Peri pentingnya memahami peranan dan pengertian salasilah sebelum dan sesudah menghayati sesuatu Tariqat
oleh Fakir Amal
Bila di sebut Tariqat maka Mursyid adalah perkara yang amat mustahak. Tariqat ialah perjalanan menuju Allah Ta’ala manakala mursyid lah yang memimpinnya ke arah tujuannya itu. Kalau Tariqat di ibaratkan sebagai sampan manakala Mursyid pula di ibaratkan sebagai nakhodanya yang memimpin haluan sampan tersebut. Kedudukan Mursyid di dalam sesebuah jamaah tariqat tidak keterlaluan faqir katakan adalah ibarat nyawa bagi sebuah jasad. Tidak hairanlah ada ahli sufi yang berpendapat : “Rahsianya(intipati perjalanan tariqat) itu adalah pada masya’ih bukannya pada zikir”. Dan berkata Syeikh Tajaldin Naqsyabandi dan perkataan ulama-ulama sufi yang lain juga ada menyatakan senada dengannya iaitu : “Barang siapa tiada baginya syeikh(guru mursyid) maka syaitanlah syeikhnya”. Perkataan di atas merujuk kepada guru kerohanian iaini yang menjalani jalan tariqat keruhanian.
Kepentingan mursyid di dalam perjalanan keruhanian juga samalah dengan orang yang menunjuk jalan dan sudah mahir dengan perjalanan itu memimpin jalan bagi orang yang belum pernah berjalan ke destinasi tersebut bahkan tiada tahu seluk beluknya maka mengikuti arahannya serta mempercayainya adalah suatu kemestian. Maka dalam menentukan keabsahan dan keesahan terhadap kepakarannya dalam seluk-beluk perjalanan amat mustahak di teliti supaya terselamat daripada bahaya kesesatan samada bagi pihak pengikut mahupun dirinya sendiri.
Dalam menentukan keesahan atau kebenaran seseorang mursyid mengikut adab syariat dan adab tariqat terdapat beberapa perkara pokok. Cuma yang ingin faqir ketengahkan ialah peranan salasilah tariqat kerana ianya sering dilupai oleh kebanyakkan orang mungkin di kaburi atau dilupai oleh cerita-cerita kiramah seseorang yang dianggap mursyid itu atau terlalu terpengaruh dengan rupa atau cerita wara’ atau kealiman dan sebagainya. Bukan faqir maksudkan wara’ dan alim itu tidak penting ianya juga penting tetapi yang paling kurang di lihat dan di teliti ialah tentang sanad salasilah Tariqat guru tersebut.
Banyak peristiwa pincang yang berlaku dalam sesuatu jamaah Tariqat sebenarnya berpunca daripada masalah ini. Kebanyakkan ahli tariqat yang faqir jumpa juga sering meringan-ringankan perkara ini. Faqir kurang pasti mengapa tetapi yang nyatanya dari sebab ini lah berlaku perselisihan , perpecahan , penyelewengan , dakwa mendakwa.Dan timbul –lah persoalan iktiraf dan tidak iktiraf dan akhirnya menjurus kepada persoalan mencari ganti syeikh yang tak habis-habis di persoalkan siapa pengganti sebenar ? Ianya juga berpunca dari masalah kejahilan dan masalah mazmumah di dalam hati yang belum selesai dan syaitan memang suka mengocah persoalan ini agar hancur organisasi sesebuah jamaah Tariqat. Sebab itu faqir mengingatkan diri faqir sendiri dan semua sahabat-sahabat faqir di sini (BSC) agar di tentukan susur galur salasilah Tariqat sebelum mahupun sesudah menghayati sesuatu amalan tariqat.
Faqir berpendapat mungkin seseorang yang ingin bertariqat mungkin kurang di dedahkan atau tak tahu menahu kepentingan peranan salasilah. Sedangkan berguru tariqat yang tidak bersambung salasilahnya dengan ulama-ulama asalnya sehingga bersambung dengan Rasulullah s.a.w. hukumnya haram kerana terputus wasilah dalam menyampaikan matlamat.Sebab itu bukan mudah untuk kita berguru dengan seseorang kecuali telah di buktikan bahawa guru yang kita anggap sebagai guru itu memiliki sanad salasilah tariqat yang mutashil(bersambung) sehingga Rasulullah s.a.w. di samping kita melihat kepada faktor-faktor lain yang selari dengan adab syariat dan adab tariqat.
~~~~~ o O o ~~~~~
Apakah yang di maksudkan dengan salasilah tariqat dan mengapa salasilah tariqat itu penting ?
Seseorang yang di anggap mursyid ialah seseorang yang telah berguru sebelumnya dengan gurunya terdahulu dan sehinggalah bersusun sampailah kepada tabi’in kepada sahabat dan akhirnya bertemu kepada Rasulullah s.a.w. dan mestilah di dokumenkan dalam bentuk bertulis dan di sahkan oleh gurunya yang terdahulu dengan ‘memberi izin’ bagi menjalankan atau menyebarkan tariqat tersebut serta mahsyur sanadnya mengikut adab tariqat.
Salasilah ini penting kerana beberapa sebab iaitu :
i. bagi menentukan seseorang murid menerima keberkatan (kesan ruhaniah) atau limpahan ruhani yang bersambung dengan syeikhnya itu terus bersambung sehinggalah persambungannya itu benar-benar dari puncanya yang sebenar dan teratasnya iaitu Rasulullah s.a.w. Sekiranya salasilahnya terputus atau tiada memiliki sanad salasilah yang sah maka bagaimana seseorang itu dapat menerima limpahan keberkatan imdad bir ruhaniah dari segala masya’ih yang terdahulu sehingga Rasulullah s.a.w yang dengannya menyampaikan kita kepada jazbah fillah(tarikan kepada Allah iaini zuk fana’fillah dan baqo’billah).
ii. Bagi yang terputus wasilah ruhaniahnya maka terputuslah apa yang di panggil rabithah mursyid(pertalian mursyid).Jika tiada baginya rabithah mursyid maka tiada terpelihara perjalanannya itu daripada tercedera terhadap gangguan musuh-musuh bathin seperti iblis, syaitan jin dan segala perkara yang membahayakan perjalanan ruhaninya khususnya dalam meniti perjalanan di alam malakut.Sebab itu kita dengar bahaya-bahaya penipuan di alam ruhani yang sering kita dengar seperti membesarkan diri mengakui diri sudah capai ke mertabat wali,mertabat sultanul auliya, sudah dapat tahap yang tinggi dan suka menggelar diri , taa’sub , sudah pandai menilik dan di katanya sudah dapat kasyaf , pandai mengubat kerana sudah disangkanya dapat maunah dan akhirnya melalutlah kepada gila dan sebagainya. Sedangkan rukun bagi seseorang mursyid atau khalifah itu ialah sangat merendahkan diri (tawadhu’) bagaimana pula dia nak mengaku dirinya lebih atau macam-macam lagi.Satu perkara lagi sifat orang yang terputus sanadnya suka kondem orang lain yang nyata kondemnya itu tidak jujur dan terlalu taasub dengan amalannya saja kononnya amalannya yang sah , betul dan orang lain itu semuanya tak betul kalau betul pun tak sempurna macam dia punya. Sebenarnya 2 perkara ini selalu dilakukan bagi orang yang lalai dalam zikrullah atau memang sudah ada cacat dalam perjalanannya.
iii. Sebagai bukti atau hujjah yang sah bahawa seseorang itu mendapat izin dari syeikhnya yang terdahulu bagi menyebarkan ajaran tariqatnya itu kerana sanad salsilah yang mahsyur dan mutashil dengan Rasulullah s.a.w. itu seumpama otoriti yang sangat berwibawa tanpa dapat di pertikaikan lagi dari sudut keizinan dan kelayakannya dalam memimpin murid.Dan inilah adab yang amat penting dalam tariqat.
iv. Salasilah juga adalah suatu keesahan yang menyatakan bahawa tiada berlaku perubahan atau pindaan atau saduran darihal penyampaian ilmu Tariqat itu sendiri dan lazimnya salasilah ini di kepilkan bersama ajaran-ajaran,adab-adab serta segala keterangan maqam-maqam zikir tariqat yang di rekod bersama dari turun temurun supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan atau di ciplak dari mana-mana ajaran yang bertentangan dengan asal .
~~~~~ o O o ~~~~~
Pesanan Ulama sufi yang muktabar dalam kepentingan mengetahui salasilah tariqat .
1. Kata Syeikh Amin Kurdi dalam kitabnya Dhiya’ul Iman :
“Ketahuilah bahawa seorang murid di jalan Allah yang mahu bertaubat dan menghilangkan sifat kelalaiannya wajiblah ia mencari seorang syeikh yang ada di zamannya. Iaitu seorang yang sempurna suluknya(perjalanannya) syariat dan haqiqat mengikut Al Qura’an dan Al Hadis juga sentiasa berpandukan para Ulama hingga sampai ke maqam ar-rijalul kamal. Syeikh itu telah sampai kepada keredhaan Allah dan suluknya juga adalah di bawah pimpinan seorang mursyid yang mempunyai persambungan salasilah hingga ke nabi s.a.w. Ia juga mestilah telah mendapat izin dari syeikhnya untuk menyampaikan ajarannya kepada orang lain. Ia juga mempunyai ilmu dan makrifah yang benar dan bukan jahil dan bukan kerana di dorong oleh keinginan nafsu dirinya.Oleh yang demikian syeikh yang arif yang mempunyai persambungan salasilah itu adalah merupakan wasilah kepada Allah bagi seseorang murid itu. Syeikh itulah juga merupakan pintu menuju kepada Allah yang akan di lalui oleh murid itu. Sesiapa yang tiada mempunyai syeikh yang memimpin dan mengasuhnya maka syeikhnya adalah syaitan”.
2. Katanya lagi :
“ Tidaklah boleh seseorang itu membuat bai’ah dan memimpin para murid kecuali setelah ia mendapat tarbiyah dan ke izinan mursyidnya seperti yang di tegaskan oleh para masya’ih. Orang yang berbuat kerja demikian itu padahal ia bukan ahlinya yang sebenar , akan lebih banyak merosakkan dari memberi kebaikan. Ianya akan menanggung dosa sebesar dosa seorang perompak kerana ia telah memisahkan murid dari syeikh yang arif sebenarnya”.
3. Berkata Syeikh Amin Al Kurdi dalam kitab Dhiya’ul Iman fi Thariqah Ar Rahman pada membicarakan kepentingan salsilah iaitu:
“Adalah sangat wajar bagi para murid di jalan Allah itu untuk mengetahui salasilah para syeikh mereka itu hingga sampai kepada nabi Muhammad s.a.w. Bila kedudukan syeikh mereka jelas dan benar ada persambungan salasilah hingga kepada nabi s.a.w. maka jika para murid itu mahu mendapatkan pertolongan limpahan ruhaniah dari syeikh mereka itu mereka akan berhasil apa yang dimaksudkan . Orang yang salasilahnya tidak bersambung hingga kepada nabi s.a.w. maka orang itu adalah terputus dari limpahan ruhaniah tersebut. Oleh itu orang itu bukanlah menjadi waris bagi Rasulullah s.a.w. dan TIDAK boleh di ambil bai’ah dan ijazah daripadanya”.
4. Kata Syeikh Abdul Wahab Asy Syaroni di dalam kitab Madarijus Salikin :
“Hei para murid ! Semoga Allah memberkan keredhaan Nya kepada kami dan kamu. Sesungguhnya orang yang tidak mengetahui bapanya dan datuknya di dalam jalan ini (ilmu Tariqat) ,maka ia adalah buta. Mungkin jua orang yang tersebut di nasabkan(di binkan) kepada orang lain yang bukan bapa sebenarnya. (jika begitu) maka bermakna ia termasuk ke dalam apa yang di sabdakan oleh nabi s.a.w. : ‘Allah melaknat orang yang dinasabkan kepada orang lain yang bukan bapanya yang sebenar”.
Maksud bapa dan datuknya ialah para guru-guru yang terdahulu (para masya’ih) kerana guru mursyid kita ialah bapa ruhani manakala guru kepada guru kita adalah datuk ruhani kepada kita sehingga lah seterusnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. iaitu sumber segala ruhani iaini benih sekelian alam dan induk rahmat Allah Ta’ala dengannya melimpah sekelian rahmat Allah atas setiap kejadian.
5. Kata Syeikh Abdul Qadir Al Jilani dalam kitabnya Sirrul Asrar :
“Syeikh Abdul Qadir Al Jilani berkata : Sahabat r.a. adalah ahli jazbah(ahli tarikan bathin) kerana kekuatannya menemani nabi s.a.w. Tarikan bathin tersebut menyebar kepada syeikh-syeikh tariqat dan bercabang lagi pada salasilah yang banyak sehingga semakin melemah dan terputus pada kebanyakkan umat, yang tinggal adalah orang-orang yang meniru-niru sebagai syeikh tanpa makna kedalaman dan tersebarlah kepada ahli-ahli bid’ah”. Ini menunjukkan ‘karan’ atau jazbah fillah akan turun kepada kita melalui susur jalur salasilah tariqat.
6. Kata Syeikh Abdul Qadir Al - Jilani lagi :
“Bagaimana cara menentukan Tasawuf yang benar ? Caranya dengan dua macam : (Pertama) lahiriahnya(Kedua) Bathinnya.Lahiriahnya memegang teguh pada aturan syariat dalam perintah mahupun larangan.Bathinnya mengikuti jalur suluk dengan pandangan hati yang jelas bahawa yang di ikuti adalah nabi s.a.w. dan nabi s.a.w. merupakan perantara antara dia dengan Allah.Dan antara dia dengan nabi adalah ruh ruhani Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai jismani pada tempatnya dan ruhani pada tempatnya, sebab syaitan tidak akan menjelma menjadi nabi dan itu merupakan isyarat pada orang – orang salikin agar perjalanan mereka tidak dalam keadaan buta. Pada fasal ini terdapat tanda-tanda yang sangat halus untuk membezakan mana golongan yang benar dan yang salah , yang tidak dapat di temukan kecuali oleh ahlinya”.
Maksud di atas ialah bagi menentukan tasawuf yang benar ialah zahirnya mengikut syariat dan bathinnya mengikut jalur suluk (iaini perjalanan yang berantai salasilah sehingga berakhir kepada nabi s.a.w.) supaya hingga jelas hati murid mempertemukan kepada nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi sebagai washitah(perantara) yang menyampaikan kepada Allah iaini makrifat terhadap Allah dengan sebenarnya.Kerana jika terputus salasilah bereti terputuslah wasilah dan akibatnya akan kelirulah perjalanannya dan payahlah seseorang itu membezakan dapatan ruhaniah yang haq dengan yang bathil kerana perkara ini amat lah halus lagi sukar.Jangan di kata cahaya itu lah diri dan jangan disangka bayang itulah sebenar.Jangan dikata zuk itulah muktamad kerana syaitan masih boleh memberi kan rasa zuk dan segala pembukaan yang palsu ! Maka berlindunglah kita kepada Allah dari segala tipudaya makhlukNya.Maka tiada yang mengetahuinya melainkan ahlinya yang berjalan mereka itu mengikut akan mengikut orang yang mengikut akan nabi s.a.w. pada zahir (syariat)dan bathinnya(rabithah ruhaniah yakni tariqat yang menyampaikan haqiqat).Bak kata perpatah : Jauhari jua yang mengenal manikam.
~~~~~ o O o ~~~~~
Rumusan Justru itu hendaklah kita fahami bilamana di katakana ‘Tariqat’ maka disana ada di dalamnya beberapa perkara yang tidak terpisah ibarat ‘irama dan lagunya’ iaitu :
1. Mursyid berkait dengan 2. salasilah dan keizinan berkait dengan 3. rabithah ruhaniah(pertalian) berkait dengan 4. adab-adab berkait dengan 5. zikir dan maqam-maqamnya berkait dengan 6. muraqabah dan musyahadah terhadapNya
Kesemuanya ini adalah wasilah pokok dalam Tariqat dan keenam-enam inilah di panggil ‘Tariqat’. Ke enam-enam perkara di atas juga ada yang di zahirkan dan di dokumentasikan dan ada yang di bathinkan iaini tidak di nyatakan atau tidak di dokumentasikan khusus yang berkait dengan dapatan atau penemuan ruhaniah yang menjadi adab supaya tidak dinyatakan. Namun perkara seperti salasilah dan ke izinan adalah perkara yang wajib di nyatakan supaya di ketahui akan nasab ruhaniahnya dan supaya tidak kita di anggap anak yang tiada bernasab seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Wahab Asy Syaroni r.h dan yang lebih di takuti kita menyeleweng dari usul dan kaedah kaum sufi secara tidak kita sedari.
Tidak ada keringanan dalam perkara salasilah ini , jangan pula ada pihak yang berkata salasilah ini tak penting yang pentingnya ialah haqiqatnya atau makrifatnya. Jika ada pihak yang berkata begitu ;terus segera tinggalkan orang itu kerana orang itu telah mengajar suatu pemahaman yang tidak betul yakni menyalahi usul mengikut kaum sufi. Kerana bagaimana buah itu lahir tanpa pokok dan benihnya ? Sebab itu kata Ulama sufi : “Barangsiapa menyalahi ushul maka diharamkan dia daripada wushul(sampai kepada makrifat Allah Ta’ala dengan makrifat sebenarnya)”. Iaini barang siapa menyalahi perkara-perkara yang telah di sepakati oleh kaum sufi maka terlerai dia daripada jalan mereka.Bersama kita berlindung dengan Allah Ta’ala daripada bahaya-bahaya ini dan tipudaya makhlukNya.
~~~~~ o O o ~~~~~