Menyusur Konflik Dunia Islam
Dunia Islam yang meliputi 1/3 keluasan dunia dengan umatnya melebihi 1.3 Billion. Umat Islam kini boleh didapati di mana-mana negara dunia hari ini. Dunia Islam dan umat Islam kini menjadi perhatian masyarakat dunia. Perhatian ini lantaran begitu banyak konflik yang timbul membabitkan umat Islam dan negara Islam, begitu juga dari segi geopolitik negara Islam berada di kedudukan strategik dan banyak mempunyai hasil bumi terutama minyak.
Ironisnya kenapa umat Islam dan dunia menjadi tumpuan negara dunia? Dan begitu banyak bumi umat Islam dilanda konflik seperti Iraq, Iran, Syria, Lubnan, Kashmir India, Pakistan, Chechen, Dagestan, rantau Balkan, Selatan Thailand dan selatan Filipina.
Samuel Huttington di dalam bukunya “Clash of Civilization” meramalkan akan berlakunya pertembungan tamadun antara dunia Islam dan barat. Ternyata analisis beliau menjadi kenyataan dengan persepsi negatif masyarakat barat terhadap umat Islam iaitu fenomena Islamfobia di barat, berikutan peranan yang dimainkan media massa barat yang banyak memberi persepsi negatif terhadap umat dan negara Islam. Antaranya isu Islam dikaitkan dengan keganasan, persepsi umat Islam yang ganas membawa kesan buruk kepada umat Islam di barat. Laporan berita barat banyak memainkan propaganda dan provokasi terhadap masyarakat Islam.
Sikap prejudis barat ternyata semakin terserlah dengan layanan dan diskriminasi barat terhadap umat Islam di negaranya kononnya berselindung di sebalik keselamatan negara. Umat Islam dilihat sebagai ancaman dan membawa kekacauan rentetan juga segelintir orang Islam yang bertindak ganas bagi agenda mereka.
Sememangnya banyak faktor yang membawa hal sedemikian sama ada disebabkan kalangan masyarakat Islam sendiri dan peranan yang dimainkan barat bagi agenda mereka. Jika menyusuri punca berlakunya konflik ini ada faktor yang dimainkan oleh barat seperti manisfestasi kekecewaan terhadap tindakan double standard barat terhadap umat Islam dan isu penindasan rejim Zionis di Palestin yang berterusan sekian lama. Begitu juga faktor ideologi pelampau Islam serta yang menjadi tanda tanya kebanyakan konflik yang berlaku di bumi Islam mempunyai nilai strategik dari segi politik dan ekonomi.
Ini dapat dilihat konflik yang berlaku di Timur Tengah, Asia tengah, rantau Balkan dan di Asia tenggara.
Agenda Barat
Neoimperialisme barat masih berkeinginan menguasai dan mempengaruhi negara-negara Islam. Mana-mana negara yang bertentangan dengan dasar barat akan dicop sebagai pengganas, di mana usaha-usaha dilakukan untuk mencampuri urusan politik negara berkenaan. Dasar imperialisme baru barat jelas terbukti dalam dasar Amerika di Iraq, di mana mempunyai kepentingan strategik iaitu munyak dan kedudukan geografi di tengah dunia Arab. Dan juga dapat mengurangi kegusaran sekutu baik barat iaitu Israel. Bahkan Israel begitu nyata mempengaruhi dasar luar Amerika.
Mana-mana pihak yang dilihat ancaman kepada Israel akan menjadi perhatian, pihak sekutu barat kini meneruskan agenda seterusnya iaitu bagi mencampuri hal negara Iran yang juga dilihat sebagai ancaman kepada Israel dan hegemoni Amerika serta mempunyai hasil bumi yang penting iaitu minyak.
Ancaman barat terhadap umat Islam semakin berkembang di mana selain ancaman pemikiran, sosial, politik, pendidikan dan sebagainya mereka kini sudah semakin mencampuri urusan negara Islam dengan agenda tertentu.
Konflik Umat Islam
Kalangan umat Islam sendiri turut menimbulkan pelbagai konflik, malah kebanyakan negara Islam masih dibelenggu masalah kemiskinan, pengangguran, masalah sosial dan sebagainya.
Polemik kini yang melanda kalangan umat Islam ialah isu keganasan di mana umat Islam dan Islam dikaitkan dengan keganasan. Lantaran tindakan segelintir umat Islam yang bertindak ganas atas nama Islam walhal ia jelas bertentangan dengan Islam.
Fenomena ini timbul daripada manefestasi kekecewaan segelintir umat Islam terhadap saudara seagama mereka yang ditindas dan dizalimi seperti yang berlaku di Kashmir, Chechen, Balkan dan Palestin. Bahkan perjuangan dan jihad sudah dikaburi antara tindakan ganas atau jihad.
Di samping itu kemunculan segelintir umat Islam yang memperjuangkan sistem khalifah Islam dan ideologi-ideologi yang melampau turut menyumbang kepada fenomena ini.
Ideologi-ideologi yang berkembang kalangan umat Islam meliputi ia tidak berpaksikan agama atau berpaksikan agama.