat yang menganut agama Islam. Jelasnya istilah Moro telah menjadi identiti keagamaan (Religious Identity) menurut Spanyol dan bangsa kolonialis Eropah ketika dulu. Dalam buku Salah Jubair, A Nation Under Endless Tyranny menyatakan,

"Ia merujuk kepada penduduk asal yang beragama Islam dari Manila kata Moro pertama kali diterapkan oleh Sepanyol tahun 1570 untuk menunjukkan orang-orang yang mengakui Islam. Barulah pada tahun kemudian, lebih khusus lagi di 1578 dan selepas itu, bahawa nama Moro pada umumnya diterapkan pada Muslim Mindanao dan Sulu.”[04]

Seorang penulis Melayu, Zakaria Ali menulis dalam bukunya bertajuk Islamic Art In Southeast Asia telah menjelaskan tentang penggelaran Moro pada Raja Aceh,

"Tome Pires mencatatkan bahawa Raja Ache adalah Moor... Orang-orang Moor menguasai pesisir laut dan mereka melantik Raja Moor dari kasta Bengali, dan semenjak itu raja-raja Pase (Pasai) yang seterusnya sentiasa Moor (i.e. beragama Islam).”

Dalam buku Robert Nicholl bahawa Tome Pires menyatakan tentang Raja Brunei sebagai Moor,

“Borneo... telah dihuni oleh Moor tidak lama setelah raja mereka menjadi Moor...”[05]

Francisco Combes pula dalam catatannya pada abad ke-16, bertajuk Historia De Mindanao Y Jolo menyatakan bahawa Lutao (Orang Laut Balangingi' @ Sulug Bangingi') sangat berani dan ditakuti sebab itu selalu digunakan oleh raja-raja Moro (i.e. kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara) untuk berperang dilaut menentang musuh-musuh mereka.


SIAPA FILIPINO?

Apakah maksud sebenar istilah Filipino? Hari ini begitu ramai umat Islam samada Tausug di kepulauan Sulu atau dari pulau besar Mindanao berbangga mengaku sebagai Filipino. Ia berdasarkan pemahaman nasionalisma mereka hari ini bahawa Filipino bermaksud Rakyat Filipina yang cintakan negara Philippines tanpa mahu memahami asal usul istilah tersebut. Sebenarnya nama Filipino berasal dari lidah penjajah Spanyol yang hanya bermula pada tahun 1500-an dan Amerika Syarikat pula memanggilnya Philippines pada tahun 1890-an.

“Nama Filipino telah dipilih oleh seorang pengembara Spanyol bernama Ruy López de Villalobos, yang menamakan kepulauan "las Islas Felipinas" (the Philippine Islands) sempena nama Raja Philip II di Spanyol.”[06]

Ketika era penjajahan Spanyol ke atas kepulauan yang mereka namakan Felipinas itu telah muncul dua bentuk komuniti keturunan Spanyol yang dinamakan Peninsulares dan Insulares. Peninsulares merujuk kepada keturunan (full-blooded) Spanyol yang dilahirkan di Semenanjung Iberia (Spanyol). Insulares pula merujuk kepada keturunan (full-blooded) Spanyol yang dilahirkan di Philippines.[07]

Sementara Sepanyol menamakan Filipina kepada tanah jajahan mereka yang begitu jauh, sebenarnya mereka tidak memanggil penghuni asal kepulauan tersebut sebagai Filipino. Orang Spanyol membezakannya dengan memanggil mereka bangsa Indios (i.e. Pribumi @ Bumiputra) yang bertaraf rendah bukannya Filipino. Setelah bangsa Indios berjaya dikristiankan dan berlaku asimilasi antara keturunan Spanyol (Insulares) dengan Indios maka pada akhirnya Spanyol menamakan orang-orang Pribumi dengan nama Filipino. Walaubagaimana pun ia hanya sekadar strategi untuk memudahkan kristianisasi penjajah dan bertujuan memisahkan penganut-penganut Islam yang digelar Moro (Mindanao dan Sulu) dari saudara-saudara mereka yang digelar Indios itu.

Sebenarnya masyarakat Pribumi yang berjaya dikristiankan yang walaupun sudah diterima sebagai Filipino namun mereka tetap dipandang sebagai kasta bawahan yang tidak setaraf dengan Filipino yang asal (Peninsulares). Berkenaan dengan hal ini Mr. Victor mengatakan,

“Selama tempoh awal penjajahan orang Spanyol, secara umum penduduk asli (Indigenous peoples) yang dikristiankan di Filipina dirujuk sebagai Indios.”[08]

Nampaknya ia lebih menonjol kepada diskriminasi perkauman yang tidak disedari oleh rakyat Filipina hari ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan Indios oleh Spanyol? Untuk mendapatkan jawapannya kita perlukan orang-orang Maxico sendiri yang menberikan jawapan. Antara Filipina dan Mexico sebenarnya masih berkongsi sejarah PENJAJAHAN dari Spanyol ketika dulu.

“Bagi kebanyakan orang Mexico, "Indio" adalah rasis atau penghinaan perkauman. Hal ini dapat diertikan dalam bahasa pasar sebagai orang yang berasal dari kelas sosio-ekonomi rendah dan tidak diingini.”[09]

Hari ini sebahagian orang-orang Islam di Sulu dan Mindanao telah senang dipanggil Pinoy atau Filipino tanpa rasa malu dan terhina terhadap nenek moyang mereka yang mati berjihad menentang Spanyol ketika dulu adalah semata-mata tidak mahu difilipinokan (i.e. dispanyolkan @ dikristiankan). Nenek moyang mereka tidak pernah kalah maka sebab itu mereka juga tidak pernah tunduk kepada kekuasaan Spanyol yang mahu memfilipinokan mereka.

Alunan C. Glang menegaskan bahawa hanya mereka yang berjaya dikalahkan oleh Spanyol sahaja yang tunduk merelakan diri menerima kedaulatan King Philip @ Felipe II dan selayaknya mereka dipanggil Filipino. Menurutnya, orang-orang Moro (Muslim Sulu dan Mindanao) tidak pernah menjadi rakyat (subjects) Spanyol dan tidak pernah menjadi Filipino. Faktanya ialah, selama 350 tahun generasi Muslim Sulu dan Mindanao bertumpah darah adalah semata-mata mengelak dari menjadi Filipino. Oleh kerana mereka gagal difilipinokan menyebabkan Spanyol mewujudkan satu permainan teater yang menghina. Teater tersebut dipanggil “Moro Moro” untuk menggambarkan tentera Spanyol sebagai hero manakala Muslim Sulu dan Mindanao (Moros) sebagai penjenayah yang pengecut.[10]


SIAPA SULUG?

Sulug adalah merujuk kepada satu bangsa yang menduduki kepulauan Sulu dan kepulauan sekitarnya. Bangsa Sulug kadang-kadang disebut sebagai orang Sulu atau pun orang Sug (Tau Sug). Orang Melayu Brunei menggelar mereka sebagai orang Suluk atau Solok kerana kebiasaan lidah menyebut “G” menjadi “K” pada perkataan Sulug tersebut. Bangsa Inggeris yang mentadbir Borneo Utara ketika dulu turut menggelar bangsa Sulug dengan Soolook kerana mungkin terikut dengan sebutan orang-orang Brunei. Persoalannya mengapa masyarakat Sulu tidak menamakan Sulug pada bangsa mereka?

Sulug hanya disebut sebagai Sug sahaja kerana kebiasaan membuang “L” di tengah perkataan. Samada Sulug atau Sug ia membawa makna yang sama iaitu “Aliran Arus” (Current) pada laut mahu pun sungai. Ini bermakna Sug atau pun Sulug adalah makna kepada sifat aliran air yang bergerak menyusur gugusan kepulauan. Oleh kerana bangsa yang menghuni kepulauan Sulu itu menjadikan laut sebagai tempat mencari makan samada sebagai nelayan, berdagang merentas benua mahu pun sebagai tentera upahan yang menjaga laut hinggakan penduduk kepulauan ini digelar bangsa Arus laut sebagai identiti mereka. Secara mudah gelaran kepada orang kepulauan ini dapatlah diringkaskan seperti berikut,

  • Sulug: Bermaksud arus pada laut atau sungai (Current).
  • Sug: Ringkasan pada gelaran Sulug kerana kebiasaan lidah mereka membuang L di tengah perkataan.
  • Tausug: Nama terkini bangsa Sulug dari gabungan dua perkataan iaitu Tau (Orang) dan Sug (Arus). Bila Tau dan Sug digabungkan ia akan menjadi nama khusus iaitu Bangsa Tausug, bermaksud bangsa pelayar di kepulauan Sulu yang menjadikan laut sebagai lebuh raya perhubungan dengan dunia luar.
  • Suluk @ Solok: Salah sebutan bagi perkataan Sulug oleh orang Melayu, iaitu sebutan 'G' berbunyi 'K'.
  • Solot: Salah sebut bagi Sulug oleh orang-orang Jawa-Majapahit (1293-1500) sebagaimana yang tertera dalam Negarakertagama.

Di Nusantara, Tausug sejak abad ke-14 dikenali oleh bangsa-bangsa lain dengan gelaran Suluk atau Solok. Sebagai contoh kaum Visaya (Luzon-Visaya) dan Iranun-Maguindanao serta sub-etnik mereka di Mindanao rata-rata memanggil Tausug dengan panggilan Sulug. Manakala di Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo, Tausug dipanggil Suluk atau Solok yang kemungkinan besar panggilan tersebut sudah bermula ketika zaman Srivijaya lagi.


LATAR BELAKANG BAHASA SUG DAN PENUTURNYA

Tausug menutur satu bahasa yang menjadi linguafranca di kepulauan Sulu ketika dulu iaitu Bahasa Sug dan sehingga hari ini masih menjadi bahasa utama di kepulauan Sulu sekali pun terpaksa berada di bawah tekanan pentadbiran kerajaan Filipina yang menjadikan bahasa Tagalog sebagai bahasa rasmi. Bahasa Sug masih mengekalkan bahasa induk kepulauan Sulu yang asal yang disebut sebagai bahasa Buranun (Bangsa Gunung) atau pun bahasa pedalaman dan pergunungan. Bahasa lain juga turut memperkayakan Bahasa Sug hari ini antaranya seperti Sanskrit, Melayu, Arab, China, Inggeris dan lain-lain.

Di kepulauan Sulu terdapat banyak kaum atau etnik yang walau pun mempunyai bahasa etnik mereka sendiri namun mereka tetap menutur Bahasa Sug sebagai bahasa perantara. Antara kaum kepulauan Sulu selain Buranun yang menutur Bahasa Sug ialah,

  • Samal Balangingi dan Samal Pala'o (Badjau): Biasanya Balangingi adalah penguasa laut manakala Pala'o (Paraho @ bangsa berumah atas perahu) sebagai pekerja buruh.
  • Yakan: Satu kaum terbesar di Pulau Basilan.
  • Kalibugan: Kaum yang duduk di Semenanjung Zamboanga, kaum ini menurut pengkaji adalah berasal dari kaum Suba'anun (kaum Dayak Sungai) yang telah diislamkan pada awalnya oleh Tausug. Suba'anun pula adalah sub-etnik dari Dayak Laut Iranun yang selalu menyertai ekspedisi maritim bersama Balangingi di seluruh laut Asia Tenggara ketika dulu.
  • Jamamapun (Kagayan @ Kagayanun): Menetap di Laut Sulu di satu pulau kecil yang dinamakan Cagayan de Sulu.
  • Tidung @ Tirun: Menetap di kawasan Timur pulau Borneo yang kemungkinan besar mempunyai pertalian terdekat dengan Dayak Laut Iranun di Mindanao yang kemungkinan juga adalah keluarga terdekat dengan Dayak Ida'an dan Dayak Murud @ Murut di Borneo Utara. Sehingga hari ini sebahagian golongan tua kaum Tidung di Kalimantan Timur sehingga ke Tawau, Borneo Utara (Sabah) masih fasih menutur Bahasa Sug yang mereka panggil sebagai bahasa Suluk.
  • Tagbanua @ Tambanoa: Suku kaum Dayak yang menetap di sepanjang sungai Sugut sehingga ke kaki gunung Kinabalu yang kemungkinan adalah kaum induk kepada kaum Dusun, Lotud dan kaum Sungei atau Laum Suba' hari ini.

Dalam catatan Najeeb Saleeby (History of Sulu) dan tulisan Cesar Adib Majul (Muslim in the Philippines) menunjukkan etnik Dampuan (Champan @ Champa) dan Melayu Banjar adalah sebahagian dari rakyat Kesultanan Sulu maka sudah tentu mereka juga menggunakan Bahasa Sug selain bahasa Melayu. Terbukti sehingga hari ini lidah “Banjar” yang menyebut “R” menjadi “G” masih digunakan dalam Bahasa Sug, contohnya, Bagu (Baru), Layag (Layar), Dapug (Dapur @ dibakar), Niyug (Nyiur), Baga (Bara), Bugas (Beras), Gimba (Rimba), Bugat (Berat), Suga (Suria), Bagat (Barat), Paga-paga (Para-para), Gatus (Ratus), dan lain-lain.

Melihat kepada susunan suku-suku kaum yang dinyatakan di atas maka tidak hairanlah mengapa dikatakan bahawa sekali pun mereka mempunyai bahasa dan budaya berbeza dan selagi masih dibawah kekuasaan Kesultanan Sulu, serta menggunakan Bahasa Sug sebagai bahasa perantara maka mereka masih dinamakan sebagai BANGSA TAUSUG atau bangsa Sulug. Hari ini sempena kemunculan semula kedaulatan Kesultana Sulu, nama Tausug telah dijadikan sebagai kewarganegaraan Sulu yang baru sempena mengingati sejarah kesatuan dan kekuatan kaum-kaum Sulu lain membela Kesultanan Sulu ketika dulu.


ANTARA SU'LUG DAN SUG-SUG

Sulug mempunyai kesamaan dengan perkatan lain yang sinonim iaitu Su'lug dan Sug-sug sebagai kesesuaian dengan budaya mereka yang menetap di negeri kepulauan.

  • Su'lug: Membawa pengertian secara bahasa iaitu 'rentetan atau proses memakai sesuatu sehingga sempurna menjadi pakaian pada badan', secara istilah bermaksud 'memakai', contoh ayat seperti 'nag su'lug badju' (Memakai baju), 'nag su'lug ilmu' (memakai ilmu kebatinan). Pakai dalam bahasa Melayu sama sebutan dan maknanya dengan pakai dalam Bahasa Sug. Yang berbeza dengan Bahasa Melayu, Bahasa Sug kaya dengan sebutan seperti mengasingkan pakai, memakai dan pakaian. Pakai disebut iyusal, memakai disebut su'lug @ siyu'lug, pakaian disebut tamungun. Walaubagaimana pun ia bergantung kepada penggunaan ayat kerana Bahasa Sug masih menggunakan pamakai (i.e. pakaian yang dikenakan pada tubuh), namakai (i.e. pakaian yang sedang dipakai), piyakai (i.e. dipakai atau diguna).
  • Sug-sug: Bermaksud menelusuri akar keturunan atau dalam Bahasa Arab disebut Silsilah (Salsilah). Seorang tua yang mengingatkan anak cucunya dari mana asal keturunan mereka dengan penceritaan nasab secara tertib satu persatu dan teliti, adalah budaya dalam tradisi lisan maka ia disebut sebagai melakukan Sug-sug. Seseorang yang sedang mengamalkan sesuatu ilmu kebatinan (jampi serapah @ rukyah - membaca ayat satu persatu) juga dipanggil nag sug-sug ilmu'.


KESIMPULAN MAKNA SULUG

Dari keterangan di atas menunjukkan bahawa makna Sulug itu sebenarnya ialah “menelusuri jalan” ke satu-satu tujuan tertentu yang boleh dikiaskan kepada apa-apa keadaan yang melibatkan perjalanan, pelayaran, penerokaan, pengembaraan dan sebagainya. Sebagai satu proses perjalanan menelusuri laut sehingga sampai ke pulau-pulau dan tanah besar di mana-mana sahaja sebagaimana pekerjaan bangsa Sulug sejak sekian lama. Maka satu kemungkinan yang tidak dapat disangkal kebenarannya bahawa itulah yang menyebabkan mereka digelar BANGSA SULUG yakni bangsa penelusur atau peneroka laut sehingga memungkinkan mereka berjaya mengelilingi glob beribu tahun yang lalu.

Untuk menjadi penelusur atau peneroka laut ia memerlukan keberanian dan kekuatan semangat yang luar biasa. Maka sebab itu Sulug bukan sahaja perlu menjadi seorang pelayar yang handal malah perlu mahir dengan ilmu-ilmu “alat” lain yang boleh membantunya sampai ke destinasi dengan selamat. Makna SUG dalam budaya Tausug di kepulauan Sulu mempunyai makna sehingga ia menjadi satu istilah keberanian yang disebut U-SUG (Jantan @ Perkasa), I-SUG(Berani yakni tiada istilah 'takut' dalam kamus hidupnya), KU-SUG (Kekuatan). Istilah Usug, Isug dan Kusug telah dijadikan bulansang (kata-kata perangsang yang dipaku ke dalam hati dan perasaan) oleh Tausug untuk kekal sebagai penguasa laut samada pembela atau pemusnah.



Notakaki:

[01] Nagpatural (Bahasa Sug) bermaksud merelakan diri sebagai pak turut.
[02] Islam Di Filipina, Cesar Adib Majul dari translasi Muslim in the Philippines (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988).
[03] Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor Diraja Spanyol telah sampai ke Pulau Cebu pada 1565 dari New Spain (Maxico). Rujuk: www.britannica.com/ebi/article-9047633/.
[04] A Nation Under Endless Tyranny, Salah Jubair, dalam bab I - Once Upon A Time, buku edisi kedua.
[05] Notes on some controversial issues in Brunei history, Robert Nicholl, Archipel, Année 1980, Volume 19, Numéro 19, pp. 25-42.
Ruj: www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_19_1_1524
[06] Ruy López de Villalobos, bertolak dari Spanyol pada tahun 1541 dan mula menamakan Sulu Utara dengan Filipinas pada 1543.
Ruj: www.etymonline.com/index.php?search=Filipino&searchmode=none.
[07] Answers.com - What is the difference between peninsulares and insulares.
wiki.answers.comwiki.answers.com/Q/What_is_the_difference_between_peninsulares_and_insulares
#ixzz1IRb7rs8L
[08] Causes of Conflict between Christians and Muslims in the Philippines, Mr. Victor.
www.iiipeace.org/Philippines%20Causes%20of%20Conflict%20between%20Christians%20and%20Muslims.htm
[09] http://babynamesworld.parentsconnect.com/meaning_of_Indio.html
[10] Mabuhay ang Maharlika, Rodel Rodis dalam INQUIRER.net.
Ruj: www.proyectos-saluda.org/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=1992

Ringkasan Perjanjian Wilayah Autonomi Bangsamoro



Malaysia perantara hingga termeterai perjanjian damai Filipina, MILF

Manila: Tepat jam 3 petang semalam, Dewan Rizal di Istana Malacanang menjadi saksi termeterinya perjanjian yang mengakhiri pergolakan lebih empat dekad di selatan Filipina. 

Dokumen kerangka perjanjian damai itu ditandatangani Pengerusi Panel Rundingan Kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen, dan Pengerusi Panel Rundingan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher Iqbal dengan disaksikan perantara Malaysia, Tengku Datuk Ab Ghafar Tengku Mohamed. 
Tepukan gemuruh
Majlis yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III, itu gemuruh dengan tepukan serta sorakan lebih 1,000 hadirin yang memenuhi dewan terbesar di istana berkenaan.
Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/


berita harian

Najib: Kita berjaya jadi 'broker yang jujur'

  • R Ravichandran
  • 11:34AM Okt 16 2012

Kepimpinan Malaysia terserlah di rantau ini kerana negara dapat menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan terutama bagi Bangsamoro dan kawasan selatan Filipina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam, susulan peranan fasilitator Malaysia sejak 2001 yang berjaya membuka lembaran baru bagi masa depan Bangsamoro di selatan Filipina, yang turut memberi kesan lebih positif dalam konteks hubungan dua hala Kuala Lumpur-Manila.

Namun Najib berkata bukanlah perkara mudah untuk sesebuah negara itu menjadi pemudah cara dalam konflik sebegini panjang dan Malaysia berjaya dalam hal ini sehingga mendapat pujian dan penghargaan tinggi dari Presiden Benigno Aquino III dan kerajaan Filipina.

"Kalau dua orang bergaduh biasanya tak boleh duduk semeja, jika ada dua pihak terbabit dalam konflik, mereka tidak boleh duduk keliling meja untuk mula bercakap dan berunding... melainkan ada pihak ketiga untuk memudahkan perkara itu. Pihak ketiga ini bukan sebarangan, tidak boleh sebarangan orang dan mesti berwibawa.

"Menggunakan istilah Aquino (Presiden Benigno Aquino III), kita berjaya menjadi '
honest broker' (broker yang jujur) antara kerajaan Filipina dan MILF sehingga kerangka perjanjian yang ditandatangani di Malacanang jadi realiti," katanya berucap di Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia, di Manila, malam tadi.
- Bernama


Kepimpinan Malaysia terserlah di rantau ini, kata Najib

MANILA 16 Okt. - Kepimpinan Malaysia terserlah di rantau ini kerana negara dapat menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan terutama bagi Bangsamoro dan kawasan selatan Filipina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata, Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) semalam, susulan peranan fasilitator Malaysia sejak 2001 yang berjaya membuka lembaran baru bagi masa depan Bangsamoro di selatan Filipina, yang turut memberi kesan lebih positif dalam konteks hubungan dua hala Kuala Lumpur-Manila.
Namun Najib berkata, bukanlah perkara mudah untuk sesebuah negara itu menjadi pemudah cara dalam konflik sebegini panjang dan Malaysia berjaya dalam hal ini sehingga mendapat pujian dan penghargaan tinggi dari Presiden Benigno Aquino III dan kerajaan Filipina.
"Kalau dua orang bergaduh biasanya tak boleh duduk semeja, jika ada dua pihak terbabit dalam konflik, mereka tidak boleh duduk keliling meja untuk mula bercakap dan berunding...melainkan ada pihak ketiga untuk memudahkan perkara itu. Pihak ketiga ini bukan sebarangan, tidak boleh sebarangan orang dan mesti berwibawa.
"Menggunakan istilah Aquino (Presiden Benigno Aquino III), kita berjaya menjadi "honest broker" (broker yang jujur) antara kerajaan Filipina dan MILF sehingga kerangka perjanjian yang ditandatangani di Malacanang jadi realiti," katanya berucap di Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia, di sini, malam tadi. - BERNAMA






Bangsamoro: Peranan Malaysia masih diperlukan, kata Najib

MANILA 16 Okt. - Peranan Malaysia masih diperlukan dalam beberapa aspek dari segi penentuan masa depan dan perjalanan Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang ditandatangani di sini semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dan apa juga persefahaman dalam rangka kerja itu antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang hendak diterjemahkan nanti memerlukan pemantauan rapi.
Katanya perjanjian kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dulu gagal kerana tiada pasukan pemantau dari segi pelaksanaan perjanjian yang dibuat antara kedua-dua pihak.
"Jadi pada kali ini dengan adanya perjanjian dengan MILF, amat penting ada pihak ketiga untuk memantau perjanjian ini yang diyakini kedua-dua pihak.
Nampaknya kedua-dua pihak begitu yakin dengan Malaysia dan peranan kita.
"Jadi kita perlu teruskan peranan ini dan bentuknya...butirannya kita akan adakan perbincangan berterusan dengan kedua-dua pihak dan kita akan cuba tentukan satu struktur dan kaedah yang sesuai untuk kita lanjutkan peranan kita sehingga satu bentuk kerajaan baru itu menjadi kenyataan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, malam tadi. - BERNAMA
MANILA 15 Okt. - Proses penubuhan entiti baru wilayah autonomi Bangsamoro secara rasmi bermula hari ini apabila Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro dimeterai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Istana Malacanang di sini tepat pukul 3 petang ini.
Detik-detik penuh bersejarah itu yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Benigno Aquino III, merupakan tanda persetujuan kedua-dua pihak untuk menamatkan konflik berdarah lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina itu yang telah meragut lebih 120,000 nyawa.
Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro setebal 13 muka surat itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu mengenai penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.
Mengenai penubuhan entiti baru itu, Bangsamoro akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan ia diharap menjadi realiti menjelang 2016, iaitu sebelum penggal pemerintahan Aquino III berakhir.
Berkaitan kuasa kedua-dua pihak, perjanjian itu antara lain mengakui keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah itu.
Turut menyaksikan upacara itu bagi pihak MILF mewakili penduduk wilayah selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam adalah pengerusinya, Murad Ebrahim.
Perasaan gembira Murad bersama sekumpulan pemimpin dan perwakilan lain MILF yang turut dijemput pada upacara di dalam Dewan Rizal di istana itu dengan sebahagiannya menitiskan air mata kesyukuran, pasti dikongsi penduduk wilayah baru Bangsamoro yang mengimpikan kehidupan lebih selamat, sejahtera dan terbela.
Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Panel Perundingan MILF, Mohagher Iqbal dan rakan sejawatannya daripada pihak kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen. Ia turut ditandatangani sebagai saksi perjanjian oleh fasilitator perundingan dari Malaysia, Datuk Tengku Ab. Ghafar Tengku Mohamed.
Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet Filipina dan Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu dan Penasihat Presiden bagi Proses Perdamaian, Teresita Quintos-Deles.
Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu selatan Filipina khususnya menawarkan latihan dan pendidikan supaya masa depan anak-anak di Bangsamoro lebih terjamin.
Beliau memberi jaminan kepada keseluruhan rakyat Filipina bahawa Malaysia bersama-sama negara ini ke arah merealisasikan pelaksanaan perjanjian yang dimeterai hari ini.
“Hari ini, sesuatu telah berubah. Hari ini kita akan meninggalkan keganasan dan beralih ke arah masa depan yang baru dan lebih cerah," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh kira-kira 500 tetamu yang hadir termasuk diplomat asing.
Presiden Aquino III dalam ucapannya selepas itu pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan usaha perundingan sehingga termeterainya perjanjian tersebut termasuk kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi komitmen tinggi. - UTUSAN


Kosmo
MANILA - Ratusan penduduk bersorak gembira apabila pemerintah Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan yang berharap akan menamatkan konflik selama 40 tahun di wilayah selatan negara itu.
Penduduk itu bersorak di luar Istana Malacanang semasa perjanjian tersebut ditandatangani.
Ribuan anggota MILF mengangkat senjata api di sebuah kem di wilayah Maguindanao 960 kilometer dari sini sebagai tanda menghormati majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Beberapa wanita yang memakai tudung berwarna-warni menangis apabila Pengerusi MILF, Murad Ibrahim menggambarkan perjuangan selama 40 tahun itu sebagai penghargaan terhadap para pejuang yang terbunuh.
"Kami mengabdikan rangka perjanjian ini sebagai penghargaan kepada para pemimpin kami yang terbunuh. Mereka mengorbankan nyawa untuk Allah dan Bangsamoro," kata Murad.
Perjanjian itu ditandatangani antara perunding damai pemerintah, Marvic Leonen dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.
Sementara itu, seorang pensyarah kajian Islam, Profesor Julkipli Wadi dari Universiti Filipina berkata, penduduk Moro gembira dengan perjanjian itu.
"Namun, kami perlu peka dengan cabaran pada masa depan," tambahnya.
Upacara menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Benigno Aquino III.
Perang di selatan Filipina meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dan pelbagai perjanjian damai yang dicapai sebelum ini, sama ada tidak membuahkan hasil atau tidak dapat dilaksanakan.
Perjanjian berkenaan dianggap sebagai 'perjanjian induk' yang menggariskan rangka tindakan ke arah pembentukan entiti baharu bagi Bangsamoro untuk menggantikan Wilayah Autonomi yang sedia ada di wilayah Islam Mindanao.
Perjanjian itu juga akan membuka jalan kepada usaha membangunkan semula Mindanao, yang sejak empat dekad lepas, mengalami pelbagai kerugian termasuk daripada segi prasarana, pelaburan dan masa depan.
Menurut laporan Bernama, perjanjian itu dilihat mampu mengurangkan dengan ketara kegiatan keganasan yang mencemari selatan Filipina sejak beberapa dekad lepas sekali gus mewujudkan suasana lebih kondusif bagi pelaburan dan pembangunan, di samping menyumbang kepada keselamatan menyeluruh di Filipina, termasuk di wilayah berkenaan.
Perjanjian itu antara lain, menyebut bahawa Bangsamoro akan diwujudkan untuk menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.
Ia menyatakan bahawa Bangsamoro akan mendapat bahagian yang adil dan saksama daripada hasil yang dijana melalui kerja cari gali, pembangunan atau penggunaan sumber asli yang diperoleh dari semua kawasan/wilayah, tanah atau air yang diliputi dan terletak di bawah bidang kuasa Bangsamoro, sejajar dengan formula yang dipersetujui kedua-dua pihak. - Agensi


NASIHAT KHAS BUAT AHLI-AHLI TARIQAT



NASIHAT KHAS BUAT AHLI-AHLI TARIQAT~

Oleh : Allahyarham Dato Paduka Seri Setia Professor Dr. Awang Hj. Mahmud Saedon B. Awang Othman
Mantan Pakar Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam
Mantan Naib Canselor Universiti Brunei Darul Salam
Mantan Professor Universiti Islam Antarabangsa
Mantan Dekan Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Pengajaran ilmu tasawuf dan ilmu tariqat di alam Melayu ini telah lama bertapak dan tersebar luas, ianya mendapat perhatian daripada masyarakat Islam rantau ini, ianya menarik minat berbagai golongan seperti golongan istana, ulama’, bangsawan mahupun rakyat jelata. Pergeseran di antara ulama’ tasawuf dengan ulama’ lain khususnya fuqaha’ adalah merupakan suatu lumrah dan sentiasa berlaku, bukan sahaja di rantau ini malahan perselisihan pendapat golongan-golongan ini berlaku di seluruh alam Islami.

Hingga hari ini masih terdapat golongan-golongan yang menentang perjalanan tareqat di rantau ini, dalam masa yang sama tidak kurang pula yang berusaha dengan giatnya mengembangkan tariqat. Penentangan ini adalah lahir dari beberapa faktor. Di antaranya ialah kerana kejahilan tentang tariqat, atau didorong oleh perasaan cemburu atau kerana lahirnya beberapa amalan dan tradisi yang bertentangan dengan syariat. Hal ini boleh berlaku kerana wujudnya orang-orang yang jahil mengaku sebagai pemimpin tariqat, berlagak sebagai “syeikh mursyid”, malahan ada di antara mereka yang mendakwa telah sampai kepada martabat wali dan mendakwa memiliki keramat-keramat yang zahir walaupun pada hakikatnya ini adalah suatu fitnah terhadap perjalanan tariqat dan yang lahir itu pada hakikatnya bukan keramat tetapi hal-hal yang mencarik adat yang lain seperti sihir, istidraj dan juga amalan-amalan kebatinan dengan menggunakan pertolongan jin dan syaitan. Seperti yang kita maklumi bahawa bukan semua yang mencarik adat ini adalah keramat atau mukjizat.

Sebagai natijah, tariqat telah dicemarkan oleh golongan-golongan ini, diperkecilkan oleh golongan-golongan sememangnya tidak menyukai perjalanan tariqat dan ditentang oleh mereka-mereka yang jahil atau degil terhadap kebenaran tariqat dan tidak kurang pula wujudnya golongan yang menjadikan tariqat sebagai pintu rezeki yang menguntungkan. Ini bermakna perjalanan tariqat yang sebenar yang suci murni telah dirosakkan. Keunggulan perjalanannya telah dikotorkan. Sikap menentang kebenaran perjalanan tariqat hendaklah dihapuskan, penyelewengan yang dilakukan oleh petualang-petualang dan orang-orang yang mengambil kesempatan dari perjalanan tariqat hendaklah didedahkan dan dicegah jangan sampai terus merosakkan tariqat, kejahilan tentang tariqat hendaklah dibanteras.

Golongan yang menjalankan pentadbiran Agama Islam hendaklah mengetahui tentang ilmu tasawuf dan tariqat ini supaya segala keputusan dan pendapat mereka tidak bertentangan dengan kebenaran dan menampakkan kejahilan mereka. Dengan cara demikian, kebenaran, kesucian dan keunggulan tariqat dapat dipertahankan, supaya ianya benar-benar utuh dan kuat sebagai jalan menuju Allah. Malahan perjalan tariqat hendaklah digalakkan, disokong dan didukung supaya masyarakat Islam di rantau ini dapat berjalan menuju Allah S.W.T dan bermusyahadah, muraqabah, riadhah dan tarbiah roh, akal, hati serta jiwa dengan cara yang sempurna dapat diwujudkan melalui pimpinan dan bimbingan ulama’ Amilin Arifin Mursyidin yang menjadi pewaris Nabi-Nabi a.s. 

Ilmu Laduni.



Tajuk: Ilmu Laduni.
Penulis: Abdul Hamid Muhammad al-Ghazali.
Penerbit: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kandungan

Kata Pengantar

Garis Kasar Kandungan

Pendahuluan

1. Keutamaan Ilmu dan Ilmu yang Paling Utama

2. Keterangan tentang Jiwa dan Roh Insani

3. Jenis-Jenis Ilmu dan Bahagiannya

4. Kedudukan Ilmu Tasawuf antara Semua Ilmu

5. Cara-Cara Mendapatkan Ilmu

6. Tingkat-Tingkat Jiwa dalam Mendapatkan Ilmu

7. Hakikat Ilmu Laduni dan Cara-Cara Mencapainya

Sumber Rujukan

Indeks

sumber:thereadinggroup

Manhalush Shafi Syeikh Daud al-Fathani: Membicarakan Rumus-Rumus Shufi Dan Istilah-Istilah Tasawuf.



Tajuk: Manhalush Shafi Syeikh Daud al-Fathani: Membicarakan Rumus-Rumus Shufi Dan Istilah-Istilah Tasawuf.
Penulis: Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah
Penerbit: Khazanah Fathaniyah.

Kandungan

Muqaddimah

Transliterasi Arab Ke Rumi! Dan Keterangan Tanda

Bahagian Pertama

Maklumat Penyelidikan Kitab Manhalush Shafi

Riwayat Hidup Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin al-Fathani

Riwayat Hidup Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathan

Bahagian Kedua

Transliterasi Kitab Manhalush Shafi

Tujuh Martabat

Berjalan Kepada Allah

Istilah-istilah Shufi

Khatimah

Mauizah

Bahagian Ketiga

Transliterasi Kitab Tasawuf Koleksi Pusat Manuskrip Melayu

Faedah Pada Menyatakan Martabat Tauhid

Masalah

Bahagian Keempat

Transliterasi Bahagian Kitab Tuhfatur Raghibin

Murtad

Bahagian Kelima

Cetakan Daripada Bahagian Manuskrip Tuhfatur Raghibin (Hendaklah baca dari kanan ke kiri dari halaman 124 hingga ke halaman 109) Sebaiknya baca dari kitab Manhalush Shafi

Cetakan Manuskrip Ilmu Tasawuf MS 666 (Hendaklah baca dari kanan ke kiri dari halaman 195 hingga halaman 127) Sebaiknya baca dari kitabManhalush Shafi.

Cetakan Manuskrip Manhalush Shafi (Hendaklah baca dari kanan ke kiri dari halaman 221 hingga halaman 197)

sumber:thereadingroup

Gerakan Islam dan Kebijaksanaan AKP di Turki



Setelah tumbangnya Iraq akibat tindakan Amerika Syarikat pada tahun 2003 dan lobi Israel yang terus menerus mengkhianati Iran atas alasan membangunkan loji nuklear, menjadikan Turki begitu istimewa dalam kalangan penganalisis politik antarabangsa, setelah bekas empayar Uthmaniyyah terpaksa tunduk kepada sekularisme dalam Perang Salib terakhir pada tahun 1924.
Bila berjaya memaksa Sultan Abdul Hamid II menyerah, Mustapha Kemal Pasha yang memimpin Gerakan Muda Turki (Young Turk Movement), telah memaksakan dasar pembaratan dan bahasa Arab dihapuskan dari sistem pendidikan. Bahasa Latin dijadikan sebagai bahasa utama manakala wanita Islam tidak dibenarkan jilbab, madrasah ditutup, aliran tarekat diharamkan, al-Qur’an dan sholat tidak boleh menggunakan bahasa Arab, dan politik agama dihapuskan.
Mustapha Kemal Pasha yang juga dikenali sebagai Kemal Attartuk melancarkan pelbagai bentuk serangan kepada kumpulan agama dengan menuduh mereka adalah anti pembaharuan. Bahkan, Kemal Attartuk sanggup menghancurkan apa sahaja simbol yang berhubungan dengan Islam termasuk memusnahkan sebuah wilayah bernama Konya kerana membenarkan pemakaian jilbab dan mengumandangkan seruan azan setiap kali tibanya waktu sholat, termasuk memenjarakan beberapa orang tokoh pembaharu Islam, misalnya Mohamad Said Nursi dan Ziya Golkap.
Di bawah prinsip sekularisme, Kemal Attartuk berusaha menjadikan Turki sebagai sebuah negara republik yang memiliki nilai-nilai kebebasan dan demokrasi Barat. Dalam pandangan Attartuk, kehadiran Islam dan kemasukan nilai-nilai yang diasaskan oleh Dinasti Uthmaniah sebagai punca kemunduran Turki dan setiap usaha untuk menghidupkan kembali spiritual Islam sebagai ancaman. Mereka yang terbabit dalam gerakan tersebut dipanggil Irtica, yakni kelompok reaksioner atau fundamentalis.
Undang Syariah dihapuskan pada tahun 1925 dan digantikan dengan Undang-Undang Sivil Swiss dan Undang-Undang Jenayah Itali. Bagaimanapun, amalan agama tidak diharamkan terus, Kemal Attartuk menubuhkan direktorat agama dan diletakkan secara langsung di bawah kawalan presiden. Kesan daripada kedudukan tersebut, agama telah dimonopoli untuk disesuaikan dengan kehendak sekularisasi di mana lebih 60,000 imam dan khatib sholat Jumaat dikawal ketat.
Kemalisme berlangsung dalam tempoh selama 30 tahun (1920-1950), sehinggalah pada tahun 1960 berlaku kudeta dan setahun kemudian terbentuk sebuah perlembagaan yang menegaskan “semua produk hukum yang berlaku di Turki tidak boleh bertentangan dengan pemikiran Kemalisme. Evolusi pemikiran Kemalisme mencapai puncaknya ketika tentera sekali lagi melakukan kudeta pada 1980. Dalam perlembagaan baru 1982, Kemalisme menjadi ideologi rasmi Republik Turki. Pada evolusi ketiga ini, ideologi Kemalisme menjadi prinsip kewarganegaraan dan falsafah hegemoni Republik Turki moden. …ideology ini bermetamorfosis dari awalnya ideologi politik kenegaraan menjadi falsafah dan model keperibadian rakyat Turki. Sekularisme kini bertransformasi menjadi “agama wajib” bagi seluruh rakyat Turki. Model interpretasi inilah yang ditentang keras oleh AKP.” (hal. 61-62)
Larangan pemakaian jilbab merupakan simbol pertarungan antara kelompok secular dan Islam pasca-kudeta 1980. Sejak diperundangkan secara rasmi pada 1982, Torgut Ozal yang memimpin Parti Ibu Pertiwi (ANAP) memberikan kebenaran kepada para mahasiswi memakai pakaian muslimah, tetapi kemudiannya diveto oleh Presiden Kenan Evren atas alasan kebenaran tersebut adalah bertentangan dengan prinsip reformasi Kemalisme. Bagaimanapun, pengharaman tersebut dicabar di mahkamah dan dalam keputusannya, mahkamah mentafsirkan “had berpelembagaan kebebasan beragama dengan mengizinkan campur tangan agama melampaui kehidupan individu” adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip sekularisme.” (hal. 63)
Selepas kemenangan parti Refah pada akhir tahun 1990, Profesor Necmetin Erbakan menarik kesemua larangan tersebut dan menyusun semula penggunaan simbol agama, akhirnya telah menimbulkan kemarahan pihak tentera. Pada tahun 1997, tentera melakukan kudeta dan membubarkan parti Refah yang dianggap bersifat fundamentalis. Berikutnya, Parti Fezilet dibubarkan kerana dianggap menyamai Parti Refah. Pada tahun 2007, Tayyib Erdogan meluluskan pindaan menarik larangan berjilbab. Pada tahun 2010, kemenangan AKP dalam satu referendum telah membolehkan jilbab dipakai secara bebas di khalayak awam, termasuk university dan tempat terbuka.
Recep Tayyib Erdogan, pada tahun 1997 terpaksa dipenjarakan selama 10 bulan kerana membaca puisi keagamaan karya Ziya Golkap dengan tuduhan “memprovokasi tindakan pemisahan, memecahbelahkan rakyat Turki menjadi dua kelompok, yakni orang beriman dan orang kafir.” Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu dilihat sebagai hukuman politik.
Tayyib Erdogan yang berasal dari keluarga miskin dari desa Kasimpasa, Istanbul tetapi taat beragama. Akibat pernah bercakap “kotor”,Tayyib pernah dihukum oleh ayahnya, iaitu digantung di atap loteng. Kekerasan hukuman tersebut hanya dapat dilembutkan apabila bersedia untuk “mencium sepatu ayah” dan bersumpah tidak akan mengulangi kesalahan yang sama (hal. 67).
Ketika berusia 15 tahun, Erdogan memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai sayap remaja gerakan Milli Gorus yang diasaskan oleh Profesor Necmetin Erbakan. Kemasukan dalam politik pada tahun 1976, ialah merasakan berlakunya penindasan setelah Adnan Menderes dihukum gantung. Ketika itu, Erdogan adalah Ketua Pemuda Parti Keselamatan Nasional (MSP) cawangan Beyoglu. Setahun kemudian, dilantik mengetuai sayap pemuda di Istanbul dan ini menjadi titik permulaan baharu dalam hubungannya dengan jaringan pertubuhan Islam yang lebih luas, termasuk Ikhwanul Muslimin.
Ketika dipilih menjadi Datuk Bandar Istanbul atas tiket Parti Refah, Erbakan menggelarkan Erdogan sebagai Muhammad al-Fatih, tokoh yang berjaya menakluki Istanbul (Konstantinapol) pada tahun 1453. Apabila keluar dari Parti Refah, Erdogan menubuhkan parti AKP (Adalet ve Kalkinma Partisi—Parti Keadilan dan Pembangunan).
Dalam pilihan raya 2002, AKP menang dengan 34 peratus, meningkat kepada 46 peratus tahun 2007 dan seterusnya 50 peratus pada tahun 2011. Akhir September 2012, Erdogan dipilih semula sebagai pemimpin AKP untuk penggal selanjutnya bagi membolehkan beliau bertanding semula pilihan raya pada tahun 2015. Kemenangan itu dlihat sebagai kejayaan besar gerakan Islam di Turki yang diselubungi sekularisme sehingga mencetuskan perhatian besar masyarakat antarabangsa.
Turki mempunyai penduduk hampir 80 juta orang dan 99.8 peratus adalah beragama Islam. Hampir 27 peratus penduduknya adalah kumpulan umur bawah 14 tahun. Majoriti penganut Islam ialah dari kelompok Sunni dan kelompok Syiah dari aliran Alevi (Alawiyah) adalah kelompok minoriti dan menjadi pendokong kepada sekularisme.
Menilai mengenai sumbangan pengaruh Attartuk, Serif Merdin dalam Islam in Mass Society: Harmony versus Polarization in Politics in Thrid Turkish Republic, modernisme Kemal tidak menawarkan budaya baru Turki kecuali hanyalah pemaksaan model Barat. Walhal, “sekularisme Kemal mengalami kegagalan kerana tidak mampu menghadirkan pembentukan espitemologis dan budaya yang kukuh sebagaimana Islam.” (hal. 13).
Ahmad Dzakirin, sarjana lulusan Rajaratnam School of International Studies, Singapura telah berjaya melontarkan beberapa pertimbangan sejarah mengenai kebangkitan semula politik Islam di tengah-tengah kegagahan sekularisme Turki dalam buku terbaharunya dan versi Malaysia diberikan tajuk, Kebangkitan Gerakan Islam: Analisis Strategi dan Polisi AKP Turki Memenangi Pilihan Raya Umum.
Buku setebal 376 halaman ini dibahagikan kepada lapan bab penting, iaitu Gerakan Islam antara Erbakan dan Erdogan: Pendewasaan Gerakan Islam; Islam versus Kemalisme: Tafsiran Sekularisme; Menundukkan Tentera:Penjaga Ideologi Kemalisme; Strategi dan Dasar Politik Luar Negeri:Parameter Baru Politik Luar Negeri Turki; Erdogan Pahlawan Palestin dan Dunia Islam; Strategi dan Dasar Ekonomi AKP: Protek Ekonomi Islam; Strategi dan Dasar Sosial AKP: Semoga Allah Menolong Kita Berkhidmat Kepada Negara; dan, Republik Islam Turki: Model Demokrasi di Dunia Islam.
Sebagai pahlawan Palestin dan dunia Islam, Erdogan merupakan pemimpin paling popular dalam kalangan negara Arab dan menjadi seorang yang sangat berani untuk melakukan tindakan pengajaran kepada Israel kesan daripada tragedi kematian sembilan orang (lapan adalah rakyat Turki dan seorang rakyat Amerika Syarikat keturunan Turki) sukarelawan Flotila Pembebasan Gaza ke atas konvoi Mavi Marmara pada awal pagi 31 Mei 2010. Ekoran sikap biadab komando tentera laut Israel, Erdogan membalas tindakan itu dengan menarik dutanya ke Israel dan memohon penjelasan rasmi dari duta Israel di Ankara. Insiden itu akhirnya menyebabkan hubungan diplomati Turki-Israel terputus.
Ketika Hamas menang pilihan raya 2006, Erdogan menyambut kemenangan tersebut dengan mendesak masyarakat antarabangsa menerima “realiti Hamas menjadi sebahagian dalam penyelesaian konflik Palestin tanpa syarat. Pada hal, dalam masa yang sama, para pemimpin Arab cenderung bercabang dua dan tidak berani mengambil sikap tegas atas perubahan politk domestik di Palestin. Tiba-tiba mereka memilih jalan selamat dengan bertindak di bawah kerangka pensyaratan AS dan Barat dengan menekan Hamas.
“Ketika tidak ada tanda-tanda positif political engangement (penerimaan politik) Barat atas Hamas, Erdogan dengan lantang mengkritik sikap hipokrit AS dan EU dalam berdemokrasi. Barat menolak Hamas, namun membuka diri dengan kemenangan parti sayap kanan, Likud dan sekutunya dengan Beitenu Yisrael, parti sayap kanan ekstrem yang perkauman dan antikemerdekaan Palestin.” (hal.198-199).
Israel menuduh Turki memainkan peranan “diplomasi sistematik” dengan menjarakkan dirinya dengan Tel Aviv manakala usahanya yang lain ialah mendesak penerimaan Turki dalam Kesatuan Erropah setelah syarat yang ditetapkan sudah dipenuhi. Kesatuan Eropah enggan menerima Turki sebagai ahli barunya disebabkan khuatir Turki akan muncul sebagai kuasa penting yang boleh menstabilkan politik Timur Tengah atas kedudukannya untuk menyingkirkan peranan Israel yang kian kacau dan “double standard.”
Turki pernah melarang Israel menyertai latihan tentera bersama Anatolian Eagle bersama NATO, protes terhadap serangan ganas Israel ke atas Gaza pada tahun 2008, larangan mengehadkan laluan terbang tentera Israel di ruang udara Turki dan tindakan walkout dalam sebuah forum di Davos. Erdogan turut menggelarkan Israel melakukan tindakan ganas apabila membunuh rakyat awam di Gaza dan melakukan kepungan penduduk Palestin. Mahkamah Sepanyol membuka kertas siasatan ke atas tujuh agen perisikan Mossad dalam kes pembunuhan pegawai tertinggi Hamas, Syeikh Shalah Shahadah bersama 14 orang awam pada bulan Julai 2002. Sepanyol juga menjadi penaja utama Turki dalam usahanya untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah. Bagaimanapun, pertuduhan tersebut dibatalkan atas tekanan Amerika Syarikat dan Israel.
Kejayaan AKP, dinilai sebagai pos-Islamisme atas beberapa faktor. Erdogan menerima konsep demokrasi, tetapi ia bukanlah berdasarkan fahaman sekularisme. Erdogan meneruskan dasar transformasinya dengan tidak mengaitkan AKP sebagai sebuah parti Islam, sebaliknya sebagai parti kanan tengah konservatif. Menurut Erdogan, “saya mencadangkan perlembagaan secular bagi Mesir. Jangan takut dengan sekularisme, kerana sekularisme tidak dimaksudkan sebagai musuh agama. Saya sendiri berharap rejim baru di Mesir secular. Saya juga berharap bahawa setelah pidato saya, pandangan rakyat Mesir atas sekularisme berubah.” (hal, 321-322).
Jadi tidaklah pelik apabila ada orang cuba memperkatakan sekularisme sebagai sesuatu yang buruk tidak diterima oleh rakyat Turki, kerana bagi mereka, sekularisme telah memberikan mereka kekuatan untuk muncul sebagai sebuah negara yang kuat dan kukuh di antara negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Sekularisme yang berlaku di Turki memberikan laluan baharu untuk Islam menembuskan nafasnya dalam konteks bernegara dan melaksanakan ekonomi terbuka, kerana empayar-empayar Islam sejak sekian lama telah berusaha menjadikan umat Islam tidak terbuka fikirannya. Yang lebih penting ialah hakikat keislaman dan keimanan seseorang itu tidak tercabar oleh laluan sekularisme yang menghalalkan apa sahaja atas kepentingan material,Turki sebenarnya sedang mengimbanginya tanpa membuang sekularisme.
Bagaimanapun, analisis pengarang, Ahmad Dzakirin dalam buku ini bukan sahaja dapat membuka dimensi baru dalam kaedah berpolitik dalam kontradiksi asas pemikiran, bahkan menjadi satu percubaan menarik untuk meneroka kehadiran politik dalam ruang publik agama. Inilah yang dikatakan sebagai dinamisme politik, yang seharusnya menawarkan pilihan-pilihan yang sesuai dengan spiritualisme, kerana kecerdikan spiritual itulah yang mampu mengatasi segala keburukan yang dikembangkan oleh ideologi dan fahaman tanpa menginstitusikan falsafah keimanan dan ketuhanan dalam tubuh negara.
Nama Buku : Kebangkitan Gerakan Islam: Analisis Strategi dan Polisi AKP Turki Memenangi Pilihan Raya Umum.
Nama Pengarang : Ahmad Dzakirin
Nama Penerbit : Alam Raya Enterprise Sdn. Bhd. 2012.
Jumlah Halaman : 383 (termasuk indeks dan bibliografi)
Harga : RM 25.00
Nama Pengulas : Kamarun KH

sumber:ummatanwasatan