ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Dunia Melayu menurut Sheikh Ahmad al-Fathani





HINGGA penghujung tahun 1880-an Masihi, belum dijumpai takrif tentang istilah Melayu dalam pelbagai aspek oleh putera dunia Melayu sendiri, kecuali hanya dibicarakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam banyak tempat yang secara terpisah.

Sebelum membicarakan pelbagai aspek peradaban dunia Melayu, penulis petik kembali kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani yang beliau tulis dalam bahasa Arab dan pernah diterjemah dan dimuat dalam buku Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1.Petikan itu ialah:
"Iaitu kesatuan semua bangsa Melayu, al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya'. Mereka adalah kelompokatawa segolongan besar manusia. Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia.
"Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina. Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah. Pakar/ ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa alam Melayu itu adalah sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.

"Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan "Jawah", iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana. Orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa.
"Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu. Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu.
"Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan. Mereka memiliki kehormatan yang sopan, menguasai pembaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.

"Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka."
Tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani asli yang diterjemahkan di atas adalah dalam bahasa Arab dan ditempatkan pada bahagian tepi karya beliau berjudul Tashil Nail al-Amani. Kitab ini masih diajar di beberapa tempat di dunia Melayu, mahupun di tempat-tempat lain di dunia Islam terutama di Mesir.
Dengan kalimat yang pendek tetapi menyentuh pelbagai aspek tentang Melayu tersebut di atas, bererti Sheikh al-Fathani telah memperkenalkan peradaban dan ketamadunan Melayu di peringkat antarabangsa sejak tahun 1300 H/1882 M, iaitu tahun beliau selesai menulis kitabTashil Nail al-Amani itu.
Perlu penulis sertakan penafsiran kalimat Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, dimulai dari kalimatnya, "...al-Malayuwiyah itu dibangsakan kepada Milayu, dengan baris di bawah (kasrah) huruf Mim, atau baris di atas (fathah) dan baris depan (dhammah) huruf Ya", takrif yang diberikan bererti menurut dialek Arab dibunyikan dengan perkataan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) sedangkan dalam dialek Melayu sendiri ialah "me" (Me-layu).
Tidak terdapat tulisan lanjut pendapat Sheikh Ahmad al-Fathani yang menyebut apakah perkataan Melayu itu dari bahasa Arab atau pun bahasa lainnya. Kemungkinan "mi" (Mi-layu) atau "ma" (Ma-layu) yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu adalah berasal dari perkataan Arab.

Dunia Melayu

dari aspek geografi dan kesuburannya
Sheikh Ahmad al-Fathani memastikan letak negeri Melayu dengan katanya, "Negeri Melayu itu terletak di antara negeri India dan Cina". Ini adalah gambaran bahawa letak dunia Melayu yang strategik kerana diapit oleh dua tanah besar dalam benua Asia, iaitu Cina dan India.

Ia diperjelaskan lagi dengan kalimat, "Pakar / ahli ilmu geografi mengibaratkan bahawa adalah alam Melayu itu sebahagian dari negeri-negeri India-Cina. Orang-orang Hijaz/Arab dan selain mereka menamakan Melayu dan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah itu dengan sebutan Jawah."
Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, "iaitu satu golongan manusia di satu pulau yang besar di sana" atau di dunia Melayu. Dari perkataan "Jawah" kemudiannya menjadi Jawi. Walaupun antara orang Melayu dengan orang Jawa adalah serumpun Melayu, namun pada pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani orang Melayu tidak sama dengan Jawa.

Inilah yang dimaksudkan dengan kalimat, "Orang-orang Melayu bukanlah daripada orang Jawa." Sukar juga kita mencari sebab asal usul dunia Melayu dinamakan tanah Jawi oleh orang-orang Arab, terutama orang Arab Mekah. Kemungkinan juga berasal dari nama Pulau Jawa yang terletak dalam gugusan kepulauan Melayu.
Selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Adalah alam Melayu itu terdiri dari kebanyakan pulau yang terpencar-pencar atau terpisah-pisah", dalam Hadiqat al-Azhar. Ia adalah petikanJaridah Al-Ma'lumat terbitan Betawi.
Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa buah pulau, katanya: "Adalah Kepulauan Nusantara, iaitu sejumlah pulau-pulau yang terdiri dari: Sumatera, Bangka, Belitung, Jawa, Madura, Bali, Lombok, Sumbawa, Flores, Timor, Borneo / Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan banyak lagi".
Kalimat selanjutnya, kata Sheikh Ahmad al-Fathani, "Negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri dunia ..." yang dimaksudkan di sini ialah bahawa keseluruhan dunia Melayu mempunyai hasil yang banyak, baik hasil tanah daratan, hasil laut mahu pun yang terkandung dalam perut buminya yang demikian luas.
Dalam karyanya Thaiyib al-Ihsan fi Thib al-Insan, beliau berpendapat tentang kesuburan spesies tumbuh-tumbuhan untuk perubatan terdapat di bumi Melayu seperti yang beliau nyatakan pada kalimat, "Padahal kita jenis Melayu aula dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita. Hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita. Dan kita terlebih aula pada merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita".

Aspek bahasa dan ciri-ciri bangsa Melayu

Setelah memperkenalkan bangsa Melayu, letak dan kesuburannya, Sheikh Ahmad al-Fathani melanjutkan bahasan tentang bahasa. Katanya, "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan/mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah-wilayah itu."
Pada konteks bahasa-bahasa serumpun Melayu dalam Hadiqat al-Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, "Bahasa mereka bermacam-macam iaitu Melayu, Jawa, Sunda, Madura, Bugis, Aceh, Bali, [dan bermacam-macam lagi]".
Walaupun di dunia Melayu terdapat berbagai-bagai bahasa, namun oleh sebab "Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang paling ringan / mudah ...", maka bahasa Melayu adalah menjadi bahasa pengantar.
Sheikh Ahmad al-Fathani menyambung kalimatnya, "Sebab itulah kebanyakan orang Hijaz/Arab memakai/menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa tersebut, yang berlainan bahasa mereka dengan bahasa Melayu".

Persyaratan sesuatu bangsa yang berperadaban atau bertamadun, tentang bangsa Melayu hingga tahun 1300 H/1882 M, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat, "Sebahagian ciri-ciri khusus mereka itu ialah, bahawa seseorang tiada melihat di negeri mereka dan lainnya peminta-peminta secara paksa, walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin sekali pun".
Pandangan ini selain ditulis pada nota Tashil Nail al-Amani lebih lengkap ditulis pada nota karyanya Faridat al-Faraid yang ditulis tahun 1313 H/1895 M. Catatannya, "Muru'ah, ertinya "kemukaan" atau "kemanusiaan", iaitu kemuliaan seseorang, dan kesempurnaannya, dan beberapa adab yang ada sekalian itu pada dirinya yang membawa oleh memeliharanya akan dia kepada baik segala perangainya dan elok segala adatnya.

Dan terjemah hamba akan "muru'ah" dengan erti "kemukaan" itu, betul lagi nyata, kerana "kemukaan" pada bahasa Melayu itu kinayah daripada keadaan seseorang itu mempunyai nafsu yang dipuji.
Yang membawa akan dia kepada mengerjakan pekerjaan yang baik Lagi tiada reda ia sertanya mengerjakan barang yang tiada patut dengan keadaan manusia.
Maka iaitulah 'ain "muru'ah" yang pada bahasa Arab, dikatakan "Si Anu itu orang yang bermuka". Ertinya: "mempunyai maruah, yang ia malu mengerjakan barang yang tiada patut dan loba ia atas mengerjakan barang yang membawa kepada kepujian dirinya".
Dengan dalil memulia mereka itu akan orang dagang yang datang kepada negeri mereka, istimewa ahlil Hijaz. Dan jika tiada dibalaskan mereka itu dengan syukur sekalipun. Dan tiada ada pada mereka itu banyak tipu daya.
Dan tiada ada pada mereka itu menghilangkan air muka dengan meminta. Bersalahan setengah daripada jenis yang lainnya. Dan "kemukaan" ini lain daripada "wajahah" yang pada bahasa Arab. Kerana makna "wajahah" itu "al-hazhu wal ratbah".

Dan iaitu bukannya "kemukaan" yang pada bahasa Melayu. Maka tertolaklah dengan demikian itu i'tiradh setengah manusia akan tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemukaan". Maka ia berkata ia [bahawa] "kemukaan" itu terjemah "wajahah" yang pada bahasa Arab.
Ada pun tafsir hamba akan "muru'ah" dengan "kemanusiaan", ertinya "keadaan seseorang itu manusia yang sempurna".
Maka, iaitu terlebih nyata, karena syaan manusia yang sempurna itu bahawa bersifat ia dengan segala barang yang tersebut pada makna "muru'ah" itu. Wallahu a'lam."
Masih dalam konteks di atas, sambungan kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani dilengkapi dengan kalimatnya bahawa orang Melayu "memiliki kehormatan yang sopan ..."

Aspek perkembangan ilmu pengetahuan

Pada sambungan kalimat di atas Sheikh Ahmad al-Fathani menggambarkan orang Melayu dapat menerima perubahan perkembangan zaman serta cerdas menerima ilmu pengetahuan.

Inilah yang dimaksudkan dengan katanya bahawa orang Melayu "menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya".
Mengenai perkataannya "menerima pemodenan teknologi" Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa tulisannya turut membicarakan perkara itu. (Lihat Al-Fatawal Fathaniyah Sheikh Ahmad Al-Fathani, jilid 3, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1422 H/2002 M, halaman 31-32).

Aspek kedaulatan pemerintahan
Dalam konteks kedaulatan pemerintahan, Sheikh Ahmad al-Fathani mengakhiri kalimat pada nota Tashil Nail al-Amani, katanya, "Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar, maka kekuasaan-kekuasaan kafir telah menipu daya mereka. Semoga Allah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (kafir). Amin".
Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin dan beberapa karangan yang lain menyebut mulai kedatangan Islam di dunia Melayu sehingga membentuk daulah yang dipegang oleh orang-orang Islam.
Namun selanjutnya bangsa penjajah Portugis, Inggeris dan Belanda telah datang menjajah dunia Melayu. Khusus mengenai Patani juga beliau sentuh.
Dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin memberi contoh peperangan yang panjang antara Aceh dengan penjajah Belanda, sampai tahun 1316 H/1898 M, iaitu zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, telah terjadi perang selama 29 tahun.
Tahun yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu ada hubungan dengan perjuangan terakhir Teuku Umar.
Pada 1 April 1898 M, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, Teuku Tjoet Tungkob dan hulubalang-hulubalang mengucapkan sumpah setia kepada sultan untuk meneruskan perang sabilillah.
Selanjutnya pada 23 Julai 1898 M, di Keude Meulu, Pidie, Teuku Umar Johan Pahlawan Lampaseh, dilantik pemimpin perang sabilillah dalam satu mesyuarat pemimpin adat dan ulama-ulama Islam.
Sheikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) hidup sezaman dengan Teuku Umar (1854 M - 1899 M), beliau lebih muda sekitar dua tahun daripada Teuku Umar.
Memerhatikan tulisan-tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai Aceh dan pada zaman yang sama beliau mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Turki-Uthmaniyah minta bantuan melepaskan seluruh dunia Melayu dari semua penjajah bererti Sheikh Ahmad al-Fathani ada hubungan dengan semua perjuangan Islam di dunia Melayu termasuk Aceh.

Mengenai yang penulis tulis di atas di antaranya dapat dirujuk dalam Hadiqatul Azhar war Rayahin: Asas Teori Takmilah Sastera Melayu Islam, jilid 1, halaman 142-147.

Penutup

Pengenalan peradaban dunia Melayu ini tidak lengkap tanpa membicarakan para pelopor yang terlibat dalam ketamadunan Melayu sehingga melahirkan ramai generasi penerus hari ini.
Kesinambungan dari itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan akan datang dengan memperkenalkan pelopor-pelopor Melayu Islam, yang meliputi dalam pelbagai aspek kepentingan dunia Melayu.


Sheikh Ahmad al-Fathani mengasaskan sebuah persatuan kaum cendekiawan Melayu di Mekah dengan nama Jam’iyah al-Fathaniyyah. Hampir semua ulama yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Mekah pada zaman itu menjadi anggota persatuan itu. Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri selaku ketuanya.

Pada mulanya persatuan itu bergerak serentak, iaitu tidak saja mencetak kitab-kitab malah menyebarkannya ke dunia Melayu dan seterusnya ke tempat-tempat lain.

Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada putera-putera dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah. Sheikh Ahmad al-Fathani berasa insaf dan sedih kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia) dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian.

Jika disemak catatan sejarah, maka dipercayai bahawa Al-Fathaniyah yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu adalah merupakan organisasi politik Melayu yang pertama sekali ditubuhkan (1290 H/1873 M). Organisasi ini jauh mendahului Syarikat Islam (1912 M) yang ditubuhkan oleh H.O.S. Tjokroaminoto di Jawa.

Setelah murid-murid beliau pulang ke tanah air, maka mereka mengasaskan berbagai-bagai organisasi di dunia Melayu, antaranya pada peringkat awal yang dapat disebutkan di sini seperti di Riau-Lingga berdiri Jam’iyah ar-Rusydiyah yang kemudian lebih popular dengan Jam’iyah Rusydiyah atau Rusydiah Kelab dan Jam’iyah al-Khairiyah. Tokoh politik yang menjadi murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Riau-Lingga ialah Raja Haji Ali Kelana dan Raja Haji Utsman.

Dalam dunia politik, Raja Haji Utsman lebih dikenali dengan nama Raja Khalid al-Haitami (dalam percakapan Melayu disebut Hitam)

Al-Fathaniyah dengan Ar-Rusydiyah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tidaklah berapa jauh perbezaan ertinya. Al-Fathanah, dalam bahasa Arab kadang-kadang digunakan juga al-fithnah, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bererti: kepandaian, kecerdasan, lekas faham, kepintaran, dan lain-lain. Ia juga boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan.

Adapun al-rusydu boleh diertikan dengan akal, fikiran, hal mengikut jalan yang lurus, dapat petunjuk, dan lain-lain, dan salah satu dari ertinya, ialah cerdik atau kecerdikan. Sebagaimana al-fathanah boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan, demikian halnya dengan ar-rusydu. Dari perkataan al-fathanah, maka organisasi yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah dinamakan Al-Fathaniyah, sedang dari perkataan al-rusydu, untuk organisasi yang didirikan oleh murid-murid beliau di Riau dinamakan Rusydiyah.

Berdasarkan bukti-bukti yang ada, jelas bahawa keintelektualan perjuangan kerabat Diraja Riau-Lingga itu berasal dari pelbagai aspek perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah.

Catatan tentang Jam’iyah al-Khairiyah sukar diperoleh, namun dapat dikesan hanyalah berdasarkan daripada sebuah buku kecil yang berjudul Jalan Kesatuan atau judul lain Al-Irsyad ila Thariqat at-Ta-allufi wa al-Ittihad karya Raja Haji Muhammad Said bin Raja Haji Muhammad Thahir, yang ada memperkatakan organisasi tersebut.

Buku tersebut diterbitkan oleh Maktabah wa Mathba’ah al-Ahmadiah, 1345 H/1927 M atas usaha Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan.

Jam’iyah al-Khairiyah Riau masih aktif sehingga tahun 1937 M. Barangkali pengaruh Jam’iyah al-Khairiyah Riau itu begitu besar, maka pada 3 Safar 1342 H/14 September 1923 M di Mesir ditubuhkan pula Al-Jam’iyah al- Khairiyah li Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah oleh pelajar dunia Melayu di Mesir.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal yang sangat berminat dalam bidang itu ialah Raja Haji Ali Kelana yang berasal dari Riau-Lingga, berketurunan campuran Melayu-Bugis. Sesudah itu menyusul agak terkemudian sedikit ialah Raja Haji Utsman dan selanjutnya terkenal dengan nama Raja Khalid Hitam. Kader politik Sheikh Ahmad al-Fathani yang terakhir ialah seperti Nik Mahmud bin Ismail berasal dari Kelantan.

Tokoh tersebut dikenali dengan gelaran Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad Said yang selanjutnya memperoleh gelaran Datuk Laksamana Kelantan, dan Haji Sulung al-Fathani, iaitu bapa Revolusi Islam Patani dalam masa Perang Dunia Kedua.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah membawa beberapa orang muridnya, di antaranya Raja Haji Ali Kelana Riau, berulang kali menemui Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid ats-Tsani, kerana meminta bantuan untuk melepaskan dunia Melayu daripada tangan penjajahan bangsa asing.

Raja Haji Ali Kelana Riau sekurang-kurangnya dua kali mengikut gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani ke Turki, kali yang pertama dalam tahun 1301 H/1883 M dan yang kedua dalam tahun 1322 H/1904 M.

Lihat pula tulisan Dr. Virginia Matheson, “Pada akhir abad ke-19 perhubungan Riau dengan Timur Tengah dikuatkan lagi oleh Raja Ali Kelana supaya dapat bantuan Turki untuk menentang pemerintah penjajahan Belanda yang mahu menghapuskan kerajaan Riau-Lingga”. Berdasarkan tersebut, Virginia Matheson tidak menyebut peranan Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu orang yang bertanggungjawab mengajak Raja Haji Ali Kelana ke Turki untuk meminta bantuan menghapuskan semua bentuk penjajahan di dunia Melayu, selain Indonesia (Hindia- Belanda) dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Patani dan Cam.

Hubungan politik Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Turki-Utsmaniah itu bukan bererti gagal, tetapi tergendala kerana beliau meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M dan perkembangan Kerajaan Turki-Utsmaniah pun seterusnya mulai menurun dan lemah.

Pengetahuan dan pengalaman Sheikh Ahmad al-Fathani ketika membuat hubungan politik dengan negara luar menjadi sumber inspirasi kepada salah seorang muridnya iaitu Raja Haji Utsman/Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan Riau. Beliau pergi ke Jepun sebanyak dua kali, iaitu pada 1912 dan 1913.

Tujuannya meminta bantuan dari Kerajaan Jepun mengusir penjajah Belanda dan Inggeris dari bumi Melayu. Keberangkatannya ke Jepun adalah setelah mendapat persetujuan Raja Haji Ali Kelana dan beberapa kerabat Diraja Riau-Lingga dan Johor lainnya. Raja Khalid Hitam meninggal dunia di Jepun pada 11 Mac 1914.

Dalam tahun 1939, ketika menghadapi Perang Dunia Ke-II barulah utusan Jepun datang ke Singapura mencari keturunan Raja Khalid Hitam. Yang berjaya ditemui oleh utusan dari Jepun itu hanyalah Ibrahim Ya’qub, yang ketika itu sebagai pemimpin kebangkitan Melayu.

Ibrahim Ya’qub bersama sahabatnya Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pun mengadakan perundingan dengan utusan Jepun itu. Peristiwa itu menjadi titik bermulanya kedatangan orang-orang Jepun ke dunia Melayu untuk menghadapi perang Asia-Pasifik. Ibrahim Ya’qub diberi pangkat dalam militer Jepun sebagai Leftenan Kolonel, sedangkan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad hanya sebagai Leftenan saja. Namun kerana kecergasannya, beberapa bulan kemudian Raja Haji Muhammad Yunus dilantik sebagai Mejar tanpa melalui pangkat Kapten terlebih dahulu.

Berdasarkan cerita ini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan.

Beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani tentang politik adalah cukup jelas seperti yang telah dibicarakan. Untuk lebih lengkap lagi dapat dirujuk melalui surat-surat antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan sultan-sultan di dunia Melayu. Di antaranya termasuk surat beliau kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu dan Sultan Manshur, Kelantan. Selain surat yang tersebut, banyak lagi surat Sheikh Ahmad al-Fathani yang membicarakan isu politik yang ditujukan kepada murid-muridnya.

Di antara surat beliau yang membicarakan isu politik termasuk beberapa pucuk yang ditujukan kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang ketika itu masih belajar di Mesir.

Surat dari raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani juga banyak, termasuklah surat daripada Raja Muda Jambu bertarikh 30 Jamadilawal 1316 H/1898 M. Surat tersebut adalah sebagai bukti bahawa Raja Jambu termasuk salah seorang yang anti penjajah Siam-Buddha.

Kata Raja Jambu, dalam surat tersebut, “Maka sangatlah bertambah- tambah harap sahaya mi[n]ta Tuan tolong mendoakan bagi sahaya wal ‘iyal, mi[n]ta Tuhan li[m]pahkan kebajikan dunia dan akhirat dan lepaskan sekalian kekeruhan dan dijauhkan sekalian bala’-waba’ dan kesusahan kuffar Siam, sekarang ia masuk duduk memerintah di dalam Jerim pula. Maka jadi dua raja sangatlah kesusahan dan kepicikannya. Mi[n]ta Tuhan pindahkan dia dengan segeranya ...”

Daripada surat yang tersebut dan surat-surat raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, dapat dirumuskan bahawa beliau menjadi rujukan pelbagai persoalan termasuklah politik bagi sultan-sultan di dunia Melayu.

Pemikiran Politik

Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniyah. 


Perbicaraan salasilah atau sanad pelbagai ilmu Sheikh Ahmad al-Fathani melalui pertalian dengan guru-gurunya ini adalah sangat luas dan panjang. Di antara salasilah atau sanad-sanad yang dimaksudkan seumpama sanad kitab-kitab hadis, tafsir, fiqh, usul fiqh, aqikah, tasauf, nahwu, sharaf, bayan, ma’ani dan lain-lain. Semuanya akan penulis bicarakan secara terperinci.

Berikut adalah kesinambungan guru-guru beliau yang terdiri dari ulama-ulama Mekah dan Madinah yang sebahagiannya telah dibicarakan sebelum ini, maka selebihnya iaitu:

* Saiyid Ahmad Bin Zaini Dahlan

Sheikh Ahmad al-Fathani selain belajar di bawah kelompok Saiyid Abu Bakri Syatha, pada waktu yang lain belajar pula secara langsung kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Ini bermakna Sheikh Ahmad al-Fathani dan Saiyid Abu Bakri Syatha sama-sama mengaji kitab ketika Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan mengajar. Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut pada nazham ‘Uqudid Durri mengenai Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, iaitu Wa bi Syaikhina wa Mulazina ‘uryan man ghafaral hajija huwal musamma Ahmada.

Dalam buku riwayat Sheikh Ahmad al-Fathani terbitan pertama (1992), penulis nyatakan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani “tidak pernah menyebut bahawa beliau juga belajar kepada Saiyid Zaini Dahlan yang terkenal itu”, namun setelah dijumpai beberapa catatan, ternyata beliau juga adalah murid Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886 M) itu.

Dalam karya-karyanya, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut nama Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki selalu diawali dengan kata Syaikhuna, dan menyebut Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan diawali dengan Saiyidi. Walaubagaimanapun hanya satu tempat iaitu dalam nazham ‘Uqudid Durri, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menggunakan Syaikhuna untuk Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Dalam karya beliau Tuhfatul Ummah fis Shalati ‘ala Nabiyir Rahmah, Sheikh Ahmad al-Fathani memetik tiga amalan dari tulisan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Oleh sebab Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan adalah murid kepada Maulana Sheikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi al-Azhari, maka dapatlah dipastikan salasilah dan sanad pelbagai ilmu Sheikh Ahmad al-Fathani juga dimulai dari kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu.

Nama Sheikh Utsman ad-Dimyathi dua kali disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang tersebut. Walaupun guru Sheikh Utsman ad-Dimyathi sangat ramai, tetapi yang sering dibicarakan dalam salasilah atau sanad adalah yang paling terkenal di antara mereka tiga orang sahaja. Mereka ialah:

1. Sheikh Abdullah asy-Syarqawi, ulama ini pengikut Mazhab Syafi’e dan pengamal tarekat khalwatiyah.

2. Sheikh Muhammad al-Amir al-Kabir, pengikut Mazhab Maliki, beramal tarekat syaziliah.

3. Sheikh Muhammad asy-Syanwani.

Sheikh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah

Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki namanya selalu disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karya-karyanya. Sheikh Ahmad al-Fathani menggelar gurunya itu dengan Mathla’u Syumusit Tahqiq wa Manba’u ‘Uyunit Tadqiq bermaksud ‘tempat terbit matahari hakikat dan tempat mata air yang halus yang mengalir terus’.

Dalam beberapa karyanya, dan menjawab beberapa pertanyaan, Sheikh Ahmad al-Fathani selalu mengemukakan pendapat gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah a-Makki. Prof. Dr. Hamka menulis dalam buku Ayahku, bahawa datuknya Sheikh Muhammad Amrullah menetap lama di Mekah. Salah seorang gurunya ialah Sheikh Muhammad Hasbullah al-Makki. Dengan demikian mungkin Sheikh Ahmad al-Fathani adalah sahabat Sheikh Muhammad Amrullah datuk Hamka itu, walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya.

Sheikh Ahmad al-Fathani tua empat tahun daripada Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau pernah belajar dengan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa bidang ilmu.

Sheikh Muhammad Amrullah dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau pula belajar kepada Sayid Ahmad Zaini Dahlan. Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki adalah sahabat dan seperguruan dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Sheikh Muhammad Sulaiman Hasbullah lahir tahun 1233 H/1817 M, wafat malam Ahad, 11 Jamadilawal 1335 H/4 Mac 1917 M. Beliau sangat mengasihi muridnya Sheikh Ahmad al-Fathani. Malah kepada anak murid itulah tempatnya memberikan kepercayaan dalam sekelian permasalahan.

Beliau memerintahkan Sheikh Ahmad al-Fathani supaya membuat syarah sebuah karyanya berjudul Hidayatul ‘Awam mengenai ilmu akidah. Sheikh Ahmad al-Fathani memenuhi perintah gurunya itu maka dikarangnya sebuah kitab dengan judul Sabilus Salam atau Minhajus Salam.

Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu pernah diterbitkan di Mekah dan Mesir serta diajarkan di Mekah.

Kebanyakan salasilah dan sanad keilmuan antara Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki adalah sama. Namun ada juga yang berbeza kerana selain belajar dengan ulama yang sama tentunya ada juga belajar kepada ulama yang berlainan.

Sheikh Muhammad Haqqi An-Nazili

Dalam kitabnya Tuhfatul Ummah fish Shalati’ala Nabiyir Rahmah, Sheikh Ahmad al-Fathani mengatakan bahawa beliau telah mengambil ijazah secara musyafahah dari Sheikh Muhammad Haqqi an-Nazili, iaitu pengarang kitab Mafza’ akan amalan selawat yang dibangsakan kepada Saidina Zainal Abidin bin Ali bin Saidina Husein bin Saidina Ali bin Abi Thalib.

Selawat itu dinamakan Selawat Tafrijiyah yang terkenal dengan dibaca sebanyak 4,444 kali.

Saiyid Muhammad Amin Ar-Ridhwan

Pada hari Khamis, 20 Rejab 1319 H/1901 M di Madinah al-Munawwarah, as-Saiyid Muhammad Amin bin as-Sayid Ahmad ar-Ridhwan telah mengijazahkan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani membaca Selawat Dala-ilil Khairat.

Sanadnya adalah sebagai yang berikut:

*Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

*Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan menerima dari:

*Arif Billah Saiyidi Ali bin Yusuf al-Hariri al-Madani, menerima dari:

*Saiyid Muhammad bin Saiyid Ahmad al-Mudghari, menerima dari:

*Saiyidi Muhammad bin Ahmad bin Ahmad al-Mutsanna, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin al-Haj, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad al-Muqri, menerima dari:

*Saiyidi Abdul Qadir al-Fasi, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin Abil Abbas ash-Shuma-i, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin Musa as-Simlaly, menerima dari:

*Saiyidi Abdul Aziz Sabbaa’, menerima dari penyusunnya:

*Saiyid Muhammad bin as-Saiyid Sulaiman al-Jazuli asy-Syarif al-Hasani.

Dari pertalian yang lain, juga dari Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan, iaitu:

*Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

* Saiyid Muhammad Amin Ridhwan menerima dari:

*Sheikh Abdul Ghani bin Syeikh Sa’id al-Umari, menerima dari:

*Al-Yafi’i al-Habani, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Abu Khidir, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Shalih al-Bukhari, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Rafi’uddin al-Qandahari, menerima dari:

*Asy-Syarif Muhammad bin Abdullah al-Maghribi menerima dari:

*Sheikh al-Bashri, menerima dari:

*lSurur az-Zawawi ad-Damanhuri, menerima dari:

*Saiyid Hasan bin Saiyid Darwisy al-Quwaisni, menerima dari:

*Saiyid Daud al Qal’ie, menerima dari:

*Sheikh Abdullah asy-Syabrawi, menerima dari:

*Sheikh ‘Athiyatul Qumasy ad-Dimyathi, menerima dari

*Sheikh Mushthafa, menerima dari:

*Sheikh Syamsuddin Muhammad al-Mahdi bin Muhammad bin Salim al-Hifni, menerima dari:

*Sheikh Muhammad al-Budairi yang terkenal dengan sebutan Ibni Mayit.

Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan mengatakan bahawa Sheikh Abdul Ghani yang tersebut juga meriwayatkan bahawa ia menerima dari: Sheikh Shalih bin Muhammad al-Umari al-Fallani, menerima dari: Sheikh Muhammad ‘Abid as-Sandi. Juga Sheikh Abdul Ghani yang tersebut menerima dari: Abi Sulaiman Ishaq bin Maulana Abdul Aziz ad-Dihlawi, menerima dari: Abdul Aziz menerima dari ayahnya: Sheikh Wali Allah ad-Dihlawi, menerima dari Sheikh-Sheikh yang bersambung-sambung salasilahnya.

Saiyid Muhammad Ali Bin Saiyid Zhahir Al-Watri

Di Madinah, Sheikh Ahmad al-Fathani belajar kepada Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri yang memberikan ijazah mengenai Hadis Musalsal, ijazah diberikan di Madinah pada 26 Rejab 1319 H/1901 M.

Secara bersambung/bersalasilah, ijazah itu menjelaskan bahawa:

1. Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

2. Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri, menerima dari:

3. ‘Allamah Muhaqqiq Syeikh Mannatullah al-Maliki al-Azhari, menerima dari:

4. Al-Amir Muhammad al-Kabir, menerima dari:

5. ‘Allamah al-Muhaddis Sheikh Abdur Rahman (wafat 1274 H/1858 M) bin al-‘Allamah al-Hafiz asy-Sheikh Muhammad al-Kuzbari ad-Dimasyqi, menerima dari:

6. Sheikh Ahmad bin Ubaid al-‘Athar ad-Dimasyqi menerima dari penyusun kitab Al-Jauharuts Tsamin iaitu:

7. ‘Allamah al-Muhaddis Sheikh Ismail al-‘Ajluni yang bersambung terus hingga semua pengarang Kitab as-Sittah (kitab yang enam yang terkenal dalam ilmu hadis).

Ijazah yang diberikan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani ialah yang terkandung dalam kitab Al-Jauharuts Tsamin, dengan ijazah menyeluruh yang terkandung padanya pada awal-awal sekelian kitab adalah ijazah Tammatan Muthlaqatan ‘Ammatan iaitu ijazah yang sempurna mutlak dan umum dengan syarat yang telah terkenal pada sisi Ahli Hadis dan Athar.

Oleh sebab itu dipercayai bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah layak digelar sebagai seorang Muhaddis pada zamannya.

Sheikh Abdul Qadir Asy-Syibli Ath-Tharablusi

Pada tahun yang sama (1319 H/1901 M) juga di Kota Madinah, seorang ulama bernama Sheikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi mengijazahkan Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu seluruh ilmu pengetahuan termasuk ilmu hadis. Bahawa juga merupakan ijazah yang bersambung/bersalasilah.

Sanadnya sebagai yang berikut:

*Sheikh Ahmad al-Fathani, menerima dari:

*Sheikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi, menerima dari:

* Maulana Sheikh Habirur Rahman al-Hindi al- Kazhimi, menerima dari:

* Maulana wa Saiyidi Husein Ali al-Hindi, menerima dari:

*‘Allamah al-Qari Sheikh Abdur Rahman Bani Bati menerima dari:

*‘Allamah Sheikh Muradullah bin Sheikh Ni’matullah al-Kanawi, menerima dari:

*‘Allamah Sheikh Abdul Ghani al-Hindi ad-Dihlawi, menerima dari:

*Maulami wa Sandi Sheikh ‘Abid as-Sandi, menerima dari:

*‘Allamah Ahmad Dahlan, menerima dari:

* Sheikh Jamal Mufti Makkatul Mukarramah

*Sheikh Muhyuddin al-Khathib, menerima dari:

* Sheikh Abdul Qadir al-Madani, dan saudaranya: Maulana Sheikh Abdul Hamid Afandi ayah saudaranya sebelah perempuan: Sheikh Mahmud Manraqah, menerima dari:

*Imam ‘Arif Billah Sheikh Muhammad al-Qawaqaji, yang mempunyai keramat-keramat yang mengalahkan musuh, menerima dari:

*Imam Ulama Sheikh Nasyabah (Syaikh Syuyukhil Fida’) menerima dari:

*Saiyidus Sheikh Abdul Ghani ar-Rafi’ie, juga kepada Sheikh Muhammad ar-Rafi’ie anak kepada Sheikh Abdul Ghani ar-Rafi’ie menerima dari:

* ‘Allamah Sheikh Khalil Shadiq, juga kepada Imam al-Muhaddisin zamannya: Sheikh Badruddin al- Maghribi ad-Damsyiqi iaitu: Sheikh Bakri al-Athar asy-Syafi’e, juga kepada: ‘Allamah Sheikh Muhammad al-Khani.

Sheikh Ibrahim Ar-Rasyidi

Nama Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi disebut dalam dua buah karyanya iaitu dalam Mir-ah al-A’ajib dan Man li Ya Sa’id. Dalam Mir-ah al-A’ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis, “Dan atas khulafah, seperti Saiyidi Ibrahim ar-Rasyidi, dan Saiyidi Ahmad ad-Dandarawi, dan Saiyidi Muhammad Shalih, Khalifah Saiyidi Ibrahim ar-Rasyidi yang tersebut, dan lainnya”.

Sheikh Ahmad al-Fathani sempat bertemu dan menerima tarekat Ahmadiah Idrisiah daripada Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi (wafat di Mekah, tarikh 9 Syaaban 1291 H/21 Oktober 1874 M).

Sheikh Ahmad Ad-Dandarawi

Sama halnya dengan Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi, nama Sheikh Ahmad ad-Dandarawi juga disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kedua-dua karyanya yang disebutkan sebelum ini. Walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani telah menerima tarekat Ahmadiah dari Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Namun setelah Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani beramal dengan tarekat itu di bawah bimbingan Sheikh Ahmad ad-Dandarawi.

Demikian juga dengan sebahagian besar ikhwan tarekat Ahmadiah, hal yang tersebut kerana Sheikh Ahmad ad-Dandarawi adalah khadam dan orang yang dikasihi oleh Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Sheikh Ahmad ad-Dandarawi wafat hari Jumaat, di Madinah al-Munawwarah, tarikh 29 Muharam 1327 H/19 Februari 1909 M.

Penutup

Adapun guru-gurunya yang dibicarakan ini merupakan ulama-ulama Mekah dan Madinah yang telah mendidik Sheikh Ahmad al-Fathani, dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan tersebut itu semuanya bukan bangsa Melayu. Mengenai guru-guru beliau yang terdiri daripada ulama-ulama Melayu, terutama yang kebanyakannya berasal dari Patani dan Kelantan akan dibicarakan selanjutnya. 
SYEIKH Ahmad al-Fathani juga belajar kepada ulama-ulama Melayu terutama yang berasal dari Patani dan Kelantan. Tidak dapat dinafikan bahawa ada bidang-bidang tertentu ulama Melayu lebih mahir daripada ulama-ulama yang berasal daripada bangsa Arab sendiri. Antaranya;

1) Syeikh Muhammad Bin Ismail Daudi al-Fathani @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani

Beliau adalah antara ulama Melayu yang dianggap sebagai guru oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ialah atau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, atau orang Arab mengenal namanya Syeikh Muhammad Shaghir.

Ulama ini sangat mahir dalam bidang ilmu fiqh. Syeikh Ahmad al-Fathani pada peringkat awal sebelum berangkat ke Mesir, pernah belajar dengan ulama ini dan sekembalinya dari Mesir, beliau menerima bai'ah Thariqat Syathariyah.

Atas kerjasama antara kedua-duanya, maka telah terbentuknya satu pusat penyebaran Islam untuk Jawi/Asia Tenggara yang berpusat di Mekah.

Banyak penyebar-penyebar Islam menghantar murid mereka ke Kemboja, di antaranya; Ahmad bin Muhammad Zain yang berasal dari Atas Banggul Kelantan (beliau ini serupa namanya dengan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani gurunya).

Hubungan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan gurunya Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani bertambah mesra kerana adanya kaitan perkahwinan antara Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Hajah Siti Saudah, anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik, iaitu setelah meninggalnya isteri pertama, Hajah Wan Kaltsum binti Haji Wan Ismail Jambu al-Fathani.

2) Syeikh Abdul Qadir Bin Abdur Rahman al-Fathani

Dalam bidang tasawuf, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani belajar kepada seorang ulama Patani dan tokoh sufi yang sangat terkenal di Mekah pada zaman itu, beliau ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Beliau adalah saudara sepupu kepada Syeikh Nik Mat Kecik.

Melalui ulama ini Syeikh Ahmad al-Fathani mengambil bai'ah Thariqat Syathariyah sekali lagi, dan seterusnya pelbagai sekte thariqat yang lainnya, termasuk berbagai-bagai macam wirid dan zikir yang terkenal di lingkungan golongan tarekat dan tasawuf.

Sebelum dibai'ah oleh Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau juga pernah dibai'ah oleh ayahnya, iaitu Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Dengan demikian, Syeikh Ahmad al-Fathani dapat ditempatkan pula sebagai 'ulama' sufi, golongan 'ulama' Muhaqqiqin yang ahli dengan ilmu-ilmu thariqah, haqiqah dan ma’rifah.

Atas meninggal gurunya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani pada awal musim haji 1315 H/1897 H, Syeikh Ahmad al-Fathani menyifatkan bahawa keadaan Mekah pada tahun itu dalam kepayahan. Barangkali kerana beliau berasa sedih hati atas meninggal- nya ‘ulama’ sufi yang sukar dicari sepertinya di Kota Mekah ketika itu.

Dalam bidang tasawuf, semua ulama pada zaman itu merujuk kepadanya, di antara muridnya yang menjadi ulama besar selain Syeikh Ahmad al-Fathani, adalah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak, Syeikh Utsman bin Syihabuddin Pontianak dan lain-lain.

Salasilah Thariqat Syathariyah baik yang beliau terima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Zain bin Mushthafa al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mahupun kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah tidak terpisah daripada perhubungannya secara paralel kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang menerima daripada gurunya, al-Arif Billah Saiyidisy Syeikh Muhammad As'ad, yang menerima daripada bapanya Saiyidi Syeikh Muhammad Sa'id Thahir, menerima pula daripada bapanya Saiyidi Syeikh Ibrahim al-Madani dan seterusnya dapat dilihat buku penulis berjudul Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani Ulama dan Pengrang Terulung Asia Tenggara, cetakan pertama di Malaysia, HIZBI, 1990, hlm. 35-36.

3) Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani Dan Ulama-Ulama Kelantan Selainnya

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani belajar juga kepada ulama-ulama yang berasal dari Kelantan yang bermastautin di Mekah. Sebahagian ulama-ulama Kelantan itu masih ada pertalian kekeluargaan dengan beliau. Ulama-ulama Kelantan itu ialah;

Syeikh Muhammad Sa'id bin Isa al-Kalantani, Syeikh Abdul Muthallib Kuta al-Kalantani dan Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah suami ibu saudaranya; bernama Wan Aisyah dan sejak kecil Syeikh Ahmad al-Fathani telah diasuh oleh Syeikh Wan Ali, suami-isteri.

Dikatakan bahawa isteri Syeikh Wan Ali itu adalah seorang yang hafizhah al-Quran dan amalan selawat yang termaktub dalam kitab Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali. Perkahwinan Syeikh Wan Ali Kutan dengan Wan Aisyah itu memperoleh beberapa orang anak. Antaranya ialah; Hajah Wan Fathimah dan Haji Wan Abdur Rahman. Kedua-duanya bererti saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Jadi Syeikh Ahmad al-Fathani dan saudara sepupunya sendiri, iaitu Hajah Wan Fathimah binti Syeikh Wan Ali telah dilatih menghafaz al-Quran dan amalan selawat dan ternyata berhasil.

Di dalam manuskrip catatan amalan-amalan penting dan mustajabnya, Syeikh Ahmad al-Fathani menulis bahawa beliau terima amalan membaca Yasin 41 kali kepada Syeikh Abdul Muthallib Kuta al-Kalantani dan juga kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan dalam kaedah yang berlainan, tetapi juga membaca Yasin 41 kali dia telah menerima daripada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Demikian juga pada mengamalkan doa yang dinamakan Hizbul Bahri, beliau menerimanya daripada Syeikh Wan Ali Kutan yang bersalasilah hingga sampai kepada Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili yang mula-mula mempunyai amalan itu.

Tentang amalan Hizbul Bahri tersebarnya di negeri Jawi melalui ijazah daripada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani kepada anak saudara isterinya, Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang mengijazahkan pula kepada Haji Nik Mahmud, Perdana Menteri Kelantan.

Nik Mahmud bin Ismail Kalantani menulis doa penting tersebut di dalam kitabnya, Pati Rahasia. Syeikh Ahmad al-Fathani mengajarkan pula kepada Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahmanal-Fathani, dia menyebarkan kepada murid-muridnya di Jambi/Sumatera ketika dia melarikan diri sebab diburu oleh kaum Wahabi di Mekah. Bahawa dia sampai di Jambi, 6 Rabiulawal 1344 H.

4) Ulama Kabul Afghanistan

Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli

Selain guru-gurunya yang tersebut masih ramai lagi gurunya yang lain, di antaranya Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli tempat ia pertama belajar ilmu perubatan. Di antara kitab perubatan yang pernah dipelajari oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli ialah Kitab Qanun Cah, iaitu Qanun Cah ash-Shaghir lil Caghmini Syarih Syarikh al-Aflak.

Di halaman terakhir kitab tersebut, Syeikh Ahmad al- Fathani mencatat dalam bahasa Arab, yang ertinya "Selesai mempelajari kitab ini daripada Syaikhuna Doktor yang mahir dan termasyhur iaitu asy-Syeikh Abdur Rahim al-Kabuli sesudah Zuhur, hari Sabtu, 21 Ramadan 1312 H".

GELARAN-GELARAN YANG DIBERIKAN KEPADA SYEIKH AHMAD AL-FATHANI

Mengingat apa yang tertulis dalam majalah Pengasuh (1352 H/1934 M) iaitu antara lain menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani berkelayakan mentakrif 47 jenis ilmu pengetahuan, tetapi masih banyak perkara yang belum disentuh dalam perbicaraan tersebut.

Sungguhpun demikian sudah memadai sebagai pengenalan awal dan barangkali keterampilan Syeikh Ahmad al-Fathani seperti yang telah dibicarakan adalah sukar untuk dicapai oleh tokoh-tokoh lain yang berasal dari dunia Melayu.

Perbicaraan ini dirasakan belum lengkap, oleh itu di bawah ini penulis tambah informasi ringkas mengenai beberapa gelaran yang pernah ditulis oleh beberapa orang ulama dan cerdik pandai. Adapun gelaran-gelaran yang diberikan kebanyakannya di dalam bahasa Arab. Antara ulama-ulama yang dapat disebutkan di sini ialah;

1. Al-Amin al-Fadhil Saiyid Husein al-Habsyi. Nama lengkapnya, Saiyid Husein bin Muhammad bin Husein bin Ahmad asy-Syafie, 1258 H/1842 M, 1330 H/1911 M. Beliau adalah Mufti Mazhab Syafie di Mekah.

Tentang Syeikh Ahmad al-Fathani dinyatakannya pada tahun 1301 H/1883 M sewaktu mentashhih kitab Tashil Nailil Amani. Kenyataan gelaran itu terdapat pada semua edisi cetakan kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani itu.

2. Al-Adib an-Nihrir Hadhrat Syeikh Thaha Qathariyah. Beliau adalah seorang ulama, sasterawan yang berasal dari Qatar, sahabat karib Syeikh Ahmad al-Fathani bersama-sama sebagai pentashhih pelbagai kitab yang akan diterbitkan. Kenyataan mengenainya itu ditulis pada tahun 1301 H/1883 M dan tercantum pada semua terbitan Tashil Nailil Amani.

3. Syeikh Abdul Jawad. Seorang ulama besar Arab, Ketua Pentashhih Mathba'ah al-Khairiyah al-'Amirah, Kaherah Mesir. Kenyataannya tertulis pada tahun 1321 H/1903 M tercantum pada halaman akhir Tashil Nailil Amani yang dicetak oleh Mathba'ah al-Khairiyah. Pemilik Mathba'ah itu ialah sahabat karib Syeikh Ahmad al-Fathani, bernama Saiyid Umar Husein al-Khasyab.

Antara gelaran yang diberikan daripada ulama Melayu pula adalah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, seorang ulama yang pernah mengajar di Madrasah Shaulatiyah, Mekah dan Syeikhul Islam Selangor, memberi beberapa gelaran untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab. Maka penulis terjemahkan gelaran-gelaran tersebut dalam bahasa Melayu.

Antaranya seperti berikut; "yang tersangat 'alim kurnia Allah", "perkataannya ibarat kalung emas yang murni", "perhiasan orang-orang yang utama", "perbendaharaan orang-orang yang terpuji", dan "orang yang terhimpun padanya ilmu bayan dan ma'ani".

Semua yang disebutkan oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani itu mencerminkan ketinggian kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani di kalangan sasterawan di Mekah pada zamannya.

Imam Haji Wan Ishaq, iaitu Imam Kelantan telah menambah gelaran ketinggian itu. Gelaran-gelaran tersebut juga penulis terjemahkan daripada bahasa Arab dengan merujuk berbagai-bagai kamus. Antara gelaran-gelarannya adalah; "cerdik keheningan", "curahan hujan, laut yang mengubati", "perkasa kebijaksanaan", "bulan pancaran cahaya", "tersangat alim pada setiap ilmu", "yang berpakaian akan takwa, kemuliaan dan penyantun", "seorang ahli politik", "seorang ahli haqiqat" dan "seorang ahli syari’at."

Begitulah antara banyak pengakuan-pengakuan para ulama Islam sama ada di peringkat antarabangsa mahupun ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu tentang kehebatan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Prof. C. Snouck Hurgronje, seorang orientalis dan juga seorang yang amat mengagumi Syeikh Ahmad al-Fathani sehingga dia menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai a savant of merit. Tulisan Snouck Hurgronje dalam Mecca in the latter part of the ninetenth century itu telah disalin oleh beberapa orang orientalis,di antaranya ialah Prof. William R. Roff (Amerika), M.B.Hooker (Inggeris), Virginia Matheson (Australia) dan Martin van Bruinessen (Belanda).

William R. Roff dalam The Origins of Malay Nationalism masih mengekalkan gelaran Syeikh Ahmad al-Fathani seperti yang ditulis oleh Snouck Hurgronje, tetapi dalam Comparative Studies In Society And History diganti dengan a great savant. Ahmad

Boestamam telah menterjemah buku William R.Roff, The Origins of Malay Nationalism itu ke dalam bahasa Melayu berjudul Nasionalisma Melayu. Beliau menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani sebagai "seorang sarjana ulung."

Selain gelaran-gelaran tersebut ada beberapa gelaran lagi untuk Syeikh Ahmad al-Fathani. Sewaktu umurnya 12 tahun, ulama Mekah menggelarnya "Sibawaih Shaghir" kerana kejayaannya yang luar biasa dalam ilmu nahwu. "Sibawaih" adalah nama seorang tokoh nahu yang sangat terkenal.

Keluarga besar Patani dan Kelantan menggelarnya pula Tok Guru Wan Ngah, kerana apabila beliau sedang mengajar, beliau "sangat marah" pada murid-muridnya yang suka bertanya, atau bercakap tidak memperhatikan guru sedang mengajar atau berbuat bising, atau lain-lain sejenisnya. Beliau membenarkan murid-muridnya bertanya setelah selesai mengajar. "Sangat marah" yang dimaksudkan dalam dialek Patani

disebut "perengoh" atau "pongoh", yang berasal daripada perkataan "perengus". Dari perkataan inilah maka Syeikh Ahmad al-Fathani digelar Tok Guru Wan Ngah.

Masyarakat Islam di Kedah, Patani, Burma, Bangkok dan Cam (Kemboja), menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Tuan Faridah kerana mereka pernah belajar dengan menggunakan kitab beliau yang terkenal iaitu Faridah al-Faraid.

Orang Jawa pula menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Tuan Ngawamil atau Kiyai Ngawamil, kerana kitab 'Awamil al-Jurjani yang beliau syarah yang diberi judul Tashilu Nailil Amani diajarkan di hampir semua pondok pesantren di Jawa.

Syeikh Ahmad al-Fathani digelar juga dengan Failosuf Melayu, demikian yang dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah dalam karyanya, Pati Faridah. 


PENULIS masih lagi membicarakan mengenai karya-karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Sebelumnya penulis menyebut bahawa karya-karya beliau dibahagikan kepada tiga.

Bentuk pertama iaitu tulisan-tulisan beliau dalam bahasa Arab telah dibicarakan. Maka dilanjutkan pula tentang bentuk-bentuk lainnya, iaitu:

1. Tulisan dalam bahasa Melayu

2. Kitab-kitab yang ditashhihnya, terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.

Tulisan dalam Bahasa Melayu

1. Nazham Nuril Anam, diselesaikan penulisannya pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 November 1870 M. Hanya terdapat sebuah salinan yang lengkap, disimpan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (MS 764). Salinan yang lain, iaitu hanya petikan beberapa bait akhirnya, diusahakan oleh Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani (Tok Kelaba). Salinan Tok Kelaba ada dalam simpanan penulis. Puisi yang terdiri daripada lebih 500 bait beliau selesaikan penulisannya dalam usia lebih kurang 15 tahun.

2. Puisi Pada Kitab Hidayatus Salikin, ditulis dalam tahun 1298 H/1880 M. Terdapat pada semua edisi cetakan Hidayatus Salikin (edisi Timur Tengah), tetapi tidak terdapat pada edisi Bombay. Puisi ini terdiri daripada 21 bait, terletak di halaman akhir kitab itu. Pada halaman muka terdapat lagi tujuh bait, juga dalam bahasa Melayu.

3. Puisi Pada Kitab Furu’ ul Masail, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M, terdiri daripada 13 bait. Terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab tersebut.

4. Puisi Pada Kitab Syarah Hikam Melayu, digubah dalam tahun 1300 H/1882 M. Terdapat pada semua cetakan kitab tersebut, tetapi yang menjelaskan bahawa puisi tersebut dicipta oleh Sheikh Ahmad al-Fathani hanya terdapat pada cetakan kedua oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, dalam tahun 1330 H/1912 M. Puisi tersebut terdiri daripada lapan bait.

5. Puisi Pada Kitab Kasyful Litsam, terdapat hanya sebuah manuskrip dan dicetak di kitab tersebut. Tetapi pada cetakan yang ada tidak menyebut nama penggubah puisinya. Malah ada yang keliru kerana ditulis nama Sheikh Muhammad Shalih bin Sheikh Zainal Abidin al- Fathani pada kitab tersebut. Puisi tersebut terdiri daripada 19 bait. Puisi digubah tahun 1301 H/1884 di Mekah.

6. Luqthah al-‘Ajlan mimma Tamassa ilaihi Hajatul Insan, diselesaikan penulisannya pada waktu Zuhur, hari Selasa, 22 Ramadan 1301 H/16 Julai1884 M di Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab ini diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, hanya ditemui beberapa lembar sahaja. Cetakan ketiga diusahakan oleh percetakan yang sama, dalam tahun 1330 H/1911 M. Selain itu terdapat edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang dan edisi-edisi cetakan di Patani.

7. Puisi Pada Kitab Bidayatul Hidayah. Puisi yang terdiri dari 9 bait ketika beliau mentashhih karya ulama Aceh itu hanya terdapat pada cetakan-cetakan mutawal saja. Seiringan dengan puisi pada bahagian tepi kitab tersebut terdapat taqrir Sheikh Ahmad al-Fathani yang boleh dianggap sebagai suatu karya dan pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani juga, tahun 1303 H/1886 M di Mekah.

8. Tarikh Turki ‘Utsmani, diselesaikan penulisannya pada hari Isnin,18 Syawal 1303 H/20 Julai 1886 M di Mekah.

9. Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, diselesaikan penulisannya pada malam Ahad, 14 Rabiulakhir 1304 H/10 Januari 1887 M. Hanya ditemui cetakan The United Press,

10. ‘Idul Juman fi ‘qaidil Iman, diselesaikan penulisannya pada 6 Muharam 1306 H/13 September 1888 M. Cetakan pertama kitab tersebut diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 H/1899 M dan terdapat beberapa edisi lainnya. Pada masa sekarang kitab ini tidak beredar lagi.

11. Sa’adatul Mutanabbih fil Maut wa ma Yata’allaqubih, diselesaikan penulisannya, pada 29 Rejab 1306 H/1 April 1889 M di Mekah. Ditemui sebuah manuskrip asli tetapi tidak berjudul. Judul ini diberikan oleh Haji Wan Ismail bin Hawan (menantu cucu kepada Sheikh Ahmad al-Fathani) sewaktu kitab tersebut akan dicetak.

Cetakan pertama kitab tersebut atas usaha Haji Wan Ismail di Muslim Press, Patani, tanpa catatan tarikh cetakan. Pada cetakan tersebut terdapat kata pengantar daripada Haji Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili al-Indunisiyi, guru yang mengajar di Masjidil Haram Mekah.

12. Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 19 Rabiulakhir 1307 H/13 Disember 1889 M. Cetakan mutawal yang telah ditemui oleh Math-ba’ah al-Miriyah, Mekah, dalam tahun 1309 H/ 1891 M.

Selain itu terdapat lagi kitab yang edisi cetakan Saudara Press, Patani, dalam tahun 1377 H/1957 M atas usaha anak beliau Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani.

13. Hadiqatul Azhar war Rayahin, diselesaikan penulisannya pada hari Sabtu, 15 Syaaban 1307 H/6 April 1890 M. Cetakan pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, tahun 1307 H/1890 M dan 1321 H/1903 M. Cetakan keempat diusahakan oleh Persama Press, Pulau Pinang, tahun 1377 H/1958 M, dan terdapat beberapa edisi cetakan lainnya termasuk cetakan di Istanbul.

14. Bahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtadin, diselesaikan penulisannya pada hari Jumaat, 13 Rabiulakhir 1310 H/4 November 1892 M, di Mekah. Cetakan pertama dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1310 H/1892 M.

Cetakan ketujuh kitab tersebut dilakukan oleh Patani Press dalam tahun 1385 H. Kitab ini masih digunakan sebagai bahan mengajar.

15. Tuhfatul Ummah ‘ala Nabiyiha Nabiyur ar-Rahmah, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 5 Syawal 1310 H/22 April 1893 M.

16. Kumpulan Doa, tahun 1311 H/1894 M.

17. Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 3 Zulhijjah 1312 H/28 Mei 1895 M di Mekah. Cetakan pertama dan kedua kitab tersebut dilakukan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, dalam tahun 1313 H/1895 M dan 1332 H/1913 M. Selain itu terdapat lagi edisi yang dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang.

18. Faridatul Faraid fi ‘Ilmil Aqaid, diselesaikan penulisannya pada waktu Dhuha, hari Isnin, 12 Rabiulawal 1313 H/2 September 1895 M di Mekah. Cetakan pertama diusahakan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1313 H/1895 M dan cetakan ketiga tahun 1317 H/1899 M.

Pada Rabiulawal 1325 H/April/Mei 1907 M percetakan yang sama mencetaknya lagi tetapi tidak menyebut cetakan yang keberapa. Semua cetakan itu dilakukan ketika pengarangnya Sheikh Ahmad al- Fathani masih hidup.

19. ‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanul Falah, sesudah Asar, hari Jumaat, 7 Syawal 1319 H/16 Januari 1902 M di Mekah.

20. ‘Aqidatu Ushuliddin, tahun 1321 H/1904 M di Mekah.

21. Mir-atul A’ajib fi Jawabi Sualil Majazib, tahun 1324 H/ 1906 M di Mekah.

22. Puisi Shufi, diselesaikan penulisannya sesudah kitab nombor 21 di atas, iaitu dalam tahun 1324 H/1906 M. Puisi tersebut terdiri daripada 28 bait.

23. An-Nurul Mubin

24. Sejarah Lampung Pecah.

25. Al-Fatawal Fathaniyah, tanpa catatan tarikh. Hendaklah diperhatikan bahawa Al-Fatawal Fathaniyah ini berbeza dengan Al-Fatawal Fathaniyah yang beliau tulis dalam bahasa Arab.

Cetakan pertama kitab ini dilakukan oleh Printing Company pada tahun 1331 H/1913 M dan tidak berapa lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Arab belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Cetakan pertama yang lebih lengkap yang diusahakan oleh anak pengarangnya, Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani dicetak oleh Mathba’ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, pada tahun 1354 H/1935 M. Cetakan yang ketiga oleh Patani Press dalam tahun 1377 H/1957 M tersebut adalah yang paling lengkap.

Berdasarkan ‘Pendahuluan’ Kadi Haji Ismail al-Fathani pada cetakan kedua oleh Patani Press, menyebut bahawa cetakan di Kota Bharu, Kelantan juga dari cetakan yang pertama hingga ketiga, hanya memuat separuh ‘jawapan’ Sheikh Ahmad al-Fathani sahaja.

Sebenarnya cetakan terakhir kitab tersebut oleh Patani Press, juga belum lengkap kerana beberapa jawapan Sheikh Ahmad al-Fathani yang saya temui setelah Kadi Haji Wan Ismail al-Fathani meninggal dunia (1958) masih banyak dan belum dimuat dalam kitab itu.

26. Fatwa Puasa Dengan Hisab Taqwim Dan Ru’yah, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

27. Sejarah Patani Melawan Siam atau dengan judul yang lain Fadhilah Ahmad Fathani, belum ditemui sehingga sekarang. Judul ini diketahui hanya berdasarkan cerita yang mutawatir.

28. Puisi Pada Kitab Ad-Durrits Tsamin. Puisi pada kitab tersebut terdiri daripada 10 bait, terdapat pada cetakan-cetakan mutawal kitab itu.

29. Puisi Pada Kitab Zahrah al-Murid, terdiri daripada 13 bait.

30. Puisi Pada Kitab Sabil al-Muhtadin, iaitu selain puisi berbahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri dari 28 bait.

31. Puisi Pada Kitab Al-Jauharil Mauhub, selain puisi dalam bahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri daripada 14 bait.

32. Puisi Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan, selain puisi dalam bahasa Arab yang telah disebutkan terdapat lagi puisi dalam bahasa Melayu, yang terdiri daripada 10 bait.

33. Nazham Fikir Pelita Hati, ditemui manuskrip salinan Tok Kelaba. Cetakannya ditemui dalam dua karya Sheikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, iaitu Nurul Abshar dan sebuah lagi karya tashihan, iaitu Miftahul Murid, cetakan pertama Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1330 H. Puisi tersebut terdiri daripada sembilan bait.

34. Daftar Cakap Melayu, iaitu daftar perkataan-perkataan Melayu yang dimulai dari huruf Alif hingga huruf Ya. Hanya ditemui sebuah salinan Tok Kelaba, tetapi tidak lengkap. Tok Kelaba al-Fathani selesai menyalinnya pada tahun 1354 H/1935 M.

35. Dan lain-lain.

Kitab-kitab yang ditashhih

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah orang pertama menjadi pentashhih sama ada kitab berbahasa Arab, mahupun kitab berbahasa Melayu.

Istilah tashhih untuk pemeriksaan kitab diperkenalkan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam tahun 1288 H/1871 M. Hingga ke hari ini istilah itu masih dipakai di seluruh dunia. Ini bererti kata tashhih adalah ciptaan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani berasal dari kata Arab.

Di bawah ini penulis senaraikan kitab-kitab yang ditashhih Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu beliau baca kitab tersebut secara keseluruhan dari halaman awal hingga akhir, sama ada yang bahasa Arab mahupun yang bahasa Melayu.

Kitab-kitab yang terdapat kesilapan atau kurang tepat menurut jalan bahasa, maka beliau tambah, menghilangkan kalimat yang kurang sempurna mahupun mengubah dan memberi komentar.

Bagi yang berbahasa Melayu, apabila terdapat kata-kata yang tidak popular pada zaman itu, maka kata-kata tersebut beliau hilangkan.

Seumpama karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang mencantumkan bahasa Patani, karangan ulama Banjar yang mencantumkan bahasa Banjar dan lain-lain daerah, maka beliau ganti dengan bahasa Melayu yang berlaku di tanah Jawi/Asia Tenggara pada zaman itu.

Menurut istilah Sheikh Ahmad al-Fathani ialah ‘Bahasa Tengah’. Pekerjaan tashhih juga dikerjakan dalam dua perkara iaitu;

A. Kitab-Kitab bahasa Arab, dan

B. Kitab-Kitab bahasa Melayu. 



PENULIS masih lagi membicarakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditujukan kepada Sultan Terengganu, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Maka ia diteruskan pula mengenai puisi-puisi pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu, dan pengharapan kepada cendekiawan.

Pujian untuk Sultan Terengganu

Puisi pada bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Terengganu, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini iaitu pada bait yang ke-18, 19 dan 20.

Terjemahannya adalah berikut:

“Baginda adalah orang yang mulia,

bahkan kemuliaan itu,

warisan daripada datuk neneknya

keturunan mulia

dari dahulu sampai sekarang

Memang raja putera raja

Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan

yang tiada pernah putusnya

Keturunan Saiyidina ‘Ali

Saiyid anak Saiyid

Keturunan yang tak melahirkan,

kecuali hanya kemuliaan.”

Syarah

Pada bait yang ke-18 dan 19, Sheikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda Sultan Terengganu adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, bagaimanapun salasilah yang telah ditemui masih dalam keadaan yang berbeza-beza.

Yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, “...maka Tun Zainal ‘Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya. Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu Kerabat-Kerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun- temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah...”.

Tulisan MISBAHA berbeza dengan sebuah salasilah yang diusahakan oleh Raja Haji Abdullah dan kawan-kawan, yang berasal dari Riau, diriwayatkan bahawa nama asal Sultan Terengganu yang pertama itu ialah Raja Ali, Mangku Bumi di Kerajaan Inderagiri tahun 1715 M - 1735 M digelar Zainal Abidin.

Dinyatakan pada salasilah bahawa ayahnya ialah Sultan Inderagiri yang kelima, bernama Sultan Jalaluddin Sulaiman Syah yang memerintah tahun 1658 M - 1669 M. Sultan Jalaluddin Sulaiman Syah adalah putera Sultan Jamaluddin Keramat Syah yang memerintah tahun 1599 M - 1658 M. Sultan Jamaluddin Keramat Syah putera Raja Ahmad digelar sebagai Sultan Muhammad Syah yang memerintah tahun 1557 M - 1599 M.

Dalam salasilah yang lain pula ada yang meriwayatkan sebagai berikut:

lTun Seri Lanang, iaitu Bendahara Paduka Raja Johor (1580-1615 M)

lPuteranya Tun Mat Ali, juga Bendahara Paduka Raja Johor

lPuteranya Tun Habib Abdul Majid, juga Bendahara Paduka Raja Johor (1688-1697 M)

lPuteranya Tun Zainal Abidin Paduka Raja kemudian bernama Sultan Zainal Abidin I

lSultan Terengganu yang pertama, 1725-1733 M

lPuteranya Tun Dalam, iaitu Sultan Mansur Syah I, Sultan Terengganu yang kedua, 1733-1093M

lPuteranya Sultan Zainal ‘Abidin II, Sultan Tereng-ganu yang ketiga, 1793-1808 M

lPuteranya Sultan Ahmad Syah I, Sultan Terengganu yang keempat, 1808-1830M

lPuteranya Sultan Daud, Sultan Terengganu yang keenam, yang memerintah hanya setahun sahaja, iaitu pada tahun 1831 M

lPuteranya Tengku Mahmud, Yang Dipertuan Muda Terengganu.

lPuteranya Sultan Ahmad Syah II, Sultan Terengganu yang kesepuluh, 1876 M -1881M.

lSultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu yang kesebelas, 1881 M - 1919 M.

lSultan Zainal Abidin III inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam puisi beliau itu.

Dalam salasilah di atas didapati bahawa Sultan Zainal Abidin I adalah putera Tun Habib Abdul Majid. Tun Habib Abdul Majid pula adalah putera Tun Mat ‘Ali, Bendahara Paduka Raja Johor, salasilah ini ternyata berbeza dengan satu salasilah lain yang menyebut Tun Habib Abdul Majid adalah putera Maharaja Sri Di Raja.

Maharaja Sri Di Raja pula adalah putera Saiyid Zainal Abidin atau Tun Dagang bin Saiyid Abdullah al-Aidrus. Dari salasilah inilah yang bersambung terus hingga ke atas sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Kemungkinan dari salasilah inilah Syeikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa Sultan Zainal Abidin III adalah “Keturunan Saiyidina Ali ...”, pada bait yang ke-20. Yang dimaksudkan ialah Saidina Ali bin Abi Thalib, sahabat Nabi Muhammad SAW, saudara sepupunya, anak angkatnya dan sekaligus adalah menantu Nabi Muhammad SAW.

Hasil daripada perkahwinan Saiyidina Ali dengan Saidatina Fathimah itu, maka lahirlah keturunan “Saiyid” di seluruh dunia termasuk dunia Melayu. Seterusnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, “Keturunan yang tak menzahirkan, kecuali hanya kemuliaan.”

Penghargaan kepada umat Islam dan Melayu

Bahagian seterusnya pula merupakan pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu. Puisi tersebut ternyata beliau tujukan kepada Sultan Terengganu, tetapi dalam Hadiqatul Azhar yang beliau tulis dalam bahasa Melayu adalah lebih luas lagi, iaitu ditujukan kepada Sultan-Sultan dan Raja-Raja Melayu di seluruh dunia Melayu.

Terjemahan puisi tersebut adalah berikut:

“Aku berharap,

semoga bangsa Melayu dapat maju

dengan pimpinannya

Dan dapat mencapai kemuncak peradaban

dan kesejahteraan.

Aku berharap,

semoga baginda berkenan menyebarkan ilmu,

ma‘rifah dan petunjuk

Lalu baginda menjadi kebanggaan

dan rakyat mendapat kejayaan.”

Syarah

Puisi pada bait yang ke-22 di atas adalah sangat identik dengan dua pucuk suratnya kepada Sultan Zainal Abidin III, dan sepucuk kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan sewaktu Nik Mahmud itu beliau hantar belajar ke Mesir. Kandungan penting surat-surat tersebut adalah seperti berikut:

l Surat Kepada Sultan Abidin III, 13 Muharam 1323 H, “Serta dilanjutkan zaman Duli Tuanku serta zuriat Tuanku di dalam hening kerajaan yang tiada mencampuri akan dia kadr dan menyakiti oleh ajanib. Dan dilimpahi dengan nikmat dan rahmat, dan kekayaan yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu.”

l Surat Kepada Sultan Zainal Abidin III, tanpa kenyataan tarikh, “Khusus minta lanjutkan umur Tuanku dan ‘iyal Tuanku Yang Maha Mulia di dalam berkekalan keridhaan Allah dan shafa’ kerajaan serta bertambah-tambah ketinggian dan luas daerah at-tamaddun bagi ummah al-Malayuwiyah dengan himmah dan tuah Tuanku yang ‘alaih. Yang mendapatkan kuat yang disuruh dengan dia di dalam ayat al-Quraniyah. Maka mendapat kita dengan demikian itu as-sa‘adah al-abadiyah.”

l Surat Kepada Nik Mahmud, lembaran 433, tanpa tarikh, “Supaya terangkat dengan demikian itu oleh nama jenis Melayu. Berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib. Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syarak.”

Sambungan seterusnya kalimat puisi pada bait yang ke-22 yang ditulis dalam bahasa Arab, dan terjemahan adalah berikut:

“Dan dapat mencapai kemuncak peradaban dan kesejahteraan”, kalimat ini pula sama tujuannya dengan kalimat beliau, “serta bertambah-tambah ketinggian dan luas dairah at-tamadun bagi ummah al-Malayuwiyah” (surat nombor 2). Dan sama tujuannya pula dengan kalimat beliau. “Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamaddun yang muafakat dengan syarak” (surat nombor 3).

Puisi pada bait yang ke-25 dan ke-26 adalah penting untuk ditafsirkan. Namun di sini penulis mulai dari bait yang ke-24, terjemahannya adalah berikut:

“Dan yang lebih besar lagi,

aku berharap,

semoga baginda berkenan menyuruh ulama

dan cendekiawan yang memahami petunjuk

Agar mereka dapat

membukukan bahasa Melayu

Kerana aku bimbang ia akan hilang

atau dirusak oleh perubahan

yang berlaku dari masa ke masa

Begitu pula hendaklah mereka itu

mengarang Sejarah Melayu

yang meliputi segala perihal Melayu

Kalau tidak, mereka nanti akan hilang,

dalam lipatan sejarah.”


Syarah

Mengenai bahasa Melayu seperti yang tertera pada bait yang ke-24 dan ke-25 di atas, terdapat sebuah tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani yang sama maksudnya, dengan puisi tersebut, iaitu: “Dan tercita-cita di dalam hati hamba, adalah setengah daripada orang yang petah-petah daripada ahli Melayu ia mentaklif pada mensabitkan lughat Melayu supaya ia terpelihara dari tahrif dan tabdil dengan sebab berlamaan masa dan dengan sebab bercampur dengan beberapa bahasa yang lain. Dan bahawa ia menterjemah kepada bahasa Melayu akan setengah-setengah daripada lughat Arab supaya mudah bagi tiap-tiap thalib oleh kehendaknya.

Huraian Sheikh Ahmad al-Fathani tentang bahasa Melayu, kata beliau, “Bermula kalimah lughat itu, ertinya: bahasa. Dan iaitu beberapa suara yang mengibarat dengan dia oleh tiap-tiap kaum daripada kehendak mereka itu.... Adapun takrif ilmu lughat, maka iaitu ilmu yang dibicarakan padanya akan tiap-tiap daripada segala lafaz yang dihantarkan daripada pihak menunjuknya atas segala maknanya dengan muthabaqah (berlapis-lapis)"

“Dan adalah ilmu lughat ini telah mengamat-amati dengan dia oleh bangsa yang besar-besar lain daripada bangsa Melayu kita. Istimewa orang Arab, maka mereka itulah terlebih terdahulu pada mentadwinkan dia dan mendhabithkan dia. Dan awal kitab yang dihantarkan pada lughat mereka itu, “Kitabul ‘Ain” bagi Khalil. Yang dialah awal mereka yang mentadwinkan ilmu ‘Arudh.

Kemudian maka menghantarlah mereka itu padanya akan beberapa banyak kitab yang besar-besar seperti Qamus dan Lisanul ‘Arab. Dan kemudian daripada demikian itu dengan masa yang lama maka meniru akan mereka itu oleh Peransis (Perancis) dan Inkeliz (Inggeris), dan lainnya daripada umat Nashara. Maka mentadwin mereka itu akan lughat mereka itu pada beberapa kutub (kitab-kitab). Dan menterjemah mereka itu akan lughat Arab kepada lughat mereka itu. Dan berbimbang mereka itu dengan mengajar dan berlajar mereka itu akan dia. Dan [mengambil] manfaat beberapa daulat mereka itu pada demikian itu akan beberapa banyak harta. Dan memuji mereka itu akan ‘ulama’ Arab pada demikian itu, dan mencerca mereka itu akan ‘ulama’ Yahudi. Berkata mereka itu, “Betapalah Yahudi yang adalah mereka itu dahulu daripada masa Masihi dengan beberapa ribu tahun tiada terlintas pada hati seseorang mereka itu bahawa mengarangkan pada mendhabitkan lughat mereka itu hingga masuk ia kepada berubah-ubah melainkan kemudian daripada ditadwinkan bahasa Arab dengan beberapa masa yang lain.” (Hadiqatul Azhar, 1321: 187-188).

Ketokohan

Ketokohan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bahasa Melayu sangat menyerlah apabila kita kaji dengan teliti beberapa tulisan beliau dalam Hadiqatul Azhar.

Begitu juga tulisannya dalam Al-Fatawal Fathaniyah, yang membuat perbandingan antara bahasa Arab, bahasa Kemboja dan bahasa Melayu termasuk bahasa-bahasa suku kaumnya.

Dari karya beliau Al-Fatawal Fathaniyah juga dapat kita hubungkaitkan dengan perkataan beliau, “Supaya ia terpelihara daripada tahrif (perubahan) dan tabdil (bertukar)”. Selengkapnya telah dibicarakan dalam buku Sheikh Ahmad Al-Fathani, Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1, halaman 150 - 162.

Dalam beberapa karyanya yang ditulis dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa “Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling fasih diucapkan sesudah bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu bahasa Arab”.

Dalam karyanya berjudul Tashilu Nailil Amani dalam bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa yang digunakan oleh suku kaum yang berada di dunia Melayu.

Beliau berpendapat, “Bahasa Melayu adalah bahasa yang paling ringan dan mudah daripada bahasa-bahasa penduduk wilayah itu. Kerana itulah kebanyakan orang Hijaz /Arab menggunakan bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa-bangsa di wilayah-wilayah tersebut yang berlainan bahasa dengan bahasa Melayu …”

Penghargaan kepada cendekiawan

Kemudian pada bait yang ke-26, dengan jelas Sheikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa penulisan Sejarah Melayu sama pentingnya dengan mendokumentasikan bahasa Melayu.

Pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai pendokumentasian Bahasa Melayu dan Sejarah Melayu bukan hanya untuk Sultan Zainal Abidin III saja, tetapi juga ditujukan kepada golongan cendekiawan Melayu setiap zaman. Ini berdasarkan pengertian dari bait yang berikutnya atau bait yang ke-27, 28 dan 29, iaitu:

“Wahai segala cerdik pandai !

Hidupkan sejarah bangsamu

Dengan itu, kamu

akan disebut dalam sejarah

dan namamu

akan harum sepanjang masa

Dalam menulis sejarah

hendaknya diambil perhatian !

Menampilkan kebaikan raja-raja Melayu.

supaya sebutan baik dapat dikekalkan

Dengan itu, kamu

akan menjadi bangga

dan bernilai di mata lain bangsa

Kerana kamu,

telah dipimpin oleh raja yang bijak, berilmu dan berwibawa.”

Syarah

Mesej puisi di atas ada persamaannya dengan tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdapat dalam Hadiqatul Azhar, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Oleh itu diturunkan beberapa bait sebagai contoh, seperti kata beliau, “Serta dapat pula bagi hadhrat segala raja-raja [Melayu] itu, jikalau diperbuatkan demikian itu, [akan] keredaan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya yang mulia. Dan jadilah mereka itu terladang dan ikutan bagi segala mereka yang kemudian daripada mereka itu.

Maka masuk mereka itu di dalam mereka yang diimtinan [oleh] Allah dengan mereka itu seperti firman Allah........ (surah as-Sajadah, ayat 24). Ertinya: Dan kami jadikan mereka itu segala yang menunjuk mereka itu dengan pekerjaan kami. “Dan dapat pula bagi mereka itu pahala yang amat besar ganda berganda kerana pahala tiap-tiap mereka yang dapat manfaat dengan segala perbuatan itu, dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan yang menirukan perbuatan itu, terbahagi ia dengan mereka itu selama-lamanya.” 


PENGENALAN
Mengenai karya-karya Sheikh Ahmad al-Fathani telah dibicarakan secara umum sebelum ini. Maka penulisan mengenai beliau ini masih diteruskan lagi kerana masih banyak yang perlu dibicarakan dalam pelbagai perkara.

Adapun setelah selesai mengenai karya-karya beliau, dilanjutkan pula perkara yang berkaitan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai ilmu. Mengenai demikian, ia dibahagikan kepada tiga bahagian. Pada setiap bahagian pula mempunyai subjudul yang tersendiri.

Pada bahagian pertama ini, dimulakan perbicaraan mengenai beliau sebagai Pentashhih dan Filolog Melayu. Seterusnya akan dilanjutkan mengenai penglibatan beliau dalam media cetak dan pemikiran dalam politik. Tidak ketinggalan juga mengenai pemikirannya tentang Sains dan Teknologi, falsafah, ilmu Hisab atau Falakiyah, ilmu perubatan, dan sejarah.

Pada bahagian kedua pula, ia dilanjutkan mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dan ilmu-ilmu al-Quran. Dalam hal ini, di bawahnya dibicarakan beberapa subjudul, antaranya Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab al-Mawahib al-Makkiyah dan Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab Maurid azh-Zhammaan. Kedua-dua kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu tajwid.

Dilanjutkan pula dengan subjudul lain, iaitu Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Pada Kitab Mujarrabat al-Fawaid. Kitab ini membicarakan ilmu hikmah dan fadilat-fadilat ayat-ayat atau pun surah-surah dalam al-Quran.

Bahagian kedua tersebut berakhir dengan Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani Mengenai Khatam al-Quran.

Pengakhiran bahagian iaitu bahagian ketiga ialah mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dan ilmu-ilmu hadis. Di dalamnya dibicarakan puisi-puisi beliau dalam beberapa kitab, antaranya kitab Kasyful Ghummah, kitab al-Jauhar al-Mauhub dan kitab al-Kaukab ad-Durriy.

Sheikh Ahmad al-Fathani

Sebagai Pentashhih dan Filolog Melayu

Pengumpulan manuskrip daripada berbagai-bagai karya yang dilakukan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani sangat erat hubungannya dengan kerja-kerja pentashhihan yang melibatkan ilmu filologi. Dalam pengertiannya yang sederhana, Siti Hawa Haji Salleh dalam Hikayat Patani (1992) di halaman 1, mengatakan bahawa, “filologi ialah kajian tentang naskhah [lama] untuk menetapkan keaslian, bentuknya semula, serta makna isinya”.

Oleh itu tidak keterlaluan apabila kita meletakkan Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai tokoh yang awal di dunia Melayu yang memperkatakan filologi Melayu.

Sebelum menerbitkan sesuatu naskhah, Sheikh Ahmad al-Fathani terlebih dulu mengumpulkan berbagai-bagai versi naskhah sesuatu judul. Jika belum ditemui naskhah yang asli, maka beliau terpaksa mengumpulkan naskhah salinan yang lebih banyak lagi. Selain menggunakan naskhah asli atau naskhah salinan, Sheikh Ahmad al-Fathani merujuk kepada naskhah yang pernah diterbitkan dalam bentuk litografi (huruf batu) jika ada.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, huruf litografi telah dilakukan di Sungai Pura. Sungai Pura yang disebutkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu belum begitu jelas, berkemungkinan adalah Singapura, tetapi Singapura beliau tulis dengan nama Singapura juga. Oleh itu berkemungkinan ada tempat lain yang bernama demikian.

Jika sesuatu karya Melayu itu merupakan karya terjemahan dari bahasa Arab ataupun dari bahasa Parsi, maka Sheikh Ahmad al-Fathani membanding naskhah terjemahan itu dengan kitab asli pengarangnya sendiri. Jika ditemui sesuatu naskhah yang tidak terdapat nama pengarangnya, maka beliau menggunakan ilmu linguistik untuk menentukan gaya bahasa naskhah yang digunakan oleh seseorang pengarang atau gaya bahasa yang digunakan di sesuatu daerah.

Hal yang tersebut pernah berlaku pada kitab Syarah Hikam Melayu, yang mana pada salah satu terbitan kitab ini beliau tulis catatan, “Telah sempurnalah menthaba’kan ini kitab yang mustatab, iaitu syarah Hikam Ibnu ‘Athaullah, dengan bahasa Melayu. Dan ditashhihkan dan muqabalahkan daripada mulzamah yang keempat hingga kepada ke 17 dengan naskhah yang dibaiki oleh Sheikh Abdul Muthallib ibnu al-Faqih al-Kalantani...Dan adalah selesai mencapkan dia pada pertengahan bulan Syawal 1309 daripada hijrah Nabi kita...”

Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani senantiasa menggunakan naskhah yang banyak untuk mengkaji sesuatu judul, maka hendaklah dirujuk tulisan beliau pada cetakan ad-Durr an-Nafis karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, “Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini, bahawasanya segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya. Dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih sesuai dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripadanya salah satu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat...” (Syeikh Muhammad Nafis, 1884 M/1302 H).

Berdasarkan huraian di atas, selain menggunakan manuskrip, Sheikh Ahmad al-Fathani kadang-kadang menggunakan juga teks yang dicetak lebih awal, seperti yang beliau nyatakan pada beberapa buah kitab yang beliau tashhih dan terbitkan.

Dalam kitab Furu’ al-Masail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani beliau berkata, “Ketahui olehmu, bahawasanya khutbah kitab ini bersalah-salahan nusukh (jamak perkataan naskhah) padanya, dan berfaraq-faraq sebagai faraq yang jauh antara segala naskhah khat dengan naskhah cap yang dicapkan pada Sungai Pura. Maka yang diitsbatkan dengan naskhah thaba’ ini seperti khutbah cap Sungai Pura kerana ia terlebih manis kalamnya dan terlebih betul kaedah nahunya ...” Kesimpulannya didapati bahawa mukadimah naskhah (manuskrip) kitab Furu’ al-Masail yang ada pada Sheikh Ahmad al-Fathani adalah berbeza dengan mukadimah Furu’ al-Masail pada cetakan Sungai Pura. Tetapi Sheikh Ahmad al-Fathani menurut pilihannya berdasarkan nahu, linguistik, gaya bahasa dan lain-lain, beliau menggunakan cetakan litografi Sungai Pura bukan naskhah tulisan tangan (manuskrip).

Jika konteks karya terjemahan, Sheikh Ahmad al-Fathani membandingkannya dengan karya bahasa asal, selain naskhah (manuskrip) terjemahannya. Sebagai contoh beliau nyatakan dalam kitab Kasyf al-Ghummah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, “Dan adalah hamba muqabalahkan pada tashhihnya dengan Mukhtasar al-Sya’rani bagi asal yang Arabi, iaitu At-Tazkirah al-Qurthubiyah. Dan hamba tashlih (perbaiki) setengah daripadanya yang tahrif. Maka terjadilah ia bersih ...”

Ini bererti, Sheikh Ahmad al-Fathani selain merujuk kitab asli dalam bahasa Arab, beliau juga membetulkan kekeliruan, kesalahan dan lain-lain yang terdapat pada naskhah (manuskrip) terjemahan.

Tindakan Sheikh Ahmad al-Fathani memansukhkan penelitian awal apabila ada penemuan baru dinyatakan dalam kitab Syarah Hikam Melayu. Dalam kitab Syarah Hikam Melayu yang dicetak dalam tahun 1302 H/1884 M oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Sheikh Ahmad al-Fathani mengatakan, “... Dan adalah tharah kitab ini, dahulu hamba sebutkan hal keadaan nuqil daripada setengah manusia, bahawa kitab ini karangan bagi setengah daripada ‘ulama’ Terengganu. Kemudian nyata bagi hamba, kemudian daripada periksakan aturan ibaratnya dan pilikkan (pelat) cakapannya, bahawasanya bukan ia bagi orang Terengganu. Maka ada pula orang yang mengkhabar bahawasanya ia karangan orang Aceh adanya. Dan adalah yang muqabalahkan dia atas sekira-kira barang yang ada pada asal naskhahnya. Al-faqir al-fani Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani musyarakan li anisihi al-fadhil Daud ibni almarhum Ismail al-Fathani. Dan selesai mengecapkan dia pada pertengahan bulan Syawal sanah 1302 daripada hijrah Nabi kita Alaihis Shalatu was Salam ...”

Berdasarkan keterangan di atas kita dapati bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani telah membanding gaya bahasa yang digunakan oleh orang Terengganu dengan orang Aceh, untuk menentukan keaslian kitab Syarah Hikam Melayu.

Sehubungan dengan cetakan beberapa buah kitab, telah berlaku pemalsuan nama Sheikh Ahmad al-Fathani sebagaimana beliau nyatakan pada cetakan Hidayah as-Salikin yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1303 H/1885 M.

Katanya, “Ketahui olehmu, telah dithaba’ dahulu daripada ini beberapa kali akan kitab ini (maksudnya: Hidayah as-Salikin) dan kitab Sabil al-Muhtadin thaba’ yang kedua, dan kitab Hikam thaba’ yang kedua juga dengan ketiadaan tashhih. Dan hasil pada sekalian kitab itu salah dan tahrif yang amat banyak. Dan dibangsakan tashhihnya itu kepada hamba yang faqir. Maka hendaklah jangan diperpegangkan dan dipercayakan dengan demikian itu kerana bahawasanya semata-mata dusta dan buat-buat jua ...”

Pada peristiwa lain, Sheikh Ahmad al-Fathani membantah sebuah karya yang dikatakan karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau menulis, “Dan ketahui olehmu, bahawasanya permulaan barang yang hamba ketahui disebutkan ‘harus yang empat itu’ di dalam satu risalah dengan bahasa Melayu yang tiada disebutkan nama muallifnya. Maka mengambil oleh seorang Hindi (India) yang menjual beberapa kitab pada Babussalam, namanya Abdullah Mujallid. Maka ia thaba’kan dia pada negeri Hindi dan dibawa jual ke Mekah. Maka bersangatan lakunya, dibeli bawa pulang kepada segala negeri Melayu. Kerana pada masa itu belum ada dithaba’kan kitab-kitab Melayu. Dan tiap-tiap ditanyakan Abdullah Mujallid itu, daripada siapa-siapa muallif risalah itu, berkata ia, “Ini risalah karangan Sheikh Daud”, dengan semata-mata bohongnya, supaya banyak gemar orang pada membelinya, kerana banyak karangan Sheikh Daud dan masyhurnya.

Maka tatkala mengulang ia akan cap risalah itu, ia taruhkan pada tepi risalah itu, pada awalnya, bahawasanya ia karangan Sheikh Daud. Padahal risalah itu bukannya daripada karangan Sheikh Daud; seperti barang yang diketahui daripada memperiksakan segala ibaratnya dan loghatnya ...” (Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar, cetakan 1331 H, hlm. 28-29).

Dengan kenyataan itu, jelas bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani merupakan seorang ulama yang rajin membuat penyelidikan terhadap sesuatu karya sehingga dapat mengenal pasti bahawa gaya bahasa yang digunakan dalam risalah kecil yang membicarakan sifat 20 bukanlah milik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Kita perhatikan pada kitab Syarah Hikam Melayu, beliau dapat mengenal karya tersebut berasal dari daerah mana. Kepakaran Sheikh Ahmad al-Fathani pada konteks ini bukan hanya mengenali gaya bahasa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani saja, tetapi semua gaya bahasa ulama yang kitabnya pernah ditashhihkannya. Ini termasuklah ulama-ulama yang mengarang kitab dalam bahasa Arab, baik ulama yang berasal dari alam Melayu mahupun bukan. 

Untuk meluaskan penerbitan kitab-kitab Melayu/Jawi, maka Sheikh Ahmad al-Fathani berjuang dan berusaha mendekatkan diri dengan pemilik-pemilik mathba’ah atau percetakan di Mesir, supaya naskhah-naskhah Islam sama ada yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun dalam bahasa Melayu terus dibaca dan berkembang.

Beliau bersahabat dengan seorang hartawan Mesir yang bernama Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby. Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby melantik Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai penyemak kitab-kitab Arab yang sedang diproses di Mathba’ah Mushthafa al-Baby al-Halaby itu. Ketika itulah Sheikh Ahmad al-Fathani mula mengemukakan pendapat untuk mencetak karangan-karangan ulama yang berasal dari dunia Melayu. Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby menolak usul Sheikh Ahmad al-Fathani itu kerana memikirkan masalah memasarkan bahan tersebut.

Ini kerana di Mesir dan di tempat-tempat lain di Timur Tengah, orang Melayu didapati tidak begitu ramai. Serentak dengan itu pula, Syarif Mekah tidak membenarkan kitab-kitab selain berbahasa Arab memasuki Mekah dan Madinah. Sheikh Ahmad al-Fathani merasa kecewa kerana usulnya itu ditolak oleh Sheikh Mushthafa al-Baby al-Halaby.

Dalam diam-diam Sheikh Ahmad al-Fathani mencari pihak tertentu sebagai penaung kepada projek yang dirancangnya. Sheikh Ahmad al-Fathani bernasib baik kerana beliau memperoleh modal daripada Al-Amjad al-Kasymiri Fida Muhammad dan anaknya 'Abdul Ghani. Maka berhasillah Sheikh Ahmad al-Fathani mencetak kitab Hidayah as-Salikin karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani di percetakan Sheikh Hasan at-Tukhi, berdekatan Masjid Jami’ Al-Azhar. Kitab itu merupakan kitab Melayu yang pertama dicetak di Mesir.

Oleh kerana Syarif Makkah melarang kemasukan kitab-kitab yang bukan berbahasa Arab ke Mekah dan Madinah, maka secara diam-diam Sheikh Ahmad al-Fathani menghubungi Sultan Abdul Hamid Khan ats-Tsani, Sultan Turki Uthmaniah pada zaman itu.

Sheikh Ahmad al-Fathani faham bahawa Syarif/Raja Mekah adalah di bawah panji-panji kesultanan Turki Uthmaniah juga. Jadi, Sheikh Ahmad al-Fathani berhasrat untuk mengadap Sultan Turki, tetapi sebelum itu beliau terpaksa mengembara ke pelbagai tempat di Timur Tengah dan termasuk ke beberapa tempat di Eropah kerana mempelajari pelbagai perkembangan ilmu teknologi terkini ketika itu, termasuklah teknologi mesin cetak.

Oleh kerana Sultan Turki dapat menerima pandangan-pandangan Sheikh Ahmad al-Fathani, maka beliau dilantik oleh Sultan Turki itu sebagai mengetuai percetakan kerajaan.

Selanjutnya dalam tahun 1307 H/1889 M, Sheikh Ahmad al-Fathani dilantik pula sebagai penasihat Syarif/Raja Mekah, sekali gus diberi kerakyatan Turki Uthmaniah pada 28 Rejab 1307 H/1889 M, demi memudahkan urusan-urusan pentadbiran dan politik.

Perlu penulis sebutkan di sini bahawa pada ketika itu kemajuan mesin cetak di Eropah dan di Timur Tengah begitu pesat berkembang, tetapi malangnya kitab-kitab Islam belum lagi dicetak secara besar-besaran.

Jika dibandingkan teknologi mesin cetak di Eropah dengan dunia Melayu ternyata masih jauh ketinggalan. Percetakan di Eropah dan di Timur Tengah telah menggunakan klise timah, sedangkan di dunia Melayu masih menggunakan litografi (huruf batu).

Begitulah yang dimaksudkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam tulisannya, “Hingga meringkah mereka itu pada mengecapkan segala kitab, yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit. Sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum lagi sudah satu naskhah jua ...”

Mengenai percetakan, Sheikh Ahmad al-Fathani pada mulanya bertugas di Mathba’ah al-Miriyah Bulaq, Mesir. Kemudian ditugaskan di Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah. Antara tahun 1300 H/1882 M hingga tahun 1307 H/1889 M, beliau sentiasa berulang alik ke Mesir, Mekah dan Istanbul kerana urusan percetakan. Dengan modal yang diterima dari kerajaan Turki Uthmaniah, maka kitab-kitab Islam mulai dicetak secara besar-besaran termasuklah kitab Melayu/Jawi.

Kitab-kitab yang telah dicetak itu disebarkan ke seluruh dunia Islam. Sehubungan itu, Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani, ulama yang sezaman dengan Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah nazham khusus tentang Sultan Turki itu. Katanya,

“Memperbuat cap kitab bersangat bagus itu

Jadilah banyak kitab Melayu diterjemah itu

Banyak suka orang me[n]terjemah akan dianya

Bersungguh-sungguh kerana banyak faedah di atasnya.

Satu kitab sepuluh ribu jadi naskhahnya

Sentiasa panjang pahalanya dan amalnya”

Sebelum kemunculan aktivis Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah, beberapa kitab Melayu/Jawi pernah diproses dengan huruf litografi (huruf batu) yang menurut Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai “Peterapan Sungai Pura”. Di antara tokoh yang terlibat ialah Tengku Yusuf bin Tengku Terengganu. Kitab Furu’ al-Masail dengan huruf litografi pernah dicetak pada tahun 1291 H/1874 M disebutkan sebagai “tercetak di dalam Singapura kampung Tsum Gelam ...”.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, ada lagi kitab-kitab yang berupa cetakan awal di Sungai Pura. Semua cetakan litografi dibuat dalam jumlah yang sangat terbatas, atau jumlah yang sedikit.

Bagi memajukan percetakan di dunia Melayu, Sheikh Ahmad al-Fathani melantik beberapa orang muridnya. Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani pada mulanya bertugas di Mekah sebagai pembantu Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pentashhihan. Kemudian dilantik memimpin Mathba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah di Kota Bharu, Kelantan.

Pada masa yang sama Raja Ali Kelana mengetuai Mathba’ah al-Miriyah ar-Riyauwiyah, dan kemudiannya dinamakan sebagai Mathba’ah al-Miriyah al-Ahmadiyah. Mathba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah atas kehendak Sultan Kelantan diserahkan kepada Haji Muhammad Daud, iaitu anak Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani. Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani adalah seorang ulama besar, maka Sultan Kelantan melantiknya sebagai guru di istana dan khatib kerajaan Kelantan, lalu terkenallah namanya dengan sebutan Tok Daud Khatib.

Syarikat percetakan yang di Riau mempunyai dua nama iaitu Al-Ahmadiyah dan Riauwiyah. Nama Al-Ahmadiyah itu diberi oleh golongan intelektual Riau sebagai mengenang jasa guru mereka Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memperjuangkan penerbitan kitab-kitab secara besar-besaran di Timur Tengah dan dunia Melayu. Nama yang kedua pula ialah sempena dari nama Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi.

Berdasarkan maklumat yang ada pada penulis, Sheikh Ahmad al-Fathani telah melantik Raja Haji Ali Kelana sebagai perintis jalan kepada dunia pentashhihan dan percetakan untuk Riau-Lingga dan Singapura dalam tahun 1302 H/1884 M. Demikian juga halnya kepada saudara sepupunya Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani di Kota Bharu, Kelantan.

Snouck Hurgronje mengatakan, Sheikh Ahmad al-Fathani dilantik oleh kerajaan Turki sebagai pentashhih dalam tahun 1884 M. Tetapi berdasarkan catatan yang penulis temui, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat dalam bidang tersebut lebih awal daripada itu, sekurang-kurangnya dalam tahun 1300 H/1882 M.

Perlu dinyatakan bahawa Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura, tidak sama dengan Mathba’ah Al-Ahmadiyah Riau. Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura adalah cawangan dari Syarkah Al-Ahmadi & Co. di Pulau Midai, Kepulauan Riau. Ilham mendirikan percetakan di Singapura itu datangnya melalui Raja Haji Ahmad bin Raja Haji 'Umar/Tengku Endut dari Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani yang menceritakan cita-cita Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang percetakan itu.

Syarikat tersebut bermula dari Raja Haji Ahmad yang menghadap Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah di Pulau Penyengat. Pada 10 Syaaban 1324 H/17 September 1906 M, didirikan Syarkah Al-Ahmadi di Pulau Midai. Cawangan perniagaannya dibuka di Singapura oleh Raja Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong pada 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M. Percetakannya pula didirikan setelah Raja Haji Ahmad pulang dari Mekah. Kerja-kerja percetakan dilakukan pada 22 Rabiulakhir 1339 H/3 Disember 1920 M.

Kewujudan percetakan di Riau atau pun di Singapura adalah hasil cadangan Sheikh Ahmad al-Fathani. Percetakan di Riau secara langsung diusahakan oleh murid beliau, iaitu Raja Haji Ali Kelana. Percetakan di Singapura pula diusahakan oleh Raja Haji Ahmad. Raja Haji Ahmad tidak sempat bertemu dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana Sheikh Ahmad al-Fathani telah meninggal dunia sewaktu beliau ke Mekah. Oleh itu, Raja Haji Ahmad hanya menerima pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang percetakan melalui Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani) dan Sheikh Daud bin Mushthafa al-Fathani.

Di Patani, Raja Haji Ahmad diberi tugas oleh Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani mendirikan Mathba’ah al-Miriyah al-Fathaniyah tetapi tidak aktif. Setelah sekian lama, kemudian muncul murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang bernama Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani (lahir 1303 H/1885 M, wafat 1367 H/1947 M).

Beliau datang ke Singapura untuk mempelajari mengenai percetakan di Mathba’ah Al-Ahmadiah Singapura kerana beliau tahu percetakan di Patani mengalami kegagalan. Akhirnya beliau membuka syarikat percetakan di Pahang dengan nama Mathba’ah al-Ubudiyah al-Fathaniyah yang terletak di Beserah, Kuantan, Pahang. Tuan Guru Abu Ahmad Syamsuddin Abdul Mubin al-Fathani itu ialah ulama besar dan guru kepada Sultan Abdullah al-Muzaffar Syah ibni almarhum Sultan Ahmad al-Mu'azzam Syah. Beliau banyak menulis adalah atas permintaan Sultan Pahang tersebut.

MATHBA’AH YANG MENERBITKAN KITAB-KITAB MELAYU/JAWI

Dalam bahasa, istilah perkitaban Islam untuk percetakan lebih popular dengan sebutan mathba’ah. Ia juga memakai istilah press dan drukery. Di Asia Tenggara/Jawi, kalangan pengajian kitab dalam beberapa zamannya hanya mengenal istilah mathba’ah. Dalam masa yang agak akhir, muncul pula sebutan press itu, setelah Indonesia merdeka (1945) dan Malaya (1957), sekarang Malaysia, secara beransur-ansur kedua-dua istilah itu mulai menghilang, lalu diganti dengan percetakan.

Dengan adanya komunikasi antara Asia Tenggara dengan Timur Tengah dalam pengajian ilmu-ilmu Islam, lama kelamaan timbul inisiatif untuk lebih mempermudahkan tersebarnya ilmu pengetahuan tersebut. Ia melalui jalan percetakan/penerbitan kitab-kitab islam yang dikarang oleh ulama-ulama Asia Tenggara/Jawi pada peringkat kedua, peringkat ketiga dan peringkat keempat.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mulai bergerak ke arah tersebut sejak tahun 1288 H/1871 M. Pemikiran ke arah ini timbul setelah beliau mengembara ke banyak negeri di Asia Tenggara mahu pun negeri-negeri lainnya. Sambil mengembara beliau memperhatikan secara luas dan mendalam tentang ekonomi, sosial, psikologi, pendidikan dan lain-lain termasuk sains dan teknologi terutama aspek percetakan.

Antara lain beliau menyebut, “Hingga bersungguh-sungguh mereka itu, mengecap (mencetak) segala kitab yang boleh keluar beberapa ribu naskhah di dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum lagi sudah satu naskhah jua”.

Pada mulanya percetakan di Timur Tengah jauh lebih maju daripada di Asia Tenggara. Buktinya kitab-kitab syair yang dicetak di Singapura masih memakai huruf batu. Timur Tengah telah memakai huruf yang diperbuat dari timah tuangan. Kemajuan dunia percetakan di Singapura disebabkan adanya hubungan dengan Timur Tengah juga.

Prof. Dr. William R. Roff dalam The Origins of Malay Nationalism (Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967) antara lain menyebut, In the ninteenth century the role of literary and publication center for the Melayo-Muslim world came increasingly to be assumed by Singapore, with the added stimulus of the mole frequent and intensive communication with the Middle East, and the growing use first of the lithograph and then of the printing press.

Terjemahannya pula menurut Ahmad Boestamam dalam Nasionalisma Melayu (Universiti Malaya, 1975), “Dalam abad kesembilan belas peranan pusat persuratan dan penerbitan bagi dunia Melayu Islam semakin lama semakin diambil oleh Singapura, dan ini didorong lagi oleh keadaan-keadaan lebih kerap dan lebih banyaknya hubungannya dengan Timur Tengah serta bertambahnya penggunaan cap batu pada mulanya dan penggunaan percetakan kemudiannya”.

Bersamaan dengan aktiviti Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah dalam bidang percetakan dan penerbitan itu, seorang ulama Betawi bernama Al- Habib Utsman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya al-Alawi yang mungkin juga berhubungan dengan Timur Tengah telah berusaha untuk menerbitkan kitab-kitab ukuran kecil karyanya.

Kegiatannya mungkin dimulai sekitar tahun 1286 H, dan usahanya itu mungkin masih mempergunakan huruf batu. Perusahaannya itu beroperasi di Pertamburan Betawi. Penyebaran kitab yang dicetak oleh percetakannya itu tidak seperti yang dilakukan di Timur Tengah yang tersebar ke seluruh pelosok dunia Islam.

Ulama-ulama Patani di Mekah dalam zaman-zaman yang bersamaan tersebut di atas mendirikan ‘Kedai Kitab’ (Maktabah) yang dinamakan Al-Maktabatul Fathaniyah.

Lokasinya di Kampung Qasyasyiah, di sana ada sebuah lorong kecil yang disebut Zuqaqul Fathani. Pengasasnya ialah Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani.

Setelah kedua-duanya meninggal dunia, lalu dikelola oleh keturunannya, dimulai dari puteranya Sheikh Muhammad Nur bin Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani. Sesudahnya disambung pula Sheikh Hasan bin Sheikh Muhammad Nur al-Fathani. Hampir semua kitab karangan ulama Asia Tenggara/Jawi ada dijual di kedai kitab/maktabah itu, terutama karya-karya ulama Patani dan Kelantan mudah untuk mendapatkannya.

Terdapat sekian banyak percetakan/ mathba’ah yang mencetak kitab Melayu/ Jawi, baik yang berada di Timur Tengah mahu pun di Asia Tenggara. Antaranya Al-Kasymiri, Mesir (berdekatan Masjid al-Azhar), Daruth Thiba’ah al-Mishriyah al-Kubra (Mesir), al-Amiratul Islamiah (Mekah), al-‘Alawiyah (Bombay, India) dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan.

Untuk maklumat yang lebih terperinci, dapat dirujuk melalui buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, dari halaman 96 (terbitan Khazanah Fathaniyah, 2005). 


APABILA kita pelajari kalimat demi kalimat tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani sama ada yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu, ternyata banyak yang ke arah saintifik. Barangkali untuk menggelar Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai seorang saintis adalah sukar ditolak. Untuk meletakkan beliau sebagai ahli teknologi, memanglah terlalu berlebih-lebihan, walaupun dalam tulisan-tulisan beliau ada juga memperkatakan tentang teknologi.

Penulis memetik beberapa tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai itu dan dirasa perlu menambah sedikit keterangannya. Sebarang perkataan yang ada dalam kurungan adalah penambahan keterangan daripada penulis sendiri.

Dalam Hadiqatul Azhar, Sheikh Ahmad al-Fathani ada menulis, “Maka demikianlah amat-amati ahli negeri orang dengan syaan (urusan) ilmu pada negeri mereka itu, hingga masyhur bangsa mereka itu antara sekelian bangsa dengan kepandaian, dan kebijaksana, dan kepitihan (kepetahan) dan banyak ilmu.

“Maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah, memperbuatkan beberapa alat yang manfaat pada segala manusia.

“Yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri di dalam masa yang sedikit. Dan datang kepada mereka itu sekelian khabar daripada sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzhah. Dan mengindah-indah mereka itu akan sekelian pekerjaan lekas dan banyak.

“Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa”.

Sheikh Ahmad al-Fathani menulis hal tersebut dengan lebih terperinci di dalam Mir-ah al-A’ajib. Kata beliau, “Adakah tiada engkau ketahui atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada kuffar sekarang ini beberapa banyak ringkahan yang ‘ajib-‘ajib? Hingga sampai mereka itu kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa, yang maklum pada mereka itu dengan belon atau thaiyarah (kapal terbang), dan minthad, dan kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air seperti ikan. Telegraf yang tiada berdawai (radio), dan alat yang dilihatkan dengan dia akan segala bintang yang amat halus yang di langit, dan alat yang memegangkan suara.”

Walaupun beberapa alat moden yang ada sekarang belum wujud pada zaman Sheikh Ahmad al-Fathani, namun minda beliau telah menjangkau jauh.

Ini dapat kita buktikan dengan kalimat beliau yang menjurus kepada dunia pengkomputeran iaitu: “Dan mengindah-indah mereka itu akan sekalian pekerjaan dengan lekas dan banyak.”

Pada zaman ini, alat yang dapat melakukan pekerjaan dengan pantas dan produk yang banyak adalah komputer, sedangkan pada zaman Sheikh Ahmad al-Fathani alat tersebut belum ada.

Ini bererti kalimat beliau dapat digunakan setiap zaman apabila terdapat teknologi canggih, maka sesuatu pekerjaan itu dapat dikerjakan dengan lekas (cepat) dan banyak.

Berdasarkan tulisan Sheikh Ahmad al-Fathani, “Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa”, daripada petikan tersebut bermaksud bahawa beliau menganggap teknologi akan berkembang terus dan akan ada penemuan-penemuan baru.

Demikianlah Sheikh Ahmad al-Fathani yang berpandangan jauh sehingga orang yang waras mempercayai pandangan demikian merupakan suatu kasyaf.

Di antara kepandaian yang pernah dipraktikkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani ialah membuat emas. Pembuatan emas yang beliau lakukan bukan dari bahan baku emas, atau bahan-bahan galian lainnya, tetapi dengan jalan pembancuhan pelbagai zat lain. Beliau boleh mencipta emas murni 24 karat atau jenis-jenis emas yang lain.

Menurut riwayat, ada mengatakan bahawa naskhah catatan beliau tentang pembuatan emas itu telah beliau bakar. Namun, seorang tuan guru pondok di Patani iaitu Haji Utsman (1992 M), menceritakan bahawa dalam masa perang dunia yang kedua, beliau pernah melihat naskhah itu di rumah Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah, kerana Haji Utsman bersama-sama sahabatnya Haji Nik Abdullah pernah tinggal di rumah Sheikh Ahmad al-Fathani.

Menurut Haji Utsman lagi

bahawa di dalam naskhah pembuatan emas itu, disebut juga cara-cara membuat mancis, sabun dan lain-lain.

Beliau bersama Haji Nik Abdullah pernah cuba membuat mancis seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam naskhah itu, tetapi tidak berhasil kerana bahan-bahan yang disebutkan di dalam naskhah itu tidak terdapat di kedai-kedai sekitar Mekah kerana dunia pada masa itu berada dalam kancah peperangan.

Berdasarkan tulisan Ismail Che Daud dalam Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1), menurutnya juga mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani pandai membuat emas adalah cerita popular di kalangan ulama-ulama dunia Melayu, yang diceritakan oleh ramai orang.

Pemikiran sains dan teknologi

Pemikiran-pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani dalam sains dan teknologi dapat dilihat dalam beberapa karya-karya beliau.

Berikut adalah petikan daripada beberapa buah kitab mengenai hal demikian, iaitu:

Petikan daripada kitab Hadiqah Al-Azhar

“Maka demikian amat-amati ahli negeri orang dengan syaan (urusan) ilmu pada negeri mereka itu, hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekalian bangsa dengan: kepandaian, dan bijaksana, dan kepetahan dan banyak ilmu. Maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah (mencipta) buatkan beberapa alat yang manfaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri, di dalam masa yang sedikit.

“Dan datang kepada mereka itu sekalian khabar-khabar dari sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzhah (sekelip mata, waktu yang singkat).

“Dan me[ng]indah-indah mereka itu akan sekelian perkerjaan serta dengan lekas dan banyak. Dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa.

“Dan dengan sebab baik percaraan dan muafakat antara mereka itu: serta besar hemah, dan halus tipu daya, dan jauhilah, dan dalam tilik mereka itu, yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran mereka itu.

“Maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru. Dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang. Dan meliputi mereka itu dengan ahwal dunia, laut, dan darat.”

Menurut keterangan Yusoff Zaki Yaakob, kata-kata Sheikh Ahmad al-Fathani yang berbunyi, “serta besar hemah, halus tipu daya, jauhilah dan tajam tilik mereka itu”, adalah menjadi konsep politik Nik Mahmud Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Kata-kata tersebut sangat banyak diucapkannya. Nik Mahmud adalah murid dan kader Sheikh Ahmad al-Fathani.

Petikan daripada manuskrip Mir-atul A’ajib

Berkata hamba, “Bagi menghampirkan segala akal. Adakah tiada engkau ketahui atau lihat bahawasanya dikurniakan kepada kuffar sekarang ini beberapa banyak ringkahan (ciptaan) yang ‘ajib-‘ajib (pelik-pelik). Hingga mereka itu sampai kepada alat yang boleh musafir di dalamnya di atas hawa (udara) yang telah maklum pada mereka itu dengan belon, atau thaiyarah, atau minthad. Kapal api yang menyelam di dalam laut serta berjalan di bawah air seperti ikan. Telegraf yang tiada berdawai (radio). Alat yang dilihatkan dengannya segala bintang amat halus yang di langit.

Alat yang memegangkan suara, bahkan Amerika sekarang ini telah sampai mereka itu dengan ikhtira’ (pencipta) mereka itu kepada menghadirkan roh orang yang tidur.

Maka ia mengkhabarkan dengan barang yang ghaib daripada ahwal orang yang telah mati. Bahkan mereka itu sampai kepada menghadirkan roh orang yang mati hingga boleh dilihatkan dia dengan mata kepala, dan bertutur (bercakap-cakap) dengan dia. Padahal ia atas rupa orang mati.

Berkata hamba, “Bahawasa yang demikian itu syaitan, ia berupa dengan rupa orang mati itu kepada mereka itu. Tetapi hasil dengan demikian itu rujuk setengah daripada Falasifah Amerika kepada membenarkan barang yang sabit di dalam agama Islam, bahawasa ada bagi roh itu hakikat. Ada bangkit di akhirat, dan lainnya daripada barang yang mengingkarkan oleh kebanyakan mereka itu agama Islam.

“Maka apabila mungkin serta telah diberi kepada kuffar umpama yang tersebut itu, adakah tiada patut dikurniakan kepada setengah-setengah ahlillah barang yang tersebut ...”

Petikan daripada manuskrip Hadiqatul Azhar

“Ketahuilah olehmu, bahawasanya ahli negeri yang besar-besar, yang lain daripada ahli pihak kita, sangat mengamat-amati mereka itu dengan syaan tawarikh. Dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan kanak-kanak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekali pun. Dan berusaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala orang yang gemar padanya dengan sekalian jalan dan tipu. Hingga bersungguh-sungguh mereka itu pada mengecapkan (mencetak) segala kitab yang boleh keluar beberapa banyak ribu naskhah di dalam masa yang sedikit. Sekira-kira jikalau ditulis dengan tangan di dalam masa itu niscaya belum lagi sudah satu naskhah jua.”

Petikan tersebut mempunyai

kaitan dengan percetakan. Haruslah diingat bahawa zaman Sheikh

Ahmad al-Fathani belum ada percetakan seperti sekarang ini.

Tambahan pula sebelum aktivitinya di bidang ini, kitab-kitab Melayu/Jawi hanya berbentuk tulisan tangan. Selain itu, ia juga dalam jumlah yang

sangat sedikit dan ada juga dicetak dengan litografi.

Penutup

Pada zaman Sheikh Ahmad al-Fathani tersebut, alat-alat komunikasi moden seperti sekarang belum banyak dikenali, malahan di antaranya banyak yang tidak wujud lagi. Antaranya alat seumpama televisyen belum ada pada zaman itu.

Alat-alat seperti radio, telepon, dan telegram sekiranya ada, hanya untuk kepentingan antara kerajaan dengan kerajaan saja. Kalau kita berbicara perkara-perkara tersebut zaman sekarang, ianya bukanlah perkara aneh lagi, tetapi pada zaman Sheikh Ahmad al-Fathani adalah perkara-perkara tersebut masih dianggap mustahil dan kurang diyakini orang.

Berdasarkan petikan-petikan tersebut, jelas tergambar demikian jauh permikiran Sheikh Ahmad al-Fathani. Padahal zamannya belum begitu banyak alat-alat moden seperti sekarang.

Selain alat-alat yang disebutkan, mengenai pengangkutan juga beliau sebutkan walaupun tidak menyebut nama alat tersebut, antaranya seperti kapal terbang.

Sekiranya wujud sekalipun ia dalam jumlah yang sangat terbatas dan belum banyak dikenali orang. Bahkan mungkin kapal terbang, alat-alat canggih sekarang seperti roket dan lain-lain sebagainya memang belum ada pada zaman itu.

Barangkali tulisan beliau pada zamannya yang menyebut perkara ini banyak diketawakan orang kerana tidak masuk akal dan mustahil. Maka, berdasarkan tersebut dapat dilihat dengan nyata bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah seorang ulama yang berfikiran jauh, yang memandang kepada masa hadapan. 



SEBAGAIMANA al-Quran dengan kepelbagaian ilmunya, demikian juga halnya dengan hadis yang sangat banyak ilmu yang tertakluk dengannya. Di antara ilmu-ilmu itu ialah Ilmu Mushtalahul Hadis, Ilmu Dirayah Hadis dan Ilmu Rijal Hadis. Selain penghafal hadis dengan jumlah yang banyak, Sheikh Ahmad al-Fathani juga telah khatam pengajian ilmu-ilmu hadis terutama kitab-kitab dalam lingkungan Ahlus Sunni. Beliau belajar semua disiplin ilmu yang ada dalam persekitaran hadis.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah memperoleh sanad musalsal yang dianggap penting dalam ilmu hadis. Dalam umur masih muda, Sheikh Ahmad al-Fathani telah menguasai ilmu-ilmu hadis. Ini terbukti apabila beliau telah diberikan ijazah oleh dua orang gurunya di Madinah pada tahun 1319 H/1901 M.

Ijazah hadis yang pertama diberikan oleh Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri al-Hanafi pada tarikh 26 Rejab 1319 H/1901 M dan ijazah hadis yang kedua diberikan oleh Saiyid Abdul Qadir as-Syibli at-Tharablusi as-Syami al-Hanafi. Kedua-dua ulama itu adalah ulama besar ahli hadis pada zaman itu yang mengajar di Masjid Nabawi, Madinah.

Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyusun kitab mengenai hadis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang bahasa Arab masih dalam bentuk manuskrip, manakala dalam bahasa Melayu yang pernah diterbitkan di antaranya ialah Bisyarah al-‘Amilin wa Nazarah al-Ghafilin. Dalam karya beliau Hadiqatul Azhar war Rayahin juga banyak terdapat hadis dan terjemahannya.

Selain itu, sekurang-kurangnya ada tiga kitab yang membicarakan hadis dalam bahasa Melayu telah ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada ketiga-tiga karya tersebut, terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Kitab-kitab yang dimaksudkan ialah Kasyful Ghummah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani dan Al-Kaukabud Durriy karya Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani.

Sebelum membicarakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani pada kitab-kitab yang tersebut, penulis senaraikan sanad lengkap beliau dalam bidang ilmu hadis yang khusus mengenai kitab-kitab hadis shahih. Sanad yang dimaksudkan adalah:

*Sheikh Ahmad al-Fathani, belajar kepada:

*Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada:

*Maulana Sheikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi al Azhari, belajar kepada:

*Ramai ulama, yang paling terkenal dan banyak disebut ada tiga orang, iaitu: Sheikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, Sheikh Muhammad al-Amir al-Kabir, dan Sheikh Muhammad bin Ali asy-Syanwani. Khusus sanad daripada Allamah Sheikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, belajar kepada:

*Allamah asy-Syamsu Muhammad Salim al-Hifni, belajar kepada:

*Allamah Abdul Aziz az-Ziyadi, belajar kepada:

*Asy-Syamsu Muhammad bin al-Alauddin al-Babli, belajar kepada:

* Sheikh Salim bin Muhammad as-Sanhuri, belajar kepada:

*An-Najmu Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada:

*Sheikh al-Islam Zakaria bin Muhammad al-Anshari, belajar kepada:

*Al-Hafiz asy-sheikh Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqallani, belajar kepada:

*Abi Ishaq Ibrahim bin Ahmad at-Tanukhi, belajar kepada:

*Abi al-Abbas Ahmad bin Abi Thalib al-Hajjar, belajar kepada:

*Al-Husein bin al-Mubarak az-Zabidi al-Hanbali, belajar kepada:

*Abi al-Waqti Abdul Awwal ibnu Isa as-Sijzi, belajar kepada:

*Abi al-Hasan Abdur Rahman bin Muzhaffar bin Daud ad-Dawudi, belajar kepada:

*Abi Muhammad Abdullah bin Ahmad as-Sarakhsi, belajar kepada:

*Abi Abdullah Muhammad bin Yusuf bin Mathar al-Farabri, belajar kepada:

*Muallif Sahih Bukhari, al-Imam al-Hafizh al-Hujjah Abi Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari.

Berikut pula disertakan puisi-puisi Sheikh Ahmad al-Fathani dalam ketiga-tiga kitab yang disebutkan.

Adapun puisi-puisi tersebut tidak disertakan bersama syarahnya, seperti mana yang terkandung dalam kitab. Mengenai syarah-syarahnya dapat dirujuk melalui kitab-kitab tersebut atau buku penulis berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 2, yang dimulai halaman 231.

Puisi pada kitab Kasyful Ghummah karya Sheikh Daud Abdullah al-Fathani

Puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang menerangkan mengenai kitab Kasyful Ghummah terdapat pada cetakan pertama kitab tersebut oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada tahun 1303 H. Transliterasinya adalah sebagai yang berikut:

“Puji bagi Tuhan,

yang menjadikan mawa’izh itu tazkirah lil ummah

Dan dibukakan dengan dia daripada mereka itu

yang menerimanya akan ghummah

Dan shalawat dan salam atas Nabi

al-Hadi ila Rasyad

Dan atas keluarganya dan tolannya

syufa’ana yaumal ma’ad

Wa ba’du,

Maka telah sempurnalah ini kitab yang mustathab

Yang padanya

Hudanl lil muttaqin wa zikra li ulil al-bab

Sungguhnya telah disebutkan padanya

Akhbarut tifaf as-saq bis-saq

Dan ahwal pada hari yang padanya

ila rabbikal masaq

Dan dicetera padanya akan segala

yang menakuti daripada ahwal al-jahim

Dan dinazham pada suluk asrarnya akan segala

lu’lu’ akhbar jannatin na’im

Dan lain daripada ahwal yang barzakhiyah

Dan segala pekerjaan yang ukhrawiyah

Barang yang sayogianya mengambil ibarat

dengan dia oleh ‘aqilun

Dan hendaklah beramal bagi seumpama tsawab

yang tersebut padanya oleh ’amilun

Dan adalah hamba muqabalahkan pada tashhihnya

dengan Mukhtashar asy-Sya’rani

bagi asalnya yang Arabi

Iaitu at-Tazkirat al-Qurthubiyah

Dan hamba tashlihkan setengah daripada

barang yang zhahir padanya tahrif,

maka jadilah ia bersih seolah-olah

Ia-ali manzumah

atawa sabaik zahabiyah

Dan adalah capnya pada al-Mathba’ah al-Miriyah,

yang pada Makkah al-Mahmiyah

Dan selesainya pada pertengahan Syawal,

sanah 1303 Hijrah an-Nabi Shallallahu alaihi

wa sallam,

wa ‘ala alihi wa shahbihi wa syarafi wa karam

Puisi pada kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani

Pada kitab Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub karya Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur Kutan al-Kalantani, terdapat puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang digubah dalam bentuk sastera Arab yang terdiri daripada 27 bait. Tiap-tiap satu bait dua baris, dua baris. Selain itu, terdapat juga puisi beliau yang digubah dalam bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:

“Puji itu bagi Allah,

yang dengan kurnia-Nya

sempurna segala yang dituntuti

Dan rahmat dan sejahtera

atas afdal segala Nabi yang diikuti

Dan atas kelurganya dan taulannya

yang semulia-mulia mereka itu,

yang dengan kepujiannya disebuti

Kemudian daripada itu,

Maka dengan pertolongan

Tuhan al-Malikul Wahhab

Dan dengan kemegahan

Penghulu kita an-nathiqu bish-shawab

Telah sempurnalah ini kitab yang mustathab

Yang ialah bagi segala hati yang lalai itu,

sebesar-besar cerca dan 'itab

Yang menyaksi akan dia

oleh al-Muqarrabun

khitamuhu miskun dan pada

falyatanafasil mutanafisun

Yang dinamakan dia

dengan al-Jauharul Mauhub

Iaitu kitab yang terpenuh

dengan guna-gunaan yang mathlub

Dan indah-indahan yang padanya marghub

Daripada ahadits Nabawiyah

Dan atsar Salafiyah

Dan fawaid yang ’ajibah

Dan faraid yang gharibah

Dan asrar yang lami’ah

Dan akhbar yang jami’ah

Dan nashaih dan mawa’izh yang mufidah

Dan ma’arif dan ‘ulum ‘adidah

Maka ialah,

Langit segala bintang yang ’alaih

Dan laut segala mutiara yang ghaliyah

Dan kebun segala bunga-bungaan yang bahiyah

Dan pokok segala buah-buahan yang syahiyah

Ta’lif guru yang a’zham

bagi segala guru yang masyhur

Maka dialah matahari ilmu

dan mereka itu budur

Al-‘Allamah al-‘Amil

wa al-Fadhil al-Kamil

Tuan Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantan

Ibnu al-Marhum Wan Abdur Rahman

Ibnu Abdul Ghafur afadhallahu Taala alaihi

sawabighul judi wal ihsan”

Puisi pada kitab Al-Kaukab Ad-Durriy karya Sheikh Muhammad Bin Ismail Daud Al-Fathani

Kitab yang akan dibicarakan

ini bukanlah kitab khusus membicarakan hadis seperti dua

kitab yang telah dibicarakan. Namun disebabkan cerita-cerita di dalamnya lebih banyak bersumber daripada hadis, maka dikategorikan

di bawah judul Puisi Sheikh

Ahmad Al-Fathani Pada Kitab-Kitab Hadis.

Kitab ini dengan judul lengkapnya Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiyi, adalah merupakan karya ulama dunia Melayu yang terkenal, iaitu Sheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani, atau digelar juga dengan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Kitab yang bercorak

sastera

Islam Melayu klasik ini telah ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, dan padanya terdapat puisi beliau yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Puisi yang digubah dalam bahasa Melayu transliterasinya adalah sebagai yang berikut:

Wa ba’du,

Maka telah selesailah thaba’ ini kitab

yang mengandung akan beberapa banyak ajaib

Yang menyatakan daripada

ahwal bahamut,

dan malakut,

dan ‘azhamut,

akan badai’ dan gharaib

Maka seyogialah,

bagi segala mata,

bahawa berkuhul ia,

dengan itsmid muthala’ahkan ibaratnya

Dan bagi segala telinga,

bahawa berlazat-lazat ia,

dengan halawah mendengarkan hikayatnya.

Yang diisnadkan sekaliannya,

kepada tsiqat al-ulama zawit tahqiq

Maka lazimlah atas segala hati,

bahawa ada ia baginya Aba Bakar as-Shiddiq

Dan sesungguhnya,

jikalau dituliskan risalah ini,

atas shafaih al-fiddah dengan ma’ az-zahab

niscaya berpatutanlah demikian itu,

dengan mahasinnya yang indah lagi ‘ajab 


PUISI pujian dan pengharapan kepada Sultan Terengganu terdiri daripada 33 bait dalam bahasa Arab, ditujukan kepada Sultan Terengganu, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Sultan tersebut termasuk salah seorang murid Sheikh Ahmad Al-Fathani. Sesuatu permasalahan yang tidak dapat diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah, sama ada dengan mengirim surat atau mengirim utusan yang khas.

Sewaktu Sheikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Oleh itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa puisi tersebut adalah ucapan Sheikh Ahmad al-Fathani sewaktu beliau berkunjung ke Terengganu. Pendapat yang lain menyebut bahawa diucapkannya sewaktu Sultan Zainal Abidin III datang ke Mekah, ketika Sultan Terengganu itu bertemu dengan Syarif Mekah. Berikut adalah terjemahan puisi pujian dan pengharapan kepada Sultan Terengganu, iaitu:

1. Taman harapan, dibasahi oleh embun pertolongan,

Lalu ia bertambah segar, bersih dan berseri-seri

2. Embun penyegar datang

membasahi seluruh permukaan taman,

Maka jangan kau heran !

Embun penyegar memang berpasangan dengan taman harapan

3. Diiringi dengan tiupan

angin lembut datang membelai

syahdu meng'asyiqkan

Tiada tara, luar dugaan

4. Lalu ia mengorak dan memekarkan

bunga-bungaan harum mewangi

Indah, tiada bandingan

5. Dahan berayun

dan daun pun melambai

kegirangan

Burung berkicau

kegembiraan

6. Diiringi oleh pujian

dengan pelbagai lagu dan nada

tanda kesyukuran kepada Allah

Pemberi nikmat, pemberi bahagia

7. Bagaikan mentari, penuh megah

Bagaikan bulan, penuh sinaran damai,

cahaya suci

harapan jiwa, penawar hati

8. Bagaikan laut, pemurah tiada tepi

Bagaikan hujan, penolong tiada beza

Memberi sebelum diminta.

9. Pengasih kepada rakyat

Jasa ditabur tiada putus

10. Hiasan negeri

Kebanggaan rakyat

Tempat tumpahan hati

Nurani rakyat

11. Itulah Sultan Terengganu

Raja yang berani, bermaruah

dan bertuah

12. Raja yang agung lagi bijaksana

Pandai mentadbir

Banyak berilmu

Petunjuk jalan bahagia

13. Kemuncak usahanya ialah

menggali ilmu, menyelami ma'rifah

menunjukkan jalan hidayah

14. Dunia Melayu belum pernah menzhahirkan

Raja agung seperti baginda

Raja memiliki akhlak yang mulia

15. Baginda ialah cermin agama

wadah amanah

neraca keadilan

Maka jangan engkau ragukan

16. Jauh berbeza daripada raja-raja yang lain

di segi akhlak, pangkat,

kemuliaan dan keturunan

17. Baginda, di kalangan raja-raja Melayu,

laksana bulan

apabila ia timbul mengambang

maka hilanglah segala cahaya bintang

18. Baginda adalah orang yang mulia,

bahkan kemuliaan itu warisan daripada

datuk neneknya

keturunan mulia

dari dahulu sampai sekarang

19. Memang raja putera raja

Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan

yang tak pernah putusnya

20. Keturunan Saiyidina 'Ali

Saiyid anak Saiyid

Keturunan yang tak menzhahirkan,

kecuali hanya kemuliaan

21. Himmahnya yang tinggi,

melebihi penghuni maya persada ini

bahkan lebih tinggi,

daripada bintang Suraya dan Farqad

22. Aku berharap,

semoga bangsa Melayu dapat maju dengan pimpinannya

Dan dapat mencapai kemuncak peradaban

dan kesejahteraannya.

23. Aku berharap,

semoga baginda berkenan menyebarkan ilmu,

ma'rifah dan petunjuk

Lalu baginda menjadi kebanggaan

dan rakyat mendapat kejayaan

24. Dan yang lebih besar lagi, aku berharap,

semoga baginda berkenan menyuruh 'ulama',

dan cendekiawan yang memahami petunjuk

25. Agar mereka dapat membukukan bahasa Melayu

Kerana aku bimbang ia akan hilang,

atau dirusak oleh perubahan

yang berlaku dari masa ke masa

26. Begitu pula hendaklah mereka itu mengarang se-jarah Melayu,

yang meliputi segala perihal orang Melayu

Kalau tidak, mereka nanti akan hilang, dalam lipatan sejarah

27. Ayuhai segala cerdik pandai !

Hidupkan sejarah bangsamu !

Dengan itu, kamu akan disebut dalam sejarah

dan namamu akan harum sepanjang masa

28. Dalam menulis sejarah

hendaklah ambil perhatian !

Tampilkan kebaikan raja-raja Melayu,

sebutan baik dikekalkan

29. Dengan itu, kamu akan jadi gembira

dan bernilai di mata lain bangsa

Kerana kamu telah dipimpin oleh raja yang bijak, berilmu, dan berwibawa

30. Inilah Qashidah atau Syair

yang dipersembahkan ke pangkuannya

Baginda, laksana Ka'bah,

sangat beruntung orang yang datang ke sisinya

31. Qashidah ini datang berharap,

supaya ia berkenan di hati baginda sultan

walau ia lemah dan taqshir

32. Ia bersembah dengan doanya,

"Semoga Allah memelihara baginda

dan mengekalkan kebahagiaan baginya"

33. Kemudian, maka ditutup syair ini dengan

Shalawat dan Salam yang diaturkan

untuk junjungan tercinta dan untuk keluarganya

selama taman harapan

masih dibasahi oleh embun pertolongan

Syarah Puisi

Hubungan antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Sultan Zainal Abidin III memang erat, ini dapat dibuktikan dengan beberapa pucuk surat yang ada hubungkaitnya dengan puisi yang tersebut. Puisi yang dibicarakan ini jika kita teliti dapat kita bahagikan kepada beberapa kelompok, iaitu:

i. Merupakan mukadimah, iaitu mulai bait yang pertama hingga bait yang ke-10.

ii. Merupakan pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pada bait yang ke-11 hingga bait ke-21.

iii. Merupakan pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu pada bait yang ke-22 hingga bait yang ke-26.

iv. Merupakan pengharapan kepada cendekiawan, pada bait yang ke-27 hingga bait yang ke-29.

v. Merupakan penutup puisi, pada bait yang ke-30 hingga bait yang ke-33.

Beberapa bait pada bahagian mukadimah (angka 1) adalah pujian untuk Sultan Terengganu yang banyak persamaannya dengan Syair Tuan Hampris, karya Hajah Wok Aisyah binti al-Haji Nik Idris Terengganu yang dikarang jauh kemudian daripada puisi Sheikh Ahmad al-Fathani. Sebagai contoh beberapa bait untuk perbandingan dapat disemak di bawah ini:

i. Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani

"Itulah Sultan Terengganu

Raja yang berani

Bermurah

Dan bertuah." (bait yang ke-11)

ii. Syair Tuan Hampris

"Negeri khabarnya itu

seorang raja memerintah tentu

adil dan murah bukan suatu

sangatlah alim paduka ratu." (bait yang ke-18)

"Perangainya halim tangannya murah sekalian kasih memandang wajah ...

…" (bait yang ke-22, dua baris awal)

Kesimpulan daripada petikan kedua-dua puisi di atas, ia membuktikan bahawa Sultan Terengganu itu adalah seorang yang pemurah. Mengenai sifat pemurah itu disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait yang lain, iaitu bait yang ke- 8, katanya:

"Bagaikan laut,

pemurah tiada tepi

Bagaikan hujan

penolong tiada beza

Memberi sebelum diminta."

Watak seorang sultan yang berilmu pengetahuan juga terdapat pada Syair Tuan Hampris, disebut juga oleh Sheikh Ahmad al-Fathani pada bait ke-12 dan 13, katanya: (maksudnya)

"Raja yang agung lagi bijaksana

Pandai mentadbir

Banyak berilmu

Petunjuk jalan bahagia.

Kemuncak usahanya ialah

menggali ilmu, menyelami ma'rifah

menunjuk jalan hidayah."

Pada Syair Tuan Hampris yang sama maksudnya dengan puisi di atas, terdapat pada bait yang ke-20, 21 dan 22, iaitu:

"Rajanya alim lagi jauhari

kitab Quran sangat pelajari

alimnya tidak lagi terperi

termasyhurlah khabar ke sana ke mari.

Saleh dan warak lagi pendeta

bijak laksana jangan lagi dikata

masyhurlah khabar di dalam warta

di alam Melayu sekalian rata.

Perangainya halim tangannya murah

sekalian kasih memandang wajah

cukup fahamnya ilmu 'Arabiyah

baginda nan gemar ilmu falakiah."

Penutup

Adapun syarah pada bahagian ini adalah mukadimah tentang pujian untuk Sultan Terengganu. Mengenai syarah-syarah puisi yang lainnya akan dilanjutkan pada bahagian seterusnya. Bahagian-bahagian lain yang tidak dibicarakan lagi adalah mengenai pujian khusus untuk Sultan Terengganu, pengharapan Sheikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu untuk umat Islam dan Melayu, dan pengharapan kepada cendekiawan. 



Dengan teliti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mencatat tahun-tahun kelahiran orang-orang dalam lingkungannya dan tahun kelahiran beliau sendiri. Tentang ayah dan ibunya tercatat, "Diperanakkan bapak kita Wan Muhammad Zain pada tahun seribu dua ratus tiga puluh tiga (1233) daripada hijrah, iaitu pada tahun harimau dengan bahasa Melayu, pada hari Sabtu qablaz zawal pada hari yang delapan yang bulan kedelapan daripada bulan Melayu. Diperanakkan mak kita Wan Cik pada seribu dua ratus empat puluh satu (1241) daripada hijrah.1241- peranakkan ibu kita

1233- peranakkan bapak kita

.....8- kurang umur ibu kita daripada bapak kita."

Tentang tahun kelahiran beliau sendiri, tertulis dalam kitabnya Hadiqatul Azhar war Rayahin, halaman 178-179,cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1321 H, tetapi tidak termaktub dalam cetakan yang pertama, oleh percetakan yang sama tahun 1307H.

Menurut beliau, "Diperanakkan Ahmad bin Muhammad bin Mushthafa bin Muhammad al-Fathani pada malam Jumaat waktu jendera budak, lima hari bulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan lima daripadanya dengan istilah Siam, pada hari yang keenam pada istilah Melayu. Dan tempat beranaknya pada Kampung Jambu negeri Jerim daripada Fathani. Dan mansya'nya pada Kampung Jambu itu, dan pada Kampung Sena Janjar".

Jika dihisab tahun kelahiran itu maka bersamaan dengan 10 April 1856 Masihi. Tahun kelahirannya itu bersamaan dengan mangkatnya Sultan Muhammad Raja Patani (1856 M) dan dengan kehendak Raja Siam telah mengangkat putera beliau bernama Tengku Putih sebagai Raja Patani. Dalam tahun 1856 M itu pula perdagangan di Fathani Darus Salam kembali ramai dan banyak bangsa asing datang sebagai pedagang, tetapi yang teramai adalah bangsa Cina.

Latar belakang dari kemewahan yang mulai tumbuh di Fathani Darus Salam yang tidak merdeka itu mengakibatkan mulai menurunnya intelektual Islam dalam negeri Fathani Darus Salam. Namun Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai intelektual Islam yang agung bukanlah mendapat pendidikan Islam dalam negeri beliau sendiri yang telah dikuasai oleh bangsa kafir itu.

Berbagai-bagai cerita tentang kelahiran Ahmad al-Fathani yang kadang-kadang di sana sini dihiasi dengan mitos yang menarik yang sukar diterima oleh akal yang jernih.

Barangkali tidaklah celanya dalam artikel ini dimuat juga tentang cerita-cerita itu. Seperti yang dikisahkan oleh seorang tuan guru pondok bernama Haji Wan Husein, seorang bekas Tok Guru Pondok di Yala, katanya: "Setelah ulama-ulama Patani banyak mati dibunuh oleh Siam, ada pula yang ditangkap dan dilokap di Bangkok, pada satu malam Panglima Wan Pa bertemu dengan lailatul qadar di perigi Bendang Daya. Malam itu Panglima Wan Pa berdoa agar dari keturunannya ada yang menjadi ahli ilmu untuk menggantikan para ulama Patani yang telah hampir habis. Dipendekkan kisah, bahawa anaknya Muhammad Zain pun berkahwin.

" Tidak berapa lama dia kahwin hamillah isterinya. Ketika hampir cukup bulan kandungannya maka pada satu malam Jumaat, kemudian malam Jumaat lagi, kemudian malam Jumaat lagi jadi tiga kali malam Jumaat secara berturut-turut ibunya Wan Cik bermimpi; bahawa dia melihat isi ubi bertimbun-timbun. Dengan serta merta semuanya pecah berderai. Di mana saja tempat berderainya itu lalu tumbuh menjadi ubi yang baru pula. Oleh sebab mimpi berturut-turut tiga kali serupa dan malam Jumaat pula maka mimpi itu dicari takbirnya kepada alim ulama yang telah mencapai darjat Wali Allah. Akan takbirnya bahawa anak yang dikandung itu akan membawa rahmat, ahli ilmu. Ilmu yang berasal daripadanya akan berkembang lagi. Di mana saja muridnya pergi maka dapat menyebarkan ilmu yang berasal daripadanya. Maklumlah Panglima Wan Pa bahawa doanya telah dikabulkan Allah. Tiba-tiba malam Jumaat yang keempat lahirlah anak yang dikandung itu, yang penuh dengan keanehan. Anak itu diberi nama Ahmad".

Riwayat hidupnya di zaman kanak-kanakAhmad al-Fathani dilahirkan di Kampung Sena Janjar, iaitu sebuah kampung yang ditanam pohon Sena oleh Panglima Wan Pa dengan berbaris-baris melingkari kampung itu. Dari Kampung Sena Janjar itu banyak mengeluarkan ulama sejak masa dahulu, dan Ahmad bergaul menurut tradisi agama Islam yang berkembang di Kampung Sena Janjar itu.

Sejak kecil lagi, kira-kira baru berumur dua tahun, beliau sudah dilatih menghafal pelbagai matan. Menurut ukuran biasa setelah berumur enam atau tujuh tahun baru dilatih dengan demikian itu.

Namun Ahmad al-Fathani tidak mengikut tatacara yang berlaku, kerana ayah dan datuknya tahu benar tabiat Ahmad yang memang sejak lahir selalu tidak sama dengan kebiasaan yang ada pada kanak-kanak lainnya.

Pembawaannya sejak kecil selalu menyendiri diri dari masyarakat ramai. Beliau bertahan duduk di tempat sunyi sepi berminggu-minggu, bahkan kadang-kadang berbulan-bulan untuk menenangkan fikiran, mengingat-ingat hafalan matan yang telah diberikan oleh orang tuanya.

Sekitar empat tahun umurnya, dia mengikut ayah dan ibunya pindah ke Mekah. Ketika di Mekah, dia tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar. Ini kerana dia belajar secara sembunyi-sembunyi, tanpa pengetahuan kedua-duanya.

Ini menyebabkan kedua-dua orang tuanya mulai gelisah, kerana jika hal demikian berlaku terus menerus akan yang mengakibatkan gagal semua cita-cita beliau, yang ingin supaya anaknya itu menjadi seorang yang termasyhur dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Akan tetapi kedua-dua orang tuanya berasa lega dan hairan juga kerana apa yang ditanyakan kepada anaknya tetap dapat menjawab dan hafalannya luar biasa, kerana menghafal pelbagai matan yang melebihi daripada teman-temannya yang lain.

Menurut kitab Nasyrun Naur waz Zahar (mukhtasar), karya Sheikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani ke Mekah berusia enam tahun, dan beliau adalah seorang hafiz al-Quran dan juga beberapa kitab matan.

Di kalangan keluarga Patani dan Kelantan yang berada di Mekah ketika itu mempercayai bahawa Ahmad telah mendapat ilmu ladunni. Hal tersebut lebih menonjol setelah dia berumur 12 tahun.

Dalam usia yang demikian muda, dia telah mengajar ilmu tatabahasa Arab (ilmu nahwu sharaf, dan lain-lain) kepada orang tua-tua yang telah puluhan tahun belajar.

Ketika kecil itu, Ahmad selalu bersahabat dengan temannya bernama Ahmad Dahlan yang berasal dari Jawa. Ahmad Dahlan adalah seorang anak yang sangat rajin belajar dan menghafal. Pada satu hari terlepaslah kata-kata dari ayahnya, Sheikh Muhammad Zain, "Ahmad, mu malas belajar nanti mu aku beri air kencing kawanmu Ahmad Dahlan".

Kata-kata itu sangat berkesan bagi Ahmad al-Fathani, maka bertekadlah ia meninggalkan Mekah untuk mencari ilmu pengetahuan. Tujuan pertamanya adalah ke Baitulmaqdis.

Belajar di BaitulmaqdisDi Baitulmaqdis, dia telah belajar ilmu kedoktoran/ilmu tabib. Menurut riwayat bahawa Syeikh Ahmad al-Fathanilah orang Melayu yang pertama sekali mahir ilmu tabib dan mendapat pendidikan khas di bidang itu yang berlainan dengan tabib-tabib tradisional di dunia Melayu. Sebagai bukti dari cerita ini dapat kita telaah dengan saksama melalui kitabnya berjudul Thaiyibul Ihsan fi Thibbil Insan.

Sekitar dua tahun lamanya dia menetap di Baitulmaqdis, dia kembali ke Mekah. Dalam masa dua tahun itu pula beliau sempat belajar ilmu-ilmu yang lain, selain ilmu yang disebutkan tersebut, terutama ilmu-ilmu agama. Tentunya beliau telah belajar kepada ulama-ulama di Baitulmaqdis itu.

Selama di Baitulmaqdis beliau bersahabat dengan Saiyid Yusuf an-Nahbani, seorang pengarang pelbagai kitab, di antaranya Al-Anwarul Muhammadiyah yang terkenal itu.

Setelah beliau kembali ke Mekah, maka terkejutlah kedua-dua orang tuanya kerana dalam amalannya sehari-hari, tidak menampakkan bahawa anak yang dikasihinya itu sebagai seorang ulama.

Dilihatnya hanyalah mahir dalam membuat berjenis-jenis ubat seumpamanya makjun dan yang sejenisnya. Sekali lagi ayahnya memaksanya supaya memperdalam pengetahuan agama Islam sebagaimana ulama-ulama tua-tua Fathani Darussalam zaman lampau, antaranya seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Berhijrah ke MesirMulai saat itu, bertekad pula Sheikh Ahmad al-Fathani meninggalkan Mekah. Tujuannya adalah ke Mesir kerana diketahuinya bahawa Mesir merupakan pusat ilmu pengetahuan keislaman dengan kemegahan Al-Azharnya, yang menurut beliau memakai istilah Masjid Jami' Al-Azhar.

Sewaktu beliau akan berangkat meninggalkan Mekah, keluarlah kata-kata beliau di hadapan kedua-dua orang tuanya dan juga di hadapan keluarga-keluarganya, bahawa beliau tidak akan berpakaian lebih daripada sehelai dan tidak akan memakai serban yang berekor panjang sebelum menjadi seorang ulama besar yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu.

Maka berangkatlah ia ke Mesir dengan penuh tekad dan tawakal tanpa membawa wang yang banyak. Tidak akan berlebihan kalau diceritakan di sini bahawa beliau ke Mesir tidak menaiki kenderaan berupa apa pun. Pemergian semua ditempuh dengan berjalan kaki dan berenang di Sungai Nil dengan menjunjung sebuah kitab suci al-Quran di kepalanya.

Selama belajar di Mesir, beliau memang benar-benar mempunyai sehelai baju yang berwarna putih, sehelai serban dan sehelai kain untuk bersalin. Bajunya itu dicuci setiap dua hari sekali. Hingga beliau selesai belajar di Masjid Jami' Al-Azhar, baju itu juga yang dipakai dibawa ke Mekah yang banyak tampalannya.

Diriwayatkan bahawa selama belajar itu beliau tidak lebih dari makan roti yang dibelah empat untuk setiap harinya. Seperempat untuk makan siang, seperempat pula untuk makan malam, dan separuhnya disedekahkan kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai suatu apa pun seperti beliau.

Ada pun roti itu beliau peroleh hasil sedekah daripada murid-muridnya di Mesir, kerana beliau juga mengajar walaupun masih belajar. Sekali-sekali beliau juga dapat sedekah pisang embun daripada beberapa orang hartawan.

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah orang yang pertama yang berasal dari Asia Tenggara yang belajar di Mesir. Menurut kitab Nasyrun Naur waz Zahar lagi menyebut bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani tinggal di Mesir selama tujuh tahun, di sana juga beliau bekerja sebagai pentashih kitab-kitab.

Setelah beliau tamat belajar di Mesir, lalu mengajar di Mekah, ketika itulah para murid dan kadernya beliau suruh pula melanjutkan pelajaran ke Mesir.

PenutupKelahiran Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani adalah merupakan matahari terbit setelah kegelapan malam, bahawa adalah cahaya terang bagi warga Fathani Darus Salam, kerana beliau dapat dikenali hingga di peringkat antarabangsa.

Beliau dikenali bukan hanya dalam bidang sempit sebagai seorang ulama Islam tradisional sahaja, bahkan dalam bidang luas dengan pelbagai bidang yang bersifat umum. Bahkan beliau sebagai pembangkit gerakan politik sekalian ulama di dunia Melayu/Asia Tenggara. 



Pada mulanya penulis tidak mengenali Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana penulis selalu diceritakan tentang kehebatan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani sahaja. Oleh sebab itu, pada penyelidikan awal penulis hanya tertumpu pada biografi Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sahabat-sahabatnya.

Ibu penulis, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani pada mulanya enggan bercerita lebih panjang mengenai ayahnya.

Namun di antara cerita yang paling awal, katanya: "Kalau kamu ingin tahu tentang ayahku hendaklah kamu merantau ke Kelantan. Di sana ada murid-murid dan anak angkat ayahku. Anak angkat dan murid angkat ayahku yang paling terkenal ialah 'Awang Kenali'. Dia ialah ulama besar dan keramat. Ada murid ayahku menjadi ulama besar Kelantan namanya 'Nik Mahmud' dan 'Haji Muhammad Sa'id'.

"Sebelum kamu dengar dan temukan riwayat ayahku dari orang lain, aku tidak akan menceritakan kisahnya semua, tapi cukup kamu ketahui bahawa ayahku pergi ke Baitulmadqis dari Mekah dengan berjalan kaki. Sewaktu beliau pulang dari Turki pernah mendapat pelbagai hadiah dari Sultan Turki, di antaranya globe dunia yang besar sehingga tidak muat pintu ketika akan dibawa masuk ke rumah...", demikian cerita ibu penulis.

Setelah itu sekitar tahun 1960-an, penulis sering terbaca tentang Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani terselit dalam riwayat beberapa ulama yang diperkenalkan di majalah-majalah dan buku-buku.

Maklumat awal yang penulis perolehi mengenai beliau adalah berupa tulisan terdapat dua sumber. Sumber pertama pernah dibicarakan oleh salah seorang muridnya, seorang orientalis iaitu, Prof. Dr. C.Snouck Hurgronje yang dimuat dalam bukunya Mecca in The Latter Part Of The Nineteenth Century.

Maklumat pertama didengar bahawa Snouck Hurgronje adalah murid Sheikh Ahmad al-Fathani melalui cerita Saiyid Muhammad Yusof Zawawi, yang ketika hidupnya pernah sebagai Mufti Terengganu. Beliau menjelaskan kepada penulis sewaktu berada di Masjid Negara pada tahun 1977. Cerita beliau tersebut dikuatkan pula dengan pelbagai catatan yang penulis temui beberapa tahun kemudiannya.

Sumber kedua ditulis oleh murid Tok Kenali dalam majalah Pengasuh, bertarikh 2 Zulkaedah 1352 H/ 15 Februari 1934 M, hari khamis, jilid ke 17, muka ke 13 dan 14.

Sedikit mengenainya penulis salin tanpa perubahan bahasa, iaitu: "....al-Allamah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang terkaya daripada ujian umpama kita ini. Betapakah tiada berkata demikian itu? Kerana ilmu yang mengandungi pelajaran agama itu masih ada lagi sekarang 60 perkara ilmu. Maka al-Allamah itu dapat empat puluh tujuh ilmunya seperti mengkhabarkan kepada penulis satu orang alim yang dipercayai khabarannya kerana dia berkebetulan pada satu masa itu ada peluang. Maka al-Allamah itu mentakrifkan 47 ilmu itu satu persatunya.

"Dan setengah-setengah ia karang ilmu itu. Maka sekarang ini, ada juga setengahnya seperti syaikhuna al-Kanali, dapat dua puluh empat. Kalau pembaca-pembaca hendak tahu insya-Allah saya akan sebut. Sebab almarhum itu (Maksudnya Tok Kenali) dapat setengah ilmu al-Allamah pada bilangan itu ialah kerana banyak mukhalathah dan mengaji daripadanya. Katakanlah seperti Abu Hurairah dengan Nabi kerana banyak bercampurnya dapat riwayat hadis tujuh ribu lebih. Dan al-Allamah yang tersebut itu almarhum sentiasa puji dan sebut; menunjukkan kasihnya demikianlah al-Allamah itu telah dapat khabar bahawa murid-murid yang lebih disayang ialah almarhum..."

Mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani ini, penulis pernah menerbitkan buku kecil di Yala (1971-1972) dan pernah dimuat dalam majalah Dian bilangan 49, tahun 1972. Kedua-dua karya tersebut adalah karya penulis yang pertama diterbitkan.

Selain itu, khusus mengenai pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani ada tujuh siri pernah dimuat dalam Dewan Budaya mulai April 1991 sehingga September 1991 dan disambung dalam bulan Oktober 1991. Dalam majalah Dakwah pula mulai Ogos 1989 hingga April 1991, dan disambung lagi Jun 1991 hingga Disember 1991, yang penulis tulis khusus membicarakan ulama-ulama Malaysia dan Patani. Sebahagian besar ulama yang dibicarakan ada hubungkaitnya dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Adakalanya mengenai pertalian dalam kekeluargaan, pertalian keilmuan daripadanya hingga ke atas dan murid-murid beliau.

Riwayat ringkas Riwayat ringkas Sheikh Haji Wan Mushthafa al-Fathani, iaitu datuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, pernah penulis tulis dalam majalah Al-Islam, Januari 1990, iaitu siri ke-3 di bawah judul Thabaqat Para Ulama Patani.

Dalam Jurnal Dewan Bahasa, Mac 1990, penulis perkenalkan pemikiran bahasa dan huruf Melayu baru ciptaan Sheikh Ahmad al-Fathani. Dalam Jurnal Bahasa, September 1991, diperkenalkan pula kitab Hadiqatul Azhar war Rayahin yang merupakan karya Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sepanjang tahun 1990 dan 1991, dalam Jurnal Dewan Bahasa, penulis perkenalkan pelbagai kitab karya ulama dunia Melayu, yang sebahagian besar juga menyentuh nama Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana beliau adalah selaku pentashih pertama. Nazham atau syair Sheikh Ahmad al-Fathani, baik dalam bahasa Arab mahu pun dalam bahasa Melayu, beberapa buah di antaranya juga penulis sebut dalam jurnal tersebut itu.

Selain yang penulis sebutkan, masih banyak mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditulis dalam majalah lainnya, di antaranya majalah Pengasuh.

Sebagai kesinambungan dari semua yang tersebut di atas, penulis menerbitkan pula buku khusus mengenai ulama ini, berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2, terbitan Khazanah Fathaniyah, 2005.

Buku tersebut terkumpul maklumat lengkap mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani hasil dari kajian demi kajian yang penulis selidiki. Dalamnya terkandung di antaranya mengenai pemikiran dan perjuangannya, termasuk aktiviti keseluruhan murid-muridnya yang terkenal, keluarganya yang menjadi ulama dan tokoh dunia Melayu, dan lain-lain yang penulis fikirkan perlu ditonjolkan.

Penulis dulukan perkataan 'Melayu' dari perkataan Islam dalam judul buku tersebut adalah bermaksud bahawa beliau adalah seorang ahli fikir yang terbesar untuk seluruh zaman bagi dunia Melayu.

Penulis tidak bermaksud mengatakan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah pemikir agung atau besar untuk dunia Islam antarabangsa. Namun walau pun kecil, tidak dapat dinafikan bahawa ada peranan, sumbangan dan pemikiran beliau untuk kepentingan umat Islam sejagat hingga peringkat antarabangsa.

Kesinambungan daripada itu, penulis memperkembangkan lagi perbicaraan mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani melalui artikel ini secara bersiri, seperti yang pernah penulis lakukan sebelum ini.

Ia dimulakan dengan pengenalan, seterusnya biografi yang mengandungi asal-usul keluarga beliau, keturunannya, keluarga yang menjadi ulama dan tokoh, murid-muridnya, kewafatannya, hasil-hasil karya beliau yang terkenal, dan pemikiran-pemikiran dalam pelbagai bidang.

Sebagai permulaan, penulis memulakan dengan pengenalan dan asal-usul nama beliau sahaja. Seterusnya mengenai yang selainnya akan dibicarakan dalam siri-siri selanjutnya.

Asal-usulNama lengkap Sheikh Ahmad al-Fathani ialah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zainal Abidin bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin (faqih Wan Musa al-Jambui as-Sanawi al-Fathani) bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi.

Walau bagaimana pun nasab yang sahih dan tahqiq dari Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri ialah: Ahmad bin Zainal Abidin bin Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani.

Nasab ini beliau tulis pada tiga tempat iaitu pada akhir Hadiqah al-Azhar, juga pada akhir Tuhfatul Ummah dan dalam sebuah catatan.

Tetapi pada semua cetakan Ar-Risalah al-Fathaniyah ialah: Ahmad Zainal Abidin bin Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Musa al-Fathani. Pada nama Zainal Abidin disebut nama 'Musa'.

Ada kemungkinan 'Zainal Abidin' adalah sebagai nama gelar untuk Syeikh Faqih Wan Musa al-Fathani, kerana 'Zainal Abidin' bermaksud 'perhiasan orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah'.

Dalam salah satu manuskrip tulisan Tok Kelaba al-Fathani, ada dicatat bahawa datuk-neneknya berasal dari negeri Khurasan, iaitu yang pertama datang ke dunia Melayu bernama 'Syarif Zainal Abidin'.

Beliau ini merantau ke Pulau Jawa, lalu berkahwin dengan seorang perempuan yang berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi sesuatu peperangan di Jawa, maka 'Syarif Zainal Abidin' bersama dengan salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau jawa lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darussalam.

Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sehingga mudah baginya mendapat pengaruh di Kelaba dan juga meninggal dunia di Kelaba. Anak Syarif Zainal Abidin bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan, dan tinggal di Kampung Laut, Kelantan. Di Kampung Laut (Kelantan), beliau memperolehi anak bernama Abdullah. Abdullah memperolehi anak bernama Abdul Shamad.

Abdul Shamad ini pindah pula ke Kelaba dan mendapat anak bernama Abdul Mukmin. Abdul Mukmin mendapat anak bernama Abdul Latif, dan Abdul Latif mendapat anak bernama Husein (Tok Kelaba).

Syarif Zainal Abidin yang dicatat oleh Tok Kelaba sebagai datuk neneknya itu adalah sezaman dengan Zainal Abidin yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab ada hubungan kekeluargaan antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Tok Kelaba, maka penulis yakin pertemuan nasab kedua-duanya adalah pada nama Zainal Abidin. Zainal Abidin pada salasilah Tok Kelaba kemungkinan adalah orang yang sama dengan Zainal Abidin pada salasilah Sheikh Ahmad al-Fathani.

Adapun nama Musa bin Muhammad Salleh bin Ali al-Masyhur al-Laqihi al-Fathani adalah berdasarkan tulisan Sheikh Muhammad Nur bin Sheikh Muhammad Ismail Daudy al-Fathani.

Penutup Selanjutnya, mengenai yang lain-lainnya akan dibicarakan dalam artikel ini secara bersiri-siri. Ia meliputi asal-usul keluarganya, keturunannya, keluarga yang menjadi ulama dan tokoh, murid-muridnya, kewafatannya, hasil-hasil karyanya yang terkenal, dan pemikiran-pemikiran beliau dalam pelbagai bidang. 

Koleksi artikel
ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH